Wednesday, November 25, 2015

Surah Ar Rum Ayat 20 - 40






Ar Ruum Ayat 20 Hingga 25

Dari ayat 20 hingga ayat 25, Allah menarik perhatian manusia kepada keadaan yang berada di sekliling mereka. Bermula dari kejadian dirinya sendiri, sehingga kepada jalan hidup manusia itu sendiri. Sampailah kepada pergaulan di tengah masyarakat, edaran bumi siang dan malam, turunnya hujan dan kesuburan bumi, yang semuanya itu berkait rapat dengan kehidupan manusia di atas muka bumi. Dengan mengingatkan tentang adanya tanda-tanda kebesaran Allah ini, maka sampailah manusia kepada kesimpulan tentang kepastian adanya Yang Maha Pencipta, Yang Maha Mengatur, Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Perksasa juga Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Itulah Allah Azza Wa Jalla.

Peringatan dari enam ayat ini, menunjukkan segala tanda-tanda kebesaran Allah, ataupun ianya sebagai bukti tentang adanya Allah. Semua ini adalah untuk menyedarkan manusia, bahwa mereka mempunyai akal dan fikiran untuk digunakan untuk merenung, menilik dan mengkaji sehinggalah mereka akan sampai kepada Hakikat Kebenaran, tentang KEWUJUDAN ALLAH!.

Apalah gunanya seseorang manusia itu sekiranya ia tidak dapat menilai semua itu dengan akal dan fikiran yang ada. Kerana hanya orang yang berakal saja yang diperintah untuk memikul tanggungjawabkan beragama. Orang gila, orang yang tidak diberikan akal oleh Allah ataupun anak yang masih di bawah umur, yang belum dapat menggunakan akalnya secara teratur, belumlah wajib ia beragama.  

Oleh sebab itu maka berturut-turut enam ayat di dalam surah Ar Ruum ini mengingatkan kita tentang tanda-tanda kebesaran Allah dan ianya adalah anjuran istimewa untuk mengajak manusia. Tidak ada di dalam surah yang lain yang mengajak manusia sehingga ditunjukkan 6 tanda-tanda.


Mari kita tadabbur satu persatu ayat ini ye, sisters.


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ إِذَا أَنْتُمْ بَشَرٌ تَنْتَشِرُونَ
20 -  Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.

Keenam-enam ayat ini sama bunyi pangkalnya, iaitu “ Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya”. Ini bermaksud bahwa ini adalah di antaranya saja , ini adalah bukan semuanya, ini adalah setengah daripada sekalian banyak, kerana masih ada banyak lagi yang lain, yang bila kita gunakan akal kita nescaya kita akan bertemu dengan sekalian tanda-tanda yang lain yang juga banyak.

“Bahawa Dia menciptakan kamu dari tanah.”
Hakikat yang perlu kita terima adalah kita ini sebenarnya dijadikan daripada tanah. Darah yang mengalir dari diri manusia diambil dan dijadikan dari tanah. Sayur-sayur yang kita makan, kaya dengan gizi, kalori dan putih telur, zat besi dan seumpamanya itulah yang kita makan dan minum. Itulah yang masuk ke dalam saringan dan cernaan perut, menjadi darah dan mengalir ke seluruh badan.

Maka sesudah memakan makanan yang berzat yang juga berasal dari tanah, yang memperkayakan diri kita dengan darah segar, maka darah segar itu pula akan menerbitkan air mani yang segar. Dari air mani yang segar itu, setelah manusia bercantum pula antara lelaki dan perempuan, air mani lelaki dan air mani perempuan akan bersatu di dalam rahim menjadi segumpal air beku. Kemudian ianya menjadi darah beku. kemudian menjadi daging. Daging inilah yang kemudiannya akan beransur-beransur membesar menumbuhkan tulang yang diselimuti oleh daging, lalu diberikan bentuk sebagai insan kecil yang masih berada di dalam rahim perempuan.

Sungguh-sungguh ianya merupakan satu keajaiban yang selalu terjadi sejak beratus-ratus tahun dahulu sehinggalah sekarang. Setiap minit ada saja manusia yang lahir. Setelah kelahiran, ianya akan membesar beransur-ansur selari dengan usia dan waktu yang berjalan. Dari baring ia meniarap, merangkak, bertatih, berjalan, berlari, bercakap, berpidato selari dengan akal budi yang berkembang di dalam otaknya.

Begitulah asal manusia yang bertebaran di atas muka bumi ini, berkembang biak, memenuhi bahgian-bahgian bumi yang dapat ia diami, menahan panas dan dingin, menyesuaikan diri dengan alam semula jadi.

Setelah bertebaran di muka bumi, berlayar dari pulau ke pulau, benua ke benua, mencari kehidupan masing-masing. Lautan diteroka, bumi digali mencari hasil bagi membantu kehidupan. Semuanya dilakukan dengan penuh semangat, tenaga dan perjuangan penuh samda dengan kejujuran dan ada juga dengan kecurangan, kepintaran dan kebodohan, menipu ataupun ditipu, yang kuat naik, yang lemah ditindas.

Tahap pencapaian ilmu dan akal yang diperolehi oleh seseorang itu tidaklah sama. Ada yang tahapnya sehingga menjadi ahli negarawan yang mentadbir sesebuah daerah, sesebuah negeri di dunia, dan ada juga yang menjadi ahli agama untuk mengisi jiwa dengan ajaran Ilahi, ada juga yang menjadi nabi, rasul. Ada yang baik dan ada juga yang buruk. Ada yang kaya dan ada juga yang miskin melarat. Ada juga yang menjadi orang besar yang namanya menghiasi sejarah dan ada juga yang jadi orang yang tidak dipedulikan, umpama pasir, datangnya tidak dipedulikan, hilangnya tidak diketahui. Namun mereka semua kaya miskin, berpangkat atau merempat, tetaplah semuanya itu manusia. Berkembang biak terus menerus di muka bumi ini.

Demikianlah Allah mengkehendaki, iaitu mengangkat khalifahNya di muka bumi ini. Namun khalifah itu bukanlah didatangkan dari tempat lain, melainkan diambil dari bahannya dari bumi itu sendiri. Maksudnya dari bumi itu jugalah bahan-bahan untuk dijadikan manusia itu diambil, dan diberikan nyawa. Dan nyawa itu terpegang di tangan Allah sndiri. Hidup manusia di muka bumi itulah yang akan mencipta sejarah dan menimbulkan sifat yang kita sebut sebagai perikemanusiaan ataupun sekarang ini sejak akhir-akhir ini kita sudah mula mahu mencipta sejarah untuk mencipta sifat perikebinatangan pula.
 


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
21 - Dan di antara tanda-tanda kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Ini adalah seruan untuk seluruh manusia, bahwa manusia itu sebagai manusia, sebgai cucu Adam pada hakikatnya adalah satu. Ayat 1 dan 4 dari Surah An Nisa’ telah menjelaskan bahwa penciptaan manusia itu ialah dari nafsin waahidatin, iaitu dari diri yang satu, yang bernama  manusia. Dari manusia yang satu itu juga, bukan diambil dari tempat lain, maka dijadikan akan isteri-isterinya. Sesuai dengan hadith Rasulullah saw yang berbunyi:

Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :
“Allah mewakilkan seorang Malaikat untuk menjaga rahim. Malaikat itu berkata : “Wahai Rabbku! Nuthfah, Wahai Rabbku! Segumpal darah, wahai Rabbku! Segumpal daging.” Maka apabila Allah menghendaki untuk menetapkan penciptaannya, Malaikat itu berkata : “Wahai Rabbku! Laki-laki atau perempuan? Apakah (nasibnya) sengsara atau bahagia? Bagaimana dengan rezkinya? Bagaimana ajalnya?” Maka ditulis yang demikian dalam perut ibunya.
(HR. Bukhari `11/477 -Fathul Bari dan Muslim 2646 riwayat dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu)

Hadis ini dapat memberikan penjelasan bagi kita bahwa manusia itu adalha satu jenisnya. Dari jenis yang satu itu jugalah Allah menjadikan perempuan. bukan dari yang lain. Kerana perempuan ini kelak akan dipasangkan dengan lelaki. Kerana Allah telah pun berfirman di dalam surah An Naba’ ayat 8 yang bermaksud:
“Dan Kami ciptakan kamu itu berpasang-pasangan.”

Maka Allah mempertemukanlah jodoh di antara kedua pihak si lelaki dengan si perempuan untuk melanjutkan tugas pembiakan zuriat di muka bumi ini. Sudah Allah tentukan lumrah hidup manusia, bahwa mereka memerlukan untuk hidup berpasangan. berteman. Untuk mengelakkan seseorang itu dari kesepian dan terpencil tidak berkawan. Oleh itu si lelaki akan mencari si permpuan untuk dijadikan teman. Manakala si perempuan pula akan menunggu-nunggu untuk si lelaki datang mengambilnya sebagai teman.

Maka hidup pun dipadukanlah menjadi satu. Setelah itu cinta dan kasih sayang dengan sendirinya akan mula tumbuh. Dan mereka menjalani hidup bersama dengan menyempurnakan keperluan antara satu sama lain. Saling lengkap melengkapi. Dengan itu maka akan berlakulah pembiakan manusia secara langsung. Dan perpaduan mereka bertambah erat dengan timbulnya manusia lain di tengah-tengah mereka iaitu anak-anak, cucu-cucu dan keturunan-keturunan mereka yang lain. Ianya menjadi semakin membesar dari satu keluarga yang kecil sehinggalah menjadi satu masyarakat yang besar.

Jelaslah di sini bahwa hubungan lelaki dan perempuan adalah menjadi satu di antara ayat-ayat Allah , ataupun satu di antara berbagai ragam kebesaran Allah. Ianya terbina di atas kebijaksanaan Allah yang sesuai dengan kepentingan makhluk  itu sendiri. Bukan ianya dijadikan untuk sia-sia. Bahkan ianya diciptakan untuk pelbagai macam tujuan, yang perlu diperhatikan dan difikirkan oleh orang-orang yang waras dan matang fikirannya.








وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ
22 - Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.

Di dalam susunan ayat ini seorang yang berakal disuruh terlebih dahulu mendongak dan melihat ke langit dengan ketinggian dan keluasannya. Di siang hari awan berarak, di malam hari bintang berkelipan. Adan bintangyang beredar terus, nampak berkelip-kelip dan ada juga yang hanya sekali saja ia melintas di bumi dalam masa 40 tahun. Ada juga yang hanya sekali kelihatan seumur hidup manusia dan kemudiannya tidak kelihatan lagi. Ada juga bintang yang tetap kelihatan dengan pandangan yang indah.

Disuruh juga manusia agar memerhatikan gunung yang tinggi tegak berdiri, hujan yang turun renyai dan adakalanya deras meribut, angin berhembus lembut, hutan menghijau, laut luas membiru, ombak memukul pantai, sungai mengalir deras, rumput-rumput yang merata, akar yang berjuntaian, binatang serangga, ikan dan burung dan bermacam-macam lagi.

Sesudah mendongak ke langit dan melihat bumi, manusia disuruh kembali semula melihat dirinya sendiri. Di antara manusia dengan manusia yang lain terdapatnya bahasa yang berlainan dan berbagai-bagai. Ada bahasa Inggeris, melayu, cina, india, jepun, latin dan berbagai lagi. Bukan saja di negeri lain, malah di bumi kita Malaysia sendiri terdapatnya berbagai dialek yang berlainan. Ada dialek klantan, kedah, penang, perak, johor, iban, jawa, sabah, kadazan dusun, bajau dan berbagai lagi. Dan kalau tidaklah kerana adanya bahasa Melayu yang dijadikan sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan semua rakyat di Malaysia ini, alangkah sukarnya untuk kita berkomunikasi di antara satu sama lain.

Di negara kita saja sudah ada berbagai bentuk dialek. Inikan pula negara lain yang berbagai ragam, entah berapa ribu banyak bahasa di dunia ini. Tedapat pula kelainan warna kulit, warna muka, Kulit kuning, sawo matang, hitam arang, coklat, kulit merah putih, putih pucat dan sebagainya lagi.

Begitulah Allah jadikan manusia dengan tidak ada satu pun yang menyerupai di antara satu sama lain. Semuanya berlainan. Sehingga hari ini, dianggarkan penduduk dunia adalah sekitar 7,000,000,000 ramainya. Dan tidak satu pun di antara mereka ini yang serupa. Hanya lah kelihatan sepintas lalu mereka sesama manusia akan kelihatan sama, tetapi Allah telah mentakdirkan untuk tiap-tiap diri manusia, akan ada keperibadiannya masing-masing yang tersendiri yang berbeza dari yang lain.

Alangkah kayanya Allah dengan rupa dan bentuk yang demikian. Sudah beberapa ratus tahun manusia telah hidup di dunia, yang datang dan yang pergi, dan ada lagi yang akan datang, menggantikan yang sekarang ini yang pasti menunggu masa untuk pergi, namun tidak ada satu pun yang serupa. Sungguh inilah suatu keajaiban yang dahsyat. MasyaAllah…

Di hujung ayat ini, membayangkan tentang betapa pentingnya seseorang itu untuk mempunyai ilmu pengetahuan di samping pada ayat yang sebelumnya mereka dianjurkan untuk berfikir. Segala tanda-tanda yang disebutkan itu sungguh-sungguh menggalakkan manusia untuk berfikir dan belajar. Mengajak manusia mendirikan berbagai institusi penyelidikan dan universiti dengan berbagai fakulti selari dengan sangat banyaknya ilmu yang timbul di atas permukaan bumi ini untuk diselidiki dan dikaji.

Bertambah mendalam penyelidikan dibuat, maka bertambah timbul keyakinan bahwa alam ini seluruhnya adalah suatu teknik Agung yang menyeluruh. Namun ilmu yang dikatakan sekian banyak dan masih belum habis untuk dikaji ini adalah baru sedikit yang dianugerahkan Allah kepada kita. Ilmu yang sekian banyak ini, takkan habis untuk dikaji walaupun sudah beribu-ribu tahun hidup mengkaji dan akan dikaji lagi. Dan penemuan demi penemuan itu walapun dirasakan besar dan takjub untuk manusia, namun ianya hanyalah sekelumit dari Allah Yang Maha Berilmu.  






وَمِنْ آيَاتِهِ مَنَامُكُمْ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَابْتِغَاؤُكُمْ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَسْمَعُونَ
23 - Dan di antara tanda-tanda kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).

Apabila matahari telah terbenam udara yang panas berubah menjadi sejuk, kesejukan udara dan bumi yang diliputi gelap menyebabkan keadaan menjadi sesuai untuk istirehat. Maka mata pun melayu untuk tidur. Siang hari pun adakalanya kerana keletihan kita juga mengambil kesempatan untuk tidur sekejap, iaitu qailullah.

Dan apabila  matahari terbit semula, maka terbukalah semula waktu lapang untuk berusaha mencari sebahagian dari kunia Allah untuk hidup, mencari makan dan minum, untuk mencari nafkah perbelanjaan anak dan isteri, membangun rumahtangga sederhana, sehingga setiap hari siang yang kita lalui, penuh dengan amal bakti yang soleh dan berisi dengan keimanan kepada Allah.

Ini adalah juga sebahagian dari kebesaran dan kekuasaan Allah. Berbagai ayat kita temui di dalam Al Quran yang menyuruh kita berusaha mencari makan dan minum, asalkan jangan berlebihan sehingga terpukau dan terleka begitu saja, dan lupa pula kepada Allah yang memberikan kesempatan itu.

“Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran). ‘
Perhatikanlah di hujung ayat ini disebut tentang orang-orang yang suka mendengar, suka memasang pendengarannya. Kerana dengan pancaindera, di antara kelima panca indera yang menghubungkan peribadi tiap-tiap manusia dengan alam sekelilingnya  ialah melihat dan mendengar.

Jadi bolehlah kita gunakan pancaindera pendengaran kita itu untuk mendengar bunyi ombak ketika menghempas ke pantai, bunyi siren kapal ketika membawa barang kiriman keluar dari dermaga, bunyi kapalterbang yang membelah awan menuju ke destinasinya. Dengarkanlah segala bunyi, nyaring dan perlahan, merdu dan sumbang, menyedihkan dan membosankan. Dengarkanlah suara burung menyanyi, lembu mengeluh, kambing mengembik, anjing menyalak, kucing mengiau, ayam berkokok dan berbagai bunyi lagi. Dengan kesukaan memasang telinga untuk mendengar, maka akan banyaklah hikmah tanda-tanda kekuasaan Allah yang akan dapat kita ketahui nantinya.





وَمِنْ آيَاتِهِ يُرِيكُمُ الْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَيُحْيِي بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
24 - Dan di antara tanda-tanda kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.

Sekarang kita disuruh melihat dengan mata kepala kita sendiri betapa dahsyaatnya tanda kekuasaan Allah yang ada di ruang angkasa. Mula-mula kelihatanlah langit yang tadinya cerah, tidak berawan panas matahari laksana membakar. Tiba-tiba mulailah angin berhembus, mulanya sepoi tetapi tidak lama kemudian sudah mulai kencang. Dilihat ke langit, dalma masa yang tidak sampai beberapa minit saja, awan tadi mula berkumpul dan bergumpal. Mulanya memutih tetapi dengan tak semena-mena menjadi berwarna gelap hitam dan pekat. Mulailah kedengaran guruh yang agak kuat dan angin pun bertambah kencang. Umpama ribut kecil.

Tiba-tiba memancarlah sinar cahaya seumpama cahaya elektrik. Sinar cahaya ini kita panggil sebagai kilat atau petir. Berlaku dan memancar dengan cepat sekali, umpama cemeti memukul ke ruang angkasa. Sebaik saja sinar kilat itu memancar maka kedengaranlah pula bunyi petir yang sangat dahsyat bunyinya. Lebih berpuluh kali ganda dahsyatnya dari letupan bom meriam yang dibuat oleh manusia.

Ketika itu timbullah rasa takut setelah mendengar bunyi yang dahsyat sesudah kita melihat sinaran kilat tadi. Tetapi takut kita itu adalah bercampur dengan keinginan. Keinginan supaya hujan segera turun. Makanya dengan adanya kilat tadi, ianya dapat menimbulkan harapan bahwa di sebalik terciptanya sesuatu yang menakutkan itu, tedapatnya harapan dengan turunnya hujan dari langit. Dan bumi tadi yang mati kerana kering akan basah dan hidup semula kerana disimbahi hujan.

Adanya ciptaan Allah yang sedemikian tadi menjadi bukti yang jelas betapa Allah berkuasa mengadakan hari kebangkitan pula dan menjadikan saat-saat kiamat. Sebab tanaha yang pada mulanya kering tidak menerbitkan tumbuhan kemudian dapat pula bergerak dan hidup dengan subur semula. Inilah suatu contoh yang menunjukkan kekuasaan Allah dapat menghidupkan benda yang sudah mati, diadakanNya hari kiamat di mana manusia nanti kaan dibangkitkan dari kubur untuk menemui Tuhannya.




وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ تَقُومَ السَّمَاءُ وَالْأَرْضُ بِأَمْرِهِ ثُمَّ إِذَا دَعَاكُمْ دَعْوَةً مِنَ الْأَرْضِ إِذَا أَنْتُمْ تَخْرُجُونَ
25 - Dan di antara tanda-tanda keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Ia menyeru kamu dengan satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta merta keluar (dari kubur masing-masing).

Bukti tentang kekuasaan Allah yang seterusnya adalah terdirinya langit dan bumi dengan kebenaran dari Allah, tanpa mempunyai tiang yang menongkat dan menegakkannya. Bahkan makhluk-makhluk di sekelilingnya beredar di angkasa dengan mempunyai peredaran yang tetap dan teratur sedikit pun tidak berselisih dari tempat peredaran masing-masing.

Bumi beredar, awan pun beredar mengelilinginya, dan udara juga beredar mengikut ke mana ia berjalan. Seterusnya bulan dan bintang, mempunyai peredarannya masing-masing, terus berputar dengan terapung-apung di angkasa luas mengelilingi matahari. Sedangkan matahari pula bersama lain-lain bintang yang mengedarinya semuanya itu bertugas menjalankan kewajipannya mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah.

Kesimpulannya bahwa ciptaan Allah berupa alam ini yang begini indah dan teratur pentadbirannya merupakan keterangan tentang adanya Allah yang mencipta dan yang mentadbirkannya.

Lalu Allah memanggil manusia dengan suatu panggilan dari bumi, iaitu yang melambangkan berakhirnya tempoh alam dan kesudahan dunia kerana sudah sampai masanya dia menjadi rosak peralanannya. Iaitu bumi bertukar menjadi bumi yang lain, sebab gunung-gunung sudah berterbangan dan terjadilah saat kehancuran. Maka datanglah pula panggilan Allah pada manusia, untuk dikeluarkan dari kubur dan dibangkitkan semula seperti sedia kala.








Ar Rum ayat 26 Dan 27

وَلَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ كُلٌّ لَهُ قَانِتُونَ
26 -  Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaanNya, masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturanNya.

وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ وَلَهُ الْمَثَلُ الْأَعْلَى فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
27 - Dan Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Dari Dia kita semua datang dan kepadaNya lah kita semua akan kembali. Pepohon yang tumbuh subur berdaun dan berbuah lalu kian tua, gugur dan akhirnya mati. Begitulah juga kita manusia. Masing-masing menurut apa yang telah ditentukanNya. Tida ada yang dapat bertahan selama-lamanya.

Namun ramai di kalangan manusia ini yang tidak sedar akan hakikat kebenaran ini. Mereka enggan menempuh maut yang menanti mereka, bahkan bila mereka kenangkan akan kematian itu saja pun mereka sudah takut. Namun yang pasti mereka tetap akan mati juga. Mesti juga tunduk dengan ketentuan Allah.

Sesungguhnya Allah lah yang memulakan kejadian setiap makhluk. Asalnya makhluk itu tidak ada lalu dijadikan menjadi ada, kemudian setelah wujud untuk satu jangkamasa yang ditetapkan, maka ianya akan dibinasakanNya pula. Dan sesudah itu akan diulang lagi kejadiannya sepertimana yang mula-mula dulu. Yang demikian itu bagi Allah adalah tersangat mudah saja. Bahkan untuk mengulang semula kejadian makhluk itu pun sebenarnya lebih mudah berbanding dengan mengadakannya pada pertama kali pada pandangan mata orang-orang yang berakal. Walhal segala perkara “yang mungkin” atau harus wujudnya itu bagi Allah adalah sama saja tidak wajib dan tidak mustahil untuk diadakanNya.

Ciptaan langit dan bumi adalah contoh yang paling indah sebagai sifat ketinggian Allah. Segala sifat terpuji dan mulia, pada Allah lah puncak keagungan dan kesempurnaannya. Kalau misalnya kita menyebut perihal hidup, maka Allah lah sumber hidup sejati dari segala yang hidup. Dan segala yang hidup ini jika datang ajalnya, ia pasti mati. Namun Allah tidak akan pernah mati selamanya.

Jika kita melihat di dalam alam ini terdapat berbagai ragam keindahan, namun keindahan sejati adalah Tuhan dan Dialah sumber dari segala keindahan itu.

Jika kita melihat adanya kesempurnaan dalam alam, namun kesempurnaan itu didapati kerana adanya pula kekurangannya. Supaya kita lebih yakin bahwa Yang Maha Sempurna, dan tidak ada cacat celanya walau sedikt pun hanyalah Allah saja.

Oleh sebab itu terdapatlah nama-nama Allah, yang disebut sebagai “Al Asma Ul Husna”, iaitu nama-nama yang Maha Indah sampai lebih dari 99 banyaknya dan berbahagialah kita apabila kita dapat mengetahui semua nama-nama itu.

Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa tak terkalahkan sesiapa, lagi bijaksana mengatur urusan makhluk dan memperlakukan mereka mengikut kehendak yang sesuai dengan kebijaksanaanNya.







Ar Rum Ayat 28 Dan 29

ضَرَبَ لَكُمْ مَثَلًا مِنْ أَنْفُسِكُمْ هَلْ لَكُمْ مِنْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ مِنْ شُرَكَاءَ فِي مَا رَزَقْنَاكُمْ فَأَنْتُمْ فِيهِ سَوَاءٌ تَخَافُونَهُمْ كَخِيفَتِكُمْ أَنْفُسَكُمْ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
28 -  Ia mengemukakan kepada kamu satu misal perbandingan dari keadaan diri kamu sendiri, iaitu: Relakah kamu menerima sebahagian dari hamba-hamba abdi yang kamu miliki itu menjadi rakan kongsi kamu pada harta benda yang Kami telah kurniakan kepada kamu, supaya dengan penerimaan kamu itu, mereka dengan kamu menjadi sama-sama berhak padanya, sehingga kamu pun tidak berani (menguruskan harta benda itu dengan tiada persetujuan) mereka, sebagaimana kamu tidak berani (berbuat demikian dengan orang-orang yang berkongsi dengan kamu - yang setaraf dengan) diri kamu? Demikianlah Kami menjelaskan keterangan-keterangan satu persatu bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahaminya.

بَلِ اتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَهْوَاءَهُمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَمَنْ يَهْدِي مَنْ أَضَلَّ اللَّهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ
29 -   Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab.

Ayat ini mengandungi sebuah perumpamaan yang Allah buat untuk orang-orang yang menyekutukan diriNya. Iaitu untuk orang-orang yang menyembah selain Allah. Atau orang-orang yang menjadikan sekutu bagi Allah.

Allah tanya kepada mereka, adakah patut kamu orang yang merdeka semuanya boleh nak disamakan dengan hamba-hamba sahaya kamu dalam memiliki harta kekayaan yang Allah kurniakan kepada kamu? Relakah kamu sekiranya kamu disekutukan dan berkongsi milik harta kekayaan tersebut bersama dengan hamba-hamba kamu. Setujukah kamu sekiranya hamba sahaya kamu diberikan kuasa yang sama dengan kamu untuk mentadbir harta kekayaan yang kamu miliki. Hamba sahaya kamu tidak boleh menggunakan harta sewenangnya tanpa pertsetujuan kamu , dan kamu juga tidak boleh menggunakan harta sewenangnya tanpa persetujuan hamba kamu? Patut kah begitu? Sanggupkah kamu? Tentunya tidak patut dan tidak sanggup, kan?

Ok, kalau kamu tidak redha diperlakukan sebegitu disamakan dengan hamba sahaya kamu , inikan pula Allah? Sedangkan kamu adalah hamba Allah, yang sememangnya tidak patut menyekutukan Allah. Maka sanggup pula kamu rela mempunyai tuhan lain dan hendak berbelah bagi ketaatan kamu untuk beribadat kepadanya?

Memanglah tiap-tiap seseorang itu pasti tidak akan suka kalau dirinya disamakan dengan hamba sahayanya dalam menguasai dan mentadbirkan harta kekayaan kepunyaannya sendiri. Jadi hendaklah orang-orang ini berfikir secara waras bahawa Allah pun lagi lah tidak layak untuk disamakan dan disekutukan dengan berhala-berhala yang juga menjadi sebahagian dari makhluk ciptaanNya.

Perumpamaan yang telah dibuat ini hendak dijadikan bahan renungan kerana dengannya dapatlah dibezakan di antara perkara yang benar dengan perkara yang salah. Dan demikian jelaslah sudah dan tidak menjadi kemusykilan lagi bagi orang-orang yang berakal, yang mahu memikirkan kebenaran apa yang dijelaskan oleh Allah itu.

Tetapi orang-orang yang menganiaya dirinya sendiri disebabkan kufur kepada Allah, mereka itu hanya mengikuti kemahuan nafsu mereka tanpa berpengetahuan, bahakan didorong oleh kejahilan terhadap hak-hak Allah yang patut mereka tunaikan. Mereka menyekutukan Allah dengan patung-patung dan berhala yang mereka sendiri buat dengan tangan-tangan mereka dan kemudian mereka sembah.

Kalaulah mereka gunakan akal fikiran mereka dengan cara yang sihat, pasti mereka akan merasakan bahwa perbuatan itu adalah sangat tidak waras bagi orang yang berakal. Dan pastinya mereka akan meninggalkan perbuatan itu serta insaf, lalu akan kembali ke pangkal jalan.

Jadi siapakah pula yang akan memimpin orang-orang yang dibiarkan sesat oleh Allah itu? Jawabnya, tidak ada siapa-siapa yang akan memimpin orang-orang yang diciptakan Allah akan berkeadaan sesat dan berterusan enggan untuk berikhtiar dan berusaha menyelamatkan dirinya ke jalan yang terpandu. Ini adalah kerana perbuatan mereka itu adalah tersangat buruk dan di luar fitrah beragama.

Hanya Allah sajalah yang tahu akan keadaan orang-orang yang seperti itu. Mereka kelak tidak akan mempunyai penolong. Maksudnya takkan ada sesiapa pun yang akan menolong untuk menyelamatkan mereka dari seksa Allah apabila ianya menimpa mereka nanti. Kerana apa yang dikehendaki Allah pasti akan berlaku, dan jika tidak dikehendakiNya tidaklah ianya akan berlaku.






Ar Rum Ayat 30

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
30 - Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetapkanlah atas) fitrah Allah yang telah menciptkan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah.  (Itulah) agama yang lurus. Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,

Allah memerintahkan hamba-hambaNya agar tegakkanlah wajahmu, maksudnya berjalanlah tetap di atas jalan agama yang telah dijadikan syariat oleh Allah untuk diri kita. Agama itu adalah agama yang disebut Hanif, yang sama ertinya dengan Al Mustaqim, iaitu LURUS. Tidak membelok ke kiri atau ke kanan. Hanis ini juga adalah agama yang disebut untuk agama Nabi Ibrahim. Bahkan dijelaskan bahwa yang ditegakkan oleh Nabi Muhammad sekarang ini ialah agama Hanif itu. Atau pun disebut sebagai Ash-Shiratal Mustaqim, sesudah ianya diselewengkan dari tujuan semula oleh anak cucunya. Baik anak cucu keturunan Bani Israel, mahupun keturunan Bani Ismail.

Keturunan Bani Israel telah menyeleweng agama nabi Ibrahim itu menjadi agama keluarga, lalu mereka beri nama Yahudi, dibangsakan kepada anak tertua dari Nabi Yaakub yang bernama Yahuda. Nama Nabi Yaakub sewaktu kecil ialah Israel.

Kemudian itu keturunan selanjutnya iaitu Bani Ismail pula telah menyelewengkan agama Nabi Ibrahim dengan memasukkan ajaran agma kuno mereka ke dalam agama Nabi Ibrahim. Dikatakanlah bahwa tuhan itu adalah tiga dalam yang satu dan satu dalam yang tiga. Iaitu Allah Bapa, Allah Putera dan Allah Roh Suci.

Nabi Ibrahim mendirikan kaabah sebagai rumah pertama di dunia yang diperuntukkan bagi menyembah Allah Yang Maha Esa. Tapi lama kelamaan anak cucu Nabi Ibrahim ini dari keturunan Nabi Ismail, yang menjadi bangsa Arab, tidak lagi menyembah Allah secara langsung. Mereka telah mereka berhala-berhala dan diletakkan di sekeliling kaabah untuk disembah dan dipuja. Pada mulanya hanya ada satu dua tiga berhala saja. Kemudian lama kelamaan ianya telah menjadi banyak sehingga berpuluh-puluh bilangannya.

Akhirnya setelah Nabi Muhammad datang, jumlah keseluruhan berhala yang ada di sekeliling kaabah itu adalah menjangkau 360 ekor semuanya. Malah di dalam kaabah itu sendiri pun mereka letakkan berhala. Semuanya ini menjadi bukti bahwa jalan yang lurus itu telah banyak dialihkan orang yang datang kemudian, samada disedari ataupun tidak.

Oleh itu, maka di dalam ayat ini Allah kata, ‘hadapkanlah wajah kamu dengan lurus kepada agama Allah’. maksudnya tegakkanlah muka dan pendirian kita ke jalan yang lurus, jalan yang sebenar-benarnya , bukan jalan yang diarahkan oleh orang-orang yang telah memesongkan agama Allah. Tetapkanlah fitrah kita sendiri, iaitu perasaan yang asli dan murni yang ada di dalam jiwa sanubari kita yang belum dipengaruhi oleh apa-apa lagi, untuk mengakui bahwa adanya kuasa yang Maha Tinggi di dalam alam ini. Yang Maha Kuasa, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kaya Raya.   

Pada ayat 172 dari surah Al A’raf, Allah telah menceritakan tentang fitrah ini. Iaitu sebelum manusia itu wujud ke dunia, dilahirkan ke dunia, pada masa itu manusia masih berada di dalam alam roh lagi. Allah telah bertanya, bukankah Allah itu tuhanmu? Dan manusia itu semua menjawab, ‘Ya. Aku bersaksi bahawa kamulah Tuhanku.”

Maknanya sebelum kita dilahirkan dahulu kita telah mengangkat sumpah, telah bersaksi bahwa Tuhan kita adalah Allah. Bukan siapa-siapa yang lain. Bukan berhala. Bukan matahari. Bukan. Bukan. Dan Bukan.

Maka sejak awal tumbuh sebagai yang dinamakan insan, pengakuan akan adanya Allah Yang Maha Pencipta itulah yang dinamakan sebagai fitrah. Iaitu sesuatu yang tumbuh di dalam akal. Bahkan boleh dikatakan bahwa ‘sesuatu’ inilah yang menjadikan akal itu tumbuh subur.

Maka dapatlah dikatakan bahwa kepercayaan akan adanya Yang Maha Kuasa, adalah fitri ataupun asli bagi setiap manusia. Jauh di dalam diri setiap manusia sudah ada pengakuan bahwa Allah itu Tuhan. Setiap manusia. Tak kira mukmin atau kufur. Kerana tadi Allah dah bagitahu sebelum manusia dijadikan ke dunia, mereka akan ditanya seorang demi seorang akan persaksian siapakah tuhan mereka. Dan semuanya menjawab Allah lah tuhan mereka. Jadi sekiranya mereka menentang akan adanya Allah, ianya bererti mereka menentang fitrah yang ada di dalam diri mereka sendiri.

Fitrah yang ada di dalam diri setiap manusia itu adalah ketentuan Allah semata-mata. Kepercayaan atas adanya Yang Maha Kuasa adalah fitrah dalam jiwa dan akal manusia. Dan ianya tidak akan dapat diganti dengan yang lain. Pada dasarnya seluruh manusia, tidak kira tua muda, kaya miskin, berpangkat atau hina, bangsa atau keturunan, semuanya dilahirkan ke dunia dengan keadaan yang demikian. Semuanya telah berikrar bahwa Allah lah tuhan mereka.

Sabda Nabi sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud: “ dari Abu Hurairah , berkata Nabi saw, “tidaklah dilahirkan seorang anak melainkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang meyahudikannya, atau menasranikannya, atau memajusikannya.”

Fahamilah kita bahwa yang membentuk jiwa manusia itu adalah dari pengaruh lingkungan mereka sendiri. Dijelaskan di dalam hadis ini bahwa lingkungan pertama bagi setiap manusia ialah asuhan ibu bapa mereka. Pernah ada orang moden yang berkata, biarkan sajalah anak-anak itu bebas, jangan diisi dengan agama. Kalau nanti dia sudah dewasa kelak dia sendiri akan memilih mana agama yang sesuai dengan jiwanya.

Teori ini telah diamalkan oleh kebanyakan dari penduduk dunia yang kononnya inginkan kemodenan dan bersikap terbuka. Tetapi hasilnya, kekosongan jiwa yang tidak diisi dengan agama yang dihidapi oleh kebanyakan orang di zaman moden ini sehingga menyebabkan ada yang sanggup mencabut nyawa diri sendiri, ialah kerana kesalahan berfikir yang demikian.

Yang sebenar-benarnya rasa beragama yang asli itu harus dipupuk oleh kedua ibu bapa terhadap kanak-kanak itu sendiri semasa mereka masih kecil lagi. Agar di waktu usia kanak-kanak itu menjangkau 7 tahun, mereka sudah dapat kenal siapa tuhan mereka selari dengan usia mereka, dan rasa untuk menyembah kepada tuhan yang Satu itu lahir dengan sendirinya di dalam hati mereka. Iaitu sembahyang.

“(Itulah) agama yang lurus…”
Perintah supaya mentauhidkan Allah itulah merupakan agama yang benar, tidak ada bengkang bengkoknya dan tidak menyeleweng ke arah kesesatan. Agama yang bernilai tinggi. Agama yang berpegang teguh dengan syariat yang telah diatur oleh Allah berdasarkan kepada fitrah yang bersih.

“Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui “
Namun terlalu ramai yang hatinya tertutup untuk mengikuti jalan yang lurus. Terlalu ramai yang pandangan dan pendengarannya ditutup untuk mengetahui hakikat yang sebenarnya. Adakalanya dek kerana hawa nafsu, kerana segan untuk berpaling dari ajaran nenek moyang mereka yang telah lama dipusakai, ataupun kerana rasa kesombongan yang bermaharajalela di dalam hati yang tidak boleh dikalahkan.  Meskipun mereka faham tentang ajaran agmaa Allah yang benar, tetapi mereka tidak sanggup untuk mengakuinya. Sungguh mereka adalah di kalangan yang tidak mengetahui.






Ar Rum Ayat 31 Dan 32

مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَلَا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
31 - Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) kembali kepada Allah dan bertaqwalah  kepadaNya; dan dirikanlah sembahyang; dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik -

مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
32 - Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu).

Hendaklah kita sentiasa bertaubat dan kembali kepada Allah. Kerana kita ini pada hakikatnya adalah datang dari Dia. Sebab itu akan datang masanya nanti kita akan kembali kepadaNya juga. Suka atau tidak.

Yang perlu kita sedar ialah sesungguhnya kita sekarang ini adalah dalam perjalanan pulang. Yang mencelakakan kita nanti ialah kalau kita tidak sedar bahwa kita dalam perjalanan kembali. Selagi kita tidak boleh mengatasi dan mengawal gelora nafsu kita sendiri, selagi itulah kita tidak akan sedar bahwa kita dalam perjalanan kembali.

Untuk kita sedar, Allah telah menyediakan ujian dan dugaan yang berbagai ragam dan kehebatan untuk kita. Kita akan melalui pengalaman pahit dalam hidup, kegagalan, kejayaan, gembira silih berganti dengan duka dengan meratap tangis, susah senang, perit pedih, maka lama kelamaan kita telah belajar untuk mengawal nafsu kita. Bila nafsu sudah dapat dikawal, jiwa kita akan kembali tentang.

Maka di sinilah tercapainya sesuatu yang dipanggil An-Nafsul Mutma’innah. Sepertimana yang disebut di dalam surah Al Fajr, “ wahai jiwa yang telah mencapai ketenteraman, kembalilah kepada Tuhan kamu dalam keadan redha dan diredhai. Maka masuklah ke dalam kalangan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu.”

Allah menyuruh lagi manusia supaya bertaqwalah kepadaNya. Iaitu dengan menuntut redhaNya, mengharapkan kasihNya, takut akan seksaan-seksaanNya, dan berzikir kepadaNya, sehinggalah gerak geri hidup manusia itu terpelihara dari gangguan musuh-musuh diri, iaitu hawa nafsu, gangguan dunia dan syaitan.

Allah juga menyuruh agar mendirikan sembahyang kerana sembahyang itulah tanda seseorang hamba itu taat setia yang sejati kepada Penciptanya. Sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam. Ini dapat mengukuhkan ketaqwaan dan pengendalian hawa nafsu serta dapat membenteng diri dari anasir-anasir jahat. Malah dengan bersembahyang juga akan mengeratkan lagi hubungan hamba dengan Khaliq- nya. Apabila sembahyang lima waktu itu telah dikerjakan dengan sungguh-sungguh dan ikhlas, maka akan terhindarlah dirinya dari sifat untuk menyekutukan Allah.

Sekarang ini masih ramai lagi terdapatnya orang-orang Islam yang mengerjakan sembahyang lima waktu, mengucap dua kalimah syahadat, tetapi mereka masih musyrik. Mereka masih memohonkan keinginan mereka kepada Allah tetapi dengan perantaraan manusia. Ada juga yang menggunakan perantaraan kubur, haiwan, malah tangkal azimat puna ada.

Sebab itulah maka di dalam ayat 31 ini, sesudah manusia itu disuruh kembali kepada Allah, diperintahkan untuk bertaqwa, diperintahkan mendirikan sembahyang, tetapi masih lagi diperingatkan agar jangan menyekutukan yang lain dengan Allah.

Sebenarnya dasar kepada agama itu hanyalah satu, tidak dua atau tiga. Kedatangan Rasul membawa syariat, sejak zaman Nabi Nuh sehinggalah ke Nabi Muhammad saw adalah membawa agama yang satu. Iaitu mengakui bahwa tidak ada tuhan yang lain selain dari Allah. Nabi dan rasul datang silih berganti, namun seruan mereka hanyalah kepada jalan yang satu itu saja.

Tetapi di ketika kedatangan Nabi Isa yang mengakui dengan tulus ikhlas bahwa kedatangan beliau adalah untuk menggenapkan syariat Nabi Musa, orang-orang yng mengakui diri sebagai pengikut ajaran Nabi Musa telah menolak beliau. Mereka menuduh pula Nabi Isa bahwa kelahirannya ke dunia adalah dengan cara yang tidak halal. Nabi Isa mengatakan pula bahwa sesudah beliau kelak, akan datang lagi nabi yang lain yang terakhir sekali untuk menyempurnakan ajaran tauhid. Dan apabila nabi itu muncul, (Nabi Muhammad saw) , umat yang mengaku sebagai pengikut nabi Isa menuduh pula nabi itu sebagai palsu dan perosak. Dan pengikut Nabi Musa tadi pun turut membenci baginda, bahkan di antara pengikut kedua nabi terdahulu itu ada yang berpakat untuk membunuh baginda Nabi Muhammad saw.

Itulah contoh orang yang menyekutukan Allah. Iaitu orang-orang yang memecah belahkan agama, lalu menjadi beberapa golongan. Kemudian dari golongan itu terpecah pula menjadi beberapa kaum, puak-puak, dan kelompok-kelompok.

……..“tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu).”
Mereka merasakan diri mereka benar dan orang lain semua salah belaka. Dan tidak ada yang ingin mencari atau kembali kepada titik permulaan, iaitu iman kepada Keesaan Allah.

Sisters yang dirahmati sekalian,
Perkara ini masih lagi berlaku sekarang ini. Di zaman ini. Lebih malang lagi di dalam kelompok kita yang beragama Islam sendiri. Umat Islam yang mengakui diri sebagai pengikut Nabi Muhammad saw. Dapat kita saksikan sekarang, di dalam kalangan umat Islam pun ada yang berkelompok-kelompok. Kelompok ini dibahagi pula kepada berpuak-puak. Tak perlu admin sebutkan satu persatu nama atau gelaran yang diberikan kepada puak-puak atau kelompok-kelompok ini. Semuanya sisters sendiri sudah tahu dan faham sendiri.

Semua kelompok dan puak-puak ini, semuanya mahu menang sendiri. Semuanya mendabik dada mengatakan diri mereka benar. Dan oranglain semuanya salah. Sehingga paling ketara sekarang ini telah timbul berbagai permusuhan di antara puak-puak dan kelompok.

Itulah sebabnya maka di akhir zaman ini, yang sudah sampai kurun ke 14 jarak umat Islam terpisah dengan Nabi Muhammad sendiri, keselamatan dan kebahagiaan kita hanya akan tercapai sekiranya kita kembali semula kepada jalan yang disuruh Allah kepada Nabi saw tempuhi. Iaitu sepertimana yang dijelaskan di dalam ayat 30 tadi, “hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah),”   





Ar Rum Ayat 33 Dan 34

وَإِذَا مَسَّ النَّاسَ ضُرٌّ دَعَوْا رَبَّهُمْ مُنِيبِينَ إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا أَذَاقَهُمْ مِنْهُ رَحْمَةً إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ بِرَبِّهِمْ يُشْرِكُونَ
33 - Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian dari mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya;

لِيَكْفُرُوا بِمَا آتَيْنَاهُمْ فَتَمَتَّعُوا فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ
34 - Dengan sebab itu, mereka mengingkari nikmat-nikmat yang telah Kami berikan kepadanya. Maka (dikatakan kepada mereka): "Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara), kemudian kamu akan mengetahui (balasan kederhakaan kamu)".

Tegasnya ialah bahwa bilamana bahaya telah datang, mereka akan bergegas menyeru Allah. Waktu itu mereka ingat Allah. Waktu itu mereka benar-benar ingin kembali kepada Allah, tuhan yang satu. Kerana sudah terang dan nyata, banyak soal dalam hidup ini yang tenaga manusia tidak dapat mengatasinya.

Dan kemudiannya apabila bahaya itu telah diangkat, dan mereka pun telah terselamat dan aman semula, mereka jadi tidak ingat lagi bahawa rahmat keselamatan itu adalah datang dari Allah. Mereka kembali menyekutukan Allah dengan pemimpinnya. Meraka kata bahwa pemimpin mereka itulah yang berjasa. Ada yang menyekutukan Allah dengan kertas yang mereka pakai atau mereka puji pula hari kononnya keramat ataupun tangkal azimat. Itulah yang menyelamatkan mereka selama ini kononnya.

Dengan terang-terang mereka memungkiri peranan Allah dalam melepaskan mereka dari bahaya. Seakan-akan Allah tidak ada campur tangan dalam kebahagiaan yang mereka capai selama ini. Mereka bersuka ria menyambut kemenangan. Dan Allah mereka lupakan. Bahkan kerap kali kejadian bahawa dengan sebab rahmat Allah yang mereka terima, mereka lupa samasekali untuk berterima kasih kepada Ilahi yang menurunkan rahmat.

Sisters pernah tak tengok dalam filem-filem hollywood, cerita gempa bumi, atau gunung berapi meletus, cerita kiamat 2012 ke… kita tengok bila saja mereka telah terselamat dari bahaya mereka akan bersorak sorai riang sesama mereka. Bertepuk tangan dengan gembira. Berpelukan sesama mereka melahirkan kelegaan terlepas dari bahaya.

Ni…. Allah kata, “"Bersenang-senanglah kamu!” Bergembiralah semahu kamu sehingga kamu lupa bahwa keadaan gembira itu boleh saja akan berubah. Dan Allah boleh saja hendak mencabut kembali nikmat rahmat yang diberikan kepada kamu itu. Dan nantinya kamu akan tahu sendiri akan datangnya bahaya lain yang akan menimpa kelak. Yang kamu sendiri tidak akan sanggup mengatasi dan menyelesaikannya kalau tidak dengan pertolongan Allah.

Astaghfirullahal ‘azim… Ya Allah, ampunilah hambaMu ini yang selalu lalai dan alpa dengan nikmatMu. Lindungilah kami dari bala seksaanMu. Dan kurniakanlah kepada kami nikmat untuk terus beribadat kepadaMu. Amin.

Sisters,
Mohon agar renungilah ke dalam diri. Ayat ini begitu terpukul dan mengajar kita untuk tidak lalai dari menyembah Allah. Sedarilah bahwa segala nikmat yang diperolehi itu adalah dari Allah. Dari Allah. Bukan dari benda-benda lain, ataupun orang lain.  Jangan sampai kita menjadi seperti orang-orang musyrik ini yang dihancurkan Allah kerana kesombongan dan kebodohan mereka.





Ar Rum Ayat 35 Dan 36

أَمْ أَنْزَلْنَا عَلَيْهِمْ سُلْطَانًا فَهُوَ يَتَكَلَّمُ بِمَا كَانُوا بِهِ يُشْرِكُونَ
35 - Pernahkah Kami menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu) sebarang bukti keterangan, lalu ia menerangkan jalan yang membolehkan mereka lakukan perbuatan syirik itu?

وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ
36 - Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa

Allah bertanya lagi kepada mereka, pernahkah Allah menurunkan kepada mereka alasan atau perintah yang dapat dipertanggungjawabkan , bahwa Allah dapat disekutukan dengan yang lain? Pernahkan ada perintah dan keterangan dari Allah bahwa Allah telah sedia untuk memebahagikan kuasaNya dengan makhluk yang lain dalam menguasai alam ini?

Sesungguhnya pekerjaan yang mereka lakukan itu adalah sia-sia. Allah tidak pernah pun menurunkan wahyu atau perintah bahwa selain dari Allah patutnya disembah dan dipuja benda lain. Itu hanyalah karangan dan khayalan manusia saja, sebab otak mereka itu telah kabur dari sinar kebenaran.

Manusia itu sebenarnya telah dilengkapi dengan tabiat suka dan bermegah apabila mereka mendapat nikmat sebagaimana yang diceritakan Allah di dalam surah Hud ayat 10 yang berbunyi:
“nescaya dia mengatakan, “telah hilang dari aku kesusahan, sesungguhnya dia menjadi girang lagi berbangga.”

Manusia itu kalau rahmat datang,keuntungan tiba, mereka akan bergembira riang. Terlalu gembiranya mereka sehinggakan mereka lupa dari mana nikmat rahmat itu mereka perolehi, dari mana sumber tempat datangnya. Tetapi sekiranya mala petaka secara tiba-tiba datang, mereka akan terkesima, panik, tidak tahu hendak melakukan apa-apa sehingga ada yang kerana terlalu panik, kecewa dengan bencana yang menimpa secara tiba-tiba itu, telah sanggup berputus asa dengan membunuh diri. Mereka juga tidak ingat kepada Yang Memberi rahmat sebelum ini. Dan mereka akan lupa terus.








Ar Rum Ayat 37

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
37 -  Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahwa sesungguhnya Allah melapangkan rezki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan Dia (pula) yang menyempitkan (rezki itu). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.


فَآتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ ذَلِكَ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
38 - Maka berikanlah kepada kaum kerabat yang terdekat akan haknya, demikian (pula) kepada fakir miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan. Itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang mencari keridhaan Allah; dan mereka itulah orang-orang beruntung.
Sesungguhnya Allah lah yang menentukan pemberian rezeki, dan rezeki itu bukanlah semata-mata kekayaan hartabenda, bahkan yang utama sekali ialah fikiran, cita-cita, kecerdasan dan seumpamanya.

Ada orang yang terbentang luas rezekinya, dan ada juga orang yang berfikiran tinggi, bercita-cita besar, pemimpin negera, pemimpin bangsa dan sebagainya. Sebaliknya juga orang yang bodoh yang cita-citanya hidupnya hanya sekadar mencari makan saja.  Semua itu telah ditetapkan Allah mengikut kehendakNya.

Seseorang yang pintar ataupun bodoh, seorang berpangkat ataupun kuli cabuk, yang si kaya mahupun si misikin, semuanya itu adalah menjadi tanda bahwa alam ini ada Yang Mengatur. Itulah Allah. Terdapatnya imbalan di antara dua yang saling berlawanan. Iaitu di antara yang tinggi akan ada yang rendah. Di antara yang kaya pasti ada yang miskin. Itu adalah tanda Allah yang Maha Sempurna.

Kalau Allah yang Maha Sempurna menciptakan yang paling tinggi, sehingga tidak ada yang rendah, atau hanya menciptakan yang besar sehingga tidak ada yang kecil, maka bagaimanakah untuk kita mengenal akan Kekayaan Allah? Tidaklah mungkin mansia itu dibuat sama rata kekayaannya, ataupun kalau dijadikan miskin, sama-sama melarat semuanya. Kerana kalau demikian dapatlah dikatakan bahwa Allah itu tidaklah kaya dan di dunia ini tidak ada perjuangan hidup dan tidak ada erti kata berusaha.  

Sekiranya Allah membentangkan atau mengembangkan rezeki seluas-luasnya kepada sesetengah hambaNya dan yang setengah lagi ditahan rezeki mereka dengan terbatas, itu adalah salah satu dari tanda-tanda kebesaran Allah juga. Kerana kalau tidak dengan begitu, maka tidak akan ada di dunia ini satu sifat mulia yang dinamakan sebagai perikemanusiaan.

“Maka berikanlah kepada kaum kerabat yang terdekat akan haknya, demikian (pula) kepada fakir miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan.”
Disebutkan terlebih dahulu yang perlu ditolong ialah kaum kerabat iaitu keluarga yang terdekat. Hendaklah mereka itu terlebih dahulu yang kita tolong. Nabi saw juga lebih mengutamakan sedekah kepada keluarga dekat daripada memerdekakan hamba. Allah telah mewajibkan pemberian itu kepada mereka dahulu sebelum memberinya kepada orang lain. Hak kepada kaum kerabat ini bukanlah sekadar sedekah saja tetapi hak untuk berbuat baik dan menyambung tali silaturrahim kekeluargaan sesama mereka.

Setelah itu barulah diberikan bantuan kepada orang miskin yang mtidak mempunyai harta apabila mereka kesempitan untuk memenuhi keperluan mereka. Maka siapa yang mempunyai kelebihan dan berupaya melakukannya hendaklah segera membantu mereka.

Begitu juga kepada pengembara atau orang yang sedang di dalam perjalanan yang terputus bekalan perbelanjaan. Walaupun pada hakikatnya ia mempunyai harta di negerinya sendiri tetapi pada masa itu ia tidak dapat memperolehinya. Maka wajiblah orang itu dibantu perbelanjaannya, umpamanya dengan memberikan tambang pengangkutan , hingga sampai ke tempat yang dituju.

Pemberian kepada mereka ini adalah amal kebajikan yang sangat baik yang akan diterima oleh Allah dan diredhaiNya. Yang mana ianya akan diberikan pahala yang besar kepada mereka yang melakukannya. Dan ini tentulah merupakan keuntungan yang besar. Menabur amal bakti yang seperti ini adalah merupakan amalan yang baik, yang akan menjamin hubungan erat sesama manusia. Asal saja niatnya adalah kerana Allah khususnya di kalangan keluarga untuk saling tolong menolong semasa susah dan semasa senang.

Orang yang dermawan kerana Allah, adalah orang yang beruntung. Dia tidak dibenci orang kerana kebakhilannya. Malahan orang yang diberi bantuan akan mendoakannya pula tanpa dipinta. Tetapi orang kaya yang bakhil senantiasa akan dicemuh dan diumpat keji. Apatah lagi bila orang kaya itu sering mengungkit-ngungkit pemberiannya yang sedikit itu.






Ar Rum ayat 39 Dan 40

وَمَا آتَيْتُمْ مِنْ رِبًا لِيَرْبُوَ فِي أَمْوَالِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُو عِنْدَ اللَّهِ وَمَا آتَيْتُمْ مِنْ زَكَاةٍ تُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُضْعِفُونَ
39 - Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar dia menambah pada harta manusia, maka riba itu tidak menambah pada sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keridhaan Allah, maka (yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang melipat gandakan (pahalanya).

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ ثُمَّ رَزَقَكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ هَلْ مِنْ شُرَكَائِكُمْ مَنْ يَفْعَلُ مِنْ ذَلِكُمْ مِنْ شَيْءٍ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ
40 - Allah-lah yang menciptakan kamu, kemudian memberimu rezki, kemudian mematikanmu, kemudian menghidupkanmu (kembali). Adakah di antara yang kamu sekutukan dengan Allah itu yang dapat berbuat sesuatu dari yang demikian itu? Maha Sucilah Dia dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan.

Okay, tadinya Allah menyebutkan bahwa perlunya manusia ini hidup saling tolong menolong terutama sekali kepada kaum kerabat sendiri dan selepas itu kepada orang-orang miskin, dan seterusnya kepada sesiapa yang berada di dalam kesusahan.  

Di dalam ayat 39 ini Allah sebutkan pasal riba pula. Apakah kaitannya dengan ayat yang sebelum ini?
Okay, riba itu maknanya meminjamkan orang harta dengan janji ketika membayar pinjaman itu hendaklah diberikannya bunga atau faedah. Riba yang begini memang ternyata dilarang di dalam agama Islam. Tetapi ada lagi satu jenis riba yang tidak terlarang. kerana bunga atau faedah itu tidak dijadikan sebagai syarat.

Contohnya kita memberikan pertolongan, baik dari segi tenaga, atau harta benda kepada orang lain, tetapi ada harapan tersembunyi di sebalik pertolongan itu. Kita berharap agar pertolongan itu kelak akan dibalas, tak kira lah samada dengan ucapan terima kasih ke, ataupun pujian, atau memberikan buah tangan ke… inilah yang dinamakan sebagai riba yang tidak terlarang. Tetapi walaupun ianya tidak terlarang, tetapi ianya tetap tidak baik.

Jadi di dalam ayat 39 ini, Allah nak bagitahu kita, sekiranya kita memberikan pertolongan hendaklah pertolongan kita itu ikhlas kerana Allah. Bukannya kerana hendak mendapat imbalan lain. Bukannya kita berharap agar orang yang kita tolong itu tidak melupakan jasa kita di suatu hari nanti, dengan harapan kita nantinya akan ditolong balik oleh mereka. Itu adalah satu perbuatan yang tidak baik di sisi Allah.

Ini kerana tidak selalu orang itu akan tekenang jasa atau sanggup membalas jasa orang yang menolong mereka tadi. Misalnya menolong seorang miskin. Apakah balasan yang akan diharapkan dari mereka? Apakah kita mengharapkan mereka suka datang ke rumah untuk membersihkan perkarangan rumah kita? Alangkah rendahnya dasar cita ketika kita memberi kalaulah begitu halnya yang kita mahu.

Sebab itulah di dalam ayat ini ditegaskan, kalau kita memberi pertolongan mengharapkan balasan jasa dari orang lain, maka di sisi Allah pertolongannya itu tidak akan diberi penghargaan. Tidak ada pahala baginya.  

Tetapi jika kita berbuat sebaliknya, iaitu kita keluarkan harta kita berupa zakat, kita berikan dan niatkan  dari hati yang bersih dari mengharapkan manusia, melainkan mengharapkan wajah Allah, dijelaskan di hujung ayat ini bahwa orang yang berbuat demikian itu sesungguhnya telah melipatgandakan hartanya itu. Dia telah kaya. Rezeki yang diberikan Allah itu akan diberikan nilai yang tinggi sekali. Kerana harta benda yang digunakan untuk meratakan ke jalan Allah, adalah harta yang bernilai sangat tinggi. Dan pahala di sisi Allah pun akan diterimanya dengan berlipat kali ganda.

Sesungguhnya Allah lah yang menciptakan kita dari tanah, kemudian menjadi manusia yang bertebaran di muka bumi sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat 20 yang lalu. Kemudian Allah berikan kita rezeki sebagai jaminan hidup, selama kita masih hdiup di atas dunia ini. Dan setelah itu Allah matikan kita bila ajal kita telah sampai. Setelah mati, dan setelah sampai masa yang ditentukan Allah akan panggil kita semula dari kematian. Inilah yang disebut sebagai hari kiamat. Kiamat maknanya kebangkitan.

Maka Allah tanyakan lagi kepada kaum musyrikin, dapatkah sesiapa yang telah mereka berhala yang mereka sembah itu dapat menjadikan sepertimana apa yang Allah ciptakan? Dapatkah mereka menciptakan makhluk kemudian memberikan ia rezeki, mematikan dan membangkitkannya semula? Dapatkah mereka?Jawabnya tentulah tidak. Maka tidaklah patut mereka semua itu menyembah kepada patung dan berhala yang mereka sekutukan dengan Allah itu.

Maha Suci Allah dari disekutukan, kerana Dialah Tuhan yang Maha Esa, tempat meminta, tidak beranak, dan tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara denganNya.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.