Sunday, March 22, 2015

Surah Al A'raaf - Pengenalan






Surah al-A‘raf ini secara keseluruhannya berjumlah 206 ayat. Surah ini dinamakan al-A‘raf kerana perkataan al-A‘raf yang terdapat di dalam ayat 46 yang telah mengemukakan tentang keadaan orang-orang yang berada di atas al-A‘raf : iaitu tempat yang tertinggi di antara batas syurga dan neraka sebagaimana firmanNya yang bermaksud : “ Dan di antara keduanya (penghuni syurga dan neraka) ada batasan ; dan di atas al-A‘raf itu ada orang-orang yang mengenal masing-masing dari dua golongan itu dengan tanda-tanda mereka. Dan mereka menyeru kepada penduduk syurga : “ Mudah-mudahan Allah melimpahkan kesejahteraan ke atas kamu”. Mereka belum lagi memasukinya, sedang mereka ingin segera (memasukinya)”.( al-A‘raf , 7 : 46 ).

Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan daripada Huzaifah bahawasanya dia telah ditanya siapakah penduduk A‘raf ? Maka Huzaifah menjawab : “Mereka adalah satu golongan yang mana amalan kebaikan mereka sama timbangannya dengan amalan kejahatan mereka. Mereka tidak dimasukkan ke dalam neraka kerana amalan kebaikan mereka dan tidak pula dimasukkan ke syurga kerana amalan kejahatan mereka. Maka mereka menetap di suatu tempat yang dinamakan al-A‘raf sehinggalah Allah mendatangkan ketentuanNya.

Seluruh ‘ulama’ tafsir telah berpendapat bahawasanya surah ini termasuk di dalam golongan surah Makkiyyah, dan surah ini turun sebelum surah al-An‘am. Sebagaimana yang dimaklumi, surah-surah al-Qur’an itu terbahagi kepada 4 bahagian iaitu al-Tiwal, al-Mi‘un, al-Masani dan al-Mufassal. Dan di antara bahagian al-Tiwal itu merangkumi 7 surah iaitu al-Baqarah, Ali ‘Imran, al-Nisa’, al-Ma’idah, al-An‘am, al-A‘raf dan yang ketujuh adalah surah al-Anfal dan al-Bara’ah kerana kedua-dua surah ini tidak dipisahkan dengan basmalah. Manakala ada yang berpendapat surah yang ketujuh adalah surah Yunus. Justeru, surah ini dikategorikan sebagai “al-Sab‘u al-Tiwal”.

Sementara itu Imam al-Suyuti menerangkan di dalam kitab al-Itqan, bahawasanya ayat 172 yang menceritakan sesungguhnya Allah telah mengambil janji daripada anak Adam semenjak mereka masih di dalam sulbi Adam juga merupakan ayat yang diturunkan di Madinah.

Namun demikian, para ‘ulama’ tafsir yang lain tetap berpendapat bahawasanya kedua ayat itu diturunkan di Makkah. Ini berdasarkan kesinambungan maksud di antara dua ayat tersebut dengan ayat-ayat sebelum dan sesudahnya.

Jika diteliti secara mendalam, kita akan mendapati Surah al-An‘am yang merupakan surah sebelum surah al-A‘raf mengandungi 165 ayat, sedangkan surah al-A‘raf mengandungi 206 ayat. Justeru, timbul persoalan mengapakah surah al-A ‘raf tidak diletakkan terlebih dahulu sebelum surah al-An‘am dalam susunan surah-surah yang panjang yang dimulai dengan surah al-Baqarah ? Menurut kajian para ‘ulama’ tafsir, sesungguhnya surah al-Baqarah dan surah Ali ‘Imran saling-melengkapi, begitu juga dengan surah al-Nisa’ dengan surah al-Maidah yang saling-melengkapi, maka surah al-An‘am dan surah al-A‘raf pula adalah dua surah yang saling melengkapi di antara satu sama lain. Ternyata setelah diperhatikan dengan lebih mendalam, surah al-An‘am masih tersimpul , maka surah al-A‘raf tampil untuk memberikan penghuraian yang lebih jelas dan oleh kerana itulah surah al-A‘raf dikemudiankan.

Oleh sebab itu , apabila kita merenungi pentafsiran al-Qur’an dengan pemerhatian yang tajam, maka sudah tentu kita akan mendapati manfaat yang besar dalam melihat perkaitan di antara satu surah dengan surah yang lain. Dan ternyata menurut pandangan para ‘ulama’ tafsir, pentafsiran al-Qur’an dengan al-Qur’an merupakan bentuk pentafsiran yang paling tinggi nilainya dan paling berautoriti.

Secara umumnya, surah al-A‘raf menerangkan beberapa aspek penting meliputi aspek-aspek berikut :

1. Keimanan : Ia menyentuh persoalan mentauhidkan Allah di dalam berdoa dan beribadat di samping menegaskan hanya Allah yang mengatur dan menjaga alam ini, menciptakan undang-undang dan hukum-hukum untuk mengatur kehidupan manusia di dunia dan di akhirat seterusnya menyatakan bahawasanya Allah mempunyai Asma-ul Husna.

2. Hukum-hukum : Surah ini mengandungi larangan untuk mengikuti perbuatan dan adat-istiadat yang buruk, kewajipan untuk mengikuti Allah dan Rasul di samping perintah supaya memakan makanan yang halal dan menghindari makanan yang haram.

3. Kisah-kisah : Kisah Nabi Adam a.s. dengan iblis, kisah Nabi Nuh a.s. dengan kaumnya, kisah Nabi Saleh a.s. dengan kaumnya, kisah Nabi Syu‘aib a.s. dengan kaumnya, kisah Nabi Musa dengan Fir‘aun.

4. Perkara-perkara lain : Surah ini menyatakan bahawasanya al-Qur’an diturunkan kepada Nabi penghabisan dan perintah untuk mengikutinya, Rasul bertanggungjawab menyampaikan seruan Allah di samping menghuraikan balasan terhadap orang-orang yang mengikuti dan mengingkari Rasul.

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.