Monday, November 9, 2015

Surah Al Ankabut Ayat 21 - 40









Al Ankabut Ayat 21

يُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ وَيَرْحَمُ مَنْ يَشَاءُ وَإِلَيْهِ تُقْلَبُونَ
"Ia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (iaitu orang-orang yang ingkar), dan Ia juga yang memberi rahmat kepada sesiapa yang dikehendakiNya (iaitu orang-orang yang beriman); dan kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan (untuk menerima balasan).

Sebagaimana yang telah kita ketahui, penciptaan makhluk dan seluruh alam semesta ini adalah dengan kehendak Allah. Dengan kuasa Allah. Tidak ada kuasa lain yang menghendaki semua ini wujud kecuali dengan kemahuan Allah saja. Jadi bila semua penciptaan ini adalah dengan kehendak Allah, maka segala hukuman azab seksa yang dikenakan kepada makhluk itu adalah juga dengan kehendakNya. Allah berkuasa menetapkan azab untuk menyeksa sesiapa saja dari kalangan manusia mengikut kehendakNya.

Begitu juga jika Allah akan memberikan kurnia dan rahmat serta hukuman yang adil kepada manusia juga dengan mengikut kehendakNya juga. Hanya saja, manusia itu diberikan akal dan fikiran untuk menilai dan memilih. Manusia boleh memilih jalan yang sesat untuk mendapat hukuman azab Allah ataupun manusia juga boleh memilih jalan yang benar untuk mendapat keredhaan Allah.

Di samping itu Allah sendiri selalu memanggil, memujuk dan menganjurkan hambaNya supaya mengikuti jalan yang selamat jalan yang benar, agar mereka terselamat dari azab Allah. Kalau jalan benar yang manusia itu tempuh dan pilih, Allah telah berjanji akan menolong mereka. Bahkan Allah sendiri telah mewajibkan kepada diriNya sendiri untuk memberikan rahmat kepada manusia yang memilih jalan yang benar ini. Sepertimana di dalam ayat 12 dari Surah Al An’am. Oleh itu kita haruslah cermat dan berhati-hati dalam memilih jalan kita. Kerana kalau tersalah memilih jalan, azab Allah akan menanti kita di penghujung jalan.

Jadi dengan itu, kita haruslah memahami dengan mendalam tentang ‘Allah mengazab sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia juga akan memberikan rahmat kepada sesiapa saja yang Dia kehendaki’. Maksud ‘sesiapa saja yang dikehendaki’ itu adalah bergantung kepada peraturan yang Allah sendiri telah tetapkan. Iaitu Sunnatullah. Dan sunnatullah ini tidak akan berubah atau diganti.















Al Ankabut Ayat 22

وَمَا أَنْتُمْ بِمُعْجِزِينَ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ
22 - "Dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri (dari kekuasaan Allah) di bumi dan tidak juga di langit (sekalipun); dan kamu tidak akan mendapat sebarang pelindung dan penolong yang lain dari Allah".

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَلِقَائِهِ أُولَئِكَ يَئِسُوا مِنْ رَحْمَتِي وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
23 - Dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan pertemuan denganNya, mereka tetaplah akan menjadi orang-orang yang putus asa dari rahmatKu; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Seseorang yang berbuat kejahatan tidaklah akan lepas dari pemerhatian Allah. Dan janganlah mereka menyangka bahwa mereka tidak akan dipertanggungjawabkan ke atas segala kejahatan yang mereka lakukan. Janganlah mereka menyangka bahwa dengan kekuatan pengaruh yang mereka ada, kuasa yang mereka miliki, sehingga tidak ada manusia pun di dunia ini yang sanggup menghalang mereka, mereka menyangka bahwa Allah pun juga tidak dapat menghalang mereka.  Itu adalah persangkaan yang salah.

Sesungguh manusia ini adalah kecil sekali, tidak ada erti apa-apa jika dibanding dengan makhluk Allah yang lain. Sedangkan matahari yang begitu besar, ia tunduk tidak sanggup melawan peraturan Allah. Gunung yang tinggi dan utuh, hancur bila mahu diperlihatkan wajah Allah. Inikan pula manusia. Dan sekiranya manusia ini kalau ditmpa oleh gunung yang tinggi yang tidak sanggup melawan Allah ini pun, mereka sudah ranap hancur tidak boleh menyelamatkan diri mereka sendiri dah. Inikan pula kalau ditimpa seksaan daripada Allah. Sudah tentulah mereka tidak dapat melarikan diri atau menyelamatkan diri mereka dari azab Allah. Jadi tidak usahlah berasa sombong dan angkuh terhadap Allah, hatta terhadap matahari ataupun gunung yang besar itu pun, manusia tidak boleh merasa angkuh.

Yang dapat menyelamatkan manusia dari semua ancaman dan bencana, yang dapat melindungi dan membela mereka hanyalah Allah. Hanya Allah saja. Allah Yang Maha Esa.

Orang-orang yang engkar dan tidak percaya bahwa mereka akan menemui Allah pada hari kiamat dan yang mengengkari ayat dan keterangan Allah ini, mereka kelak adalah orang-orang yang tidak mempunyai harapan. Mereka adalah orang-orang yang kecewa dan putusa asa daripada rahmat Allah. Ini adalah kerana mereka ini sudah tidak takut akan seksa Allah dan tidak mengharapkan pahala daripada Allah. Sebaliknya mereka layak mendapat seksa yang pedih, baik di dunia mahupun di akhirat.

Orang-orang ini adalah orang-orang kafir, yang setelah menemui jalan kebenaran, mereka tidak mahu percaya dan tidak mahu mengikutinya. Maka tinggallah mereka di dalam kesesatan yang nyata baik di dunia, apatah di akhirat.













Al Ankabut Ayat 24 Dan 25

فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَنْ قَالُوا اقْتُلُوهُ أَوْ حَرِّقُوهُ فَأَنْجَاهُ اللَّهُ مِنَ النَّارِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
24 - Kemudian, seruan Nabi Ibrahim tidak dijawab oleh kaumnya melainkan dengan kata-kata (tentangan yang keras): "Bunuhlah dia atau bakarlah dia". Maka Allah selamatkan Nabi Ibrahim dari api (yang disediakan oleh kaumnya). Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang (mahu) beriman.


وَقَالَ إِنَّمَا اتَّخَذْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْثَانًا مَوَدَّةَ بَيْنِكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ثُمَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكْفُرُ بَعْضُكُمْ بِبَعْضٍ وَيَلْعَنُ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَمَأْوَاكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ نَاصِرِينَ
25 - Dan Nabi Ibrahim berkata pula (kepada kaumnya): "Perbuatan kamu menyembah berbagai berhala, tidak menyembah Allah itu, hanyalah kerana menjaga hubungan kasih mesra di antara kamu masing-masing dalam kehidupan dunia ini; kemudian pada hari kiamat kelak setengah kamu akan membantah setengahnya yang lain, dan setengah kamu pula akan melaknatkan setengahnya yang lain; dan (kesudahannya) tempat kembali kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan".

Setelah Nabi Ibrahim memberikan hujah yang diajarkan Allah kepadanya supaya disampaikan kepada kaumnya itu, maka kaum Nabi Ibrahim masih lagi berdegil tidak mahu menerima kebenaran. Mereka berpakat pula untuk menggunakan kekerasan terhadap Nabi Ibrahim. Memang begitulah perangai mereka yang kalah berbahas dan berdebat. Setelah tidak berpuashati dengan kekalahan berperang mulut, mereka menggunakan kekerasan pula. Mereka bercadang untuk membunuh Nabi Ibrahim dengan membakar beliau di dalam unggun api.

Namun Allah telah menyelamatkan nabi Ibrahim dan sedikit pun beliau tidak terjejas oleh api, malah Allah takdirkan unggun api yang menyala itu menjadi sejuk dan sejahtera untuk Nabi Ibrahim.

Kejadian yang berlaku ke atas Nabi Ibrahim ini sebenarnya mengandungi keterangan-keterangan untuk dijadikan tauladan kepada orang-orang yang beriman. Iaitu semasa Nabi Ibrahim dihukum bakar oleh kaumnya, Allah telah menyelamatkan Nabi Ibrahim dengan menjadikan api itu sejuk dan sejahtera kepada Nabi Ibrahim. Perkara ini menjadi bukti atau keterangan bahwasanya Allah itu Maha Berkuasa. Maka apabila dilihat bukti-bukti tersebut oleh orang yang mahu mengambil iktibar pasti mereka akan beriman kepada Allah.

Ini juga membuktikan bahwa lemahnya seorang raja yang kononnya gagah perkasa dalam menyakiti rasul Allah yang memperjuangkan kebenaran. Namun dengan kehendak Allah, Rasul itu telah terselamat dan tidak ada apa pula yang boleh dilakukan oleh raja tersebut untuk menyakiti rasul utusan Allah itu.

Namun demikian, kejadian-kejadian yang luar biasa ini, tidaklah menjadi besar pengaruhnya untuk merubah hati orang-orang yang sememangnya telah sengaja berbuat engkar dan menolak kebenaran. Mereka akan terus dengan pendirian dan kedegilan mereka untuk tidak mahu mengakui akan kebenaran walaupun di dalam hati kecil mereka mengakui dan berasa takjub melihat apa yang telah berlaku di hadapan mata mereka. Mereka terlalu sombong untuk tunduk mengakui bahwa Allah itu wujud dan Allah lah yang Maha Berkuasa.

Sebenarnya orang-orang yang menolak kebenaran ini, mereka menyembah berhala dan melakukan pemujaan terhadap berhala-behala mereka itu adalah semata-mata sebagai satu hobi, satu kegemaran dalam menjalin persahabatan dan persaudaraan sesama mereka. Maka tujuan mereka menyembah berhala itu bukanlah tujuan untuk memuja berhala itu sangat, tetapi untuk mengadakan hubungan persahabatan dan muhibbah antara satu sama lain. Sebab manusia dalam kehidupan di dunia ini apabila melihat orang lain melakukan sesuatu untuk menjalin persahabatan lalu dia pun akan turut melakukannya juga sebagai membalas persahabatan tersebut.

Begitulah keadaan mereka didunia ini. Tetapi apabila mereka telah berada di akhirat, keadaan mereka akan jadi terbalik. Iaitu hubungan persahabatan yang ada semasa di dunia dahulu akan bertukar menjadi kebencian ketika di akhirat nanti. Satu sama lain akan saling membenci dan mereka akan saling sumpah menyumpah dan laknat melaknat. Si pengikut akan melaknat pemimpin yang diikutinya. Dan yang diikuti pula akan mencaci para pengikutnya.

Maka tempat mereka yang sedang bantah membantah itu sudah pastilah berada di dalam neraka sebagai hukumannya. Dan mereka tidak akan dapat pertolongan dari sesiapa pun juga untuk menyelamatkan diri mereka dari seksa Allah.

Inilah keadaan yang dialami oleh orang-orang kafir. Sedangkan orang-orang yang beriman mereka akan mengalami nasib sebaliknya, mereka akan masuk dengan gembiranya ke dalam syurga bersama-sama dan mereka tinggal di dalamnya selama-lamanya.










Al Ankabut Ayat 26


فَآمَنَ لَهُ لُوطٌ وَقَالَ إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَى رَبِّي إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
26 - Setelah itu Lut beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: "Aku hendak berhijrah kepada TuhanKu, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

وَوَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَجَعَلْنَا فِي ذُرِّيَّتِهِ النُّبُوَّةَ وَالْكِتَابَ وَآتَيْنَاهُ أَجْرَهُ فِي الدُّنْيَا وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ
27 - Dan Kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya) dan Yaakub (cucunya); dan Kami jadikan dalam kalangan keturunannya orang-orang yang berpangkat Nabi dan menerima Kitab-kitab agama; dan Kami berikan balasannya yang baik di dunia; dan sesungguhnya adalah ia, pada hari akhirat, dari orang-orang yang soleh.

Kini diceritakan pula tentang kisah Nabi Lut dan kaumnya. Nabi Lut adalah anak saudara Nabi Ibrahim yang hidup di zaman nabi Ibrahim juga. Nabi Lut adalah salah seorang yang beriman dengan ajaran tauhid Nabi Ibrahim. Kemudian Nabi Lut diangkat menjadi Nabi dan rasulNya.

Nabi Lut adalah pengikut Nabi Ibrahim yang walaupun beliau hidup di tengah-tengah kaumnya yang masih menjadi penyembah berhala, namun belaiu tidaklah termasuk dalam golongan mereka. Beliau tidak menjadi penyembah berhala kerana semata-mata ingin menjaga persatuan kaumnya supaya sentiasa berkeadaan aman. Tidak. Sejak belaiu memahami ajaran Nabi Ibrahim, Nabi Lut telah bertekad untuk berpisah dari kaumnya dan berhijrah kepada Allah, berpindah hati walaupun jasmani beliau masih di tengah-tengah kaumnya itu.

Beberapa lama setelah Nabi Ibrahim merasa kecewa dengan kaumnya yang tidak mahu beriman, Nabi Ibrahim pun membuat keputusan untuk berpindah keluar dari kaumnya itu. Beliau merasa bahwa dirinya tidak berguna lagi untuk membuang masa bersama kaumnya di situ sedangkan mereka enggan menerima seruan beliau. Kalau beliau masih tinggal di situ bersama kaumnya, dan hanya duduk diam dan tidak menegah perbuatan kaumnya yang menyembah berhala itu, itu menandakan yang beliau redha dengan keadaan begitu. Maka tidak ada pilihan kecuali terpaksalah Nabi Ibrahim keluar berhijrah.

“.....sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”
Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa untuk tidak akan menghina orang yang ditolongnya sehingga orang itu tidak mendapat kesusahan atau menemui malapetaka. Allah lah sebagai pemilik kemenangan. Kemenangan itu akan berpihak kepada para rasul dan umat mereka yang beriman. Allah lah yang Maha Bijaksana, baik pada firman, perbuatan ataupun pada hukum-hukumNya yang Dia tetapkan.

Mengikut Qatadah Nabi Ibrahim bersama isterinya Sarah dan juga Nabi Lut telah keluar berhijrah dari kota Kutsa menuju ke negeri Syam.

Setelah Nabi Ibrahim meninggalkan kaumnya, Allah telah menganugerahkan kepada Nabi Ibrahim seorang anak yang saleh yang kelak akan menjadi nabi juga. Dari anak yang saleh ini lahirlah anak-anak saleh lainnya yang juga menjadi nabi dari keturunan Nabi Ibrahim semasa beliau masih hidup lagi. Anak-anak keturunan Nabi Ibrahim yang dimaksudkan itu adalah Nabi Ishak selain itu adalah Nabi Ismail. Kehadiran mereka ini telah menggembirakan hati Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah.

Dan setelah itu lahirlah pula Nabi Yaakub, Nabi Yunus, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Yusya’, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Zakariya, Nabi Yahaya, Nabi Isa Al Masih dan lain-lainnya.

Sementara dari putera sulung Nabi Ibrahim pula, iaitu Nabi Ismail yang berbangsa Arab, hanya seorang saja yang diangkat menjadi Rasul, iaitu junjungan besar kita Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Walaupun dari anaknya Nabi Ismail ini hanya seorang saja yang dilantik menjadi nabi, tetapi kedatangan nabi Muhammad adalah sebagai permohonan dari nabi Ibrahim juga untuk anak cucunya yang hidup di keliling kaabah yang didirikannya sendiri atas perintah Allah. Kedatangan Nabi Muhammad ini adalah sebagai nabi besar yang juga nabi terakhir yang akan menjadi pemimpin manusia di dunia mahupun di akhirat. Nabi Muhammad menjadi manusia pilihan Allah, lahir dari keturunan Arab murni.

Al kitab iaitu perintah-perintah suci dari Allah yang berupa wahyu diturunkan juga kepada anak cucu Nabi Ibrahim. Kitab Taurat kepada Nabi Musa, Kitab Injil kepada Nabi Isa, Kitab Zabur kepada Nabi Daud dan penutupnya ialah Kitab Al Quranul Karim diturunkan kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Maka semua yang berupa kemegahan dunia dengan mempunyai keturunan yang sangat mulia ini telah dicapai dan dianugerahkan kepada Nabi Ibrahim. Mempunyai rumah yang besar, binatang ternak yang banyak, dua isteri yang cantik dan setia, dua anak lelaki yang ternama, pujian dan nama baik, ke mana saja dihormati dan dicintai orang.  Sehinggakan ke zaman Nabi Muhammad, walaupun Nabi Ibrahim telah lama tiada sebelum nabi Musa lagi, namun masih ada lagi yang menyanjung nabi Ibrahim dan mengenali beliau sebagai seorang yang mulia.

Rahmat yang berturut-turut ini Allah berikan kepada Nabi Ibrahim semasa beliau masih hidup sehinggalah meninggal dunia. Ini adalah kerana kesanggupan beliau untuk berjihad dan berjuang di waktu beliau masih muda lagi. Keteguhan hati beliau memasuki unggun api yang besar menyala, dan tidak meminta tolong walaupun kepada jibril sekali pun, hanya berserah kepada Allah saja, telah membuatkan belaiu mendapat tempat yang utama di sisi Allah. Di dunia mahupun di akhirat.















Al Ankabut Ayat 28 Hingga 30


وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ
28 - Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi Lut tatkala ia berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorangpun dari penduduk alam ini sebelum kamu.

أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ وَتَقْطَعُونَ السَّبِيلَ وَتَأْتُونَ فِي نَادِيكُمُ الْمُنْكَرَ فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَنْ قَالُوا ائْتِنَا بِعَذَابِ اللَّهِ إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ
29 - "Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu?" Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): "Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar".

قَالَ رَبِّ انْصُرْنِي عَلَى الْقَوْمِ الْمُفْسِدِينَ
30 - Nabi Lut berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tolonglah daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka)".  

Ayat ini Allah telah berfirman mengkhabarkan tentang kisah Nabi Lut. nabi Lut telah diutuskan Allah supaya tinggal di negeri Sadum. Orang barat menyebutnya Sodom. Ia terletak di pinggir Laut Mati.  Di sana Nabi Lut telah mendirikan rumahtangga bersama seorang perempuan dari penduduk negeri tersebut. Maka jadilah Nabi Lut sebagai salah seorang warganegara dan tergolong di dalam kaum mereka. Di sanalah Nabi Lut telah dilantik Allah menjadi rasul.

Apabila nabi Lut mendapati kaumnya menyukai perbuatan ‘liwat’, iaitu perbuatan hubungan jenis lelaki sesama lelaki, Nabi Lut telah membantah dan menentang akan perbuatan itu. Nabi Lut mencela kerana ianya adalah perbuatan yang sangat keji dan kotor.

Perbuatan ini memanglah perbuatan hina yang menjatuhkan martabat perikemanusiaan. Padahal Allah telah menentukan hidup itu berpasang-pasangan, lelaki dan perempuan, jantan dan betina, supaya dengan pertemuan keduanya akan datanglah hasil keturunan dan zuriat. Ini akan membuatkan hidup manusia itu bersambung-sambung sampai ke akhir zaman.

Melihatkan perbuatan terkutuk ini sudah berleluasa sehingga lelaki tidak merasa malu lagi untuk mencari lelaki muda untuk menjadi pasangan mereka, di waktu itulah Nabi Lut memberi peringatan kepada mereka. Bahwa penyakit keji ini harus dihentikan segera.

Nabi Lut bertanya kepada mereka apakah patut mereka mendatangi lelaki sepertimana mereka mendatangi perempuan dan bergaul seperti laki bini. Terbuang syahwat mereka dengan sia-sia. Dan mereka mengganggu keamanan dengan merompak, merampas dan menyamun di tengah jalan yang dilalui oleh manusia yang lalu lalang untuk mencari rezeki. Dan mereka lalkukan pula maksiat di rumah-rumah pertemuan, di kelab-kelab dengan mengumpulkan ramai orang di kalangan mereka, untuk melakukan perkara buruk dan memalukan serta menyalahi akal fikiran yang sihat, perbuatan yang dilarang agama.

Sisters,
Inilah rupanya permulaan dari kelab-kelab malam yang diadakan oleh orang di zaman sekarang ini di kota-kota besar serperti  di Eropah, Amerika. Dan sekarang ini telah menjalar ke negara kita sendiri di Kuala Lumpur, Genting Highland dan bandar-bandar lain. Sehingga masyarakat mereka itu sudah menjadi suatu masyarakat yang cabul dan lucah. Dan oleh kerana lelaki lebih disukai daripada perempuan, kekejian itu menjadi berlipat ganda lagi.

Larangan dan tegahan berbuat perlakuan sumbang itu telah dicabar oleh kaum Nabi Lut tanpa segan dengan berkata, ‘turunkanlah seksaan kepada kami yang kononnya telah dijanjikan oleh Allah itu kalau benar apa yang engkau katakan dan menepati dengan apa yang dijanjikan.’

Maksudnya mereka menentang kerana mereka tidak percaya bahwa Allah akan berbuat demikian, terhadap mereka. Tidak akan ada perubahan dalam alam dan tidak akan ada bahaya. Mereka akan terus melakukan kejahatan semahu mereka. Dan sekiranya Nabi Lut tidak mendatangkan azab kepada mereka sekarang ini, maka terbukti Nabi Lut itu pembohong.

Kalau Nabi Lut itu bukan seorang yang terpilih yang sabar dan tabah menghadapi orang yang degil ini, sungguh-sungguhlah perbuatan dan kata-kata mereka itu menyakitkan hati. Tetapi Nabi Lut tidak pun terkesan dengan kata-kata engkar dan sangat kasar mereka itu. Nabi Lut sabaaar je. Tenaaang je.

Nabi Lut memohon kepada Allah, "Wahai Tuhanku, tolonglah daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka)".  Dengan cara itu, Nabi Lut akan bertambah yakin dengan keimana kepada Allah, bahwa pertolongan Allah itu pasti akan datang di saat yang amat diperlukan.













Al Ankabut Ayat 31
وَلَمَّا جَاءَتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُشْرَى قَالُوا إِنَّا مُهْلِكُو أَهْلِ هَذِهِ الْقَرْيَةِ إِنَّ أَهْلَهَا كَانُوا ظَالِمِينَ
31 - Dan ketika datang (malaikat) utusan kami kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita yang mengembirakan), mereka berkata: "Sebenarnya kami hendak membinasakan penduduk bandar ini), sesungguhnya penduduknya adalah orang-orang yang zalim".

Setelah Nabi Lut berdoa kepada Allah minta diselamatkan darpada bencana kaumnya itu, maka Allah pun memperkenankan doa beliau. Dan segeralah diutuskan beberapa malaikat yang akan menolong beliau dengan tugasnya supaya ditimpakan malapetakan yang kelak akan membinasakan kaumnya penduduk Sodom itu.

Malaikat-malaikat utusan Allah ini terlebih dahulu telah mengunjungi Nabi Ibrahim untuk menyampaikan berita gembira tentang kelahiran zuriat beliau bersama isteri beliau Sarah. Setelah menyampaikan berita gembira itu kepada Nabi Ibrahim, malaikat-malaikat utusan Allah itu memberitahu Nabi Ibrahim pula bahwa kedatangan mereka adalah seperti yang diperintahkan oleh Allah untuk membinasakan negeri Sodom kerana penduduknya telah menentang Nabi Lut.

Malaikat itu juga memberitahu Nabi Ibrahim bahwa mereka akan menyelamatkan Nabi Lut dan kaumnya yang beriman sebelum mereka membinasakan negeri itu bersama golongan yang zalim. Zalim di sini maksudnya adalah kerana menempuh jalan yang sesat. Kerana bersetubuh sesama lelaki, kerana melakukan rompakan, samun dan bunuh, kerana berbagai macam lagi maksiat yang mereka lakukan apabila mereka berkumpul di tempat mereka berkumpul.








Al Ankabut Ayat 32


قَالَ إِنَّ فِيهَا لُوطًا قَالُوا نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَنْ فِيهَا لَنُنَجِّيَنَّهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ
32 - Nabi Ibrahim berkata: "Sebenarnya Lut ada di bandar itu". Mereka menjawab: "Kami mengetahui akan orang-orang yang tinggal di situ. Sesungguhnya kami akan menyelamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) - kecuali isterinya, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan".

وَلَمَّا أَنْ جَاءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِيءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالُوا لَا تَخَفْ وَلَا تَحْزَنْ إِنَّا مُنَجُّوكَ وَأَهْلَكَ إِلَّا امْرَأَتَكَ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ
33 - Dan ketika datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut, ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya); dan (setelah melihatkan halnya yang demikian), utusan-utusan itu berkata: "Janganlah engkau takut dan janganlah berdukacita, sesungguhnya kami akan menyelamatkanmu dan keluargamu (serta pengikut-pengikutmu) - kecuali isterimu, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan.

إِنَّا مُنْزِلُونَ عَلَى أَهْلِ هَذِهِ الْقَرْيَةِ رِجْزًا مِنَ السَّمَاءِ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ
34 - Sesungguhnya kami (diutuskan) untuk menurunkan atas penduduk bandar ini azab dari langit, disebabkan mereka melakukan kejahatan (kufur dan maksiat)".

وَلَقَدْ تَرَكْنَا مِنْهَا آيَةً بَيِّنَةً لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
35 - Dan demi sesungguhnya, Kami telah (binasakan bandar itu dan telah) tinggalkan bekas-bekasnya sebagai satu tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang-orang yang mahu memahaminya.
  
Ketika malaikat-malaikat utusan Allah itu memberitahu Nabi Ibrahim bahwa mereka datang untuk membinasakan kaum Nabi Lut yang tidak beriman, Nabi Ibrahim merasa khuatir akan keselamatan Nabi Lut lalu beliau memberitahu malaikat-malaikat itu bahwa Nabi Lut masih ada tinggal di situ. Maksud kiasannya bahawa Nabi Lut bukanlah tergolong dalam kaum yang zalim dan aniaya, tetapi beliau adalah seorang nabi utusan Allah yang beriman dan taat kepada Allah.

Maka dijwab oleh para malaikat itu bahwa mereka sudah tahu tentang hal itu. Bahkan malaikat itu lebih tahu dari Nabi Ibrahim siapakah yang kafir, siapakah yang zalim dan siapa yang mukmin. Dan memanglah Nabi Lut itu bukanlah dariapda golongan yang kufur. Terlebih dahulu mereka akan menyelamatkan Nabi Lut bersama pengikut beliau dari kebinasaan yang terjadi oleh bala dan malapetaka yang akan menimpa negeri Sodom. Kecuali isteri Nabi Lut, dia adalah termasuk dalma golongan orang-orang yang akan tinggal di belakang berkeadaan terseksa dalam negeri itu disebabkan dia telah bersimpati dan menyebelahi kaumnya yang zalim dan durjana itu.

Lalu pergilah malaikat-malaikat itu bertemu dengan Nabi Lut. Mereka bertemu Nabi Lut di rumah Nabi Lut sebagai tetamu. Maka Nabi Lut juga telah mengetahui bahwa tetamu itu adalah sebenarnya malaikat-malaikat utusan Allah yang telah menjelma menjadi manusia yang kacak dan tampan.

Melihatkan rupa paras para malaikat yang indah dan perkasa itu, maka bimbanglah Nabi Lut akan keselamatan malaikat itu. Nabi Lut khuatir seandainya kaumya tahu bahwa di rumahnya telah didatangi tetamu lelaki yang cantik dan tampan rupanya, nescaya keselamatan tetamunya itu akan terancam. Sehingga beliau kelihatan begitu runsing dan berdukacita. Hatinya berdebar-debr, takut kalau-kalau kaumnya datang menceroboh dan menerpa ke rumahnya ketika itu. Manakala dia sendiri pula tidak berdaya mempertahankan tetamu kehormatnya itu dengan perbuatan keji mereka, tidak tahu bagaimana hendak mengawal dan melindungi tetamunya supaya terlepas dari angkara musuh.

Malaikat itu berkata kepada Nabi Lut, menyuruh Nabi Lut supaya jangan bimbang dan takut kepada bahaya yang akan menimpa malaikat itu. Sebalikknya mereka pula meminta supaya Nabi Lut sendiri tidak terperanjat dengan apa yang mereka hendak lakukan kepada kaumnya itu. Kaum Nabi Lut ini sesungguhnya sudah melampaui batas dan kemuncak noda yang mereka lakukan. Sehingga tidak ada harapan mereka itu akan kembali kepada kebaikan dan kebenaran. Apalagi untuk mendengar nasihat dan menerima petunjuk yang diberikan kepada mereka, adalah jauh sekali.

Para malaikat itu kemudiannya telah berterus terang kepada Nabi Lut dengan mengatakan bahwa mereka adalah malaikat yang diutuskan oleh Allah ke negeri itu. Maka Nabi Lut disuruh bertenang dan jangan khuatir akan malapetaka yang akan menimpa kaumnya yang keji itu. Dan malaikat itu juga akan menyelamatkan Nabi Lut berserta dengan pengikutnya yang beriman, tidak akan ditimpa sebarang bahaya seperti yang tertimpa kepada kaum yang engkar itu.

Mereka yang menjadi pengikut Nabi Lut akan diselamatkan oleh malaikat…. kecuali isteri Nabi Lut. Malaikat kata sayang isteri Nabi Lut tidak dapat diselamatkan kerana dia telah tinggal bersama-sama dengan orang-orang yang akan dimusnahkan disebabkan dia telah memihak kepada kaumnya  yang engkar dan menjadi penyuluh rahsia kepada mereka. Maka ini bermakna isteri Nabi Lut telah bersubahat dengan mereka di dalam melakukan jenayah dan dosa besar.

Maka sesudah nabi Lut dan pengikutnya itu diselamatkan, maka kini giliran kaum Nabi Lut yang engkar pula untuk menerima pembalasan. Disebutkan di dalam ayat 34 bahwa seksaan itu telah ditimpakan dari langit. Bahwa malaikat jibril turun dari langit lalu mencabut tempat tinggal mereka daerah Sodom itu dari dasar bumi. Kemudian diangkatkany ke atas langit, lalu bumi itu ia terbalikkan ke atas mereka. Lalu Allah mengirimkan pula secara bertubi-tubi hujan batu dari tanah yang terbakar, yang diberi tanda oleh Allah. Tempat itu telah menjadi porak peranda musnah berkecai semua yang ada. Lalu Allah menjadikan sebuah danau (laut mati) yang baunya amat menjijikkan. Ini sekaligus menjadi satu pengajaran berharga kepada umat seluruh dunia sehingga ke hari kiamat.

Bekas runtuhan negeri Sodom itu yang terletak dekat laut Mati di bumi Palestin sampai sekarang dapat dilihat. Ahli-ahli sarjana sejarah dan archeologi telah berkali-kali menyelidikinya. Dan bagi kita sebagai manusia berakal dapatlah mengambil cermin untuk perbandingan dari runtuhan negeri itu. Bahawasanya jika Allah berkehendak membinasakan sesuatu negeri, mudah saja bgi Allah melakukannya, yang berupa letusan gunung berapi, tanah runtuh, banjir besar, puting beliung, taufan ganas, gempa bumi dan sebagainya.









Al Ankabut Ayat 36 Dan 37

وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَارْجُوا الْيَوْمَ الْآخِرَ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ
36 - Dan (Kami utuskan) kepada penduduk Madyan saudara mereka: Nabi Syuaib; lalu ia berkata: "Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, dan kerjakanlah amal soleh dengan mengharapkan pahala akhirat, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi".

فَكَذَّبُوهُ فَأَخَذَتْهُمُ الرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا فِي دَارِهِمْ جَاثِمِينَ
37 -  Maka mereka mendustakannya, lalu mereka dibinasakan oleh gempa bumi, serta menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

Allah ceritakan pula tentang kisah Nabi Syu’aib yang diutus kepada kaumnya yang dibahasakan dalam ayat ini sebagai saudara kepada penduduk negeri Madyan. Kerapkali dijelaskan di dalam AlQuran bahwa nabi yang diutus kepada sesuatu kaum itu adalah terdiri dari saudara mara mereka sendiri. Bukan orang lain yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Nabi itu bercakap dalam bahasa mereka, mengenal adat kebiasaan mereka, suka duka mereka.

Jadi Nabi Syu’aib ini telah diutus kepada penduduk di negeri Madyan supaya mereka menyembah Allah yang Maha Esa dengan tulus ikhlas dan tidak menyekutukanNya. Dan ibadah yang mereka kerjakan itu akan membawa manafaat kepada mereka juga untuk kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

Nabi Syu’aib juga mengingatkan kaumnya agar takut akan seksaan dan azab Allah di akhirat nanti yang menanti mereka sekiranya mereka tidak mahu patuh dan taat kepada suruhan Allah. Nabi Syu’aib juga melarang mereka berjalan di muka bumi dengan menebarkan kerosakan dan kezaliman terhadap penghuninya.  Maksudnya Nabi Syu’aib melarang kaumnya membuat kejahatan dan kezaliman yang mereka sedang lakukan kini.  Contoh kezaliman yang telah mereka lakukan ialah dengan mengurangi timbangan dan sukatan terhadap barang yang dijual. Ada di kalangan mereka yang suka menyamun orang di tempat sunyi kemudian membunuh dan mengambil harta mereka.

Seruan Nabi Syu’aib itu tidak mahu mereka menerimanya. bahkan mereka dustakan. Di dalam surah Hud, Surah Al A’raf dan surah Asy-Syu’ara kisah perjuangan nabi Syu’aib hendak memberi keinsafan bagi kaumnya itu diceritakan dengan lebih panjang. Sisters boleh rujuk surah-surah yang tersebut ye.

Oleh kerana kedegilan dan keengganan kaum Nabi Syu’aib menerima seruan beliau, maka akhirnya penduduk Madyan itu telah dibinasakan Allah dengan gempa bumi yang amat dahsyat yang menyebabkan mereka semuanya mati terkapar-kapar di tanah.

Jadi terfikirlah oleh kita,seksaan yang bagaimana pulakah yang akan diterima oleh manusia yang hidup di zaman moden seperti kita sekarang ini yang berkeliaran di atas muka bumi membuat kerosakan. Menggunakan alat kelengkapan moden yang canggih untuk mencipta dan menyebarkan narkotin, candu, dadah, heroin, ganja, marijuana dijual kepada anak-anak muda warisan bangsa dengan mendapat keuntungan yang berlipat ganda, berjuta-juta. Tanpa mempedulikan warisan bangsa yang rosak binasa akibat dari menghisap dadah durjana ini.

Dan seksaan Allah yang manakah pula yang akan diterima oleh kita orang-orang yang berkeliaran di kampung-kampung, desa-desa, mencari gadis miskin dan melarat, dipujuk, dirayu, ditipu, lalu dibawa ke kota-kota besar untuk dijadikan pemuas nafsu lelaki yang hidupnya sudah seperti kehidupan binatang? Melepaskan hawa nafsu, lalu menjual gadis-gadis ini untuk mengkayakan diri mereka sendiri.

Seksa yang kita akan terima sekarang ini sudah pun kita terima. Malah sedang kita terima. Jatuhnya maruah dan martabat manusia lebih rendah dari binatang. Menjadi kera-kera dan babi-babi. Yang asalkan perutnya kenyang, makanan yang bernajis pun mereka makan, minuman yang jijik pun mereka akan minum. Tiada perbezaan lelaki wanita, tua muda semuanya mengejar kekayaan, semuanya mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan orang lain. Siapa kuat dialah juara. Siapa lemah dia akan ditindas selamanya. Peradaban yang musnah!








Al Ankabut Ayat 38

وَعَادًا وَثَمُودَ وَقَدْ تَبَيَّنَ لَكُمْ مِنْ مَسَاكِنِهِمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ فَصَدَّهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَكَانُوا مُسْتَبْصِرِينَ
Dan (ingatkanlah peristiwa kebinasaan) Aad (kaum nabi Hud) dan Thamud (kaum Nabi Soleh); dan telahpun ternyata kepada kamu sebahagian dari bekas-bekas tempat kediaman mereka; dan (kebinasaan mereka yang demikian ialah disebabkan) Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka: amal-amal mereka (yang jahat itu), lalu ia menghalangi mereka dari jalan Allah; padahal mereka orang-orang yang bijak pandai dan berakal (yang dapat membezakan yang benar dan yang salah).

Allah menceritakan kisah Nabi Hud pula bersama dengan kaumnya orang-orang Ad yang tinggal di negeri Al Ahqof yang terletak di antara Amman dan Hadramaut. Kaum ini adalah satu kabilah yang asalnya telah datang dari negeri Yaman. Dan kisah Nabi Salih as bersama kaunya orang-orang Thamud yang tinggal di negeri al Hijr terletak di antara Wadil Quro dengan negeri Syam.

Kedua-dua kaum Ad dan Thamud ini telah pun dimusnahkan Allah, kerana mereka telah mendustakan rasul masing-masing. Sehingga robohnya kota, iaitu bekas-bekas saja yang masih tinggal, dapat dilihat dan diperhatikan semenjak dahulu oleh orang-orang Arab yang berulang-alik ketika mereka mengadakan pengembaraan melintasi tempat-tempat itu.

Penduduk negeri Al Ahqof dan Al Hijr ini telah dimusnahkan kerana mereka semua telah tertipu dengan pujukan syaitan yang menggoda meeka agar melakukan kerja-kerja buruk dan jahat, yang pada penglihatan mereka adalah baik dan cantik untuk menjadi hiasan hidup mereka.

Mereka tidak mahu mengikuti jalan Allah, iatu agama yang benar, kerana mereka telah dihalang oleh syaitan. Walhal mereka ada akal dan fikiran serta mempunyai pandangan yang baik jika mahu menggunakan akal fikiran mereka. Maka tidak ada sebab mengapa mereka lalai dan tidak mahu mengambil pengajaran mengenai sesuatu akibat.










Al Ankabut Ayat 39

وَقَارُونَ وَفِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَلَقَدْ جَاءَهُمْ مُوسَى بِالْبَيِّنَاتِ فَاسْتَكْبَرُوا فِي الْأَرْضِ وَمَا كَانُوا سَابِقِينَ
39 - Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. Dan demi sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah).

فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنْبِهِ فَمِنْهُمْ مَنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُمْ مَنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُمْ مَنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُمْ مَنْ أَغْرَقْنَا وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
40 - Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

Begitulah akibatnya yang diterima oleh Qarun, tuan punya kekayaan yang melimpah-limpah dan pemilik perbendaharaan yang tidak ternilai banyaknya. Dan juga Firaun seorang raja yang teragung pada zamannya di negeri Mesir bersama Haman yang menjadi perdana menterinya. Mereka ini telah pun dibawa oleh Nabi Musa beberapa banyak keterangan sebagai rasul utusan Allah, dan menyeru mereka supaya berbuat kebaikan dan menjauhi segala keburukan.

Tetapi mereka telah menyombongkan diri dengan bermegah-megah menunjukkan kekayaan dan kekuasaan mereka di muka bumi, serta enggan untuk beriman dengan Nabi Musa. Dan akibatnya, mereka tidak luput dari hukuman Allah dan tidak dapat melarikan diri dari seksa. Kerana Allah itu jauh lebih berkuasa dan lebih perkasa dari mereka bertiga ini.

Tinggallah masing-masing menerima azab seksa Allah mengikut dosa masing-masing. Kerana Allah itu Maha Adil. Hanya orang yang berbuat baik yang diberikan pahala berlipat ganda tidak seimbang dengan kebajikan yang ia kerjakan. Adapun orang yang berbuat dosa, seksaannya tidaklah lebih dari seukuran dosa mereka saja.

Di antara azab seksa yang Allah kirimkan kepada mereka yang mendustakan Allah dan Rasul ini adalah :

1 .  Allah kirimkan kepada kaum Ad angin yang mengandugni batu-batu. Ini kerana mereka telah menyombongkan diri dengan berkata, “siapakah yang lebih kuat dariapda kami?” Maka Allah binasakan mereka dengan tiupan angin ribut yang sangat sejuk dan menerbangkan batu-batu kecil sehingga memusnahkan mereka.

2 . Allah kirimkan panahan halilintar kepada kaum Thamud. Semasa mereka dibawakan bukti dan keterangan tidak juga mereka mahu beriman. Sebaliknya mereka terus menerus berbuat zalim dan aniaya serta berada di dalam kekufuran. Mereka juga tidak teragak-agak untuk mengugut Nabi Saleh dan pengikutnya. Maka hukuman setimpal bagi mereka ialah panahan petir dan halilintar yang sangat keras bunyi letupannya, menyembabkan mereka mati kejung tidak bergerak lagi.

3 . Ada juga yang Allah benamkan ke dalam tanah. Iaitu seprti Qarun yang takbur dan aniaya serta derhaka keapda Allah yang Maha Berkuasa. Qarun telah berlagak sombong. Semasa berjalan dia telah menghentak-hentakkan kakinya kerana hendak bermegah-megah di muka bumi. Maka hukumannya dia telah dibenamkan bersama harta dan gedung serta rumahnya yang besar dan indah ke dalam perut bumi.

4 . Ada juga yang Allah karamkan di laut. Iaitu seperti kaum Nabi Nuh yang dilanda taufan dan air bah yang sangat besar. Begitu juga dengan firaun, haman dan bala tenteranya. Mereka ini semua telah dikaramkan ke dasar laut serentak dalam satu ketika.

Allah menerrangkan bahwa seksaan tersebut merupakan hukuman atau balasan yang setimpal dengan dosa yang mereka lakukan. Allah tidak sekali-kali akan menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.

Allah tidak akan menghukum mereka tampa keslahaan yang telah mereka lakukan. Adapun menghukum tanpa kesalahan, adalah perbuatan aniaya dan menyalahi sunnatullah. Hal yang seperti ini tidak akan terjadi sama sekali. Sebaliknya Allah menghukum dan menyeksa mereka disebabkan dosa yang telah mereka lakukan, disebabkan keengkaran mereka, tidak mahu beriman serta tidak berterima kasih kepada Allah. Dengan demikian mereka dianggap telah menganiaya diri mereka sendiri.









No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.