Thursday, December 17, 2015

Surah Saba' Ayat 1 - 10





Pengenalan

Surah ini diberi nama Saba’ iaitu nama dari sebuah negeri di Yaman, selatan Tanah Arab. Di sana di zaman purbakala berdiri sebuah Kerajaan Arab yang besar. Ratu Balqis yang tersebut kisahnya dengan Nabi Sulaiman di dalam surah An Naml. Kisah negeri Saba’ akan disebut dari ayat 15 hingga 19 dalam surah ini. Maka dari sebutan Saba’ dalam ayat 15 inilah diambil sempena nama surah ini.

Surah ini diturunkan di Mekah selepas surah Luqman. Ia mengandungi 54 ayat. Sebagai kebiasaan surah-surah yang diturunkan di Mekah adalah tuntunan kepada tauhid, dalil tentang keesaan Allah dan dasar-dasar kepercayaan akan adanya hari kiamat.

Ada dua cerita penting terdapat di dalam surah ini. Pertama dari hal Nabi Daud dan puteranya Nabi Sulaiman. diterangkan tentang keisitimewaan yang dianugerahkan Alah kepada Nabi dua beranak ini yang juga menjadi Raja kepada Bani Israel.

Setelah itu dikisahkan pula tentang perihal kesuburan dan kemakmuran negeri Saba’. Pada kedua kisah pendek itu ada ditekankan betapa pentingnya mensyukuri nikmat Allah. Nikmat yang berganda akan diberikan Allah jika hambaNya itu bersyukur. Dan Allah boleh saja menarik kembali nikmat yang diberikan itu sekiranya tidak bersyukur.

Marilah kita sama-sama mentadabbur surah yang menarik ini. Semoga Allah memberikan kita kefahaman dan seterusnya mengamalkan apa yang diajarkan dan meninggalkan apa yang ditegah.




Saba’ Ayat 1


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِي الْآخِرَةِ ۚوَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ
Segala puji bagi Allah yang memiliki apa yang di langit dan apa yang di bumi dan bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. Dan Dia-lah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
 
Di dalam ayat ini digunakan perkataan ‘samaawaati’ yang bererti banyak langit bukan satu langit saja, maka dapatlah kita renungkan betapa luasnya alam semesta ini yang dicakupi oleh kekuasaan dan kebesaran Allah. Segala puji-pujian kita ambil menjadi erti dari kalimah ‘alhamdu’. Kerana menurut ilmu bahasa, dengan meletakkan dua huruf di pangkal kalimat, iaitu alim dan lam, maka jadilah ia mencakupi segala macam jenis pujian, apa-apa jua pujian, hanyalah patut diterima oleh ALLAH sahaja.

Sebab itu maka dalam segala kalimah alhamdu, yang dimulai sejak dari surah Al Fatihah telah terkandung ajaran tauhid. Bahwasanya segala jenis pujian hanyalah untuk Allah saja. Dan pujian itu Allah yang punya. Misalnya seseorang mendapat kedudukan tertinggi di dalam masyarakat, kerana pangkatnya, kerana kekayaannya, kerana kepintarannya dalam ilmu pengetahuannya, maka sekarang ini bukanlah dia yang patut dipuji. Tetapi Allah! Ini kerana semua yang ia dapati itu adalah tidak lain kerana Allah yang berikan kepadanya. Allah yang kurniakan kepadanya.

Allah lah yang memiliki segala apa yang ada di langit. Sejak dari matahari, bulan, berjuta-juta bintang. Semuanya terjadi atas kehendak Allah dan semua itu adalah milik Allah ta’ala sahaja. Maka bilamana fajar telah menyinsing dan matahari pun mula terbit, sehingga hari pun menjadi terang benderang yang dipanggil siang. Dan kita pula dapatlah kita menjalani hidup kita di dalam keadaan siang yang terang itu untuk berusaha. Maka hasil yang kita dapat di atas usaha kita pada hari itu, kita sepatutnya memuji Allah.

Dan hari pun malam kerana edaran bumi mengelilingi matahari, kita pun dapat berehat dari kepayahan di siang hari. Di malam hari terasalah kesejukan dan kenyamanan tidur. Dan di kala itu kita juga sepatutnya memuji ALLAH.

Ada kalanya ketika malam kita nampak di perkarangan rumah keindahan bulan purnama yang bercahaya. Alangkah indahnya cahaya bulan purnama di malam hari. Maka kita juga sepatutnya memuji Allah.

Ataupun kita berlayar ke lautan lepas, mengharungi ombak dan gelombang menuju ke suatu benua yang tertentu. Tetapi daratan itu belum kelihatan lagi kerana masih jauh. Di langit kita melihat bintang-bintang. Letaknya bintang-bintang itu tidak berubah-ubah sejak ribuan bahkan jutaan tahun, ada yang mengarah ke selatan, atau ke utara, ke barat atau ke timur. Dengan letak bintang-bintang itu dapatlah kita menentukan arah ke mana kita harus berlayar. Maka kita pun sepatutnya memuji Allah.

Banyaklah lagi kekuasaan Allah yang lain diturunkan dari langit, sebagai perkisaran angin, pergantian udara, perarakan awan dan turunnya hujjan. Kian lama akan kian terasa hidup kita dengan langit, baik langit secara kebendaan, dalam hubungan sebagai yang kita huraikan di atas, ataupun langit secra kerohanian dengan turunnya wahyu, dengan naiknya doa kita ke atas dan dengan turunnya rahmat Allah ke bawah. Semuanya itu menyebabkan puji segala puji, yang tidak akan putus-putus selama-lamanya kepada Allah saja.

Itu baru langit. Dan sementara apa yang di bumi pula, segala puji-pujian untuk Allah ataas hak milik Allah yang berkembang di muka bumi yang semuanya berhubungan dengan hidup kita. Bumi yang terbentang luas, air laut beralun-alun, lalu menjadi wap naik ke udara, disaring oleh awan gemawan, kemudian terkumpul menjadi air, lalu ia turun kembali menjadi hujan, untuk menyuburkan bumi itu sendiri. Kerana dengan kesuburan bumi segala yang melata di muka bumi termasuklah kita manusia akan dapat meneruskan hidup. Dan di mukabumi itu sendiri tumbuhlah berbagai tumbuh-tumbuhan, kayu kayan, sayur sayuran, buah-buahan untuk faedah bagi manusia. Segala puji bagi Allah. Maka selagi nyawa kita ini masih dikandung badan, akan mengalirlah puji-pujian ini dari kesedaran jiwa kita. Dan setelah nyawa bercerai dari badan, ketika itu barulah akan behenti pujian lidah. Akan tetapi tidak berhenti pujian jiwa.

Setelah nyawa kita bercerai dari badan, pujian itu tetap akan bersambung lagi kerana nikmat yang akan kita terima di akhirat kelak oleh setiap manusia yang beriman dan taat akan perintahNya. Pujian itu akan bersambung tidak putus-putus, sebab mereka akan mendapat tempat yang layak di dalam syurga nanti.

Sesungguhnya Allah lah Yang Maha Bijaksana dalam mengatur kekuasaanNya di langit dan di bumi. Dalam mentadbirkan urusan makhlukNya bersesuaian dengan hikmat yang dikehendakiNya.








Saba’ Ayat 2


يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِي الْأَرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا ۚوَهُوَ الرَّحِيمُ الْغَفُورُ
Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi, apa yang ke luar daripadanya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dia-lah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

Bilamana kita renungkan sebahagian kecil saja dan dalam masa beberapa saat saja apa yang masuk menyelinap ke dalam bumi dan apa pula yang keluar dari dalamnya, maka kita akan merasa insaf betapa Maha Besar dan Maha luasnya ilmu Allah ke atas makhlukNya ini. berapa agaknya banyaknya tunas kecil dari kacang, tunas kecil di hujung padi, tunas kecil di hujung biji limau atau jeruk bila ia telah mencecah ke kulit bumi. Dan ia mulai menusuk ke dalam tanah. Dan dengan beransur-ansur ia mula berhubungan dengan bumi itu dan akan mengambil sarinya.

Lihatlah misalnya buah kelapa yang telah tua, bagaimana dari dalam tempurung yang bermata tiga itu, muncul dengan sangat beransur perlahan dari salah satu mata itu suatu tunas yang keluar dari selaput putih lembut yang telah tumbuh memenuhi seluruh isi tempurung itu dan menghisap airnya. Padahal kalau selaput putih itu dijentik sedikit saja, ia akan pecah kerana sangat lembut dan tipis kulitnya. Tetapi dari selaput putih yang lembut itu maka timbul pula tunas yang sangat keras yang akan menembuskan tempurung itu sendiri sampai pecah dan menumbuhkan sabut yang tebal dan lasak. Maka muncullah pucuk keluar dari dalamnya dan muncul pula urat-urat yang akan menyelinap ke dalam bumi. Sungguh sangat dahsyat jika dipelajari dan direnungkan dengan teliti.

Yang lebih ajaib pula ialah perjalanan air yang keluar dari dalam bumi, lalu mengalir dengan caranya sendiri di dalam tubuh pohon-pohon kayu yang besar yang akan menyebabkan kayu-kayu dan pohon-pohon itu hidup. Ada semacam akar kayu yang besar, namanya akar lundang. Di dalam urat akar lundang itu adanya air. Jika kita berubat dengan dukun sebelum adanya doktor di kampung-kampung pedalaman, dukun itu menyuruh kita untuk menampung air lundang itu dengan tabung untuk dijadikan ubat. Yang ajaibnya ialah bahwa air itu akan diambil dari urat yang telah dipotong di sebelah bawah, dalam perjalanannya mengalir ke dalam batang. Ada orang yang tidak tahu perkara ini, lalu digantungnya tabung penampung itu pada urat yang lekat pada pohon. Sudah pastilah air tidak akan keluar dari batangnya. kerana air itu datang dari dalam bumi dengan melalui urat pokok itu.

Di perkarangan rumah kita tanamkan tampung labu, ataupun mentimun ataupun peria. Ini adalha jenis sayur yang menjalar dan mesti diberikan tempat untuk junjungan. Di hujung pucuknya ada seperti benang halus yang selalu mencari tempat ia bergantung. Berikal-ikal macam spring. Hairan dan kagumlah kita, kerana baru kelmarin petang benang itu masih berayun-ayun di bawa angin. Tetapi besok paginya kita lihat ia sudah pun bergantung erat melilit pada sebatang ranting kayu yang tumbuh dekat dengannya. Sampai kita akan tertanya-tanya dalam hati, “bila masa pokok ni mulai bergantung, sejak bila pula ia melilit erat ranting itu sehingga sukar untuk ditanggalkan?”

Begitulah yang terjadi pada setiap saat di permukaan bumi ini. Baik di hutan rimba belantara, ataupun di kebun yang teratur ketika lada hitam mula berbunga dan akan berbuah di atas junjungannya, ketika buah getah berbunyi bedetak di tengah malam memecahkan diri untuk berserakan ke bumi mencari tempat untuk tumbuh lagi.

Inilah yang terjadi pada setiap saat dalam dasar lautan, sehingga ada seperti karang yang terpaku selama-lamanya pada tempat ia tumbuh. Padahal ia adalah sejenis ikan juga. Ia bukan mencari makan ke tempat lain, kerana dirinya melekat tetap di tempat ia tumbuh, melainkan makanan lah yang datang menghantarkan dirinya sendiri untuk dimakan. Ikan -ikan kecil yang singgah untuk melindungi diri atapun untuk berteduh, tetapi sbaliknya telah menjadi makanan kepada karang tadi.

Ada beribu-ribu dan berjuta-juta yang meyelinap masuk dengan beransur-ansur ke dalam bumi dan adalah beribu-ribu dan berjuta-juta pula yang keluar dari dalam bumi. Berapa banyaknya, berapa ribu, berapa juta jika musim bunga berkembang atau kelak dilanjutkan pula dengan musim buah, akan tumbuhlah bermacam-macam buah-buahan.

“apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya”.
Sekarang mari kita renungkan pula apa yang selalu naik meningkat ke langit. Baik langit yang terdekat atau langit yang paling jauh. Secara lair dan bersifat benda kita akan melihat air laut menguap ke atas, kemudian wap air itu lama-lama akan berkumpul menjadi kabut, dan kabut pun berarak menjadi awan, dan awan menebal menjadi semakin tebal dan berat. Lalu lamakelamaan ia pun turun ke bumi sebagai hujan.

Zat apa yang dibawa oleh air, yang menyebabkan seluruh bumi menjadi hidup? Di mana terletaknya oksigen, dari mana melayangnya hidrojen dan apa pertalian dengan zat karbonium? Berapa jenis agaknya gas ringan yang terapung ke atas dan zat berat yang turun ke bawah? Zat apa yang timbul dari sebab cahaya matahari/ apa yang ada dlam cahaya itu yang ianya mula turun ke bawah? Apakah yang disebut dengan ultraviolet? apakah yang disebut dengan pengaruh panas cahaya matahari dan berapa darjat yang dpat diambil faedahnya oleh manusia? Semua ini menjadi kajian dan akan membangkitkan kekaguman kita yang tidak sudah-sudah kepada kebesaran dan kekuasaan Allah.

“Dan Dia-lah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.”
Setelah manusia merenungi akan kebesaran dan keluasan ilmu Allah serta kekuasaanNya yang meliputi seluruh alam semesta, maka insaflah bahwa terlalu amat kecillah manusia ini sehingga boleh dikatakan tidak ada nilainya. Tidak ada ertinya. belum ada ilmu manusia tentang alam ini, hanya secubit pun tidak sampai.






Saba’ Ayat 3


وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَأْتِينَا السَّاعَةُ ۖقُلْ بَلَىٰ وَرَبِّي لَتَأْتِيَنَّكُمْ عَالِمِ الْغَيْبِ ۖلَا يَعْزُبُ عَنْهُ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ وَلَا أَصْغَرُ مِنْ ذَٰلِكَ وَلَا أَكْبَرُ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Dan orang-orang yang kafir berkata: "Hari berbangkit itu tidak akan datang kepada kami". Katakanlah: "Pasti datang, demi Tuhanku Yang mengetahui yang ghaib, sesungguhnya kiamat itu pasti akan datang kepadamu. Tidak ada tersembunyi daripada-Nya seberat zarrahpun yang ada di langit dan yang ada di bumi dan tidak ada (pula) yang lebih kecil dari itu dan yang lebih besar, melainkan tersebut dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)",

Orang-orang yang mengingkari adanya hari kiamat atau lantaran lama mereka menunggu-nunggu sehingga lambat benar datangnya kiamat itu. Lalu mereka berkata dengan cara mengejek, “tak akan datang kiamat itu kepada kita, manakan ada hari kebangkitan, dan tak akan ada hari perkiraan selepas kita meninggal dunia.”

Maka Allah suruh RasulNya menjwab kata-kata mereka itu supaya menafikan dakwaan mereka dengan firmanNya, "Pasti datang, demi Tuhanku Yang mengetahui yang ghaib, sesungguhnya kiamat itu pasti akan datang kepadamu.” Ayat ini merupakan perintah, supaya bersumpah menguatkan tentang kedatangan kiamat itu bila mana orang-orang yang syirik mengingkarinya.

Kemudian Allah menerangkan tentang sifatNya yang ada pada diriNya. Iaitu sewaktu kedatangan kiamat itu nanti, tiada siapa yang tahu kecuali Allah saja. Kerana Allah adalah tuhan yang mengetahui perkara ghaib dan tersembunyi. Baik yang ada di langit mahupun yang ada di bumi, darijenis benda yang sekecil-kecilnya seeprti habuk atau debu, bahkan yang lebih kecil dari itu biar di mana ia berada dan ke mana ia pergi akan diketahui Allah.

Dan begitulah juga benda-benda yang besar dari itu akan diketahui juga. Kerana semuanya adalah termaktub di dalam LohMahfuz dengan tulisannya  yang amat terang. Kemudian segala makhlukNya akan dikembalikan kepadaNya sebagai semula,kerana Allah maha Berkuasa mengadakan segala sesuatu.







Saba’ Ayat 4 Dan 5


لِيَجْزِيَ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ ۚأُولَٰئِكَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
4 - supaya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh. Mereka itu adalah orang-orang yang baginya ampunan dan rezki yang mulia.


وَالَّذِينَ سَعَوْا فِي آيَاتِنَا مُعَاجِزِينَ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مِنْ رِجْزٍ أَلِيمٌ
5 - Dan orang-orang yang berusaha untuk (menentang) ayat-ayat Kami dengan anggapan mereka dapat melemahkan (menggagalkan azab Kami), mereka itu memperoleh azab, yaitu (jenis) azab yang pedih.

Di sini Allah menyatakan tentang hikmahnya kenapa dikembalikan jasad manusia yang sudah hancur menjadi tanah itu balik hidup semula dan bangun dari kuburnya. Tujuannya ialah tidak lain untuk memberikan pembalasan yang baik kepada orang yan beriman kepada Allah dan orang-orang yang beramal soleh. Mereka ini akan hidup senang lenang di dalam syurga dengan mendapat rezeki yang mulia, iaitu nikmat yang dapat diperolehi dengan mudah tanpa berpenat lelah di sana nanti.

Allah juga akna memberikan pembalasan kepada orang-orang yang berusaha melemahkan keterangan dan hujah-hujah Nya secara kufur, kerana mereka menyangka bahwa mereka itu boleh berbuat sewenang-wenangnya dan menganggap bahwa Allah tidak akan dapat menimpakan seksaan kepada mereka.

Bahkan ketahuilah bahwasanya Allah itu akan memasukkan mereka ke dalam neraka Jahanam disebabkan buruknya kesalahan dan kejahatan yang telah mereka lakukan.

Kesimpulannya ialah hari kiamat itu pasti akan datang. Ini pasti kerana pada hari kiamatlah orang-orang beriman akan mendapat kemenangan dan kebahagiaan yang dijanjikan Allah dan orang-orang kufur pula akan mendapat balasan seksaan azab seperti mana yang diancam oleh Allah di dalam Al Quran.








Saba’ Ayat 6 Hingga 8


وَيَرَى الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ الَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ هُوَ الْحَقَّ وَيَهْدِي إِلَىٰ صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
6 - Dan orang-orang yang diberi ilmu (Ahli Kitab) berpendapat bahwa wahyu yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itulah yang benar dan menunjuki (manusia) kepada jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.


وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا هَلْ نَدُلُّكُمْ عَلَىٰ رَجُلٍ يُنَبِّئُكُمْ إِذَا مُزِّقْتُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ إِنَّكُمْ لَفِي خَلْقٍ جَدِيدٍ
7 - Dan orang-orang kafir berkata (kepada teman-temannya): "Maukah kamu kami tunjukkan kepadamu seorang laki-laki yang memberitakan kepadamu bahwa apabila badanmu telah hancur sehancur-hancurnya, sesungguhnya kamu benar-benar (akan dibangkitkan kembali) dalam ciptaan yang baru?


أَفْتَرَىٰ عَلَى الَّهِ كَذِبًا أَمْ بِهِ جِنَّةٌ ۗبَلِ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ فِي الْعَذَابِ وَالضَّلَالِ الْبَعِيدِ
8 - Apakah dia mengada-adakan kebohongan terhadap Allah ataukah ada padanya penyakit gila?" (Tidak), tetapi orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat berada dalam siksaan dan kesesatan yang jauh.

Allah membawakan bukti pengakuan dariapda orang-orang yang berilmu pengetahuan, iaitu daripada golongan orang-orang Ahli Kitab seperti Abdullah bin Salam dan Kaab, dan juga golongan sahabat-sahabat nabi seperti orang-orang yang datang selepas mereka dari umat nabi Muhammad s.a.w. Mereka itu telah mengaku dengan mengatakan bahwa sesungguhnya apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w. mengenai kedatangan hari kiamat itu dan adanya hari pembalasan itu adalah benar belaka dan ianya datang dari Allah.

Kebenaran itu tidak diragukan dan perkara yang hak itu menunjukkan serta memberikan pimpinan kepada sesiapa yang mahu mengikutinya, ke jalan yang diredhai Allah. Dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalang atau menggagalkannya. Kerana Allah itu berkuasa atas segala sesuatu. Dan Allah adalah Maha Terpuji segala kata-kata dan perbuatanNya, bahkan apa yang diturunkanNYa adalah merupakan syariat dan agama.

Orang-orang yang tidak mahu menerima seruan RasulNya dan tidak mahu menerima Al Quran dan tidak mahu percaya bahwa hari kiamat itu pasti terjadi, mereka bertanya sesama mereka dengan nada mengejek dan menghina, tahukah kamu ada seorang lelaki dia berkata bahwa nanti setelah mati tubuh badan mereka akan dibangkitkan kembali?  Tahukah kamu siapa lelaki itu?

Sudah pastilah orang-orang kafir itu telah tahu siapa yang dimaksudkan oleh kawannya yang bertanya itu. Dan mereka berkata lagi bahwa sesungguhnya orang yang mendakwakan demikian dan menjanjikan seperti itu tidak lain dialah orang yang mengalami dua keadaan. Samada telah mengadakan cerita bohong dan dusta terhadap tuhan ataupun agakanya dia orang yang mengidap penyakit gila.

Dan kata-kata ejekan itu telah ditindas oleh Allah dengan firmanNya “(Tidak), tetapi orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat berada dalam siksaan dan kesesatan yang jauh.”

Nabi Muhamamd yang mereka tuduh mengadakan cerita dusta terhadap Alah ataupun yang sedang mengidap penyakit gila itu adalah orang yang bijaksana. Iaitu orang yang dapat membawakan kebenaran. Tuduhan mereka terhadap nabi adalah tidak berasas sama sekali. Bahkan mereka itulah orang-orang yang jahil dan bodoh, yang sudah pun rosak akal fikirannya. Ataupun kerana sudah tersesat jauh dari kebenaran dan jauh dari pemahaman. Maka perkaar keimanan yang mereka perolok-olokkan itu, boleh menyebabkan mereka diseksa dan mendapat kemurkaan Allah.





Saba’ Ayat 9


أَفَلَمْ يَرَوْا إِلَىٰ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ ۚإِنْ نَشَأْ نَخْسِفْ بِهِمُ الْأَرْضَ أَوْ نُسْقِطْ عَلَيْهِمْ كِسَفًا مِنَ السَّمَاءِ ۚإِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِكُلِّ عَبْدٍ مُنِيبٍ
Maka apakah mereka tidak melihat langit dan bumi yang ada di hadapan dan di belakang mereka? Jika Kami menghendaki, niscaya Kami benamkan mereka di bumi atau Kami jatuhkan kepada mereka gumpalan dari langit. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Tuhan) bagi setiap hamba yang kembali (kepada-Nya).

Di sini Allah menyebutkan beberapa bukti mengenai kekuasaanNya, untuk mengingatkan kepada orang-orang yang tidak percaya akan dibangkitkan dari kubur dan orang yang mendustakan hari akhirat, agar mereka jangan berterusan terjerumus ke dalam kebinasaan.

Mereka disuruh melihat kepaa alam sekeliling berupa langit dan bumi. Di mana saja mereka berada mereka akan melihatnya, dan pasti ada langit tempat dijunjung dan bumi tempat berpijak. Maka hendaklah mereka menginsafi tentang kejahilan mereka. Kerana itu janganlah mereka mendustakan adanya hari kiamat dan hari kebangkitan. Bahkan hendaklah merka berasa takut kepada ancaman Alalh disebabkan mendustakan apa yang telah dijanjikanNya.

Allah mengingatkan, iaitu jika Allah bekehendak, passti bumi ini diperintahkan untuk menelan mereka supaya terbenam ke dalam dasar. Atau jika Allah berkehendak, pasti ditimpakannya bencana alam yang datang dari langit jatuh bertompok-tompok membinasakan mereka. Kerana apa yang sudah dikehendaki Allah pasti dapat dilakukanNya.

Akan tetapi ketetapan Allah untuk menangguhkan dan melambat-lambatkan turunnya seksaan umpamanya, bukanlah bererti Allah tidak menepati janji. Bahakn itulah tandanya Allah bersifat penyantun dan penyayang.

Peringatan yang begini kalau masih juga diberikan, adalah menunjukkan bahwa terlampau sangat jahilnya mereka dan terlampau jauhnya kesesatan mereka ini.

“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Tuhan) bagi setiap hamba yang kembali (kepada-Nya).”
Orang yang mahu memerhatikan tentang kejadian langit dan bumi ini, akan memperolehi bukti kekuasaan Allah yang menunjukkan bahwa dia berfikiran cerdik kerana mahu bertaubat atau kembali kepada kebenaran. Maksudnya kembali kepada tuhan yang sempurna kudratNya kerana berkuasa mengadakan hari akhirat. Maka tuhan yang berkuasa menciptakan langit dan bumi dari jenis makhluk-makhluk yang sangat besar, tentulah berkuasa juga untuk mengembalikan jasad manusia yang sudah mati untuk dihidupkan semula. Bahkan ianya lebih mudah lagi bagiNya.







Saba’ Ayat 10


وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ مِنَّا فَضْلًا ۖيَا جِبَالُ أَوِّبِي مَعَهُ وَالطَّيْرَ ۖوَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيدَ
Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman): "Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud", dan Kami telah melunakkan besi untuknya,

Setelah Allah menyebutkan bahwa terciptanya langit dan bumi itu menandakan tentang kekusaanNya bagi siapa yang mahu bertaubat dan kembali kepada Allah, maka di ayat ini diterangkan siapakah yang dimaksudkan itu. Di antara mereka ialah Nabi Allah Daud a.s.

Nabi Daud a.s. telah diberikan anugerah yang sangat istimewa. Nabi Daud juga mempunyai pangkat kenabian, menjadi raja yang memerintah banyak bala tentera, cukup alat senjatanya. Di samping itu dikurniakan pula suara yang lunak merdu bagaikan serunai malam yang mendayu-dayu bagai tiupan buluh perindu. Apabila Nabi Daud mendendangkan lagu tasbih, siapa saja yang mendengarkannya akan terkhayal, termasuklah gunung ganang juga akan terpegun, dan kemudiannya akan ikut sama bertasbih dengan suara yang bergema. Begitu juga dengan burung-burung yang lalu di situ akan berhenti lalu hingga di atas pohon kayu untuk mengikuti tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud. Semuanya akan terpukau.

Dan ini lah yang yang difrmankan Allah : "Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud" Maka gunung-ganang dan burung-burung itu pun setiap kali mendengar nabi Daud bertasbih atau meratapi Tuhannya, mereka pun juga akan ikut bertasbih dengan suara bergema sahut menyahut melukiskan suasana sekeliiling menjadi sayu. Ataupun apabila Nabi Daud sedang berasa jemu dan malas, maka Allah akan memperdengarkan suara tasbih dari gunung ganang dan burung, yang menyebabkan Nabi Daud berasa cergas kembali.

“dan Kami telah melunakkan besi untuknya’
Allah mentakdirkan benda logam dari besi menjadi lunak apabila dipegang oleh Nabi Daud. Besi itu akan cair bagaikan lilin atau tepung yang telah diuli, maka mudahlah ia untuk dibuat apa saja yang dikehendakinya tanpa menggunakan api sebagai bahan bakar atau tukul besi sebagai alat pengetuk.

Nabi Daud adalah orang pertama sekali yang pandai membuat baju besi dengan cara ditenun, sedangkan sebelum itu orang merangkaikan keping-keping besi antara satu sama lain menyebabkan berat orang memakainya. Dan adalah dikatakan Nabi Daud telah menjual sehelai baju besi dengan harga 4000 dirham. Dari hasil jualan itulah Nabi Daud makan dan memberi makan tanggungannya, di samping itu dapat juga bersedekah kepada fakir miskin. Dalam hubungan ini Nabi Muhammad s.a..w. pernah bersabda bahwa : “adalah nabi Daud a.s. tidak makan melainkan daripada kerja tangannya.”







No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.