Friday, December 18, 2015

Surah Saba' Ayat 11 - 20







Saba’ Ayat 11

أَنِ اعْمَلْ سَابِغَاتٍ وَقَدِّرْ فِي السَّرْدِ ۖوَاعْمَلُوا صَالِحًا ۖإِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
(yaitu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya; dan kerjakanlah amalan yang saleh. Sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan.

Allah memberikan kepada Nabi Daud kepandaian membuat baju daripada besi sebagai perisai dan alat senjata, dengan bentuk jalinan tenunannya yang berukuran seperlunya dengan sempurna. Kemas buatannya dan tidak pula longgar, mudah pula dipakai ketika bertahan atau menyerang musuh, tanpa menyusahkan atau menyakiti orang-orang yang memakainya. Inilah cara membuat rekaan dengan menenun baju besi dari jalinan ranta-rantai besi yang halus buatannya, yang diajarkan Allah kepada Nabi Daud dan dia telah membuat sehelai baju besi dalam masa sehari saja.

Allah memberitahu Nabi Daud supaya Nabi Daud dan keluarganya beramal dengan mentaati Allah dan di atas amalan yang baik mereka itu, Allah akan memberikan balasan. Allah juga akan sentiasa memerhatikan dan melihat apa yang mereka kerjakan dan mereka katakan.







Saba’ Ayat 12


وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ غُدُوُّهَا شَهْرٌ وَرَوَاحُهَا شَهْرٌ ۖوَأَسَلْنَا لَهُ عَيْنَ الْقِطْرِ ۖوَمِنَ الْجِنِّ مَنْ يَعْمَلُ بَيْنَ يَدَيْهِ بِإِذْنِ رَبِّهِ ۖوَمَنْ يَزِغْ مِنْهُمْ عَنْ أَمْرِنَا نُذِقْهُ مِنْ عَذَابِ السَّعِيرِ
Dan Kami (tundukkan) angin bagi Sulaiman, yang perjalanannya di waktu pagi sama dengan perjalanan sebulan dan perjalanannya di waktu sore sama dengan perjalanan sebulan (pula) dan Kami alirkan cairan tembaga baginya. Dan sebahagian dari jin ada yang bekerja di hadapannya (di bawah kekuasaannya) dengan izin Tuhannya. Dan siapa yang menyimpang di antara mereka dari perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala.

Di sini Allah menyebutkan pula tentang anugerah yang Allah berikan kepada anak nabi Daud iaitu Nabi Sulaiman. Allah memberikan kuasa dan kemudahan kepada Nabi Sulaiman untuk menggunakan angin sebagai khadamnya, yang akan berkhidmat membawanya terbang jauh jika hendak berlayar ke mana-mana. Jika dia hendak berangkat dari pagi hingga ke tengah hari kelajuan angin itu menyamai perjalanan sebulan mengikut perjalanan penunggang di darat yang biasa. Dan jika berangkat pada sebelah petang mulai tengahari hingga terbenam matahari juga adalah sejauh perjalanan satu bulan.

Kata Qatadah, angin yang menerbangkan Nabi Sulaiman dari pagi ke tengahari sejauh perjalanan sebulan, dan dari tengahari hingga terbenam matahari juga menyamai sebulan Kata Al Hasan Al Basri, Nabi Sulaiman berlayar pagi di atas tikar terbang dari Damsyiq turun di Istokher untuk makan tengahari, kemudian berangkat pula dari Istokher lalu menginap untuk makan malam di Kabul, sedangkan jarak perjalanan antara satu negeri dengan yang lain memakan masa sebulan genap dalam perjalanan darat yang biasa.

“dan Kami alirkan cairan tembaga baginya.”
Maksud ayat ini adalah sebagaimana Allah melunakkan besi untuk nabi Daud, begitulah juga Allah lunakkan logam dari tembaga untuk Sulaiman. Dan Nabi Sulaiman telah pun membuat bermacam-macam benda daripada tembaga bekeadaan sejuk tidak memerlukan api. Logam dari tembaga itu mengalir dari mata airnya sebagai air tuk yangmengalir dari mata airnya.

“Dan sebahagian dari jin ada yang bekerja di hadapannya (di bawah kekuasaannya) dengan izin Tuhannya.”
Maksudnya Allah mengarahkan bangsa jin untuk berkhidmat kepada Nabi Sulaiman dan mematuhi segala perintahnya untuk membina bangunan-bangunan dan sebagainya dengan izin dan kekuasaan Allah. Jadi sesiapa saja dari bangsa jin ini yang ingkar tidak mahu mematuhi perintah Nabi Sulaiman, pasti Allah akan seksa mereka dengan azab yang pedih di akhirat nanti. Ataupun mereka akan diseksa di dunia lagi. Iaitu Allah akan peirntahkan malaikat untuk menyebat mereka dengan cemeti daripada api neraka sehingga terbakar.

Sisters yang dikasihi,
Sebagai orang-orang yang beriman, kita wajib percaya kepada apa jua yang diterangkan oleh Al Quran mengenai kisah Nabi Sulaiman yang telah diberi kemudahan oleh Allah untuk menjadikan bangsa jin sebagai khadamnya yang boleh diperintah membuat apa saja perkara. Dan kita tidaklah mengetahui bagaimanakah caranya bangsa jin itu bekerja, namun pada ayat-ayat yang berikut ini akan diterangkan pula peranan yang dimainkan oleh bangsa jin itu sehingga dapat menghasilkan karya-karya yang sungguh menakjubkan kerana mereka mematuhi perintah Nabi Sulaiman.







Saba’ Ayat 13


يَعْمَلُونَ لَهُ مَا يَشَاءُ مِنْ مَحَارِيبَ وَتَمَاثِيلَ وَجِفَانٍ كَالْجَوَابِ وَقُدُورٍ رَاسِيَاتٍ ۚاعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا ۚوَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ
Para jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari gedung-gedung yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang (besarnya) seperti kolam dan periuk yang tetap (berada di atas tungku). Beramallah kamu wahai keluarga Daud sebagai tanda bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih.
Bangsa jin itu telah menjadi pekerja kepada Nabi Sulaiman. Bekerja membuat beberapa buah bangunan yang tinggi di antaranya istana-istana yang indah tersergam. Menurut kitab tafsir erti mihrab di dalam ayat ini bukan saja tempat orang bersembahyang mengadap qiblat , tetapi mihrab di sini adalah bangunan-bangunan besar yang berdiri megah. Lebih besar dari rumah biasa. Dan lebih kecil dari shopping mall. Mujahid mengatakan mihrab itu ialah masjid. Sementara Qatadah pula mengatakan mihrab itu adalah gedung-gedung dan juga boleh diertikan dengan masjid.

Maka tugas utama jin-jin itu ialah mendirikan rumah-rumah tempat beribadat dan bangunan-bangunan yang indah, sebab kerajaan Bani Israel pada ketika itu adalah besar dan Jurusalem telah menjadi pusat pemerintahannya.

“dan patung-patung dan piring-piring yang (besarnya) seperti kolam”   
Bila sebut patung saja, pasti akan mendatangkan kemusykilan di hati kita. Mengapa Nabi Sulaiman memerintahkan untuk membuat patung? Padahal agama Allah yang dibawa oleh seluruh nabi mengharamkan penyembahan berhala? Nabi Sulaiman ini adalah anak kepada Nabi Daud yang berketurun Bani Israel, yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Harun mengharungi lautan dan dibelah laut itu menjadi tempat laluan mereka kerana ingin lari penyembahan berhala. Israel yang nama lain bagi Nabi Yaakub, anak kepada Nabi Ishak, anak kepada Nabi Ibrahim, yang terkenal kerana pernah menghancurkan berhala. Tetapi mengapa Nabi Sulaiman menyuruh khadam-khadamnya membuat patung-patung?

Abul ‘Aliyah mengatakan bahwa pada zaman itu patung-patung itu hanyalah untuk hiasan dan bukan untuk disembah. Dan pada masa itu ianya tidaklah terlarang di dalam syariat mereka.

Pada masa itu sudah ada seni lukisan, patung-patung binatang, patung orang, patung burung-burung dan pohon-pohon, namun semuanya adalah untuk dibuat perhiasan dan bukan untuk disembah. Gedung-gedung indah dihiasi dengan lukisan patung. Dan sampai sekarang bekas-bekas istana Babylon di Iraq masih kita dapati perhiasan dinding istana terbuat dari porselin indah merupakan binatang, warna warni yang amat halus buatannya.

Menurut tafsir Al Khazin, di antara binaan yang didirikan oleh jin-jin itu ialah sebuah bandaraya yang pada mulanya dibina oleh Nabi Daud, semasa pemerintahannya. Kemudian ianya diteruskan oleh Nabi Sulaiman setealh Nabi Daud meninggal dunia. Dikumpulkannya ramai dari bangsa jin dan syaitan, lalu dibahagikan menjadi beberapa pasukan. Mereka dikerah sebagai buruh kasar. Tiap pasukan ditugas mencari benda-benda galian dari lombong-lombong. Ada yang mencari batu marmar, kaca atau kristal, ayan atau timah, emas dan perak.

Ada yang ditugaskan mencari batu permata manikam, batu yakut, mutiara dan macam-macam lagi. Benda-benda galian dan logam serta batu permata yang berharga itu apabila telah terkumpul menjadi bahan binaan, lalu dipanggillah pula tukang yang mahir untuk dibuat dalam binaan bangunan. Bandaraya itu dibangun sehingga mengandungi 12 buah bandar baru masing-masing dibina pula beberapa perumahan.

Setelah selesai pembangunan bandaraya itu, kemudian dihimpunkanlah semua pendeta-pendeta dari kaum Bani Israel, dan diisytiharkan di hadapan mereka oleh Nabi Sulaiman bahwasanya masjid yang dibina itu adalah atas dasar semata-mata kerana Allah, dan segala amalannya adalah ikhlas kerana Allah. Maka pada hari pembukaan bangunan itu mereka jadikan hari perayaan.  

Jin dan syaitan ini juga diperintahkan untuk membuat beberapa buah dulang yang besar, masing-masing luasanya seperti kolam, yang dianggarkan tiap-tiap sebuah dulang itu dapat memuatkan makanan yang mencukupi seramai 1000 orang. Dan juga mereka membuatkan periuk-periuk besar yang terjerang di atas tungkunya dengan tidak bergerak-gerak. Dan kerana besarnya periuk-periuk itu hinggakan disediakan tangga-tangga bagi orang yang hendak menaikinya. Barang-barang tersebut terdapat di negeri Yaman.

“Beramallah kamu wahai keluarga Daud sebagai tanda bersyukur (kepada Allah)”.
Allah memerintahkan kepada Nabi Daud, Nabi Sulaiman serta keluarga mereka masing-masing agar mentaati Allah sebagai tanda mensyukuri nikmat-nikmat yang dianugerahkan kepada mereka samada di dalam urusan agama mahupun dunia.  

Setelah sekian banyak nikmat-nikmat yang diberikan kepada keluarga nabi Daud iaitu antaranya ialah nikmat kenabian, nikmat kerajaan, nikmat keahlian, nikmat kesenian, nikmat dapat menakluk burung yang sedang terbagn dengan kemerduan suara dan nikmat dapat memerintahkan jin. Sehingga kerajaan mereka menjadi luas dan besarlah pengaruh mereka, dan limpahan kurnia itu dapat dirasa juga oleh ahli keluarga yang lain, maka datanglah perintah Allah seluruh keluarga mereka agar menerima semua nikmat kurnia Allah itu dengan rasa syukur yang setinggi-tingginya. Dan bukti syukur itu hendakalh dengan bekerja. Bersyukurlah tidaklah ada maknanya kalau hanya mengucapkan syukur di mulut saja, tidak dibuktikan dengan perbuatan.

Ayat ini memberikan peringatan kepada semua orang-orang yang beriman bahwa bekerja, beramal soleh itu adalah hakikat kesyukuran sejati. Kalau misalnya Alalh memberikan kita nikmat dan kurniaan hartabenda itu dengan jalan yang baik. Kalau kita mendapat rezeki hendaklah kita bersyukur dengan membelanjakannya dengan melakukan pekerjaan yang halal. Kalau Allah memberikan kita kurnia ilmu pengetahuan, hendaklah kita bersyukur dengan kita mengajarkan ilmu pengetahuan itu kepada orang lain pula, agar dapat sama-sama diambil faedah dariapdanya. Kalau Allah memberikan kita rezeki dengan kita mendapat sebidang tanah, hendaklah kita mensyukurinya dengan mengusahakan tanah itu dengan cara baik, samada bercucuk tanam ataupun membuat pembinaan rumah atau kedai di atas tanah itu yang mana bersesuaian.

Di hujung ayat ini Allah kata bahwa “Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih.’ Sedikit saja hamba Allah yang bersyukur. Mereka telah dilimpahi rezeki tetapi mereka tidak ingat orang yang patut mereka tolong. Mereka telah diberikan kebun yang luas, sawah bendang berelong-relong, tetapi mereka biarkan dan tidak mengusahakannya, sebaliknya mereka simpan untuk dijadikan sebagai tanah pusaka kepada anak cucu mereka. Mereka dilimpahi umur yang panjang, tetapi mereka tidak mengambil kesempatan yang ada ini untuk beribadat kepada Allah sebaliknya mereka bersuka-suka dan bergembira dengan benda-benda yang lagha. Sebab itulah Allah kata bahwa yang sebenar-benarnya orang yang bersyukur menerima nikmat Allah itu adalah sedikit sangat.







Saba’ Ayat 14


فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَىٰ مَوْتِهِ إِلَّا دَابَّةُ الْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنْسَأَتَهُ ۖفَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَنْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ
Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali rayap yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia telah tersungkur, tahulah jin itu bahwa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak tetap dalam siksa yang menghinakan.

Setiap orang itu tidak akan terlepas dari cengkaman maut kerana kematian itu pasti akan datang menjelang. Seandainya ada yang terselamat, tentulah Nabi Sulaiman orang yang lebih utama terselamat dari maut. Namun hukuman Allah telah menetapkan datangnya ajal kepada Nabi Sulaiman dan akhirnya dia pun meninggal dunia.

Jadi di dalam ayat ini Allah menceritakan tentang kematian Nabi Sulaiman dan bagaimana Allah menyembunyikan kematiannya daripada jin-jin yang sedang menurut perintah melakukan kerja yang diarahkan. Tidak ada seorang jin pun yang tahu bahwa Nabi Sulaiman telah meninggal, kerana tanda-tanda bahwa beliau telah meninggal itu tidak kelihatan. Beliau ketika itu sedang menjaga jin-jin itu sedang bekerja keras siang dan malam. Menjadi mandur kepada mereka. Namun kerana hebat dan besarnya pengaruh Nabi Sulaiman itu terhadap mereka, maka tidak ada seorang pun yang bangun atau mendongak untuk melihat wajah beliau.

Selama Nabi Sulaiman masih hidup dan sihat, beliau perhatikan dan menyelia sendiri jin-jin itu bekerja.  Kalau ada keperluan yang lain beliau tinggalkan mereka sebentar. Tetapi jin-jin itu tidak akan perasan pun akan ketiadaan Nabi Sulaiman di ketika itu kerana masing-masing terus bekerja. Mereka akan menyangka yang Nabi Sulaiman tetap ada di situ tidak ke mana-mana. Mereka tidak akan menoleh untuk melihat kerana takutkan akan kebesaran Nabi Sulaiman.

Kerana itu tidak ada seorang pun yang menoleh atau mendongak untuk melihat. Kerana itu tidaklah mereka ketahui bahwa Nabi Sulaiman telah meninggal di saat menyelia mereka sedang bekerja. Tanda-tanda kematian pun tidak mereka perhatikan.

“kecuali rayap yang memakan tongkatnya.”
Selama Nabi Sulaiman telah meninggal, Nabi Sulaiman tetap berdiri memegang tongkat seolah-olah sedang mengawasi para jin melakukan kerja. Sehinggalah suatu hari tongkat Nabi Sulaiman telah dimakan anai-anai yang lama kelamaan tongkat itu menjadi rapuh dan hancur sedikit demi sedikit lalu dengan sendirinya tongkat itu pun patah. Dan kemudiannya jasad Nabi Sulaiman pun jatuh. Dengan itu tahulah jin-jin semua bahwa nabi Sulaiman telah pun meninggal dunia.

Tidaklah dijelaskan di dalam Al Quran berapa lama mayat Nabi Sulaiman berkeadaan tegak berdiri bertahan dengan tongkat. Ada yang mengatakan satu tahun. Tetapi keterangan ini tiadak ada hadis dari Rasulullah untuk menguatkannya. Dan mayat Nabi Sulaiman tidaklah rosak sedikitpun  sepanjang ia tegak berdiri sampailah tersungkur jatuh kerana tongkatnya telah patah. Dan barangkali juga tidaklah rosak jasad Nabi Sulaiman walaupun setelah jatuh, terus berkeadaan sempurna, wangi dan tidak hanyir. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. :
“ sesungguhnya Allah telah mengharamkan keapda bumi memakan daging nabi-nabi.” Riwayat Abu Daud dan lain-lain.

Apabila Nabi Sulaiman telah meninggal dunia, dijelaskan di dalam ayat ini bahwa tidak ada seorang pun yang tahu akan kematiannya. Bangsa jin yang sedang bekerja itu pun juga tidak tahu. Ini menandakan bahwa bangsa jin ini memang tidak tahu apa-apa tentang ilmu ghaib sebagaimana yang sebahagian orang dakwakan.  Kalau mereka tahu tentulah mereka enggan dijadikan khadam, untuk bekerja keras menjadi buruh paksa sebegitu lama di bawah pengawasan Nabi Sulaiman. Dan sudah tentulah kalau jin-jin itu mengetahui ilmu ghaib, sudah pasti sebelum tongkat itu patah lagi, mereka sudah tahu akan kematian Nabi Sulaiman.




Saba’ Ayat 15

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖجَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖكُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚبَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
Sesungguhnya bagi kaum Saba' ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka yaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Kepada mereka dikatakan): "Makanlah olehmu dari rezki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun".

Saba’ adalah nama sebuah negeri di Yaman di selatan Tanah Arab. Ia telah diperintah oleh beberapa orang keturunan raja-raja. Di antaranya ialah raja-raja Tubba’, yang kata nama jamanya ialah Tababi’ah. Ratu Balkis yang diceritakan di dalam surah An Naml terdahulu adalah juga dari keturunan raja-raja Tubba’ inilah.  

Dan negeri Saba’ merupakan kawasan tanah yang subur, bersawah ladang dan perkebunan yang luas terbentang di kanan dan kiri lembahnya. Sehinggakan mereka tidak pernah kekurangan makanan malah berlebihan pula, sehingga Qatadah meriwayatkan bahwa jika seorang permpuan masuk ke tengah kebun itu membawa bakul dan menjunjungnya di atas kepala, maka buah-buahan yang telah masak dan ranum akan jatuh dengan sendiri ke dalam bakul dengan tidak perlu dipetik dengan tangan lagi. Sehingga setelah ia keluar dari kebun itu, bakulnya telah sarat dengan buahan.

Rezeki yang diberikan Allah itulah yang menjadi penyebab dari kesuburan tanah, kelebatan buah dan manis rasanya dan menjadi jaminan hidup penduduk di situ. Semuanya itu adalah kurnia daripada Allah yang perlu disyukuri. Adapun tanda mensyukurinya sudah pun dijelaskan di dalam ayat 13 terdahulu, iaitu tuntunan Allah kepada nabi Daud agar bersyukur dengan melakukan amal soleh dan berusaha.

Selama mana nikmat Allah itu disyukuri dengan beramal dan berusaha dengan bekerja, selama itulah pula negeri itu akan berada di dalam keadaan baik. Apabila negeri telah aman dan baik, maka dari penghasilan bumi itu akan timbullah kemakmuran. Dan kemakmuran itu akan membuatkan bertambah dekat lagi dengan Allah. Dengan itu segala dosa akan diampunkan Allah. Asalkan saja dalam segala tindak tanduk yang dilakukan, Allah tidak dilupakan. 







Saba’ Ayat 16

فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُمْ بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِنْ سِدْرٍ قَلِيلٍ
Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl dan sedikit dari pohon Sidr.

Tetapi mereka ingkar dan berpaling. Mereka tidak lagi mahu mengikuti apa yang telah dipesankan kepada keluarga Nabi Daud iaitu untuk bersyukur dan berusaha. Mereka telah berpaling kerana bersyukur hanya tinggal di mulut saja, tidak dalam bekerja. Mula-mula sekali didatangkan tikus-tikus mengorek lubang tembok empangan yang dibina oleh nenek moyang mereka untuk menghadang air.

Empangan ini telah dibina sangat tinggi dan tersusun dari tiga tingkat, tiap satunya dibuatkan pula sebuah pintu air. Apabila datang musim kemarau, empangan itu mereka alirkan saluran air ke kebun-kebun yang luasnya 3000 batu persegi yang dulu asalnya padang pasir yang tandus.  Apabila kawasan itu dapat diairi dari empangan tersebut menjadilah ia kawasan kebun yang subur di lembahnya bahkan sampai ke lereng-lereng gunung sepertimana yang disebutkan di dalam ayat 15 tadi, “dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri.”

Seluruh penduduk Yaman mendapat air daripada empangan tersebut. Mereka tidak khuatir akan kekurangan air, kerana telah mempunyai empangan yang besar yang dapat menyimpan air yang sangat banyak. Lalu kerana korekan tikus itu, telah menyebabkan tembok empangan itu menjadi bocor. Mula-mula tahap kebocoran itu kecil saja jadi tidaklah ada sesiapa yang memerhati atau mempedulikannya.

“maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar ‘
Apabila tibanya hujan lebat yang luar biasa, oleh kerana sangat lebatnya hujan itu dan deras alirannya, terjadilah banjir. Secara tiba-tiba empangan pusaka nenek moyang itu telah runtuh dan hancur. Air dari empangan yang luas telah menenggelamkan semua perkebunan dan sawah ladang mereka. Perkara itu menyebabkan ramai orang yang telah mati, binatang-binatang ternakan binasa dan tanaman musnah. Tidak ada yang tinggal. Dan apabila banjir telah reda, hujan telah teduh, kelihatanlah bahwa kebun di kanan dan kiri bandar itu telah hancur, menjadi tompokan batu-batu.

dan Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl dan sedikit dari pohon Sidr.”
Banjir yang besar itu telah merubah struktur tanah. Bunga tanah yang subur yang telah lama di situ telah dihanyutkan banjir dan gantinya yang tiba kemudian ialah hanyutan pasir dan batu-batu dari gunung ganang. Sehingga walaupun tanah kebun yang dahulu masih ada, namun keadaan sudah menjadi berbeza. Meskipun masih ada sisa-sisa pohon yang lama, namun hasil buahnya tidak manis seperti dahulu lagi. Ia telah menjadi buah-buah yang pahit.




Saba’ Ayat 17

ذَٰلِكَ جَزَيْنَاهُمْ بِمَا كَفَرُوا ۖوَهَلْ نُجَازِي إِلَّا الْكَفُورَ
Demikianlah Kami memberi balasan kepada mereka karena kekafiran mereka. Dan Kami tidak menjatuhkan azab (yang demikian itu), melainkan hanya kepada orang-orang yang sangat kafir.

Mereka telah diberi pembalasana yang demikian itu adalah kerana mereka telah mengkufuri nikmat Allah dan mendustakan kebenaran. Mereka tukarkan kebenaran itu dengan kejahatan. Maka balasannya tidak lain tentulah kemusnahan.

Sisters yang dikasihi,
Tiga ayat berturut-turut ini adalah sebagai peringatan kepada kita supaya mensyukuri akan nikmat Allah. Asalkan saja nikmat Allah kita syukuri dengan bekerja dan berusaha, rezeki akan diberikan Allah, negeri yang subur dan dosa akan diampunkan. Tetapi bilamana manusia tidak mensyukuri nikmat itu lagi, bahkan berganti dengan kufur kepada nikmat, ini bermakna mereka tidak berterimakasih kepada Allah. Maka pastilah bencana akan menimpa. Maka segala bencan itu tidaklah datang dengan begitu saja, melainkan mesti dari sebab kesalahan manusia itu sendiri.

Sebab itu dilanjutkan ayat ini dengan tegasan, “Dan Kami tidak menjatuhkan azab (yang demikian itu), melainkan hanya kepada orang-orang yang sangat kafir.” Maksudnya Allah menegaskan bahawa Allah tidak akan menjatuhkan hukuman dengan saja-saja kepada orang yang tidak bersalah. Bencana yang menimpa mereka itu adalah kerana kekufuran mereka sendiri. Dan nikmat yang Allah berikan kepada mereka selama ini itu telah hilang adalah kerana kesalahan mereka sendiri.






Saba’ Ayat 18

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْقُرَى الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا قُرًى ظَاهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا السَّيْرَ ۖسِيرُوا فِيهَا لَيَالِيَ وَأَيَّامًا آمِنِينَ
Dan Kami jadikan antara mereka dan antara negeri-negeri yang Kami limpahkan berkat kepadanya, beberapa negeri yang berdekatan dan Kami tetapkan antara negeri-negeri itu (jarak-jarak) perjalanan. Berjalanlah kamu di kota-kota itu pada malam dan siang hari dengan aman.

Di sini pula Allah menjelaskan tentang nikmat-nikmat yang lain iaitu semasa negeri itu meningkat ke puncak kejayaannya mereka juga diberikan nikmat keamanan dan kesenangan dalam perjalanan dan perdagangan. Allah menyebutkan bahwa penduduk-penduduk negeri Saba’ di Tanah Yaman yang terletak di selatan jazirah Arab itu dikurniakan pula oleh Allah beberapa buah bandar dan pekan yang dapat dikunjungi sepanjang perjalanan mereka ke arah utara Jazirah Arab, iaitu Syam dan Baitul Maqdis.

Negeri Syam dan Baitul Maqdis ini memang juga tidak kalah tentang kesuburan tanahnya dan kemewahan hidup penduduknya sehingga digelarkan dalam ayat ini sebagai ‘negeri-negeri yang Kami limpahkan berkat kepadanya’ Mereka dapat berjalan dan berlayar bahkan juga dapat berniaga membawa dagangan dari negeri Saba’ ke negeri-negeri tersebut, mudah juga untuk mendapat rumah tempat penginapan di sepanjang perjalanan sehingga tidak susah untuk membawa bekalan makanan dan air untuk minuman.

Adalah dikatakan, deretan bandar dan pekan itu bersambung-sambung dan kelihatan jelas di sepanjang perjalanan dari negeri Saba’ sampai ke negeri Syam dan Baitul Maqdis yang dianggarkan kira-kira jarak 4700 buah pekan. Jadi orang-orang yang hendak berulang-alik di antara negeri Saba’ dengan negeri Syam atau Baitul Maqdis itu  tidak akan mendapat kepayahan dalam perjalanan. Kerana jarak sesebuah pekan dengan sebuah pekan yang lain adalah dalam kadar jarak yang berpatutan.

Para musafir boleh memilih sendiri, terserah pada kesukaan sendiri, samada mereka nak berjalan pada malam hari ataupun pada siang hari. Sebab waktu mana pun yang mereka pilih, mereka tidaklah akan khuatir adanya bahaya dalam perjalanan, kerana di sepanjang jalan itu memang adanya keamanan. Mereka juga tidak takut akan kelaparan ataupun kehausan kerana tidak musuh yang akan mencederakan mereka di tengah jalan, dan ke mana pun mereka berjalan akan sentiasa mendapat kemudahan. Pendekata, pada masa itu di tanah Jazirah Arab penduduknya idup dalam keadaan aman dan tenteram. Tidak ada kekacauan. Sekirannya mereka hendak berjalan ke selatan atau pun ke utara merka akan melihat dan akan menemui kawasan yang penuh dengan taman-taman yang menghijau di sepanjang perjalanan mereka. Dan pada bila-bila masa saja mereka boleh berhenti di pekan yang mereka lalui untuk mendapatkan bekalan keperluan dengan mudah sekali.







Saba Ayat 19

فَقَالُوا رَبَّنَا بَاعِدْ بَيْنَ أَسْفَارِنَا وَظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ فَجَعَلْنَاهُمْ أَحَادِيثَ وَمَزَّقْنَاهُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ ۚإِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ
Maka mereka berkata: "Ya Tuhan kami jauhkanlah jarak perjalanan kami", dan mereka menganiaya diri mereka sendiri; maka Kami jadikan mereka buah mulut dan Kami hancurkan mereka sehancur-hancurnya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi setiap orang yang sabar lagi bersyukur.

Allah menceritakan setelah penduduk negeri Saba’ ini dikurniakan nikmat berupa kemudahan di sepanjang perjalanan dan keamanan dari bahaya musuh dan dari kelaparan, rupa-rupanya mereka telah menjadi lupa lalu mereka mengingkari nikmat tersebut. Seolah-olah jemu pula dengan kesenangan dan kebaikan yang mereka nikmati selama ini. Bahkan kurang berpuas hati pula dengan segala ketenangan yang ada. Dan mereka mahu mengalami keadaan yang kurang baik dari yang sudah baik. Sebagaimana perangai kaum Bani Israel pada zaman Nabi Musa dahulu yang meminta ditukarkan barang yang baik iaitu burung dan manisan, kepada yang kurang baik iaitu tumbuhan dan bawang. Mereka memohon kepada Allah agar daerah yang mereka lalui itu bertambah jauh jaraknya, tidak lagi dekat dan aman seperti mana selalu.

‘dan mereka menganiaya diri mereka sendiri; “
Di dalam Al Quran tidak diterangkan secara terperinci bagaimana mereka menganiaya diri mereka itu. Apakah mereka memperjauhkan sendiri laluan perjalanan mereka itu sehingga melampaui batas kemampuan mendekati kampung halaman? Sehingga kebun-kebun mereka menjadi terbiar tiada yang memelihara akibat dari keasyikan dan kelamaan dalam perantauan? Sepertimana yang selalu disebut di zaman ini iaitu urbanisasi, iaitu berduyun-duyun meninggalkan tanah kelahiran, berlari pindah ke kota besar yang lebih ramai dan lebih canggih kerana hendak mencari hidup yang disangka mereka lebih baik? Sehingga akhirnya datanglah banjir atau air bah besar yang menyapu segala yang ada sehingga menjadi rata dan tidak dapat dibangunkan lagi.

Pendeknya dalam ayat ini sudah dijelaskan bahwa kehancuran yang menimpa mereka itu adalah kerana kesalahan mereka sendiri. Mereka tidak bersyukur di atas nikmat Allah. Mereka hanya memusnahkan apa yang telah sedia ada dan mereka tidak pula dapat menanam yang baru atau pun memperbaiki apa yang rosak, bahkan hanya menambahkan lagi kerosakan.

“Maka Kami jadikan mereka buah mulut dan Kami hancurkan mereka sehancur-hancurnya”
Kerajaan Saba’ dengan penduduknya itu telah menjadi bahan cerita bagi orang yang datang di kemudian hari, kerana nasib malang yang menimpa mereka. Sebuah negeri yang bertanah subur penuh kekayaan telah bertukar menjadi tandus menjadi padang jarak padang tekukur. Pohon yang berbuah lebat untuk dimakan telah berganti menjadi pohon cemara dan bidara yang hanya cantik untuk dipandang tetapi tidak mendatangkan apa-apa hasil sehnggakan mereka terpaksa meninggalkan negeri itu. Yang tinggal hanyalah bekas-bekas saja.

Semua yang diceritakan itu dapat dijadikan contoh teladan kepada kita semua umat yang datang kemudian. Dari keseluruhan kisah negeri Saba’ sejak masa kejayaan mereka yang dipusakai dari nenek moyang mereka, sampai kepada kesuburan bumi dan keampunan Allah, kesuburan yang akhirnya merata dari selatan hinggalah sampai ke utara Tanah Arab, dari Saba’ di Yaman sampai ke Baitul Maqdis di Syam. Sehinggakan perjalanan musafir menjadi sangat mudah dan keamanan terjamin. Sampailah kepada kejatuhan mereka kerana tidak bersyukur menerima nikmat, semuanya itu adalah tanda-tanda yang patut jadi perhatian bagi setiap orang yang bersabar dan besyukur.

Sabar dan syukur adalah dua paksi kehidupan yang penting bagi orang yang beriman. Sebab hidup itu sendiri tidaklah akan sunyi daripada pasang surut suka duka kehidupan. Tidak ada orang yang hidupnya tetap suka saja, tidak ada duka. Dan juga tidak akan ada orang yang hidupnya sentiasa duka saja, tidak ada suka.

Ketahanan dan kebesaran jiwa dalam menghadapi berbagai ujian, bergantung kepada sejauh mana kita bersabar dan bersyukur.  Apabila nikmat datang bertubi-tubi, tesangat sukacita dirasakan, maka harus mengawal diri dengan rasa bersyukur kepada nikmat Allah. Kerana semuanya itu tidak akan terjadi kalau bukan dengan izin dariNya. Dan di ketika ujian pula datang melanda bertimpa-timpa, kita juga harus mengawal diri supaya tidak panik. Kwal diri dengan bersabar. Kerana ujian itu juga tidak akan terjadi kalau bukan dengan izin Allah juga.

Maka sesungguhnya ketenangan dalam menghadapi pergantian turun naik silih berganti ujian dan nikmat dalam hidup kita ini , hanyalah terdapat pada orang yang beriman saja.  





Saba’ Ayat 20

وَلَقَدْ صَدَّقَ عَلَيْهِمْ إِبْلِيسُ ظَنَّهُ فَاتَّبَعُوهُ إِلَّا فَرِيقًا مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Dan sesungguhnya iblis telah dapat membuktikan kebenaran sangkaannya terhadap mereka lalu mereka mengikutinya, kecuali sebahagian orang-orang yang beriman.

Persangkaan iblis bahwa dalam kalangan anak Adam itu pasti akan ada orang yang mudah untuk diperdayakan. Di dalam surah Al A’raf ayat 16 dan 17, Allah ada menjelaskan bagaimana kuatnya persangkaan iblis bahwa dia di atas dunia ini akan ada pengikutnya, akan ada anak Adam yang suka mengikuti kehendaknya. Senang untuk diperdaya.
Persangkaan iblis tentang kelmahan manusia ini memanglah tepat. Mereka telah menjadi pengikut iblis sehingga mereka telah terkeluar dari jalan yang digariskan oleh Allah.

“kecuali sebahagian orang-orang yang beriman”.
Maksudnya kecuali masih terdapat segolongan dari mereka yang beriman  dan teguh pendirian mereka pada mentaati Allah. Golongan ini memang tidak akan mudah dapat dirayu oleh iblis. Iblis pun sudah tahu kekuatan orang yang demikian itu, orang yang mukhlis, yang telah memerdekakan diri mereka dari segala pengaruh yang buruk kerana keteguhan keimanan mereka kepada Allah. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.