Thursday, December 10, 2015

Surah Al Ahzab Ayat 31 - 40






JUZUK 22

Al Ahzab Ayat 31

وَمَنْ يَقْنُتْ مِنْكُنَّ لِلَّهِ وَرَسُولِهِ وَتَعْمَلْ صَالِحًا نُؤْتِهَا أَجْرَهَا مَرَّتَيْنِ وَأَعْتَدْنَا لَهَا رِزْقًا كَرِيمًا
Dan barangsiapa di antara kamu sekalian (isteri-isteri Nabi) tetap taat pada Allah dan Rasul-Nya dan mengerjakan amal yang saleh, niscaya Kami memberikan kepadanya pahala dua kali lipat dan Kami sediakan baginya rezki yang mulia.

Ayat ini adalah imbalan daripada ancaman di ayat 30 tadi. Berbuat yang keji dapat seksa dua kali ganda. Dan jika taat kepada Allah dan Rasul,disertai amal yang soleh, mereka akan mendapat pahala dua kali ganda juga. Lebih dari pahala yang akan diterima oleh perempuan-perempuan biasa. Kerana mereka telah sanggup menjaga kehormatan diri dan kedudukan sebagai isteri seorang Rasul, akan menajdi teladan bagi perempuan-perempuan sekalian. Bahkan pada hari kiamat nanti mereka ini akan disediakan rezeki yang sangat mulia.

Rezeki yang mulia itu menurut tafsir umum ialah syurga. Tetapi dalam perjalanan hidup isteri-isteri Nabi setelah nabi wafat, kelihatan sekali bahwa hidup mereka tidak ada yang merempat. Mereka tetap dihormati dan dipanggil Ummul Mukminin, ibu kepada orang-orang beriman. Khalifah-khalifah yang datang sesudah Rasulullah daripada Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali juga menghormati mereka semua dengan tingginya. Mereka mendapat perbelanjaan yang patut setiap bulan diberikan kepada mereka pada waktu-waktu tertentu sehigga tidak ada yang jatuh miskin. Padahal umumnya mereka hidup lama juga setelah kewafatan Rasulullah.

Saudah meninggal tahun 54 sesudah hijrah, iaitu 44 tahun sesudah Rasulullah wafat. Beliau meninggal dalam keadaan dirinya yang sudah tua lebih tua dari nabi.
Aisyah wafat tahun 58, 48 tahun sesudah nabi wafat.
Hafshah wafat tahun 60 , iaitu di zaman khalifah Mu’awiyah.
Ummi Salamah meninggal tahun 59, dan kata setengah riwayat tahun 60 dalam usia 84 tahun.
Ummi Habibah, iaitu Ramlah binti Abu Sufyan meninggal tahun 44 Hijriyah.
Zainab binti Jahasy meninggal tahun 20 dalam usia 35 tahun.
Zainab binti Khuzaimah sajalah yang meinggal lebih dahulu dari nabi iaitu 39 bulan sesudah nabi hijrah ke Madinah setelah baru 8 bulan bernikah dengan nabi.
Juwairiah binti Al Harits dari Bani Mushthaliq meninggal tahun 56 dalam usia 65 tahun.
Shafiah binti Huyai, satu-satunya dari keturunan Bani Israel, Bani Quraizah, meinggal tahun 50. Ada juga yang mengatakan tahun 52.
Maimunah meninggal pada tahun 61, kata setengah ahli sejarah tahun 63 di Saraf.

Jadi jelaslah bahwa beliau-beliau itu semua masih hidup seberapa lama kemudian setelah Rasulullah wafat dan semua orang memandang mereka sebagai ibu. Khalifah-khalifah juga memberikan belanja bagi mereka semua dengan segera, mereka dihormati dan dimuliakan.

Maka penghormatan yang tinggi daripada umat itu pun adalah termasuk juga sebagai rezeki yang mulia di atas dunia ini. Kerana rezeki itu bukanlah semata-mata harga benda saja. Dan umumnya ibu-ibu itu adalah juga seorang yang dermawan. Bila saja mendapat bantuan belanja dari Baitul Mal, mereka gunakan untuk membantu fakir miskin atau untuk mahal kahwin bagi pemuda yang kekurangan belanja. Aisyah telah menjadi tempat orang bertanya tentang ilmu pengetahuan hadis-hadis tentang kehidupan Rasulullah saw. Demikian juga Ummu Salamah.





Al Ahzab Ayat 32

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ ۚإِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا
Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik,
Allah mengingatkan kepada para isteri-isteri nabi ini, bahwa kedudukan mereka tidaklah sama dengan perempuan-perempuan biasa, bahkan dilebihkan. Oleh itu hendaklah mereka sentiasa menjaga tingkah laku mereka dengan bertakwa kepada Allah. Mereka harus lebih berhati-hati dalam menjaga diri mereka kerana mereka tetap akan jadi suri teladan bagi orang lain.

Sekiranya mereka bercakap-cakap hendaklah percakapan mereka itu biar tegas dan sopan, jangan termalu-malu tersipu-sipu. Jangan membuat perangai yang kurang layak sebagai seorang isteri Rasulullah. Kerana dengan cara mengucapkan kata-kata memang ada juga perempuan yang berperangai lemah gemalai, dengan kerdipan mata, dengan laguan kata merdu suara, dengan lenggang lenggok. Maka isteri Nabi tidaklah boleh berbuat demikian. Takut nanti orang-orang yang berpenyakit hati akan cuba mencari kesempatan yang tidak elok.

Orang yang dalam hatinya ada penyakit itu ialah orang yang syahwat dan nafsu berahinya akan cepat tersinggung kerana melihat tingkah laku perempuan. Ada kalanya dalam mengucapkan kata-kata, seakan-akan meminta agar dirinya dipegang. Orang inggeris menyebut ‘sex appeal’, iaitu menimbulkan syahwat.

Tiap-tiap lelaki mempunyai rasa berahi kepada perempuan. Tetapi ada orang yang sopan yang dapat menahan hatinya kerana dikawal oleh imannya dan ada pula yang lemah kawalan batinnya. Itulah orang yang berpenyakit. Penyakit tekanan nafsu syahwat. Maka orang-orang berpenyakit ini janganlah sampai terganggu penyakitnya dengan sikap berkata-kata atau berucap dari perempuan terhormat. Perempuan terhormat di sini yang dimaksudkan adalah terutama sekali isteri-isteri Nabi yang berkedudukan sebagai ibu-ibu dari orang-orang yang beriman.











Al Ahzab Ayat 33

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ ۖوَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ الَّهَ وَرَسُولَهُ ۚإِنَّمَا يُرِيدُ الَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan ta`atilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.

Hendaklah isteri-isteri nabi itu menganggap bahwa rumah mereka, iaitu rumah suami mereka itulah tempat tinggal bagi mereka yang tenteram dan aman. Di situlah terdapatnya mawaddah dan rahmatan, iaitu cinta dan kasih sayang. Menjadi ibu rumahtangga yang terhormat. Dalam erti kata lain, Allah suruh mereka tinggal saja menetap di rumah, kecuali oleh sesuatu hajat dibolehkan untuk keluar rumah.

Perintah agar menetap di rumah ini bukanlahi khusus ditujukan kepada para isteri nabi saja, bahkan juga umum kepada semua kaum perempuan. Ini kerana tempat yang sebaik-baiknya bagi seorang perempuan ialah di rumahnya. Ramai kaum perempuan di zaman sekarang yang keluar rumah mencari kerja untuk menambah sara hidup mereka. Maka sesungguhnya yang dicarinya itu tidak akan melebihi keberkatannya dari perempuan yang menetap di dalam rumahnya seandainya tidak ada ketakwaan pada dirinya.

Dalam hubungan ini at Tirmizi dan al Bazar telah meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahwsanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya “sesungguhnya orang perempuan itu terdedah keselamatannya, maka apabila dia keluar dari rumah akan disambut oleh syaitan. Dan rahmat Tuhannya paling hampir kepadanya bilamana dia berada di dalam rumahnya.”

“....dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu..”
Maksud ayat ini ialah dilarang mendedahkan perhiasan atau barang kemas yang dipakai dan kecantikan anggota atau bentuk tubuh badan yang menarik di hadapan lelaki asing yang bukan mahramnya. Hal yang seperti ini telah pun dilakukan oleh orang perempuan zaman jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Orang zaman jahiliyah dahulu mereka berhias supaya kelihatan nampak lebih cantik, lebih menonjol, berhias agar lebih menarik mata orang. Berhias supaya mata yang memandang itu akan silau melihatnya.

Islam tidak melarang seseorang wanita itu berhias tetapi biarlah ianya berhias dengan sopan, tidak menjolok mata dan tidak menjadi perhatian orang ramai. Ini adalah pedoman yang diberikan Allah dan rasul terhadap isteri-isteri nabi dan juga kepada setiap perempuan yang beriman. Dan tentunya di zaman moden ini memang terlalu ramai perempuan yang mendedahkan perhiasan mereka dan juga kecantikan tubuh badan mereka untuk ditontoni lelaki asing. Maka tiadalah bezanya perempuan zaman ini dengan orang-orang zaman jahiliyah yang pertama dahulu.

Oleh sebab itu janganlah wanita-wanita Islam menirunya, dan larangan ini telah pun terdahulu sebutannya di dalam ayat 31 surah an-Nur yang bermaksud; “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
“dan dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan ta`atilah Allah dan Rasul-Nya.”
Setelah ditegah dari melakukan kejahatan maka disuruh pula isteri-isteri nabi ini mendirikan sembahyang fardu yang lima waktu dengan cukup syarat rukunnya, dan mengeluarkan zakat harta mengikut yang semestinya. Ini kerana dengan mengerjakan ibadat kepada Allah iaitu daripada sembahyang sehingga kepada mengeluarkan zakat dan puasanya juga maka akan timbullah kesedaran untuk mentaati Allah dan RasulNya. Pasti akan berbekas dalam hidup sehari-hari. Termasuklah kepada cara pemakaian.

“Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.”
Tujuan diadakan perintah dan tegahan itu adalah kerana Allah hendak membersihkan noda dan kecemaran pada diri isteri-isteri rasul yang menjadi ahlull baitnya. Iaitu dibersihkan dari sifat-sifat fasik dan kufur yang selalunya menodai hati manusia.

Ahlul bait ini maksudnya ialah ahli rumah. Rumah yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah rumah nabi, keluarga nabi, orang-orang yang siang malam berada dekat dengan nabi. Hendaknyalah orang-orang yang paling dekat dengan nabi ini merekalah yang terlebih dahulu menjadi teladan yang baik dari segi kebersihan hidup. Samada kebersihan rohani mahupun jasmani. Bersih daripada rasa sombong, tamak haloba kerana diperhambakan oleh hartabenda dunia. Bersih daripada memperkatakan kecacatan atau kekurangan oranglain.  Pendekata bersih daripada semua kekotoran kefasikan dan kemunafikan yang biasa dihadapi oleh orang-orang berdosa.

Maka Allah akan membersihkan mereka sebersih-bersihnya. Dan Abdullah bin Abbas dalam rangka menerangkan siapa yang dimaksudkan dengan ahlul bait dalam ayat ini meriwayatkan demikian dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu `Abbas "Kami menyaksikan Rasulullah saw selama sembilan bulan, beliau datang ke rumah Ali bin Abu Talib pada tiap waktu salat, beliau mengucapkan Assalamu'alaikum wr. wb. "Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait, dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya". Salat itu adalah lima kali dalam sehari", semoga Allah memberi rahmat kepadamu.”






Al Ahzab Ayat 34

وَاذْكُرْنَ مَا يُتْلَىٰ فِي بُيُوتِكُنَّ مِنْ آيَاتِ الَّهِ وَالْحِكْمَةِ ۚإِنَّ الَّهَ كَانَ لَطِيفًا خَبِيرًا
Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumahmu dari ayat-ayat Allah dan hikmah (sunnah Nabimu). Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.

Kemudian pada ayat ini Allah menerangkan sebab-sebab kenapa mereka mendapat kurnia yang besar itu. Ini  kerana rumah kediaman isteri-isteri Nabi itu adalah tempat-tempat turunnya wahyu. Tambahan pula nabi selalu membaca Quran di rumahnya. Selain dari membaca Quran, nabi juga menjalani hidup sehari-hari di dalam rumahnya itu dengan mengikut syariat-syariat yang digariskan oleh Allah.

Dengan mengingatkan bahwa di dalam rumah mereka itu Al Quran selalu dibaca, dan di dalam rumah tutur hikmah iaitu Sunnah nabi selalu didengar dari mulut baginda sendiri dan semuanya itu tidak akan terdapat dari rumah orang lain, maka dengan lemah lembut Allah telah memberikan peringatan kepada perempuan-perempuan yang mulia itu, ibu-ibu kepada orang-orang yang beriman bagaimana pentingnya kedudukan mereka. Peringatan itu adalah untuk mereka sampaikan setiap sunnah nabi dan juga amalan hidup seharian nabi kepada semua umat Islam agar ianya menjadi contoh teladan yang harus diikuti.

Ini bertujuan agar manusia dapat membentuk sebuah rumahtangga Islam, rumahtangga yang aman damai, yang berlandaskan perintah dan syariat Allah, bersih dari segala perangai yang tercela atau penyakit-penyakit buruk di dalam hati. Jadi kita sebagai umat Islam haruslah mencontohi rumahtangga nabi.









Al Ahzab Ayat 35

إِنَّ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْقَانِتِينَ وَالْقَانِتَاتِ وَالصَّادِقِينَ وَالصَّادِقَاتِ وَالصَّابِرِينَ وَالصَّابِرَاتِ وَالْخَاشِعِينَ وَالْخَاشِعَاتِ وَالْمُتَصَدِّقِينَ وَالْمُتَصَدِّقَاتِ وَالصَّائِمِينَ وَالصَّائِمَاتِ وَالْحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ الَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ الَّهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mu'min, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam keta`atannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu`, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.

Sebab turunnya ayat ini ialah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Abdurrahman bin Syaibah katanya bahwa ia pernah mendengar bhwa isteri nabi iaitu Ummu Salamah  menceritakan hadis berikut. Ummu Salamah mengatakan bahwa ia pernah bertanya kepada Nabi Saw., "Mengapa kami kaum wanita tidak pernah disebut-sebut di dalam Al-Qur'an sebagaimana kaum lelaki disebut-sebut di dalamnya?" Ummu Salamah mengatakan bahwa ia tidak mendapat jawaban apa pun dari baginda. Kecuali melalui seruannya di atas mimbar. Pada suatu hari ketika aku sedang menyisir rambut, lalu aku gelungkan rambutku lalu aku keluar dari kamar peribadiku, kemudian kuletakkan telingaku ke dinding bilik. Tiba-tiba kudengar Rasulullah membacakan ayat berikut di atas mimbarnya. Rasulullah bersabda: “Hai manusia, sesungguhnya Allah telah menurunkan firman-Nya yang mengatakan, "Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin,........ " hinggalah ke akhir ayat 35 ini.

Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Nasai dan Ibnu Jarir melalui hadis Abdul Wahid ibnu Ziyad dengan sanad dan lafaz yang semisal.

Baik. Ayat ini menjelaskan tentang 10 jenis sifat yang sekiranya dipunyai oleh seorang hamba samada lelaki dan perempuan maka layaklah untuk ia mendapat pengampunan dosa daripada allah serta pahala yang besar, iaitu suatu kenikmatan yang berkekalan di akhirat.

1 . orang-orang lelaki dan perempuan yang Islam. Iaitu yang berserah diri dan tunduk kepada Allah dengan mengikuti perintah dan tegahan Allah yang menjadi hukum-hukum agama. Dan dikerjakan oleh anggota lahir, samada dengan perkataan mahupun perbuatan.

2 . orang-orang lelaki dan perempuan yang beriman. Iaitu yang percaya bahwa agama Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah benar, diakui oleh anggota batin iaitu hati. Ayat ini menjadi dalil bahwa iman itu bukanlah Islam. Islam itu lebih umum dari pada iman.

Dengan kata lain, iman adalah lebih khusus dari Islam. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah di dalam surah Al Hujurat ayat 14:
قَالَتِ الأعْرَابُ آمَنَّا قُلْ لَمْ تُؤْمِنُوا وَلَكِنْ قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الإيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ
Orang-orang Arab Badui itu berkata, "Kami telah beriman.” Katakanlah (kepada mereka), "Kamu belum beriman, tetapi katakanlah, 'Kami telah Islam (tunduk),' karena iman itu belum masuk ke dalam hati kamu.”.

Termaktub di dalam kitab sahih Al Bukhari dan sahih Muslim bahwa RAsulullah bersabda:
"لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ"
“seorang yang berzina, ketika ia berzina, tidaklah dinyatakan sebagai orang beriman yang sempurna keimanannya.

Ini bermaksud lepaslah keimanan dari dirinya iaitu menjadi berkurang imannya. Namun hal itu tidaklah sampai menjadikan ianya kafir. Hal ini berdasarkan kesepakatan ulamak.  Dengan demikian, hadis ini telah menunjukkan bahwa Islam adalah lebih umum daripada iman. Sementara iman pula adalah bersifat khusus dan spesifik. Maka bolehlah kita katakan bahawa seseorang yang masuk Islam, yang agamanya diisytiharkan sebagai Islam, tidaklah akan menunjukkan bahwa dia seorang yang beriman selagi ia tidak menjalankan tanggungjawabnya yang telah ditetapkan sebagai seorang Islam.  

3 . Orang lelaki dan perempuan yang patuh beribadat. Iaitu sentiasa mengamalkan ibadat kepada Allah dengan ikhlas dan khusyuk penuh ketenangan hati dan ketenteraman jiwa, sebagaimana firman Allah di dalam ayat 9 surah Az Zumar:
أَمْ مَنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّه
"(Apakah kamu, hai orang musyrik, yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadah di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedangkan ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya?

4 . Orang lelaki dan perempuan yang benar. Iaitu benar pada tutur katanya dan perbuatannya. Dan berkata benar itu adalah tanda keimanan, sebagaimana berbohong tanda orang munafiq. Maka orang yang benar tutur katanya akan selamat sebagaimana hadis yang berbunyi yang maksudnya : “hendaklah kamu bercakap benar, sesungguhnya benar itu membawa kepada kebajikan, dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke dalam syurga. Dan janganlah kamu berbohong, sesungguhnya berbohong itu membawa kepada perbuatan keji, dan sesungguhnya perbuatan keji itu membawa kepada api neraka.”

5 . Orang lelaki dan perempuan yang sabar. Iaitu yang dapat menahan hati atau perasaannya dari perkara-perkara yang dibencinya serta tahan pula menderita dalam menunaikan ibadat kepada Allah dan tabah untuk meninggalkan tuntutan syahwatnya. Juga ia sabar dalam setiap musibah yang dihadapi. Sabar yang paling utama adalah ketabahan di saat menghadapi goncangan pertama dari musibah yang menimpa. Maksud goncangan pertama itu adalah saat-saat yang paling menyulitkan.

6 . orang lelaki dan perempuan yang khyusyuk. Iaitu mententeramkan hati dan merendah diri kepada allah, samada dengan anggota lahir mahupun anggota batin. Semata-mata mengharapkan pahala daripada allah dan takutkan seksaanNya. Hal ini sebagaimana yang termaktub di dalam hadis Rasulullah :
"اعْبُدِ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ"
“Sembahlah Allah, seakan-akan engkau melihat-Nya. Dan jika engkau tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia selalu melihatmu. “


7 . Orang lelaki dan perempuan yang bersedekah. Samada berderma dengan hartanya mahupun menyumbangkan tenaga dengan cara sukarela, untuk kebaikan bagi orang-orang yang berhajatkan kepada bantuan. Disebabkan mereka tidak mempunyai penghasilan atau mata pencarian. Orang-orang bersedekah ini memberikan kelebihan harta mereka sebagai tanda ketaatan mereka kepada Allah dan jiwa mereka kepada semua.

Di dalam kitab sahih al Bukhari dan sahih Muslim tedapat sebuah hadis bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda :

Sedekah artinya memberikan santunan kepada orang lain yang memerlukan bantuan karena mereka adalah orang-orang yang lemah, tidak mempunyai mata pencaharian, dan tidak pula ada orang yang menjamin mereka. Mereka diberi dari lebihan harta sebagai amal ketaatan kepada Allah Swt. dan berbuat kebajikan kepada semua makhluk-Nya. Di dalam kitab Sahihain telah disebutkan:

"سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلِّهِ" فَذَكَرَ مِنْهُمْ: "ورجل تصدق بصدقة فَأَخْفَاهَا، حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ"
“Ada tujuh golongan  orang yang mendapat naungan dari Allah pada hari tiada naungan kecuali hanya naungan-Nya, antara lain ialah seseorang yang mengeluarkan suatu sedekah secara sembunyi-sembunyi, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang telah diinfakkan oleh tangan kanannya.”

Di dalam hadis lain disebutkan:
وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ، كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ"
“Sedekah itu dapat menghapuskan kesalahan sebagaimana air memadamkan api.”

Hadis-hadis lain yang menganjurkan bersedekah cukup banyak dan memerlukan suatu pembahasan yang tersendiri.



8 . orang-orang lelaki dan perempuan yang berpuasa. Iaitu puasa itu merupakan suatu pertolongan yang sangat besar. Kerana ia dapat mematahkan nafsu syahwat. Ia juga dapat membersihkan dan menyucikan badan dari berbagai kotoran dan keburukan, baik yang bersifat tabi’i mahupun berdasarkan ada kebiasaan, mahupun yang bersifat syar’i.

Sebagaimana kata-kata Sa’id bin Jubair, “barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan berpuasa selama tiga hari pada setiap bulan, nescaya ia termasuk dalam golongan yang difirmankan oleh Allah ini. Perkara ini sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Majah, bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
“Hai golongan para pemuda, barang siapa di antara kalian yang mampu menanggung biaya, hendaklah ia kawin, kerana sesungguhnya dengan berkahwin pandangan mata lebih terkendali dan kemaluan lebih terpelihara. Dan barang siapa yang tidak mampu mengadakan biayanya, hendaklah ia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu merupakan benteng yang kuat baginya.

Oleh kerana itu puasa adalah fungsi untuk memecahkan syahwat dan hawa nafsu, maka sangatlah bersesuaian bila pada ayat seterusnya disebut tentang memlihara kehormatan.

9 . orang lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya. Iaitu menjaga kehormatannya dari melakukan perkara-perkara yang dikeji dan haram yang mendatangkan dosa besar. Perkara ini sebagaimana yang telah disentuh oleh Allah di dalam ayat 5 hingga 7 dari surah Al Mukminnun yang berbunyi:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حافِظُونَ إِلَّا عَلى أَزْواجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغى وَراءَ ذلِكَ فَأُولئِكَ هُمُ العادُونَ
“dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap istri-istri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barang siapa mencari yang di balik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.” (Al-Mu-minun: 5-7)

10 . Orang lelaki dan perempuan yang banyak berzikir mengingati Allah. Iaitu mengingat dengan bacaan dan ucapan oleh lidahnya dan juga oleh hatinya. Dalam hubungan ini Mujahid telah meriwayatkan katanya : sseseorang itu tidakakan ditulis menjadi golongan orang-orang yang mengingat Allah berbanyak-banyak, sehinggalah dia mengingat Allah dalam masa berdiri dan duduknya dan juga dalam masa baringnya.

Imam Abu Daud, Imam Nasai, dan Imam Ibnu Majah telah meriwayat­kannya melalui hadis Al-A'masy, dari Al-Agar Abu Muslim, dari Abu Sa'id dan Abu Hurairah, dari Nabi Saw. dengan lafaz yang semisal.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا حَسَنٌ، حَدَّثَنَا ابْنُ لَهِيعة، حَدَّثَنَا دَرَّاج، عَنْ أَبِي الْهَيْثَمِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخُدْري، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّهُ قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَيُّ الْعِبَادِ أَفْضَلُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ؟ قَالَ: "الذَّاكِرُونَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتُ". قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمِنَ الْغَازِي فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: "لَوْ ضَرَبَ بِسَيْفِهِ فِي الْكُفَّارِ وَالْمُشْرِكِينَ حَتَّى يَنْكَسِرَ وَيَخْتَضِبَ دَمًا لَكَانَ الذَّاكِرُونَ اللَّهَ أَفْضَلَ مِنْهُ"
Imam Ahmad mengatakan telah menceritakan kepada kami Hasan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Lahi'ah, telah menceritakan kepada kami Darij, dari Abul Haisam, dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a. yang menceritakan bahwa ia pernah bertanya kepada Rasulullah Saw., "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang lebih utama darjatnya di sisi Allah kelak pada hari kiamat?" Rasulullah Saw. menjawab: Laki-laki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah. Abu Sa'id Al-Khudri r.a. bertanya lagi, "Wahai Rasulullah, apakah juga lebih utama daripada orang yang berjihad di jalan Allah?" Rasulullah Saw. menjawab: Seandainya seorang mujahid memukulkan pedangnya kepada orang-orang kafir dan orang-orang musyrik hingga pedangnya patah dan berlumuran darah, tentulah orang-orang yang banyak menyebut nama Allah lebih utama darinya.


Demikianlah orang-orang lelaki dan perempuan yang disebutkan sifat-sifatnya yang sepuluh jenis sifat itu semuanya sama-sama akan dihapuskan dosa mereka oleh Allah dan dikurniakan pula dengan pahala yang besar berupa syurga Jannatun Naim.

Sisters,
semoga kita dan keluarga kita semuanya termasuk di dalam golongan orang-orang lelaki dan perempuan yang sepuluh jenis ini. Amin.








Al Ahzab Ayat 36

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى الَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗوَمَنْ يَعْصِ الَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا
Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mu'min dan tidak (pula) bagi perempuan yang mu'min, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.

Dalam Tafsir Al Kazin disebutkan bahwa ini diturunkan untuk ditujukan kepada Zainab bin Jahsy dan saudaranya Abdullah bin Jahsy. Yang mana ibu mereka bernama Umaimah binti Abdul Mutalib. Iaitu ibu saudara sebelah bapa kepada Nabi. Nabi telah pergi meminang Zainab untuk dijodohkan dengan Zaid bin Harithah. Zaid bin Harithah ini adalah bekas hamba sahaya nabi.

Zainab bersetuju kerana menyangka bahwa dirinya dipinang untuk dijadikan isteri kepada Nabi. Tetapi apabila mengetahui bahwa pinangannya itu adalah untuk Zaid bin Harithah, maka ia segera menolaknya dengan mengatakan bahwa dia adalah sepupu Rasulullah jadi dia tidak rela jika dirinya bersuamikan Zaid.

Ini kerana Zainab kulitnya putih bersih dan rupanya cantik serta cerdik pula orangnya. Sedangkan Zaid pula kulitnya hitam dan bekas hamba pula tu. Keputusan Zainab itu disokong pula oleh abangnya iaitu Abdullah bin Jahsy.

Maka Allah pun menurunkan ayat ini iaitu tidak patut bagi seorang lelaki yang beriman (yang dimaksudkan di sini ialah Abdullah bin Jahsy) dan juga perempuan yang beriman (Zainab bin Jahsy) apabila Allah dan rasulNya menghukumkan sesuatu perintah (iaitu perintah mengahwinkan Zainab dengan Zaid) mereka tidak mahu taat dan mereka memilih untuk mengikut kemahuan sendiri. Dan barang siapa yang derhaka kepada Allah dan rasulNya, sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata. Maksudnya dia telah menyalahi perintah Allah dan RasulNya dengan seterang-terangnya.

Apabila ayat ini telah diturunkan dan didengar oleh Zainab bin Jahsy  dan saudaranya Abdullah bin Jahsy, maka keduanya pun telah menerima keputusan itu dan menyerahkan urusannya kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian itu Rasulullah pun mengahwinkanlah Zainab dengan Zaid.

Menurut riwayat yang lain , bahwa sebab turunnya ayat ini ialah kerana adanya seorang perempuan yang bernama Ummi Kaltsum bin Uqbah bin Abu Muith. Keistimewaannya ialah kerana ia termasuk dalam kalangan permpuan yang hijrah ke Madinah mengikut Nabi. Jadi dia telah menghibahkan dirinya, atau menyerahkan diri kepada nabi, jika nabi sudi menerimanya sebagai isteri. Tetapi Rasulullah telah menawarkan agar Ummi Kaltsum itu dikahwin saja dengan Zaid bin Harithah.  Maka kecewalah hati Umi Kaltsum kerana saranan nabi itu dan begitu juga saudara lelakinya turut merasa kecewa. Maka datanglah ayat ini menyatakan bahwa lelaki beriman dan perempuan beriman tidak patut menolak apa yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul lalu mereka memilih yang lain. Riwayat ini diterima oleh Mujahid, Qatadah dan Muqaatil bin Hayyan.

Kedua riwayat ini dapatlah ditemukan, meskipun ayat ini hanya turun satu kali saja. Kerana pada kedua keadaan ini kelihatanlah kekecewaan Zainab dan kekecewaan Ummi Kaltsum dan juga saudara lelaki mereka kerana mereka tidak dapat mengikat tali hubungan erat dengan Nabi. Mereka sebenarnya mengharapkan agar diri mereka diletakkan di martabat yang lebih tinggi  tetapi sebaliknya mereka telah disarankan untuk mengikat tali hubungan dengan Zaid pula,seorang bekas hamba.

Meskipun Zaid ini adalah orang yang pertama sekali yang menyatakan iman dan memeluk Islam, tetapi pengaruh riwayat hidup dan asal keturunan Zaid sebelum itu, iaitu menjadi hamba sahaya sangat mempengaruhi sikap kedua perempuan itu dan sikap saudara lelaki mereka. Tetapi bila ayat ini turun, mereka semuanya tunduk. Dengan ayat ini umat telah diajar untuk berdisiplin, patuh menurut perintah bilamana perintah itu datangnya dari Allah dan Rasul.

Dari ayat ini maka dapatlah kita membuat kesimpulan bahwa sebagaimana yang dihuraikan oleh Al Qurthubi dalam tafsirnya bahwa dasar ajaran Islam tidaklah sangat mementingkan kufu dan kafah. Iaitu dalam mencari jodoh tidaklah dipentingkan untuk melihat titih keturunan, sehinggakan perempuan Quraisy tidak boleh dikahwinkan dengan kabilah lain yang kurang martabatnya dari orang Quraisy. Dan perempuan Arab tidak boleh dikahwinkan dengan lelaki bukan Arab. Anak raja tidak boleh dikahwinkan dengan orang bukan berdarah raja. Itu semua tidak penting.

Yang tidak boleh dalam Islam adalah, seorang perempuan Islam tidak boleh dikahwinkan dengan lelaki bukan Islam. Dan seorang lelaki Islam tidak boleh nak berkahwin dengan perempuan bukan Islam. Mereka hanya boleh berkahwin setelah mereka yang kafir itu telah menyatakan keislaman dan beriman kepada Allah. Sebagaimana yang disebut di dalam surah Al Baqarah Ayat 2.









Al Ahzab Ayat 37

وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِي أَنْعَمَ الَّهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَاتَّقِ الَّهَ وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا الَّهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى النَّاسَ وَالَّهُ أَحَقُّ أَنْ تَخْشَاهُ ۖفَلَمَّا قَضَىٰ زَيْدٌ مِنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا لِكَيْ لَا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا ۚوَكَانَ أَمْرُ الَّهِ مَفْعُولًا
Dan (ingatlah), ketika kamu berkata kepada orang yang Allah telah melimpahkan ni`mat kepadanya dan kamu (juga) telah memberi ni`mat kepadanya: "Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah", sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami kawinkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mu'min untuk (mengawini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya. Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi.

Untuk ayat ini ianya Allah menerangkan tentang perihal Zaid bin Harithah, seorang bekas hamba sahaya kepada Rasulullah s.a.w. yang telah dimerdekakan dan telah dikahwinkan dengan Zainab binti Jahsy. Rasulullah sangat sayang kepada Zaid sehingga diangkatnya Zaid menjadi anak menurut kebiasaan di zaman Jahiliyah. Apatah lagi Rasulullah pada masa itu sangat menginginkan kepada anak lelaki. Ini kerana anak-anak lelaki baginda telah meninggal sewaktu masa kecil lagi.

Zaid bin Harithah juga adalah orang yang mula-mula masuk Islam bersama Siti Khatijah dan Ali bin Abi Talib sewaktu Rasulullah mula-mula menjadi nabi dahulu. Nikmat kemerdekaan yang telah diberikan Rasulullah kepada Zaid bersama didikan tauhid yang diterima, telah menyebabkan Zaid tumbuh menjadi seseorang yang berjiwa besar. Ibnu Katsir menuliskan di dalam tafsirnya bahwa Zaid adalah seorang tuan, seorang penting, mempunyai kedudukan yang terhormat dan dikasihi oleh Rasulullah s.a.w. sehingga Zaid disebut sebagai Hibbu Rasulullah. Malahan kemudian setelah Zaid berumahtangga dan beranak, nabi memberikan nama anak Zaid itu dengan nama Usama. Dan Usamah itu disebut pula dengan gelaran ‘Al-Hubbu ibnu Hubbi’, iaitu orang tercinta anak orang tercinta.

Aisyah r.a. pula berkata, “kalau  Rasulullah mengutuskan Zaid dalam suatu pasukan angkatan tentera, pastilah Zaid akan menjadi komandan nya. Kalau sekiranya Zaid masih panjang umur dari RAsulullah sudah pasti Zaid lah yang akan diangkat Rasulullah menjadi khalifah.” (dirawikan oleh al-Imam Ahmad).

Dapatlah kita ketahui betapa kasihsayang Rasulullah terhadap Zaid bin Harithah. Malahan setelah Zaid menemui syahidnya dalam peperangan Mu’tah bersama Jaafar bin Abu Talib dan Abdullah bin Rawahah, ketika Rasulullah mengirimkan tentera untuk berperang dengan bangsa Rom di Palestina dekat-dekat Zaid akan meninggal, Usamah bin Zaid pula telah diangkat oleh Rasulullah sebagai Panglima Perang, mendahului sahabat baginda yang lain seperti Umar dan Abu Bakar. Pada masa itu usia Usamah baru saja mencecah 18 tahun. Maka ramailah yang merasa tidak puashati, mengapa budak remaja yang tidak tahu apa-apa ini diangkat menjadi panglima perang.

Setelah desas desus ini sampai saja ke telinga nabi, Rasulullah menyatakan dengan tegas,”kalau sekarang kamu mengkritik aku mengangkat Usamah menjadi panglima perang, mengapa kamu tidak mengkritik aku dulu semasa aku mengangkat ayahnya sebagai panglima perang? Dengan kesaksian Allah aku jelaskan kepada kamu bahwa Zaid dahulu memang pantas dan cekap sebagai panglima perang. Dan anaknya sekarang pun cekap dan pantas juga, meskipun dia seorang yang sangat aku kasihi. “

Dengan sabda baginda yang demikian, jelaslah bahwa perlantikan Zaid dahulu dan anak Usamah kemudian itu bukanlah didasari oleh pilih kasih tetapi adalah kerana Rasulullah memang mengetahui akan ketangkasan dan kecekapan mereka berdua.

Baik, ketika mentafsirkan ayat 36 di atas terdahulu telah kita huraikan sebab turunnya ayat. Di antaranya ialah bahwa Nabi datang meminang Zainab binti Jahsy. Sangka Zainab bahwa Nabi hendak meminang dirinya untuk dijadikan isteri baginda sendiri. Tetapi ternyata Zainab dipinang untuk dinikahkan dengan Zaib bin Harithah. Zainab merasa kecewa.

Datangnya nabi meminang Zainab binti Jahsy untuk Zaid bin Harithah memang suatu yang benar-benar menunjukkan bagaimana kasih sayang nabi kepada bekas hamba sahaya yang telah dimerdekakannya dan diangkatnya menjadi anak itu. Padahal Zaid hanyalah seorang hamba, sedang Zainab pula adalah anak kepada Umaimah, cucu kepada Abdul Muthalib. Sepupu kepada Ali bin Abi Talib, sepupu juga kepada Nabi s.a.w.

Memang pada mulanya Ziainab tidak mahu bersetuju tetapi setelah turunnya ayat 36 itu dan menegur tindakan mereka yang tidak mahu mengikuti perintah Allah dan rasul adalah disifatkan sebagai tidak beriman, maka Zainab pun insaf lalu kembali taat semula. Kerana teguran ayat inilah Zainab sendiri datang menyerah dan menyatakan hasrat untuk mahu berkahwin dengan Zaid.

Maka mereka, Zainab dan Zaid, pun berkahwin selama setahun lebih sikit. Tetapi rumahtangga mereka didapati tidak aman kerana Zainab tidak akur dengan suaminya dan Zaid pun sebagai seorang lelaki yang gagah di medan perang, tidak pula mahu jika isterinya telah memandangnya lebih rendah. Akhirnya kerana tidak dapat bertahan lama, Zaid telah pergi mengaku kepada nabi. Lalu nabi memberikan nasihat supaya Zaid menjaga isterinya baik-baik dan supaya dia bertakwa kepada Allah.   
Inilah yang diceritakan di dalam ayat 37 ini.

“Dan (ingatlah), ketika kamu berkata kepada orang yang Allah telah melimpahkan ni`mat kepadanya dan kamu (juga) telah memberi ni`mat kepadanya…”
Orang yang Allah telah melimpahkan nikmat ini maksudnya Zaid bin Harithah. Allah telah memberikannya nikmat kerana semasa masih kecil Zaid telah menjadi seorang hamba, lalu dibeli oleh Siti Khatijah lalu dihadiahkan kepada Rasulullah s.a.w.. Dan kemudiannya wahyu Allah telah turun dan telah terbuka hatinya untuk memeluk Islam dan ia telah tergolong di dalam golongan yang dipanggil Assaabiquunal awwaluna, iaitu orang-orang yang mula-mula sekali masuk Islam.

Nabi juga telah memberikan nikmat keapdanya, iaitu memerdekakannya , diangkat menjadi anak angkat, sehingga disebut orang sebagai Zaid anak Muhammad, sangat dikasihi nabi. Kemudian dipinangnya seorang isteri dari kalangan bani Quraisy bangsawan. Itu semua adalah nikmat yang diberikan Nabi kepada Zaid.

Tetapi setelah berkahwin dan bergaul selama lebih setahun, rumahtangga itu tidaklah bahagia. Meskipun Zainab seorang perempuan yang beriman telah tunduk dengan kehendak nabi, tetapi ternyata dia tidak patuh kepada suaminya. Suaminya itu disanggahnya saja, dipandangnya kurang darjat dari dirinya, sehingga mengadulah Zaid kepada Rasulullah akan hal ini. Lalu Nabi berkata pada Zaid, "Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah".

Walaupun telah jelas bahwa Zainab telah akur akan perintah nabi agar dirinya dinikahkan dengan Zaid, tetapi hatinya sebagai seorang perempuan yang mempunyai harga diri tidak dapat dipaksa untuk berkasih mesra kepada suaminya itu. Malah kalau berkait dengan rasa hati dan perasaan seseorang ini, Nabi juga pernah berdoa kepada Allah “Ya Tuhanku, janganlah Engkau sesali aku pada perkara yang aku tidak dapat menguasainya.”  iaitu menyamakan kasih sayang untuk semua isteri-isterinya. Agar baginda tidak melebihkan kasih sayangnya kepada isterinya yang tertentu berbanding isterinya yang lain.

Perkahwinan Zainab dan Zaid yang disangka akan berbahagia, telah menjadi sebaliknya. Mereka bersengketa hampir tiap hari. Dari situlah terfikir oleh baginda nabi, bahwa perbuatan baginda mengahwinkan Zainab dengan Zaid itu adalah satu keputusan yang kurang tepat. Datanglah buah fikiran di hati baginda kenapa tidak Zainab itu dipinang utnuk dirinya sendiri? Bukankah Zainabi itu sesuai untuk dijadikan isteri nabi berbanding Zaid?

Tetapi seketika Zaid datang mengadukan hal rumahtangganya itu, perasaan yang terasa di hatinya itu baginda tekan, lalu baginda berkata kepada Zaid, “Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah".

sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya,”
Maksud ayat ini adalah baginda nabi telah menyembunyikan perasaan hatinya yang mengatakan bahwa baginda telah membuat keputusan yang kurang tepat mengahwinkan Zainab dengan Zaid. “Dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti.”

Di ayat pertama dari surah ini, sudah terlebih dahulu diingatkan kepada baginda nabi s.a.w. bahwa beliau jangan sekali-kali mengikuti keinginan orang-orang kafir dan orang-orang munafiq. Di ayat selanjutnya dijelaskan kepada baginda juga bahwa yang mesti baginda takuti hanyalah perintah Allah sahaja. Dan untuk melaksanakan perintah Allah itu hendaklah selalu bertawakkal.  

Dan setelah itu dijelaskan bahawa menyerupakan punggung isteri dengan punggung ibu, bukanlah menyebabkan isteri itu haram disetubuhi sebagaimaana haramnya menyetubuhi ibu. Dan setelah itu datang pula ayat yang menjelaskan bahwa anak orang tidak boleh disamakan dengan darah daging sendiri. Ia tetap anak orang lain.  Ini adalah pegangan yang sudah Allah tegaskan di dalam ayat terdahulu.

Maka pada ayat 37 sekarang ini, Allah menjelaskan kembali dasar ayat-ayat di permulaan surah ini. Tergerak di hati nabi, bahwa Zainab adalah jodoh dirinya bukannya jodoh Zaid. Kalau bercerai Zaid dengan Zainab, baginda tidak salah jika baginda kawin dengan Zainab. Iaitu berdasarkan kepada ayat-ayat di awal surah ini, bahwa anak angkat bukanlah anak sendiri.

Namun Nabi Muhammad takut kepada manusia untuk melakukannya. Sebab nanti orang akan menuduhnya mengahwini janda dari anak angkatnya sendiri, atau mengahwini bekas menantunya. Maka Allah bagitahu kepada Nabi Muhammad s.a.w. di dalam ayat pertama ini bahwa keinginan Allah lah yang harus diutamakan. Bukannya keinginan orang-orang kafir dan munafik sebagaimana yang dijelaskan di dalam ayat pertama tadi. Kita tengok balik ayat pertama, sisters.

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ اتَّقِ الَّهَ وَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَالْمُنَافِقِينَ ۗإِنَّ الَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
“Hai Nabi, bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,”
(Al Ahzab : 1)

Maka datanglah peirntah yang tegas daripada Allah di dalam ayat 37 ini, : “Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami kawinkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mu'min untuk (mengawini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya. “
Ayat ini turun setelah Zaid menceraikan isterinya juga. Meskipun Nabi menyuruh memegang teguh isterinya dan menyuruh bertakwa kepada Allah , namun Zaid tidaklah dapat meneruskan perkahwinannya lagi. Itu adalah hak peribadi Zaid yang tidak dapat dicampuri oleh baginda nabi.

Dengan firman Allah  “Kami kawinkan kamu dengan dia” ternyata bahwa Allah sendiri dengan wahyunya yang merestui perkahwinan nabi dengan Zainab. Maka tidak adalah halangan lagi bagi seseorang untuk mengahwini bekas isteri dari anak angkatnya apabila telah selesai iddahny dari sebab perceraian dengan anak angkatnya itu. Baik kerana iddah talak raj’i yang telah habis, ataupun iddah talak baa’in iaitu talak tiga, ataupun 4 bulan 10 hari kerana iddah wafat.
“Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi.”
Allah lah yang telah menetapkan sesuatu ketentuan atau sesuatu keputusan atau suatu hukum. Dan Allah menjadikan RasulNya sendiri sebagai contoh teladan supaya umat manusia mengikutinya dan sekali gus menolak amalan orang-orang jahiliyah dahulu kala.






Al Ahzab Ayat 38

مَا كَانَ عَلَى النَّبِيِّ مِنْ حَرَجٍ فِيمَا فَرَضَ الَّهُ لَهُ ۖسُنَّةَ الَّهِ فِي الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلُ ۚوَكَانَ أَمْرُ الَّهِ قَدَرًا مَقْدُورًا
Tidak ada suatu keberatanpun atas Nabi tentang apa yang telah ditetapkan Allah baginya. (Allah telah menetapkan yang demikian) sebagai sunnah-Nya pada nabi-nabi yang telah berlalu dahulu. Dan adalah ketetapan Allah itu suatu ketetapan yang pasti berlaku,

Maksud dari ayat ini bahwa apa saja yang Allah halalkan dan Allah perintahkan kepada nabi, maka semua itu tidak menjadi keberatan langsung bagi nabi untuk mentaatinya. Allah telah halalkan pernikahan baginda dengan Zainab, bekas isteri daripada anak angkat baginda sendiri, maka nabi pun menikah dengan Zainab sepertimana yang diperintahkan Allah di dalam ayat 37 tadi.

Ayat ini sekali gus merupakan bantahan keras terhadap orang-orang munafik yang mengatakan bahwa perkahwinan nabi dengan Zainab itu merupakan perbuatan hina dan menjatuhkan martabat. Maka di ayat ini Allah bagitahu bahwa segala ketetapan yang Allah gariskan adalah sebuah kepastian yang mesti terjadi dan ianya sebuah kenyataan yang tidak akan dapat ditolak atau dihindari. Segala sesuatu yang Allah kehendaki wujudnya, nescaya akan terwujudlah ia. Dan segala sesuatu yang Allah tidak kehendaki akan wujudnya, maka pastilah tidak akan wujudlah ia walau dengan apa cara sekalipun diusahakan makhluk.









Al Ahzab Ayat 39 Dan 40

الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالَاتِ الَّهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلَا يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلَّا الَّهَ ۗوَكَفَىٰ بِالَّهِ حَسِيبًا
39 - (yaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.

مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَٰكِنْ رَسُولَ الَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ ۗوَكَانَ الَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا
40 - Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Itulah tugas seorang rasul Allah. Menyampaikan risalah, atau dalam bahasa kita ialah menyampaikan pesanan dari Allah untuk diikuti oleh seluruh umat manusia bagi keselamatan dan untuk mengatur masyarakatnya agar lebih baik. Ini kerana tiap-tiap nabi itu telah membuat janji dengan Allah, jadi mereka takut untuk memungkiri janji itu. “dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah.”

Inilah pengaruh iman dan tauhid yang mengisi seluruh rongga hati para nabi. Tidak ada seorang pun atau tidak ada sesuatu pun yang membuat mereka merasa takut melainkan kepada Allah jua. Sebab takut kepada manusia atau benda lain hanyalah sementara saja untuk hidup di dunia ini. Setinggi-tinggi perbuatan zalim dan aniaya yang manusia boleh lakukan di dunia ini adalah membunuh sampai mati. Padahal bagi orang yang beriman, mati itu adalah liqaa a rabbihii, maksudnya pertemuan dengan Allah. Bahkan orang yang beriman merasa sangat mulia kematiannya kalau dalam keadaan syahid.

Tetapi orang mukmin, apatah lagi nabi-nabi takut kepada yang sesudah mati. Kerana di saat itu kelak akan berjumpa Allah , akan ditanya serba serbi amalannya di dunia. Sebab itulah di akhir ayat 39 dikatakan sebagai “Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.”

Tidaklah ada selain Allah yang demikian telitinya di dalam menghitung, memerhatikan, dan meneliti amal seseorang di kala hidupnya di dunia. Sehingga tidak ada yang luput daripada balasan semasa di akhirat kelak. Sebab itu maka nabi pun di dalam melaksanakan perintah Allah dalam mengahwini Zainab setelah iddahnya selesai, maka baginda tidak boleh segan-segan atau merasa takut dengan tohmahan orang ramai yang menyalahkan baginda mengapa baginda berkahwin dengan janda anak angkatnya sendiri. Adat anak angkat itulah yang diperintahkan Allah agar nabi meruntuhkannya, dengan mengahwini bekas isteri Zaid.

Dan akhirnya Allah menegaskan lagi di ayat 40  “Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu”  Maksudnya semua orang yang ada di waktu itu , yang bertemu dengan baginda lalu menyatakan iman kepada ajaran baginda semua adalah sahabat baginda. Besar kecil tua muda semuaaaanya adalah sahabat baginda belaka. Semua berhak memanggil baingda dengan panggilan ‘Ya Rasul Allah’ ataupun ‘Ya Nabi Allah’. Dengan takdir Allah pula anak-anak baginda yang lelaki semuanya meninggal dunia sewaktu kecil. Tinggallah Zaid seorang saja di zaman yang terdahulu sebelum turunnya ayat ini, yang dipanggil sebagai Zaid bin Muhammad. Padahal Zaid bukan anak sedarah sedaging nabi yang sebenarnya.

“....tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi…”
Sekarang Allah bagitahu bahwa adat itu mestilah dihapus. Tidak boleh dipakai lagi. Tidak seorang pun yang berhak memanggil nabi dengan panggilan ‘bapak’. Tetapi sebaliknya panggilah dengan panggilan Rasul Allah. Utusan Allah! Maka sesudah nabi, tidak ada seorang nabi pun lagi yang akan diturunkan Allah. Kenabian sudah berakhir dengan Nabi Muhammad s.a.w. “ Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.