Wednesday, December 9, 2015

Surah Al Ahzab Ayat 21 - 30







Al Ahzab ayat 21

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ الَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو الَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ الَّهَ كَثِيرًا
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.

Di antara penduduk di Madinah itu memang ada orang yang telah bergoncang fikirannya, kacau bilau perasaan hatinya, jiwanya jadi stress yang teramat, ada juga orang yang pengecut, munafiq, tidak berani bertanggungjawab, kiranya sudah bersedia hendak lari menjadi badwi kembali ke dusun-dusun, tenggelam dalam ketakutan melihat jumlah yang besar tentera musuh yang akan menyerang.

Namun begitu, masih ada lagi orang-orang yang mempunyai pendirian tetap, yang tidak putus harapan, tidak kehilangan akal yang waras. Ini kerana mereka telah melihat sikap dan tingkah laku pemimpin besar mereka sendiri iaitu Rasulullah saw.

Mulai saja baginda menerima berita tentang maksud musuh yang besar bilangannya itu datang hendak menyerang Madinah, baginda terus bersiap sedia mencari idea untuk mempertahankan kota Madinah. Baginda telah mendengar nasihat dari Salman Al Farisi agar menggali parit ataupun dipanggil khandaq untuk menghalang kemaraan tentera musuh. Nasihat Salman itu segera baginda nabi laksanakan. Malah baginda sendiri yang memimpin menggali parit bersama-sama sahabat-sahabat baginda. Dan ianya dituruti oleh semua penduduk Madinah akhirnya menggali parit.

Untuk menimbulkan kegembiraan bekerja siang dan malam menggali tanah, menghancurkan batu batu yang merentangi , baginda telah memikul tanah galian dengan bahunya sendiri. Sehinggakan tanah yang dipikul baginda mengalir turun bersama keringat baginda di atas rambut baginda. Semuanya itu dikerjakan oleh sahabat-sahabat baginda dengan gembira dan bersemangat. Ini kerana baginda nabi sendiri telah kelihatan gembira dan bersemangat melakukan tugas itu. Sehinggakan bekerja, bergotong royong menggali tanah menyekap pasir, memukul batu sambil bernyanyi gembira dengan syair-syair gembira gubahan Abdullah bin Rawahah.



Syair-syair itu dilagukan dengan gembira. Maka sambil mengangkat tanah, memikul batu, memecah batu besar, mereka menyanyikan syair gubahan Abdullah bin Rawahah bersama-sama. Tetapi Abdullah bin Rawahah penyair muda dari Madinah ini, kemudiannya telah mencapai syahidnya dalam peperangan Mu’tah bersama Jaafar bin Abu Talib dan Zaib bin Harithah.

Maka janganlah kita samakan RAsulullah saw yang memimpin penggalian parit khandaq itu dengan pembesar-pembesar, menteri-menteri di zaman kini ketika meletakkan batu asas hendak mendirikan gedung baru, bangunan baru, menggunting riben ketika merasmikan sesebuah syarikat ataupun pejabat, atau kedai. Dan janganlah kita samakan Rasulullah dengan pemimpin kita yang turut serta bersembahyang di mesjid untuk sesuatu upacara. Ianya berlainan sama sekali. Rasulullah ini adalah betul-betul pemimpin. Betul-betul seorang pejuang. Jauh sangat beza pemimpin kita dan juga pemimpin-pemimpin lain dengan baginda.

Dalam peperangan Khandaq itu semuanya bekerja keras siang malam. Dari mula bekerja menggali parit, sesudah itu berjaga siang dan malam. Besar dan kecil, tua dan muda. Kanak-kanak dan perempuan perempuan dipelihara dalam benteng (Athaam) dan dikawal. Zaid bin Tsabit, yang kemudian terkenal sebagai salah seorang yang dititahkan oleh Khalifah Rasulillah Abubakar Shiddiq mengumpulkan Al-Qur'an dalam satu mush-haf dan masih sangat muda, turut pula bekerja keras, menggali tanah, memikul pasir, dan memecahkan batu. Rasulullah pernah mengatakan bahwa Zaid Bin Tsabit ini adalah seorang anak yang baik.

Rupanya oleh kerana tersangat lelah bekerja dan berjaga, dan hari sangat dingin, Zaid masuk ke dalam parit itu dan sampai di sana dia tertidur dan senjatanya terlepas dari tangannya. Datang seorang pemuda lain bernama 'Ammarah bin Hazem, diambilnya senjata yang telah terjatuh itu dan disimpannya. Setelah dia terbangun dari tidurnya dilihatnya senjatanya tak ada lagi. Dia pucat terkejut dan cemas.

Seketika tibalah Rasulullah di tempat itu. Setelah beliau lihat Zaid baru terbangun dari tidurnya, berkatalah beliau:
"Hai Abaa Ruqaad! (Hai Pak Penidur), engkau tertidur dan senjatamu terbang!" Tetapi wajah beliau tidak membayangkan marah sedikit juga, sehingga Zaid bertambah takut disertai malu. Lalu beliau melihat keliling dan berkata pula: "Siapa yang menolong menyimpan senjatanya?" 'Ammarah menjawab: "Saya yang menyimpannya, ya Rasul Allah!" Lalu beliau suruh segera kembalikan senjata Zaid dan beliau bernasi­hat pula kepada 'Ammarah didengar oleh yang lain: "Saya buat seorang Muslim jadi cemas dengan menyembunyikan senjatanya sebagai senda gurau".

Suasana memimpin yang seperti itu adalah teladan yang baik kepada Panglima Perang yang mengerahkan tenteranya ke medan pertempuran. Baginda tahu benar bahawa Zaid itu anak baik. Tertidur kerana sudah sangat lelah, bukanlah hal yang dapat dilawannya. Sambil bergurau saja baginda menegur, namun kesannya kepada Zaid besar sekali. Inilah antara sifat-sifat Rasulullah yang dapat dijadikan suri teladan kepada seluruh umat manusia.

“.....bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
Di permulaan ayat sudah dijelaskan bahwa pada diri Rasulullah itu sendiri ada perkara yang dapat dijadikan contoh teladan bagi kita. Iaitu bagi orang-orang yang beriman. Semata-mata menyebut iman saja tidaklah cukup. Iman mesti disertai dengan pengharapan. Kalau hidup tidak mempunyai harapan, maka tidak ada ertinya hidup ini. Maka untuk memelihara iman dan harapan hendaklah banyak mengingati Allah. Sebab itu maka di hujung ayat ini dikatakan bahwa perbayakkanlah untuk menyebut dan mengingati Allah.

Ini kerana memang mudah untuk mengatakan kami mengikut contoh teladan dari Rasulullah ataupun mengatakan kami sememangnya beriman. Tetapi adalah untuk benar-benar beriman dan mengikuti contoh dari Rasulullah adalah memerlukan latihan batin yang mendalam sekali untuk melakukannya. Contoh?  orang yang mengaku bahwa ia menuruti sunnah Rasulullah yang mengamalkan sunnah-sunnahnya. Yang Rasul buat, diturutinya kesemua. Yang Rasul tidak buat, iaitu bidaah, akan ditinggalkannya. Tetapi….. jarang orang yang mencontohi teladan dari sifat Rasulullah uang penuh lemah lembut di dalam menegur sesiapa yang melakukan bidaah. Mereka ini hanya tahu mengutuk, menegur dengan kasar, mencemuh, dan ada juga yang menyesatkan sesama Islam kerana mengamalkan bidaah.

Maka bertambah besar harapan kita kepada Allah dan keyakinan kita akan hari Kemudian dan bertambah banyak kita mengingat dan menyebut Allah, maka akan bertambah ringanlah bagi kita untuk mencontohi Rasulullah saw.









Al Ahzab Ayat 22

وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الْأَحْزَابَ قَالُوا هَٰذَا مَا وَعَدَنَا الَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ الَّهُ وَرَسُولُهُ ۚوَمَا زَادَهُمْ إِلَّا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا
Dan tatkala orang-orang mu'min melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: "Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita". Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan penyerahan.

Sesudah di ayat-ayat sebelum ayat 21, Allah menerangkan bagaimana tingkah laku dan perangai orang-orang munafiq dan pengecut, sampai ada yang mengatakan bahawa janji Allah dan Rasul itu hanyalah tipu belaka (Lihat kembali ayat 12), sekarang Allah menerangkan pula bagaimana sikap dan tingkah laku orang yang beriman.

Dalam ayat ini dijelaskan bahwa setelah orang-orang beriman itu melihat beribu-ribu tentera musyrikin Mekah telah datang dari sebelah timur, kemudian datang pula Ghathfaan dari jurusan Nejd, mereka masih lagi sanggup untuk berpegang dengan ingatan akan janji Allah. Sebab tadi telah disebutkan di dalam ayat 20 bahwa orang-orang yang beriman itu adalah di dalam keadaan sentiasa mengingati Allah.

Mereka ingat bahwa Allah telah pernah berjanji, sebagaimana tersebut dalam Surat Al-Baqarah yang diturunkan di Madinah juga. (Surah Al-Baqarah, ayat 214); yang isinya ialah bahawa orang-orang yang beriman, jangan kamu menyangka bahwa akan mudah untuk masuk syurga sebelum melalui berbagai pengalaman, yang berupa kesukaran dan kemiskinan dan seakan-akan mereka digempakan. Sampai Nabi sendiri dan orang-­orang yang telah menyatakan Iman kepada Nabi mengeluh menanya­kan, bilakah akan datang pertolongan Allah itu? Kalau sudah sampai demikian, itulah tanda bahwa pertolongan Allah itu sudah dekat.

Maka bila orang-orang yang beriman melihat musuh itu begitu banyaknya dan begitu pula jahat maksud mereka, tidaklah mereka orang-orang beriman itu takut. Ayat Allah dalam Surat Al-Baqarah- ayat 214 itulah yang mereka sentiasa ingat. Kerana mereka sudah mengalaminya dulu semasa peperangan Uhud. Dan sekarang peperangan Khandaq mereka sudah merasa bertambah yakin dengan janji Allah. Masya Allah tabarakallah.  (mengalir airmata admin duk buat pengajaran ayat ni.)

Hati mereka berkata bahwa inilah tanda yang kemenangan telah dekat, dan mereka tidak akan sampai kepada kemenangan itu kalau perkara seperti ini belum mereka alami. Kemenangan itu akan datang hanya setelah mereka diuji dulu dengan keperitan dan kepayahan. Mereka sudah faham kini. Dan sebab itulah mereka terus sabar dan bertahan. Di dalam hati yakin janji Allah pasti datang.   MasyaAllah tabarakallah. Hebatnya keimanan yang ada pada diri mereka.

Oleh kerana hati mereka telah yakin maka mereka tidak merasa takut lagi untuk menempuh apa jua pun yang terjadi. Walaupun mati sekali pun mereka tetap rela menempuhnya. Apalah ertinya nyawa sendiri, jika kematian itu sudah nyata akan membawa kepada kemenangan yang gilang gemilang bagi agama dan akidah yang mereka pegang kini. Mereka dengan rela hati mahu mengharunginya.

“...Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan penyerahan.”
Di hujung ayat 22 ini haruslah kita perhatikan betul-betul. Setelah melihat musuh telah membuat pakatan yang besar  hendak menghancurkan Islam, orang-orang beriman ini, mereka yakin akan janji Allah dan Rasul, bahwa inilah pintu kepada kemenangan.

Seakan-akan kemenangan itu telah berdiri di hadapan mata mereka, sebab itu Iman dan Penyerahan mereka kepada Allah bertambah kuat dan teguh pula. Maksudnya bukanlah mereka lalai dan lengah, bukan pula berdiam diri kerana telah sudah yakin bahawa mereka akan menang juga.

Kerana kemenangan yang dijanjikan itu masih juga bergantung kepada taslim, yaitu menyerahkan bulat kepada kehendak Allah dan Rasul, biar mati lumat di hadapan musuh. Maka bukanlah bermakna mereka sudah boleh berpeluk tubuh, bermalas-malas kerana janji Allah pasti terjadi, iaitu kemenangan. Kelakuan yang demikian tidaklah sesuai dengan orang yang beriman.










Al Ahzab Ayat 23

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا الَّهَ عَلَيْهِ ۖفَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖوَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Di antara orang-orang mu'min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah (janjinya),   

Ayat ini menghuraikan dengan lebih jelas lagi pendirian hidup orang-orang yang beriman. Dengan tidak menyebutkan nama-nama mereka, Allah mengatakan bahwa di antara orang yang beriman itu terdapat mereka  yang benar-benar setia. Di dalam ayat ini digelar sebagai رِجَالٌ ‘rijal” maksudnya orang-orang yang benar-benar jujur dan dipercayai kerana kesetiaannya memegang dan menepati janji terhadap Allah.

Di dalam menunaikan janji pula mereka sentiasa bersabar menghadapi ujian, tahan menempuh rintangan dan cekal mengalami penderitaan. Sehingga ada yang gugur dalam medan perang, sepertimana di peperangan Badar, Uhud dan peperangan lain. Mereka mati syahid dan nama-nama mereka disebut-sebut sebagai pahlawan yang mengharumi lembaran sejarah. Ada juga di antara mereka yang masih hidup setelah peperangan tersebut, menunggu giliran untuk mendapatkan syahid sepertimana rakan-rakan mereka. Sedikit pun azam untuk menunaikan janji itu tidak berubah apa lagi untuk menukar haluan ke arah yang lain adalah jauh sekali.

Ada satu hadith dari Imam Ahmad, diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. mengatakan bahwa ayat 23 Al Ahzab ini, asal usul kejadian ini ialah pada diri bapa saudara  Anas bin Malik sendiri yang bernama Anas bin An-Nadhr.

Bahawa bapa saudaranya yang sama namanya dengan dia ini ketika peperangan Badar, bapa saudaranya tidak dapat turut hadir, maka sangatlah duka hatinya kerana dia tidak dapat turut dalam perang Badar berperang bersama Nabi.

Pernah dia mengatakan: "Perang Badar adalah suatu perang kesaksian Rasulullah yang pertama, tetapi aku tidak turut. kalau sekiranya Allah membuka peluang bagiku berperang dalam tentera beliau di lain waktu, Allah akan menyaksikan apa yang akan :Aku lakukan!". Tak mahu dia meneruskan menyebut apa yang akan dilakukannya itu.

Maka terjadilah Peperangan Uhud , Anas bin An-Nadhr itu pun turutlah pergi berperang ke Uhud. Di tengah perjalanan dia bertemu dengan Sa'ad bin Mu'adz. Lalu dia berkata kepada Sa'ad "Hai Sa'ad! Bukan main harumnya wangi-wangian syurga kubaui sekarang berhembus dari balik gunung Uhud itu " .

Lalu dia pun berperang menembus barisan musuh sehinggalah ia syahid. Semoga Allah meredhainya. Setelah diperiksa akan keadaan mayatnya, didapati pada tubuhnya terdapat tak kurang dari 83 sehingga 89 luka sebatan pedang, tusukan dan tancapan anak panah. Adik perempuannya, iaitu ibu saudara Anas bin Malik yang bernama ar-Rabi’ binti An Nadhr berkata, ‘aku tidak mengenali abangku lagi melainkan dari jari jemarinya saja.’

Maka turunlah ayat 23 Al Ahzab ini.  Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!

Maka para sahabat bependapat bahwa ayat ini turun berkaitan dengan Anas bin An Nadhr dan para sahabat nabi yang lain. Hadis ini diriwayatkan pula oleh Imam Muslim, At Tirmizi dan An Nasai.

Sisters yang dikasihi,
Seelok-eloknya kita sebagai umat Islam, haruslah tahu dan membaca kisah-kisah perjuangan dan pengorbanan para sahabat Rasulullah di zaman baginda. Ianya untuk kita jadikan sebagai pedoman, pembakar semangat dan penguat jiwa untuk kita sama-sama berusaha menegakkan syiar Islam kalau pun tidak dengan berperang, tetapi untuk menyampaikan dakwah kepada rakan-rakan dan juga yang penting sekali kepada keluarga terdekat kita. Kita akan dapat merasakan bahawa perjuangan dan pengorbanan mereka ini tidaklah ada tolok bandingnya dan seharusnya kita kenang sampai bila-bila.










Al Ahzab Ayat 24

لِيَجْزِيَ اللَّهُ الصَّادِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ الْمُنَافِقِينَ إِن شَاء أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
supaya Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu karena kebenarannya, dan menyiksa orang munafik jika dikehendaki-Nya, atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Maksudnya ayat ini adalah cubaan dan ujian Allah kepada hamba-hambaNya yang berupa rasa takut dan gentar, adalah semata-mata untuk mengetahui dan membezakan manakah manusia yang jujur dan manakah manusia yang munafiq. Walaupun pada dasarnya dari watak dan keperibadian mereka itu, Allah sudah terlebih dahulu mengetahui akan segala-galanya yang berada di dalam diri mereka. Tetapi ujian ini adalah untuk menunjukkan kepada semua manusia dan akan menjadi bukti di akhirat kelak untuk mereka mendapat balasan yang setimpal daripada apa yang ada di dalam hati mereka dan juga daripada apa yang mereka telah kerjakan.

Ini kerana Allah tidak akan mengazab makhluknya dengan pengetahuanNya tentang mereka, kecuali setelah mereka benar-benar melakukan sesuatu yang dengan itu telah terbukti dan Allah juga mengetahui bahwa mereka berhak mendapatkan azab.


Maka orang yang jujur dan memang kerana timbul dari dirinya dan jiwanya yang sememangnya jujur, pastilah mereka melakukan sesuatu perkara dengan jujur dan ianya akan mendapat ganjaran yang mulia di sisi Allah. Manakala orang yang tidak jujur, yang juga timbul di dalam dirinya dan jiwanya sifat yang tidak jujur, walaupun apa yang dilakukan pada permulaannya nampak jujur, tetapi setelah diuji dan diberikan cabaran, pasti yang tak jujur itu akan terserlah juga. Lama-kelamaan rahsia ketidakjujuran itu akan terbongkar juga akhirnya. Maka apabila sudah terbongkar akan ketidakjujuran mereka iaitu kemunafiqan mereka, maka mereka ini akan mendapat balasan yang setimpal juga dari Allah.

Contoh paling dekat yang boleh kita kaitkan dengan ayat ini adalah pada masa peperangan Uhud di mana Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan 50 orang pemanah untuk berkawal di lereng bukit Uhud dan sekali-kali jangan meninggalkan tempat itu walaupun musuh kelihatannya telah berundur.

Kerana menurut pertimbangan siasat per­juangan baginda, pertahanan di lereng Uhud itu adalah tempat yang paling trategik untuk menyerang musuh dari atas bukit. Tetapi setelah tentera Islam yang berkawal di lereng bukit itu melihat musuh telah kalah dan sudah mahu berundur dan ditambah pula dengan harta rampasan yang ditinggalkan musuh berserakan, mereka tidak tahan lagi, lalu mereka telah melanggar perintah Rasulullah kerana ingin merebut harta rampasan. Akhirnya tempat yang menjadi trategik penting itu dapat direbut oleh tentera Musyrikin, yang kebetulan di waktu itu di bawah pimpinan Khalid bin Al-Walid.

Kalau menurut tinjauan kasar saja, tentera Islam yang meninggalkan pertahan­an itu di bawah pimpinan seorang sahabat yang bernama 'Abdullah bin Jubair, mereka semua ini patutlah terus dihukum oleh Allah karena perbuatan mereka itu yang sudah terang-terang sebagai perbuatan orang munafiq. Mereka berperang hanya untuk mengejar harta rampasan dan bukannya untuk menegakkan Islam.

Memang mereka patut dihukum menurut tinjauan sepintas lalu. Tetapi……. .keputusan sebenarnya adalah di sisi Allah dan menurut kehendakNya. Dan juga menurut kebijaksanaan yang dijalankan oleh Rasulullah. Tidak mustahil bahwa setelah kekalahan itu mereka semuanya telah jatuh menyesal , lalu mereka beriman sesudah munafiq. Atau mereka telah segera mengerjakan amal saleh sesudah menjadi fasiq dan derhaka. Sedangkan sifat Allah yang disebut Rahmat itu dapat mengalahkan sifatNya yang bernama ghadhab atau murka.

Sebab itu di ujung ayat dijelaskan sifat Allah yang mulia iaitu: “Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”






Al Ahzab Ayat 25

وَرَدَّ الَّهُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِغَيْظِهِمْ لَمْ يَنَالُوا خَيْرًا ۚوَكَفَى الَّهُ الْمُؤْمِنِينَ الْقِتَالَ ۚوَكَانَ الَّهُ قَوِيًّا عَزِيزًا
Dan Allah menghalau orang-orang yang kafir itu yang keadaan mereka penuh kejengkelan, (lagi) mereka tidak memperoleh keuntungan apapun. Dan Allah menghindarkan orang-orang mu'min dari peperangan. Dan adalah Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Kita berbalik kepada peristiwa perang khandaq. Setelah hampir sebulan bertahan di luar kota Madinah, tidak dapat mara kerana adanya parit khandaq yang besar yang luas dan panjang merentangi sepanjang kota Madinah maka datang pula angin kencang berhembus kuat yang menerbangkan pasir halus menutup pandangan mata tentera kafir, dan menyebabkan khemah-khemah dan alat kelengkapan perang mereka habis tunggang langgang. Menyebabkan mereka terpaksa berundur pulang tak jadi berperang.

Sudah tentu mereka panas hati apabila gagal menyerang Madinah seperti yang dirancang. Telah disiapkan lebih dari 10 ribu anggota tentera serba lengkap, yang mereka sangka akan menjadi mudah untuk menyerang, rupanya telah gagal sama sekali. Dengan sekutu antara 3 puak yang telah pecah dan saling tidak percaya mempercayai, menyebabkan tidak ada lagi pakatan. Hajat mereka tidak kesampaian, dan tipu daya mereka telah dikecewakan oleh Allah. Bukannya kemenangan yang mereka perolehi dalam perang Ahzab ini, tetapi kekalahan dan penderitaan itulah yang mereka bawa pulang.

Dalam ayat ini Allah mengatakan yang “Allah menghalau orang-orang yang kafir itu yang keadaan mereka penuh kejengkelan,”

Mereka semuanya telah diusir kembali ke tempat masing-masing. Ghathfaan pulang ke Ghathfaan dan Quraisy pulang ke Mekah dengan hati yang sakit, sebab maksud tidak tercapai. Iaitu kemenangan dan harta rampasan yang akan dibanggakan dan dibawa pulang dengan sorak sorai. Yang mereka perolehi hanyalah sakit hati, payah. lelah, penderitaan, kehabisan persediaan makanan dan penyesalan.

Tetapi sebenarnya hikmah Allah itu MAHA TINGGI. Allah hanya mengusir mereka saja, dan tidak dengan memusnahkan mereka. Seperti yang kita tahu sudah tentulah Allah akan mengazab mereka yang munafiq itu jika Allah mengkehendaki. Tetapi dengan melepaskan mereka begitu saja tanpa pertumpahan darah, ianya  telah membawa kepada perkembangan yang baik. Apa dia perkembangan dan hikmah yang baik itu?

Sebahagian besar dari penyerang-penyerang yang gagal itu kemudiannya telah masuk Islam dengan hati terbuka. Dan mereka yang masuk Islam itu adalah bukan dari calang-calang orang. Di antaranya ialah Khalid bin AI-Walid yang telah nyaris mengalahkan Nabi di perang Uhud terdahulu. Setelah memeluk Islam, Khalid kemudiannya telah memegang peranan besar dalam sejarah peperangan dalam menegakkan Iman dan memba­ngun Islam, sehingga beliau telah mendapat gelaran "Saifullah". Pedang Allah!

MasyaAllah tabarakallah. Hebatnya percaturan Allah yang Maha Mengetahui akan segala-galanya tentang makhlukNya.






Al Ahzab Ayat 26

وَأَنْزَلَ الَّذِينَ ظَاهَرُوهُمْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مِنْ صَيَاصِيهِمْ وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ الرُّعْبَ فَرِيقًا تَقْتُلُونَ وَتَأْسِرُونَ فَرِيقًا
Dan Dia menurunkan orang-orang Ahli Kitab (Bani Quraizhah) yang membantu golongan-golongan yang bersekutu dari benteng-benteng mereka, dan Dia memasukkan rasa takut dalam hati mereka. Sebahagian mereka kamu bunuh dan sebahagian yang lain kamu tawan.

Sisters, sebelum kita tadabur ayat 26 ini, mari kita ikuti dulu sepintas lalu bagaimana peperangan dengan Bani Quraizah ini terjadi. Tapi untuk mengetahui lanjut tentang peperangan ini sisters boleh lah rujuk kitab Sirah ye.


PEPERANGAN DENGAN BANI QURAIZAH

Setelah Allah menceritakan kisah perang Ahzab dan berakhir dengan pengunduran mereka dengan rasa sakit hati dan kecewa, maka disebutkan pula di sini akan keadaan orang-orang Yahudi dari Bani Quraizah. Mereka adalah orang-orang ahli Kitab yang menyebelahi kaum musyrikin Mekah dalam perang Ahzab untuk membunuh Rasulullah sekali gus untuk memusnahkan Islam.

Telah dijelaskan terdahulu bahwa, di saat tentera bersekutu datang hendak menyerang Madinah, Bani Quraizah telah  membatalkan perjanjian yang dahulu mereka tandatangani bersama Rasulullah saw. Penyebab utama ialah kedatangan rakan mereka iaitu Huyay bin Akhtab Al Nadhr, telah memujuk pemimpin mereka Kab Bin Asab untuk bergabung dengan pasukan bersekutu. Pujukan itu telah berhasil sehingga menyebabkan Kab bin Asab sanggup memutuskan perjanjian damai dengan Nabi.

Berita pengkhianatan Bani Quraihah ini menggemparkan kaum muslimin. Rasulullah segera mengutus dua orang sahabatnya; Sa€™ad bin Mu€™adz pemimpin suku Aus dan Sa€™ad bin Ubadah pemimpin suku Khazraj untuk pergi kepada bani Quraizah agar menasihati mereka untuk tidak meneruskan pengkhianatan itu. Setibanya kedua utusan itu menemui Ka€™ab bin Asad, keduanya segera menyampaikan pesan-pesan Rasulullah. Akan tetapi mereka ditolak dengan sikap kasar dan penuh keangkuhan serta kesombongan. Pengkhianatan pun terus dilakukan.

Apabila perang Ahzab sudah tamat, musuh pun sudah berundur pulang ke negeri masing-masing, maka Nabi pun pulanglah kembali bersama sahabat-sahabatnya ke dalam kota. Terlebih dahulu Nabi menerangkan perhitungan baginda menurut siasat perang, bahawa mulai saat itu kaum Quraisy tidak akan bangkit lagi menyerang kaum Muslimin, melainkan kaum Musliminlah yang mulai saat itu yang akan menyerang dan menakluk mereka pula. '

Sesampai di rumah isteri baginda Ummu Habibah, untuk membersihkan diri dan hati gembira bersyukur kerana kemenangan, dan orang-orang telah mula mengembalikan senjata masing-masing ke tempatnya, tiba-tiba datang­lah Malaikat Jibril menyatakan diri di hadapan baginda lalu berkata: "Apakah engkau telah mengembalikan senjata ke tempatnya, ya Rasul Allah?"
Nabi menjawab: "Benar!"
Lalu kata Jibril: "Kami malaikat belum lagi meletakkan senjata. Sekarang kami ingin kembali menuntut kaum yang telah berkhianat.".
"Ke mana?" tanya Nabi saw.
"Sesungguhnya Allah telah memerintahkan engkau untuk bangkit menuntut keadilan kepada Bani Quraizah", jawab Jibril.

Selesai sembahyang zohor hari itu juga Nabi memerintahkan kaum Muslimin untuk segera berangkat dengan senjata lengkap menge­pung Bani Quraizah. Segera sekarang juga! Penyerbuan terhadap Bani Quraizah itu telah dilakukan sepantas kilat dan mengejutkan secara tiba-tiba. Sebelum Asar mereka semua mesti telah sampai ke sana. Nabi bersabda: "Kita akan bersembahyang Asar bila sampai di kawasan perkampungan Bani Quraizah!"

Maka bersiaplah semua dengan penuh bersemangat. Ada yang terus mengikuti menuruti apa yang diperintahkan Nabi, iaitu sembahyang asar di kawasan perkampungan Bani Quraizah, ada pula yang perjalanannya itu lebih cepat lagi, dan ada pula yang dapat sampai sebelum waktu asar habis dan dia dapat sembahyang di tengah jalan dan apabila dia sampai di perkampungan Bani Quraizah matahari sudah mulai terbenam.

Tetapi yang sembahyang di tengah jalan itu tidaklah mendapat teguran Nabi. Dan yang terlambat dalam perjalanan, yang oleh kerana mereka teguh memegang perintah, walaupun 'asar telah habis di tengah jalan, sehingga 'asarnya disembahyangkannya malam hari di perkampungan Bani Quraizah tidak juga mendapat teguran.

Ketika hendak berangkat, Nabi telah menyerahkan sementara kepimpinan kota Madinah kepada Ibnu Ummi Maktum, sahabat Muhajirin yang matanya buta, yang termaktub kemuliaannya dalam Al-Qur'an di dalam Surah 'Abasa wa tawalla. Bendera Perang baginda pula diserahkan kepada 'Ali bin Abi Thalib.

Sesampai di perkampungan Bani Quraizah maka dikepunglah kota pertahanan mereka. Dari sehari ke sehari dalam kepungan, semangat Bani Quraizah untuk bertahan kian lemah. Setelah dikepung sampai dua puluh lima hari, pihak Bani Quraizah menaikkan bendera putih meminta untuk berunding. Permintaan mereka diterima oleh Rasulullah saw., diterima kedatangan utusan Bani Quraizah dengan baik dan ditanya maksud­nya. Utusan Bani Quraizah itu menjawab bahawa mereka bersedia menyerah tetapi mereka akan menurut hukuman yang akan ditentukan oleh Sa'ad bin Mu'adz.

Mereka menyerahkan kepada Sa'ad bin Mu'adz kerana Saad ini adalah saudara mereka dari kaum Aus yang setia yang telah mengikat persahabatan dengan Bani Quraizah sejak zaman jahiliyah lagi. Mereka berharap Sa'ad akan memberikan keputusan yang menguntungkan mereka, sebagaimana Abdullah bin Ubayy dahulu memberikan pembelaan yang baik bagi Bani Qainuqa', lalu diterima oleh Nabi. Mereka yakin bahwa Saad pun akan melakukan hal yang sama, seperti yang pernah dilakukan oleh Ubay bin Salul terhadap Bani Qainuqa’.

Tetapi mereka rupanya tidak ingat bahawa mereka telah pernah memaki Sa'ad di depan umum dengan perkataan yang sangat kotor: Mereka juga tidak tahu bahwa Saad telah terkena luka parah oleh panah di bahagian pelupuk matanya akibat dari peperangan khandaq. Dan Rasulullah telah mengubatkan pelupuk matanya dengan cara menusuknya dengan besi panas.

Sa'ad bin Mu'adz segera dijemput ke Madinah, terpaksa dipangku untuk dinaikkan ke atas kenderaan yang akan membawanya dalam keadaan menderita sakit luka parah.

Sebelum itu Sa’ad pernah berdoa, bermunajat kepada Tuhan, berkata di dalam doanya:
"Ya Tuhanku! Kalau masih ada lagi peperangan dengan Quraisy ini, panjangkanlah umurku untuk aku ikut serta dalam peperangan itu. Tetapi jika peperangan dengan Quraisy ini telah berhenti di antara kami dengan mereka, maka akhirilah peperangan ini. Tetapi aku memohon jangan dahulu aku dimatikan sebelum hatiku puas menghadapi Bani Quraizah".

Sekarang dia sendiri yang diminta oleh Bani Quraizah untuk menjadi hakim. Ketika mendengar permintaan Bani Quraizah itu ada beberapa orang Bani Aus membisikkan kepada Sa'ad supaya dia bersikap belas kasihan terhadap kaum yang telah dijadikan teman sejak di zaman jahiliyah itu. Dengan tegas Sa'ad berkata: "Dalam membela agama Allah aku tidak akan peduli kepada siapa pun".  Di saat itu tahulah mereka bahwa Sa’ad tidak mahu lagi membela Bani Quraizah.

Kemudian sampailah Sa’ad di hadapan khemah Rasulullah saw. Berkatalah Rasulullah saw.:

قُومُوا إِلَى سَيِّدِكُمْ"
Berdirilah untuk menghormati pemimpin kamu!

Maka seluruh kaum mukmin pun berdiri, untuk menghormati dan memuliakan Sa’ad sebagai pemimpin di wilayahnya, dan sebagai penentu hukuman yang hendak dijatuhkan kepada Bani Quraizah.

Setelah Sa'ad duduk, Rasulullah Saw. bersabda kepadanya, "Sesungguhnya mereka ini telah menyerah di bawah keputusanmu, maka putuskanlah nasib mereka menurut apa yang engkau sukai." Maka Sa'ad r.a. bertanya, "Apakah hukuman yang aku beri ini pasti akan dilaksanakan terhadap mereka?" Rasulullah saw. menjawab, "Ya."

Sa'ad bertanya lagi, "Juga terhadap orang yang ada di dalam kemah ini?" Rasulullah Saw. menjawab, "Ya." 

Dan Sa'ad bertanya lagi, "Juga terhadap orang yang ada di sana?" Seraya menunjukkan ke arah di mana tempat itu terdapat Rasulullah., sedangkan ia memalingkan wajahnya dari Rasulullah sebagai ungkapan tanda rasa hormatnya kepada baginda. Maka Rasulullah Saw. menjawab, "Ya." 

Maka dengan itu Sa'ad pun berkata, "Sesungguhnya aku memutuskan, sebaiknya para perajurit mereka dihukum mati dan anak-anak serta kaum wanita mereka ditawan, begitu pula harta benda milik mereka."

Maka Rasulullah Saw. pun bersabda:


"لَقَدْ حَكَمْتَ بِحُكْمِ اللَّهِ مِنْ فَوْقِ سَبْعَةِ أَرْقِعَةٍ"

“Sesungguhnya engkau telah memutuskan hukum dengan hukum Allah Swt. dari atas tujuh lapis langit.”


Kemudian Rasulullah Saw. memerintahkan agar dibuatkan lubang yang cukup dalam, lalu mereka (para tawanan perang) didatangkan dalam keadaan tangan terikat, selanjutnya mereka dihukum pancung. Jumlah mereka lebih  kurang antara tujuh hingga lapan ratus orang. Manakala anak-anak mereka yang belum dewasa telah menjadi tawanan bersama kaum wanita, dan juga semua harta benda mereka.



Dan kerana itulah Allah telah berfirman: “Dan Dia menurunkan orang-orang Ahli Kitab (Bani Quraizhah) yang membantu golongan-golongan yang bersekutu dari benteng-benteng mereka,” Mereka ini terdiri dari beberapa golongan dan kabilah yang saling membantu dalam memerangi Rasulullah. Yang dimaksudkan dengan Ahli Kitab adalah Yahudi Bani Quraizah keturunan salah seorang cucu Bani Israel. Bapa moyang mereka di masa lalu bermukim di tanah Hijaz dengan tujuan akan mengikuti Nabi yang ummiy yang namanya telah tertulis di dalam kitab Taurat dan Injil yang ada pada mereka.

Tetapi ternyata setelah datangnya kepada mereka apa yang telah mereka ketahui, mereka pula mengingkarinya dan tidak mahu beriman kepadanya. Ianya sepertimana yang disebut di dalam ayat 89 dari Surah Al Baqarah.



Baik, mari kita tadabur pula ayat ke 26 ini.

“Dan Dia menurunkan orang-orang Ahli Kitab (Bani Quraizhah) yang membantu golongan-golongan yang bersekutu dari benteng-benteng mereka,”
Maksud ayat ini adalah bahwa hanya Allah jualah yang menentukan bahwa orang-orang atau kaum yang membantu kaum Quraisy dan Ghathfaan yang hendak menghancurkan pertahanan Islam itu: iaitu kaum Bani Quraizah, sesudah mereka bertahan selama 25 hari, akhirnya terpaksa mereka turun juga ke bawah, mengangkat bendera putih untuk menyerah diri

Mereka ingat kononnya mereka boleh menang dengan menyertai tentera bersekutu untuk memusnahkan Rasulullah. Padahal mereka sudah berjanji setia dengan Rasulullah untuk berdamai. Tetapi mereka mengingkarinya dan menyertai pula tentera bersekutu. 

Dan setelah tentera bersekutu itu berundur dan kalah, mereka menyangka mereka boleh bertahan dengan kepungan tentera Islam pula? Sesungguhnya tiadalah yang lebih besar dari  kekuasaan Allah yang telah menyebabkan mereka merasa lelah untuk bertahan selama hampir 25 hari itu, dan akhirnya mereka mengaku kalah juga.

“....dan Dia memasukkan rasa takut dalam hati mereka.”
Maksudnya, kaum Bani Quraizah ini telah membuat kaum muslimin rasa gentar; kerana mereka telah bersekutu dengan kaum musyrikin untuk memerangi Nabi. Sesungguhnya Allah Yang Maha Tahu tidaklah seperti orang yang tidak tahu. Mereka menakut-nakutkan kaum muslimin dan berniat akan membunuh mereka dengan tujuan agar mereka beroleh kejayaan di dunia. Tetapi kenyataannya kini telah menjadi terbalik dan telah menjadi senjata makan tuan pula.

Perang telah berbalik untuk menyerang mereka pula rupanya. Orang-orang musyrikin telah berundur dan menerima kekalahan dan kerugian yang mengecewakan. Pada mulanya mereka berniat meraih kejayaan, tetapi justeru sebaliknya mereka menjadi hina. Mereka juga berniat akan menghapuskan kaum muslimin, tetapi sebaliknya mereka sendirilah yang telah dihalau. Selain itu kecelakaan di negeri akhirat pasti akan menimpa mereka, sehingga secara keseluruhan mereka benar-benar mengalami balasan yang merugikan.

“….Sebahagian mereka kamu bunuh dan sebahagian yang lain kamu tawan.”
Orang-orang yang dibunuh oleh kaum muslimin itu, iaitu yang telah dihukum pancung oleh Sa'ad bin Mu'adz tadi adalah adalah mereka dari Bani Quraizah yang telah ikut berperang, manakala anak-anak dan kaum wanita dijadikan tawanan perang.








Al Ahzab Ayat 27

وَأَوْرَثَكُمْ أَرْضَهُمْ وَدِيَارَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ وَأَرْضًا لَمْ تَطَئُوهَا ۚوَكَانَ الَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرًا
Dan Dia mewariskan kepada kamu tanah-tanah, rumah-rumah dan harta benda mereka, dan (begitu pula) tanah yang belum kamu injak. Dan adalah Allah Maha Kuasa terhadap segala sesuatu.

Dengan musnahnya kaum Yahudi Bani Quraizah dan Bani Nadhir, maka orang-orang Islam telah dapat mempusakai perkebunan kurma, rumah-rumah dan harta kekayaan kaum Yahudi tersebut. Di antara harta mereka yang telah ditawan ialah 500 bilah pedang, 300 helai baju besi, 2000 batang tombak, 500 buah perisai dan banyak lagi peralatan rumah yang bermacam-macam begitu juga beratus ekor binatang ternakan.

Dalam ayat ini juga disebutkan bahwa bala tentera Islam itu kelak akan dapat menakluki negeri-negeri lain yang belum pernah mereka jejaki. Demikianlah ketetapan Allah itu akan berjalan dari masa ke semasa hingga ke hari kiamat.

Dan adalah Allah itu berkuasa di atas segala sesuatu, yakni untuk memberikan kuasa mewarisi dan memerintah di samping memberikan pertolonganNya dengan mudah kepada sesiapa saja yang disukaiNya, tidak siapa yang dapat menghalang kehendakNya.










Al Ahzab Ayat 28 Dan 29


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ إِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا
28 - Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut`ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik.

وَإِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ الَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الْآخِرَةَ فَإِنَّ الَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنْكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا
29 - Akan tetapi jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik di antaramu pahala yang besar.

Nabi Muhammad s.a.w. adalah sebagai manusia yang mulia diangkat Allah menjadi rasulNya. Baginda adalah seorang manusia pemimpin kaumnya dan seluruh umat manusia di dunia. Baginda adalah rasul Allah untuk menegakkan agama yang hak. Di samping itu baginda juga adalah seorang suami yang menegakkan rumahtangga. Mempunyai beberapa orang isteri, dan baginda juga adalah seorang ayah kepada beberapa anak perempuan, kerana anak lelaki telah meninggal di kala masa kecil lagi. Sebab itu baginda juga adalah seorang datuk yang mempunyai cucu-cucu dari anak perempuannya.

Sesudah pada ayat yang lalu diterangkan bagaimana kebijaksanaan pimpinan baginda terhadap umatnya, dalam menghadapi musuh, maka mulai dari ayat 28 ini sehingga ke ayat 34, Allah mengajak kita membicarakan dengan khusus bagaimana sesebuah rumahrangga itu diurus, bagaimana hendak mendidik isteri-isteri di dalam berumahtangga yang contohnya yang Allah beri adalah baginda nabi sendiri.

“Wahai Nabi,”
Telah kita ketahui bahwa Allah tidak pernah memangil nabiNya dengan panggilan nama seeprti ‘wahai Muhammad” Yang ada yang selalu Allah panggil adalah wahai rasul, wahai orang yang berselimut, wahai nabi, wahai Muhammad ya Rasulullah.  Ini pun satu pendidikan bagi diri kita sendiri. Maka kalau ada orang yang menambahkan kalimah ‘sayidina’ kepada Nabi Muhammad saw maka dapatlah kita fahami jalan fikiran mereka. Iaitu sedangkan Allah lagi menghormati baginda nabi. Inikan pula kita sebagai umatnya.

“....katakanlah kepada isteri-isterimu: "Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut`ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik.”
Ini adalah supaya baginda nabi mengingatkan kepada isteri-isteri baginda bahwa jika sekiranya mereka telah bersuamikan baginda itu adalah kerana mereka mengharapkan dunia, kemewahannya, kekayaannya, keindahan tempat tinggal dan perhiasan yang memnuhi badan, dari gelang emas, anting-anting berambu, cincin bertatah emas permata, gelang kaki dan entah berbagai macam yang lain lagi yang selalu diingini oleh kaum perempuan, kalau itu yang mereka mahukan dan harapkan, itu semua tidaklah mereka akan dapatkan dengan berkahwin dengan baginda nabi. Kalau demikianlah harapan dan cita-cita mereka, maka tidaklah akan tercapai segala impian mereka.

Ini adalah kerana suami mereka ini adalah seorang Nabi, maka bukanlah baginda ini seorang yang tugasnya mengejar dunia dengan perhiasannya, melainkan hanylah untuk membina umat dengan membangunkan akidahnya. Dengan itu marilah kita bercerai saja, dan sebagai adab sopan orang bercerai, akan dibayar wang mu’tah mereka, sebagai pengubat hati. Bercerai dengan cara baik-baik, dilepaskan juga dengan cara baik-baik agar perpisahan ini tidak akan mengecewakan hati sesiapa.

“Akan tetapi jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, …”
Tetapi jika sekiranya mereka menginginkan keredhaan Allah dengan sudi hidup bersakit kerana mengharapkan Allah dan rasul, hidup di dalam perjuangan, hidup di dalam cita-cita dan kebahagiaan di hari yang kekal iaitu di akhirat kelak, dan bukan kesenangan dunia yang hanya sementara belaka, maka sesungguhnya Allah telah menyediakan untuk mereka yang berbuat baik pahal yang sangat besar.

Sebab orang yang menuju semata-mata dunia, hanya dunia itulah yang akan didapatnya. Dan kepuasan pada dunia itu tidaklah lama. Hanya sekejap saja dan kemudian ia akan hilang.

Kedua-dua ayat ini 28 dan 29 dinamakan sebagai ayat-ayat takhyiir, iaitu ayat yang disuruh memilih. Maksudnya isteri-isteri Rasulullah itu disuruh memilih, apakah mereka kaan memilih kehidupan dunia dengan perhiasannya, ataupun mereka nak pilih Allah dan Rasul. Kalau mereka berkahwin dengan baginda nabi hanya untuk nak pilih dunia, maka nabi dah bagitahu tadi bahawa impian mereka tidak akan tercapai.

Ini kerana seorang nabi tugasnya adalah berjuang menyebarkan dakwah kepada manusia, membawa manusia ke jalan yang benar, untuk keselamatan mereka dunia dan akhirat. Kalau itu yang mereka cari iaitu kesenangan dan perhiasan dunia, maka adalah lebih elok untuk mereka bercerai saja. Dan mereka akan diceraikan secara baik dan mu’tah akan diberikan kepada mereka sebagai pengubat hati.

Tetapi kalau mereka berkahwin dengan nabi ni kerana mereka mahukan keredhaan Allah dan rasul, sanggup bersakit, membela nabi dalam berdakwah, dan mencukupkan dunia apa adanya, maka marilah teruskan perkahwinan itu dengan selamat sampai ianya dipisahkan oleh liang lahad nantinya.

Sebab turunnya ayat ini adalah berpandukan hadis berikut. Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim dari Jabir r.a. ia berkata: "Abu Bakar r.a. minta izin kepada Rasulullah menghadap baginda. Beliau mendapati ramai orang di muka pintu duduk menunggu izin menghadap baginda. Dan Rasulullah belum mengizinkan Abu Bakar menghadapnya.

Kemudian datang pula Umar r.a. meminta izin menghadap pula dan Rasulullah belum pula mengizinkannya. Kemudian Rasulullah saw mengizinkan Abu Bakar dan Umar menghadapnya, maka keduanya pun masuk. Waktu itu Rasulullah sedang duduk di kelilingi isteri-isterinya, dan baginda dalam keadaan diam.

Umar berkata kepada Rasulullah dengan maksud agar Rasulullah ketawa, ia bertanya : "Bagaimana pendapat engkau jika putri si Zaid (maksudnya isteri Umar), meminta nafkah kepadaku, lalu aku pukul kuduknya dengan tanganku?". Mendengar itu Rasulullah saw ketawa, hingga kelihatan kemuramannya itu hilang.

Dan baginda pun berkata: "Isteri-isteriku ini duduk di sekelilingku meminta nafkah".

Mendengar ucapan Rasulullah itu maka Abu Bakar pun segera pergi kepada `Aisyah lalu memukulnya. Dan Umar pun pergi kepada Hafsyah dan memukulnya juga seraya berkata: "Mengapa kamu meminta kepada Rasulullah sesuatu yang tidak dimilikinya?".

Melihat kedua isteri itu telah dimarahi oleh ayah masing-masing, maka isteri-isteri yang lain pun berundur menyusutkan diri, sambiil mereka berkata, “kami tidak mendesak Rasulullah meminta apa yang tidak ada pada beliau.”

Menurut riwayat Rasulullah saw menjauhkan dirinya sesudah itu dari isteri-isterinya selama 29 hari atau satu bulan. Maka turunlah ayat 28 dan 29 dari surah ini. Maka Rasulullah pun memanggil isteri-isterinya kembali dan menyuruh mereka memilih salah satu dari dua perkara itu. Kalau hanya dunia yang mereka harapkan, lebih baik mereka diceraikan saja oleh Rasulullah dengan baik dan mu’tah akan dibayar kepada mereka. Tetapi kalau mereka mahu hidup dan sama-sama berjuang, bak kata pepatah ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, ke laut sama direnangi, ke lembah sama diharungi, maka turutlah baginda. Pahala akan tersedia untuk mereka di sisi Allah.

Menurut riwayat, sebagaimana yang disalin oleh Al Qurthubi dalam tafsirnya, Rasulullah disuruh untuk memilih, manakah yang baginda suka, menjadi nabi yang kaya raya sepertimana Nabi Sulaiman, ataupun hidup miskin papa. Baginda telah memilih hidup di antara keduanya. Iaitu makan sehari berlapar sehari. Supaya di waktu kenyang baginda bersyukur kepada Allah dan di waktu lapar baginda bersabar. Baginda hendak menunjukkan contoh dari diri baginda sendiri tentang hidup  yang sederhana, hidup untuk menegakkan cita-cita kebahagiaan umat. Aisyah sendir pernah meriwayatkan kehidupan rumah tangga beliau dengan Rasulullah, bahwa pernah dapur mereka sebulan tidak berasap. Pernah pula baginda pulang dari perjalanan, baginda menanyakan persediaan makanan, lalu Aisyah menjawab makanan tidak ada. Maka baginda berkata, “kalau begitu biar aku puasa saja.”

Umar Bin al Khattab bercerita bahwa dia pernah menziarahi ke rumah Rasulullah semasa Rasulullah ada di rumah. Didapatinya tidak ada apa-apa perkakas atau hiasan pun di rumah baginda. Kecuali sebuah alat tempat air tersangkut di dinding, iaitu persediaan air untuk wudhuk baginda jika baginda bangun untuk tahajjud malam. Maka menangislah Umar lantaran terharu melihat keadaan yang demikian. Lalu Rasulullah bertanya kepada Umar, “Kenapa engkau menangi, ya Umar?”

Umar menjawab, “sudah seluruh Arab telah tunduk kepada engkau, kunci maghrib dan masyriq sudah pun terpegang di tangan engkau, namun engkau masih hidup seperti ini saja? Itulah yang aku tangiskan.”

Lalu bersabdalah baginda nabi s.a.w. “ini bukanlah Kaisar cara Romawi dan bukan juga Kisra cara Persia, hari Umar! Ini adalah nubuwwat!”   MasyaAllah tabarakallah….

Agama yang baginda ajarkan dan risalah yang baginda sampaikan tidaklah mengharamkan perhiasan dunia. Asal jangan melupakan akhirat. Bahkan semasa di zaman Mekah lagi, dalam surah Al A’raf yang diturunkan di Mekah telah menjelaskan perhiasan dunia itu tidaklah seorang pun yang dapat mengharamkannya.kerana ianya telah disediakan Allah untuk hamba-hambaNya semua, baik yang beriman mahupun yang tidak beriman. Tetapi di hari kiamat kelak perhiasan itu hanyalah semata-mata untuk orang beriman saja. Sebab itu maka tidaklah salah, jika orang yang kaya raya, mengadakan perhiasan di rumahnya sendiri, memakai pakaian yang bagus-bagus, berkenderaan yang mewah-mewah, membina rumah yang canggih serba lengkap, asalkan ianya mengeluarkan zakat sepertimana yang diwajibkan ke atasnya, tidak takbur, sombong dan memandang hina kepada orang-orang yang tidak dapat memiliki kelebihan perhiasan seperti dirinya.

Meskipun tidak haram, tidak dilarang hidup mengambil perhiasan dunia, namun baginda nabi s.a.w. sebagai pemimpin umat, sebagai pembawa contoh tauladan dalam hidup telah menegaskan bahwa urusan yang dipikul baginda selama ini adalah urusan kenabian. Bukannya urusannya seorang raja atau kaisar ataupun kisra. Baginda hidup dengan sangat sederhana dalam rumahtangganya meskipun kunci masyriq dan maghrib (timur dan barat) telah berada di tangannya. Baginda lebih banyak memberi daripada menerima. Kain yang lekat di badan baginda pun jika datang orang meminta kerana tidak berkain, akan dibuka dan diberkannya.

Ghanimah, dan Al Fai’ atau Al anfal, yang ketiganya itu adalah nama dari harta rampasan perang. Setelah perang selesai, harta rampasan perang hendaklah dibahagi kepada lima. Empat perlima dibagikan kepada seluruh pejuang menurut yang disyariatkan dan yang satu perlima lagi adalah hak Allah dan Rasul. Baginda s.a.w. berhak sepenuhnya untuk memiliki harta yang satu perlima itu. Tetapi sifat mulia baginda nabi ini….. semuanya harta satu perlima itu baginda gunakan untuk membelanjakan fakir miskin yang tidak upaya untuk turut berperang.

Baginda telah memilih hidup yang sangat sederhana. Bahkan kadang-kala sebulan dapur baginda tidak berasap. Padahal sahabat-sahabat baginda semuanya kaya raya kerana harta-harta rampasan perang itu.

Maka seluruh hidup baginda telah digunakan untuk cinta-cita. Meskipun baginda boleh jadi kaya raya kalau baginda mahu, kerana tidak akan ada orang yang kan melarang, namun baginda tidak mahu meninggalkan teladan yang baik nantinya. Sampai baginda wafat pun baginda masih dalam kemiskinan. Hartanya hanyalah sekarung gandum, sebuah tombak dan tergadai kepada seorang Yahudi belum tertebus dan seorang hamba perempuan. Dan harta benda yang lain semuanya baginda suruh masukkan ke baitul mal, sehingga seketika Fatimah meminta bahagiannya dari harta peninggalan tanah di Fadak, Abu Bakar tidak mahu menyerahkannya kerana nabi sendrii yang melarang.

Inilah seorang Rasul Allah yang sejati.







Al Ahzab Ayat 30

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ مَنْ يَأْتِ مِنْكُنَّ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ يُضَاعَفْ لَهَا الْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ ۚوَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى الَّهِ يَسِيرًا
Hai isteri-isteri Nabi, siapa-siapa di antaramu yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata, niscaya akan dilipat gandakan siksaan kepada mereka dua kali lipat. Dan adalah yang demikian itu mudah bagi Allah.

Akibat dari kedudukan yang tinggi ialah tanggungjwab yang berat. Seorang hamba perempuan dibenarkan untuk memaki baju hidup tertutup di antara pusat dengan lutut, tetapi bagi seorang perempuan merdeka, yang boleh dibuka hanyalah muka dan kedua telapak tangan saja. hukuma seorang hamba sahaya jika ia dihukum dera, hanyalah separuh dari hukum yang harus diterima oleh orang yang merdeka.

Isteri-isteri nabi adalah orang-orang yang lebih dihormati, mereka dianggap sebagai ibu kepada orang-orang beriman. Al Quran diturunkan di rumah mereka. Sebab itu mereka wajib menjaga maruah mereka. Meskipun agama Islam tidak melarang memakai perhiasan, sebagaimana yang telah disebutkan di dalam surah Al Anfal ayat 32, namun mereka tidaklah boleh menyerupai tingkah laku orang-orang kebanyakan. Jika mereka berbuat sesuatu perbuatan yang tidak patut, yang menyalahi di pandangan mata orang kebanyakan, maka dosanya akan menjadi dua kali ganda dari dosa perempuan kebanyakan. Sebab dari mereka lah perempuan-perempuan Islam hendak mengambil contoh teladan yang baik.

Makanya Allah tidak akan memandang remeh dan akan segera mengambil tindakan terhadap mereka mentang-mentang mereka ini adalah isteri nabi, jika mereka membuat kesalahan. Tidaklah suka bagi Allah untuk menjatuhkan hukuman ke atas mereka.

Menurut penyelidikan para ulamak terhadap sejarah Rasulullah dan rasul-rasul yang lain, tidaklah ada dari isteri nabi yang mana pun yang berbuat dosa keji umpamanya zina. Dua orang isteri nabi dicatat bersalah besar, iaitu isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut. Dosa keduanya ialah kerana mereka tidak mempedulikan seruan suami mereka. Bahkan turut menentangnya. Mereka masih berpihak kepada kaum yang menyembah berhala.

Maka dosa mereka berdua ini samalah dengan dosa Hindun isteri Abu Sufyan di masa jahiliyah yang menentang nabi bersama-sama suaminya. Tetapi setelah Abu Sufyan masuk Islam, seketika nabi s.a.w. mengadakan bai’at dan menyebutkan ‘jangan berzina”, Hindun dengan tercengang berkata, “apakah ada perempuan merdeka yang berzina?” Maksudnya meskipun Hindun menentang Islam semasa di zaman jahiliyah dengan begitu kerasnya, sampai dibelahnya dada Hamzah setelah tewas di perang Uhud lalu digigitnya jantung Hamzah, namun… zina masih dipandangnya sekali-kali tidak layak bagi perempuan merdeka. Ataupun untuk perempuan yang terhormat seperti dirinya.

Maka dapatlah diambil kesimpulan di sini bahwa isteri-isteri Nabi jika berbuat dosa, maka dosa itu adalah sebagai kekejian yang nyata, yang dapat menjadi buah mulut orang, misalnya, mengumpat orang lain, mencela memaki orang, mencuri, memfitnah, dan segala dosa yang akan menjatuhkan maruah di depan orang ramai. Dan bukannya dosa itu sampai berzina.

Okay, daripada ayat ini dapatlah kita fahami perbezaan di antara pemerintahan dengan dasar agama ataupun pemerintahan nubuwwat dengan pemerintahan dengan dasar untuk mengukuhkan kuasa diraja ataupun kuasa pemerintah itu sendiri.

Kalau dalam pemerintahan diraja, pemerintahan yang berdasarkan untuk mengekalkan kuasa pemerintah itu sendiri, mereka akan membuat undang-undang dan dijalankan di sesebuah negara itu adalah semata-mata untuk mengukuhkan kedudukan mereka saja. Umpamanya, undang-undang rasuah la misalnya kita ambik di sini. Rakyat di dalam negara itu semuanya dilarang untuk mengamalkan rasuah. Sekiranya mengamalkan rasuah akan dihukum. 

Tetapi cuba kalau yang mengamalkan rasuah itu adalah dari kalangan pihak kerajaan sendiri. Menteri-menteri mereka, pembesar-pembesar mereka. Sudah tentulah perkara ini akan didiamkan saja dan tidak akan diambil apa-apa tindakan. Walaupun rakyat ramai yang mengeluarkan rasa ketidak puasan hati dan memprotes. Tetapi semuanya akan dibiarkan saja dan protes rakyat itu bagaikan mencurah air di daun keladi saja. Dan kalau pun menteri-menteri yang didapati mengamalkan rasuah itu didapati bersalah, hukuman yang dijatuhkan adalah lebih ringan dari hukuman yang dikenakan ke atas rakyat jelata. Ini kononnya bagi mengenang jasa-jasa menteri tersebut yang selama ini telah banyak menabur budi kepada negara. Itulah kepincangan dasar pemerintahan sesebuah negara yang didasarkan untuk mengekalkan kuasa tampuk pemerintahan semata-mata.

Dalam ayat ini bertemulah kita kepada peringatan Allah untuk isteri-isteri baginda, kalau mereka berbuat keji yang akan merosakkan maruah di hadapan mata umum, mereka bakal akan dikenakan azab yang berlipat kali ganda. Inilah pemerintahan yang didasari oleh agama. Ataupun nubuwwat. Ini kerana mereka ini adalah contoh teladan kepada umum, dan seharusnya mereka tahu hukum hakam lebih dari umum dan mengamalkan syariat lebih dari umum. Makanya sekiranya mereka tidak memelihara diri mereka juga, dan umum melihat akan kepincangan yang ada pada mereka yang sepatutnya menjadi role model kepada umum, maka ianya memanglah tidak boleh diterima. Dan sepatutnyalah mereka dikenakan penderitaan dua kali ganda.

Inilah keadilan hukum di dalam Islam. Sebab hukum itu datang dari Allah. Bertambah tinggi kedudukan, bertambah besar pengorbanan yang harus diterima. Bertambah besar pula dosa yang harus dipikul sekiranya hukum Allah mereka langgar.










No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.