Saturday, November 28, 2015

Surah Luqman Ayat 1 - 20






Pengenalan

Surah Luqman ini bilangan ayatnya sebanyak 34 ayat. Ia tergolong dalam kategori surah-surah Makkiyah, diturunkan selepas surah al Saffat dan sebelum surah Saba’.  Ianya termasuk surah-surah yang terakhir diturunkan di Mekah, kerana turunnya selepas turunnya peristiwa Isra’ dan Mikraj dan sebelum sedikit daripada peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah.

Seperti surah-surah Makkiyah yang lain, surah Luqman juga bertujuan untuk menunjangkan akidah dan keyakinan ke dalam jiwa, menanamkan keimanan yang bersih dan kepercayaan yang kukuh terhadap keEsaan Allah s.w.t. dan hari pembalasan.

Surah ini dinamakan dengan surah Luqman kerana memaparkan satu kisah mengenai Luqman yang dikurniakan hikmat kebijaksanaan dan rahsia mengenal Allah Taala, membanteras syirik, mendorong supaya berakhlak mulia dan menjauhi daripada akhlak tercela, di mana itulah tujuan utama kedatangan al-Quran al-Karim.

Sebenarnya nama-nama surah di dalam al-Quran, bukanlah sebagai  satu tajuk atau judul yang menerangkan satu-satu perkara yang khusus, malah sebagai petanda yang mesti diberi perhatian khusus di samping aspek-aspek lain dan bukan juga kerana nama itu lebih penting daripada perkara-perkara lain yang dihuraikan di dalamnya kerana semuanya adalah penting.

Tentang nama Luqman, tidak terdapat dalam al-Quran kecuali dalam surah ini sahaja, itupun di pertengahan surah. Dalam surah ini terdapat lapan ayat yang menyentuh tentang Luqman al-Hakim dan anak-anaknya, iaitu bermula dari ayat 12 hingga ke ayat 19.

Luqman ini adalah nama seorang yang selalu mendekatkan hatinya kepada Allah dan merenungi alam yang ada di sekelilingnya, sehingga dia mendapat kesan yang mendalam, sehingga terbukalah baginya rahsia dan hikmat dari kehidupan.

Ramai orang yang mengatakan bahwa Luqman ini berasal dari bangsa Negro, atau Habsyi, yang warna kulitnya hitam. Oleh sebab itu ketika memuji orang-orang yang mulia yang berkulit hitam itu disebut jugalah nama beliau bergandingan dengan Bilal Bin Rabah, Imam Atha seorang ulamak Tabi’in yang sangat terkenal di Mekah dan beberapa nama yang disegani lagi yang berkulit hitam.

Di dalam mencari pengisian Al Quran ini tidaklah penting untuk kita mengetahui dari mana asal usul Luqman. Al Quran pun tidak memberitahu tentang asal usulnya. Yang penting adalah dasar-dasar hikmah yang diwasiatkannya kepada putera-puteranya yang mendapat kemuliaan yang sangat tinggi, sehingga dicatat menjadi ayat-ayat di dalam AlQuran, disebutkan namanya 2 kali, iaitu di ayat 12 dan 13 di dalam surah 31 ini.

Mengapa pentingnya hikmah?
Al-Quran itu sendiri adalah al-hakim, yang bermaksud  “sentiasa mempunyai hikmah”. Bagaimana ia diturunkan, cara ia disusun, waktu ia disusun dan kepada siapa ia diturunkan semuanya mengandungi hikmah. Kerana rahmat Allah lah, Al-Quran diturunkan sebegitu rupa, dengan penuh hikmah agar kita dapat memahami dan menerima kandungan Al-Quran.

Bayangkanlah, perbezaan antara makhluk dan Pencipta. Sebagaimana jauhnya perbezaan antara kita dengan Allah, begitulah jauh kata-kata seorang manusia dengan kata-kata Allah yang menciptakan kita. Sekiranya Allah tidak memudahkan penyampaian Al-Quran kepada kita, nescaya kita tidak akan mampu memahaminya walau segigih mana kita berusaha.

Eleman hikmah itulah yang ditekankan oleh surah ini. Eleman yang semakin dilupakan. Elemen yang diabaikan dan dipandang remeh. Masing-masing ingin mencuba dengan cara mereka sendiri, tanpa ingin kembali kepada Al-Quran. Bahkan ada yang merujuk sumber dari barat tanpa melihat sedikit pun dari sumber Al-Quran yang jauh lebih bernilai.
Sasaran dakwah dianggap sebagai orang yang lebih rendah. Sentiasa menyalahkan mad’u sedangkan kita sendiri tidak berhikmah dalam penyampaian. Berdakwah kepada manusia tanpa peraturan dan hikmah. Ini merupakan kesilapan yang nyata namun diabaikan mereka yang tidak beramal dengan surah ini.

Ada banyak pengajaran yang boleh diambil di surah ini, yang Insya-Allah akan kita tadabbur nanti.  






Luqman Ayat 1

الم
1 - Alif, Laam, Miim.

Hanya Allah yang mengetahui akan maksudnya, dan huraian mengenainya telah pun terdahulu disebutkan.






Luqman Ayat 2

تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْحَكِيمِ
2 - Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,

Al Quran disebutkan sebagai kitab Al Hakim yang bermaksud sebuah kitab yang seluruh kandungannya adalah hikmah belaka. Iaitu rahsia dari kebesaran Allah. Sesuai sangatlah bila mana di permulaan ayat disebutkan sebagai Al Hakim, kerana selanjutnya kelak akan dihuraikan juga kata-kata hikmah yang akan keluar dari wasiat Luqman keapda puteranya. Ahli-ahli hikmah mengambilkan kesimpulan bahwa puncak dari seluruh hikmah, ataupun yang menjadi  hikmah sejati yang dapat dicapai oleh manusia ialah dengan mengenal Allah.










Luqman Ayat 3 Dan 5
هُدًى وَرَحْمَةً لِلْمُحْسِنِينَ
3 - Menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang sedia mengerjakan amal-amal yang baik

الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ بِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
4 - Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan memberi zakat, serta mereka yakin tentang adanya hari akhirat.

أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
5 -  Mereka itulah yang tetap mendapat hidayah petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Kitab Al Quran itu adalah sebagai petunjuk, pimpinan atau pun sebagai bimbingan kepada semua umat manusia.. Petunjuk ke arah mana? Ke arah keselamatan supaya nantinya tidak akan tersesat jalan. Umpamanya seseorang yang belum pernah datang ke bumi ini. Sudah tentulah mereka memerlukan petunjuk. Umpama seseorang yang memandu kenderaan menuju ke negeri yang belum pernah ia sampai. Maka orang ini sudah pastinya memerlukan petunjuk arah mana untuk menuju ke tempat tertentu, berapakah had laju yang harus dipandu kenderaannya, di manakah ia boleh meletakkan kenderaannya, di manakah ia akan dapat membeli makanan dan barang keperluannya,  dan sebagainya lagi petunjuk yang diperlukan supaya ia tidak melencong ke jalan lain yang membuatkan ia tersesat dan tidak tahu arah tuju.

Maka begitulah juga kita manusia dalam menempuh kehidupan ini. Kerana hidup ini adalah terlalu mahal harganya. Usia kita yang kita telah gunakan yang telah habis tidak akan dapat diganti lagi dengan yang baru. Sebab itu maka kita perlulah berhati-hati untuk menggunakan usia kita supaya ianya tidak habis dengan sia-sia.

Maka dalam kitab Al Hakim itulah akan dihuraikan petunjuk jalan bagi kita. Di sana disuruhnya kita berbuat yang maaruf dan dicegah kita dari berbuat yang mungkar. Buat apa-apa saja yang mendatangkan manafaat tetapi tinggalkan mana-mana yang mendatangkan mudharat dan kerugian kepada kita.  

Dan ia juga menjadi rahmat, petanda kasih sayang Allah kepada seluruh manusia, bahkan seluruh isi alam. Sesungguhnya Allah telah menjelaskan sendiri bahwa memberikan rahmat itu telah Allah wajibkan ke atas diriNya. Perkara itu telah dua kali berturut-turut Allah bagitahu kepada RasulNya, iaitu di dalam ayat 12 dan ayat 54 dari surah Al An’am. Allah akan memastikan menetapkan, mewajibkan ke atas diriNya sendiri agar melimpahkan rahmat kepada seluruh ciptaanNya.  Di dalam hadis Rasulullah saw bersabda bahwa rahmat itu ada 100 banyaknya. Tetapi Rahmat yang diturunkan ke dunia ini cumalah 1 saja. Dan 99 lagi akan diberikan semasa di akhirat nanti.   

Di antara rahmat yang besar yang telah Allah turunkan kepada umat di dunia ialah turunnya Al Quran dan kedatangan nabi besar Nabi Muhammad saw sebagai nabi akhir zaman.

Namun demikian Rahmat yang telah Allah turunkan ini hanya akan dapat dirasai oleh orang-orang yang berbuat kebaikan dalam melaksanakan tuntutan syarak dan kewajipan agama saja. Siapakah orang-orang ini?

Iaitu orang yang mendirikan sembahyang. Kerana sembahyang ialah hubungan utama dengan Allah, sebagai bukti keimanan keapda Tuhan. meskipun orang yang mengakui dan percaya akan adanya Allah, tetapi ia tidak mengerjakan sembahyang sebagaimana yang diajarkan oleh agama, maka belumlah lengkap orang itu mengerjakan kebaikan.

Sebab tidaklah cukup kalau sekadar mengakui adanya Allah hanya menurut akal saja. Setelah diakui ada Allah, hendaklah melatih diri dan jiwa agar mendekatkan diri kepada Allah pula. Kalau tidak disertai dengan sembahyang, pengakuan adanya Allah hanylah akan melayang-layang di awang-awangan saja. Dan tidak langsung berbekas di dalam jiwa.

Orang yang memberikan zakat juga adalah termasuk dalam orang yang mengerjakan kebaikan. Kerana zakat adalah suatu pembersihan. Maksud dari zakat adalah penyucian, pembersiahan. Orang yang sudi mengerluarkan zakat ialah orang yang melakukan berbagai pembersihan. Pertama, bersih jiwanya sendiri dari penyakit bakhil dan kikir. Jiwa yang dermawan adalah jiwa yang bersih.

Kedua bersih hubungan antara yang mampu dengan yang tidak mampu. Yang kaya dengan yang miskin. Apabila orang kaya tidak mahu mengeluarkan zakatnya, tidak membersihkan hatinya dari penyakit bakhil, rasa benci dan dendamlah yang akan timbul, sebagaimana yang selalu ditanam oleh orang-orang yang tidak mempercayai adanya Tuhan.

Setelah sembahyang dan zakat saling ditunaikan dan ianya menjadi salah satu rukun di dalam rukun Islam, maka jelaslah sekarang bahawa seorang Islam yang ingin disebut sebagai orang yang berbuat kebaikan di samping beribadat kepada Allah, hendaklah ia meneguhkan hubungan sesama manusia. Dan jelas lah pula bahwa berusaha mencari makan, berniaga, bertani, menerima upah, berternak dan segala usaha mencari kekayaan yang halal itu adalah menjadi anjuran penting, yang mustahak dalam agama. Kerana kalau orang miskin, sudah pastilah dia tidak akan dapat mengeluarkan zakat.

Keyakinan akan adanya hari akhirat, hari pembalasan adalah penguat paling penting dalam menegakkan amal. Kerana ada kalanya meskipun manusia telah berbuat banyak kebaikan di dunia, tidaklah semua orang akan menghargainya. Pasti akan ada yang dengki, yang benci dan yang melupakan atau memandang rendah. Kalau kita berbuat baik, di dunia ini kerana mengharapkan pujian manusia, pastinya kita akan kecewa. Kerana tidak semua orang menyukai apa yang telah kita buat. Pendekata, semua yang kita buat ada saja yang tak kena di mata manusia.

Jadi untuk menggembirakan hati kita, kita perlu percaya bahawa di sebalik kehidupan dunia ini ada lagi kehidupan yang panjang dan kekal dan penuh bererti. Untuk kehidupan yang panjang dan kekal ini kita tidak perlu kepada pujian manusia, tidak perlu kepada penghargaan manusia dan sanjungan manusia. Kita hanya perlu kepada pujian Allah, penghargaan dari Allah dan sanjungan dari Allah. Allah tidak akan memandang remeh setiap kebaikan yang kita lakukan sepertimana manusia. Allah akan menghargai setiap kebaikan yang kita kerjakan dan akan memberikan ganjaran yang pasti kepada setiap amalan yang kita perbuat. Pasti. Jadi untuk mendapatkan ganjaran itu, kita harus terus berbuat kebaikan dengan niat untuk mengharapkan redha daripada Allah. Bukannya redha daripada manusia.

Jadi di sini apabila petunjuk Allah telah dituruti, maka pastilah bahagia yang akan diterima. Rasa bahagia atau keberuntungan ialah satu bentuk kepuasan yang dirasakan oleh manusia bila ia telah melaksanakan tugasnya dengan jayanya. Rasa bahagia yang akan dirasakan setelah bersungguh-sungguh, berpenat lelah dan berhempas pulas membuat amal bakti seumur hidupnya di waktu yang lampau.

Umpamanya seorang ayah, akan merasa bahagia setelah melihat anaknya berjaya dalam pelajaran setelah mendidik anaknya selama ini dari kecil sehingga besar dan kini anaknya telah menjadi seorang cendikiawan yang terbilang hasil dari didikan ayahnya. Tidakkah si ayah itu akan merasa bahagia dan puas hati?  Begitulah yang dirasakan oleh mereka yang berbuat kebaikan semasa di dunia. Satu kemenangan yang sejati yang amat berbaloi sekali.










Luqman Ayat 6

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ
6 -  Dan ada di antara manusia: orang yang membeli (suka) permainan kata-kata kosong, supaya dapat menyesatkan orang dari jalan (agama) Allah tanpa ilmu pengetahuan serta menjadikannya eje-ejekan. Mereka itu akan mendapat seksa kehinaan.

Tadi Allah telah terangkan tentang orang-orang yang berbuat baik. Kali ini Allah menyebut pula tentang orang-orang yang tidak mahu berbuat kebaikan. Orang-orang ini, meskipun kitab Al Hakim iaitu kitab Al Quran itu diturunkan kepada mereka, mereka tidak mahu menjadikan Al Quran itu sebagai petunjuk hidup. Mereka tidak mahu menjadikan Al Quran itu sebagai bekal di dalam hidup. Maka mereka mencari selain dari Al Quran. Perkataan-perkaatan kosong yang tiada makna untuk menggantikan Al Quran. Bahkan mereka mencari nyanyian-nyanyian untuk menggantikan kedudukan Al Quran.

Sebenarnya Al Quran itulah  yang akan membawa mereka kepada keredhaan Allah, yang akan membawa mereka kepada syurga, tapi mereka tetap nak cari juga yang lain selain Al Quran. Iaitu sesuatu yang melalaikan yang sia-sia. Dan akhirnya... mereka itu tidak sampai kepada keredhaan Allah, sebaliknya mereka mendapat murka Allah. Mereka akhirnya tidak sampai ke syurga, tetapi mereka sampai ke tempat yang satu lagi….iaitu neraka.

Orang-orang yang tidak sampai kepada keredhaan Allah ini adalah orang-orang yang sesat. Orang yang sesat ini bukanlah Allah yang menyesatkan mereka tetapi yang menyesatkan mereka adalah diri mereka sendiri. Ini kerana mereka tidak mahu mengambil Al Quran sebagai petunjuk mereka. Maka sesatlah mereka, disesatkan oleh diri mereka sendiri.

Orang-orang yang sesat ini, apabila ia mempengaruhi orang lain untuk turut sesat seperti mereka, maka ia menyesatkan orang lain pula. Kepada mereka ini Allah sudah sediakan ganjaran kepada mereka. Kalau orang-orang yang berbuat kebaikan itu Allah bagi ganjaran pahala dan syurga yang indah tetapi untuk orang-orang yang sesat dan menyesatkan ini Allah bagi ganjaran berupa azab yang menghinakan.

Kenapa menghinakan? Kerana semasa di dunia mereka ini telah menghina ayat-ayat Allah. Telah meremehkan seruan Rasulullah. Maka balasan untuk orang yang menghina adalah menghina juga. Maha Adil Allah.

Di awal ayat ini dikatakan bahwa ada manusia yang membeli permainan kata-kata kosong. Permainan kata-kata kosong ini adalah kata-kata yang sia-sia. Al Hasan Al Bashri bependapat bahwa yang dimaksudkan dengan permainan kata-kata itu ialah nyanyi-nyanyian dan peralatan pancaragam, yang akan membawa kepada kelalaian kepada agama.

Tetapi Qatadah pula menyebutkan bahawa membeli permainan kata-kata itu bukanlah semata-mata dengan mengeluarkan wang saja. Maksud membeli di sini ialah orang yang lebih menyukai barang yang sia-sia dan sesat. Dia lebih suka kata-kata yang sia-sia yang tidak ada faedah, slogan yang tidak berisi daripada memegang kata-kata yang benar. Dia lebih suka yang mudharat daripada yang menafaat.

Kedua-dua tafsiran ini dapatlah kita pakai. Sebagai seorang mukmin yang taat, kita akan dapat merasakan bagaimana besar dan bahayanya nyanyian dan alat pancaragam (muzik) yang benar-benar melalaikan orang dari agama. Lagu-lagu yang disebut orang lagu pop, rock yang selalu didendangkan di corong radio, di televisyen dan di tempat-tempat keramaian umum, di pesta kawin, adakalanya nyanyian itu tidak lagi mengenal sopan santun. Apatah lagi nyanyian seperti itu tidaklah akan meriah kalau tidak disertakan dengan minuman keras yang memabukkan dan juga dengan tarian yang menjolok mati. Semata-mata nyanyian pada dasarnya tidaklah haram. Tetapi ianya menjadi haram bila telah menjadi permainan kata-kata yang menimbulkan syahwat dan menjauhkan diri kita dari agama.

Menurut ulamak, di zaman Rasulullah dulu ada seorang saudagar kafir bernama an Nadhor bin al Harith. Dia telah membeli seorang hamba yang pandai menyanyi. Kemudian apabila dia dengar ada orang yang masuk Islam, an Nadhor ini akan perintahkan hamba ini supaya pergi kepada orang yang hendak masuk Islam itu dan beri mereka makan sambil menyanyi di hadapan mereka.  Hiburkan mereka semua dengan nyanyian. Kemudian setelah mereka semua sudah tenggelam dan lalai dengan makanan dan nyanyian yang dipersembahkan tadi, katakan kepada mereka bahwa hiburan ini adalah lebih baik daripada apa yang disampaikan oleh Muhammad itu.

Jadi an Nadhor ini memang dia sanggup mengeluarkan wang dalam usahanya untuk menghalang orang-orang dari mendengarkan Al Quran dan masuk Islam. Mereka yang sepertilah yang dikatakan di dalam ayat 6 ini, iaiatu menyesatkan orang dari jalan Allah. Lalu turunlah ayat 6 ini.

Sisters,
Pada hari ini kita dapat lihat sungguh banyak konsert-konsert yang berupa hiburan yang melalaikan diadakan di sana sini di sekeliling kita. Samada konsert untuk orang muda, dewasa, kanak-kanak mahupun untuk orang-orang tua yang giginya sudah bergoncang mahu gugur. Dan sambutan untuk konsert yang seperti ini sangat menggalakkan. Kebanyakan tiket-tiketnya habis dan laris dijual.

Didatangkanlah artis-artis yang pandai menyanyi dan lincah menari dengan mengenakan pakaian yang menjolok mata kemudian dihiburlah masyarakat. Menyanyi berteriak-teriak di atas pentas, penonton pun menyanyi dan menjerit di depan pentas. Konsert dimulai dari jam 9malam tapi orang yang menunggu untuk masuk ke konsert sudah sedia beratur panjang sejak tengahari lagi. Menunggu untuk masuk ke dalam dewan konsert dengan penuh sabar. Habis waktu dengan begitu saja. berjam-jam dengan sia-sia. 

Tak habis di situ saja, yang tidak dapat pergi konsert, boleh menontonnya di rumah. Kebanyakan di rumah pun telah ada alat berbayar sekian-sekian harga untuk melanggan saluran-saluran hiburan yang diminati. Beratus duit sebulan dihabiskan hanya untuk mengikuti hiburan saja. 

Allah bagitahu di dalam ayat ini.... bukan. Bukan Allah bagitahu. Tapi Allah ancam dalam ayat ini, bahawa orang-orang yang menghabiskan waktu membuat perkara yang sia-sia, menghabiskan duit untuk membeli yang sia-sia ini adalah orang-orang yang telah berjaya disesatkan. Dan orang-orang yang menganjurkan perkara yang sia-sia ini akan menanggung akibat buruk kerana mereka telah sesat dan berjaya pula menyesatkan orang yang mengikutnya. Orang yang telah tersesat akan diberikan ganjaran azab yang menghinakan. Sementara orang yang berjaya menyesatkan orang, diberikan dua kali ganda azab yang menghinakan kerana dosa dirinya yang telah sesat dan dosa dirinya yang telah menyesatkan orang lain. Allahu rabbi.








Luqman Ayat 7

وَإِذَا تُتْلَى عَلَيْهِ آيَاتُنَا وَلَّى مُسْتَكْبِرًا كَأَنْ لَمْ يَسْمَعْهَا كَأَنَّ فِي أُذُنَيْهِ وَقْرًا فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
7 - Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seoleh-oleh ada penyumbat pada kedua telinganya; maka berilah khabar gembira dengan azab yang pedih.

Kemudian Alalh kata pula, bahwa orang yang telah menyesatkan orang ini, mereka berpaling dari ayat-ayat Allah yang dibacakan kepada mereka ini. Oleh kerana mereka merasa yang diri mereka itu pintar, tidak perlu diajar orang, bahkan ada yang marah, mengapa mereka ditegur dengan ayat Allah? Rakyat jelata tidaklah berhak menegur orang-orang besar kerajaan. Itu adalah satu penghinaan.

Orang-orang engkar ini bercakap seolah-olah mereka tidak mendengar. Seolah-olah telinga mereka ini telah disumbat dengan kapas tebal sehingga tidak dapat mendengar apa-apa pun. Sehingga apa yang mereka dengar itu mereka sangka yang ianya bukannya tertuju ke arah mereka. Ianya untuk orang lain.

Maka Allah ancam lagi, untuk mereka ini berilah khabar gembira untuk mereka, yang mereka kelak akan diseksa di dalam azab yang pedih. Pemakaian berilah khabar gembira ini adalah ucapan dan ancaman yang sepadan dengan kesombongan mereka yang terus berpaling muka, berolok-olok dan bersikap memekakkan telinga apabila didengarkan seruan Allah. Kerana dalam hidup di dunia mereka merasakan bahwa mereka selalu di pihak yang benar, tidak pernah salah dan tidak boleh sama sekali disalahkan.









Luqman Ayat 8 Dan 9

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُمْ جَنَّاتُ النَّعِيمِ
8 -  Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat, 

خَالِدِينَ فِيهَا وَعْدَ اللَّهِ حَقًّا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
9 -  Kekallah mereka di dalamnya. Demikian dijanjikan Allah - janji yang tetap benar; dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Beginilah selalunya imbalan untuk mereka yang melaksanakan petunjuk dan seruan yang disampaikan Rasul. Sebab hidup mereka telah diisi dengan kepercayaan kepada Allah. Dan mereka juga telah membuktikan iman mereka dengan amal perbuatan baik mereka. Baik untuk diri mereka dan untuk sesama umat manusia. Syurga yang luas dan lapang, yang penuh dengan berbagai nikmat, itulah yang akan menyambut mereka di akhirat kelak.

Mereka ini akan kekal di dalamnya tidak akan mati-mati lagi. Sebab mati telah dihapuskan oleh Allah. Sesungguhnya janji Allah itu benar. Yang pasti akan ditepati. Hidup di dalam syurga merasakan nikmat keenakan makanan, kepuasan minuman, keindahan tempat tinggal yang harum semerbak, kecantikan alam dan bidadari yang melayani serta kenyamanan suasana. Allah pertemukan mereka ini dengan semua nikmat-nikmat yang disebutkan ini. Dan banyak lagi nikmat yang tidak dapat disebut dan tak terfikir di fikiran.

Allah tidak akan sekali-kali memungkiri janjiNya. Allah yang bersifat Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana akan memastikan apa yang berlaku adalah mengikut ketentuanNya sepertimana yang Dia kehendaki.








Luqman Ayat 10 Dan 11

خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ بِكُمْ وَبَثَّ فِيهَا مِنْ كُلِّ دَابَّةٍ وَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَنْبَتْنَا فِيهَا مِنْ كُلِّ زَوْجٍ كَرِيمٍ
10 -  Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.

هَذَا خَلْقُ اللَّهِ فَأَرُونِي مَاذَا خَلَقَ الَّذِينَ مِنْ دُونِهِ بَلِ الظَّالِمُونَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ
11 -  Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadaNya (yang kamu sembah itu)? (Tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata.


Allah membuktikan kekuasaanNya yang agung. Allah kata Allah lah yang menciptakan tujuh lapis langit dengan terbentang tinggi , tidak ada sebatang tiang pun yang menongkatnya agar ia tidak roboh. CiptaanNya  ini dapat kamu lihat dengan jelas dan terang.

Begitu pula Allah menjadikan beberapa buah gunung yang tinggi dan kukuh. Tercacak di muka bumi sebagai pancang atau pun tonggak yang sangat kuat. Gunanya supaya kita tidak akan bergoncang oleh gerakan dan peredarannya. Dan penahan manusia dari ditenggelami air ayng mengelilingi manusia.

Kemudian dibiakkannya pula di muka bumi itu dengan bermacam-macam haiwan dan berjenis-jenis binatang ternakan, yang tidak dapat dikira banyaknya jika kita hendak menghitungnya. Begitu juga tentang bentuk dan warna. Kecuali yang mengetahui semuanya itu hanyalah Allah yang telah menciptanya.

Allah jugalah yang menurunkan air hujan dari langit asalnya daripada awan. Sedangkan air itu pula menjadi punca dan sebab hidupnya tumbuhan dan pepohon buahan dengan subur dan indah, banyak mengeluarkan hasil dan banyak mendatangkan kegunaan kepada manusia.

Apa yang diterangkan Allah itu adalah merupakan ciptaan yang amat menakjubkan dan semua itu adalah ciptaan Allah untuk menjadi bukti yang terang tentang adanya Allah dan kekuasaanNya yang maha agung.

Oleh kerana itu, Allah mencabar kepada orang-orang yang menyekutukanNya, adakah berhala yang mereka sembah itu sanggup berbuat semua apa yang Allah telah ciptakan?Adakah barang yang mereka puja dan mereka sembah itu pun ada mencipta langit agak-agak selapis saja?... atau pun bintang yang paling tidak sebutir cuma, atau kayu yang paling sedikit pun sebatang atau pun seekor lalat cuma? Ade ke?

Sesungguhnya orang-orang yang menganiaya diri mereka sendiri itu tetaplah berada di dalam kesesatan yang nyata. Ini kerana mereka telah menganiaya diri mereka sendiri kerana tidak menggunakan fikiran mereka untuk berfikir. Mereka hanya beramal dengan cara mengikut amalan nenek moyang mereka sahaja. Dengan tidak berpendirian teguh sehingga menyebabkan mereka kelak akan menerima kesengsaraan.








Luqman Ayat 12

وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ
12 -  Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Di ayat ini Allah menerangkan mengenai perihal Luqman Al Hakim. Beliau bukanlah seorang nabi. Beliau hanyalah seorang hamba Allah yang saleh dan taat beribadah. Sufyan Ats Tsauri meriwayatkan dari Al Asy’ ats dari Ikrimah dari Ibnu Abbas, ia berkata, “Luqman adalah seorang hamba sahaya berbangsa Habsyi (Ethopia) dan bekerja sebagai seorang tukang kayu.”

Dinyatakan di dalam ayat 11 bahwa orang-orang yang zalim adalah senantiasa berada di dalam kesesatan yang nyata. Manakala di ayat 12 ini menerangkan pula bahawa Allah telah mengurniakan hikmah kepada Luqman iaitu kebijaksanaan. Jadi maka sebab itulah Luqman telah terlepas dari bahaya kesesatan yang nyata itu.

Hikmah itu adalah sesuatu yang dijadikan Allah di dalam hati seseorang yang kelak akan boleh memberikan dirinya cahya sebagaimana mata diberi cahaya yang dapat melihat. Az Razi telah menerangkan di dalam tafsirnya bahwa hikmah itu ialah sesuatu yang selari di antara perbuatan dan pengetahuan.

Maka tiap-tiap orang yang telah diberikan taufiq oleh Allah sehingga selari perbuatannya dengan pengetahuan yang ia ada, ataupun selari di antara amal dengan ilmu yang dia ada, maka itulah yang dikatakan sebagai orang yang sudah mendapat mendapat kurniaan hikmah dari Allah. Sebaliknya jika seseorang itu bersungguh-sungguh bekerja, padahal ilmu tentang kerja yang dibuat itu tidak ada, maka akan sia-sia lah usahanya. Tenaga habis, hasilnya tidak sebgaimana yang diinginkan. Dan ada juga orang yang berilmu banyak, pengetahuan teorinya mendalam, tetapi dia hanya berdiam diri saja. Tidak mengerjakan atau mempraktikkan ilmu pengetahuan yang ia ada. Itu juga perbuatan yang sia-sia dan merugikan.

Maka di dalam ayat ini Allah jelaskan kepada kita semua, bahwa Luqman telah mendapat hikmah dan kebijaksanaan itu. Dia telah sanggup mengerjakan amal mengikut ilmu pengetahuan yang dia ada. Semuanya selari. Inilah yang dikatakan sebagai puncak hikmah yang telah diperolehi oleh Luqman. Ilmu pengetahuan itu telah dia perolehi samada daripada pengalaman hidup dirinya sendiri ataupun daripada pergi berguru dengan orang lain.  Jadi Allah telah mengurniakannya ilmu pengetahuan tentang nikmat Allah yang meliputi seluruh hidupnya.

Dengan itu Allah menyuruh Luqman supaya bersyukur ke atas nikmat yang diberikan Allah kepadanya. Caranya ialah dengan memuji dan menyanjung Allah kerana hanya Allah saja lah yang layak untuk dipuji. Sesiapa saja yang menghargai jasa orang yang telah memberikan nikmat dan rahmat, ia menandakan bahwa seseorang itu adalah seorang yang budiman. Apatah lagi bila yang memberikan nikmat dan rahmat itu adalah Allah azza wa jalla sendiri. Oleh sebab itu maka dengan bersyukur itulah yang akan meninggikan nilai diri seseorang insan.

Sesiapa yang tidak bersyukur, iaitu dalam ayat ini disebut sebagai yang kufur dengan nikmat dan rahmat Allah, tidak mengenang jasa, tidak berterima kasih, maka tidaklah akan kurang walau sedikitpun kekayaan Allah. Tidak akan terjejas pun. Tetapi sebaliknya yang rugi adalah hamba yang tak bersyukur itu sendiri. Allah tidak akan rugi. Entah ada berapa banyak malaikat di langit dan di bumi dan beberapa makhluk lain lagi yang selalu mengucapkan tasbih dan puji-pujian kepada Allah. Malah dalam setiap hari, setiap minit, setiap saat mereka lah yang lebih banyak memuji Allah daripada kita hamba yang hina dina ini. Allah sentiasa kekal terpuji samada hambaNya bersyukur ataupun kufur.

 







Luqman Ayat 13

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
13 -  Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

Segala pengisian hikmah yang telah dikurniakan Allah kepada Luqman ini telah disampaikannya dan diajarkan kepada anaknya sebagai pedoman utama dalam kehidupan. Luqman telah mendidik anaknya dengan pengajaran dan asuhan yang terbaik supaya kelak akan menjadi manusia yang sempurna.

“...janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain),”
Janganlah hendaknya anaknya itu menyekutukan Allah dengan benda-benda lain. Kerana sesungguhnya tidak ada tuhan selain dari Allah. Ini kerana yang selain dari Allah itu adalah alam belaka, ciptaan Allah semuanya. Tidaklah Allah itu bersekutu atau berkongsi dengan tuhan yang lain di dalam menciptakan alam ini. Perbuatan menyekutukan Allah itu adalah perbuatan yang menganiaya dirinya sendiri, memperbodohkan diri sendiri.

Memanglah perbuatan itu adalah perbuatan yang aniaya besar terhadap diri sendiri, sekiranya ia mengaku ada yang lain selain dari Allah. Padahal selain dari Allah itu adalah ciptaan Allah juga. Dia dianggap menganiaya dirinya sendiri kerana Allah telah pun mengajak agar membebaskan jiwanya dari segala sesuatu selain Allah. Jiwa manusia adalah mulia. Manusia adalah makhluk yang dijadikan Allah sebagai khalifah di bumi. Sebab itu maka hubungan tiap manusia dengan Allah hendaklah secara langsung. Jiwa yang dipenuhi Tauhid adalah jiwa yang merdeka. Tidak ada sesuatu jua pun yang dpaat mengikat jiwa itu kecuali dengan Allah.

Bila manusia telah mempertuhankan benda lain, sedangkan yang lain itu adalah benda ciptaan belaka atau pun makhluk semuanya, maka ini dianggap manusia itu sendirilah yang membawa jiwa mereak untuk jadi hamba kepada benda-benda lain yang tidak sepatutnya. Di dalam surah As Sajdah ayat 9 dengan jelas Allah berfirman bahwa roh manusia itu adalah kepunyaan Allah secara mutlak. Jadi mengapa pula roh yang begitu mulia itu yang berasal dari Allah akan tuduk kepada benda lain selain dari Allah?

Menyekutukan yang lain dengan Allah adalah perbuatan aniaya yang paling besar. Sebab dengan dengan menyekutukan yang lain bersama Allah akan menyebabkan tujuan hidup akan menjadi kucar kacir dan musnah. Ini kerana di antara tuhan-tuhan itu pasti akan ada kemahuan dan kehendak yang berbeza. Jadi tuhan mana yang harus diikuti dan ditaati? Tidak kah itu menjadikan hidup hamba yang menyembah tuhan-tuhan ini menjadi kucar kacir dan musnah sama sekali?

Kini dengan bertambah maju hasil penyelidiikan dan berkembangan teknologi, maka bertambah pula orang yang menyekutukan tuhan itu meninggalkan tuhan-tuhannya. Kepercayaan bahwa tuhan itu bersekutu, berdua ataupun bertiga atau berbilang-bilang banyak, sudah kian ditinggalkan. Kemajuan teknologi sendiri telah membawa manusia untuk berfikir kepada kesatuan kuasa. Tidak mungkin tuhan itu berbilang. Jadi Islam telah menjadi agama pilihan kerana menyediakan jalan fikiran tuhan yang satu dengan ajaran tauhidnya yang tidak pernah berubah dan bercanggah.










Luqman Ayat 14

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
14 -  Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung keadaan susah payah (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Wasiat yang kalau ianya datang dari Allah, sifatnya adalah perintah. Tegasnya ialah bahwa Allah memerintahkan kepada manusia agar mereka menghormati dan memuliakan kedua ibu bapanya. Sebab dengan melalui jalan kedua ibu bapa itulah maka manusia dilahirkan ke muka bumi. Sebab itu sudah sewajarnyalah jika kedua ibu bapa itu dihormati.

Maka jauhlah berbeza anggapan dan ajaran Islam dengan ajaran yang lain yang mengatakan bahwa persetubuhan kedua ibu bapa menyebabkan manusia itu menderita malang dalam dunia ini. Malahan ada satu ajaran di kalangan orang-orang Kristian yang memandang bahwa persetujubahan adalah akibat dari dosa Adam dan Hawa. Sehingga menyebabkan manusia lahir dengan hidup menanggung dosa.

Dalam Islam diajarkan bahwa hidup di dunia adalah untuk beribadaat kepada Allah. Dan untuk menjadi khalifah di muka bumi. Semuanya itu tidak dapat dilaksanakan sekiranya kita tidak lahir ke dunia. Sebab itu sangat penting untuk menghormati kedua ibu bapa yang telah memberikan jalan untuk kita muncul ke dunia dengan sebab dan keizinan Allah.

“....ibunya telah mengandungnya dengan menanggung keadaan susah payah..”
Di dalam bait ayat ini menggambarkan bagaimana susahnya seorang ibu itu mengandung, dengan segala macam kesulitannya. Sulit dan susah sejak dari mengandung bulan pertama, bertambah sulit dan susah setiap kali bertambahnya bulan dan besar serta berat kandungan, sehinggalah ke puncak kesusahan itu adalah di waktu mahu melahirkan. Lemah sekujur tubuh ketika meneran anak untuk keluar. Lalu setelah lahir, selama dua tahun itu diasuh,  disusukan pula, dijaga, ditimang, diselimuti dengan penuh kasih sayang. Sejak lahir bertelanjang bulat sehinggalah lama-lama boleh meniarap, merangkak, bertatih, berjalan , kemudian berlari.

“....bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu;”
Syukur pertama ialah kepada Allah. Kerana semuanya itu sejak mengandung sampai mendidik dengan tidak ada rasa bosan, dipenuhi dengan rasa cinta dan kasih, adalah berkat rahmat Allah semuanya. Setelah itu bersyukurlah kepada kedua orang tua kita. Ibu yang mengasuh dan ayah yang membela dan melindungi ibu dan melindungi anak-anaknya. Ayah yang berusaha mencari nafkah setiap hari.

Akhirnya diingatkan pula ke mana arah perjalan ini iaitu  “....kepada Akulah jua tempat kembali..”
Dibayangkan di hujung ayat ini akan keharusan yang mesti ditempuhi oleh setiap manusia. Iaitu lambat atau cepat ibu bapa itu akan dipanggil pulang oleh Allah. Dan anak yang ditinggalkan akan mengambil tugas pula untuk mendirikan rumahtangga, mencari pasangan hidup dan seterusnya berkeluarga, beranak pinak dan bercucu. Dan semuanya ini yang akhirnya akan tetap pulang juga kepada Allah.

Hadis daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah s.a.w: “Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?”. Rasulullah s.a.w menjawab, “Ibumu”. Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?”. Rasulullah s.a.w menjawab, “Ibumu”. Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?”. Rasulullah s.a.w menjawab, “Ibumu”. Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?”. Rasulullah s.a.w menjawab, “Bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya”.  (Hadis Riwayat Tirmizi)

Dari hadis ini menunjukkan bhawa jika kasih sayang kita dibahagi empat misalnya, tiga perempat adalah untuk ibu dan seperempat lagi adalah untuk ayah. Ini kerana ibu mengalami kepayahan berganda-ganda dalam memelihara dan mendidik kita berbanding ayah.






Luqman Ayat 15

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.

Ilmu yang sejati pasti akan diyakini sepenuh oleh manusia. Manusia yang telah berilmu sejati ini memang akan sukar untuk dipengaruhi atau diperselisihkan dengan manusia lain yang pendiriannya tidak berdasarkan ilmu yang sejati. Ilmu sejati yang dimaksudkan ini adalah pengetahuan tentang tauhid iaitu Allah yang Maha Esa. Ianya adalah puncak dari segala ilmu dan hikmah.

Di sini Allah mengingatkan, meskipun kita taatkan ibu bapa kita dan itu adalah wajib bagi kita, tetapi sekiranya kedua ibu bapa kita menggesa untuk mengikuti kemahuan mereka dalam perakra yang menyalahi agama, seumpamanya suapya melakukan perkara - perkara yang membawa kepada penyekutuan kepada Allah, dan kita pula tahu bahwa perbuatan yang disuruh itu adalah syirik, maka janganlah kita patuh kepada kemahuan mereka. Kita terpaksa menentang kehendak mereka yang ini.

Tentu timbul pertanyaan, “apakah dengan demikian maka si anak akan dituduh menderhaka kepada kedua orang tuanya?”

Jawapannya sudah pun Allah bagi di dalam ayat ini iaitu “..dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik..’ maksudnya bahwa keduanya mestilah selalu dihormati, disayangi, dicintai dengan sepatutnya. Jangan mereka ini dicaci dan dihina. Tetapi tunjukkanlah dengan baik-baik dan dengan lemah lembut bahwa dalam hal akidah memang berbeza antara akidah kita dengan akidah mereka. Kalau mereka sudah tua, maka asuhlah dan peliharalah mereka dengan baik. Tunjukkan bahwa seorang mukmin itu adalah seorang yang budiman sejati.

Sisters,
Masih ingat tak lagi tentang kisah sahabat Rasulullah saw iaitu Saad bin Abu Waqas? Beliau sangat sayangkan ibunya dan mengutamakan ibunya di dalam semua perkara. Setelah dia masuk Islam, ibunya merasa tidak puas hati lalu mogok lapar, tidak mahu makan tidak mahu minum sehinggalah anaknya kembali kepada ajaran agama mereka semula. Selama beberapa hari ibu Saad berkeadaan demikian. Sehinggalah pada hari ketiga, ibu Saad tidak dapat bangkit lagi kerana letih akibat dari tidak makan dan tidak minum.

Setelah melihat akan keadaan ibunya yang demikian, Saad berkata kepada ibunya, bahwa walaupun ibunya mempunyai 100 nyawa sekalipun dan nyawa itu lepas dari tubuh ibunya satu persatu, dia tetap tidak akan meninggalkan agama Islam yang dianutinya kini. Dan kalau ibunya suka, lebih baik ibunya makan saja dan berhentilah dari mogok itu. Dan kalau tidak suka, teruskanlah mogok tidak mahu makan itu, tetapi dia tetap berpendirian seperti ini. Mendengarkan ketegasan pendirian si anak, ibunya yang tadinya terlalu letih, akhirnya makan juga.

“...Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu..”
Jalan yang dimaksudkan adalah jalan yang ditempuhi oleh orang yang beriman. Kerana itulah saja jalan yang selamat. Yang tidak merbahaya.  Juga perjalanan orang yang sudah insaf akan kesalahannya lantaran syirik lalu bertaubat untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya dan mengikuti perjalanan Nabi Muhammad saw. Jalan menuju kepada mentauhidkan Allah dan ikhlas dalam beribadat semata-mata kerana Allah.

“....Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya,..”
Kita adalah makhluk yang diciptakan Allah. Maka dengan sebab kehendak Allah lah kita semua ini terjadi. Dan bila sampai waktunya yang ditetapkan Allah, kita juga akan kembali kepadaNya. Perjalanan hidup di dunia ini adalah dalam jaminan Allah dan kelaknya semuanya akan pulang juga kepada Allah.

Setelah semuanya kembali kepada Allah, siap menghadap Allah, maka tibalah saat di mana Allah akan mengadili dan menilai semua baik buruk perbuatan kita semasa di dunia. Sebab itu lah maka mulai dari sekarang ini, kita wajib menerima dan mengikut bimbingan dari Allah, dengan menempuh jalan yang ditempuh oleh orang-orang yang beriman. Jangan pula kita pandai-pandai nak menempuh jalan sendiri. Kelak akhirnya kita akan tersesat dan akan menyesal tak sudah pula.







Luqman Ayat 16

يَا بُنَيَّ إِنَّهَا إِنْ تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ فَتَكُنْ فِي صَخْرَةٍ أَوْ فِي السَّمَاوَاتِ أَوْ فِي الْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ
(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.

Luqman mengingatkan anaknya lagi, dan Allah rakam di dalam ayat ini supaya kita juga mengambil iktibar. Allah kata bahwa segala perkerjaan dan apa saja yang dilakukan oleh seseorang itu di atas dunia ini bukanlah sia-sia, atau akan hilang dengan begitu saja. Amalan atau perbuatan yang dari sebesar-besar biji sawi yang amat halus dan tidak diketahui orang, begitu tersembunyi sehingga tidak ternampak dek orang, dan tidak ada tahu dan tidak ada yang peduli.

Tetapi…. ALLAH TAHU DAN ALLAH PEDULI AKAN SEMUA AMALAN YANG KITA PERBUAT. Manusia tidak tahu tapi Allah tahu. Manusia tidak mengira tapi Allah kira. Pasti Allah akan datangkannya nanti di akhirat, untuk ditimbang dalam neraca keadilan dengan memberikan balasan yang sewajarnya.

Sesungguhnya perbuatan yang dilakukan oleh Allah itu adalah menunjukkan pengertianNya yang halus terhadap sesuatu yang tersembunyi, lagi mendalam pengetahuanNya mengenai urusan hamba-hambaNya baik yang lahir mahupun yang batin.

Ayat ini amat penting untuk meneguhkan hubungan batin insan dengan Tuhannya. Pengubat kepada semua jerit perih dan susah payah dalam beramal dan dalam berusaha yang ada kalanya tidak mendapat penghargaan dari manusia. Malah ramai di antara mereka yang meremeh dan mengkeji pula.

Umpamanya banyak perkara di dalam dunia manusia yang menjadi bahagian penting di dalam masyarakat, tetapi masyarakat itu sendiri tidak mengingati atau pun menghargai kepentingan itu. Contohnya nelayan miskin di tepi pantai. Kalau mereka tidak turun ke laut mencari ikan, maka sudah tentulah orang di bandar tidak akan dapat merasakan betapa enaknya memakan daging ikan? Tetapi hakikatnya siapakah yang menghargai nelayan sekarang ini? Tidak ada.

Pangkat jadi menteri sangat penting. Namun pemandu yang membawa menteri itu juga tak kurang pentingnya.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya : “ kalau sesungguhnya seorang kamu beramal di dalam batu granit, tidak ada padanya pintu dan tidak ada padanya lubang, namun amalannya itu akan keluar juga kepada manusia , bagaimana jua pun adanya.” Riwayat Imam Ahmad dan Abu Said Al Khudri.

 




Luqman Ayat 17

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

Di dalam ayat ini dinyatakan empat modal hidup yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya dan dibawakan menjadi modal itu oleh Allah kepada kita semua, disampaikan melalui Nabi Muhammad saw.

Untuk menguatkan peribadi dan meneguhkan hubungan dengan Allah, untuk mendalami rasa syukur kepada Allah atas nikmat dan perlindungan yang selalu kita terima, maka dirikanlah sembahyang. Dengan sembahyang kita melatih lidah, hati dan seluruh anggota badan agar selalu ingat kepada Allah.

Dalam agama Islam telah ditentukan bahwa wajib bagi kita mengerjakan sembahyang itu sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam. Tidak boleh kurang! Lebih boleh, kurang tidak boleh. Dengan melaksanakan sembahyang ini secara tetap dan konsisten, kita akan dapat rasai sendiri betapa besar kesannya kepada jiwa kita kalau nama Allah selalu menjadi sebutan kita. “Allahu akbar, Alhamdulillah, Subhanallah,” dalam badan kita berdiri tegak, dengan merukukkan badan kita, dengan mencecahkan kening ketika sujud,   kita akan mendapat kekuatan peribadi, secara lahiriah mahupun rohaniah.

Itu baru sembahyang secara sendirian. Kalau sembahyang secara berjemaah yang Allah telah menjanjikan pahala sebanyak 27 kali ganda daripada sembahyang sendiri, maka akan lebih-lebih lagi teguh akan dirasakan oleh jiwa kita. Bahkan Imam Ahamd bin Hanbal, mengatakan bahwa sembahyang itu wajib berjemaah, walaupun hanya ada dua orang. Menurut Imam Abu Hanifah, jiran kepada masjid, sembahyangnya hendaklah di masjid. Bukan di rumah. Hikmahnya ialah agar peribadi jangan lepas dari masyarakat. Kerana Islam itu adalah agama untuk diri dan juga masyarakat. Maka apabila peribadi telah kuat kerana ibadat-ibadat yang konsisten yang dikerjakan, maka ianya akan meneguhkan peribadi dan menyatukan masyarakat.

Dengan keteguhan peribadi dan penyatuan masyarakat yang utuh di atas satu paksi tauhid, maka dengan ini senanglah untuk mengajak orang lain untuk berbuat amal ma’ruf dan meninggalkan kemungkaran. Ma’ruf ialah perbuatan baik yang diterima baik oleh masyarakat. Haruslah berani untuk mengajak dan menyampaikan kebenaran kepada sesama manusia, dengan sekadar ilmu dan kesanggupan yang ada pada dirinya. Sekurang-kurangnya paling tidak pun, hendaklah menyuruh anak dan isteri mengerjakan sembahyang. Itu adalah termasuk di dalam menyampaikan kebenaran.

Dan haruslah berani untuk menegur mana-mana perbuatan yang mungkar, yang tidak dapat diterima oleh masyarakat. Berani mengatakan yang benar, walaupun pahit. Kita juga harus mengetahui dan memahami bahwa akan ada orang yang tidak suka ditegur. Atau untuk memperbaiki masyarakat yang telah biasa dengan adat kebiasaan yang salah itu memang sukar. Jika ditegur mereka akan marah. Untuk itu haruslah tabah dan banyakkan bersabar. Ingatlah bahwa rasul-rasul yang dikirimkan allah untuk memberi bimbingan kepada manusia terdahulu juga semuanya disakiti oleh kaumnya sendiri. Dan modal mereka untuk bertahan dengan karenah dan perangai buruk kaum-kaumnya adalah dengan bersabar.

Apakah sebabnya Luqman berpesan supaya anaknya mengerjakan perkara-perkara tersebut? Jawabnya ialah, apa yang diwasiatkan itu merupakan perintah Allah kepada hamba-hambaNya yang mesti dikerjakan. Ini kerana faedahnya adalah tersangat besar baik di dunia mahupun di akhirat sebagaimana yang telah terbukti dalam pengalaman hidup. Dan ianya menjadi petunjuk agama yang benar. Dan inilah yang dinyatakan oleh Allah dengan firmanNya, “Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. “

Maksudnya kalau kita ingin menjadi manusia yang bererti dalam pergaulan hidup di dunia, kita haruslah menjalankan tanggungjawab tesebut. Sembahyang adalah sebagai peneguh peribadi, amar ma’ruf nahi munkar dalam hubungan dengan masyarakat dan sentiada bersabar untuk mencapai apa yang dicita-citakan. Kerana setiapa apa jua lapangan hidup yang kita masuki, kalau kita tidak sabar, kita akan kecundang di tengah jalan. Nabi sendiri, kerana tentangan keras dari kaumnya, pernah terlintas di hati baginda suatu perasaan hendak melompat saj dari puncak bukit yang tinggi ke gaung yang dalam. Tetapi perasaan itu ditahannya dengan tabah. Dakwah Islam diteruskan juga. Itulah sebabnya maka disebutkan bahwa pekerjaan ini sangat penting. Apa saja perancangan, haruslah melaksanakannya dengan sabar kerana ianya memang tidak mudah. Yang tidak sabar, akan gagal di tengah jalan.







Luqman Ayat 18 Dan 19

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
18 -  "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنْكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ
19 - "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Ayat ini mengajar tentang budi pekerti, sopan santun dan akhlak yang tertinggi. Kalau sedang bercakap berhadapan dengan seseorang, hadapkanlah muka kita kepadanya. Menghadapkan muka adalah satu maksud menghadapkan hati kita juga. Dengarkanlah orang itu bercakap, perhatikan baik-baik. Kalau kita bercakap dengan seseorang, padahal muka kita, kita hadapkan ke tempat lain, maka orang itu akan merasa tersinggung. Seolah-olah dirinya tidak dihargai, perkataannya hanya didengarkan sambil lewa saja. Itu adalah satu perbuatan yang sangat kurang sopan dan tidak elok.

Dalam bersalam pada mula-mula bertemu, apatah lagi bila bersalam dengan orang yang ramai berganti-ganti, ketika kita berjabat tangan tu, tengoklah ke mata mereka satu persatu dengan rasa gembira. Hati mereka pasti akan rasa besar dan silaturahim juga akan jadi kukuh. Dan nama kita juga akan tetap diingat dan disebut sebagai seorang yang berhemah tinggi.

Ibnu Abbas menjelaskan tafsir ayat ini: “ Jangan takbur dan memandang hina hamba Allah, dan jangan engkau palingkan muka engkau ke tempat lain ketika becakap dengan dia.”

Begitu juga tafsir daripada Ikrimah, Mujahid, Yazid bin Al Asham dan Saib bin Jubair.

Dan janganlah kita berjalan di muka bumi Allah ini dengan rasa bongkak, mengangkat diri, sombong, mentang-mentang kaya, mentang-mentang berpangkat dan sebagainya. Bongkak, sombong, takbur, membanggakan diri itu adalah penyakit yang sebenarnya lahir dari hati yang tidak sihat. Menyangka status dan harga dirinya tinggi tetapi sebenarnya rendah. Diangkat-angkat, dijulang-julang, ditonjolkan kerana di dalam lubuk hati merasa bahwa dirinya itu sememangnya rendah, banyak kekurangan atau tidak kelihatan. Semata-mata hendak meminta perhatian orang. Sebab merasa diri tidak dipedulikan. Jika dikaji dari segi iman, nyatalah bahwa iman orang itu sebenarnya masih cacat.

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan,  
Semasa berjalan hendaklah ada peraturannya. Iaitu tidak terlalu lambat dengan terkais-kais umpamanya kerana hal itu boleh menghalang perjalanan kaki yang lain. Dan tidak pula terlalu cepat bagaikan ribut dengan dibuat-buat yang menimbulkan gangguan. Bahkan hendaklah berjalan secara yang sederhana dan sepatutnya.

“......juga rendahkanlah suaramu…”
Apabila bercakap hendaklah dengan suara yang lembut, terang dan menarik lagi serta ringkas dan jelas. Jangan dengan mengeras-ngeraskan suara yang mengejutkan si pendengar padahal tidak diperlukan berbuat demikian. Apatah lagi jika bergaul dengan orang ramai di tempat umum. Orang yang tidak tahu adab sopan akan lupa bahwa di tempat itu bukanlah dia  berdua saja dengan temannya. Maka jagalah kelakuan kita bila di tempat orang ramai terutamanya.

Mujahid berkata, “memang suara keldai itu tersangat buruk bunyinya. Maka orang yang bersuara keras, mengherdik-herdik, sehinggakan seperti hendak terpecah kerongkongnya itu, suaranya akan jadi terbalik, menyerupai suara keldai. Sangat tidak enak untuk didengar. Dan ia pun tidaklah disukai oleh Allah.

Sebab itu tidak ada salahnya jika orang bercakap dengan lemah lembut, dikeraskan sedikit suaranya ketika hendak mengerahkan orang ramai kepada sesuatu pekerjaan besar. Contohnya seperti seorang komander mengarahkan ahli barisnya untuk mengatur barisan di medan perang.

Sisters,
Di dalam ayat 2 dari Surah Al Hujurat juga ada menyebutkan bahwa agama juga mengajar orang yang beriman supaya mengeluarkan suaranya (berkata-kata atau bercakap atau ketawa) dengan penuh adab sopan. Di hadapan nabi tidak boleh mengangkat suara tinggi sehingga melebihi tinggi suara Nabi. Dalam pergaulan umum disuruh mengawal diri dalam bercakap. Ayat ini juga memberi pengajaran bagi kita agar bersikap halus, berlemah lembut. Sehinggakan bunyi suara itu dapat menarik orang untuk memerhatikan apa yang hendak kita katakan.








Luqman Ayat 20

أَلَمْ تَرَوْا أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً وَمِنَ النَّاسِ مَن يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلاَ هُدًي وَلاَ كِتَابٍ مُنِيرٍ
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.

Allah menundukkan semua yang ada di langit untuk manusia. Matahari memberikan manusia cahaya pada siang hari, bulan memberikannya sinar pada malam hari, bintang-bintang jadi pedoman manusia dalam perjalanan di laut dan di darat. Angin berhembus di udara memberikan manusia kesegaran udara. Awan berkumpul dengan tebal dan berat dan kelak menjatuhkan hujan untuk menyuburkan bumi untuk manusia.

Dengan kemajuan ilmu pengetahuan sekarang ini sinar matahari telah dapat diambil faedahnya untuk digunakan sebagai bahan untuk memasak, mengering dan sebagainya. Kini telah bertambah tinggi kecerdasan manusia, sehingga ruang angkasa pun dapat diterokai faedahnya dan diciptakan alat untuk terbang jauh. Ianya menjadi penghubung yang lebih cepat di zaman sekarang di antara benua, sehingga dunia sudah dapat dikelilingi dalam masa dua hari saja. Dan bumi itu sendiri pun telah banyak diambil faedahnya oleh manusia. Bumi juga ditundukkan Allah kepada manusia. Padahal manusia ini hanyalah penumpang bumi saja.

Alat untuk menunduk itulah yang dianugerahkan Allah kepada manusia. Ianya dikenali sebagai akal. Dengan akal manusia menyelidiki hampir semua rahsia alam. Itulah yang dinamakan ilmu. Dengan akal maka timbullah teknik, timbullah alat-alat hasil dari fikiran manusia yang menakjubkan.  

“......dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin”
Nikmat zahir yang dimaksudkan adalah nikmat yang dari segala keindahan yang terdapat di dalam alam ini. Yang kelihatan oleh pandangan mata, dapat didengar oleh telinga dan dapat dicapai oleh tangan. Nikmat batin pula adalah apa yang dapat dinikmati oleh akal dan perasaan. Kerana kalau perasaan yang halus dan akal yang cerdas tidak sempurna, maka pasti manusia tidak akan dapat merasakan nikmat zahir itu. Maka siapakah yang akan merasa kagum dan terharu serta bersyukur melihat nikmat yang Allah berikan itu? Tidak lain hanyalah orang-orang yang sihat dan cerdas akal fikirannya dan yang halus perasaannya.

“....ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk;..”
Setengah manusia ada yang suka menyanggah atau berdebat tentang urusan ketuhanan, padahal pengetahuan mereka tentang itu tidak ada. Mereka membantah akan adanya Allah dan keesaanNya dengan cara membabi buta tanpa bukti yang jelas dan kukuh dan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan. Ada kalanya juga hujah mereka itu tidaklah logik dan tidak dapat diterima oleh akal yang waras.

Oleh sebab itu orang-orang yang membantah dan berdebat serta mempertikaikan soal ini adalah orang yang telah terperosok ke jalan yang salah. Mereka tidak berpengetahuan tentang tauhid. Tidak pula melihat alam dan keindahannya. Dan mereka tidak sedar akan siapakah penciptanya. Ada juga yang mengatakan Allah itu ada, tetapi di samping itu mereka sekutukan pula Allah dengan ciptaan Allah yang lain. Disekutukan dengan kayu, batu, pepohon, kertas, tangkal azimat, keris dan sebagainya lagi yang tidak layak.

Mereka ini semua juga menetang dan membantah Rasulullah bilamana baginda menyerukan agama Islam dan mengajak untuk beriman kepada Allah. Rasulullah telah menunjukkan bukti yang jelas dan terang kepada mereka supaya mereka sedar dan insaf akan kebenaran yang sebenarnya. Tetapi mereka tetap engkar. Tetap membantah tidak mahu beriman. Dan mereka juga memberikan hujah-hujah yang tidak-tidak untuk menentang Rasulullah. Orang-orang yang sebegini adalah orang yang jiwanya telah menjadi kacau bilau dan tidak sihat akal dan fikirannya. 











No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.