Monday, November 2, 2015

Surah Al Qasas Ayat 1 - 12






Pengenalan Surah Al Qasas

Surah ini mengandungi 88 ayat dan ia diturunkan selepas turunnya surah An Naml. Semua ayat-ayat dari surah ini diturunkan di Mekah. Kalimah Al Qasas diambil dari sebutan di dalam ayat ke 25 dalam surah ini yang bermakna beberapa kisah, kerana surah ini mengandungi cerita-cerita tentang umat yang terdahulu khasnya kisah Nabi Musa a.s. dimuatkan dalam sebahagian surah ini yang diceritakan Allah dengan panjang lebar dari mula hingga akhir. Begitu juga dengan kisah Qarun, dan kaum Quraisy sendiri pada zaman Nabi saw.

Di dalam surah ini banyak membicarakan tentang kisah kegilaan yang ada dunia. Iaitu gila kuasa dan gila harta. Contoh yang Allah beri untuk gila kuasa adalah Firaun sementera contoh terbaik Allah beri untuk gila harta adalah Qarun. Namun kedua-dua manusia ini menerima nasib yang sama pada pengakhiran hidup mereka.

Firaun bila sudah dirasuk kegilaan kuasa, ia merasa takbur dan tidak mempedulikan lagi nilai-nilai kedudukan di sisi Allah Yang Maha Berkuasa. Dia telah merasa bahawa dirinya lah tuhan pula. Dek kerana kekuasaan yang besar itu dia merasa bahwa tidak ada manusia yang akan dapat menetangnya lagi.

Demikian juga Qarun, setelah mengumpulkan kekayaan yang melimpah ruah, dia merasa bahwa dia telah sampai ke puncak. Tidak ada lagi orang yang akan dapat mengatasi. Sehingga ia merasa yang ia boleh berbuat sekehendak hatinya. Tanpa bantahan dari orang lain.

Namun akhirnya kesudahan dari kedua-dua tokoh kegilaan ini sama saja. Mereka jatuh dengan tidak disangka-sangka. Sama-sama karam tenggelam tidak dapat ditolong lagi.

Allah juga memberikan peringatan kepada kaum Quraisy di Mekah. Bahwa nikmat perlindungan yang diberikan kepada mereka menetap di Mekah, Tanah suci, Tanah yang dipelihara oleh Allah, dijamin keamanan oleh Allah sejak zaman nabi Ibrahim lagi tidak akan dapat mereka rasakan sekiranya di jiwa mereka sendiri tidak ditanamkan keamanan Iman terlebih dahulu. Walau bagiamana aman pun kota Mekah pada masa itu, mereka tetap akan merasakan adanya kekacauan jiwa, kerana mereka masih tidak menyahut seruan keimanan yang sebenar. Dan mereka masih menjauhkan diri dari Allah yang Maha Esa.

Jom sisters,
Mari kita tadabbur surah yang penuh dengan cerita menarik untuk dijadikan pengajaran bagi kita ini.











Al Qasas Ayat 1

طسم
Taa, Siin, Miim.

Surah ini dibukakan dengan 3 huruf potong iaitu huruf hija’ iaitu dengan membacakannya sebagai  ط , س , م .  Hanya Allah saja yang mengetahui akan maksudnya. Tetapi yang sudah jelas, adalah dimaksudkan sebagai pemakluman kepada si pembaca surah ini, akan apa yang terkandung di dalamnya hendaklah diperhatikan betul-betul.







Al Qasas Ayat 2

تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْمُبِينِ
 Inilah ayat-ayat Kitab - Al-Quran - yang memberi penjelasan.

Surah  yang dibaca ini ialah ayat-ayat dari Al Kitab iaitu kumpulan dari  88 ayat yang tersusun menjadi satu surah yang bergabung di dalam Al Kitab iaitu Al Quran. Yang nyata, yang jelas dan tidak sukar untuk dibaca, tidak sukar untuk difahami.Barang siapa yang membacanya dan mendengarkannya, baik dari bangsa Arab sendiri sebagai penyambutnya yang pertama, ataupun bukan dari bangsa Arab seperti kita pada hari ini yang sedang mentadabur surah ini, maka akan terasalah bahwa ayat-ayat ini terang, jelas dan nyata. Tidak sukar untuk difahami oleh kita.









Al Qasas Ayat 3

نَتْلُوا عَلَيْكَ مِنْ نَبَإِ مُوسَى وَفِرْعَوْنَ بِالْحَقِّ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari kisah Nabi Musa dan Firaun dengan keterangan yang benar bagi orang-orang yang beriman.

Allah menyebutkan bahwa ayat-ayat ini menjadi dalil atau bukti, bahwa semua yang diceritakan dan dibawakn oleh Nabi Muhammad ini adalah benar-benar wahyu dari Allah. Ia bukannya rekaan manusia semata-mata. Wahyu ini disampaikan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat jibril. Ianya  menceritakan tentang berita atau cerita Nabi Musa yang telah berhujah dengan raja Mesir iaitu Firaun, sehingga raja itu dapat dikalahkannya dengan hujah-hujah yang kuat di samping menunjukkan kepada mereka mukjizat-mukjizat yang dikurniakan Allah kepada beliau.

Sewaktu ayat-ayat ini diturunkan, para pengikut Nabi Muhammad pada masa itu masih lagi kaum terpencil dan sangat dimusuhi oleh penduduk Mekah yang masih bertahan pada agama jahiliyah menyembah berhala. Kaum musyrikin Mekah tidak mahu percaya kepada ajaran yang dibawa oleh baginda nabi.

Dengan mendengarkan kisah Nabi Musa ini maka pengikut Nabi Muhammad nanti akan turut insaf, bahwa jika mereka sekarang menghadapi kesukaran kerana rintangan dari kaum musyrikin, namun Nabi Musa dan kaumnya pun juga tak kurang mendapat kesukaran dari Firaun yang kejam.









Al Qasas Ayat 4

إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِي الْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَائِفَةً مِنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَاءَهُمْ وَيَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ إِنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ
 Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.

Lalu Allah menceritakan sifat-sifat pemerintahan kejam yang dijalankan oleh Firaun ke atas penduduk Mesir terutamanya kaum Bani Israel. Firaun ini adalah seorang yang sombong meninggikan diri, kerana ia merasa bahwa tidak ada lagi sesuatu kekuasaan pun yang dapat mengatasi kekuasaannya. Dialah raja yang paling besar, paling agung dan paling tinggi.

Maka oleh kerana pembesar-pembesar semua mengangkat dan menjunjung tinggi, menyembah dan memuja dirinya, sampaikan dianggapnya Firaun itu sebagai tuhan, maka Firaun pun merasalah dirinya memang tuhan yang maha kuasa. Maka berbuatlah ia sesuka hatinya, tidak ada yang boleh membantah. Sesiapa yang menentang dan membantah arahannya akan dianggap sebagai penderhaka dan hukuman yang disediakan untuk penderhaka adalah maut.

Firaun memerintah negeri takluknya dengan cara memecah belahkan rakyat-rakyatnya menjadi berpuak-puak. Dibangkitkan semangat permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain, agar mereka menjadi tidak sepakat, dan tidak bersatu. Maka dengan demikian, mudahlah baginya untuk memerintah sehingga tidak ada sebarang tentangan untuk menguasai rakyatnya. Rakyat pula tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersatu dan tidak dapat mencapai kata sepakat sesama mereka. Lalu tindakan yang mereka ambil hanyalah menyerah kalah saja.

Inilah taktik dan siasat halus yang dimainkan oleh sebuah kuasa besar yang ingin menakluk sesebuah negara. Taktik ini diguna pakai sehingga ke hari ini. Dengan senang mereka dapat menguasi tampuk kerajaan sesebuah negera tanpa menerima apa-apa halangan. Apalagi jika di ketika itu rakyat diselubungi oleh suasana gelap, iaitu kemiskinan, dan kejahilan kerana tidak berilmu.

Maka dengan senang rakyat mesir ditindas oleh Firaun, terutama dari golongan kaum Bani Israel. Mereka ini dijadikan hamba abdi, buruh kasar dan kerja paksa. Siapa yang enggan menurut perintah akan menerima padah.

Puncak penindasan yang kejam ialah bila Firaun mengarahkan askar-askarnya supaya membunuh semua bayi-bayi lelaki kaum Bani Israel yang masih bayi. Dilantiknya pegawai-pegawai yang ditugaskan menjadi mata-mata gelpa yang menyamar dan merisik mana-mana perempuan yang melahirkan bayi lelaki, segera bayi itu dirampas dan dibunuh. Tetapi jika bayi itu bayi perempuan, dibiarkan saja hidup bersama ibunya. Ini bererti isteri dan anak-anak perempuan kaum Bani Israel saja yang dibiarkan hidup, sedangkan zuriat lelaki yang akan menyambung keturunan akan dihapuskan. Dengan berbuat begini maka umat Bani Israel akan pupus.

Apakah sebabnya Firaun bertindak sekejam itu? Kerana dia takut kepada kelahiran anak-anak lelaki yang bakal menjadi keahlian di pelbagai bidang perindustrian sedang ditangan mereka pula terletak teraju kewangan. Apabila hal ini berlaku, lama kelamaan mereka tentu dapat menguasai pusat-pusat perkhidmatan awam, dan dapat mengalahkan penduduk Mesir sendiri lalu menguasai iktisad dan ekonomi negeri maka besarlah bahayanya melebihi dari kuasa penjajahan. Dan inilah yang sangat ditakuti oleh Firaun, lantaran itu bayi-bayi lelaki saja yang dibunuhnya. Tidak bayi perempuan.

Di akhir ayat ke 4 ini Allah mengatakan bahwa “...Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.” Dicatat di dalam Al Quran bahawa Firaun adalah seorang yang membuat kerosakan. Itulah keputusan yang diberikan Allah tentang cara pemerintahan Firaun. Jadi sekiranya kita melalui sebuah pemerintahan yang seperti ini pada zaman ini, maka tahulah kita si pemerintah ini adalah dicela Allah di dalam AlQuran sebagai pembuat kerosakan kerana tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyatnya. Allah tidak menyukai sikap yang merosak seperti ini dan suatu hari nanti akan datanglah hari di mana Allah akan menunjukkan kekuasaannya.


 






Al Qasas Ayat 5 Dan 6


وَنُرِيدُ أَنْ نَمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ
5 - Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).

وَنُمَكِّنَ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَنُرِيَ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا مِنْهُمْ مَا كَانُوا يَحْذَرُونَ
6 - Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.

Setelah sekian lama lama teraniaya dan ditindas, kini mereka telah diselamatkan oleh Nabi Musa. Setelah sekian lama menjadi hamba sahaya yang hina dina, kini mereka telah dianugerahkan kemerdekaan.  Sesudah sekian lama mengikut telunjuk pemimpin yang kejam lagi tidak berperikemanusiaan, kini Allah menganugerahkan kepada mereka sifat kepimpinan pula. Mereka dijadikan pemimpin-pemimpin yang disegani dan diikuti ramai. Sehingga mereka dapat membentuk sebuah kerajaan yang lebih besar dari Mesir.

Allah juga telah menjadikan kaum Bani Israel itu para pemimpin yang dapat diikuti dan ditauladani kepimpinan dan budi pekertinya. Baik dari segi perkara yang bersangkutan keduniaan mahupun akhirat. Mereka dianugerahkan menjadi umat yang mewarisi tanah Syam untuk mereka miliki dan memerintah, sehingga tidak ada sesiapa yang dapat mengalahkannya. Hal ini disebut sendiri oleh Allah di dalam surah Al A’raf di dalam ayat 137 yang bermaksud:
“Dan kami pusakakan kepada kaum yang tertindas itu bumi yang di timur dan di baratnya. (negeri Syam dan Mesir)”

Allah juga mentakdirkan kaum Bani Israel itu mempunyai kedudukan yang kukuh di bumi Mesir. Iaitu memerintah Mesir dengan beberapa orang lagi Nabi yang diutus sesudah Nabi Musa. Maka hal yang seperti ini aalah sebagai pembalasan yang adil kepada orang-orang yang ditindas dengan zalimnya, begitu pula sebagai hukuman kepada orang-orang yang zalim dan membuat aniaya serta menyombongkan diri.

Allah menunjukkan kuasaNya kepada Firaun dan menterinya Haman, serta bala tenteranya yang memegahkan kekuatan, kekuasaan dan kebenaran itu bahwa rupa-rupanya semua yang mereka miliki kekuasaan dan kekuatan, habis semua binasa di tangan kaum Bani Israel.

Sebenarnya pada awal lagi musuh kaum Bani Israel itu memang sudah dapat merasa bahwa mereka akan kehilangan pemerintahan dan kekuasaan mereka. Dan mereka telah menjangka akan kelahiran seorang bayi yang bakal menduduki takhta kerajaan mereka. Inilah ancaman sejak dahulu yang amat menakutkan mereka. Walaupun mereka telah berusaha dengan berbagai cara, bersiap-siap dan berjaga-jaga dari bahaya ini, namun takdir Ilahi bila sudah ditetapkan, tak dapatlah mereka hendak mengelak lagi.

Begitulah sifat pemerintahan yang berkuasa dan pemerintahan yang dikuasai. Datangnya silih berganti ibarat datangnya waktu siang dan malam, adalah merupakan peraturan Allah untuk makhlukNya. Sedangkan peraturan Allah itu sendiri tidak akan berubah.

Maka Memang Nabi Musa telah dikandung oleh ibunya. Di sinilah kita melihat bagaimana Allah mengatur programNya atau yang di dalam agama kita namakan ‘takdir’ selangkah demi selangkah. Kita akan saksikan bagaimana Firaun dengan serba dalam kecemasan, ketakutan dan kehuatiran cuba untuk melarikan diri dari kejaran takdir. Padahal dialah yang membawa takdir itu masuk ke dalam istananya sendiri. Dia takut akan seorang anak dari Bani Israel akan meruntuhkan kerajaannya, menghancurkan kekuasaannya tetapi dia sendiri telah mengasuh, mendidik, membesarkan anak itu di dalam istananya.  









Al Qasas Ayat 7 Hingga 9

وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي وَلَا تَحْزَنِي إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ
7 - Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.

فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ لِيَكُونَ لَهُمْ عَدُوًّا وَحَزَنًا إِنَّ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا كَانُوا خَاطِئِينَ
8 - Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.

وَقَالَتِ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ قُرَّةُ عَيْنٍ لِي وَلَكَ لَا تَقْتُلُوهُ عَسَى أَنْ يَنْفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
9 - Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: "(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Setelah anak itu lahir, betapa cemas hati ibunya. Ke manakah mahu disembunyikan putera kesayangan yang tidak bersalah itu. Hampir setiap hari pihak pemerintah Firaun menyuruh pasukannya mengadakan pemeriksaan dan penyelidikan dari rumah ke rumah. Perempuan-perempuan yang sedang hamil tidak akan terlepas dari kawalan mereka. Ditanyakan berapa bulan sudah kandungan mereka, bilakah tarikh melahirkan, adakah anak lelaki ataupun anak perempuan yang dilahirkan. Kerana sekiranya anak lelaki yang dilahirkan, maka segera anak itu akan dibunuh di hadapan ibunya. Dan sekiranya perempuan, akan dibiarkan saja.

Perut ibu Nabi Musa tidak lah ketara sangat kelihatan membesarnya maka sebab itu ketika ia melahirkan, bayinya itu masih sempat untuk diselamatkan. Namun lama kelamaan akan diketahui juga. Ini membuatkan ibu Nabi Musa cemas.

Dalam keadaan gelisah dan cemas itulah Allah mengilhamkan kepada ibunya bahawa dia tidak perlu merasa cemas. Hendaklah dia tetap menyusukannya dan menjaganya dengan sebaik-baiknya. Bila dia merasa takut juga kerana ada tanda-tanda bahawa anaknya itu akan diketahui juga nanti, maka hendaklah ia melemparkan anak itu ke sungai Nil. Allah memberikan ilham lagi supaya janganlah iai merasa ragu dan risau. Ini kerana Allah akan menjaga dan membelanya itu. Dan di kemudian kelak anak itu akan dikembalikan kepada ibunya juga nanti. Dan kemudiannya dia akan dapat menyusuinya.  Dan anak itu akan membesar menjadi seorang rasul.

Di sini Allah memberikan dua pengharapan besar kepada ibu nabi Musa. Pengharapan pertama ialah bahwa anak itu akan segera kembali ke pangkuannya. Kedua ialah bahwa kelak anak itu akan menjadi salah seorang manusia yang diutus allah, menjadi nabi dan menjadi rasul Allah untuk mengajar, menunjuk ajar kepada manusia khasnya kepada kaum Bani Israel yangselama ini hidup dalam penindasan Firaun.

Maka hanyutlah anak itu di dalam peti, dibawa arus aliran sungai Nil. Hanyut dan hanyut sampailah ke dalam wilayah perkarangan istana Firaun. Menurut Ar-Razi, Firaun sendiri bersama isterinya yang bernama Asiah binti Muzahim sedang duduk beristirehat di dalamtaman istana itu. Anak perempuan mereka sedang mandi, dayang-dayang inang pengasuh pun turut sama bergembira dengan puteri raja di pinggir sungai. Lalu kelihatanlah peti hanyut itu. Semua bersorak gembira dan ingin tahu apakah isinya.

Beberapa dayang diperintahkan mendekati peti itu dan mengatakan apa isinya kepada tuan puteri. Inang pengasuh mendekati peti itu. Segera mereka lihat isinya, seorang anak kecil sedang nyenyak tidur. Peti itu segera diangkat lalu dibawa ke pangkuan tuan puteri. Hati tuan puteri terbuka melihat dan segera mereka berkemas mempersembahkan hal ini kepada firaun dan permaisuri yang sedang duduk tidak jauh dari mereka.

Sesiapa saja yang memandang kepada bayi itu, pasti akan jatuh hati dan jatuh sayang kepadanya. Tanpa banyak bicara Firaun dan permaisurinya pun mengangkat bayi itu ke dalam istana. Tidak ada seorang pun yang tahu dan dapat menyangka akan bahaya yang telah lama ditakuti dan yang cuba dihindari, sekarang ini sudah berada di dalam pelukan kasih sayang mereka sendiri. Mereka belai, mereka tatang, mereka curahkan sepenuh cinta dan jiwa raga mereka terhadap bayi itu. Bayi yang bakal menjadi musuh kepada Firaun.  

Tindakan Firaun memelihara bayi itu dengan menyangkakan bakal mendatangkan manafaat kepadanya, kerana dia telah berbuat baik kepada bayi itu, rupa-rupanya sangkaan itu telah terbalik. Bayi itulah yang menyebabkan dia berdukacita selama-lamanya. Nabi Musa dianggap menjadi musuh kepada Firaun, kerana dia tidak mahu tunduk mengikuti agama Firaun. Sebaliknya nabi Musa menggesa firaun mengikuti perkara yang hak pula.

Dan paling mendukacitakan kerana hancurnya kekuasaan Firaun dan kerajaannya di tangan Nabi Musa, iaitu sebaik-baik saja Firaun mati tenggelam di dasar lautan setelah diberikan keterangan dan bukti agar mengikuti seruannya namun Firaun tetap menolak. Maka layaklah dia menerima kematian yang seburuk-buruknya sebagaimana mengikut peraturan Allah yang ditetapkan kepada orang-orang yang mendustakan para Rasul.

Dan inilah yang dinyatakan oleh Allah, “.. sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.” Betapa tidak! Kerana merekalah yang membuat kesalahan besar dalam mengambil langkah yang sangat merbahaya tanpa memikirkan akibatnya yang buruk. Iaitu melakukan pembunuhan ke atas beribu-ribu nyawa manusia yang tidak berdosa. Kemudian mereka mengambil pula Nabi Musa sebagai anak angkat untuk dididik dan dibesarkan. Namun akhirnya dia melakukan perkara yang sangat mereka takuti.

Berbalik kepada bayi yang dijumpai tadi, ianya bayi yang comel sekali, mungkil dan memikat hati sesiapa yang melihatnya. Permaisuri Asiah telah jatuh hati dengan bayi itu lalu melarang bayi itu dibunuh. Dilihat pada firaun yang merasa ragu-ragu setelah melihatkan kecomelan bayi itu. Mungkin bayi ini dihanyutkan oleh salah seorang perempuan Bani Israel, kerana takut akan dibunuh. Permaisuri Asiah tidak membuang masa untuk memuju firaun agar tidak meneruskan niatnya selama ini. Pujuk Asiah, mungkin bayi ini akan membawa manafaat kepada mereka. Bayi ini akan diberikan didikan yang sempurna, dicarikan guru yang bertauliah untuk mengajarnya, dilatih adat istiadat raja, mungkin suatu hari bayi ini akan membela mereka.

Kalau bayi itu dijadikan anak angkat, ini akan meninggikan lagi martabat bayi itu. Maka besar kemungkinan bayi ini pasti akan mendatangkan manafaat kepada mereka. Lebih lebih lagi firaun sekarang masih belum mempunyai anak lelaki.

Tetapi di akhir ayat 9 ini, Allah nyatakan bahawa “..Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).”
Iaitu tidak seorang pun di waktu itu yang menyedari akan takdir atau rencana yang telah disusun oleh Allah sendiri.













Al Qasas Ayat 10 dan 11

وَأَصْبَحَ فُؤَادُ أُمِّ مُوسَى فَارِغًا إِنْ كَادَتْ لَتُبْدِي بِهِ لَوْلَا أَنْ رَبَطْنَا عَلَى قَلْبِهَا لِتَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
10 - Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

وَقَالَتْ لِأُخْتِهِ قُصِّيهِ فَبَصُرَتْ بِهِ عَنْ جُنُبٍ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
11 - Dan berkatalah ia kepada kakak Musa: "Pergilah cari khabar beritanya". (Maka pergilah ia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.

Setelah mendengar berita yang anaknya telah dihanyutkan sehingga ke perkarangan istana firaun, hati ibu Nabi Musa merasa kosong, bingung, remuk redam bagaikan kaca terhempas ke batu. Kerana dia yakin anaknya itu pasti akan dibunuh oleh Firaun, yang terang-terang sangat memusuhi keturunan Bani Israel.

Dengan kebingungan dan kerisauan yang melanda itu, Allah telah menyelamatkan ibu Nabi Musa dari terus dilanda kegalauan. Ibu Nabi Musa diberikan kekuatan menahan hati dan menenangkan fikiran, sehingga rahsia dia yang menghayutkan anaknya ke sungai tidak diketahui walau seorang pun. Ini kerana kalau seseorang tidak dapat mengendalikan dirinya yang didorong oleh perasaan duka yang begitu hebat, petanda bahwa orang itu tidak dapat memelihara keimanannya. Ibu Nabi Musa terus bertahan dan bertenang. Dia percaya bahwa segala sesuatu yagn terjadi selalu ada hubungannya dengan kehendak Allah. Maka orang beriman tidaklah akan mudah resah dan gelisah kerana sesuatu kepayahan dan tidak pula akan senang gembira ria lupa daratan jika sedang diliputi sesuatu yang menyukakan hati.

Maka dengan ketenangan yang dianugerahkan Allah kepadanya itu, hatinya terus aman tidak galau lagi. Dia sudah dapat mengawal sikapnya. Segera disuruh anak perempuannya yang berada dengannya supaya mengikut anak yang dihanyutkan sungai yang besar itu. Disuruhnya perhatikan dari jauh, selidiki ke mana nanti bayi itu nanti kalau ditemui orang. Dan dengarkan apa yang orang akan kata mengenainya. Disuruhnya juga agar berhati-hati jangan sampai orang tahu bahwa bayi itu sedang diekori.







Al Qasas Ayat 12

وَحَرَّمْنَا عَلَيْهِ الْمَرَاضِعَ مِنْ قَبْلُ فَقَالَتْ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى أَهْلِ بَيْتٍ يَكْفُلُونَهُ لَكُمْ وَهُمْ لَهُ نَاصِحُونَ
Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: "Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?"

Setelah bayi itu diambil oleh permaisuri dan mereka telah memutuskan untuk menjaganya, maka dibawalah bayi itu ke dalam istana. Di dalam istana ramai yang berkerumun melihat akan kecomelan bayi itu. Sehingga hampir semuanya jatuh kasih kepadanya. Bahkan kebencian Firaun sendiri pun kian lama kian luntur.

Anak yang masih bayi ini masih terlalu kecil untuk diberikan makanan lain selain susu. Tibalah masanya untuk dia menyusu. Tetapi siapa yang akan menyusukannya? Di dalam istana sendiri tidak ada yang baru beranak yang dapat menyusukannya. Untuk itu bayi ini perlu dibawa ke luar istana, untuk mencari orang yang akan menyusukannya.

Hairan, bila datang orang-orang yang hendak menyusukan bayi itu, bayi itu tidak mahu menyusu. Dayang-dayang menjadi cemas. Di kala itu muncullah kakak kepada bayi itu tadi yang telah menyorok-nyorok memerhatikan bayi itu dari jauh semasa ia dihanyutkan di sungai. Dia mendekati bayi itu yang sedang dikendong oleh dayang untuk dicarikan orang untuk menyusu.

Lalu diberitahukanlah kepada dayang itu, kononnya ada satu keluarga yang tulus ikhlas dan setia kepada raja yang sanggup menyusukan bayi itu. Mula-mula agak curiga juga dayang itu melihatkan budak perempuan itu sanggup menunggu di situ dan menawarkan diri. Lalu dayang itu bertanya kepada budak perempuan itu, “apa benarkah yang menarik perhatianmu sampai engkau katakan bahwa ada keluarga yang sudi mengasuh dan menyusu anak ini?”

Dengan bijak budak perempuan kakak bayi itu menjawab, sudah tentulah keluarga sudi menjaga bayi ini kerana mereka ingin berkhidmat kepada raja, supaya baginda gembira.

Perkara ini segera dilaporkan kepada istana. Firaun dan permaisuri mengizinkan agar bayi itu dibawa ke rumah budak perempuan itu untuk disusukan. Lalu pergilah budak perempuan itu bersama-sama bayi itu pulang ke rumah ibunya sendiri. Kedatangan mereka disambut dengan baik. Sebaik saja bayi itu diserahkan kepada ibunya. terus ibunya menyusukan bayi itu. Terus saja bayi itu meminum susu dari ibunya dengan tidak bertangguh lagi. Perkara itu segera dilaporkan kepada firaun dan permaisuri.

Dan dengan gembira pula pihak istana telah menjemput ibu bayi itu agar datang menghadap istana. Permaisuri memohon dengan bersungguh-sungguh agar ibu bayi itu dapat terus menyusukan bayi itu dan dapat terus tinggal di istana bersama bayi itu. Namun ibu bayi itu tidak menolak untuk tinggal di istana kerana masih ada suami dan anak-anak lain yang perlu dijaga. Tetapi ibu bayi itu berjanji untuk mengasuh dan membesarkan anak itu dengan baik, sepertimana mengasuh anak sendiri sekiranya ibu bayi itu dibenarkan untuk membawa bayi itu bersamanya.

Oleh kerana cemas takut anak itu nanti tidak akan mahu menyusu dengan orang lain, maka permohonan ibu bayi itu dikabulkan. Dibawalah bayi itu pulang ibunya sendiri ke rumahnya sendiri.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.