Tuesday, December 1, 2015

Surah As Sajdah Ayat 17 - 30









As Sajdah Ayat 17
فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Seorangpun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu (bermacam-macam ni`mat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.

Allah menyebutkan keadaan orang-orang mukmin yang merendah diri kepada Allah itu, tentang balasan yang akan mereka terima kelak. Allah kata bahawasanya tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui akan betapa betapa besarnya balasan yang akan mereka terima. Ianya merupakan cahaya mata yang sangat menyenangkan lagi menakjubkan, dan menjadi kurnia yang sengaja dirahsiakan sehingga tidak dapat hendak digambarkan betapa senangnya apabila orang-orang yang beriman itu menerimanya.  

Sudah tentulah orang-orang yan beriman ini akan menerima pahala yang setimpal dan kurniaan syurga yang indah kepada mereka. Tetapi untuk mengetahui berapa banyak pahala yang mereka perolehi dan seindah mana syurga yang bakal mereka kecapi, tidaklah ada seorang pun yang mengetahuinya. Tidak malaikat mahupun nabi yang mengetahui akan keagungan nikmat dan keindahan syurga yang tiada taranya, yang selama ini disembunyikan oleh Allah dari para hambaNya. Di saat mereka menyembunyikan amal perbuatan mereka, maka Allah pun menyembunyikan juga pahala mereka. Ini merupakan balasan yang setimpal kerana besar kecilnya balasan adalah diukur dari jenis dan ragam amal perbuatan itu sendiri.

al Hasan Al Bashri berkata,”sekelompok manusia menyembunyikan amal perbuatannya, maka Allah pun menyembunyikan kepada mereka syurga yang belum pernah dilihat mata dan belum pernah terdetik di hati manusia.” Diriwayatkan oleh Ibnu Hatim.

Oleh kerana orang-orang yang beriman ini telah bermaal soleh dengan sembunyi maka pahala yang menyenangkan hati mereka juga sengaja Allah sembunyikan dan rahsiakan pula dari pengetahuan mereka.










As Sajdah Ayat 18 Hingga 20

فَمَنْ كَانَ مُؤْمِنًا كَمَنْ كَانَ فَاسِقًا لَا يَسْتَوُونَ
18 - Maka apakah orang yang beriman seperti orang yang fasik (kafir)? Mereka tidak sama.

أَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ جَنَّاتُ الْمَأْوَى نُزُلًا بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
19 - Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, maka bagi mereka surga-surga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang telah mereka kerjakan.

وَأَمَّا الَّذِينَ فَسَقُوا فَمَأْوَاهُمُ النَّارُ كُلَّمَا أَرَادُوا أَنْ يَخْرُجُوا مِنْهَا أُعِيدُوا فِيهَا وَقِيلَ لَهُمْ ذُوقُوا عَذَابَ النَّارِ الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ تُكَذِّبُونَ
20 - Dan adapun orang-orang yang fasik (kafir), maka tempat mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak ke luar daripadanya, mereka dikembalikan (lagi) ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka: "Rasakanlah siksa neraka yang dahulu kamu mendustakannya".

Allah mengkhabarkan tentang keadilan dan kemuliaanNya. Allah menjelaskan bahwa pada hari kiamat kelak, tidaklah sama dari segi hukum dan balasan yang akan diterima antara orang yang beriman kepada ayat-ayat Allah dan mengikut para Rasul dengan orang yang fasik yang keluar dari ketaatan kepada Allah dan mendustakan rasulNya. Perbezaan antara keduanya adalah begitu terang dan jelas sekali bagi orang yang mempunyai akal fikiran.  

Adalah sangat jauh bezanya kerana orang-orang beriman ini kelak akan menerima balasan pahala dan nikmat syurga semasa di akhirat nanti. Orang-orang yang beriman ini akan menjadi tetamu terhormat dengan ditempatkan di dalam syurga yang bernama Jannatul Mawa iaitu taman perkebunan yang indah dan permai, yang menjadi kediaman yang sungguh menyenangkan , sebagai pembalasan bagi orang-orang yang berbuat baik semasa di dunia.

Sedangkan orang-orang yang fasik pula yang jahat perangainya disebabkan mengingkari Allah serta melakukan pelbagai dosa, mereka itu akan dimasukkan ke dalam neraka untuk berehat di sana, iaitu tempat yang seburuk-buruknya.

Manakala orang-orang kafir pula yang telah dibayangkan di dalam ayat 20 ini betapa sengsaranya mereka di dalam neraka. Setiap kali mereka mencuba untuk keluar kerana tidak tahan tinggal di dalam neraka dengan menyangka merka dapat keluar dengan mudah, maka tiap kali itulah pula mereka direnggut untuk dikembalikan dan dimasukkan semula ke dalam neraka.

Al Fudhail bin Iyadh bekata, “Demi Allah! Sesungguhnya tangan-tangan mereka dirantai dan kaki-kaki mereka dibelenggu. Sungguh, api neraka yang menyala itu nescaya akan melahap mereka. Dan para malaikat akan memukul bahagian atas mereka.”

“.....dan dikatakan kepada mereka: "Rasakanlah siksa neraka yang dahulu kamu mendustakannya".”
Mereka akan dicaci dan dicerca dengan kata-kata yang menambahkan lagi seksa dan sengsara mereka. Suara yang mencela mereka itu mengatakan, ‘rasakanlah seksa neraka ini, yang kamu dustakan di dunia dahulu. ‘ Sebenarnya Alalh telah menyediakan neraka ini bagi orang yang syirik.









As Sajdah Ayat 21 dan 22

وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَى دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
21 - Dan sesungguhnya Kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat); mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar).

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَا إِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ مُنْتَقِمُونَ
22 - Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya? Sesungguhnya Kami akan memberikan pembalasan kepada orang-orang yang berdosa.

Kesengsaraan di akhirat ini sebenarnya ada pendahuluannya. Iaitu orang-orang yang kufur itu terlebih dahulu akan menerima seksa di dunia, seperti ditimpa bermacam-mcam penyakit, menderita bahaya kelaparan dan mengalami pembunuhan. Umpamanya mengikut riwayat Ibnu Abbas : orang-orang kafir Mekah telah dilanda  bahaya kelaparan selama 7 tahun sehingga terpaksa memakan bangkai binatang, tulang-tulang dan anjing. Dan mengikut Ibnu Mas’ud pula mereka banyak yang telah mengalami kekalahan dan dibunuh di medan peperangan Badar.

Semua seksa ini untuk menjadi pengajaran bagi mereka di dunia, agar mahu meninggalkan dosa yang telah mereka lakukan, sebelum mereka akan ditimpakan dengan seksaan yang lebih besar lagi iaitu seksaan di hari kiamat di mana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam.

Mudah-mudahan dengan sebab menginsafi adanya jenis seksaan di dunia dan di akhirat ini, mereka dan kita juga khususnya akan kembali bertaubat kepada Allah, lalu meninggalkan kejahatan yang pernah dilakukan dan menukarkannya dengan kebaktian dan amal soleh.

Maka tidak ada lah yang lebih zalim dan lebih aniaya daripada mereka yang telah diberikan peringatan oleh Allah dan diberikan penjelasan tentang ayat-ayat Alalh, namun setelah itu mereka buat-buat tak peduli. Mereka meninggalkannya, mengingkari dan berpaling darinya serta melupakannya. Seolah-olah mereka tidak pernah mendengarnya.  

Inilah orang-orang yang telah membuat aniaya terhadap dirinya sendiri. Kerana kelak nanti di akhirat, Allah akan menimpakan seksa yang besar kepada mereka, disebabkan oleh dosa-dosa mereka mengengkari Allah.

Qatadah berkata, “jauhilah sikap berpaling dari mengingati Allah, kerana barangsiapa yang berpaling dari mengingatiNya, nescaya ia telah terpedaya oleh penipuan yang sangat besar. Ia telah mengalami kemiskinan spiritual yang sangat dahsyat dan melakukan satu dosa besar.”










As Sajdah Ayat 23
وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ فَلَا تَكُنْ فِي مِرْيَةٍ مِنْ لِقَائِهِ وَجَعَلْنَاهُ هُدًى لِبَنِي إِسْرَائِيلَ
23 - Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa Al Kitab (Taurat), maka janganlah kamu (Muhammad) ragu-ragu bertemu dengannya (Nabi Musa) dan Kami jadikan Al Kitab (Taurat) itu petunjuk bagi Bani Israil.

Allah mengkhabarkan tentang rasul-rasulNya. iaitu Nabi Musa alaihissalam dan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Bahwa kitab suci Al Quran itu telah dianugerahkan kepada Nabi Muhammad saw dan tidak ada keraguan lagi yang ianya memang datang dari Allah. Begitulah juga dengan kitab Taurat. Kitab Taurat dianugerahkan kepada nabi Musa juga datangnya daripada Allah.

Jadi makanya Allah telah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa dan Allah juga menurunkan wahyuNya kepada Nabi Muhammad. Maka janganlah hendaknya mereka itu menaruh keraguan untuk beriman kepadanya. Kitab Taurat adalah menjadi petunjuk kepada kaum Bani Israel sebagaimana kitab Al Quran diturunkan kepada kaum Nabi Muhammad juga sebagai petunjuk.
“....maka janganlah kamu (Muhammad) ragu-ragu bertemu dengannya (Nabi Musa)..”
Mengenai ayat ini Qatadah berkata  bahwa maksud Allah di dalam ayat ini adalah pertemuan Nabi Muhammad dengan Nabi Musa pada malam diisra’kan Nabi Muhammad. “  

Diriwayatkan sebuah hadis dari Abdullah bin Abbas, ia berkata, RAsulullah saw bersabda: “pada malam aku diisra’kan aku melihat Musa bin Imran. Ia seorang lelaki yang tinggi tegap dan berambut ikal. Dia seakan-akan berasal dari Syanuu-ah (satu kabilah yang terkenal di negeri Arab). Dan aku melihat Isa alaihissalam, berperawakan sedang dan berkulit merah keputih-putihan dengan rambut yang lurus. Aku pun melihat Malaikat Malik, penjaga pintu neraka dan Dajjal.”

Dalam rangkaian tanda-tanda kebesaran Allah yang Dia perlihatkan kepada RasulNya itu, Allah telah berfirman dengan ayat ini. Sesungguhnya Rasulullah telah melihat dan bertemu Nabi Musa pada malam diisra’kannya beliau. (Riwayat al Bukhari no. 3239, dan Muslim no. 165)






As Sajdah Ayat 24 Dan 25

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
24 - Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
25 - Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang memberikan keputusan di antara mereka pada Hari Kiamat tentang apa yang selalu mereka perselisihkan padanya.

Allah menjadikan kaum Bani Israel itu beberapa orang pemimpin ke arah kebaikan, untuk dicontohi. Merka itu ialah para nabi daripada kalangan kaum Bani Israel ataupun orang-orang ayng menjadi pengikut mereka, untuk memberi petunjuk kepada manusia supaya mentaati Alalh dengan perintahNya.

Mereka ini telah bersabar semasa menerima ujian dan penindasan daripada musuh-musuh mereka iaitu Firaun dan bala tenteranya di negeri Mesir dan mereka pula yakin terhadap keterangan-keterangan yang dsampaikan Allah melalui rasulNya.

Maka nantinya, hanya Allah saja yang berhak mengadili perkara-perkara yang berkaitan dengan agama, pahala dan seksa yang telah mereka lalui semasa di dunia dahulu. Orang-orang yang benar dan beramal baik akan dimasukkan ke dalam syurga. Begitu pula orang-orang yang dusta dan beramal buruk, akan bakal merasai azab seksa di neraka.   









As Sajdah Ayat 26 Dan 27

وَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنَ الْقُرُونِ يَمْشُونَ فِي مَسَاكِنِهِمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ أَفَلَا يَسْمَعُونَ
26 - Dan apakah tidak menjadi petunjuk bagi mereka, berapa banyak umat-umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan sedangkan mereka sendiri berjalan di tempat-tempat kediaman mereka itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Tuhan). Maka apakah mereka tidak mendengarkan (memperhatikan)?

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا نَسُوقُ الْمَاءَ إِلَى الْأَرْضِ الْجُرُزِ فَنُخْرِجُ بِهِ زَرْعًا تَأْكُلُ مِنْهُ أَنْعَامُهُمْ وَأَنْفُسُهُمْ أَفَلَا يُبْصِرُونَ
27 - Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahwasanya Kami menghalau (awan yang mengandung) air ke bumi yang tandus, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanam-tanaman yang daripadanya (dapat) makan binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri. Maka apakah mereka tidak memperhatikan?

Di sini Allah mengulangi kembali menyebutkan perkara keesanNya itu, dengan memberikan dalil. Llau Allah bertanya kepada orang-orang musyrikin, apakah mereka ini memang tidak pernah diberikan keterangan yang benar? Keterangan apa? Keterangan tentang mala petaka yang menimpa kaum terdahulu akibat dari kedegilan mereka sendiri?  

Betapa umat-umatnya yang dahulunya sedang leka, sedang bersenang lenang bersukaria di tempat tinggal mereka, tiba-tiba dibinasakan oleh Allah dengan turunnya bermacam-macam mala petaka menimpa mereka sebagai azab dan seksa. Sehingga tidak ada lagi yang tinggal hanyalah bekas-bekas runtuhan kota. Ini sepertimana yang terjadi kepada kaum Thamud, kaum Ad dan kaum Nabi Lut.

Jadi kaum Nabi Muhammad ini iaitu kaum yang selepasnya, hanyalah akan melihat bekas tinggalan dari runtuhannya saja. Semua penduduk yang hidup di zaman itu yang kufur semuanya telah dimusnahkan oleh Allah. Tidak ada satu pun yang tinggal.  

Maka bukankah bekas-bekas tinggalan itu semua dapat mereka saksikan sendiri dengan mata kepala mereka , dan berita tentang malapetaka ini pernah mereka dengari? Kenapa mereka masih tidak mahu mengambil pengajaran?

Sesungguhnya Allah lah yang berkuasa mendatangkan bencana dan kebinasaan kepada sesuatu umat. Disebutkan pula di ayat 27 ini tentang kekuasaanNya untuk menghidupkan dan mendatangkan kemakmuran kepada sesuatu umat yang lain.

Setelah Allah megadakan bumi yang kering dan kosong tidak ada tumbuh-tumbuhan maka setelah itu Allah mengirimkan pula air, baik dari langit mahupun dari aliran sungai yang datang dari tempat yang tinggi menuju ke tempat yang memerlukannya. Bumi segera menjadi lembap dan basah setelah disirami hujan ataupun setelah dialiri dari sungai. Lalu tumbuhlah tanam-tanaman yang segar dan dapat hidup dengan subur. Sehingga tanaman itu yang berupa rumput, daun-daun dan bijian dapat pula dimakan oleh binatang-binatang ternakan, dan buah-buahan juga dapat dimakan oleh penduduk bumi itu sendiri.

Jadi mengapakah merka tidak mahu memerhatikan dengan mata dan akal yang waras mereka sendiri akan semua kejadian ini? Dan memikirkan betapa ajaibnya kekuasaan dan nikmat yang Allah berikan? Sepatutnya mereka tahu bahwa ALLAH lah yang berkuasa menjadikan semua ini. Berkuasa menghidupkan orang yang sudah mati dan membangkitkan semula dari kubur, dan tubuh mereka dapat dikembalikan berkeadaan seperti semula sebelum mereka mati.






As Sajdah Ayat 28 Hingga 30

وَيَقُولُونَ مَتَى هَذَا الْفَتْحُ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
28 - Dan mereka bertanya: "Bilakah kemenangan itu (datang) jika kamu memang orang-orang yang benar?"

قُلْ يَوْمَ الْفَتْحِ لَا يَنْفَعُ الَّذِينَ كَفَرُوا إِيمَانُهُمْ وَلَا هُمْ يُنْظَرُونَ
29 - Katakanlah: "Pada hari kemenangan itu tidak berguna bagi orang-orang kafir iman mereka dan tidak (pula) mereka diberi tangguh."

فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَانْتَظِرْ إِنَّهُمْ مُنْتَظِرُونَ
30 - Maka berpalinglah kamu dari mereka dan tunggulah, sesungguhnya mereka (juga) menunggu.

Orang-orang kafir ini mereka meminta agar disegerakan dijatuhkan seksaan Allah ke atas mereka. Mereka minta disegerakan untuk ditimpakan kemurkaan dan azab Allah  ke atas mereka. Permintaan itu adalah semata-mata untuk mengejek orang-orang mukmin dan mereka menyangka bahwa seksaan Allah itu adalah mustahil untuk diadakan. Jadi mereka mengemukakan permintaan ini adalah semata-mata untuk mendustakan dan mengingkari kebenaran.

Mengikut riwayat, ada seorang sahabat nabi saw ada mengatakan kepada orang-orang kafir Mekah, bahwa sesungguhnya kaum mukmin ini ada mempunyai hari di mana mereka nanti akan hidup bersenang lenang dan berehat di waktu itu. Sebabnya ialah akan diadakan perbicaraan dan hukuman di antara orang mukmin dengan orang kufur. Maka orang mukmin akan menang.

Maka orang-orang kafir Mekah itu pun mengejek, bertanyakan bilakah kemenangan itu jika mereka betul-betul orang yang benar. Maksudnya di sini ialah menang dalam perbicaraan. Atau menang dengan tertakluknya kota Mekah. Atau menang dalam peperangan Badar. Sebabnya ialah kerana Nabi s.a.w. pernah mengatakan kepada orang-orang kafir Mekah, “sesungguhnya Allah itulah yang menolong kami dan memenangkan kami ke atas kamu.” maka orang-orang kafir itu mengejek, bertanya bilakah datangnya kemenangan itu.

Yang jelasnya, orang-orang kair itu mengejek-ngejek kebenaran perkhabaran itu, dan menganggap perkara hari kiamat itu jauh dari benar. Maka Allah pun menyuruh katakan kepada RasulNya dan menjawab ejek-ejekan mereka dengan firmanNya di ayat 29 yang bermaksud “Katakanlah: "Pada hari kemenangan itu tidak berguna bagi orang-orang kafir iman mereka dan tidak (pula) mereka diberi tangguh."

Maksudnya katakan kepada mereka orang-orang kafir itu, apabila mereka ditimpa bencana dan seksa Allah, baik di dunia semasa terbunuh mahupun di akhirat semasa dibangkitkan nanti, pada masa itu tidak ada gunanya lagi untuk mereka hendak beriman, atau menyatakan keimananan mereka. Ini kerana akan sia-sia saja.

Begitu juga tidak ada gunanya lagi semasa mereka ditimpakan seksa dan azab, barulah mereka nak meminta tangguh. Mereka tidak akan diberi tangguh walaupun mereka kata mereka akan bertaubat dan meminta ampun. Ini kerana masanya sudah tamat. Sudah habis.

Kemudian Allah mengakhiri surah ini dengan menyuruh rasulNya nabi Muhammad saw agar jangan menghiraukan ancaman orang-orang kafir itu dengan firmanNya di ayat terakhir yang bermaksud : “ Maka berpalinglah kamu dari mereka dan tunggulah, sesungguhnya mereka (juga) menunggu.

Janganlah hendaknya nabi Muhammad mempedulikan mereka itu. Sebaliknya teruskanlah tugas berdakwah menyampaikan perutusan Allah kepada umat yang ada. Kemudian tunggulah apa yang akan diperlakukan oleh Allah kepada mereka yang engkar itu, iaitu yang berupa seksa bencana. Sesungguhnya mereka juga akan menunggunya. Dan kelak akan ditemui apa yang dijanjikan Allah kepada mereka.

Allah pasti akan menolong orang-orang yang beriman untuk mengalahkan mereka. Dan sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

Ada sebuah hadis riwayat Al Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a. berkata, “adalah Rasulullah s.a.w. itu semasa sembahyang fajar Jumaat, baginda membaca Surah AsSajdah dan juga membaca surah Ad Dahar.

At Tirmizi meriwayatkan dari Jabir, “bahwasanya Nabi s.a.w. tidak akantidur sehingga baginda membaca surah As Sajdah dan membaca surah Al Mulk.”

Dan Towus pula mengatakan, “kedua-dua surah tersebut, surah As Sajdah dan Al Mulk diutamakan dari semua surah yang ada dalam Al Quran yakni mempunyai kelebihan sebanyak 70 kebajikan.” Demikian diriwayatkan dalam hadis At Tirmizi. Wallahua’lam. Allah sajalah yang lebih mengetahui akan maksudnya, dan mengetahui akan rahsia kitabNya.

Alhamdulillah, dengan inayah Allah swt , khatamlah sudah tadabbur surah As Sajdah dengan serba kekurangan, ianya adalah dari admin sendiri dan semua kelebihan dan kesempurnaannya hanya pada Allah jua. 







No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.