Wednesday, November 25, 2015

Surah Ar Rum 41 - 60





Ar Rum Ayat 41

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
41 - Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Allah menyebutkan perangai manusia-manusia yang mencemarkan kehormatan Allah dan kemuliaanNya. Banyak terjadi malapetaka, lahir di sana sini bencana baik dari darat mahupun dari laut bahkan di udara juga di seluruh alam sekitar ini tersebar dengan luasnya beberapa banyak peperangan dan serangan dari angkatan bersenjata yang menggunakan kapal-kapal perang, kapal-kapal terbang, kapal-kapal selam dan alat senjata lainnya, sehingga memusnahkan makhluk yang bernyawa dan juga harta benda. Semuanya ini adalah lahir dari hasil dan usaha tangan manusia itu sendiri.

Mereka berlaku zalim dan terlalu tamak, gemar merompak maruha dan kehormatan manusia, tidka mahu lagi memerlihara kemurnian perangai yang baik dan kemuliaan budi pekerti. Malahan banyak yang telah melemparkan agama jauh-jauh ke belakang dengan melupakan adanya hari akhirat iatu hari pembalasan.

Mereka hanya mengikutkan kemahuan hawa nafsu tidka mengikutkan akal yang waras. Mereka membuat kerosakan di muka bumi sehingga tidak ada lagi pengawal yang mempertahankan kehormatan agama dari musuh-musuh yang menodainya. Lantaran itu maka Allah menimpakan kepada mereka balasan untuk menjadi hukuman di atas kejahatan dosa dan maksiat yang telah mereka lakukan.

Tujuan sebahagian bala dan malapetaka itu ditimpakan supaya meeka menderita, mudah-mudahan ketika mereka dilanda derita dan kesengsaraan itu hendaknya merka akan kembali bertaubat dari kesesatan mereka dan berbalik kepada kebenaran. Dan supaya mereka ingat bahwa di suatu hari nanti mereka akan dihisab amalan perbuatan mereka. Yang baik dibalas baik dan yang jahat dibalas jahat.

Pada masa itu barulah keadilan dapat dirasakan dan dikembalikan kepada masyarakat,di mana yang kuat akan merasa belas kasihan kepada yang lemah dan menganggap manusia semuanya adalah sama.  






Ar Rum Ayat 42

قُلْ سِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلُ كَانَ أَكْثَرُهُمْ مُشْرِكِينَ
42 - Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik".

Allah menyuruh RasulNya mengatakan keapda kaumnya yang syirik itu, supaya pegilah mereka berjalan melawat-lawat negeri di daerah  muka bumi ini, terutama di tempat-tempat yang dahulunya banyak umat purbakala yang telah kufur kepada Allah dan mendustakan utusanNya. Nanti mereka akan lihat sendiri bagaimana kesudahan nasib mereka yang dahulunya engkar. Mereka itu telah dibinasakan oleh Allah dengan menimpakan seksa, sehingga bekas-bekasnya saja yang masih tinggal.

Adalah mereka itu dari golongan orang-orang yang kebanyakannya syirik atau menyekutukan Allah. Maka layaklah mereka untuk mendapat berbagai-bagai seksaan yang setimpal dengan kekufuran dan pendustaan yang mereka lakukan.









Ar Rum Ayat 43

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ الْقَيِّمِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ يَوْمٌ لَا مَرَدَّ لَهُ مِنَ اللَّهِ يَوْمَئِذٍ يَصَّدَّعُونَ
43 - (Jika demikian keadaannya) maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad) ke arah agama yang betul, sebelum datangnya dari Allah: hari yang tak dapat ditolak; pada hari itu manusia akan berpecah (kepada dua golongan).

مَنْ كَفَرَ فَعَلَيْهِ كُفْرُهُ وَمَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِأَنْفُسِهِمْ يَمْهَدُونَ
44 - Sesiapa yang kufur ingkar maka dia lah sahaja yang menanggung bencana kekufurannya itu, dan sesiapa yang beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing;

لِيَجْزِيَ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ
45 -  Kerana Allah akan membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang kufur ingkar.

Di samping Rasul disuruh menyampaikan dakwah yang tegas kepada kaumnya dan umat manusia seluruhnya, Allah juga mengingatkan kembali suaya mereka selalu menguatkan diri, membina peribadi diri agar menjadi teguh dan tabah. Caranya ialah dengan selalu menegakkan wajah menghadapkan muka ke arah agama yang betul, satu-satunya ialah Agama Islam.

Penyerahan diri yang sebulat-bulatnya semata-mata kepada Allah sebelum datangnya hari yang tiada berdaya untuk menolak jika Allah telah menentukan kedatangannya. Maka sampai nyawa becerai dari badan, janganlah lelah dari muraqabah, iaitu selalu menegakkan muka dengan penuh kesedaran dengan keteguhan iman dalam agama Allah. Jangan palingkan muka kepada yang lain. Agar nantinya mati kita adalah di dalam husnul khatimah.

Bila kiamat sudah datang, jika hari itu datang, tidaklah dapat dielakkan lagi dari saat tibanya hari itu. Bumi ini hanya ibarat sebutir pasir kecil saja bersama sejuta bintang di ruang angkasa. Semuanya kecil saja di hadapan Allah. Di hari itu mereka akan bercerai berai. Terpisah di antara satu sama lain mengikut keadaan amalan masing-masing.

Ada sekumpulan meraka dimasukkan ke dalam syurga menikmati buah dan hasil amalannya yang baik. Dan sekumpulan lagi akan dibakar dalam api neraka disebabkan dosa yang telah mereka lakukan. Semua pembalasan itu merupakan hasil dari usaha tangan mereka sendiri.

Sesiapa yang kufur mengingkari Allah dengan melakukan maksiat dan dosa, maka dia sendiri yang akan memikul dosanya. Dan barangsiapa beramal soleh dengan mentaati Allah, mengerjakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang, bererti dia telah menyediakan untuk dirinya tempat yang layak dan menyenangkan di dalam syurga.

Peringatan seperti ini dapatlah menjadi pedoman bagi orang yang beriman. Allah telah jelaskan jika mereka berbuat baik, beriman, beramal soleh semasa hidup di dunia, bereti mereka melapangkan jalan bagi keselamatan di akhirat. Dan Allah juga berjanji bahwa suatu kebaikan akan diganjari dengan 10 kali, bahkan sampai 700 kali. Manakala berbuat kejahatan ganjaran dosanya hanyalah satu kali sahaja. Dan Allah juga menerangkan bahwa Allah tidak suka kepada orang yang ingin menempa jalan menuju kekufuran.





Ar Rum Ayat 46

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ يُرْسِلَ الرِّيَاحَ مُبَشِّرَاتٍ وَلِيُذِيقَكُمْ مِنْ رَحْمَتِهِ وَلِتَجْرِيَ الْفُلْكُ بِأَمْرِهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
46 -  Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, bahawa Ia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan kamu sedikit dari rahmatNya, dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan perintahNya, dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan seterusnya supaya kamu bersyukur.

Allah menyebutkan nikmat-nikmat yang Allah anugerahkan keapda makhlukNya. Nikmat itu berupa dikirimkanNya angin sebagai pembawa berita gembira dengan datangnya hujan. Angin yang berhembus itu, sambil lalu telah menghembuskan pula berita yang gembira ke dalam hati orang yang sangat mengharapkan turunnya hujan. Hujan benar-benar menimbulkan rasa di dalam hati, apatah lagi kalau kemarau sudah terlalu panjang. Dan angin juga yang membawakan hujan itu turun membawa rahmat, dan sebagai air yang menjadikan awal kepada setiap kehidupan.  

Dengan angin yang bertiup kencang memukul layar-layar kapal yang mengembang, menyebabkan kapal-kapal layar itu meluncur di permukaan laut dengan lajunya. Kapal-kapal yang memuatkan dagangan dari beraneka jenis makanan dan barang-barang keperluan yang dihajati oleh manusia. Dibawa dari satu negeri ke satu negeri lain dari benua ke benua yang lain, lalu berlabuh di tempat yang dituju. Barang-barang lalu dipunggah keluar dan digantikan dengan barangan yang lain pula untuk dibawa berlayar ke negeri dan benua yang lain pula. Ini membolehkan manusia saling bertukar-tukar hasil dan brangan untuk mencari rezeki dari kelimpahan nikmat yang Allah berikan kepada manusia.

Mudah-mudahan dengan sebab rahmat dan nikmat yang dilimpahkan oleh Allah kepada manusia dengan tidak terkira banyaknya ini, hendaknya mereka menjadi orang-orang yang bersyukur dan berterima kasih keapda Allah.






Ar Rum Ayat 47

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ رُسُلًا إِلَى قَوْمِهِمْ فَجَاءُوهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَانْتَقَمْنَا مِنَ الَّذِينَ أَجْرَمُوا وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ
47 - Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.

Telah dibuktikan kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw bahkan kepada kita juga umat nabi Muhammad saw bahwasanya hubungan Allah dengan manusia ini telah ada sejak awal manusia mendiami muka bumi ini lagi.  Allah telah mengutuskan utusan-utusanNya silih berganti sebelum nabi Muhammad saw dengan dasar seruan syariatnya tidak pernah berubah untuk selama-lamanya. Iaitu tentang Keesaan Allah.

RAsul-rasul itu mendatangi kaum masing-masing untuk memberikan keterangan, alasan-alasan dan bukti-bukti untuk menyedarkan akal fikiran mereka keapda jalan yang benar. Segala nasihat dan ancaman telah pun disebarkan kepada mereka supaya mereka mengambil iktibar. Dan azab dan seksaan diturunkan kepada mereka, sebagaimana yang tersebut di dalam surah-surah yang lain, yang mengisahkan perjuangan rasul-rasul memberikan peringatan kepada kaumnya.

Tetapi tidaklah semua kaum itu yang mendapat seksaan. Yang mana beriman kepada Allah dan kembali ke pangkal jalan yang benar, tidak akan tergolong dalam orang-orang yang mendapat seksaan. Mereka ini ditolong dan diselamatkan.

Ayat ini adalah jaminan Allah untuk menolong hamba-hambaNya yang beriman. Dan jaminan ini adalah hak Allah sedangkan Allah tidak memungkiri janji-janjiNya. Kalau sekiranya Allah tidak menolong orang yang beriman, nescaya tidaklah terlaksana sifat Allah sebagai Al Haq.








Ar Rum Ayat 48

اللَّهُ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ فَتُثِيرُ سَحَابًا فَيَبْسُطُهُ فِي السَّمَاءِ كَيْفَ يَشَاءُ وَيَجْعَلُهُ كِسَفًا فَتَرَى الْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَالِهِ فَإِذَا أَصَابَ بِهِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ
48 -  Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira;

Allah mengulangi kembali menyebutkan bukti keesaanNya dan bukti aanya hari kebangkitan yang mana bukti-bukti itu jelas dapat disaksikan oleh seluruh umat manusia. Dan bukti-bukti itu juga menunjukkan kekuasaan Allah dan kelimpahan rahmat serta kurniaanNya.

Ini dibayangkanNya dengan menyebut bahwasanya Allah lah yang mengirimkan angin ke marata-rata dunia. Angin itu bertiup menghalau awan mendung, supaya berkumpul mengikut sekehendak Allah. apabila mendung telah tebal menjadi beberapa potong awan yang berat kerana mengandungi butir-butir air, maka kelihatanlah hujan keluar dari celah-celah awan itu. Air hujan itu turun berderai jatuh ke bumi dengan tidak pula mencurah-curah menghempap penduduk bumi. Dan apabila hujan itu turun kepada sesiapa dari hamba-hamba Allah yang dikehendakiNya, tentu saja mereka akan merasakan sangat gembira. Sebab hujan itu datangnya pada masa yang sangat mereka hajati.








Ar Rum Ayat 49 dan 50

وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلِ أَنْ يُنَزَّلَ عَلَيْهِمْ مِنْ قَبْلِهِ لَمُبْلِسِينَ
49 -  Dan sesungguhnya mereka dahulu, sebelum diturunkan hujan kepada mereka, adalah orang-orang yang telah berputus asa.

فَانْظُرْ إِلَى آثَارِ رَحْمَةِ اللَّهِ كَيْفَ يُحْيِي الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا إِنَّ ذَلِكَ لَمُحْيِي الْمَوْتَى وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
50 -  Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Ia menghidupkan bumi sesudah matinya (dengan tanaman-tanaman yang menghijau subur). Sesungguhnya Allah yang demikian kekuasaanNya, sudah tentu berkuasa menghidupkan orang-orang yang telah mati. Dan (ingatlah) Ia maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah menyuruh kita memerhatikan akan kesan-kesan dari turunnya hujan itu. Terdapat di sana sini pohon-pohon dan tanam-tanaman yang tumbuh dengan suburnya. Daun-daunya kelihatan menghijau, kemudian berbunga dan berputik, lalu menghasilkan buah-buahan yang lazat citarasanya.

Ini adalah rahmat tanda belas kasihan Allah terhadap makhluk-makhlukNya. Meraka mendapati tanah perkebunan mereka yang dahulunya berkeadaan kering tandus laksana bumi yang sudah mati, tetapi kini apabila setelah ditimpa hujan, ia hidup dan subur kembali.

Ini menunjukkan suatu bukti betapa besar kekuasaan Allah dan betapa luas kurniaNya. Maka sebagaiaman Allah dapat mengembalikan bumi yang sudah mati menjadi hidup subur, begitulah juga Allah Maha Berkuasa untuk mengembalikan tubuh manusia yang sudah mati, sudah hancur berkecai menjadi tanah, kembali menjadi hidup semula.







Ar Rum Ayat 51

وَلَئِنْ أَرْسَلْنَا رِيحًا فَرَأَوْهُ مُصْفَرًّا لَظَلُّوا مِنْ بَعْدِهِ يَكْفُرُونَ
51 -  Dan demi sesungguhnya, jika Kami hantarkan angin (menyerang tanaman) lalu mereka melihat tanaman itu menjadi kuning kering, nescaya mereka sesudah itu, terus kembali kufur (tidak mengenangkan nikmat-nikmat Allah serta berputus asa).

Allah mengeji perangai orang yang tidak berbudi. Apabila mendapat kesusahan mereka lekas kufur. Sekiranya Allah meniupkan angin yang suhunya terllalu tinggi dengan keadaannya yang sangat panas, atau terlalu rendah dengan keadaaannya yang terlampau sejuk, yang menyebabkan tanaman yang asalnya subur telah bertukar menjadi kering dan berwarna kuning dan akhirnya mati, maka sesudah itu mereka akan kufur dan mengingkari nikmat Alalh yang pernah dikurniakan kepada mereka.

Sepatutnya mereka mestilah bertawakkal kepada Allah dalam segala hal. Lekas-lekaslah meminta ampun dan bertaubat apabila tertahan turunnya hujan. Sepatutnya mereka bersyukur dengan berbuat taat jika mereka mendapat rahmat, serta bersabar atas bencana yang melanda  tanaman mereka itu. Kerana ini mungkin bencana yang terbit dari hasil dan usaha tangan mereka sendiri juga. Sebagai balasan untuk menjadi hukuman ke atas kejahatan mereka, dosa dan maksiat yang mereka lakukan.

Sepatutnya mereka hindarkan kejahatan-kejahatan yang boleh mendatangkan kerosakan. Tetapi yang mereka lakukan adalah sebaliknya. Iaitu kufur dan engkar terhadap kurniaan Allah. Yang menyebabkan mereka dilanda kesusahan dan kesengsaraan akhirnya.








Ar Rum ayat 52 Dan 53

فَإِنَّكَ لَا تُسْمِعُ الْمَوْتَى وَلَا تُسْمِعُ الصُّمَّ الدُّعَاءَ إِذَا وَلَّوْا مُدْبِرِينَ
52 -  (Maka janganlah engkau berdukacita - wahai Muhammad - terhadap keadaan mereka yang demikian), kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berpaling undur (disebabkan keingkarannya).

وَمَا أَنْتَ بِهَادِي الْعُمْيِ عَنْ ضَلَالَتِهِمْ إِنْ تُسْمِعُ إِلَّا مَنْ يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا فَهُمْ مُسْلِمُونَ
53 -  Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta (matahatinya) supaya menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sedia beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang menurut perintah.

Allah mensifatkan orang yang berterusan kufur dan berdegil itu samalah seperti orang-orang yang sudah mati. Mati hatinya. Orang yang tidak mempunyai akidah yang teguh sama jugalah dengan orang yang telah mati.

Maka Allah menjelaskan kepada Nabi Muhammad saw bahwa nabi tidaklah akan sanggup membuat hidup orang yang telah mati. Iaitu mati fikirannya, mati cita-citanya, mati masa depannya. Dia hanya semata-mata bernyawa, namun hidupnya tidaklah bermakna. Sebab itu maka ia lebih baik mati dari mati.

“dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu,” Bukanlah ini dimaksudkan telinganya yang tuli. Tetapi hatinya dan jiwanya. Meskipun betapa nilai yang baginda nabi anjurkan kepadanya, dia akan tetap tuli. Sebab hatinya tidak mendengarkan apa yang baginda nabi katakan itu. Baik kerana kebodohannya, ataupun kerana fikirannya itu telah dikarut marutkan oleh kepercayaan dan pegangan yang salah. Dan mereka telah berpaling membelakangi seruan yang benar. Mereka telah memalingkan diri dari dakwah yang benar, tidak mempedulikannya lagi, tidak dihiraukannya. Dia telah mati hatinya, dan telah dipekakkan telinganya.

“Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta (matahatinya) supaya menjauhi kesesatan mereka;”
Ini adalah buta mata hatinya. Walaupun dia hendak dibimbing ke jalan yang benar, namun dia tidak mahu. Dia tetap berpaling ke belakang.  

Maka tidak ada yang dapat diserukan oleh baginda nabi kecuali kepada orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Allah. Bila imannya telah ada, dia akan mulai hidup, matanya akan mulai melihat dan telinganya akan mulai mendengar. Kerana iman itu sendiri adalah hakikat dari hidup. Sebab iman itu adalah kesedaran hidup.

Apabila dia bersedia untuk mendengar kitab Allah, pasti dia akan merenungkannya baik-baik dan memahaminya serta mengamalkan pengajaran kitab suci tersebut dan meninggalkan segala apa yang ditegahkan. Sedangkan orang-orang yang beriman dan percaya kepada Allah itu berserah diri kepada Allah, percaya dan patuh serta taat keapda perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.






Ar Rum Ayat 54

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ
Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

Mula lahir ke dunia kita manusia masih serba lemah. Lemah sejak dari jasmani sampai kepada rohani. Lemah akal dan budi, lemah ikhtiar dan usaaha, bahakan sama sekali belum dapat berdiri sendiri. Syukurlah dilimpahkan Allah rasa kasih sayang ke dalam hati ibu dan bapa kita kepada kita. Sehingga dengan rasa kasih itulah terjaminnya lanjutan hidup kita, sampai kita beransur dapat berdiri tegak sendiri.

Kemudian daripada tidur terguling, sampai pandai merangkak, sampai beransur berlatih berdiri, berjalan dan berlari. Jatuh dan berdiri lagi, berlari lagi sehingga tumbuh akal dan dapat berdiri tegak dengan gagahnya. Sehinggalah kita dapat mendirikan rumah tangga dan memimpin pula anak dan isteri kita sendiri, berusaha mencari rezeki anugerah Allah, sehingga kuat menghadapi hidup ini.

Kemudian setelah itu kita akan tiba di puncak masa kuat, mendatar sebentar kemudian akan menurun semula. Kekuatan dikurangi sedikit demi sedikit. Ingatan yang tadinya kuat, akhirnya jadi lemah dan pelupa. Badan yang masa tua sudah terasa sebagai rasa sakit yang menghimpit himpit. Mata mulai kabur, uban mula bertabur di kepala, gigi sudah mula renggang dan gugur, ingatan mulai mundur.

Bertambah lama hidup, betambah lemah diri. Sehingga adkalanya kembali sebagai kanak-kanak yang mulai menjejak dunia. Kalau di masa kanak-kanak kekuatan baru mula nak tumbuh, tetapi setelah tua kekuatan yang tadinya telah cukup utuh, mulai berkurang, menipis dan lama-lama hilang. Ingatan pula makin lama makin jadi pelupa. Dan makin lama makin jadi nyanyuk. Kembali ke zaman kanak-kanak semula.

“Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa”
Yang menentukan ini semua adalah Allah sendiri, menurut sunnahNya yang telah ditetapkan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang patut bagi setiap manusia. Apakah patut ia berusia panjang lalu tua sehingga menjadi nyanyuk . Ataukah muda remaja, lalu mati dalam keadaan muda juga, tidak sempat mengecap tua.

Allah Maha Mengetahui dan Maha Menentukan ukuran hidup, ukuran tubuh, pengalaman manusia, daya dan upayanya, batas-batas kekuatannya dan keistimewaannya yang tumbuh di dalam setiap diri seseorang. Dia yang menentukan jalan hidup yang akan ditempuh manusia. Apakah kelak ia akan jadi pahlawan, saudagar, pelayan, ataupun jadi menteri atau kuli, jadi perdana menteri atau askar perajurit, dan Dia juga yang menentukan siapa di kalangan manusia itu yang mati syahid dan siapa yang mati sia-sia.






Ar Rum Ayat 55

وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يُقْسِمُ الْمُجْرِمُونَ مَا لَبِثُوا غَيْرَ سَاعَةٍ كَذَلِكَ كَانُوا يُؤْفَكُونَ
55 -  Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya dari memperkatakan yang benar).

وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَالْإِيمَانَ لَقَدْ لَبِثْتُمْ فِي كِتَابِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْبَعْثِ فَهَذَا يَوْمُ الْبَعْثِ وَلَكِنَّكُمْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
56 -  Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman: "Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal - menurut yang terkandung dalam Kitab Allah - sampai ke hari kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan (yang dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui (kebenarannya)".

Di awal ayat ini Allah membayangkan keadaan yang akan dihadapi oleh mereka yang derhaka, yang menyembah kepada selain Allah, yang tidak menghiraukan ajaran dan seruan RasulNya. Mereka ini melalaikan diri mereka semasa waktu hidup mereka. Tiba-tiba maut datang kepada mereka di kala mereka ragu-ragu untuk menempuh jalan yang benar. Tiba-tiba kiamat datnag sesudah beberapa lamanya mereka berhenti di alam barzakh. Disangkanya masih lama lagi merak akan dipertimbangkan.

Setelah panggilan kiamat datang, mereka tersentak. Waktu itu barulah mereka tahu bahwa masa yang amat ditakuti itu sudah berada di hadapan mereka. Sangat cepat sekali. Di kala itu mereka merasakan bahwa mereka berada di alam barzakh hanyalah sesaat cuma. Ini adalah membayangkan bahwa tiap-tiap manusia merasakan amat cepat datangnya hala yang amat ditakuti itu. Nak mengelakkan diri amatlah tidak mungkin.

Demikianlah keadaan mereka dipalingkan dari khayalan kepada kenyataan. Dan kebingungan untuk menghadapi kebenaran. Pahit yang mesti dtelan tak dapat dielakkan lagi.

“... berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman:” "Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal - menurut yang terkandung dalam Kitab Allah - sampai ke hari kebangkitan”
Maksudnya bahwa Allah telah menentukan di dalam kitabNya, di dalam peraturan dan ketentuanNya yang tidak satu kekuatan pun yang dapat mengubahnya. Bahawa sejak manusia meninggal dunia dahulu, manusia telah ditentukan untuk berdiam di dalam alam barzakh sehingalah sampainya hari kebangkitan. Iaitu hari di mana seluruh manusia yang telah meninggal dunia itu disuruh bangkit. Berapa lama masa untuk mendiami alam barzakh itu hanya Allah sajalah Yang Maha Mengetahui.

Dan inilah saatnya yang ditunggu-tunggu. Inilah dia hari kebangkitan itu. Ia telah datang dan manusia telah siap untuk menghadapi kenyataannya. Tetapi masih ada lagi yang tidak mengetahui. Maka sungguh malanglah orang yang tidak mengetahui itu. Sekarang baru mereka tercengang-cengang, kebingungan. Padahal dari dahulu lagi di masa mereka semua hidup di dunia, hal ini sudah berulang-ulang kali dikhabarkan dan diberi peringatan kepada mereka.







Ar Rum Ayat 57 Dan 58

فَيَوْمَئِذٍ لَا يَنْفَعُ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَعْذِرَتُهُمْ وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ
57 - Maka pada hari itu tidak berguna lagi bagi orang-orang yang zalim, sebarang alasan yang mereka kemukakan untuk melepaskan diri, dan mereka pula tidak diberi peluang untuk memohon keredaan Allah.

وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِي هَذَا الْقُرْآنِ مِنْ كُلِّ مَثَلٍ وَلَئِنْ جِئْتَهُمْ بِآيَةٍ لَيَقُولَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا مُبْطِلُونَ
58 -  Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai kisah dan perbandingan di dalam Al-Quran ini; dan demi sesungguhnya jika engkau membawa kepada mereka sebarang keterangan, sudah tentu orang-orang kafir itu akan berkata: "Kamu ini tidak lain hanyalah orang-orang yang membuat dakwaan palsu"

Orang-orang yang zalim dan aniaya ini adalah meraka yang menganiaya diri mereka sendiri. Kecelakaan yang akan menimpa diri mereka adalah tesebab dari kesalahan mereka sendiri. Jika mereka cuba mengemukakan keuzuran, atau berbagai alasan di atas apa sebab sekali pun yang menyebabkan mereka berbuat demikian di kala mereka hidup di dunia, tidak akan ada lagi permintaan uzur itu yang akan diterima. Sebab keterangan yang diberikan Allah dengan perantaraan RasulNya sudah sangat cukup dan sudah sangat jelas. Dan mereka sendiri pun bukannya tidak diberikan akal dan fikiran untuk menimbang di antara buruk dan baik yang akan ditermpuhi keadaan di hari hadapan.

Mereka ini semua tidak akan lagi diberikan kesempatan apa-apa. Kerana kesempatan itu memang sudah tidak ada. Mereka meminta diberikan kesempatan untuk mengulangi hidup di dunia lagi, kerana mereka telah menyesal di atas segala kesilapan mereka.

Permintaan mereka itu tidak dapat lagi ditunaikan. Kerana hidup yang dahulu itu sudah habis. Sudah tamat. Bumi dan langit pun sudah digulungkan dan dibuat langit yang baru. Sudah tidak ada lagi bumi yang sebelum ini. Sekarang ini adalah kehidupan baru, iaitu hidup akhirat. Sebagaimana orang yang masih di dunia menyesali nasib di hari tua, lalu ingain hendak kembali ke dalam kandungan ibunya, demikianlah juga halnya orang yang meminta diberi kesempatan untuk pulang ke dunia semula ini. Dan kedua-dua permintaan ini tidak akan dikabulkan. Peraturan Allah yang serupa itu tidaklah dapat diubah, melainkan manusialah  yang sepatutnya menyesuaikan diri mereka dengan jalan hidup yang betul yang ditentukan Allah pada awal-awal lagi.

Bermacam-macam perumpamaan sudah yang dikemukakan Allah di dalam Al Quran, agar manusia dapat faham dan menjadi insaf. Perumpamaan sejak dari lalat, nyamuk, labah-labah, keldai, gelombang dan ombak besar tengah malam, hujan lebat, bahtera di lautan, dan bermacam-macam perumpamaan lagi. Semuanya itu ialah untuk menggerakkan akal dan fikiran manusia untuk menerima keterangan yang diberikan.

Dan rasul yang diutus Alalh adalah orang yang benar tutur katanya, boleh dipercayai, menjalankan tugas dengan jujur dalam menyampaikan perutusannya lagi pula cerdik , tidak pernah berbohong, tidak mungkin juga berkhianat, tidak ada sedikit pu perkara yang dsembunyikannya dan bukanlah mereka itu dariapda golongan orang yang bodoh.
Tetapi begitulah halnya para rasul yang lengkap dengan sifat-sifat yang biak dan terpuji itu sentiasa mendapat tentangan dari kaum masing-masing.  Memang tidak diragukan lagi tentang itu mereka diperlihatkan dengan sejelasnya. Allah sendiri telah mengakui “‘Demi jika engkau ya Muhammad mengemukakan satu ayat dari Al Quran kepada kaumu yang kufur itu, pasti mereka tidak mahu beriman, malah menganggap Al Quran itu sihir yang direka-reka, dan mereka katakan, Tak lain utusan-utusan Allah itu adalah seorang yang pembohong yang mengadakan dongengan orang-orang purbakala. “







Ar Rum Ayat 59 Dan 60

كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
59 - Demikianlah Allah meteraikan hati orang-orang yang tidak mahu menerima jalan mengetahui (kebenaran).

فَاصْبِرْ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَلَا يَسْتَخِفَّنَّكَ الَّذِينَ لَا يُوقِنُونَ
60 -  Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.

Begitulah Allah menutup pintu hati mereka rapat-rapat dan dipateriNya, sehingga tidak dapat lagi menerima pengetahuan, pengajaran, nasihat, contoh tauladan dan keterangan-keterangan yang jelas mengenai bukti-bukti Allah. Malahan mereka tidak dapat memahami sebarang ayat dan keterangan yang dibacakan dari kitab Allah, disebabkan buruknya persediaan mereka, buruknya tutur kata mereka dan perangai mereka yang berterusan melakukan kezaliman.

Allah mengakhiri surah Ar Rum ini dengn menyuruh RasulNya Nabi Muhammad saw supaya mengahadapi rintangan kaum musyrikin dengan dada yang lapang, berhati tabah dan sabar. Teruskanlah berjuang untuk mencapai perutusan Allah. Kerana Allah berjanji akan menolong baginda. Sehingga dapat mengalahkan musuh. Serta berjanji menguatkan kedudukan baginda bersama-sama sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut baginda. Sesungguhnya janji Allah itu benar.

Begitu pula baginda diingatkan jangan ragu-ragu, untuk melaksanakan tugas kerasulan dan jangan terpengaruh oleh orang-orang yang tidak percayakan hari kebangkitan. Gangguan yang keras sudahlah pasti akan wujud di dalam setiap perjuangan. Namun orang yang ragu itu, yang kurang keyakinan, yang mundur maju yang kecil jiwanya, semuanya itu janganlah menyebabkan baginda mundur dan ragu pula. Teruskan melangkah.

Ayat ini juga menjadi perangsang dan sebagai sagu hati kepada orang yang berjuang meneruskan dakwah nabi. Kerana dakwah ini tidaklah akan berhenti sehinggalah ke hari kiamat.

Selesai sudah tafsir Ar Rum. Semoga Allah menurunkan taufiq dan hidayahNya kepada kita semua. Amin.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.