Monday, December 7, 2015

Surah Al Ahzab Ayat 1 - 20









Pengenalan

Surah Al Ahzab ini mengandungi sebanyak 73 ayat, yang semuanya diturunkan di Madinah, sesudah turunnya surah Ali Imran. Dinamakan Al Ahzab bermaksud beberapa kelompok atau golongan ataupun puak. Ini kerana surah ini dari ayat 9 sehingga ayat 27 ianya berkisar kepada peperangan Khandaq ataupun juga dipanggil Peperangan Al-Ahzab. Dan selebihnya adalah berkaitan dengan rumahtangga Rasulullah saw.

Setelah Islam beransur berkembang dan diterima ramai , musuh-musuh Islam pada masa itu merasa sangat tidak senang hati dan berusaha gigih untuk menghancurkan Islam yang baru bangkit. Namun usaha itu selalunya gagal. Adalah tiga golongan besar yang bersikap permusuhan itu ialah golongan kaum Musyrikin Mekah yang berpusat di bandar Mekah, golongan kabilah yang berada di luar kota Mekah dan ketiga ialah orang Yahudi yang tinggal di sekeliling Mekah itu sendiri.

Orang-orang Yahudi munafik ini merasa bahwa sekiranya mereka menentang Nabi Muhammad secara sendiri-sendiri, maka sudah tentu akan dikalahkan dan dihancurkan. Jadi mereka rasa ada lebih baik sekiranya mereka meminta bantuan dari golongan Musyrikin Mekah dan puak kabilah yang menentang Nabi Muhammad supaya bersatu dengan mereka untuk melancarkan peperangan.

Setelah berjaya memujuk orang-orang Musyrikin Quraisy di bawah pimpinan Abu Sufyan dan puak kabilah Arab itu, mereka berpakat untuk melancarkan serangan. Berita tergempar itu segera sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad saw. Tentera bersekutu itu terdiiri dari tidak kurang dari 10,000 orang akan mengepung dan menyerbu Madinah.

Rasulullah saw segera mengada musyawarah dengan para sahabat beliau, untuk mencari penyelesaian. Akhirnya mereka menerima pendapat Salman Al Farisi agar dibina parit yang besar mengelilingi sekitar Madinah untuk menyekat kemaraan pihak musuh.  Parit inilah yang dinamakan Khandaq di dalam bahasa Arabnya. Musuh-musuh yang besekutu yang hendak menyerbu Madinah itu dinamakan Al Ahzab. Peperangan ini terjadi pada tahun kelima hiriyah.  

Namun peperangan ini tidaklah sampai berperang mengorbankan jiwa. Ia lebih kepada bersifat perang teknik, memakai helah siasat-siasat dan taktik yang bijak. Kepungan musuh yang hebat itu mengambil masa sehingga sebulan lamanya dan ini amat menekan jiwa kedua-dua belah pihak. Ramai juga di antara kaum mukmin yang berputus asa dan menyangka bahwa mereka kelak akan dihancurkan oleh musuh-musuh mereka.

Ini merupakan ujian yang berat dari Allah kepada kaum muslimin  bagi menguji sejauh mana keteguhan keimanan yang ada di dalam diri mereka. Akhirnya Allah mengirimkan bantuan berupa tentera yang tidak kelihatan iaitu tiupan angin taufan yang sejuk yang menyebabkan pihak musuh menjadi kacau bilau dan melarikan diri.





Al Ahzab Ayat 1 Hingga 3

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ اتَّقِ الَّهَ وَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَالْمُنَافِقِينَ ۗإِنَّ الَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
1 - Hai Nabi, bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

وَاتَّبِعْ مَا يُوحَىٰ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ ۚإِنَّ الَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
2 -  dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhanmu kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

وَتَوَكَّلْ عَلَى الَّهِ ۚوَكَفَىٰ بِالَّهِ وَكِيلًا
3 - dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara.

Allah mengajak Nabi Muhammad supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah. Pada hakikatnya nabi akan selalu mengajak orang lain supaya bertaqwa kepada Allah. Namun ajakan beliau kepada orang lain itu tidak akan ada maknanya, sekiranya beliau sendiri tidak mengerjakan apa yang beliau suruh. Sebab itu maka Allah menasihatkan kepadanya supaya sifat taqwa itu ditanamkan teguh terlebih dahulu di dalam dirinya sendiri. Sehingga orang lain yang diajak bertaqwa itu akan segera juga mematuhi dengan baik dan setia. Sebab mereka sudah dapat melihat contoh yang ada di depan mata mereka, yang nabi tunjukkan sendiri di dalam dirinya.

Thalaq bin Hubaib berkata, “taqwa adalah melaksanakan segala perintah Allah dengan berpijak kepada syariat Allah dan mengharapkan pahala dariNya. Serta meninggalkan larangan Allah dengan berpijak kepada syariat Allah semata kerana takut akan pedihnya seksaan Allah.”

“.... janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik..”.
Tentu saja orang kafir dan orang munafik tidak boleh diikuti. Ini adalah satu perintah mengawasi diri dari Allah kepada RasulNya. Kerana ada kalanya orang kafir dan orang-orang munafik ini akan mengajak Rasulullah dengan kata-kata manis, padahal niat sebenar mereka bukanlah demikian. Maka janganlah mendengar kata-kata mereka ataupun meminta nasihat dari mereka. Mereka itu hanya berpura-pura saja di depan Rasulullah tetapi di belakang Rasulullah mereka memasang perangkap yang akan menjerat Rasulullah dan para sahabat akhirnya. Sesungguhnya Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana tentang helah dan tipu daya mereka hendak memusnahkan Rasulullah.

“....dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhanmu kepadamu..”
Kerjakanlah apa yang diperintahkan oleh Allah berdasarkan wahyu, ayat-ayat dan kitabNya. Sesungguhnya jalan yang harus ditempuh adalah satu saja iaitu mengikuti wahyu Allah dari pangkal jalan sehinggalah ke hujung jalan. Jangan ditokok tambah dengan jalan yang lain. Sebab jalan yang lurus itu hanya ada satu, iaitu jalan Allah. Adapun jalan orang-orang kafir dan munafik tidaklah berpandukan kepada wahyu Ilahi. Ianya hanyalah semata-mata dari fikiran manusia dan hasutan syaitan.

Lagi pula Allah Maha Bijaksana dalam pentadbiran segala urusan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain. Maka dengan itu hanya allah sajalah yang berhak untuk dituruti dan ditaati perintahNya. Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang Rasulullah dan sahabat-sahabatnya telah lakukan. Sedikit pun tidak ada yang tersembunyi dari pengetahuanNya. Dan Allah pasti akan memberikan balasan di atas setiap amalan yang dilakukan menepati apa yang telah dijanjikanNya.

“....dan bertawakkallah kepada Allah…”
Sekali lagi Allah memerintahkan supaya Rasulullah bertaqwa kepadaNya. Serahkan segala urusan kepadaNya dengan mempercayai penuh kepada kekuasaan Allah. Cukuplah Allah menjadi pemelihara kepada Rasulullah dan para sahabatnya. Dialah yang menjamin rezeki yang akan dikurnikan kepada baginda.

Kesimpulannya ketiga-tiga ayat ini adalah menjelaskan pegangan hidup bagi Rasul dan juga bagi tiap-tiap orang ayng mengaku dirinya beriman kepada Allah dan Rasul. Agama Islam bukanlah semata-mata anutan agama saja. Juga bukan semata-mata akidah yang masuk akal atau pun disebut sekarang sebagai agama yang rasional. Islam juga bukan agama yang semata-mata beribadat, melakukan sembahyang, puasa, zakat dan hati menurut peraturan, rukun dan syarat yang ditetapkan. Islam juga bukan semata-mata perdebatan soal-soal khilafiyah tentang hasil ijtihad para ulamak.  

Tetapi Islam adalah semua yang tersebut di atas yang disertai oleh kesedaran jiwa bahwa kita melangkah ke dalam arena kehidupan yang penuh tanggungjawab kepada Allah. Islam itu adalah disiplin yang keras terhadap diri kita sendiri. Pendirian yang tegas dan pegangan yang teguh. Berani menghadapi segala kemungkinan di dalam mempertahankan pendirian.

Itu sebabnya maka di ayat pertama lagi Allah telah ingatkan Rasulullah sendiri agar baginda sekali-kali jangan meremehkan dan mengikuti kehendak dan permintaan orang-orang yang telah nyata kafir, apatah lagi munafik. Rasullullah dan umat baginda diperintahkan untuk benar-benar bertaqwa kepada Allah, meletakkan tanggungjawab apa saja yang dilakukan itu semata-mata kerana Allah.








Al Ahzab Ayat 4


مَا جَعَلَ الَّهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ ۚوَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ الَّائِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ ۚوَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ۚذَٰلِكُمْ قَوْلُكُمْ بِأَفْوَاهِكُمْ ۖوَالَّهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ
4 - Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya; dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zhihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar).

“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya;”
Firman ini sebagai sanggahan terhadap sebahagian orang-orang kafir yang mengatakan, bahawa mereka memiliki dua hati; yang masing-masingnya mempunyai kesedaran yang lebih utama daripada kesedaran yang dimiliki oleh Nabi Muhammad. Manusia tidaklah mempunyai dua hati. Allah tidak menjadikan manusia mempunyai dua hati. Kalau hati itu telah mencita-citakan sesuatu , maka tidaklah dicita-citakan yang lain pula, agar pilihan hatinya tetap. Dan kalau hati itu menyukai sesuatu, tidak pula akan membencinya dalam satu masa. Maka hal yang demikian tidaklah akan terjadi.

Tidaklah masuk dek akal apabila seseorang itu di dalam hatinya menyembah Allah dan di dalam masa yang sama hatinya juga menyembah benda yang lain. Itulah namanya musyrik. Sejak dari ayat 1 dan ayat 2 terdahulu lagi sudah diterangkan oleh Allah kepada RasulNya, jangan RasulNya mengikut-ikut kehendak orang kafir dan munafik yang mahu menyertai baginda untuk menyembah Allah. Kalau sekali hati telah bulat untuk menyembah Allah, maka sembahan kepada yang lain harus ditinggalkan.

“....dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zhihar itu sebagai ibumu,..”
Kebiasaan orang Arab di zaman Jahiliyah jika mereka tidak suka lagi kepada isteri mereka, maka mereka akan katakan kepada si isteri bahwa punggung isteri mereka itu serupa dengan punggung ibunya. Tentu saja kalau punggung isteri telah diserupakan dengan punggung ibu sendiri, kasih sayang kepada isteri juga disamakan dengan kasih sayang kepada ibunya. Kalau isteri sudah dianggap ibu, tentu akan kacau bilau dengan kasih kepada isteri yang menjadi teman tidur.

Sikap demikian adalah termasuk dalam kekacauan jiwa juga, dan ianya tidak boleh dibiarkan. Isteri tetap isteri dan kasih kepada isteri ialah untuk digauli dan untuk melahirkan zuriat. Ibu tetap ibu dan kasih kepada ibu adalah untuk diberikan bakti. Sebab itu maka kebiasaan menyerupakan punggung isteri dengan punggung ibunya itu adalah perbuatan yang salah dan tidak benar.

Inilah yang dipanggil zihar di dalam Islam. Iaitu perkataan seorang suami yang menyerupakan anggota badan isterinya dengan ibunya. Sekiranya ayat zihar ini telah dilafazkan oleh si suami maka haram bagi si suami untuk menggauli isterinya semula sehinggalah si suami membayar kafarah. Pada surah Al Mujadalah telah disebutkan tentang kafarah bagi sesiapa yang melakukan zihar. iaitu samada memerdekakan hamba atau kalau tidak upaya, harus berpuasa selama 2 bulan berturut-turut dan kalau tidak mampu lagi harus memberi makan 60 orang miskin. Setelah membayar kafarah, maka barulah boleh si suami menggauli si isteri semula.

Di zaman jahiliyah, lafaz zihar ini adalah sebagai untuk mentalaqkan si isteri. Tetapi dengan turunnya ayat ini dan ayat di surah Mujadalah, maka terbatallah hukum yang terdahulu dan talaq tidaklah dianggap jatuh.  

“....dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri)...”  
Kebiasaan di zaman jahiliyah orang memungut anak orang lain lalu dijadikannya anak angkat. Anak angkat itu dianggap sebagai anaknya sendiri sehingga anak angkat itu berhak membangsakan dirinya kepada bangsa orang yang menjadi ayah angkatnya.

Hal ini terjadi juga kepada Nabi Muhammad saw sendiri. Seorang hamba yang dihadiahkan oleh isterinya Siti Khadijah untuk merawat baginda, yang bernama Zaid bin Harithah. Kerana terlalu sayangnya kepada anak itu baginda telah mengambil Zaid sebagai anak angkatnya. Bukan lagi hamba. Sehinggakan Zaid telah dikenal oleh semua penduduk di situ sebagai Zaid anak Muhammad. Bukan lagi Zaib anak Harithah. Nanti di ayat ke 37 kita akan tadabur dengan lebih jelas bagaimana baginda sendiri telah disuruh untuk melepaskan diri terlebih dahulu daripada kebiasaan yang buruk ini.

“Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja.”
Dengan mengatakan bahwa anak orang lain itu adalah anak sendiri, ianya hanyalah ucapan mulut saja. Bukanlah ianya mencerminkan keadaan yang sebenar. Sebab keadaan dan hakikat yang sebenarnya ialah, yang dipanggil ‘anak’ itu adalah seseorang yang daripada aliran darah sendiri. Seorang anak mestilah ada pertalian darah dengan bapa dan ibunya.

Seseorang yang tidak ada pertalian darah, bukanlah dinamakan anak. Walau bagaimana sayang pun kita kepada si kecil itu, walau bagaimana meriah pun kita canangkan bahwa si kecil itu adalah anak kita, walaupun sudah diadakan sijil angat sumpah mengatakan ianya adalah anak kita, disahkan oleh pihak yang berwajib sesebuah negara, tetapi hakikatnya di sisi Allah, dan hakikatnya kita sendiri harus tahu itu adalah bukan anak kita. Bukan dari darah daging kita.  

“.....dan Dia menunjukkan jalan (yang benar).”
Jalan yang ditunjukkan oleh Allah itu adalah jalan syariat Islam. Maka segala peraturan yang lain, termasuk peraturan orang kafir yang dijalankan di dalam Dunia Islam, mengangkat anak orang lain menjadi anak sendiri, bukanlah jalan yang benar. Islam telah mengadakan peraturan sendiri dalam menjaga nasab dan keturunan, sehingga apabila seseorang meninggal dunia sudah ada ketentuan pembahgian harta pusaka iaitu faraid.

Namun mengangkat anak orang lain menjadi anak sendiri, lalu mengatur pula agar harta pusaka diserahkan kepada anak angkat itu setelah mati nanti, adalah melanggar pula ketentuan hak milik yang telah ditentukan syariat.






Al Ahzab Ayat 5

ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ الَّهِ ۚفَإِنْ لَمْ تَعْلَمُوا آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ ۚوَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَٰكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚوَكَانَ الَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
5 - Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapak-bapak mereka; itulah yang lebih adil pada sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapak-bapak mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudara seagamamu dan maula-maulamu. Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

“Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapak-bapak mereka;...”
Dahulu Nabi Muhammad telah meletakkan nama Zaid sebagai Zaid bin Muhammad. Dengan turunnya ayat ini datanglah ketentuan supaya anak itu dipanggil kembali menurut yang sewajarnya, iaitu Zaid bin harithah.

Ada juga terjadi, di mana seorang anak yang kematian ayah sewaktu ia masih kecil. Lalu ibunya bersuami lain dan dia diasuh dan dibesarkan oleh ayah tirinya yang sangat sayang kepadanya. Dengan tidak segan-segan si anak menaruhkan nama ayah tirinya di hujung namanya, padahal ayah tirinya itu bukanlah ayahnya yang sebenar. Ini pun dianggap salah dalam Islam.

Kerana walau berapa tinggi sekali pun nilai kasih sayang dan hutang budi, namun kebenaran tidaklah boleh diubah dengan mulut dan angkat sumpah. Menukar nama ayah itu pun adalah satu dusta. Sebab itu maka ditegaskan Allah di lanjutan dari ayat ini iaitu ‘...itulah yang lebih adil pada sisi Allah,..” jadi menukar nama ayah itu adalah tidak adil dan ianya adalah nyata curang.

“..dan jika kamu tidak mengetahui bapak-bapak mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudara seagamamu dan maula-maulamu.”
Di zaman Rasulullah dahulu, kebanyakan orang-orang tawanan perang yang masih kecil dan kanak-kanak lagi, kebanyakan dari mereka telah kehilangan orang tua mereka. Ada yang telah mati semasa mereka masih kecil dan mereka hidup sebatang kara di dalam masyarakat Islam.

Ayat ini menunjukkan bahwa, sekiranya mereka itu tidak diketahui nama bapanya sehingga orang tidak tahu bagaimana untuk memanggilnya, untuk dibinkan dengan nama siapa, maka panggil sajalah ia sebagai “saudara seagama’ seandainya ia sudah masuk Islam. Dan bagi bekas hamba yang telah dimerdekakan panggilah ia ‘maul’ yang bermaksud bekas hamba.

Itulah sebabnya tatkala Hudzaifah mengambil anak angkat dari bekas hambanya bernama Salim yang dahulunya dipanggil Salim bin Hudzaifah, setelah turunnya ayat ini ia telah dipanggil Salim maula Hudzaifah. Iaitu Salim bekas hamba Hudzaifah.

“.... Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya….”
Allah mengatakan kepada Rasulullah bahwa perbuatan Rasulullah yang dilakukan secara salah sebelum turunnya larangan ini ataupun sesudah turunnya dan juga dilakukan secara lupa, atau tersalah cakap, maka tidak dianggap berdosa. Melainkan sekiranya ianya dilakukan dengan sengaja. Itu dianggap berdosa. Bermakna, RAsulullah tidak berdosa membangsakan anak angkat kepada bukan bapanya secara silap tanpa mempunyai sebarang maksud, umpamanya Rasulullah terlupa atau tersalah cakap. Tetapi yang berdosa itu ialah kalau menyebutkannya secara sengaja.

Dari ayat-ayat yang telah kita tafsirkan ini teri­ngat kepada suatu kejadian ketika Rasulullah mengerjakan 'Umratul Qadhaa di tahun ke tujuh. Di dalam perjalanan pulang dari Mekkah menuju Madinah, ada seorang gadis kecil yang mengikut dari bekalang Nabi dan sahabat-sahabat. Gadis kecil itu adalah anak yatim, anak dari Hamzah bin Abdil Muththalib, bapa saudara Nabi dan saudara sepersusuan dengan Nabi. Pada waktu itu Hamzah sudah pun syahid.

Si gadis kecil itu memanggil-manggil dari belakang, minta dibawa bersama. Dia berseru-seru: "Ya 'Ammi, Ya 'Ammi". (Hai pakcik, hai pakcik!). Lalu 'Ali bin Abi Thalib mendekati anak itu dan dia berkata kepada isterinya Fatimah : "Bawa dia. Sebab dia adalah anak dari bapa saudaramu". Lalu anak itu dibawa oleh Fatimah.

Tetapi ada lagi tiga orang yang berada di sana pada waktu itu, yaitu 'Ali bin Abi Thalib, Zaid bin Haritsah dan Ja'far bin Abi Thalib. Ketiga-tiganya sama-sama hendak memelihara dan membesarkan anak itu. Semuanya mengeluarkan alasan. 'Ali berkata: "Aku lebih berhak. Sebab dia anak perempuan bapa saudaraku!"

Zaid bin Haritsah berkata: "Aku lebih berhak, sebab dia anak saudaraku". Sebab di antara Hamzah dengan Zaid dipersaudarakan oleh Rasulullah dikala mulai hijrah ke Madinah.

Lalu berkata Ja'far bin Abi Thalib: "Dia anak perempuan dari bapa saudaraku, dan khalah-nya (saudara perempuan dari ibunya) adalah isteriku". Yang dimaksudnya ialah Asmaa bin 'Umais. Isteri Hamzah adalah kakak kandung dari Asma' bin 'Umais.

Ketiganya lalu telah pergi merujuk kepada Rasulullah saw. Maka baginda pun memutuskan bahawa Ja'far bin Abi Thalib-lah yang akan meme­lihara anak perempuan Hamzah itu. Ini kerana isteri Ja'far, Asma' binti 'Umais adalah saudara kandung ibunya budak perempuan itu.

Nabi bersabda: "Saudara perempuan ibu adalah menempati tempat ibu".

Kepada 'Ali bin Abi Thalib beliau berkata: "Engkau dari diriku dan aku dari dirimu".

Kepada Ja'far bin Abi Thalib beliau berkata:"Engkau serupa benar denganku, baik dari pihak bentuk badan ataupun dari pihak bentuk budi".

Kepada Zaid bin Haritsah beliau berkata: "Engkau adalah sauda­ra kami dan maula kami".

Baginda nabi mendasarkan ucapan baginda kepada Zaid itu ialah berpandukan kepada ayat 4 dan 5 ini bahawa “mereka adalah saudara-saudara kamu dan maula-maula kamu".

Dengan demikian baginda telah dapat mendamaikan orang-orang yang berselisih faham, memuaskan hati masing-masing, dan gadis kecil itu baginda serahkan kepada yang lebih berhak, iaitu adik dari ibu kandungnya, yang disebut khaalah-nya tadi.





Al Ahzab Ayat 6

النَّبِيُّ أَوْلَىٰ بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ ۖوَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ ۗوَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ الَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ إِلَّا أَنْ تَفْعَلُوا إِلَىٰ أَوْلِيَائِكُمْ مَعْرُوفًا ۚكَانَ ذَٰلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورًا
Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka. Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris mewarisi) di dalam Kitab Allah daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin, kecuali kalau kamu mau berbuat baik kepada saudara-saudaramu (seagama). Adalah yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Allah).

Allah Maha Mengetahui betapa Rasulullah begitu menyayangi umatnya dan selalu inginkan kebaikan kepada mereka. Oleh kerana itu Allah menetapkan bahwa Rasulullah itu harus lebih diutamakan oleh orang-orang mukmin dibandingkan dengan dirinya sendiri. Seorang mukmin yang sejati akan mencintai Nabinya saw lebih daripada mencintai dirinya sendiri.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“demi yang diriku ada di tanganNya, tidak beriman seseorang itu sebelum aku lebih dicintainya daripada dirinya sendiri dan hartanya, dan anaknya dan manusia sekaliannya. “
(Hadis Riwayat Bukhari)

Maksudnya, orang-orang mukmin sepatutnya mencintai Nabi mereka lebih dari mencintai diri mereka sendiri dalam segala urusan. Oleh kerana itu, ajakan baginda harus lebih dituruti daripada ajakan diri mereka sendiri yang menginginkan kepada selain itu. Ini kerana Rasulullah telah mengorbankan fikiran dan tenaganya untuk kebaikan mereka. Baginda adalah orang yang paling sayang kepada mereka.


“...dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka….”
Isteri-isteri Nabi Muhammad telah diberi gelaran ‘Ummul Mukminin” yang bermaksud ibu kepada orang-orang yang beriman. Kerana mereka mempunyai kedudukan yang tinggi, untuk dihormati dan dimulikan sama darjatnya seperti ibu kandung.

Oleh kerana mereka sebagai ibu, maka haram untuk mengahwini mereka untuk selama-lamanya. Namun demikian hukum melihat kepada mereka dan duduk berdua-duaan dengan mereka adalah juga haram dan dalam perkara ini samalah mereka seperti permpuan-perempuan ajnabi. Begitu pula tidak boleh mewarisi harta pusaka mereka.

“.....Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris mewarisi) di dalam Kitab Allah daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin, kecuali kalau kamu mau berbuat baik kepada saudara-saudaramu (seagama). “
Orang yang mempunyai hubungan kerabat atau mempunyai hubungan darah itu, lebih utama mendapat pusaka daripada orang-orang mukmin atas dasar hak agama dan orang-orang Muhajiri atas dasar hak berhijrah, sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam kitab oleh Allah dan diwajibkanNya ke atas hamba-hambaNya.

Sebagaimana yang diketahui orang-orang mukmin pada permulaan Islam di Madinah selalu waris mewarisi harta pusaka berlandaskan ikatan persaudaraan yang dijalinkan oleh Nabi antara kaum Ansar dan Muhajirin. Ianya  bukanlah atas dasar hubungan kerabat. Kerana kaum Ansar tidak pernah pernah ada pertalian darah dengan Muhajirin.

Dengan dasar jalinan persaudaraan yang dibuat oleh nabi, maka seseorang dari Muhajirin akan dapat memperolehi pusaka dari seorang Ansar , sekalipun mereka tidak ada hubungan kerabat ataupun pertalian darah. Mereka mewariskan harta pusaka sesama mereka semata-mata karena hubungan persaudaraan yang telah dijalin oleh Nabi.

Hubungan semacam itu dilakukan Nabi adalah kerana orang-orang Muhajirin yang baru pindah dari Mekah ke Madinah dalam keadaan miskin, kerana mereka tidak sempat membawa harta benda mereka dari Mekah, sedangkan orang-orang Ansar sebagai penduduk asli Madinah tentu sewajarnya menjadi penolong-penolong kaum Muhajirin yang miskin ini. Waktu itu tugas utama orang-orang mukmin ialah untuk menguat persatuan antara kaum Muhajirin dengan kaum Ansar untuk menghadapi musuh yang selalu mencari kesempatan untuk menghancurkan mereka.

Menguat dan menyatukan hubungan antara Muhajirin dan Ansar adalah salah satu jalan untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Maka Nabi saw menguat hubungan itu dengan menjalinkan persaudaraan kaum Muhajirin dengan kaum Ansar. Persaudaraan itu dijadikannya sama dengan persaudaraan yang berdasar atas pertalian kerabat, sehingga antara Muhajirin dan Ansar dapat waris mewarisi harta pusaka mereka.

“....Adalah yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Allah)..”
Allah menyatakandi sini bahwa hukum mengutamakan pemberian hak kepada orang yang berkerabat dan mempunyai pertalian darah itu adalah datangnya dari Allah, yang telah ditetapkanNya di dalam kitab suci Al Quran. Maka tidak boleh lagi diubah atau ditukar hukumnya.

Okay, dengan turunnya ayat ini, maka hubungan kekerabatan yang tidak ada pertalian darah yang terjalin di antara kaum Ansar dan Muhajirin telah terbatal. Jadi dengan turunnya ayat ini maka puak Muhajirin tidak boleh lagi mewarisi harta pusaka dari kaum Ansar yang tidak ada pertalian darah dengan mereka.

Perlu diingat bahwa pada masa Nabi membuat peraturan jalinan persaudaraan di antara kaum Ansar dan Muhajirin dahulu sebelum turunnya ayat ini, itu adalah masa darurat bagi mengukuhkan keududukan Islam di sana. Jadi bila Islam sudah kukuh dan kaum yang miskin telah terbela, maka Allah telah menurunkan ayat ini pula untuk membetulkan semuanya mengikut hak masing-masing.






Al Ahzab Ayat 7

وَإِذْ أَخَذْنَا مِنَ النَّبِيِّينَ مِيثَاقَهُمْ وَمِنْكَ وَمِنْ نُوحٍ وَإِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۖوَأَخَذْنَا مِنْهُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا
7 - Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian dari nabi-nabi dan dari kamu (sendiri), dari Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putera Maryam, dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang teguh

Di sini Allah sebutkan pula berkenaan dengan tabligh. Allah menyatakan bahwa sebelum seorang nabi memikul tugasnya, terlebih dahulu mereka akan membuat perjanjian dengan Allah, bahwa mereka akan menyampaikan kepada umat masing-masing apa yang telah mereka terima dari Allah. Semuanya harus disampaikan, tidak boleh disembunyikan.

Nabi-nabi yang disebutkan di dalam ayat ini ialah nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad sendiri. Mereka ini Allah beri perhatian dan tekankan di dalam ayat ini kerana merekalah yang lebih banyak menerima dugaan dan tentangan dari kaum mereka sendiri. Maka Allah bagitahu bahwa kelima-lima nabi ini  harus bertahan dengan penderitaan, harus bersabar dan tabahkan hati. Disebabkan dugaan mereka yang hebat semasa menyebarkan syariat Islam maka kelima-lima mereka ini digelar sebagai Ulul Azmi Minar Rusuli, yang dianggap sebagai mempunyai tugas yang lebih berat berbanding nabi-nabi yang lain.

“.....dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang teguh..”
Hujung ayat ini Allah menjelaskan lagi tentang keterangan di awal ayat tentang perjanjian itu. Bahwa perjanjian yang diambil itu bukanlah ringan, melainkan amat berat. Dengan demikian agar kita dapat mengambil iktibar dan pengajaran bahwasanya pekerjaan dan tugas semua nabi-nabi itu bukanlah tugas yang ringan.

Menyampaikan dakwah bukanlah tugas yang dijalankan sambil lewa saja. Bahkan ianya menghadapi tentangan dan kekerasan dari kaum mereka sendiri. Telah kita tadabur dulu bahawa Nabi Yunus sendiri telah berkecil hati dengan sikap kaumnya yang tidak mahu menerima ajarannya, sehinggakan beliau merajuk pergi meninggalkan tugas. Lalu ditimpalah kepadanya ujian yang berat, iaitu dilemparkan beliau ke laut untuk meringankan isi kapal yang ia tumpang. Lalu setelah itu ditelan pula oleh si ikan.

Nabi Musa sendiri seketika mengatakan bahwa dirinyalah yang paling pintar dan pandai di zamannya, beliau disuruh pergi belajar dengan Nabi Khidir. Nabi Zakariya ketika kepalanya mulai digergaji oleh kaumnya yang zalim, belaiu hendak memekik merintih kesakitan, telah ditegur oleh malaikat Jibril, agar penderitaan itu ditanggungnya dengan tidak mengeluh dan merintah. Subhanallah.






Al Ahzab Ayat 8

لِيَسْأَلَ الصَّادِقِينَ عَنْ صِدْقِهِمْ ۚوَأَعَدَّ لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا أَلِيمًا
8 - agar Dia menanyakan kepada orang-orang yang benar tentang kebenaran mereka dan Dia menyediakan bagi orang-orang kafir siksa yang pedih.

Allah kelak akan bertanya kepada orang-orang jujur, yang mahu menjawab dengan betul, adakah nabi-nabi menyampaikan risalah masing-masing dengan jujur? Umat tiap-tiap nabi itu akan ditanya, adakah Nabi-nabi itu melakukan tugas mereka dengan baik? Adakah risalah tidak disampaikan kepada mereka? Semuanya tentu akan menjawab sejujurnya , bahwa kewajipan itu telah nabi-nabi lakukan dengan sebaik-baiknya, tidak ada yang ketinggalan lagi.

Sesudah orang-orang yang jujur itu menjawab dengan sejujurnya, barulah Allah akan mengambil tindakan sepertimana dijelaskan di dalam ayat ini, “dan Dia menyediakan bagi orang-orang kafir siksa yang pedih.”

Dengan menanyakan terlebih dahulu kepada orang-orang jujur ini adalah supaya Allah tidak akan menjatuhkan azab seksaan secara aniaya kepada sesiapa saja. Orang-orang yang benar-benar bersalah lah yang akan dihukum. Maka apabila Allah menjatuhkan hukuman semata-mata dengan adil dan orang yang dijatuhkan azab pun tidak akan dapat mengatakan bahwa dia teraniaya. Dia pun akan mengakui bahwa azab yang diterimanya itu adalah patut.









Al Ahzab Ayat 9

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ الَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا ۚوَكَانَ الَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا
9 - Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan ni`mat Allah (yang telah dikaruniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentara-tentara, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin topan dan tentara yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan adalah Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Di dalam ayat ini Allah mengingatkan kembali akan nikmat dan kurnia Allah dan pertolongan besar yang Allah telah berikan kepada mereka, sebagai hamba-hambaNya yang beriman. Iaitu ketika  kota Madinah hendak diserbu oleh tentera bersekutu Ahzab, iaitu golongan yang bersepakat hendak menghancurkan Islam yang baru tumbuh. Maka datanglah tentera demi tentera , iaitu pada bulan Syawal tahun kelima Hijrah,

Asal mula timbulnya rancangan hendak menyerbu kota Madinah ini ialah dari kalangan pembesar Yahudi Bani Nadhir yang dahulunya telah diusir Nabi dari Madinah kerana Nabi mendapat tahu mereka telah bermuafakat untuk membunuh nabi ketika nabi datang menziarahi kampung mereka di pinggir kota Madinah. Jadi sebahagian mereka telah pun berpindah ke Khaibar.

Kerana sakit hati, maka pergilah mereka iaitu Salam bin Abil Haqiq dan Salam bin Misykam serta Kinanah bin Rabi ke kota Mekah menemui musyrikin Mekah untuk menghasut mereka supaya menyertai mereka menyerang Kota Madinah. Orang Quraisy tertarik dengan ajakan itu dan terus menyiapkan bala tentera mereka. Lalu mereka pergi pula kepada Kabilah Arab Ghathafan. Mereka hasut pula puka Ghathafan itu supaya menyertai mereka menyerang Madinah. Oleh kerana para musyrikin Quraisy pun telah menyertai pasukan itu dengan dipimpin oleh Abu Sufyan, maka puak Ghathafan itu pun bersetuju untuk ikut serta. Mereka juga telah menyediakan tentera dan kelengkapan yang besar. Maka jumlah gabungan ketiga-tiga puak ini telah menghasilkan jumlah tentera yang besar iaitu 10 ribu orang.

Maka dengan anjuran dari Salman Al Farisi, Rasulullah memerintahkan agar menggali parit di sebelah bahagian timur kota Madinah, iaitu kawasan yang landai yang mudah untuk diserang musuh. Dengan kerja keras, parit itu telah dibina dengan begitu besar sehingga tidak upaya untuk dilompat oleh musuh, walaupun dengan kuda. Parit itu telah digali dan dikerjakan siang malam bertungkus lumus oleh semua penduduk Madinah termasuk Rasulullah sendiri pun ikut bekerja. Baginda turut menggali tanah dan mengangkutnya, sehingga menimbulkan semangat berlipat ganda pada para sahabat dan penduduk Madinah semuanya.  

Lalu datanglah bala tentera musuh berkhemah di sebelah timur, dekat dengan Bukit Uhud di juga di bahgian-bahagian lain di dataran yang lebih tinggi. Jumlah mereka yang besar itu telah menyebabkan mereka telah berada di sepanjang dataran tinggi di situ dan hampir mengelilingi Madinah. Sementara kaum muslimin Madinah pula yang hanya terdiri dari 3 ribu orang saja dipimpin oleh Rasulullah sendiri, mereka menunggu menghadapi musuh dengan membelakangi bukit-bukit Sala’. Pertahanan mereka adalah parit itu saja yang memang sukar untuk dilalui, baik dari tentera berjalan kaki mahupun yang berkenderaan.

Sementara di sebelah agak timur ataupun di tenggara dari kota Madinah itu, di sebalik bukit Uhur ada sebuah perkampungan orang Yahudi iaitu Bani Quraizah. Sejak Rasulullah berhijrah ke Madinah mereka telah memeterai janji bahwa mereka tidak akan membantu musuh yang datang hendak menyerang Madinah , bahkan akan sama-sama mempertahankan kaum musilimin di Madinah. Dan begitu juga kaum muslimin Madinah juga akan mempertahankan Bani Quraizah dari diserang musuh. Jadi ketika Madinah dikepung ketika itu, mereka telah berdiam diri kerana mengingati janji Rasulullah.

Tetapi Huyay bin Akhtab, salah seorang dari pembesar mereka sendiri yang telah berpindah ke Khaibar telah datang menemui Bani Quraizah dan memujuk mereka agar memungkiri janji dengan RAsulullah itu. Menurut Huyay, sekaranglah waktunya untuk menghancurkan Rasulullah. Jadi Bani Quraizah pun menyiapkan bala tenteranya yang seramai 800 orang itu.

Berita tentang Bani Quraizah berpaling tadah itu telah sampai ke pengetahuan Rasulullah. Segera baginda utuskan kepada mereka sahabat yang setia dari kalangan Ansar, yang ada hubungan baik dengan Bani Quraizah iaitu Saad Bin Muaz. Namun sudah terlambat. Mereka sudah tidak mahu mendengar lagi pujukan dari Saad. Bani Quraizah sudah pun membuat keputusan untuk bergabung dengan pasukan Ahzab juga.

Bergabunglah ketiga-tiga puak itu menjadi satu pasukan Ahzab yang besar. Mengepung baginda nabi dan orang-orang mukmin di Madinah. Dan ianya berlangsung dengan mengepung begitu selama sebulan lamanya. Tidak ada peperangan secara fizikal kerana pasukan Ahzab tidak dapat melepasi parit yang besar yang telah dibina pihak mukmin. 

Hampir sebulan lamanya tentera bersekutu itu tergendala di luar Madinah, tidak dapat maju ke depan kerana terhalang oleh parit besar yang mengelilingi kota Madinah, tiba-tiba datanglah hembusan angin dari timur yang sangat kuat melanda, sehingga keadaan yang tadinya aman telah menjadi kacau bilau kerana habis semua khemah-khemah musuh diterbangkan angin. Habis semua roboh. Hendak menghidupkan api untuk melegakan kesejukan pun tidak dapat. Ianya segera dihembus oleh angin yang kuat dan kencang  lagi sejuk itu. Ada kalanya debu dan pasir berterbangan mengenai dan mengaburi penglihatan tentera musuh. Khemah-khemah yang ditegakkan dengan kuat juga seolah-olah ditarik dan tercabut habis oleh angin yang kuat itu. Sehinggakan persediaan musuh menjadi kucar kacir.

Ini semuanya terjadi pada malam hari.Maka dengan hati yang sangat marah, Abu Sufyan sebagai panglima perang tentera Quraisy terus menaiki tunggangan kudanya lalu berkata mengarahkan kepada tentera-tentera Quraisy supaya berangkat meinggalkan tempat itu segera. Kerana semua persiapan perang sudah musnah ditiup angin kencang. Maka berangkatlah mereka pulang ke Mekah semuanya.

Maka kalahlah mereka sebelum bertempur. Inilah yang disebutkan Allah di hujung ayat 9 ini, “  lalu Kami kirimkan kepada mereka angin topan dan tentara yang tidak dapat kamu melihatnya.” Maksudnya bahwa pada masa yang demikian cuaca telah menjadi salah satu yang memberikan pertolongan untuk mencapai kemenangan. Lalu di akhir ayat Allah berfirman “Dan adalah Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.”

Di dalam ilmu perang moden pun masih menitikberatkan soal geografi dan keadaan cuaca. Maka sebagai panglima perang, seseorang itu harus mengetahui dan berikhtiar sendiri langkah-langkah yang harus dilakukan bersesuaian dengan keadaan bentuk muka bumi lokasi perang tersebut dan juga cuaca yang mereka bakal hadapi.

Itulah tafsir di hujung ayat bahawa ALLAH pun akan senantiasa melihat bagaimana caranya manusia mengadakan persiapan dan persediaan dalam menghadapi musuhnya. Kita melihat bahawa Nabi saw. telah mengadakan persediaan yang tidak langsung dijangka oleh musuh-mu­suh sejak mula lagi, iaitu mengadakan parit pertahanan atau khandaq.

Adanya khandaq itu telah memporak-porandakan strategi musuh. Mereka yang tadinya menye­diakan bekalan misalnya untuk seminggu ataupun dua minggu, rupa-rupanya harus memakan masa lebih dari yang dijangka, iaitu telah memakan masa hampir satu bulan.

Dan ada satu lagi strategi penting yang lain, yang dalam peperangan pun menjadi bahagian yang tidak boleh diabaikan. Iaitu helah mengucar ­kacirkan persiapan musuh dengan politik pecah-belah. Sebab sudah nyata bahawa tiga kelompok musuh yang telah bersatu, yang tenteranya tidak kurang dari 10.000 orang, gabungan Quraisy dan Ghathfaan, kemudian menggabung pula Yahudi Bani Quraizhah dengan 800 tentera, bukanlah jumlah yang kecil .

Seorang penduduk Mekah bernama Nu'aim bin Mas'ud dengan secara sembunyi telah datang menemui Rasulullah menyatakan bahawa dirinya mulai saat itu telah masuk Islam, namun pihak musuh belum ada yang tahu. Dia meminta titah perintah dari Rasulullah agar memberitahu kepadanya apa yang dapat dia lakukan untuk membantu pasukan mukmin di dalam perang itu.

Lalu Rasulullah menerimanya dengan gembira , kerana sebagai Rasul Allah yang penuh firasat , sudah dapat baginda baca pada wajah Nu'aim bahawa dia memang telah Islarn sungguh - sungguh. Lalu baginda pun  memberi arahan kepadanya. Pertama hendaklah dia rahsiakan bahawa dia telah masuk Islam. Dia diperintahkan menemui pihak musuh satu demi satu dan berusaha memecahkan gabungan persekutuan mereka .

Nabi berkata bahwa Nu’am itu seorang diri, tetapi Nu’am boleh membuat lebih banyak kalau dia sanggup, untuk menghancurkan kekuatan musuh.  Ingatlah bahawa : PERANG MEMPUNYAI BERBAGAI TIPU DAYA ! .

Nu’aim pun berjanji akan melaksanakan perintah Rasulullah dengan sebaik-haiknya .Maka yang terlebih dahulu di temuinya ialah Bani Quraizah. Di zaman dia masih Jahiliyah dia mempunyai hubungan yang baik dengan Bani Quraizah.  Sebab itu kedatangannya telah dipercayai oleh mereka. Nu’am telah menggunakan kepandaian memujuk dan mempengaruhi pihak Bani Quraizah untuk mempercayai bahwa sekiranya mereka berperang,  kaum Quraisy dan Ghathfaan tidak sama keadaannya dengan mereka. Negeri ini negeri mereka Di sini harta benda mereka dan anak-anak kalian dan isteri-isteri mereka..

Jadi mereka tidak akan dapat memindahkan hartabenda mereka  ke tempat lain. Tetapi Quraisy datang kemari pergi memerangi Muhammad . Lalu mereka berkawan dengan puak Quraisy untuk memerangi Nabi Muhammad pula. Sedang Quraisy dan Ghathfaan bukan orang sini. Negeri, harta-benda dan anak isteri puak Quraisy dan Ghathfaan berada ditempat jauh , bukan seperti mereka. Kalau Quraisy dan Ghathfaan menang dapatlah mereka mengambil harta-benda Nabi Mu­hammad.

Tetapi kalau mereka kalah dalam peperangan puak Quraisy dan Ghathfaan akan segera meninggalkan tcmpat ini , sedangkan mereka akan ditinggalkan menghadapi sendiri Nabi Muhammad yang telah mereka musuhi itu. Kalau demikian jadinya tidaklah mereka akan sanggup menghadapi Muhammad. Sebab itu dengan jujur Nu’am nasihatkan kepada Bani Quraizah supaya meminta jaminan dari bangsawan bangsawan puak Quraisy dan Ghathfaan, minta  sebagai jaminan bahawa jika mereka berperang dengan Nabi Muhammad, puak Quraisy tidak akan meninggalkan dan mengecewakan mereka. Saranan Nu'aim itu rupanya termakan oleh mereka dan mereka berkata pun bersetuju.

Setelah itu Nu’am pergi menemui kaum Quraisy pula. Lalu dia berkata kepada Abu Sufyan dan orang-­orang yang dikelilingnya, Strategi yang sama digunakan iaitu memberitahu kepada kaum Quraisy bahwa pihak Bani Quraizah sudah mahu berpaling tadah. Mereka telah mengirim utusan kepada Nabi Muhammad menyatakan mereka menyesal atas perbuatan khianat itu. Mereka menawarkan kepada Nabi Muhammad: orang-orang dari dari kaum Quraisy dan Ghathfaan sebagai bayaran supaya Nabi Muhammad dapat memotong leher orang-orang itu.  Kemudian mereka akan berganding bahu dengan kaum Mukmin Madinah untuk  memusnahkan Quraisy dan Ghathfaan yang masih tinggal.

Lantaran itu Nu’am memberitahu mereka kalau ada utusan Bani Quraizah itu datang mengirim utusan meminta orang-orang tengah sekali-kali jangan kalian beri, walau seorang pun. Setelah nampak hilang kepercayaan Quraisy kepada Yahudi Bani Quraizah itu Nu'aim pun melanjutkan siasatnya pula kepada Ghathfaan.

Setelah bertemu , lalu diuraikannya pula perkataan yang dikatakan kepada Quraisy itu , iaitu bahawa Yahudi Bani Quraizah telah merasa menyesal mengkhianati Muhammad . Tanda penyesalannya dia menjanjikan kepada Muham­mad akan mengirim beberapa orang dr Quraisy dan Ghathfaan untuk dipotong leher mereka oleh Muhammad. Sebab itu kalau ada Bani Quraizah itu meminta orang tengah jangan diterima.

Maka pada lima hari bulan Syawal tahun kelima hijriyah itu , dengan taqdir ALLAH Quraisy di bawah Abu Sufyan dan Ghathfaan dibawah pimpinan pembesar-pembesarnya telah mengutus 'Ikrimah bin Abi Jahl bersama dengan beberapa orang yang lain menemui Bani Quraizah. Utusan itu menyampaikan bahawa mereka tidak akan lama tinggal di sini kerana persediaan dan bekalan sudah hampir habis. Sebab itu mereka mendesak Bani Quraizah supaya bersedia memasuki medan perang sehingga selesai urusan mereka  dengan Nabi Muhammad .

Lalu Bani Quraizhah menjawab bahawa pada hari Sabtu mereka tidak mungkin keluar pergi berperang. Kalau mereka langgar peraturan itu, mereka akan dapat celaka . Dan mereka tidak akan segera saja masuk ke medan peperangan kalau pihak Quraisy dan Ghathfaan tidak memberikan jaminan kepada mereka bahawa pihak Quraisy dan Ghathfaan tidak akan meninggalkan mereka.

Jaminan itu ialah orang-orang yang akan dapat mereka anggap sebagai orang tengah. Kerana mereka takut bila peperangan ini kalah, maka puak Quraisy dan Ghathfaan akan scgera meninggalkan mereka menghadapi sendiri tentera Nabi Muhammad itu . Kalau terjadi demikian sudah tentu mereka tidak sanggup.

Helah dan strategi Nu'aim sangat berhasil. Persekutuan telah pecah. Rasa percaya mempercayai di antara yang bersekutu sudah mulai longgar. Baru  tiga minggu saja , kepungan sudah mulai goyah dan khandaq tidak dapat mereka seberangi .

Musim dingin kian lama kian mendatang. Dingin di Madinah terkenal sampai kepada zaman kita ini. Dingin yang dicampuri oleh hembusan angin keras dari timur. Angin itu akan berhembus di telinga berdengung-dengung dan kering , sehingga kulit akan jadi pecah merekah.

Dalam pada itu pula Rasulullah saw. melancarkan strategi helah yang kedua , iaitu memujuk Ghathfaan dan beberapa qabilah untuk menyuruh mereka pulang saja. Untuk mereka akan diberi hadiah kenang-kenangan sepertiga hasil kurma Madinah.

Kerana Rasulullah s.a.w . tahu benar bahawa Ghathfaan ini ikut berperang bukanlah kerana suatu cita-cita yarrg hendak dipertahankan. Tetapi adalah kerana ingin mendapat harta rampasan sekiranya mereka mendapat kemenangan menyerang Madinah.





Al Ahzab Ayat 10


إِذْ جَاءُوكُمْ مِنْ فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ الْأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِالَّهِ الظُّنُونَا
10 - (Yaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika kacau bilau lagi penglihatan (mu) dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka.

Inilah yang dibayangkan oleh Huzaifah bin Alyaman: "Di dalam itu kami duduk berbaris di tempat pertahanan kami berjaga-jaga. Abu Sufyan di tempat yang tinggi di atas kami, sementara Bani Quraizah di sebelah bawah kami ; yang kami takuti mereka akan menyerang mengganggu anak-anak kami. Malam itu sangat gelap dan angin berhembus keras sekali. Suara angin menderu-deru seperti petir layaknya, sehingga jika diangkat jari-jari ke muka tidaklah akan kelihatan.

Untuk penangkis dingin dan sejuk itu saya menyelimuti badan dengan kain selimut yang diserahkan isteri saya , itu pun tidak sampai penutup lutut. Tiba-tiba datanglah Rasulullah ke dekatku , sedang saya duduk berkelumun kedinginan. Lalu Rasulullah bertanya: " Siapa ini ? " Saya menjawab: "Huzaifah !". Lalu saya bersikap dengan baik di hadapan beliau. Beliau bertanya sekali lagi : "Huzaifah?" "Benar, ya Rasul ALLAH!", jawabku. Lalu beliau memberikan perintah : "Kamu pergi sekarang juga mengintip kaum itu. Selidiki sebaik-baiknya dan bawa khabarnya kepadaku". "Baik!", jawabku.

Padahal saya sangat ketakutan pada waktu itu untuk mendatangi mereka di sana tambahan saya juga dalam  kedinginan. Lalu Rasulullah menadahkan tangannya ke langit memohonkan perlindungan ALLAH untuk diriku. Tiba-tiba hilang takutku dan timbul beraniku. Dan beliau memesankan pula supaya aku berhati-hati jangan berbuat sesuatu yang mencurigakan dan kelak setelah mengetahui keadaan supaya segera kembali.

Aku pun keluar dalam kelam gelap gelita itu menuju tempat mereka berkumpul. Aku dapat melihat seorang yang tubuhnya tinggi besar mendekatkan kedua telapak tangannya kepada api unggun yang masih hidup , lalu diusap ke mukanya. Dia sedang menyampaikan kehendak hatinya kepada pengikut-pengikutnya, bahwa peperangan ini tidak berjaya, semua bekalan sudah habis , lebih baik segera saja pulang ke Mekah. Melihat dia asyik berkata-kata demikian aku pun mengeluarkan anak panah dan sudah aku sandarkan kepada busurnya , hendak kupanah dia di bawah nyala api itu .

Tetapi aku teringat pesan Rasulullah, bahwa aku tidak boleh berbuat sesuatu sebelum aku pulang kepada beliau memberikan berita. Ketika itu aku belum tahu bahwa orang itulah yang Abu Sufyan. Kerana teringat akan pesan Rasulullah saw. itu maka panahku aku kembalikan ke dalam sarongnya , lalu aku beranikan diriku dan aku masuk ke tengah-tengah askar itu. Kebetulan aku masuk ke tengah-tengah Banu 'Amir. Sebab tidak lama aku ada di tengah-tengah mereka terdengarlah pemimpin mereka berseru: "Hai Banu 'Amir ! Segera kita berangkat ! Segera kita berangkat! kita tidak dapat lagi berhenti larma-lama di sini ".

Kata Huzaifah selanjutnya: "Memang aku dengar suara angin yang keras bertiup sehingga menerbangkan pasir-pasir dan batu-batu kerikil menimbuni alat-alat persiapan dan hamparan khemah mereka , bahkan seluruh angin ribut yang kencang itu telah memukul mereka."

Setelah melihat keadaan yang demikian , Huzaifah pun kembalilah kepada Nabi saw. lalu menceritakan segala yang terjadi, bahwa angin ribut yang sangat keras itulah membuat musuh-musuh itu kacau bilau dan mereka mulai meninggalkan tempat itu.

Itulah : yang dimaksud dalam permulaan ayat 10 ini iaitu “  (Yaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu,” Maksudnya bahwa musuh telah mengepung dari segenap pihak. Iaitu Quraisy yang datang dari sebelah selatan dan hendak mengepung dari sebelah selatan, Ghathfaan datang dari sebelah timur dan Yahudi Bani Quraizah pun telah belot dan khianat akan janjinya.

“.....dan ketika kacau bilau lagi penglihatan (mu)...”
Maksudnya  bahawa kerana musuh itu telah mengancam dari segala pihak seakan-akan tertutuplah penglihatan , ke arah mana akan dihadapkan perhatian, padahal musuh telah mengepung dari segala pihak. Akan dihadapi yang datang dari sebelah Selatan, yaitu orang Quraisy, namun bahaya Ghathfaan tidak kurang dari itu. Akan dihadapi Ghathfaan dan Quraisy, tapi takut pula kalau-kalau Bani Quraizah bangkit menyerbu.

Ditambah lagi dengan jumlah musuh setelah bergabung tidak kurang dari 10.000 atau 11.000 orang. Sedangkan kaum Muslimin hanya sekitar 3000 orang saja, atau mungkin kurang. Itulah yang dimaksudkan dengan kacau bilau penglihatan, sekejap ke sini, sekejap ke sana, entah ke mana hendak akan ditujukan perhatian.

Dan kalau sekiranya musuh yang 10.000 itu bersatu teguh di dalam satu pimpinan , kemungkinanlah akan hancur pertahanan Madinah waktu itu. Tetapi disebabkan kelemahan mereka yang tidak boleh bersatuu, dan masing-masing tidak benar-benar percaya mempercayai maka goyahlah pertahanan mereka.

“dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka”
Inilah kalimah yang tepat untuk menggambarkan rasa panik, kecemasan dan kekacauan fikiran. Iaitu yang terdapat dalam kalangan orang-orang yang bertahan di Madinah itu. Pada saat yang demikian itu boleh dikatakan penduduk Madinah mulai panik , mulai kacau fikiran. Timbullah berbagai persangkaan terhadap ALLAH.








Al Ahzab Ayat 11 

هُنَالِكَ ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا زِلْزَالًا شَدِيدًا
Di situlah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang sangat.

Allah menyebutkan betapa hebatnya cubaan yang sedang melanda perasaan penduduk Madinah. Dan ini merupakan ujian kepada orang-orang mukmin. Dari situlah dapat diketahui siapa yang ikhlas dan siapa yang munafik berpura-pura, siapa yang kuat imannya dan siapa yang mudah bergoncang untuk keluar dari agama Islam kerana melihat banyaknya bilangan musuh yang mengepung mereka.

Di ujung ayat 10 di atas dikatakan bahwa timbul berbagai sangkaan terhadap Allah. Ada sangkaan yang buruk dan ada sangkaan yang baik. Memang pada segala zaman di mana saja saat-saat demikian menyebabkan penglihatan menjadi berpinar-pinar kekacauan , hati pula menyesak ke kerongkongan . Suasana panik berterusan.








Al Ahzab Ayat 12


وَإِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ مَا وَعَدَنَا الَّهُ وَرَسُولُهُ إِلَّا غُرُورًا
Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata: "Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya".

Orang-orang yang munafik itu, yaitu yang masuknya ke dalam Islam hanya semata-mata kerana mengharapkan keuntungan benda, melihat Islam kuat dan kalau menang perang mereka akan mendapat harta rampasan , dan kalau ternyata kaum Muslimin lemah, mereka pun bimbang, disertai pula oleh orang-orang Yang ada penyakit dalam jiwanya, yaitu penyakit ragu-ragu, hati tidak tetap , pengecut , turut-turutan dan tidak ada rasa tanggungjawab , yang mereka mahu hanyalah keenakan hawa nafsu saja; maka orang-orang yang seperti itu akan memandang bahwa apa yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul itu hanyalah semata-mata tipuan semata-mata.

Mereka tidak percaya akan apa yang dikatakan Nabi! Mereka berfikir, mana yang akan menang! Cubalah kita lihat, 10.000 musuh telah mengepung orang mukmin, sedangkan bilangan orang mukmin tidak sampai pun sepertiga mereka. Jadi bagi mereka RAsulullah hanyalah bermimpi saja untuk menang. Mereka tidak yakin dengan kuasa Allah.







Al Ahzab ayat 13 Dan 14


وَإِذْ قَالَتْ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ يَا أَهْلَ يَثْرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمْ فَارْجِعُوا ۚوَيَسْتَأْذِنُ فَرِيقٌ مِنْهُمُ النَّبِيَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوْرَةٌ وَمَا هِيَ بِعَوْرَةٍ ۖإِنْ يُرِيدُونَ إِلَّا فِرَارًا
13 - Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Hai penduduk Yatsrib (Madinah), tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu". Dan sebahagian dari mereka minta izin kepada Nabi (untuk kembali pulang) dengan berkata: "Sesungguhnya rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga)". Dan rumah-rumah itu sekali-kali tidak terbuka, mereka tidak lain hanyalah hendak lari.

وَلَوْ دُخِلَتْ عَلَيْهِمْ مِنْ أَقْطَارِهَا ثُمَّ سُئِلُوا الْفِتْنَةَ لَآتَوْهَا وَمَا تَلَبَّثُوا بِهَا إِلَّا يَسِيرًا
14 - Kalau (Yatsrib) diserang dari segala penjuru, kemudian diminta kepada mereka supaya murtad, niscaya mereka mengerjakannya; dan mereka tiada akan menunda untuk murtad itu melainkan dalam waktu yang singkat.

Kata “Yathrib” dalam ayat ini adalah Kota Madinah. Nabi saw melarang menamakan Madinah itu dengan nama Yathrib, kerna erti Yathrib itu adalah ‘mencaci dan mencela’. Tetapi orang-orang munafik sengaja menyebut Yathrib untuk menyalahkan Nabi Muhammad walaupun asalnya nama itu diberikan oleh seseorang di zaman dahulu kala yang menetap di situ.

Di sini Allah menyatakan bahwa golongan orang munafik seperti Abdullah bin Ubay dan rakan-rakannya telah berkata “Hai penduduk Yathrib, negeri ini tidak sesuai lagi untuk kamu tinggal, dan pergilah kamu kembali ke perkampungan kamu, supaya terselemat dari bencana perang.”

Terdapat pula satu golongan dari orang-orang munafik yang membuat helah tidak mahu berperang. Mereka minta izin kepada Nabi saw hendak pulang ke rumah iaitu dari Bani Harithah. Kononnya rumah mereka terdedah oleh musuh atau pencuri-pencuri kerana tidak ada penjaga yang mengawal rumah mereka. Padahal mereka hanya berdusta tetapi mereka menyembunyaikan tipu helah mereka.

Tujuan meminta izin atau kebenaran pulang itu tidak lain kerana hendak melarikan diri dari peperangan bersama-sama Rasulullah saw dan tidak mahu menolong orang-orang mukmin. Inilah menunjukkan betapa lemahnya hati mereka.

Dan Allah menggambarkan perangai kaum munafik yang hina ini di dalam ayat 14  bahwa jika sekiranya musuh-musuh yang ramai itu masuk ke dalam kota Madinah, menyerang kaum mukmin dari segala penjuru, yang terfikir dalam hati mereka kaum munafik ini bukanlah hendak mempertahankan kota mereka dan harta benda mereka dengan gagah berani. Tetapi sebaliknya mereka akan turut mengalu-alukan kedatangan musuhnya. Mereka akan segera menyesuaikan diri mereka. Bahkan jika dituntut berbuat fitnah , akan segera mereka lakukan. Jika ditanyakan misalnya di mana Muhammad atau para pengikutnya bersembunyi, mereka akan bersedia menunjukkan tempat persembu­nyian itu. Jika disuruh tunjukkan di mana tempat simpanan senjata atau bekalan, mereka akan segera menghantarkan ke tempat itu.

Bahkan jika mereka disuruh menyatakan diri mereka untuk kernbali menjadi kafir , di saat itu juga mereka akan menyatakan untuk sedia jadi kafir. Mereka tidak akan bertangguh untuk berfikir lagi. Terus mereka akan kata mereka sanggup.

Pendekata pegangan mereka terhadap agama sangatlah lemah, laksana berpegang kepada sehelai benang yang rapuh, sekali rentap walaupun perlahan nescaya akan terputus dan terlepas mereka dari agama. Ini menunjukkan bahwa keimanan mereka tidak kuat, tidak berkesan di hati, kerna tidaksangup menghadapi bermacam-macam kesusahan dan penderitaan, maka tidak hairanlah kalau mereka meminta kebenaran untuk pulang ke rumah itu tujuannya adalah hendak melarikan diri dari medan perang.

Oleh kerana terlampau cemas dan takut, yang memang telah merayap di dalam hati, ditambah pula dengan niatnya yang busuk dengan menyembunyikan pula sifat munafik, maka itulah yang menyebabkan mereka mudah benar belot dan berbalik kepada agama mereka yang lama walaupun musuh belum pun menyerang lagi. Hanya sekadar menakut-nakutkan saja. Tapi mereka sudah kecut dan nak cabut lari.







Al Ahzab Ayat 15 Dan 16

وَلَقَدْ كَانُوا عَاهَدُوا الَّهَ مِنْ قَبْلُ لَا يُوَلُّونَ الْأَدْبَارَ ۚوَكَانَ عَهْدُ الَّهِ مَسْئُولًا
15 - Dan sesungguhnya mereka sebelum itu telah berjanji kepada Allah: "Mereka tidak akan berbalik ke belakang (mundur)". Dan adalah perjanjian dengan Allah akan diminta pertanggungan jawabnya.

قُلْ لَنْ يَنْفَعَكُمُ الْفِرَارُ إِنْ فَرَرْتُمْ مِنَ الْمَوْتِ أَوِ الْقَتْلِ وَإِذًا لَا تُمَتَّعُونَ إِلَّا قَلِيلًا
16 - Katakanlah: "Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri dari kematian atau pembunuhan, dan jika (kamu terhindar dari kematian) kamu tidak juga akan mengecap kesenangan kecuali sebentar saja".

Orang-orang yang berdalih serta mencari tipu helah seperti mereka ini, mereka dahulunya sudah pun pernah melarikan diri dari peperangan Uhud dahulu ketikamana mereka bertembung dengan pihak musuh. Tetapi kemudian Allah telah menerima taubat mereka ketika mereka bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi lagi kesalahan yang seperti itu. Meeka juga berjanji tidak akan melanggar perjanjian yang mereka buat bersama-sama dengan Rasulullah di medan perang.

Maka di dalam ayat ini Allah kata bahwa orang yang telah berjanji setia dengan Allah itu pada hari kiamat akan ditanya samada mereka telah menunaikan perjanjian mereka ataupun tidak. Dan nantinya mereka akan diberikan balasan.

Jadi Allah menyuruh Rasulullah mengatakan kepada orang-orang yang meminta kebenaran untuk pulang sebagai helah untuk melarikan diri dari medan perang ini, bahwa tidak ada gunanya mereka melarikan diri kerana takutkan mati umpamanya. Ini kerana kematian itu pasti akan datang menemui mereka di mana-mana jua. Tak kiralah walau mereka berada di rumah mereka sendiri ataupun mereka tewas di medan perang, sebab takdir itu apabila sudah ditetapkan pasti akan berlaku juga. Mati akan tetap berlaku. Dan ia tidak akan ditangguh walaupun orang itu melarikan diri.

Walaupun mereka beruntung kerana berjaya melarikan diri dari medan perang ini yang mereka sifatkan untuk elakkan dari kematian, tetapi mereka hanya merasakan kesenangan dapat terlepas dari perang itu sementara saja. Sebenarnya hidup itu bagai seseorang walaupun seberapa lama, adalah dikira sangat pendek waktunya. Dan umur itu lambat laun akan habis juga dimakan oleh perjalanan minit dan saat samada sedikit ataupun banyak.






Al Ahzab Ayat 17

قُلْ مَنْ ذَا الَّذِي يَعْصِمُكُمْ مِنَ الَّهِ إِنْ أَرَادَ بِكُمْ سُوءًا أَوْ أَرَادَ بِكُمْ رَحْمَةً ۚوَلَا يَجِدُونَ لَهُمْ مِنْ دُونِ الَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
Katakanlah: "Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (takdir) Allah jika Dia menghendaki bencana atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?" Dan orang-orang munafik itu tidak memperoleh bagi mereka pelindung dan penolong selain Allah.

Maksud ayat ini adalah untuk menjelaskan bahwa dalam hal serupa ini hendaklah mereka ingat benar-benar bahwa mereka kini berhadapan dengan ketentuan Alalh sendiri. Bahwasanya kekusaan tertinggi adalah pada Allah mutlak semata-mata. Kalau mereka lari mereka pasti akan bertemu dengan bencana, dan tidak seorang pun yang dapat melindungi mereka dari bencana yang telah ditentukan Allah itu.

Tetapi jika mereka tegak di atas barisan kebenaran, berjuang menegakkan Islam bersama Rasulullah, maka pastilah Allah kaan menurunkan rahmatNya. Tidak seorang pun atau tidak ada sesuatu pun yang dapat menghambat rahmat itu dari diturunkan Allah kepada mereka.

“Dan orang-orang munafik itu tidak memperoleh bagi mereka pelindung dan penolong selain Allah.”
Inilah pedoman hidup di dalam setiap perjuangan. Pelindung dan Penolong insan yang sejati hanyalah Allah. Lain tidak ada. Kalau keyakinan begini telah ada, nescaya manusia akan mendapat kelegaan untuk menghadapi ujian di dunia. Dan dalam tiap langkah yang diatur kita akan tidak merasa bimbang. Yang benar dan yang diredhai Allah pasti Dia yang melindungi dan menolongnya.







Al Ahzab Ayat 18


قَدْ يَعْلَمُ الَّهُ الْمُعَوِّقِينَ مِنْكُمْ وَالْقَائِلِينَ لِإِخْوَانِهِمْ هَلُمَّ إِلَيْنَا ۖوَلَا يَأْتُونَ الْبَأْسَ إِلَّا قَلِيلًا
18 - Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang menghalang-halangi di antara kamu dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: "Marilah kepada kami." Dan mereka tidak mendatangi peperangan melainkan sebentar.

Allah masih menujukan ayat ini kepada kaum munafik yang suka sangat menjadi tukang hasut dan tukang fitnah, lempar batu sembunyi tangan. Kalau ada orang yang berbuat baik mengikut Nabi Muhammad akan segera mereka menghalangnya. Mereka ini menyangka bahwa perangai buruk mereka itu tidak akan diketahui. Maka di permulaan ayat ini telah dijelaskan bahwa Allah sendirilah yang Maha Tahu lebih dahulu kejahatan yang mereka lakukan.

Bila orang-orang munafik ini melihat orang yang agak terpencil bersendirian, atau dilihat berada dalam keadaan ragu-ragu, orang itu akan mereka panggil, diajak menuruti saranan mereka, diajak berpakat dengan mereka untuk menjatuhkan Nabi Muhammad saw. Mereka akan menyatakan kekesalan kerana menuruti Nabi Muhammad. Jadi lebih baik mereka tinggalkan saja Nabi Muhammad yang tidak membawa apa-apa kesenangan pun kepada mereka. Itulah provokasi secara senyap mereka.

Mereka ini menampakkan diri mereka di medan perang sekejap saja. Tidak lama. Asalkan kelihatan saja. Asalkan orang tahu yang mereka ada di situ. Ini kerana hati mereka tidak terhadap ke situ. Yang mereka harapkan bukannya kemenangan agama Allah tetapi harta benda semata. Yang mereka harapkan ialah mereka datang sekejap ke medan perang untuk menunjukkan muka, dan sekiranya terjadi kemenangan, mereka juga akan dapat menuntut bahagian mereka dari harta rampasan itu kelak.









Al Ahzab Ayat 19

أَشِحَّةً عَلَيْكُمْ ۖفَإِذَا جَاءَ الْخَوْفُ رَأَيْتَهُمْ يَنْظُرُونَ إِلَيْكَ تَدُورُ أَعْيُنُهُمْ كَالَّذِي يُغْشَىٰ عَلَيْهِ مِنَ الْمَوْتِ ۖفَإِذَا ذَهَبَ الْخَوْفُ سَلَقُوكُمْ بِأَلْسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى الْخَيْرِ ۚأُولَٰئِكَ لَمْ يُؤْمِنُوا فَأَحْبَطَ الَّهُ أَعْمَالَهُمْ ۚوَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى الَّهِ يَسِيرًا
19 - Mereka bakhil terhadapmu apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pingsan karena akan mati, dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk berbuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapuskan (pahala) amalnya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.


“Mereka bakhil terhadapmu “
Kalau diminta kepada mereka untuk mengorban harta benda mereka untuk perbelanjaan perjuangan, mereka enggan untuk mengeluarkannya. Dan kalau  diminta kepada mereka untuk menyumbangkan tenaga, juga mereka akan melangkah pergi dari situ seolah-olah tidak tahu. Inilah salalh satu ciri dari sifat orang munafik.

“....apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pingsan karena akan mati,..”
Di dalam susunan ayat ini jelas sekali digambarkan kelemahan peribadi mereka ini. Jika mereka men­dengar berita yang menakutkan, misalnya terdengar bahawa musuh telah masuk menyelinap masuk ke kota, dan sebentar lagi akan menawan kota, akan dapat dilihat bahwa mereka itu berada di dalam penuh rasa ketakutan, memandang kepada Nabi Muhammad.

Ini kerana orang-orang itu mempunyai jiwa yang kerdil, peribadi yang sangat kecil, tidak mempunyai nilai diri sama sekali, bila terdengar saja hal yang membuat mereka takut, mereka pandang mata Nabi dengan pandangan yang penuh ketakutan. Ungkapan "terbalik-balik" mata mereka, atau terbelalak mata mereka memandang Nabi.

Di saat yang seperti demikian jelas sekali bahawa mereka tidak tahu apa yang akan mereka lakukan, sedangkan mereka sangat takut akan mati. Jika ingat akan mati itu, rasanya seakan diri mereka mahu pengsan kerana tersangat takut dan pengecutnya. Di saat genting demikian jelas sekali bahawa dalam hati kecil si munafiq itu, mereka  mengakui juga bahawa yang dapat menghadapi hal yang menakutkan itu hanyalah Nabi saw.!

“...dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk berbuat kebaikan... “
Apabila bahaya itu sudah reda atau sudah lepas mungkin kerana bahaya itu tidak sebesar yang ditakutkan oleh si munafiq yang jiwa kecil itu, atau telah disapu bersih oleh keberanian kaum yang beriman di bawah pimpinan Nabi saw.; mereka bersikap sombong dan membangga-banggakan jasa dan keberanian di medan pertempuran padahal semua itu adalah dusta belaka dan kata-kata kosong yang menyakitkan hati. Seakan-akan merekalah orang-orang yang berperang mati-matian sampai kemenangan tercapai, padahal semua yang mereka katakan itu adalah dusta belaka.

Demikianlah, ketika bahaya masih ada mereka jadi pengecut, menjauh dan berdiam diri,  serba serbi ketakutan. Mereka biarkan orang yang mengatasi bahaya itu berjuang setengah mati. Dan kalau bahaya telah terlepas, barulah mereka membuka mulut mengata-ngata orang yang telah pergi, mencela orang yang bekerja keras. Lalu mereka membela diri, mengemu­kakan berbagai alasan mengapa mereka selama ini berdiam diri. Bahawa berdiam diri mereka itu adalah suatu strategi.

Dalam ayat dijelaskan juga sebabnya. Iaitu kerana mereka bakhil, enggan berbuat baik. Pendirian hanya sekadar mementingkan diri sendiri atau keuntungan benda yang nyata. Lebih dari itu tidak ada! Mereka tidak mahu bersusah-payah. Mereka tidak mempunyai cita-cita yang tinggi dalam hidup. Tidak mempunyai keberanian moral.

“Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapuskan (pahala) amalnya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”
Mereka ini tidak beriman kerana kurang keyakinan terhadap Allah dan rasulNya. Sedikit pun tidak terkesan dan berbekas di hati mereka. Selagi tiada kepercayaan mereka , maka selama itu mereka beramal tidak akan tulus dan tidak akan ada keikhlasan. Apa yang merka kerjakan hanyalah semata-mata pura-pura.

Oleh sebab itu Allah hapuskan semua amalan mereka, dan hilangkan semua balasan serta pahala, sehingga amalan mereka itu seumpama debu saja yang diterbangkan angin tidak ada gunanya. Mudah saja bagi Allah untuk tidak mengira dan tidak akan mengambil tahu apakah amalan mereka baik perlu diberi pahala dan balasan atau sebaliknya. Kerana Allah akan menghukum dengan adil, dan keadilanNya itu menyebabkan orang-orang munafiq kempunan untuk mendapat faedah atau memperoleh sebarang kebaikan.






Al Ahzab Ayat 20

يَحْسَبُونَ الْأَحْزَابَ لَمْ يَذْهَبُوا ۖوَإِنْ يَأْتِ الْأَحْزَابُ يَوَدُّوا لَوْ أَنَّهُمْ بَادُونَ فِي الْأَعْرَابِ يَسْأَلُونَ عَنْ أَنْبَائِكُمْ ۖوَلَوْ كَانُوا فِيكُمْ مَا قَاتَلُوا إِلَّا قَلِيلًا
Mereka mengira (bahwa) golongan-golongan yang bersekutu itu belum pergi; dan jika golongan-golongan yang bersekutu itu datang kembali, niscaya mereka ingin berada di dusun-dusun bersama-sama orang Arab Badwi, sambil menanya-nanyakan tentang berita-beritamu. Dan sekiranya mereka berada bersama kamu, mereka tidak akan berperang, melainkan sebentar saja.

Ini pun adalah salah satu ciri perangai munafiq juga. Meskipun musuh-musuh itu telah pergi, kerana telah hampir sebulan mereka melakukan kepungan namun hasilnya sama sekali tiada. Lalu mereka pun meninggalkan tempat itu kerana diusir oleh tentera yang tidak kelihatan, iaitu angin kencang yang sejuk,  namun si pengecut masih belum percaya bahwa musuh itu telah pergi. Mereka menyangka bahwa musuh masih bersatu mengepung Madinah.

Maka jiwa orang yang menyangka bahwa golongan-golongan bersekutu (Al-Ahzaab) masih ada dan belum meninggalkan ke­pungan terhadap Madinah, dan mereka masih bersembunyi, samalah dengan laki-laki yang tidak mempunyai semangat laki-laki sejati sampai bersembunyi di bawah katil dan disaksikan oleh seorang perempuan di hadapan musuh bahwa orang yang bersembunyi itu bukanlah laki-laki sejati.

“.....dan jika golongan-golongan yang bersekutu itu datang kembali, niscaya mereka ingin berada di dusun-dusun bersama-sama orang Arab Badwi, sambil menanya-nanyakan tentang berita-beritamu…”
Kalau pasukan musuh yang bersatu itu ditakdirkan menyerang orang-orang Islam Madinah sekali lagi, kalau boleh mereka ingin saja lari dan kembali ke kampung halaman mereka untuk tinggal bersama penduduk desa yang jauh dari kota Madinah. Supaya mereka tidak mengalami kesusahan dan kesukaran dan bersama-sama orang-orang Islam.  Dan memadai bagi mereka untuk hanya bertanya khabar dan berita apa yang telah berlaku kepada orang-orang Islam di Madinah menerusi orang yang balik ke kampung dari Madinah. Dengan demikian teranglah sudah betapa pengecut dan lemahnya semangat perjuangan orang-orang munafiq itu.

“....Dan sekiranya mereka berada bersama kamu, mereka tidak akan berperang, melainkan sebentar saja.”
Orang-orang munafiq itu walaupun kehidupan mereka ada tinggal bersama-sama orang Islam di masa yang lama, tetapi hakikatnya hati mereka tidaklah sama seperti orang-orang Islam yang lain yang ikhlas memperjuangkan Islam. Dan sungguhlah di dalam peperangan ini pun mereka hanya sekedar hadir untuk memperl­ihatkan diri saja, asal jangan tidak sama sekali. Kerana kalau peperangan itu menang, mereka mengharap dapat bahagian juga dari harta rampasan.

Sebagaimana yang diketahui tidaklah pernah terjadi golongan-golongan musuh yang telah bersekutu itu masuk ke dalam kota Madinah. Sebab angin puting beliung, atau angin kencang itu telah menghabiskan dan menghapuskan mereka dari lembah sebelah Timur kota Madinah sebelum mereka dapat berbuat apa-apa. Allah telah mengirim tenta­ranya, terutama angin itu sendiri. Cuaca telah menjadi salah satu senjata strategi yang ditakdirkan Allah untuk menghapuskan rencana kaum yang kafir itu.

Di dalam ayat 11 di atas tadi sudah dinyatakan bahawa semuanya ini adalah suatu ujian, atau bala bencana yang menimpa diri kaum yang beriman. Mereka telah digempakan, telah goncangkan, dengan goncangan yang amat sangat.

Tetapi dalam ayat 20 yang tersebut di atas Tuhan telah membongkarkan keadaan jiwa-jiwa manusia dan perangai mereka sebenarnya, kelema­han mereka dan ketakutan mereka. Di saat-saat huruhara dan genting seperti itulah akan ternyata bagaimana sebenarnya sikap jiwa dari setiap orang.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.