Monday, November 2, 2015

Surah Al Qasas Ayat 13 - 24









Al Qasas Ayat 13

فَرَدَدْنَاهُ إِلَى أُمِّهِ كَيْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ وَلِتَعْلَمَ أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya ia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu).

Allah pulangkan kembali bayi itu ke pangkuan ibunya semula setelah berpisah dan dipungut oleh Firaun. Tujuannya supaya si ibu menjadi riang gembira, hatinya senang, matanya bening memandang buah hati pengarang jantung yang dirinduinya itu dalam keadaan selamat sihat walafiat. Sehingga tidak usah lagi berasa bimbang atau dukacita.

Dan dapatlah ia hidup lebih makmur daripada apa yang dia kira-kirakan semula, menyusukan anak sendiri dan mengasuhnya sampai besar dengan perbelanjaan tanggungan dari istana dan selalu dapat kiriman tambahan, pakaian dan budi baik permaisuri… semua ini adalah satu perkara yang memang takdir ketentuan Allah yang amat indah. Ini kerana dengan menjadi pengasuh dan menyusukan ‘anak raja’ itu ibu Nabi Musa sekeluarga pun dipandang terhormat oleh penduduk negeri.

Di dalam tafsir Ibnu Kathir ada memberikan sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda:
“perumpamaan orang yang beramal dan berhitung dalam usaha kebajikan adalah seumpama Ibu Musa, dia menyusukan puteranya sendiri, tetapi dia diberi upah.”

Dan selanjutnya Ibn Kathir menyebutkan bahwa “Maha Suci Allah, yang di tanganNya terpegang segala sesuatu. Apa yang Dia kehendaki itulah yang akan jadi. Dan yang tidak Dia kehendaki tidaklah akan jadi. Yang menjadikan untuk tiap-tiap orang yang bertaqwa jalan keluar dari kesukaran dan kelapangan sesudah kesempitan.”

“....dan supaya ia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar;..”
Allah telah berjanji ketika menurunkan wahyu kepada ibu bayi itu menyuruh masukkan bayi itu ke dalam peti dan hanyutkan ke sungai Nil yang luas, dan bahwa bayi itu akan kembali kepada ibunya kelak. Maka kembalilah Nabi Musa, tidak berpisah dari ibu dan keluarganya.

“....akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu).”
Yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah kebanyakan manusia itu tidak mengerti dan tidak memahami akan hikmah Ilahi di dalam mendatangkan sesuatu cubaan ataupun pengalaman yang pahit bagi manusia. Kita sebagai manusia seharusnya sedar bahwasanya kepahitan itu hanyalah bersifat sementara dan hanya di permulaan saja. Dan pastinya akan ada kemanisan bila kita bersabar dan bila sudah tiba di pengakhiran nanti. Tetapi oleh kerana kita tidak tahu ataupun kita tidak mahu tahu tentang ini , maka  kita akan menjadi tidak sabar dalam menerima cubaan dan ujian. Bahkan kita akan cepat menjadi resah gelisah. Padahal hendaklah kita tahu bahawa keadaan ini selalu berjalan. Umpama bumi yang selalu berputar sekeliling matahari.

Demikianlah juga hidup dan keadaan yang kita hadapi sekarang ini. Tidak selamanya kita susah dan sedih. Dan tak selamanya kita senang dan gembira. Yang awal akan berakhir, yang datang pasti akan berlalu. Maka kalau kita tidak bersabar, maka kita akan binasa, tewas, kerana tidak sabar dan kerana tidak tahan. Maka tidakalh sempat kita merasakan penghujung yang manis setelah permulaan yang pahit.

Dan kalau pun kita akan merasa kemanisan di penghujungnya, penghujung itu kita rasakan terlalu lama untuk ia datang. Kerana kita sudah resah gelisah mengharap ianya segera datang. Tidak bersabar dan tidak bertawakkal. Maka semakin lama kita gelisah , semakin lamalah pula kita akan berada di dalam kegelisahan. Seolah-olahlah kita rasa bahwa kemanisan itu tidak akan datang-datang.

Itulah sebabnya maka di dalam ayat 10 tadi, dinyatakan bahwa hati ibu Nabi Musa merasa kosong dan hampir berputus asa. Kalau dia tidak dapat menahan hatinya, pastinya dia akan menangis-nangis dan akan terbongkarlah rahsia kelahiran Nabi Musa yang dihanyutkan ke sungai. Tetapi Allah telah menolong ibu Nabi Musa. Hatinya diteguhkan sehingga rahsia itu tidak terbuka dan tidak diketahui orang.

Dengan itu, sisters… jadikanlah kisah ibu Nabi Musa ini sebagai pengajaran dan panduan buat kita. Jika kita ditimpa cubaan dan ujian yang pahit, pertama sekali percayalah kepada kesabaran. Kita kena bersabar dan anggap bahwa kepahitan itu akan berakhir dengan pengakhiran yang sangat manis. Tangis sendu itu akan berakhir dengan senyum gembira. Dan pohonlah kepada Allah agar hati kita ditenangkan dan disabarkan. Kerana walapun sekecil mana urusan dan dugaan yang kita hadapi, jalan yang paling terbaik ialah dengan bertawakkal kepada Allah.








Al Qasas Ayat 14

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَاسْتَوَى آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ
“Dan ketika Musa sampai ke peringkat umurnya yang cukup kekuatannya dan sempurna, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikian Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. “

Nabi Musa menjadi anak angkat kepada firaun dalam lebih kurang 30 tahun lamanya. Dari kecil dibesarkan dalam istana firaun. Tetapi sejak kecil itu ibunya telah biasa membawanya pulang dari istana untuk diasuh, dibimbing di rumah ibunya sendiri. Dengan itu maka keluarga Imran iaitu ayah kepada Nabi Musa telah mendapat kelebihan dari hubungan anaknya dengan istana.  Abangnya Harun pun telah mendapat pekerjaan yang baik di istana dan bebas keluar masuk istana.

Keluarga Nabi Musa yang pada asalnya adalah sebuah keluarga biasa dari Kaum Bani Israel yang ditindas oleh firaun, dek kerana Nabi Musa, mereka telah mendapat hak istimewa yang tidak dapat diperolehi oleh keluarga Bani Israel yang lain. Keadaan ini pernah dihuraikan oleh Nabi Musa sendiri di hadapan firaun kemudiannya di dalam surah Asy-Syu’ara ayat 22.

Oleh kerana itu, meskipun Nabi Musa dianggap sebagai orang istana, tetapi dia tidak terpisah dari kaumnya. Beliau mengetahui apa yang dialami oleh kaumnya. Beliau selalu juga melihat kejadian dan perlakuan yang tidak adil yang dilakukan oleh orang-orang pembesar firaun dan kakitangannya terhadap kaum Bani Israel. Sebab itulah maka pengalaman-pengalaman pahit, yang dilihat, yang didengar, telah menambah pengetahuannya tentang keadilan dan juga tentang kezaliman.

Keadaan yang disaksikan setiap hari itu telah menambahkan kematangan peribadi Nabi Musa, menambahkan kecerdikan dan kepandaian. Allah telah memberikan Nabi Musa anugerah Hukum dan Ilmu. Ini kerana di dalam istana Nabi Musa telah diajar sebagai anak-anak orang bangsawan dan dalam masyarakat pula diajar oleh pengalaman-pengalaman dan kepincangan yang berlaku terhadap kaumnya yang lemah.

Di samping apa yang telah ditentukan oleh Allah bahwa Nabi Musa kelak akan menjadi Nabi dan RAsul, dengan kehendak Allah juga telah ada orang-orang yang berbuat baik, yang telah mendidik Nabi Musa menjadi orang yang berbuat baik sehingga Nabi Musa dapat menjadi orang yang berilmu dan mengenal erti hukum. Orang-orang yang berbuat baik ini tentu saja adalah orang yang mengasuhnya selama ini. Terutama ibu kandungnya dan juga isteri firaun, permaisuri yang budiman itu. Dipujikan Allah di dalam ayat ini bahwa usaha mereka yang baik itu telah berhasil menjadikan Nabi Musa seorang insan mulia.










Al Qasas Ayat 15 Hingga 17

وَدَخَلَ الْمَدِينَةَ عَلَى حِينِ غَفْلَةٍ مِنْ أَهْلِهَا فَوَجَدَ فِيهَا رَجُلَيْنِ يَقْتَتِلَانِ هَذَا مِنْ شِيعَتِهِ وَهَذَا مِنْ عَدُوِّهِ فَاسْتَغَاثَهُ الَّذِي مِنْ شِيعَتِهِ عَلَى الَّذِي مِنْ عَدُوِّهِ فَوَكَزَهُ مُوسَى فَقَضَى عَلَيْهِ قَالَ هَذَا مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ عَدُوٌّ مُضِلٌّ مُبِينٌ
15 - “Dan masuklah ia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, - seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: "Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya) ".

قَالَ رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَغَفَرَ لَهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
16 - Ia merayu (dengan sesalnya): "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah - apalah jua kiranya - akan dosaku". (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

قَالَ رَبِّ بِمَا أَنْعَمْتَ عَلَيَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًا لِلْمُجْرِمِينَ
17 - Ia merayu lagi: "Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah"

Pada suatu ketika, Nabi Musa telah masuk ke bandar Mesir dengan tidak menunjukkan diri beliau sebagai orang istana. Menurut Ibnu Abbas, As-Suddi dan Qatadah , waktu itu adalah pada waktu pertengahan hari di mana pada lazimnya kebanyakan penduduk sedang berehat. Sewaktu di bandar beliau telah menemui dua orang lelaki yang sedang bergaduh. Seorang adalah dari bani Israel dan seorang lagi adalah penduduk asli Mesir iaitu dari bangsa Qibti.

Sepertimana yang kita tahu kaum Bani Israel telah dianggap sebagai kaum yang hina, kaum hamba abdi yang bertaraf rendah martabatnya. Sementara kaum Qibti pula adalah kaum yang dianggap sebagai tertinggi dalam negeri kerana mereka adalah satu keturunan dengan firaun.

Lelaki dari kaum Bani Israel itu telah meminta tolong dari Nabi Musa untuk menyelamatkannya dari perkelahian tersebut. Sejak dahulu lagi Nabi Musa telah menaruh kebencian terhadap  kaum Qibti yang menzalimi kaum Bani Israel. Maka seolah-olah inilah masanya untuk beliau membalas dendam dan membela kaumnya sendiri iaitu kaum Bani Israel dari terus dizalimi kaum Qibti. Lalu si Qibti itu telah ditumbuk oleh Nabi Musa dengan kedua-dua belah tangannya sekuat hati.

Adalah jelas sekali di dalam ayat ini bahwa perbuatan membunuh bukanlah sengaja dilakukan oleh Nabi Musa. Beliau hanya hendak memukul orang Qibti itu saja dengan tiada niat untuk membunuhnya. Tetapi akibat daripada pukulan itu, orang Qibti itu tiba-tiba telah jatuh lalu… mati.

Melihatkan kejadian yang telah dilakukannya itu, Nabi Musa telah menyedari akan kesalahannya. Dia mengakui, ini adalah perbuatan syaitan, yang telah menggodanya supaya melakukan permbunuhan itu. Lalu beliau menyatakan pula, hendaklah seseorang itu berjaga-jaga dari godaan syaitan, kerana syaitan adalah musuh yang terang-terang hendak menyesatkan, dan tidak akan memandu manusia kepada kebaikan.

Nabi Musa telah menyesali perbuatannya disebabkan membunuh orang tanpa alasan yang membolehkannya. Nabi Musa berdoa kepada Allah, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah - apalah jua kiranya - akan dosaku".

Allah telah mengampuni dosa Nabi Musa dengan tidak mengenakan hukuman ke atas Nabi Musa, kerana Allah bersifat Maha Pengampun dengan menutupi dosa hambaNya yang mahu bertaubat keapdaNya. Iaitu taubat nasuha, taubat yang sebenar-benarnya taubat serta kembali kepada kebenaran. Allah juga bersifat Maha Penyayang kepada sesiapa saja yang benar-benar ikhlas bertaubat dan tidak lagi mengulangi kesalahannya.

Nabi Musa berdoa lagi kepada Allah memohon berkat dan nikmatNya, agar beliau terpelihara dariapda melakukan perbuatan seeprti yang pernah dilakukannya, agar tidak menjadi penolong kepada orang-orang musyrik atau menyokong orang-orang yang melakukan dosa. Ini adalah kerana sebelum ini beliau telah diajak untuk menyertai apa jua kegiatan yang dilakukan oleh Firaun. Beliau dianggap istimewa dan perlu mengikuti Firaun kerana orang ramai mengetahui bahwa beliau adalah anak angkat firaun.

Jadi dengan itu Nabi Musa memohon kepada Allah agar dirinya dipelihara dari membantu orang yang melakukan dosa seperti yang pernah dilakukannya terhadap orang Qibti itu.  

Dan Nabi Musa juga berjanji dan menanamkan tekad di dalam dirinya bahwa mulai saat itu nikmat Allah yang diberikan kepada dirinya itu akan digunakannya sebaik-baik mungkin untuk perkara-perkara yang baik saja dan bukan untuk diselewengkan manafaat ke arah keburukan.








Al Qasas Ayat 18 Dan 19

فَأَصْبَحَ فِي الْمَدِينَةِ خَائِفًا يَتَرَقَّبُ فَإِذَا الَّذِي اسْتَنْصَرَهُ بِالْأَمْسِ يَسْتَصْرِخُهُ قَالَ لَهُ مُوسَى إِنَّكَ لَغَوِيٌّ مُبِينٌ
18 - Semenjak itu, tinggalah ia di bandar (Mesir) dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya), maka tiba-tiba orang yang meminta pertolongan kepadanya semalam, memanggil meminta pertolongannya lagi. Musa berkata kepadanya: "Sesungguhnya engkau ini orang yang nyata sesatnya!"

فَلَمَّا أَنْ أَرَادَ أَنْ يَبْطِشَ بِالَّذِي هُوَ عَدُوٌّ لَهُمَا قَالَ يَا مُوسَى أَتُرِيدُ أَنْ تَقْتُلَنِي كَمَا قَتَلْتَ نَفْسًا بِالْأَمْسِ إِنْ تُرِيدُ إِلَّا أَنْ تَكُونَ جَبَّارًا فِي الْأَرْضِ وَمَا تُرِيدُ أَنْ تَكُونَ مِنَ الْمُصْلِحِينَ
19 - Maka ketika ia bersedia hendak menumbuk orang yang menjadi musuh bagi mereka berdua berkatalah orang itu: "Wahai Musa, adakah engkau hendak membunuhku sebagaimana engkau membunuh satu jiwa semalam? Sebenarnya engkau hanyalah hendak menjadi seorang yang kejam di bumi, dan tidaklah engkau hendak menjadi seorang pendamai".

Nabi Musa mula merasa takut. Takut kalau sekiranya berita yang beliau telah memukul orang Qibti sampai mati itu telah tersebar luas. Dan paling parah lagi sekiranya ia telah sampai ke pengetahuan istana. Tentulah nanti beliau akan ditangkap dan disoal akan kematian orang Qibti yang mati itu. Kerana itu Nabi Musa pun berjalan di bandar itu dengan berhati-hati, dengan memerhati ke kiri dan ke kanan takut sekiranya ada yang mengecam dirinya.

Dan sedang ia berjalan itu, terjumpa lagi beliau dengan orang bani Israel yang bergaduh dengan orang Qibti yang dipukulnya semalam. Kali ini orang bani Israel itu bergaduh dengan orang Qibti lain pula. Orang Bani Israel itu memanggil Nabi Musa lagi dan meminta tolong lagi dari Nabi Musa agar menyelamatkan dirinya dari orang Qibti yang sedang bergaduh dengannya kini. Semalam dia sudah bergaduh dengan orang Qibti, hari ini dia bergaduh lagi dengan orang Qibti juga. Memang betul-betullah orang ini pengacau. Orang yang suka bergaduh dan suka menang sendiri. Dan apabila dirinya telah tersepit, tahu pula dia untuk meminta bantuan dari Nabi Musa.

Setelah Nabi Musa mengatakan bahwa orang Bani Israel itu sebagai pengacau, orang Qibti yang bergaduh dengan orang Israel itu bertanya kepada Nabi Musa, adakah Nabi Musa mahu memukulnya sepertimana Nabi Musa memukul orang Qibti semalam sehingga mati?

Mendengar pertanyaan orang Qibti itu , tahulah Nabi Musa bahwa berita dia membunuh orang Qibti semalam sudah tersebar luas dan diketahui umum.

Lalu orang Qibti itu berkata lagi bahwa tidak lain Nabi Musa hanyalah mahu menjadi orang yang paling berkuasa dan paling kejam di mukabumi dengan berbuat sesuka hati. Kerana memang begitulah sikap seseorang yang ingin bermaharajalela. Bukannya hendak menjadi orang yang suka berbuat kebaikan terhadap penduduk, dengan menjadi pendamai.








Al Qasas Ayat 20 Hingga 21

وَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ يَسْعَى قَالَ يَا مُوسَى إِنَّ الْمَلَأَ يَأْتَمِرُونَ بِكَ لِيَقْتُلُوكَ فَاخْرُجْ إِنِّي لَكَ مِنَ النَّاصِحِينَ
20 - Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu".

فَخَرَجَ مِنْهَا خَائِفًا يَتَرَقَّبُ قَالَ رَبِّ نَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
21 - Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim ".    

Berita pembunuhan orang Qibti itu memang telah tersebar luas sehingga ke pengetahuan firaun. Lalu firaun telah memerintahkan akan Nabi Musa ditangkap. tindakan firaun itu telah diketahui oleh seorang yang jujur dan merasa kasihan terhadap Nabi Musa. Orang ini adalah di antara orang yang beriman dengan nabi Musa tetapi telah menyembunyikan keimanannya dari pengetahuan orang ramai. 

Di dalam surah Al Ghafir disebutkan tentang orang ini yang rapat dengan firaun tetapi beriman dengan Nabi Musa secara diam-diam. Orang ini telah datang senyap-senyap untuk memberitahu Nabi Musa tentang pakatan firaun untuk menangkap Nabi Musa. Oleh itu hendaklah Nabi Musa sebaiknya melarikan diri keluar dari kota Mesir sebelum tentera firaun dapat menangkap beliau.

"Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim "
Di dalam ketakutan takut akan tertangkap itu Nabi Musa berdoa kepada Allah, supaya diselamatkan dirinya dari kaum yang zalim itu. Dari ayat ini memberikan petunjuk kepada kita bahwa selama dalam pelarian itu Nabi Musa tidak lupa untuk terus berdoa kepada Allah , agar perjalanan beliau selamat dan lancar. Kita juga dapat memahami bahwa kaum yang dihadapi oleh Nabi Musa ini adalah kaum yang benar-benar zalim. Kalau Nabi Musa tidak berangkat segera meninggalkan kota Mesir nescaya beliau akan tenteram berada di bawah pemerintahan firaun yang serba zalim itu.













Al Qasas Ayat 22 Hingga 24

وَلَمَّا تَوَجَّهَ تِلْقَاءَ مَدْيَنَ قَالَ عَسَى رَبِّي أَنْ يَهْدِيَنِي سَوَاءَ السَّبِيلِ
22 - Dan setelah ia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah ia dengan berkata: "Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku,".

وَلَمَّا وَرَدَ مَاءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِنْ دُونِهِمُ امْرَأتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاءُ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ
23 - Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya ".

فَسَقَى لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّى إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
24 - Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan". 

Nabi Musa pun pergilah meninggalkan kota Mesir menuju ke arah utara. Ke negeri yang bernama Madyan. Pergilah ia dalam perjalanan seorang diri, merentas padang pasir yang luas, menjadi orang buangan. Sekali sekala ada berselisih dengan badwi-badwi yang berpindah randah mencari rumput dan air.  Madyan adalah terletak di selatan negeri Syam. Di sebelah utara Madyan terletak pula negeri Hijaz.

Di dalam perjalanan yang sukar ini, Nabi Musa mulai merasakan lebih mendalam akan perbezaan hidupnya beberapa hari sebelum ini, dengan hidup yang dihadapinya sekarang. Beberapa hari yang lalu hidup beliau penuh dengan kemewahan tetapi hari ini hidupnya telah bertukar menjadi melarat dan terbuang. Mulalah timbul kesedaran di dalam hati Nabi Musa mengenangkan nasib kaum Bani Israel yang ditindas dan dianiaya oleh firaun sementara beliau pula bersenang lenang di dalam istana hidup dalam serba serbi kemewahan.

Walaupun hidupnya penuh dengan kemewahan namun tetap terdetik di dalam hati sanubari Nabi Musa akan rasa tidak puas hati dengan suasana kepincangan tampuk pemerintahan. Sebab itulah maka meskipun pada lahirnya beliau kelihatan senang mesra, pada batinnya beliau tidak bebas dan tidak merasa senang hati. Beliau sudah merasa bahwa istana itu bagi dirinya adalah penjara.

Sekarang Nabi Musa telah keluar dari istana, bebas berjalan seorang diri di tanah padang pasir tandus yang terik panas mataharinya. Namun hati Nabi Musa tetap nekad untuk meneruskan perjalanan. Dan di dalam perjalanan beliau tidak putus-putus berdoa agar Allah memimpin beliau ke jalan yang benar.

Akhirnya sampailah juga Nabi Musa ke pinggir kota Madyan. Di kota itu ada sebuah telaga tempat para penduduk kota mengambil air untuk minuman kambing ternak mereka dan juga untuk minuman harian.

Dan didapatinya agak jauh terpencil ada dua orang wanita yang menahan ternaknya, tidak dibiarkan kambing-kambingnya meminum air bersama-sama kambing penternak lain agar tidak bercampur dengan ternakan mereka. Hinggalah apabila semua orang telah selesai memberi minum kambing ternak mereka dan beredar dari situ meninggalkan perigi tersebut, maka barulah kedua wanita itu menghampiri perigi untuk memberi kambing ternakan mereka minum dari sisa-sisa air perigi itu.

Melihat demikian, Nabi Musa berasa kasihan terhadap keduanya, lalu datang menemui keduanya seraya bertanya, apakah gerangan kamu berdua? mengapa tidak ikut bersama-sama mereka memberi minum kambing-kambing bersama penternak yang lain? maka kedua wanita itu menjawab bahwa mereka tidak dapat memberi minum kambing-kambing mereka bersama kambing-kambing penternak lain kerana mereka tidak sanggup untuk berasak-asak dengan lelaki yang berebut-rebut memberi minum kambing-kambing mereka. 

Kalau penternak lain sudah beredar bersama kambing-kambing mereka, maka barulah wanita itu dapat ke perigi untuk mengambil air untuk kambing-kambing mereka. Sedangkan bapa mereka pula adalah seorang yang sangat tua dan tidak berdaya untuk datang menimba air perigi untuk memberi kambing-kambing mereka minum.

Apabila Nabi Musa mendengar kata-kata kedua wanita itu, beliau pun berasa kasihan. Lalu beliau menolong mengangkatkan sebuah batu besar yang menutup mulut perigi itu. Ini kerana apabila setelah selesai para pengembala memberi minum kambing-kambing mereka, mereka akan menutup perigi itu dengan sebuah batu besar. Kedua wanita itu tidak sanggup untuk mengangkat batu besar itu. Maka batu itu telah diangkat oleh Nabi Musa seorang diri, lalu ditimbanya air perigi itu kemudian dimasukkan ke dalam sebuh kolam setelah itu diberinya kambing-kambing itu minum sampai kenyang.

Setelah memberi minum kepada kambing-kambing kedua wanita itu, Nabi Musa duduk di bawah pohon yang rendang untuk berteduh dan berehat. Di bawah pohon itu Nabi Musa berdoa lagi kepada Allah dengan doa,  “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan"

Menurut satu riwayat dari Abdullah bin Abbas, bahwa selama dalam perjalanan itu Nabi Musa tidaklah membawa persediaan makanan kerana beliau meninggalkan kota Mesir dengan tergesa-gesa setelah mendapat nasihat dari orang yang jujur itu. Sebab itu maka dalam perjalanan Nabi Musa hanya makan sayur-sayur yang bertemu di tengah jalan, dan hanya minum air telaga kalau dijumpainya telaga di mana -mana sepanjang perjalanan.

Sebab itulah semasa tiba di Madyan beliau bernaung di bawah pohon, akan makin terasalah kelaparan dan keletihan kerana kepenatan di dalam perjalanan yang sangat jauh. Kerana itulah Nabi Musa memohon kepada Allah agar sudilah kiranya Allah memberinya anugerah kebajikan. Dengan susun kata permohonan dengan budi pekerti yang halus, bukannya mendesak-desak mengatakan dirinya tersangat lapar.

Dan ditakdirkan doa Nabi Musa itu telah didengari oleh kedua wanita pengembala kambing tadi. 






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.