Wednesday, November 25, 2015

Surah Ar Rum Ayat 1 - 19





Pengenalan Surah Ar Ruum

Surah ini adalah surah Makkiyah, diturunkan setelah surah al Insyiqaq, dan mempunyai 60 ayat semuanya. Dinamakan Ar Ruum kerana pada permulaan surat ini, yaitu ayat 2, 3 dan 4 terdapat cerita tentang bangsa Rumawi yang pada mulanya dikalahkan oleh bangsa Persia. Tetapi setelah beberapa tahun kemudian kerajaan Ruum dapat menuntut balas dan mengalahkan kerajaan Persia kembali. Ini adalah suatu mukjizat Al Quran, iaitu memberitahukan hal-hal yang akan terjadi di masa yang akan datang. Dan juga suatu rangsangan atau galakan bahawa kaum muslimin yang demikian lemahnya di waktu itu juga pasti akan menang dan akan dapat menghancurkan kaum musyrikin. Ini telah terbukti buat pertama kali semasa peperangan Badar.

Surah ini diturunkan adalah untuk mengajak para umat yang telah beriman itu supaya berfikir, iaitu memikirkan siapakah diri mereka sendiri dan supaya merenungkan kejadian yang berlaku di dalam alam sekeliling mereka. Kejadian langit dan bumi.

Mereka juga diajak untuk mengkaji dan meneliti kehidupan manusia, perjalanan sejarah, jatuh bangun umat di dunia. Ada umat yang dahulunya berkuasa, rasa seolah-olah takkan dapat dikalahkan oleh orang lain, tetapi bila datang waktunya mereka tetap akan hancur juga. Kesalahan yang paling besar ialah kerana mereka tidak mempedulikan ajaran dan anjuran Allah yang dibawakan oleh utusan-utusanNya.

Surah ini juga mengajak manusia untuk memerhatikan, merenung tanda-tanda kebesaran Allah yang terdapat di keliling hidup ini, sejak dari awal mula kejadian manusia, sampai ianya bergabung menjadi satu kumpulan keluarga yang dipadukan dengan rasa cinta dan kasih sayang. Dari kumpulan keluarga yang kecil menjadi kumpulan keluarga yang besar, iaitu masyarakat, sebuah negeri, sebuah negara, sehinggalah menjadi satu rumpun bangsa.

Di dalam kumpulan keluarga itu dididik tentang tujuan hidup menyedari akan hakikat dari mana kita, di mana kita berada dan akan ke mana kita selepas ini. Setelah menyedari akan hakikat bahwa hidup di dunia ini bukanlah semata-mata untuk hidup di dunia saja, tetapi adanya hidup setelah kematian, dan bahwa setiap yang hidup akan kembali kepada yang Maha Pencipta, maka di sinilah manusia akan bertemu dengan apa yang dinamakan AGAMA. Nanti akan dijelaskan bahwa rasa beragama itu adalah asli, fitrah yang tersemai di dalam diri setiap insan.

Kalau direnungkan secara keseluruhan Surah ArRum ini, kita akan dapati tersiratnya beberapa ilmu di dalamnya. Iaitu Ilmu Sejarah dan Ilmu Kemasyarakatan yang kini dipanggil Sosiologi. Dan ilmu-ilmu ini semuanya dipatrikan dengan kepercayaan kepada Allah. Mengikut ajaran dari Allah. Mengikut kehendak Allah.







Ar Ruum Ayat 1 Hingga 4
الم
1 - Alif, Laam, Miim.

غُلِبَتِ الرُّومُ
2 - Orang-orang Rom telah dikalahkan

فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ
3 - Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya

فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ
4 - Dalam masa beberapa tahun lagi.. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira

Allah menceritakan kisah kerajaan Romawi yang teletak di sebelah timur di mana penduduknya terdiri daripada orang-orang Ahli Kitab, telah dikalahkan oleh kerajaan Persia yang beragama penyembah berhala atau penyembah api. Dengan kekalahan orang-orang Romawi iaitu golongan ahli Kitab ini, maka orang-orang musyrikin Mekah telah menyambut berita kekalahan itu dengan amat gembira sekali. Dan mereka berkata kepada orang-orang Islam pula bahwa mereka juga nanti akan dapat mengalahkan orang-orang Islam sebagaimana Persia mengalahkan Romawi.

Kaum musyrikin sangat menyokong kemenangan Persia kerana mereka masing-masing adalah dari golongan penyembah berhala dan bukan golongan Ahli Kitab. Mereka juga sama-sama tidak beriman kepada hari akhirat.

Dan orang-orang mukmin pula sangat mengharapkan kemenangan orang-orang Rum kerana agama mereka adalah dekat dengan agama Islam. Bangsa Romawi ini adalah pemeluk agama Nasrani dengan kitabnya Injil dan orang-orang mukmin adalah pemeluk agama Islam dengan kitabnya Al Quran. Sebab itu maka kekalahan Rum itu telah disambut oleh para mukmin dengan rasa dukacita. Di saat kedukaan inilah maka ayat-ayat ini turun.

Di ayat yang kedua telah diakui bahwa peperangan yang hebat itu bangsa Romawi, Kerajaan Byzantine yang dipimpin oleh Kaisar Romawi sendiri yang ketika itu berkedudukan di Syria telah dikalahkan oleh bangsa Persia yang berkedudukan di Iran.

Lalu disebutkan pula tempat kejadian kekalahan itu di ayat 3, iaitu di negeri yang dekat sekali. Iaitu di jajahan Romawi yang di sebelah timur, yang terdekat di tempat perjuangan Rasulullah ketika itu. Iaitu Mekah. Negeri yang terdekat itu ialah Syam dan Tanah Palestin yang selama ini dijajah oleh bangsa Romawi. Kekalahan itu sangat meremukkan perasaan bangsa Romawi. Tetapi hujung ayat memberikan suatu berita yang akan menghilangkan dukacita kaum mukmin di Mekah.  “....dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya”

Bilakah kemenangan yang dikatakan ini akan datang? Padahal sekarang ini sudah nyata Romawi telah kalah?

Di dalam ayat 4 mengatakan  “Dalam masa beberapa tahun lagi”. Kaum musyrikin Mekah pada ketika itu yang telah berbangga dengan kekalahan Persia semakin memperlekehkan dan mendustakan risalah Nabi. Mereka menyangka bahwa Romawi tidak mungkin akan bangkit kembali. Apatah lagi bila sebahagian besar jajahan Bezantium sudah pun ditakluk oleh Persia dan sudah pun diduduki.

Maka terjadilah pertemuan di antara beberapa orang pembesar Quraisy dengan Abu Bakar. Menurut riwyaat dari Al Qusyairy dan Ibnu Athiyyah yang bertemu dengan Abu Bakar itu adalah Ubay bin Khalaf dan saudaranya Umiyah bin Khalaf. Mereka menentang Abu Bakar dengan mengatakan bahwa Nabi Muhammad telah mengatakan bahwa nantinya Romawi akan kembali menang setelah beberapa tahun. Mereka mengajak Abu Bakar untuk bertaruh. Mereka bertaruh yang dalam antara tiga hingga sembilan tahun ini Romawi tidak akan bakal menang kembali. Mereka memandang bahwa tekaan baginda nabi itu adalah cakap-cakap kosong saja.

Tetapi sebaliknya Abu Bakar yakin dengan kata-kata baginda nabi. Dan Abu Bakar percaya penuh dengan setiap kata-kata yang diucapkan oleh sahabat baiknya baginda nabi itu. Lalu Abu Bakar pun bersetujulah untuk bertaruh. Perlu diingat bahwa pada masa itu larangan untuk bertaruh masih belum disyariatkan lagi. Larangan bertaruh hanya keluar setelah mereka berhijrah ke Madinah. Maka bertaruhlah mereka dengan sejumlah 100 ekor unta yang masih muda. Sekiranya dalam masa 3 hingga 9 tahun ini Romawi telah berjaya merebut kemenangannya kembali, maka Abu Bakar bakal akan menerima sejumlah 100 ekor unta dari mereka. Dan sekiranya dalam jangkamasa itu Romawi masih tidak mampu meraih kemenangan, maka Abu Bakarlah yang kena membayar mereka sejumlah 100 ekor unta.

Menurut riwayat yang masyhur kemenangan Persia atas Romawi itu ialah pada peperangan tahun 613 dan 614, iaitu pada 7 tahun sebelum Hijrah. Setelah tiga empat tahun berlalu, masih belum nampak akan tanda-tanda Romawi akan menang semula.

Tetapi masuk tahun ke tujuh, iaitu pada tahun 621, Herclus yang pada ketika itu telah menjadi Kaisar sejak tahun 610 lagi, telah menyusun semula kekuatan bangsa Romawi untuk menebus kembali negeri Syam dan Palestin yang telah jatuh ke tangan Persia. Bahkan mereka juga berhasrat untuk menakluk sampai ke Pusat Kerajaan Persia sendiri.

Maka tepatlah apa yang dikatakan di akhir ayat 4, “...dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira” maka bergembiralah kaum mukmin mendengar perkhabaran kemenangan ini kerana kini mereka bertambah yakin lagi akan kebenaran Rasul dan mukjizat kebesaran yang dianugerahkan Allah kepada baginda. Dan setelah berita kemenangan bangsa Romawi ini telah tersebar luas, maka ramailah di kalangan orang kafir yang telah memeluk agama Islam.






Ar Ruum Ayat 5

بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ
5 - Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

Sisters yang dikasihi, sesungguhnya ayat 5 ini mengandungi bayangan yang lebih jauh untuk kita perhatikan.

Di dalam ayat 4 tadi Allah berfirman bahwa “Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya” . Maksudnya Allah mampu dan berkuasa untuk membuat kerajaan Romawi menang lagi setelah ianya dikalahkan teruk oleh kerajaan Persia. Kalah teruk mereka itu ialah sehinggakan Kisra Abruis dapat menyerbu ke pusat bandar Byzantium sendiri dan telah mendirikan rumah penyembahan api di tengah-tengah negeri itu.

Dan setelah 7 tahun lamanya berada di dalam kekalahan, Allah bangkitkan semula semangat juang kerajaan Romawi dan merampas kembali kemenangan dari kerajaan Persia.  

Dan bukan itu saja, sisters. Dalam masa tak sampai pun 25 tahun sesudah itu, Allah telah jatuhkan pula kedua kuasa besar ini Romawi dan Persia, sama-sama diruntuhkan kebesaran dan kerajaan mereka dengan kebangkitan bangsa ARAB sebagai penyambut pertama kepada Agama Islam yang mulia.

Itulah yang menunjukkan betapa Allah berhak untuk menentukan siapa-siapa saja yang Dia hendak tolong dan hantarkan bantuan. Maha Perkasa Allah telah melumatkan dua kuasa besar yang paling disegani di ketika itu tidak bangun-bangun lagi. Dan Maha Penyayang Allah, sehingga bangsa yang sebelum ini hanyalah satu bangsa pengembara kecil, tidak mempunyai cita-cita luhur, kini telah menjadi bangsa yang besar dan pelopor kepada satu agama besar.  






Ar Ruum Ayat 6 Dan 7

وَعْدَ اللَّهِ لَا يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
6 - Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

يَعْلَمُونَ ظَاهِرًا مِنَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ الْآخِرَةِ هُمْ غَافِلُونَ
7 -  Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.

Janji Allah kepada sesiapa saja yang menuruti petunjukNya, yang disampaikan dengan perantaraan RasulNya, akan tercapailah olehnya kebahagiaan dan kemuliaan hidup, serta hidup yang baik. Allah tidak sekali-kali akan menyalahi janji-janjiNya. Kerana garis itu telah ditentukan. Itulah yang dinamakan Al Haqqu. Iaitu kebenaran yang bilamana ianya semakin diuji dengan cubaan, akan bertambah teguh dan yakin kebenaran itu.

Namun sayangnya, kebanyakan manusia tidaklah mengetahui kerana perhatian mereka hanya ditujukan kepada perkara-perkara lahiriah dan mereka tidak berpandangan jauh. Pandangan mereka terlalu pendek dan dangkal. Mereka menyangka bahwa hidup hanya setakat ini saja, tidak ada penghujung lagi.

Sebab itulah fikiran mereka hanya sekadar untuk makan dan minum, sekadar untuk kemegahan di dunia, pada benda yang nilainya hanya diukur dengan taraf keinginan manusia saja. Mereka menyangka bahwa dengan mendapat kekayaan, mereka dapat memiliki semuanya, padahal setelah bertambah banyak apa yang mereka inginkan, bertambah jelas pula kemiskinan mereka.

Umur meeka habis hanya setakat itu saja. Mereka tidak membuat persediaan untuk hari hadapan yang mereka sangka mereka akan berbahagia hidup di sana dengan amalan keduniaan mereka. Padahal itu semua adalah membawa kepada bahaya dan bencana kepada mereka.

Itulah sebabnya bila orang musyrikin melihat orang Romawi kalah, mereka menyangka bahwa ia akan kalah terus. Melihat kepada orang Persia yang menang, mereka menyangka Persia akan terus menang. Demikianlah penilaian mereka tentang hidup ini. Mereka hanya menghormati kekuatan dan meremehkan kebenaran. Mereka hanya menghargai manusia yang banyak bilangan harta kekayaan dan tinggi mana tampuk kekuasaannya..

Sisters,
Kita sebagai umat Islam haruslah memerhatikan petunjuk yang tekandung di dalam ayat-ayat ini dan merenungkan pengajarannya. Di akhir zaman ini terdapatnya fitnah besar di mana umat Islam sedang menghadapi cubaan sebagai ujian dari Allah terhadap golongan yang lemah akalnya dan cetek fikirannya. Mereka itu didedahkan kepada kemajuan-kemajuan yang telah dicapai oleh orang-orang yang bukan Islam di dalam segala bidang dalam penghidupan di dunia.

Dan mereka diperlihatkan pula betapa lemahnya orang-orang Islam dan kemundurannya dalam pertandingan merebut kemewahan dunia. Golongan yang lemah akal dan cetek fikirannya ini, akan menyangka bahawa siapa yang dapat berkuasa dalam bidang kemajuan tersebut maka dialah yang berada di dalam kebenaran. Dan siapa yang lemah dan kalah merebut kemajuan tersebut , mereka bukan berada di dalam kebenaran. Sangkaan demikian merupakan kejahilan yang terang dan kesalahan yang jelas.







Ar Ruum Ayat 8

أَوَلَمْ يَتَفَكَّرُوا فِي أَنْفُسِهِمْ مَا خَلَقَ اللَّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَجَلٍ مُسَمًّى وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ بِلِقَاءِ رَبِّهِمْ لَكَافِرُونَ
Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.

Allah mengingatkan hamba-hambaNya untuk bertafakkur dan merenungi ciptaan-ciptaanNya yang menjadi tanda adanya Allah, dan bahwa Dia Maha Esa. Allah sendirian dalam menciptakan segala sesuatu. Tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Allah dan tiada Rabb selain Allah.

Yang dimaksudkan dengan bertafakkur di sini adalah berfikir,  mentadabbur, merenungi dan mengamati ciptaan Allah berupa alam semesta, baik yang berada di atas dan di bawah. Ataupun aneka ragam jenis makhluk yang berada di antara alam atas dan alam bawah tersebut.

Perkara yang paling dekat yang manusia itu boleh diajak untuk berfikir ialah akan keadaan dirinya sendiri, bagaimana keadaan dirinya diciptakan Allah. Akan terkesanlah kepada manusia itu bagaimana luar biasa indahnya pembentukan tubuh badan dan aturannya  berbanding dengan makhluk yang lain. Susunan letak tubuhnya, dengan keseimbangan wajahnya, ukuran kedua mata di antara hidung, mulut yang kecil untuk menyuap makanan dan juga di sanalah terletaknya lidah yang serba guna itu, untuk membezakan rasa pedas, masin manis makanan dan malah ianya juga digunakan untuk bertutur.

Susunan gigi yang merata, gigi kacip, gigi geraham, gigi taring yang teratur kedudukannya. Sementara kedua belah tangan pula, saling memiliki kuku yang seimbang, bertaut kelima jari, dan boleh direnggang terpisah antara satu sama lain, dan apabila ditautkan kesemuanya jari itu, boleh menggenggam dengan kuat.

Itu adalah sebahagian dari bentuk rupa anggota tubuh badan kita yang boleh kita renungkan dan perhatikan betapa terperincinya aturan dijadikan Allah. Dan masih banyak lagi anggota tubuh badan kita yang lain yang boleh kita perhatikan.

Bagi orang -orang yang mahu berfikir, akan merasa hairan dan takjub melihat susunan tubuh badan kita sendiri. Susunan hati dan jantung, limpa dan paru-paru. Saringan dan aliran darah. Semuanya. Tidak akan berhenti merasa kagum kalau kita pergunakan fikiran kita untuk merenungi semua kejadian dan aturan ini. Itu dari segi dalaman tubuh badan kita. Mari kita lihat dan renungkan pula kejadian dan aturan yang Allah tentukan antara seorang makhluk dengan makhluk yang lain pula. Manusia antara manusia.

Yang jelas ialah bahwa tiap-tiap manusia ditakdirkan mempunyai keperibadian sendiri, yang tidak dapat ditukarkan atau diganti dengan keperibadian orang lain. Saya tetap saya, kamu tetap kamu, tidak boleh menjadi orang lain dari segi karakternya, kelakuannya, bentuk tubuhnya, raut wajahnya, bahkan suaranya, garis bibirnya dengan kepunyaan yang telah ditentukan Allah untuk orang lain.

Umpamanya suara. Sudah berjuta manusia yang mati, berjuta pula manusia yang hidup, dan semuanya pun akan mati dan akan datang lagi manusia yang baru, sampai lah ke hari kiamat. Namun tidak ada satu pun suara di antara mereka itu yang sama. Inilah takdir.  Manusia sama jenis, namun garis hidup yang dilaluinya tidaklah sama. Ada yang jadi nabi dan rasul, ada yang jadi ahli perniagaan, ahli negarawan, dan tak kurang juga yang jadi ahli perosak bangsa. Dan semuanya ini adalah dari kalangan manusia.

Terlalu banyak dan tidaklah akan putus-putus kalau kita nak bincangkan tentang diri kita manusia dengan segala macam keajaibannya ini. Tetapi sesudah memikirkan diri sendiri dengan aturannya, dengan keadaannya yang sangat mengkagumkan, yang tidak dapat tidak pasti akan membawa orang yang berfikir itu sampai kepada kesimpulan bahwa manusia tidaklah terjadi dengan sendiri atau menjadikan dirinya sendiri.

Sesudah merenungkan dan memikirkan diri kita sendiri sebagai manusia, kita pun disuruh merenung dan memikirkan pula kepada cakerawala yang luas, maha luas ini, dari yang sekecil-kecil kejadian sehinggalah kepada yang sebesar-besar kejadian.

Telah kita tilik diri kita sendiri, sungguhlah terdapat beribu-ribu keajaiban takdir Tuhan yang terdapat di dlaam diri. Renungan dan rasa takjub yang tidak akan habis-habis, pemikiran yang kian lama kian membuat kita kagum. Tetapi… apabila mata kita telah melihat pula kepada Alam Raya, langit seluruhnya bersama bumi tempat kita berdiri dan bintang bergemerlapan memenuhi angkasa, maka kita.. makhluk Allah yang tadinya tidak putus-putus kita merasa kagum, kini kita merasa bahwa diri kita ini adalah terlalu kecil.

Di dalam diri manusia, erti terlalu kecil itu ada kalanya ianya membayangkan bahwa ianya tidak ada apa-apa makna. Dek kerana ditenggelami oleh Alam Raya yang besar dan luas yang memiliki beraneka makhluk yang besar dan lagi hebat di dalamnya.

Matahari, yang terbit dengan teratur dan terbenam dengan teratur juga, sehingga terbahagi antara siang dan malam, beratus dan berjuta tahun lamanya tidak pernah silap. Bukankah itu juga satu kebenaran dan aturan yang ditentukan Allah jua?

Bulan mengelilingi bumi, sejak dari masa bulan sabit sampai kepada bulan purnama sehingga kita dapat menghitung pula tahun dan bilangan musim, masukkah di akal bahwa perjalanan itu hanya kebetulan saja, dan tidak ada yang mengaturnya? Cubalah kita renungkan tidakkah benar bahwa bulan itu beredar dengan teratur? Memang, berjuta-juta tahun bulan itu berjalan dengan teratur. Benar sekali.

Kemudian itu dipelajari orang pula tentang peredaran bintang-bintang. Telah diketahui bahwa alam cakerawala luas ini, yang tidak sampai manusia dapat mengetahui di mana tepinya, di mana hujungnya, semuanya dipenuhi oleh kelompok bintang-bintang yang diberi nama galaksi. Dan kelompok yang berpusat pada matahari ini, ianya hanyalah satu di antara banyak galaksi lainnya. Ada beratus galaksi lagi.  Setakat ini manusia hanya baru menemukan lebih dari 30 juta galaksi , namun penyelidikan belum selesai dan masih diteruskan.

Semuanya ini adalah satu kenyataan yang teratur. Semuanya ini adalah kebenaran. Bahkan bumi yang hanya satu di antara berjuta bintang, terletak dalam satu kelompok matahari ini pun sangat penuh dengan berbagai kebenaran.  Jadi orang yang waras pastilah akan menerima apa yang dijelaskan oleh Allah dalam ayat ini bahwa Allah tidak menciptakan semua langit dan bumi dan apa yang ada di antaranya, melainkan dengan kebenaran.

Setiap yang Allah jadikan itu ada tujuannya dan ada juga penghujungnya. Iaitu tempoh masa tertentu. Umpamanya manusia bila ia telah mati, disebutkanlah bahwa ajalnya sudah sampai. Pada kalimah ini dijelaskanlah bahwa lanjutan dari kebenaran ialah bahwa segala sesuatu ada ajalnya. Bila ajalnya sudah sampai, berhentilah perjalanan bekesudahanlah sehingga di situ saja. Sebab manusia semuanya, dan makhluk Allah seluruhnya baik di langit mahupun di bumi dan juga di bintang-bintang mana sekalipun, semuanya adalah ciptaan Allah. Semuanya ada tarikh luput. Sebab itu tidakalh ada yang kekal seperti Tuhan Al Khaliq itu sendiri. Segala sesuatu berubah dan berubah. Dan semuanya pada akhirannya akan dikembalikan kepada Yang Maha Pencipta.

“Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya. “
Perhatikanlah hujung ayat ini. Dan ulangi membaca di awal ayat ini kembali. Pertama diberikan peringatan kepada diri mereka sendiri, bahwa sejak dari tanah, sampai menjelama lahir ke dunia dengan kejadian jasmani rohani yang begitu teratur, dan kemudian tiba waktunya lalu ia mati. Demikian lah semua langit dan bumi dan apa yang ada di antaranya. Semuanya berjalan dengan kebenaran. Dan semuanya juga akan menemui ajal yang telah ditentukan.
 
Kemajuan sains dan teknologi yang serba canggih sekarang ini telah membuka rahsia bahwa ada bintang di angkasa raya sana yang telah pecah hancur sekian juta tahun yang lalu dan getaraanya baru sampai ke bumi kita ini bebarapa masa tedekat ini.

Dan kemajuan penyeledikan manusia zaman sekarang ini juga telah mendapati bahwa ada bintang yang baru sedang menyusun diri mereka yang mengambil masa sekian juta tahun pula.

Kalau sudah demikian keadaan manusia yang begitu kecil dan begitu pula keadaan alam cakerawala yang begitu besar, mengapa manusia belum juga mahu percaya bahwa akan datang masanya untuk mereka menemui Tuhan mereka?







Ar Ruum Ayat 9 Dan 10

أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ كَانُوا أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَأَثَارُوا الْأَرْضَ وَعَمَرُوهَا أَكْثَرَ مِمَّا عَمَرُوهَا وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
9 - Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

ثُمَّ كَانَ عَاقِبَةَ الَّذِينَ أَسَاءُوا السُّوءَى أَنْ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَكَانُوا بِهَا يَسْتَهْزِئُونَ
10 - Sesudah dibinasakan di dunia maka akibat orang-orang yang melakukan kejahatan itu ialah seburuk-buruk azab (di akhirat kelak), disebabkan mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan sentiasa mempersendakannya.

Bagi mereka yang kurang percaya, Allah menyuruh mereka agar membukakan mata mereka, menyaringkan telinga mereka, lihat dan dengarlah tentang manusia-manusia yang telah berlalu di dalam sejarah. Betapa akhir kesudahan nasib oran gyang tidak mahu percaya. Betapa akhir kelaknya orang yang tidak mahu menuruti jalan yang benar. Anjuran pertama dari ayat ini ialah kepada kaum musyrikin Quraisy. Tetapi juga menjadi saranan untuk seluruh umat manusia yang berakal, supaya mengambil iktibar dan perbandingan dari kaum-kaum yang telah musnah kerana kebongkakan, sombong dan engkar serta tidak mahu percaya.

“Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri..’
Tepat sekali kalimah ini. Jika nak dibandingkan dengan bangsa Arab , terutama kaum Quraisy, mereka ini tidak apa-apanya kalau nak dibandingkan dengan Kerajaan Mesir yang telah sanggup mendirikan berbagai piramid, luxor dan abu sinbel. Bandingkanlah mereka dengan kerajaan Athens yang telah runtuh. Bandingkan mereka dengan kaum Thamud atau Madyan semasa kehadiran Nabi Saleh dahulu yang telah membuat negeri dan kota di dalam bukit. Bandingkanlah mereka dengan runtuhan kota Pompejus yang ditimbuni lahar gunung berapi. Tidak ada apa-apanya mereka itu nak dibandingkan dengan kaum yang terdahulu yang hebat-hebat ini. Namun tetap mereka menolak seruan Nabi Muhammad saw.

Bekas-bekas yang ditinggalkan oleh umat terdahulu itu di muka bumi ini sampai sekarang masih dapat dilihat, dapat dinilai. Mereka telah meninggalkan bukti yang mereka pada zaman dahulu telah wujud dan telah memakmurkan bumi, lebih banyak banyak kemakmuran jika nak dibandingkan dengan kemakmuran yang dibangunkan oleh kaum Quraisy itu sendiri.

Ibnu Katsir mentafsirkan bahwa “Adalah umat-umat purbakala dan angkatan-angkatan yang terdahulu lebih kuat dari kamu, wahai kaum yang diutuskan Allah Muhammad kepada kamu! Mereka yang dahulu itu lebih kaya dari kamu, lebih banyak keturunannya dan kelebihan yang ada pada kamu semua tidakalh sampai sepersepuluh pun dari yang mereka terima. Mereka mendapat kedudukan yang kukuh di dunia ini lebih dari yang kamu capai, usia mereka pun panjang-panjang, maka mereka pun memakmurkan bumi lebih banyak dariapda yang kamu makmurkan, mengeluarkan hasilnya lebih banyak dari yang kamu hasilkan. Sungguhpun demikian, setelah rasul-rasul datang kepada mereka, merka tidak mempedulikan kedatangan rasul itu. ini kerana mereka telah merasa bangga dan sombong dengan nikmat yang merak terima. Maka tidaklah harta benda yang banyak itu, atau anak pinak yang besar jumlahnya itu dapat menolong mempertahankan mereka dari kemurkaan Allah yang menimpa mereka. Tidak ada yang dapat mempertahankannya. walaupun sebesar zarah.

“maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”
Jika begitu buruk dan dahsyat nasib yang mereka terima dan azab seksa yang mereka derita , itu semua adalah akibat dan aniaya dari diri mereka sendiri.

Orang yang berakal dan berfikiran sihat tidaklah akan mengatakan bahwa Allah menganiaya mereka. Sekiranya Allah tidak memberikan peringatan terlebih dahulu, barulah itu dinamakan aniaya. Tetapi Allah sudah mengutuskan rasul-rasulNya untuk menyampaikan peringatan dan ancaman bahaya yang akan menimpa mereka jika larangan Allah tidak mereka jauhi dan batas yang ditentukan tidak mereka langgar. Maka hendaklah mereka patuhi segalanya demi untuk menempuh jalan yang benar dan menjauhi jalan yang salah dan sesat.  

Sudah memang sewajarnya jika orang yang berbuat jahat akan menerima akibat yang jahat pula. Tidaklah mungkin orang yang berbuat kejahatan itu lalu membawa hasil yang baik pula dan perbuatan yang baik menghasilkan akibat yang jahat pula. Tidak ada yang sebegitu.

Akibat yang jahat yang mereka terima itu adalah kerana mereka sendiri yang telah mendustakan ayat-ayat Allah. Itulah punca dari segala akibat jahat yang mereka terima. Ayat Allah sendiri mereka telah dustakan. Bukan saja mereka mendustakan, tetapi bahkan lebih dari itu, mereka mengolok-olokkan pula. Memandang semua itu dengan mengejek, mencemuh, mencerca dek kerana kesombongan mereka semua. Sehingga akibatnya yang mereka terima adalah azab yang tersangat parah.












Ar Ruum Ayat 11 Hingga 15

اللَّهُ يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
11 - Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula pada hari kiamat), kemudian kepadaNyalah kamu akan dikembalikan (untuk menerima balasan).  

وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يُبْلِسُ الْمُجْرِمُونَ
12 -  Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan dia membisu serta berputus asa.

وَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ مِنْ شُرَكَائِهِمْ شُفَعَاءُ وَكَانُوا بِشُرَكَائِهِمْ كَافِرِينَ
13 -  Dan makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu-sekutu Allah itu tidak ada satupun daripadanya pemberi syafaat melepaskan mereka (dari azab Allah), padahal mereka berlaku kufur di dunia dahulu dengan sebab makhluk-makhluk yang mereka sekutukan (dengan Allah) itu.

وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يَوْمَئِذٍ يَتَفَرَّقُونَ
14 -  Dan semasa berlakunya kiamat, mereka pada hari itu akan berpecah kepada dua kumpulan (setelah selesai perbicaraan).

فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَهُمْ فِي رَوْضَةٍ يُحْبَرُونَ
15 -  Adapun kumpulan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan ditempatkan di taman Syurga dalam keadaan bersuka ria.

Di sini Allah menerangkan bahwa Allah adalah bersifat kuasa. Dengan kekuasaanNya Allah telah memulakan kejadian makhluk dari tidak ada kepada ada tanpa penolong yang membantuNya. Kemudian Allah berkuasa juga mengulang kejadian makhluk seperti semula apabila ia sudah fana, iaitu daripada tidak ada kepada ada, kemudian dikembalikan kepada Allah iaitu dengan dibangkitkan di padang mahsyar untuk dibicarakan. Lalu diberi pembalasan. Yang baik dengan kebaikannya dan yang jahat sesuai dengan kejahatannya.

Apa yang berlaku pada hari kiamat kepada orang-orang yang celaka dan kepada orang-orang yang berbahagia ialah, apabila mereka dibangkitkan dari kubur dan dihalau ke padang mahsyar, semuanya akan berdiam tidak akan dapat berkata-kata.

Pada masa itu hanya Allah saja yang mengetahuinya bilakah akan terjadi. Pada hari itu kelak, mereka akan merasa bingung kerana menyesali diri. Bingung kerana peringatan Allah yang telah sampai kepada mereka oleh para nabi dan rasul tidak mereka pedulu. Setelah kiamat datang, nyatalah apa yang telah diperingatkan kepada mereka dahulu. Lalu penilaian mereka menjadi berubah sama sekali. Harga manusia tidak lagi ditentukan oleh kekayaan, pangkat dan kuasa kemegahan. Di hari kiamat manusia telah berhadapan dengan Yang Maha Kaya, Yang Maha Pencipta.

Yang diperlukan pada waktu itu hanyalah amal dan ketaqwaan. Sedang mereka tidak mempunyai persediaan untuk itu. Itulah yang menyebabkan mereka bingung, tertutup mulut mereka tidak dapat mengangkat muka lagi.

Malahan apa yang membuatkan mereka kian bingung ialah, sekutu-sekutu mereka yang dipuja di dunia dahulu, iaitu pihak yang telah menyesatkan mereka, pada hari kiamat nanti, tidak akan ada satu pun yang tampil ke depan untuk menolong mereka. Apa yang mereka puja tidak dpat membela mereka. Pada waktu itu barulah jelas batapa bodohnya mereka si pemuja, betapa palsunya benda yang dipuja dan ketaralah juga bahwa pihak yang menyesatkannya itu dahulu iaitu syaitan yang telah membodohkan mereka, kerana pada waktu itu semuanya telah menolak untuk menolong mereka.

Maka kesudahannya pihak yang menyesatkan akan berlepas diri dari orang-orang yang disesatkannya. Ianya seprtimana disebut di dalam ayat 166 dan 167 surah Al Baqarah yang lalu. Jelaslah pada hari kiamat nanti mereka akan saling tuduh menuduh di antara ketua syaitan yang dipujanya dengan pengikutnya iaitu manusia dan jin yang memuja, mereka saling benci membenci dan saling bermusuhan.

Pada hari kiamat kelak akan dibezakan di antara golongan manusia yang baik dengan golongan manusia yang jahat. Semasa mereka dikumpulkan di padang mahsyar akan terpisahlah di antara orang yang beriman dengan orang yang kufur. Orang yang beriman ditemrpatkan di sebelah kanan ke arah syurga. Manakala orang yang kufur pula ditempatkan di sebelah kiri mengadap ke neraka.

Mengikut kata Qatadah, pada hari itu semua terpaksa berpisah. Ada yang berpisah untuk selama-lamanya, tidak akan bertemu lagi. Waluapun ayah dengan anak, wlaaupun suami dengan isteri, walaupun dan walaupun. Sebab setelah selesai perhitungan iaitu hisab, ternyata bahwa si suami baik amalannya ketika di dunia, dia pun masuk syurga, Sementara si isteri jahat amalannya di dunia, maka ianya pun dihalau masuk ke neraka. Allahu akbar!

Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, kerana keinsafan mereka bahwa masa hidup di dunia itu sangatlah singkat, maka mereka telah mengisi hidup mereka dengan iman, gerak langkah amalan dan perbuatan yang baik-baik, maka dengan mereka itu mereka telah diselamatkan pada hari kiamat nanti. Mereka akan ditempatkan di dlaam syurga dan mereka berada di sana dengan sentiasa merasa gembira. Ini semua adalah kerana usaha mereka dan kepatuhan diri mereka serta kepercayaan akan apa yang dijanjikan Allah kepada mereka, pastilah akan ditermui nanti.







Ar Ruum Ayat 16

وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَلِقَاءِ الْآخِرَةِ فَأُولَئِكَ فِي الْعَذَابِ مُحْضَرُونَ
Dan sebaliknya kumpulan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran) serta mendustakan pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap berada dalam azab seksa selama-lamanya.

Maksud dari ‘ayat-ayat kami ini’ adalah bererti ayat-ayat peringatan, perintah dan larangan. Meraka memandang semuanya itu sebagai omong kosong belaka. Apatah lagi janji Allah pada hari kiamat nanti, bahwa manusia itu akan dihidupkan kembali dan akan dikumpulkan lalu dihisab dan ditimbang dan diberi ganjaran menurut amalan masing-masing, semuanya itu bagi mereka adalah bohong. Yang mereka benarkan hanyalah seruan hawanafsu mereka saja, atau rayuan sesama manusia menghabiskan usai dengan percuma. Maka sesungguhnyalah untuk mereka itu akan dipersiapkan segala azab seksa.

Disebutkanlah terdahulu bahwa untuk mereka ini akan disiapkan azab dan seksaan supaya nanti mereka akan jadi bertambah bingung dan berdebar rasa hati mereka memikirkan nasib diri. Ini diperingatkan sejak hidup di dunia lagi , agar manusia insaf dan kembali ke pangkal jalan sekarang juga sementara masih ada kesempatan hidup di dunia.







Ar Ruum Ayat 17 Hingga 19
فَسُبْحَانَ اللَّهِ حِينَ تُمْسُونَ وَحِينَ تُصْبِحُونَ
17 -  (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh.

وَلَهُ الْحَمْدُ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَعَشِيًّا وَحِينَ تُظْهِرُونَ
18 -  Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala puji (dari sekalian makhlukNya) di langit dan di bumi, dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu zuhur.

يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَيُحْيِي الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَكَذَلِكَ تُخْرَجُونَ
19 -  Ia mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup, serta menghidupkan bumi sesudah matinya; dan sedemikian itulah kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).

Kini Alah menerangkan pula bahwa apa yang telah ditakdirkan dan dilakukanNya di dunia serta persediaan yang diadakan di akhirat semuanya adalah menunjukkan tentang kekuasaanNya. Maka Allah menyeru segala makhluk untuk bertasbih mensucikan Allah pada waktu siang dan pada waktu pagi.

Tasbih ini adalah penyucian terhadap Allah sendiri, Dzat yang Maha Suci. Bacaan Tasbih dan tahmid adalah menunjukkan batapa sempurna kekuasaan Allah dan betapa agung kekuatanNya. Perintah bertasbih dan bertahmid ini dianjurkan pada waktu petang iaitu sewaktu menjelang datangnya kepekatan malam. Dan juga pada waktu pagi, iaitu di waktu hari mulai menampakkan cahaya.

Dikhaskan sebutan pada waktu petang nak masuk senja dan juga di waktu pagi sewaktu cahaya matahari menjelma, adalah kerana pada masa itulah bermulanya peralihan yang tetap, dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain. Perubahan yang nyata dari cerah menjadi gelap ialah perubahan setelah siang maka dalam waktu tertentu siang akan mula lenyap dan malam pun menjelma. Manakala perubahan dari  gelap menjadi cerah pula di mana setelah waktu malam berakhir dalam tempoh yang ditetapkan maka akan muncullah cahaya menandakan waktu siang akan menjelma.

Perubahan waktu silih berganti ini berjalan dengan teratur kerana ada yang mengaturnya, iaitu Allah subhanahu wa ta’ala. Jadi memang selayaknyalah untuk kita bertasbih memuji Allah dengan ucapan  سُبْحَانَ اللّهُ  dan memuji akan nikmatNya dengan ucapan  اَلْحَمْدُلِلّهِ  .

Orang yang bertasbih kepada Allah yang sekiranya hanya  sekadar bertasbih dan menyembahNya tanpa mengetahui hak-hak dan kekuasaan serta kebesaran Allah dalam beribadah itu, maka tasbih dan ibadahnya itu tidak akan ada manfaatnya. Dia tidak akan menjumpai Tuhan dengan tasbih dan ibadat yang seperti itu. Suatu perjumpaan yang akan melapangkan dada, membukakan hati dan menjernihkan jiwa.  Ibadat sebenar yang disuruh adalah ibadat yang dapat meninggalkan bekas di dalam jiwa manusia.

Oleh kerana itu maka ayat 19  ini menyuruh kita memerhatikan keadaan alam ini. Di dalamnya terdapat tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah. Daripada apa yang boleh dilihat manusia di dalam kehidupan ini, dapatlah diperhatikan bahawa kehidupan ini berasal dari benda mati, dan benda mati itu berasal dari kehidupan.

Mari kita perhatikan dan renungkan beberapa perumpamaan dan contoh yang paling dekat dengan kehidupan kita.

Air mani daripada manusia adalah benda yang mati, sebab ianya belum ada nyawa. Namun dari mani yang tidak bernyawa itu akan terciptalah manusia yang hidup. Begitu juga dengan telur ayam yang kita dapati ianya masih mati, sebab tidak bernyawa, akan timbullah pula anak ayam yang bernyawa.

Dan dari tumbuhan yang hidup timbullah buah atau biji yang mati pula. Tetapi setelah biji yang mati itu tertanam di dalam tanah, ianya akan muncul pula pepohon yang hidup pula. Buah kelapa yang telah tua samalah ia dengan benda mati, tetapi bila tuanya telah melangkaui satu jangkamasa tertentu, ia akan tumbuh dan mempunyai daun, yang bererti ianya sendiri hidup sesudah ia mati.

Seekor anjing mati digilis kereta, lalu tercampak ke tepi jalan. Beberapa hari selepas itu tumbuh di atas bangkai anjing itu beribu-ribu ulat yang hidup, yang kelak akan menjelma menjadi makhluk yang akan mati pula. Begitulah seterusnya apa yang dapat kita lihat dan renungkan keadaan yang ada di sekeliling kita.

Kita pergi jauh sikit, kita lihat adakalanya bila musim panas dan kemarau, bumi ini ibarat bumi yang mati, kering kontang segala rumput dan berterbangan segala menjadi debu. Tetapi setelah kemarau itu berakhir dan diganti dengan musim hujan, bumi akan kelihatan kembali hidup semula. Segar dan nyaman semula. Daun-daun kayu pun jika musim kemarau menjadi lesu dan kering. Tetapi bila sudah ditimpa hujan, besoknya ia kelihatan hidup semula, menjadi hijau dan bersemangat semula.

Setelah kita perhatikan semua pertalian di antara hidup dengan mati dan yang mati dengan yang hidup, akhiranya kita dibawa kepada keinsafan bahwa kita sendiri pun akan demikian juga nanti. Sesudah dahulu pada mulaanya kita seakan tidak bernyawa sebab masih lagi menjadi air mani, kemudiannya kita dihidupkan menjadi manusia, dan kemudian nanti kita akan mati juga.

Tetapi putaran roda penciptaan Allah tidaklah berhenti dan habis tamat sehingga ke situ saja. Bahkan sesudah mati nanti, setelah hancur lumat daging kita ditanam di dalam tanah, bercampur dengan tanah, dan tulang-tulang kita juga turut hancur bersama tanah di dalam kubur, sesungguhnya tidak mustahil untuk Allah memanggil kita untuk hidup kembali.

Ini kerana nyawa kita sendiri belum lah habis setakat kematian kita di dunia saja. Nyawa kita masih ada. Roh kita masih wujud. Tetapi ianya kembali ke dalam simpanan Allah untuk dipasangkan kembali dengan tubuh kita yang berupa di dalam keadaan yang lain nanti. Sebab roh kita ini adalah kepunyaan istimewa Allah Azza wajalla. Sisters boleh rujuk surah As Sajdah ayat 9 yang bermaksud “Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”

Jadi bagaimanakah kita untuk tidak percaya bahwa kekuasaan Allah yang tidak terbatas itu kelak pasti akan sanggup untuk menghidupkan manusia kembali dari dalam tanah, dan dagingnya bersatu semula seperti yang asal?   Tentulah saja sanggup. Oleh kerana itu, bila sangkakala ditiup malaikat, manusia akan bangkit semuanya kembali di padang Mahsyar menghadap Tuhannya.








No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.