Monday, November 2, 2015

Surah Al Qasas Ayat 51 - 70






Al Qasas Ayat 51 Hingga 54

وَلَقَدْ وَصَّلْنَا لَهُمُ الْقَوْلَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
51 - Dan demi sesungguhnya Kami telah hubungkan turunnya firman-firman Kami (Al-Quran) dengan berturut-turut kepada mereka, supaya mereka beroleh peringatan (lalu beriman).

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِهِ هُمْ بِهِ يُؤْمِنُونَ
52 - Orang-orang yang Kami beri Kitab sebelum turunnya Al-Quran, mereka beriman kepadanya.

وَإِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ قَالُوا آمَنَّا بِهِ إِنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّنَا إِنَّا كُنَّا مِنْ قَبْلِهِ مُسْلِمِينَ
53 - Dan apabila Al-Quran itu dibacakan kepada mereka; mereka, berkata: "Kami beriman kepadanya, sesungguhnya ia adalah perkara yang betul benar dari Tuhan kami; sesungguhnya kami sebelum ia diturunkan, telahpun mematuhinya.

أُولَئِكَ يُؤْتَوْنَ أَجْرَهُمْ مَرَّتَيْنِ بِمَا صَبَرُوا وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
54 - Mereka itu akan beroleh pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka; dan juga kerana mereka menolak kejahatan dengan kebaikan, dan mereka menderma dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.

“.....sesungguhnya Kami telah hubungkan turunnya firman-firman Kami (Al-Quran) dengan berturut-turut kepada mereka, supaya mereka beroleh peringatan…”
Maksudnya bahwa dakwah Allah, dengan perantaran RasulNya tidaklah pernah terputus kepada mereka, peringatan tidak pernah berhenti. Habis satu, satu datang. Dan akan datang satu lagi. Dan lagi peringatan. Bersambung sambung tidak akan terputus. Kalaulah mereka tidak juga percaya , maka tidak ada sebab yang lain, hanyalah kerana mereka mengikutkan hawa nafsu mereka itulah saja. Dan kerana itu jugalah yang akan membawa mereka ke dalam kecelakaan.

Al Quran telah memberitahu kepada kita bahwa sebelum Allah menurunkan Al Quran kepada Nabi Muhammad, terlebih dahulu Allah telah menurunkan kitab-kitab lain kepada umat-umat terdahulu melalui perantaraan rasul-rasul terdahulu. Umat Nabi Musa, kaum Bani Israel itu telah didatangkan kitab Taurat kepada mereka. Umat Nabi Isa pula kaum Nasrani telah didtangkan kitab Injil kepada mereka. Dan ada kebanyakan dari mereka yang percaya dan beriman kepada kitab-kitab mereka.

Namun setelah melalui jangkawaktu yang agak panjang, lama kelamaan setelah rasul-rasul mereka telah tiada, ada di antara mereka yang telah menyeleweng dari ajaran kitab-kitab yang disampaikan. Akidah mereka sudah menyimpang dari landasan yang sebenarnya. Walaupun tidak dinafikan masih ada lagi yang berpegang teguh dengan ajaran asal.

Mereka yang masih berpegang teguh dengan ajaran asal dari kitab-kitab taurat dan injil yang asal, apabila telah datangnya Nabi Muhammad saw membawa kitab Al Quran, mereka dengan yakin dan tidak ragu-ragu telah menerima ajaran Nabi Muhammad saw dan terus beriman dengan baginda dan kitab AlQuran. Kerana mereka sudah tahu bahwa di dalam kitab mereka ada memberitahu tentang berita gembira kedatangan nabi terakhir junjungan besar Nabi Muhammad saw dan sifat-sifat baginda yang jelas sekali menepati dengan apa yang tertulis di dalam kitab mereka.

Apabila diperdengarkan bacaan Al Quran kepada mereka, mereka dengan yakin telah percaya bahwa Al Quran itu benar datangnya dari Tuhan yang sama yang juga telah menurunkan kitab-kitab mereka. Makanya sebelum turunnya AlQuran mereka ini telah terlebih dahulu beriman dengan kitab-kitab mereka. Maksudnya mereka telah terlebih dahulu menganut agama Islam. Mereka telah terlebih dahulu tunduk kepada Tuhan dan patuh akan perintahNya. 

Dan bila Nabi Muhammad datang membawa kitab Al Quran pula kepada mereka , mereka dengan yakin beriman pula kepada Nabi Muhammad dan kitab Al Quran. Ini semua adalah kerana mereka telah terlebih dahulu membaca di dalam kitab mereka akan kedatangan nabi Muhammad saw dan turunnya kitab Al Quran kepada Nabi Muhammad saw. Jadi bila dilihatnya ciri-ciri kenabian yang ada pada baginda nabi Muhammad adalah sama dengan ciri-ciri yang tertulis di dalam kitab mereka, maka bertambah lah lagi keyakinan mereka untuk terus beriman.

Kepada mereka ini Allah menganugerahkan pahal berganda kepada mereka. Ini kerana disebabkan oleh kesabaran mereka, ketabahan hati mereka, keteguhan pendirian mereka yang tidak bergoncang dan berbelah bagi tetap terus mengamalkan ajaran yang sebenar walaupun di sekeliling mereka telah ramai yang terpesong dan lari dari akidah sebenar.

Sesungguhnya untuk tetap beriman kepada rasul terdahulu yang telah tiada dan menunggu saat tibanya kedatangan rasul yang akan datang sepertimana yang tertulis di dalam kitab mereka itu, amatlah menguji kesabaran mereka. Menegakkan perintah Allah di dalam dunia yang penuh dengan maksiat orang yang derhaka, adalah memerlukan kesabaran yang banyak. 

Oleh sebab itu maka orang-orang ahli kitab ini yang segera memeluk Islam setelah mereka mengerti akan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah dan beriman pula dengan kitab Al Quran yang dibawa oleh Rasulullah. Maka dengan itu  Allah menganugerahkan pahala yang berlipat ganda kepada mereka.

Ayat 54 ini samalah isi maknanya dengan ayat 28 dari surah Al Hadid yang bermaksud:
“Pasti Allah memberikan kepada kamu dua bahagian dari kurniaNya.”

Di dalam sebuah hadith sahih dari Amir Asy-Sya’bi dari Abu Burdah dari Abi Musa al Asy’ari, Rasulullah saw telah bersabda:
“Ada tiga orang yang akan mendapat pahala dua kali ganda:
1 - seorang lelaki dari ahli kitab yang beriman dengan Nabinya kemudian itu ia beriman pula dengan aku,
2 - seorang hamba sahaya yang menunaikan hak Allah dan menunaikan pula hak tuannya,
3 - seorang lelaki yang mempunyai hamba perempuan, lalu dididiknya hamba perempuan itu dengan sebaik-baiknya kemudian dimerdekakannya lalu dikahwininya.








Al Qasas Ayat 55

وَإِذَا سَمِعُوا اللَّغْوَ أَعْرَضُوا عَنْهُ وَقَالُوا لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ لَا نَبْتَغِي الْجَاهِلِينَ
Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil berkata: "Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu; selamat tinggalah kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil".

Orang-orang ahli kitab ini menempuh hidup yang sangat mencabar sepanjang ketiadaan rasul terdahulu dan sementara menunggu kedatangan rasul akan datang yang akan diutuskan. Di ketika Rasulullah telah datang dan diutuskan kepada mereka, di ketika mereka mahu pergi mengadap Rasulullah untuk beriman kepada baginda, datanglah dugaan dan cabaran dari berbagai pelusuk. 

Di antara mereka yang sudah terpesong ajaran mereka, iaitu umpamanya Abu Jahal dan kawan-kawannya datang dan cuba menghalang perjalanan mereka dengan menghamburkan kata-kata kasar dan menghina mereka kerana ingin beriman kepada Rasulullah. Pelbagai cerita buruk disebarkan oleh Abu Jahal dan para kafir Quraisy untuk mengelakkan dari mereka pergi mengadap Rasulullah dan beriman kepada ajran baginda. Ada juga yang mengugut akan membunuh mereka sekiranya mereka berdegil untuk beriman juga.

Kata-kata cacian, cerita karut dan ugutan ini tidak dipedulikan oleh mereka, ahli kitab. Sudah lama mereka menunggu kedatangan Rasulullah dan kitab Al Quran. Jadi mereka tidak harus membuang masa lagi mendengar kata-kata karut mereka. Selama ini pun mereka sudah mendengarnya. Dan mereka tabah berpegang teguh dengan ajaran sebenar. Jadi bila Rasulullah sudah datang, tidak perlulah lagi mereka mempedulikan kata-kata karut itu. Waktu itu amat berharga untuk dikorbankan untuk mengatakan hal-hal yang karut marut ini. Apa yang mereka perlu lakukan, ialah bersegera menemui Nabi Muhammad untuk menyatakan iman kepada baginda.

Allahu rabbi…. teguhnya iman mereka orang-orang ahli kitab.
Begitulah gambaran dan sinar dari jiwa yang telah mantap dengan iman. Mereka tidak dapat ditawarkan dengan harta dan wang ringgit. Tidak akan goyah dengan ugutan dan cacian. Mereka melepaskan diri mereka bukanlah dengan melawan balik dengan kekerasan segala ugutan dan cacian itu. Sebaliknya mereka berlapang dada, melepaskan diri dengan baik dan beradab sopan. Mereka ktakan kepada orang-orang kufur itu, “"Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu; selamat tinggalah kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil".

Allahu rabbi… Tak terbanding kemuliaan akhlak mereka dengan kita yang serba kekurangan ini.

Mari kita bandingkan ayat ini dengan ayat 72 surah Al Furqaan yang bermaksud:
“Dan apabila mereka melalui perkara yang sia-sia, mereka lalu dengan hormatnya.”









Al Qasas Ayat 56

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).

Rasulullah berada di dalam keadaan susah hati dan galau melihatkan kaumnya sendiri yang tidak mahu beriman dengan ajaran yang dibawa oleh baginda. Sedangkan para ahli kitab sanggup datang meredah padang pasir menemui baginda semata-mata untuk berimaan dengan ajaran baginda. Baginda sangat-sangatlah berharap agar orang-orang Quraisy Mekah itu juga mahu masuk Islam sepertimana orang-orang ahli kitab ini. Mahu menerima petunjuk dan hidayah agar sama-sama mendapat kurniaan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Melihatkan sikap degil dan menentang kaumnya sendiri, maka sedih dan risau lah hati baginda. Maka Allah menurunkan ayat ini untuk mengubati kerisauan hati baginda.

Ramai ulamak yang menghuburngkan ayat ini dengan peristiwa kematian Abu Talib, bapa saudaara baginda Nabi Muhammad saw. Ini bersandarkan sebuah hadis dari Abd Bin Humaid, Muslim, At Tarmizi dan al Baihaqi yang diriwayatkan dariapda Abu Hurairah, katanya: “di ketika Abu Talib hampir meninggal dunia, dia telah didatangi oleh baginda nabi dengan memujuknya “wahai bapa saudaraku! Ucapkanlah kalimah Laa Ilaha Illallah (tiada tuhan yang disembah melainkan Allah), dengannya aku naik saksi padamu di sisi Allah nanti pada hari kiamt.” Maka jawabnya, “kalaulah tidak kerana aku akan dicaci oleh kaum Quraisy yang mengatakan tak lain yang mendorong Abu Talib untuk mengucapkan syahadat ialah takutkan mati nescaya aku berikrar mengucapkannya di depanmu.”

Maka tersangat sedihlah RAsulullah melihatkan bapa saudaranya yang tidak mahu masuk Islam sehinggalah ke akhir hayatnya. Maka Allah turunkan ayat 56 ini.

Allah memberi peringatan kepada nabi Muhammad bahwa, tugas baginda hanyalah menyampaikan saja seruan dan ajaran yang diperintahkan Allah kepadanya untuk disampaikan kepada sekalian umat. Tetapi untuk memberikan petunjuk hidayah, membukakan hati seseorang itu kepada menerima Islam adalah tugas Allah. Bukan tugas Rasulullah. Walaupun orang itu adalah orang yang paling Rasulullah cintai, baik dari kalangan keluarga baginda sendiri mahupun orang lain. Walau bagaimanapun Rasulullah telah bersusah payah, tidak akan dapat Rasulullah lakukan. Hanya Allah sajalah yang akan memberikan hidayah kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya. Kerana Dialah yang mempunyai kuasa dan hikmat yang sebenar-benarnya.

Dan Allah jualah yang lebih tahu akan orang-orang yang mahu menerima petunjuk. Maksudnya Dialah yang lebih tahu kepada siapa petunjuk itu akan diberikan. Petunjuk hanya diberikan kepada orang-orang yang mempunyai persediaan untuk mendapatkannya lalu Allah akan memberikan kepadanya.  Dan sebagai contoh : di antara mereka ialah orang-orang ahli kitab yang telah terdahulu sebutannya bukan orang yang keras hati baik dari keluarganya mahupun dari orang-orang yang sengaja tidak menerima hidayah itu.

Pengertian hidayah ialah adakalanya dimaksudkan dengan menyeru dan memandu ke jalan yang baik. Dan adakalanya dimaksudkan dengan memberi petunjuk berupa taufik serta melapangkan dada orang dengan menyinarkan cahaya terang iaitu nur untuk hidupkan hatinya. Maka hidayah yang seperti ini tidak ada kuasa bagi Rasulullah saw melakukannya sebagaimana yang dinyatakan oleh ayat ini.

Adapun hidayah dengan erti menyinarkan cahaya terang untuk menghidupkan hati yang sudah mati kerana kufur, hanya Allah saja yang dapat melakukannya sepertimana firmanNya di dalam ayat 122 surah Al An’am yang bermaksud:
“Adakah orang-orang yang sudah mati kemudian Kami (Allah) hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang.”







Al Qasas Ayat 57

وَقَالُوا إِنْ نَتَّبِعِ الْهُدَى مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا أَوَلَمْ نُمَكِّنْ لَهُمْ حَرَمًا آمِنًا يُجْبَى إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِزْقًا مِنْ لَدُنَّا وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Dan mereka (yang kafir) berkata: "Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang)". Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).

Orang-orang Quraisy ini, selain dari golongan yang sedia tidak mahu beriman, ada segolongan lagi yang telah mengakui kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah. Mereka telah melihat sendiri dan meyakini bahwa Rasulullah dan kitab Al Quran itu benar. Tetapi mereka tidak mahu ikut beriman kerana mereka takut akan diusir dari kampung halaman mereka. Takut akan diboikot sebagaimana kaum Quraisy memboikot Bani Hashim. Takut akan dipencilkan sehingga terpaksa pula berhijrah, sebagaimana pengikut-pengikut Rasulullah yang telah berhijrah dua kali sehingga ke negeri Habsyah.

Mereka ini telah mengakui bahwa yang dibawa oleh Rasulullah itu adalah petunjuk dari Ilahi, jalan kebenaran, tetapi mereka takut kalau-kalau mereka akan dibenci orang, diusir dan tidak diakui lagi sebagai sedara sedarah. Orang-orang ini, hati mereka belum mempnyai pegangan teguh kepada Allah. Berbeza sekali dengan pengikut-pengikut Rasul yang telah bergabung dalam iman.

Lalu Allah memberikan peringatan kepada mereka tentang jaminan hidup mereka selama ini. Allah bagitahu bahwa bukankah telah menjadi kebiasaan orang-orang Arab jahiliyah dahulu, mereka suka serang menyerang di antara satu sama lain, dan berbunuh-bunuh di antara satu sama lain. Sedangkan kota Mekah telah dijadikan Allah menjadi tanah suci yang aman dan tenteram untuk didiami oleh sesiapa saja yang datang ke sini.

Penduduk akan sentiasa mendapat perlindungan dari sebarang pencerobohan, kerana mereka semuanya mengakui tentang kesucian kota Mekah. Sehinggakan betapa seekor kambing itu ditanggung aman dari diganggu oleh serigala dan burung merpati juga berasa aman dari disambar oleh burung helang.

Juga terdapat di sana berjenis-jenis buah-buahan untuk menjadi rezeki dan makanan bagi penduduk kota Mekah, yang dibawa orang dari negara-negara jiran seperti syam, mesir, Iraq dan yaman, bahkan juga dari ceruk rantau negeri yang lebih jauh lagi. Dengan adanya kemudahan dan kelimpahan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka, mengapa pula mereka berasa khuatir akan dihalau dari negeri mereka sedangkan mereka mendapat keamanan dan perlindungan?

Kebanyakan orang-orang jahil tidak memahami tentang adanya kebaikan untuk mereka yang terdapat di kota Mekah. Lantaran itulah mereka katakan berbagai alasan, dan mereka mengungkit sebab yang bukan-bukan. Sepatutnya mereka mesti tahu bahwasanya rezeki yang dikurniakan itu akan sampai dari Allah kepada mereka. Maka Allah sajalah yang patut mereka takut dan khuatiri. Bukannya takut kepada orang dan benda lain.








Al Qasas Ayat 58

وَكَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَرْيَةٍ بَطِرَتْ مَعِيشَتَهَا فَتِلْكَ مَسَاكِنُهُمْ لَمْ تُسْكَنْ مِنْ بَعْدِهِمْ إِلَّا قَلِيلًا وَكُنَّا نَحْنُ الْوَارِثِينَ
Dan berapa banyak Kami binasakan negeri-negeri yang penduduknya telah berlaku sombong dan tidak bersyukur dalam kehidupannya (yang serba mewah dan senang lenang). Maka itulah dia tempat-tempat tinggal mereka terbiar tidak didiami orang sesudah mereka (dibinasakan), kecuali sedikit sahaja dan sesungguhnya Kamilah yang mewarisi mereka.

Ayat ini seolah-olah menjadi jawaban kedua kepada orang-orang kafir penduduk Mekah yang merasa sangsi untuk beriman. Mereka kata bahwa mereka tidak mahu beriman, kerana takut kehilangan nikmat. Kata-kata ini adalah sememangnya tidak lojik, bahkan kedegilan mereka tidak mahu beriman itulah yang menyebabkan hilangnya nikmat.

Perkara ini terbukti, kerana berapa banyak sudah Allah bianasakan umat-umat yang terdahulu dari beberapa buah negeri dan kerajaan. Mereka dibinasakan kerana berusaha membuat kerosakan di muka bumi, baik dalam segi keruntuhan akhlak mahupun harta benda.

Kerja-kerja jahat itu adalah berpunca dari kesalahan mereka dalam menggunakan kemewahan hidup dengan sewenang-wenangnya tidak tentu arah dan tidak mengikut perintah Allah. Sehingga Allah memusnahkan negeri mereka, yang menyebabkan rumah-rumah mereka, gedung-gedung besar mereka hanya tinggal rangka yang kosong tidak ada penghuninya lagi selepas mereka. Kecuali didiami oleh segolongan yang kecil. Da nkembalilah milik negeri itu kepada Allah untuk mewarisinya. Tidak ada yang menggantikan pemerintahannya kecuali yang diberikan kekuasaan oleh Allah untuk memerintahnya dengan adil dan saksama, sehingga penduduknya menjadi orang-orang yang dapat memberi kebaikan.  








Al Qasas Ayat 59

وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ الْقُرَى حَتَّى يَبْعَثَ فِي أُمِّهَا رَسُولًا يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِنَا وَمَا كُنَّا مُهْلِكِي الْقُرَى إِلَّا وَأَهْلُهَا ظَالِمُونَ
Dan tidaklah menjadi kebiasaan Tuhanmu membinasakan mana-mana negeri sebelum Ia mengutus ke ibu negeri itu seorang Rasul yang akan membacakan kepada penduduknya ayat-ayat keterangan Kami; dan tidaklah menjadi kebiasaan Kami membinasakan mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya berlaku zalim.

Setelah Allah memberikan contoh umat-umat terdahulu yang binasa kerana keengganan mereka mengikut perintah Allah, di sini Allah berlembut pula dengan mereka. Allah bagitahu bahwa dalam peraturan Allah ini, Allah tidak akan membinasakan hamba-hambaNya, sehinggalah Allah mengutuskan seorang utusan Allah ke ibu negeri mereka untuk menyeru dan memberitahu mereka tentang ayat-ayat Allah yang mengandungi kebenaran.  Ibu negeri itu adalah pusat yang menjadi tempat yang didiami oleh golongan cerdik pandai yang berpengalaman dan juga orang-orang awam, biasanya mereka itu tinggal di kota yang menjadi ibu negara tempat tumpuan seluruh rakyat.

Kemudian Allah terangkan lagi bahwa Allah tidak akan sekali-kali akan membinasakan penduduk sesuatu negeri kecuali mereka telah berbuat aniaya dengan melakukan perbuatan durjana. Sesebuah negeri tidak akan dibinasakan selagi masih ada orang yang beriman. Tetapi akan dibinasakan juga sekiranya di sana ada berlakuknya kezaliman dan kebanyakan orangnya melakukan dosa dan maksiat. Maka membinasakan negeri yang penduduknya berbuat kebajikan serta kebaikan adalah merupakan penganiayaan. Maha Suci Allah dari yang demikian sesuci-sucinya.









Al Qasas Ayat 60 Dan 61

وَمَا أُوتِيتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَمَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَزِينَتُهَا وَمَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَى أَفَلَا تَعْقِلُونَ
60 - Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya?

أَفَمَنْ وَعَدْنَاهُ وَعْدًا حَسَنًا فَهُوَ لَاقِيهِ كَمَنْ مَتَّعْنَاهُ مَتَاعَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ثُمَّ هُوَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنَ الْمُحْضَرِينَ
61 - (Jika sudah diketahui yang demikian) maka adakah orang yang Kami janjikan kepadanya janji yang baik (balasan Syurga) lalu ia mendapatnya, sama seperti orang yang kami kurniakan menikmati kesenangan hidup di dunia kemudian ia pada hari kiamat termasuk dalam golongan yang dibawa (untuk menerima azab neraka)?

Ayat ini merupakan jawapan seterusnya dari Allah kepada golongan yang ragu-ragu untuk beriman itu. Allah menekankan bahwa apa yang diberikan kepada mereka dari jenis harta kekayaan dan anak pinak tidak lain itu hanyalah merupakan kemewahan hidup yang mereka nikmati di dunia dan menjadi perhiasan. Ini kerana sesebuah rumahtangga itu menjadi indah oleh adanya harta kekayaan dan anak pinak yang hidup senang. Padahal semua itu tidak mendatangkan sesuatu apa pun dan tidak bererti sedikit pun bagi Allah.

tetapi apa yang ada di sisi Allah, iaitu pahala, syurga dan keredhaanNya di akhirat, itulah yang lebih baik dan lebih kekal dinikmati oleh hamba-hambaNya yang mengabdi dan taat kepadaNya kerana ia tidak akan fana atau berakhir. Lainlah halnya apa yang ada pada mereka, lambat laun akan habis juga dalam tempoh yang singkat.

Maka dengan itu Allah tanya mereka lagi, tidakkah mereka berakal untuk memikirkannya, sehingga mereka ketahui mana yang baik dan mana yang buruk, yang boleh mereka pilih antara keduanya dengan mengutamakan barang yang kekal dari yang lekas habis.

Maka di dalam ayat 61 Allah tanya lagi, apakah pahala di akhirat itu sama dengan kemewahan hidup di dunia? Orang-orang yang Allah janjikan syurga ini adalah orang yang taat kepada Allah, mengikut perintah Allah dan menjauhi larangan Allah. Maka mereka ini akan diberikan balasan pahala dan syurga. Di dalam syurga itu penuh dengan beraneka nikmat, dan dengan kesenangan yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, dan tidak telintas sedikit pun dalam hati manusia akan keadaan dan keindahannya, sehingga mereka ini berpuashati dan pasti akan mendapatkannya.

Maka adakah sama ahli-ahli syurga itu dengan orang yang diberikan kesenangan sementara saja di dunia ini kerana mereka melupakan amallan yang baik yang dijanjikan kepada orang yang mentaati Allah. Malahan mereka ini mengutamakan kelazatan yang sebentar dari kelazatan yang kekal, kemudian apabila mereka berada di akhirat menemui seksaan Allah dan dihadapkan kepadaNya untk menerima hukuman. Adakah mereka sama?

Jawabnya sudah tentulah tidak sama.

Ayat ini menerangkan kepada orang kafir yang hidup di dunia dalam kemewahan tetapi disediakan baginya neraka di akhirat. Sedangkan orang mukmin yang tabah menderita cubaan hidup di dunia, akan disediakan baginya syurga di akhirat.   







Al Qasas Ayat 62 Hingga 64

وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ فَيَقُولُ أَيْنَ شُرَكَائِيَ الَّذِينَ كُنْتُمْ تَزْعُمُونَ
62 - Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya:" Mana dia sekutu-sekutuKu, yang kamu anggap mereka (menjadi tuhan dan dapat memberikan pertolongan)?"

قَالَ الَّذِينَ حَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ رَبَّنَا هَؤُلَاءِ الَّذِينَ أَغْوَيْنَا أَغْوَيْنَاهُمْ كَمَا غَوَيْنَا تَبَرَّأْنَا إِلَيْكَ مَا كَانُوا إِيَّانَا يَعْبُدُونَ
63 - Mereka yang berhak menerima hukuman (azab neraka) berkata: "Wahai Tuhan kami, inilah mereka yang kami menyebabkan kesesatannya, kami menyebabkan mereka sesat (dengan pilihan mereka sendiri) sebagaimana kami telah sesat (dengan pilihan kami sendiri); (dengan ini) kami mengakui kepadaMu bahawa kami berlepas diri (dari kekufuran mereka). Bukanlah Kami yang mereka puja dan taati, (bahkan mereka hanya memuja dan mentaati hawa nafsu mereka sendiri)".

وَقِيلَ ادْعُوا شُرَكَاءَكُمْ فَدَعَوْهُمْ فَلَمْ يَسْتَجِيبُوا لَهُمْ وَرَأَوُا الْعَذَابَ لَوْ أَنَّهُمْ كَانُوا يَهْتَدُونَ
64 - Dan dikatakan (kepada mereka): Panggilah makhluk-makhluk dan benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah (untuk menolong kamu)". lalu mereka memanggilnya, tetapi makhluk-makhluk dan benda-benda itu tidak menyahut panggilan mereka; dan mereka tetap melihat azab (dengan merasa sesal) serta bercita-cita kalaulah mereka di dunia dahulu menurut petunjuk.
Pada hari kiamat nanti kelak mereka semua itu akan dipanggil, akan diseru oleh Allah, iaitu setelah mereka dihadirkan dengan paksa, kata setengah ahli tafsir mereka ini diseret , ditarik dari kakinya. Ini adalah kerana mereka ini hadir sebagai orang yang bersalah.

Pertanyaan Allah kepada mereka dengan menanyakan di manakah sekutu-sekutu yang mereka anggap dapat memberikan pertolongan kepada mereka itu? Sememangnya sekutu mereka itu tidak ada. Sekutu-sekutu mereka semasa di dunia dahulu adalah buatan mereka sendiri dan kemudian mereka sembah pula. Berhala kayu, patung batu, kubur-kubur dari tanah terlonggok, pohon yang besar yang dianggap keramat, binatang yang mereka sembah dan sebagainya lagi. Allah memerintahkan mereka untuk memanggil semua sembahan ini untuk membela mereka pada hari kiamat nanti. Panggilah semua untuk melepaskan mereka dari seksaan.

Para pemimpin yang menyesatkan dan ketua-ketua penyeru kekufuran, yang sudah terang-terang mendapat hukuman dengan dimasukkan ke dalam neraka akan menjawab bahwa sesungguhnya orang yang menjadi pak turut ini telah mereka sesatkan. Sebenarnya mereka itu dengan sukarela menjadi pengikut. Pak turut-pak turut ini dengan rela hati membenarkan diri mereka disesatkan. Para pemimpin ini hanya memujuk rayu, tetapi mereka pula yang setuju disesatkan.

Kemudian para pemimpin dan ketua-ketua ajaran sesat ini berlepas diri daripada pengikutnya semua. Mereka tidak mahu bertanggungjawab atas perbuatan pak turut-pak turut yang telah tersesat dan berkeadaan kufur serta melakukan maksiat. Mereka kata bahwa orang-orang yang sesat itu bukanlah menyembah pemimpin mereka, tetapi menyembah berhala. Bermakna para pemimpin yang menyesatkan dan orang-orang yang menjadi pak turut keapda mereka ini saling berlepas diri. Dan akhirnya bermusuhan antara satu sama lain.

Kemudian orang-orang yang menyekutukan Allah itu disuruh memanggil tuhan-tuhan mereka, supaya menolak seksaan yang akan ditimpakan ke atas mereka. Oleh kerana terlampau bingung melihat seksa yang dahsyat, lalu mereka memohonlah pertolongan kepada tuhan-tuhan mereka yang dahulunya mereka sembah di dunia. Tetapi tidak ada jawapan diberikan, dan seruan mereka tidak ada sahutan.

Tujuan Allah menyuruh demikian, adalah supaya tembelang mereka akan terbuka. Dan supaya mereka mendapat malu di hadapan khalayak ramai yang sedang menyaksikan, bahwa tidak ada gunanya memohon dan menyembah tuhan yang tidak daapt mendatangkan manafaat.

Maka pihak yang dipuja dan pihak yang dipuja atau penyembah berhala dan berhala yang disembah itu ketika melihat seksa di hadapan mata dan mereka pasti akan dihumbankan ke dalam neraka, semuanya menggigil ketakutan. Mereka berharap kalaulah dapat mereka ingin kembali ke dunia menjadi orang-orang mukmin yang mendapat petunjuk dan pimpinan. Tetapi apakan daya. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak ada guna lagi.






Al Qasas Ayat 65 Hingga 67

وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ فَيَقُولُ مَاذَا أَجَبْتُمُ الْمُرْسَلِينَ
65 - Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya: "Apa jawab kamu kepada Rasul-rasul yang diutus kepada kamu dahulu?

فَعَمِيَتْ عَلَيْهِمُ الْأَنْبَاءُ يَوْمَئِذٍ فَهُمْ لَا يَتَسَاءَلُونَ
66 - Maka gelaplah kepada mereka, pada hari itu, segala khabar berita dan peristiwa (yang telah lalu), serta menjadilah mereka tidak dapat hendak bertanya-tanyaan sesama sendiri.

فَأَمَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَعَسَى أَنْ يَكُونَ مِنَ الْمُفْلِحِينَ
67 - (Demikianlah akibat orang-orang derhaka), adapun orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka semoga akan menjadilah ia dari orang-orang yang berjaya.

Pada hari itu, bukan saja mereka ditanya mengapa mereka menyekutukan Allah dan dicela atas perbuatan mereka. Bahkan juga mereka akan ditanya, apakah jawapan mereka kepada para Rasul yang menyeru mereka mengesakan Allah dan supaya mereka tidak menyembah patung dan berhala?

Mereka tidak dapat menjawab kerana bingung, tidak nampak alsan yang hendak mereka kemukakan untuk mempertahankan diri. Hanya yang dapat mereka buat ialah mendiamkan diri dan membisu itulah sebagai jawapan. Sudahlah begitu, mereka tidak upaya untuk bertanya di antara satu sama lain, tidak dapat tegur menegur, kerana dahsyatnya suasana pada waktu itu dan sangat menggemparkan.

Sedangkan para nabi, pada saat genting itu pun kecut perut dan teragak-agak untuk memberi jawapan apabila disoal. Dan  mereka hanya menyerahkan urusan kepada pengetahuan Allah saja. Inikan pula orang-orang yang sesat dan kufur, tentu kita tidak dapat menggambarkan kesulitan yang mereka alami.

Tetapi Allah bagitahu lagi di dalam ayat 67, walau bagaimana besar pun kesalahan mereka perbuat, asalkan mereka masih di atas dunia ini, sekiranya mereka ingin bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, maka Allah bersedia mengampunkan dosa mereka. Mereka ini akan termasuk dalam golongan orang-orang yang beruntung dan berbahagia di akhirat. Kejahatan mereka akan diganti oleh Allah dengan kebaikan. Mereka akan mendapat kurnia, iaitu mereka akan memasuki syurga Jannatun Na'im, dan tinggal di dalamnya kekal untuk selama-lamanya







Al Qasas Ayat 68
وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَخْتَارُ مَا كَانَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ سُبْحَانَ اللَّهِ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ
Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya.

Allah mengingatkan kembali tentang kekuasaanNya yang Maha Pencipta. Allah adalah pemilik seluruh alam. Jadi Allah berkuasa untuk melakukan apa saja sekehendakNya. Makhluk tidak boleh dan tidak akan sanggup untuk mencampuri urusan Allah. Setinggi-tinggi kebolehan makhluk hanyalah berdosa, memohon kepada Allah, semoga Allah dengan nikmatNya yang tertinggi akan mengabulkan apa yang dipohonkan oleh makhlukNya.

Allah lah yang menjadikan segala sesuatu, mengetahui segala sesuatu lahir dan batin. Dari Allah semuanya berasal dan kepada Allah juga semuanya akan kembali. Bagi Allah segala pujian sekarang dan pujian akan datang. Manusia memang tidak ada kuasa, bahkan jin atau pun malaikat sekali pun tidak ada yang berkuasa, untuk menentukan sesuatu dan memilih sesuatu.

Bagi semua makhluk, tidak ada pilihan lain. Apa yang dipilih oleh Allah untuk kita, itulah yang kita terima. Segala langkah yang kita langkahkan, nasib yang kita temui, kian terasa, kian diinsafi, adalah menurut kemahuan Allah semuanya. Kita memang diberi akal dan disuruh berikhtiar, tetapi selalu terbukti bahwa kehendak Allah jua yang berlaku.

Oleh kerana segala sesuatu, sejak dari dulu hingga sekarang hinggalah ke masa akan datang, dari kecil sampai keapda yang sangat besar, semuanya adalah di bawah kekuasaan mutlak Allah, maka tidaklah layak untuk kita menyekutukan Allah dengan yang lain. Kerana ‘yang lain” itu tidak ada. Kerana yang lain selain dari Allah, adalah makhluk Allah belaka.








Al Qasas Ayat 69 Dan 70

وَرَبُّكَ يَعْلَمُ مَا تُكِنُّ صُدُورُهُمْ وَمَا يُعْلِنُونَ
69 - Dan Tuhanmu mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka zahirkan.

وَهُوَ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ لَهُ الْحَمْدُ فِي الْأُولَى وَالْآخِرَةِ وَلَهُ الْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
70 - Dan Dia lah Allah tiada Tuhan melainkan Dia. Segala puji tertentu bagiNya, di dunia dan di akhirat; dan hanyalah Dia yang berkuasa menghukum, serta kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.  

Allah menerangkan di sini bahwa pilihanNya adalah didasarkan atas pengetahuanNya. Bukan mengikut apa yang menjadi pilihan makhluk-makhlukNya. Ini kerana Allah Maha Mengetahui siapa yang layak dan berkebolehan untuk beriman samada imannya itu disembunyikan di dalam hati mahupun dilahirkan. Maka dipilihlah yang berkelayakan dengan diberi taufik dan kemudahan. Manakala golongan yang buruk ditolak dan ditinggalkan.

“Dan Dia lah Allah tiada Tuhan melainkan Dia..’
Dia lah tuhan yang disebut dengan panggilan Allah. Kerana hanya Allah merupakan Tuhan yang tunggal yang tidak terbanding keagungannya, dan Dialah yang mengetahui segala sesuatu dan yang berkuasa di atas segala sesuatu. Oleh kerana itu, Dia berhak dipuji, segala pujian terpulang kepada Allah. Dia dipuji di dunia dan dipuji di akhirat disebabkan memberi kurnia yang seluas-luasnya kepada seluruh makhlukNya samada kurniaan itu datangnya cepat mahupun lambat.

KepadaNya sajalah terserah segala hukuman untuk dilaksanakan oleh Nya, tidak ada sesiapa yang dapat menghalang dari dilaksanakan hukumannya. Kerana Dia lah sebenar-benar pengadil yang saksama, lemah lembut lagi bijaksana.

Dan kita sebagai makhluk Nya akan dikembalikan juga akhirnya pada hari kiamat nanti kepada Nya, untuk menerima pembalasan dari setiap amalan yang kita kerjakan. Jika amalan kita baik maka baiklah balasannya. Dan jika amalan kita buruk atau jahat, maka buruk dan jahat lah balsannya. Ini kerana semuanya telah jelas kelihatan di akhirat nanti dan tidak akan ada yang tersembunyi ataupun yang dapat disembunyikan.  Allahu akbar!







No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.