Monday, November 2, 2015

Surah Al Qasas Ayat 39 - 50






Al Qasas ayat 39 Dan 40

وَاسْتَكْبَرَ هُوَ وَجُنُودُهُ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ إِلَيْنَا لَا يُرْجَعُونَ
39 - “Dan berlaku sombong takburlah Firaun dan tenteranya di negeri itu dengan tiada alasan yang benar, dan mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami.”

فَأَخَذْنَاهُ وَجُنُودَهُ فَنَبَذْنَاهُمْ فِي الْيَمِّ فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الظَّالِمِينَ
40 - “Dengan sebab itu Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya serta Kami humbankan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim. “

Sifat firaun dan bala tenteranya memang sombong, angkuh dan takbur. Mereka merasa tidak ada kekuasan yang akan daapt menumbangkan kekuasaan mereka.  Mereka menganggap orang-orang yang ada di bumi Mesir selain dari mereka semuanya rendah dan hina belaka. Lantaran itu mereka bertindak sewenang-wenangnya dan dengan tidak ada hak, sehingga bermacam-macam kekejaman mereka lakukan tanpa batas.

Mereka berasa kuat dan kuasa kebenaran yang ada di bumi pun tidak dapat mengalahkan mereka. Ini bermakna yang mereka memang tahu bahwa kebenaran itu ada, tetapi mereka tidak mahu mengakui dan tunduk kepadanya. Hati mereka telah tertutup dari kebenaran itu.

Umpamanya mereka telah mengetahui akan kebenaran dan telah melihatnya, bahwa seseorang raja yang naik takhta itu telah menggantikan raja yang terdahulu, yang telah mati atau telah tua. Raja yang dahulu itu tidak dapat lagi meneruskan kuasanya apabila nafasnya telah putus. Bangkai tidak akan dapat meneruskan kuasa. Kemudian yang mati atau yang telah tua dan sakit tak boleh memerintah lagi itu akan digantikan dengan raja yang baru, yang tadinya tidak berkuasa apa-apa. Dan setelah berkuasa sekian lama, maka raja ini juga pasti akan tua dan mati bila sudah sampai tempohnya. Maka akan digantikan lagi dengan raja yang baru yang lain pula.

Seorang raja yang sedang berada di puncak kekuasaan, biasanya akan lupa akan kebenaran itu. Kebenaran bahwa dia juga akan tua dan mati dan akan digantikan dengan raja yang lain. Sebab lupa pada kebenaran inilah maka dia akan berbuat semahunya di muka bumi yang dikuasainya.

Para pembesar pun begitu lah juga. Telah menjadi kebiasaan dunia, di antara raja yang berkuasa dengan para pembesarnya, saling tolong menolong, saling sokong menyokong, angkat mengangkat. Kerana keteguhan kuasa seorang pembesar sangat bergantung kepada keteguhan kuasa raja yang dipujanya.  Bukankah apa yang diceritakan ini ada kesamaannya di dalam tampuk pemerintahan di negara kita sekarang?

Oleh sebab itu sama sajalah sombong dan takabur Firaun dengan bala tentera atau pembesar-pembesar yang berdiri di belakangnya. Mereka berangan-angan bahwa kekuasaan yang mereka miliki itu akan kekal menjadi milik mereka. Mereka tidak terlintas pun untuk memikirkan bahwa tiap yang bermula itu pasti akan ada penghujung. Tiap-tiap yang berada di tampuk yang paling tinggi, pasti akan jatuh juga. Kerana demikianlah hukum Allah yang telah digariskan oleh Yang Maha Pencipta.

Lalu Allah mengatakan di dalam ayat 40 bahwa kekuasaan mereka itu Allah cabut di ketika mereka memegangnya dengan kuat dan menyangka tidak akan terlepas dari tangan mereka lagi untuk selamanya. Allah telah menenggelamkan mereka ke dasar lautan di saat mereka mengejar Nabi Musa yang sedang menyeberang meninggalkan bumi Mesir. Sebagaimana yang kita ketahui Allah telah memerintahkan Nabi Musa supaya memukulkan tongkatnya. Dan dengan serta merta lautan telah terbelah dua. Dan Allah memerintahkan Nabi Musa dan pengikutnya menyeberang lautan itu di tengah laut yang terbelah. Sedang Firaun dan bala tenteranya mengejar dari belakang.

Sampai saja Nabi Musa dan pengikutnya di seberang, dan di ketika itu firaun dan bala tenteranya masih lagi berada di tengah lautan mengejar Nabi Musa, tiba-tiba di saat itu juga lautan yang terbelah tadi telah bertaut kembali. Maka tenggelamlah semuanya firaun bersama bala tenteranya yang sombong dan angkuh itu. “...maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim.”







Al Qasas Ayat 41

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يُنْصَرُونَ
Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan.

Dijelaskan di dalam ayat 41 bahwa pemimpin yang memilih jalan selain dari jalan kebenaran, menyombongkan diri dan berbuat aniaya itu adalah pemimpin yang membawa rakyatnya ke neraka bukan ke syurga. Firaun bersama kaumnya itu adalah sebagai contoh pemerintah yang memerintah secara zalim dan aniaya. Mereka itu dijadikan Allah sebagai pemimpin yang akan diikuti oleh orang-orang yang memang sukakan kejahatan dan kufur kepada Allah.

Maka pemimpin-pemimpin tersebut adalah golongan yang suka menganjurkan perbuatan maksiat dan menggalakkan perkara yang salah dan dosa di sisi agama sehingga orang ramai menjadi derhaka kepada Allah yang akibatnya mereka akan dimasukkan ke dalam neraka disebabkan kesalahan mereka.

Firaun dan kaumnya tidak cukup dengan mereka sendiri saja yang menjadi orang-orang yang sesat dan kufur kepada Allah dan RasulNya, tetapi sebaliknya mereka berusaha pula untuk menyesatkan orang lain dengan menggalakkan mereka supaya melakukan maksiat terhadap Allah. Dengan demikian mereka telah melakukan dua jenis dosa. Dan kerana dua jenis dosa ini, mereka akan diberikan dua jenis seksaan iaitu seksaan sebagai hukuman ke atas pekerti mereka yang sesat dan balasan disebabkan mereka menyesatkan orang lain.

Di hari kiamat nanti tidak akan ada pembela yang akan menolong melepaskan mereka dari seksaan neraka. Kerana sudah memang selayaknya mereka menerima hukuman itu. Di kala mereka masih lagi memegang tampuk kekuasaan, mereka tidak akan merasa bahwa mereka akan memerlukan orang lain untuk menolong mereka. Kerana kekuasaan itu telah mewajibkan orang di bawah kuasa mereka untuk menolong dan berkhidmat kepada mereka.

Seorang menteri misalnya, ia memerlukan ramai pegawai penolong dan pentadbir. Kalau tidak ada penolong untuk melaksana tugas mereka, nescaya perintah yang dikeluarkan tidak akan berjalan lancar. Bahkan ada pula yang menawarkan pertolongan dengan sukarela untuk menolong menteri melaksanakan tugas dengan hati terbuka. 

Begitulah pengaruh menteri ke atas orang-orang bawahannya. Tetapi apabila seseorang itu telah berhenti menjadi menteri, walau bagaimana cara pun dia memerintahkan agar seseorang itu menolongnya, tetapi orang-orang yang tadinya menjadi penolong dan orang bawahannya tentu tidak akan mempedulikan lagi apa yang diperintahkannya. Malah ada pula yang mencaci dan memandang rendah kepada bekas menteri tersebut.  

Begitulah juga firaun dan haman ini nantinya di akhirat. Tidak akan ada seorang pun yang akan menolong mereka. Malah mereka akan dicaci pula oleh malaikat kerana engkar dan menentang perintah Allah dan Rasul.

Kalau seseorang telah dihadapkan ke hadapan mahkamah Ilahi,kerana dituduh bersalah selama dia hidup, atau selama dia bekuasa, dia adalah orang yang zalim lagi aniaya kepada sesama makhluk, maka di saat ini amat perlulah untuk dia mendapat pertolongan dan pembelaan dari orang lain. Tapi di saat ini tidak ada seorang pun yang akan dapat menolongnya. tidak ada lagi pegawai atau penolong pentadbir yang akan melaksanakan perintahnya seperti dahulu. 

Dan dia juga tidak mempunyai kekayaan lagi untuk memberi upah kepada seseorang pembela yang akan membelanya di depan mahkamah Allah nanti. Ini kerana di ketika itu tidak ada lagi seorang yang berkuasa, seorang Tuan Besar, seorang menteri, seorang raja, tidak ada semuanya. Yang ada hanyalah seorang hamba Allah yang kecil lagi hina dina. Yang akan menolong dia hanyalah satu, iaitu bekalan amal soleh yang dikerjakannya sewaktu hidup di dunia. Itu pun kalau ada.









Al Qasas Ayat 42 Dan 43

وَأَتْبَعْنَاهُمْ فِي هَذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ هُمْ مِنَ الْمَقْبُوحِينَ
42 - Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ مِنْ بَعْدِ مَا أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ الْأُولَى بَصَائِرَ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
43 - Dan demi sesungguhnya, Kami berikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat sesudah Kami binasakan kaum-kaum yang telah lalu, untuk membuka hati dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat, semoga mereka beringat.

Firaun dan kaumnya akan menerima keburukan di kedua-dua alam, iaitu di dunia dan juga di akhirat. Di dunia mereka mendapat kehinaan dengan dibinasakan,selanjutnya disusuli dengan laknat, iaitu terhalau dari rahmat Allah. Dan di akhirat pula mereka akan terus menerus menerima layanan buruk dengan tidak ada belas kasihan.

Seakan tergambarlah di depan mata kita, perbandingan di antara seorang yang dianggap gagah perkasa, berpakaian bertatahkan zamrud, bermahkota dihiasi zabarjad dan berlian, dikelilingi oleh para pembesar yang duduk dengan segala hormat terhadap dirinya. Dan di hari kiamat pula ia menjadi orang yang hina dina, lebh hina dari orang fakir yang kehilangan tanah dan rumahtangga kerana dirampas oleh raja sewaktu hidupnya. Mereka ini disuruh berkumpul dengan serba kehinaan dan kesepian, tidak ada yang datang menolong, menunggu perkara masing-masing akan dibuka dan dihakimi.

Demikianlah akibat yang dideritai oleh firaun dan semua pemimpin dunia yang bersikap seperti firaun. Maka ambillah iktibar.

Begitulah berakhirnya nasib firaun dan para pembesar serta bala tenteranya, baik laknat yang akan mereka terima di dunia atau seksaan yang akan mereka terima di akhirat kelak dan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang buruk.

Sementara itu kesudahan Nabi Musa yang menegakkan kebenaran itu pula, segala usaha jerih perit beliau dlaam menegakkan syiar Islam telah diubati Allah. Allah telah melepaskan Nabi Musa dari bahaya dan kehinaan. Dan Allah telah menurunkan al kitab kepada beliau, iaitu segala peraturan yang ditetapkan oleh Allah.

Jadi dapatlah kita fahami di sini, dan berkali-kali sudah diberitahu di dalam Al Quran sendiri, bahwa segala cita-cita yang mulia, usaha yang murni ke arah menegakkan agama Allah dan menyebarkan syariat Allah, walaupun dilanda rintangan yang hebat dan tentangan yang berat, tapi akhir sekali pasti Allah akan berikan kemenangan juga. Asal saja kita bersabar.    

Maka kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa itu adalah sebagai peringatan mengenai umat-umat terdahulu untuk dijadikan contoh dan tauladan. Ianya juga sebagai petunjuk kepada para pengikut beliau dan kepada seluruh manusia di ketika itu, iaitu petunjuk di dalam menempuh hidup selanjutnya agar tercapai apa yang diredhai Allah. Kerana apabila isi kitab itu diamalkan, pastinya manusia akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat, mendapat limpah kurnia kasih dan sayang dari Allah.

Mudah-mudahan mereka akan selalu ingat bagaimana kekuasaan Allah yang memang mudah saja bagiNya untuk memutar balikkan keadaan, menurunkan di atas dan menaikkan apa yang dibawah, juga memuliakan yang hina, dan menghinakan yang mulia. Amat mudah bagi Allah.









Al Qasas Ayat 44 Hingga 46

وَمَا كُنْتَ بِجَانِبِ الْغَرْبِيِّ إِذْ قَضَيْنَا إِلَى مُوسَى الْأَمْرَ وَمَا كُنْتَ مِنَ الشَّاهِدِينَ
44 - Dan engkau (wahai Muhammad) tidak ada di sebelah barat (tempat Nabi Musa menerima wahyu) ketika Kami sempurnakan penyerahan Kitab Taurat kepadanya, dan engkau juga tidak termasuk dalam golongan yang menyaksikan peristiwa itu.

وَلَكِنَّا أَنْشَأْنَا قُرُونًا فَتَطَاوَلَ عَلَيْهِمُ الْعُمُرُ وَمَا كُنْتَ ثَاوِيًا فِي أَهْلِ مَدْيَنَ تَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِنَا وَلَكِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ
45 - Akan tetapi (engkau hanya mengetahui kisah itu dengan jalan Kami memberi wahyu kenabian kepadamu disebabkan) Kami telah mengadakan beberapa umat (dari zaman Nabi Musa hingga ke zamanmu) sampai berlanjutanlah masa yang mereka lalui (serta kucar-kacirlah agama yang mereka anuti). Dan engkau pula tidak pernah tinggal bersama-sama penduduk negeri Madyan membaca dan mempelajari dari mereka ayat-ayat keterangan Kami (tentang hal Nabi Musa di sana), tetapi Kamilah yang mengutusmu (menjadi Rasul dan memberi wahyu kepadamu mengenai hal itu).

وَمَا كُنْتَ بِجَانِبِ الطُّورِ إِذْ نَادَيْنَا وَلَكِنْ رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَا أَتَاهُمْ مِنْ نَذِيرٍ مِنْ قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
46 - Dan engkau juga tidak berada dekat Gunung Tursina ketika Kami menyeru (Nabi Musa dan memberi wahyu kepadanya dahulu), tetapi (diturunkan) rahmat (Al-Quran) dari Tuhanmu (menerangkan Kisah itu) supaya engkau memberi amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang Rasul pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran (serta insaf mematuhinya).

Pada rangkaian ayat ini iaitu dari ayat 44 hingga 47, Allah hendak mengingatkan tentang bukti kenabian Nabi Muhammad. Di mana Allah mengkhabarkan kepada baginda nabi tentang kejadian-kejadian ghaib yang berlaku pada masa lalu, seolah-olah baginda menyaksikan secara langsung peristiwa-peristiwa tersebut. Padahal baginda hanyalah seorang lelaki yang tidak memilikii kemampuan untuk membaca buku-buku orang terdahulu. Baginda juga hidup di tengah-tengah masyarakat yang tidak memiliki pengetahuan tentang itu.

Begitulah juga ketika mana baginda nabi dikhabarkan tentang perihal kisah Maryam di dalam surah Ali Imran ayat 44. Baginda juga tidak hadir untuk menyaksikan kejadian semua peristiwa-peristiwa itu berlaku. Namun Allah lah yang telah mewahyukan kepada baginda sehingga dengan fasihnya baginda nabi dapat menceritakannya semula kisah Maryam itu kepada pengikut-pengikut baginda.

Dan demikian juga di ketika baginda nabi dikhabarkan tentang Nabi Nuh dan kaumnya, tentang anugerah keselamatan yang diberikan Allah kepada Nabi Nuh serta azab yang menimpa kaumnya, semua itu dituturkan seolah-olah baginda nabi sendiri telah menyaksikan segalanya secara langsung kejadian tersebut.

Yang sebenar dan sebetulnya, Nabi Muhammad tidak pun berada di sebelah barat bukit di mana Allah telah mengadakan perbicaraan dengan Nabi Musa. Yang lebih tepatnya ialah di sebuah pohon yang terletak di sebelah timur di tepi lembah. Dan yang sebenarnya baginda nabi tidak langsung menyaksikan sendiri kejadian peristiwa tersebut. 

Tetapi Allah lah yang menyampaikan itu semua kepada baginda nabi agar ianya dapat dijadikan dalil yang kuat dan bukti yang tidak dapat dibantahkan lagi bagi umat-umat yang telah lalu dalam kurun waktu yang panjang. Mereka ini telah melupakan dalil-dalil dan bukti-bukti yang tidak dapat dibantahkan tadi, dan mereka juga ada yang telah meninggalkan wahyu yang Allah sampaikan kepada para Nabi terdahulu.

Baginda Nabi Muhammad saw juga tidak menetap bersama para penduduk Madyan di saat baginda menceritakan akan kisah-kisah nabi mereka iaitu Nabi Syu’aib. Tetapi Allah mengatakan bahwa Allah telah menurunkan wahyu kepada baginda nabi tentang kisah-kisah tersebut. Dan Allah mengutuskan baginda nabi sebagai rasul kepada semua umat manusia.

Dan engkau juga tidak berada dekat Gunung Tursina ketika Kami menyeru…”
Allah berkata bahwa baginda juga tidak berada dekat di gunung Tursina pada malam ketika Nabi Musa bermunajat dan diajak bercakap dengan Allah. Tetapi baginda nabi telah diutus Allah dengan diturunkan Al Quran, untuk menjadi rahmat dari Allah, dan supaya baginda nabi dapat memberikan peringatan tentang betapa kerasnya seksaan Allah yang akan ditimpakan ke atas orang-orang yang menyekutukan Allah dan yang menyembah berhala.

Mudah-mudahan dengan adanya peringatan-peringatan ini mereka akan menjadi orang-orang yang mahu beringat tdak mengulangi lagi kesalahan-kesalahan mereka, lalu kembali kepada kebenaran dengan mengikrarkan bahwa tidak ada Tuhan hanyalah Allah yang Maha Esa saja. Dan tidak akan menyembah yang lain selain dari Allah semata-mata.










Al Qasas Ayat 47 Hingga 48

وَلَوْلَا أَنْ تُصِيبَهُمْ مُصِيبَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ فَيَقُولُوا رَبَّنَا لَوْلَا أَرْسَلْتَ إِلَيْنَا رَسُولًا فَنَتَّبِعَ آيَاتِكَ وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
47 - Dan kalau tidaklah orang-orang musyrik itu akan berkata - semasa mereka ditimpa bala bencana disebabkan perbuatan kufur dan maksiat yang mereka lakukan: "Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada Kami seorang Rasul supaya kami menurut ayat-ayat keteranganMu (yang dibawanya), dan supaya kami menjadi dari orang-orang yang beriman, " (tentulah engkau wahai Muhammad tidak diutuskan kepada mereka, bahkan Kami terus menyeksa mereka).

فَلَمَّا جَاءَهُمُ الْحَقُّ مِنْ عِنْدِنَا قَالُوا لَوْلَا أُوتِيَ مِثْلَ مَا أُوتِيَ مُوسَى أَوَلَمْ يَكْفُرُوا بِمَا أُوتِيَ مُوسَى مِنْ قَبْلُ قَالُوا سِحْرَانِ تَظَاهَرَا وَقَالُوا إِنَّا بِكُلٍّ كَافِرُونَ
48 - Maka ketika datang kepada mereka kebenaran (Al-Quran) dari sisi Kami, mereka berkata pula: "Hendaknya (Muhammad) diberi (Kitab agama yang diturunkan dengan sekaligus) sebagaimana Kitab Taurat yang diberikan kepada Musa". Bukankah mereka dahulu telah kufur ingkar akan apa yang diberikan kepada Nabi Musa? Mereka berkata lagi: "Kedua-duanya (Al-Quran dan Taurat) itu ialah sihir yang saling membantu (yang satu menyokong yang lain). "Dan mereka berkata pula: "Sesungguhnya kami kufur ingkar terhadap Kitab-kitab itu semuanya!"

Di sini Allah menyebutkan tentang hikmah terutusnya nabi Muhammad saw sebagai rasul kepada seluruh umat manusia untuk menolak alasan orang yang mendakwakan bahwa tidak ada orang yang memberikan peringatan apabila mereka ditimpa seksaan.

Orang-orang kafir yang mengingkari wujudnya Allah begitu juga mereka yang menderhaka disebabkan membuat dosa yang dilakukan oleh tangan mereka sendiri, ketika mereka ditimpakan malapetaka sebagai seksaan kerana kekufuran mereka, tentulah mereka akan menempelak dan pasti mereka akan membantah sekiranya Allah tidak mengutuskan peringatan terlebih dahulu.

Sebenarnya Allah tidak sekali-kali akan menimpakan seksaanNya ke atas orang yang syirik dan yang derhaka kepadaNya, kecuali lah sesudah diutus telebih dahulu rasul untuk memberikan peringatan. Ini kerana ia telah menjadi peraturan Allah seperti yang telah dinyatkan di dalam ayat 165 surah An Nisa yang bermaksud:
“supaya tidak ada bagi manusia untuk membantah Allah sesudah diutusNya Rasul-rasul kepada mereka.”

Tetapi apabila nabi Muhammad saw telah diutus kepada kaumnya dengan membawa syariat dari Allah, orang-orang yang degil dan engkar ini akan bertanya pula kenapakah nabi Muhammad tidak diberikan kelebihan sepertimana Nabi Musa yang pada tongkatnya dapat ditukar menjadi ular dan tangannya yang bercahaya putih bersinar?

Allah menempelak mereka dengan mengatakan, kalaupun baginda nabi diberikan mukjizat yang sama dengan Nabi Musa atau tidak, bukankah mereka akan tetap engkar juga? Kerana pada zaman Nabi Musa dahulu firaun dan kaumnya sudah pun mengengkari mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa sebelum diutusnya Nabi Muhammad. Maka kini pula, sudah tentu mereka juga akan menjadi pak turut, akan mengikut-ikut perjalanan kaum yang mengengkari keterangan Allah dan mukjizat nabi Musa.
Kedua kaum yang engkar ini, iaitu yang hidup di zaman Nabi Musa dan yang hidup di zaman baginda Nabi Muhammad saw mempunyai persamaan di dalam kekufuran,kerana mereka serupa saja dan sama caranya dalam membuat tuduhan.

Kaum yang kufur itu mengatakan bahwa Nabi Musa dan juga Nabi Muhammad kedua-duanya adalah ahli sihir yang telah berpakat untuk menyesatkan orang ramai dan mengelirukan orang awam. Keduanya bukanlah utusan Allah, yang membawa petunjuk untuk memimpin manusia. Mereka juga menyangkal dan tidak percaya sama sekali dengan apa yang dibawa dan diserukan oleh kedua-dua nabi ini.  









Al Qasas Ayat 49 Dan 50

قُلْ فَأْتُوا بِكِتَابٍ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ هُوَ أَهْدَى مِنْهُمَا أَتَّبِعْهُ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
49 - Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau demikianlah sikap kamu maka bawalah sebuah Kitab dari sisi Allah yang dapat memberi panduan lebih daripada keduanya, supaya aku menurutnya. (Bawalah dia) jika betul kamu orang-orang yang benar ".

فَإِنْ لَمْ يَسْتَجِيبُوا لَكَ فَاعْلَمْ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهْوَاءَهُمْ وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ اتَّبَعَ هَوَاهُ بِغَيْرِ هُدًى مِنَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
50 - Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya). 

Allah mencabar dan menyuruh nabi memberitahu kepada kaum yang kufur ini supaya mereka bawakanlah sebuah kitab yang lebih baik daripada kitab taurat dan juga yang lebih baik dari kitab Al Quran. Kitab yang mengandungi petunjuk kepada manusia dengan lebih lengkap dan lebih sempurna dariapda yang terkandung di dalam kedua-dua kitab tersebut.

Bawakanlah kitab yang seperti itu kalau mereka dapat mengadakannya. Maka kalau ada baginda nabi akan sedia ikut dan memakai kitab tersebut tanpa mengikut keduanya lagi kalau betul mereka orang-orang yang benar dan daapt mengadakannya.

Tetapi awas! sekiranya mereka gagal untuk membawakan kitab yang lebih baik dan lebih sempurna dari kedua buah kitab Allah iaitu taurat dan Al Quran, maka ketahuilah bahwasanya orang yang kufur itu tidak alin hanyalah menjadi hamba kepada hawa nafsu mereka dan mengikuti kemahuan syaitan yang tidak mengenal keterangan-keterangan yang jelas dan bukti-bukti yang benar.

Tahukah mereka apakah kesudahan bagi orangyang mengikuti kemahuan hawa nafsu mereka? Tidak lain mereka itu ialah orang-orang yang paling sesat.

Adakah siapa-siapa lagi yang lebih sesat daripada orang yang mengikut hawa nafsunya tanpa mengikuti petunjuk daripada Allah dan dari wahyu yang diturunkan kepada rasulNya? jawabnya, tidak ada yang lebih sesat daripada mereka. Dan ini menunjukkan betapa buruk dan kejinya perangai mereka.

Memang sudah menjadi peraturan Allah pada makhlukNya, iaitu Allah menetapkan bahwa Dia tidak akan memberi pimpinan kepada orang yang zalim dan tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang aniaya.

Tegasnya Allah tidak akan memberi kemudahan kepada seseorang yang menerima perkara yang hak lagi benar dan mengikuti jalan orang-orang yang bijak, selagi orang itu menyalahi perintah Allah. Iaitu tidak taat kepadaNya. Maksudnya bahwa akhir kesudahan bagi orang yang mempertahankan kesalahan mereka itu, dengan menuruti hawa nafsu mereka, pastilah tidak akan selamat. Mereka pasti gagal atau hancur ataupun kalah. Jalan mereka ada jalan yang menuju kebuntuan.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.