Sunday, March 22, 2015

Surah Al A'raf Ayat 41 - 50

Al A’raf Ayat 41


لَهُم مِن جَهَنَّمَ مِهادٌ وَمِن فَوقِهِم غَواشٍ ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِي الظّالِمينَ

Untuk mereka dari jahannam adalah satu tempat yang sangat rendah, dan di atas mereka ada beberapa penutup. Dan sebagai demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim.

Disebutkan di dalam ayat ini sebagai ‘tempat yang sangat rendah’ adalah untuk mengingatkan kita bahwa mereka sendirilah yang telah memilih tempat itu sejak mereka hidup dengan akhlak mereka yang rendah. Semasa di dunia, setelah mereka mati, roh dan amalan mereka hendak cuba untuk naik ke langit, tetapi kena tempeleng sehingga  jatuh tersungkur.

Dan di akhirat juga, tempat mereka adalah di dalam lubang yang terendah. Maksud lubang di sini adalah lubang neraka. Neraka itu dijadikan berlubang-lubang yang gelap gelita dan panas membara. Gelap gelita adalah kerana api yang membakar di dalam neraka itu adalah berwarna hitam iaitu tingkatan kepanasan yang paling dahsyat. Isinya atau bahan bakar api tersebut adalah manusia dan jin yang engkar kepada Allah. Termasuklah iblis dan syaitan. Mereka akan ditempatkan di dalam lubang-lubang tersebut mengikut amalan dosa masing-masing. Berdiamlah mereka di dalam lubang-lubang itu menerima seksaan. Mereka tidak akan dapat naik. Kerana setiap lubang-lubang neraka itu adanya penutup. Bukan satu penutup tetapi banyak. Berlapis-lapis dan dikunci rapat. Dan mereka tidak akan dapat naik lagi. Ini semua adalah sebagai lanjutan dari dosa besar mereka yang mereka amalkan semasa hidup di dunia.

Itulah seksaan dan balasan yang akan diterima oleh orang yang zalim. Allah menyebutkan demikian adalah untuk menggambarkan kepada kita betapa ngerinya seksaan itu. Supaya kita semua menginsafi. Namun hakikat yang sebenarnya, betapa pun ngeri dan azabnya seksaan itu yang kita semua cuba bayangkan, sudah pastilah hakikat kenyataannya ianya jauh lebih teruk lagi dari gambaran kita semua. Diterangkan begini saja pun, kita sudah berasa ngeri dan takut. Apatah lagi bila di akhirat nanti kita sendiri yang akan dapat melihat dan merasa, sekiranya kita berbuat dosa dan tidak bertaubat. Allahu rabbi!





 Al A’raf Ayat 42


وَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ لا نُكَلِّفُ نَفسًا إِلّا وُسعَها أُولٰئِكَ أَصحابُ الجَنَّةِ ۖ هُم فيها خالِدونَ

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh - (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, - merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.

Ayat ini menerangkan pula balasan yang diterima oleh orang-orang yang beriman. Orang -orang yang beriman ini setelah mereka telah membenarkan dalam hati mereka dan percaya akan adanya Allah, mengesakan Allah dan juga mengakui syariat dan pengajaran yang dibawa oleh Rasulullah,maka mereka itu adalah orang-orang yang bakal menjadi penghuni syurga.

Makanya kepada sesiapa yang bercita-cita untuk masuk syurga hendaklah mereka mengesakan Allah, beramal soleh dengan semua ajaran yang dibawa oleh Rasulullah dan meninggalkan semua larangan Allah. Sesungguhnya Allah tidak membebani hambaNya selain dari bebanan yang berupaya ditanggung oleh hambaNya. Jelasnya amalan baik yang membolehkan seseorang itu masuk syurga bukanlah suatu amalan yang berat dan susah untuk dikerjakan sebenarnya. Malah ianya adalah amalan yang sangat mudah dan senang.

Allah memberikan kebebasan kepada kita dalam melakukan amal soleh. Maksudnya kita bukanlah dituntut untuk beramal sepenuh masa setiap saat. Dan dengan tidak melakukan dan meninggalkan kerja yang lain. Allah menyuruh kita mengisi hidup dengan amal tetapi aslkan amal itu sesuai dengan kesanggupan dan kemampuan kita. contohnya sembahyang. Yang diwajibkan kepada kita adalah 5 waktu sahaja sehari semalam. Dan satu kali sembahyang pukul rata adalah dalam 5 ke 10 minit. Jadi dalam 24 jam sehari kita cuma memperuntukkan sebanyak 1 jam saja untuk sembahyang wajib. Lebihan 23 jam dalam sehari itu boleh kita gunakan untuk amal lain. Seseorang itu tidaklah diperintahkan untuk bersembahyang terus menerus. Ini kerana Allah sudah tahu, manusia tidak akan sanggup dan tidak akan mampu untuk melakukannya.  Maka selebih 23 jam lagi itu manusia disuruh untuk bekerja dan berusahalah seperti biasa, berisitirehat di waktu rehat, tidur di waktu malam demi untuk mengambil tenaga baru untuk melakukan amal ibadat di keesokan hari. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang terhadap hamba-hambNya.     

Penghuni syurga nantinya akan bersenang-senang dan bergembira dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai. Dari mulut penghuni syurga hanya keluar kalimat-kalimat syukur dan terima kasih, menunjukkan kebahagiaan dan kegembiraan mereka. Mereka memuji Allah yang telah memberikan petunjuk selama hidup di dunia sehingga mereka menjadi orang yang beriman dan beramal saleh yang menyebabkan mereka menjadi penghuni syurga. Mereka akan kekal di dalam syurga selama-lamanya. Berbahagialah mereka. Subhanallah!



Al A’raf Ayat 43


وَنَزَعنا ما في صُدورِهِم مِن غِلٍّ تَجري مِن تَحتِهِمُ الأَنهارُ ۖ وَقالُوا الحَمدُ لِلَّهِ الَّذي هَدانا لِهٰذا وَما كُنّا لِنَهتَدِيَ لَولا أَن هَدانَا اللَّهُ ۖ لَقَد جاءَت رُسُلُ رَبِّنا بِالحَقِّ ۖ وَنودوا أَن تِلكُمُ الجَنَّةُ أورِثتُموها بِما كُنتُم تَعمَلونَ

Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".

Allah bernjanji di akhirat kelak Alalh akan mencabut dan memberishkan segala perasaan hasad dengki dari dalam hati setiap orang yang hendak memasuki syurga. Sehingga mereka nanti akan berasa cukup gembira, sedikit pun tidak akan terganggu perasaan mereka, dan tidak ada sesuatu yang akan mengeruhkan fikiran mereka tatkala mereka sedang asyik menikmati kesenangan hidup di syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai.

Orang yang memasuki syurga itu nanti akan mengucapkan pujian kepada Allah seperti yang disebutkan oleh mereka di dalam ayat ini. Iaitu yang berbunyi :
"Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran".
Jelas di sini bahwa pujian-pujian itu tidaklah kepada yang lain, melainkan kepada Allah sahaja. Jika sekiranya kita hamba Allah yang serba kekurangan ini yang tahu benar akan kekurangan diri kita sendiri, jika Allah memberi kurnia sehingga kita dimasukkan ke dalam syurga, dengan amal kita yang tidak lebih dari ukuran kesanggupan kita sahaja dalam melakukannya, dengan umur yang sangat singkat, lalu Allah perkenankan pula kita untuk memasuki syurga Nya?

Lalu siapa yang memberi petunjuk sehingga kita dapat beramal, kalau bukan Allah? Dan bagaimanakah kita jadinya kalau petunjuk itu tidak diberikan kepada kita? Adakah kita mampu melakukannya dengan menggunakan tenaga kita sendiri? Sesungguhnya  Allah itulah yang telah memberi petunjuk kepada kita untuk beramal. Yang kelak telah membawa seseorang itu masuk ke dalam syurga dan terlepas dari seksa neraka.

Kata-kata ini mereka ucapkan, kerana telah terbukti di hadapan mata mereka pada waktu itu, bahwa apa yang dijanjikan oleh Allah yang diberitahukan melalui rasul-rasulNya itu benar-benar belaka dan telah pun berlaku.

Kelak nantinya akan kedengaran malaikat meneriakkan kepada mereka bahwa mereka mendapat balasan syurga yang bakal mereka warisi selama-lamanya, sebagai balasan di atas amal baik yang telah mereka kerjakan semasa di dunia.





Surah Al A’raf Ayat 44


وَنَزَعنا ما في صُدورِهِم مِن غِلٍّ تَجري مِن تَحتِهِمُ الأَنهارُ ۖ وَقالُوا الحَمدُ لِلَّهِ الَّذي هَدانا لِهٰذا وَما كُنّا لِنَهتَدِيَ لَولا أَن هَدانَا اللَّهُ ۖ لَقَد جاءَت رُسُلُ رَبِّنا بِالحَقِّ ۖ وَنودوا أَن تِلكُمُ الجَنَّةُ أورِثتُموها بِما كُنتُم تَعمَلونَ

Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata: "Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?". Mereka menjawab: "Benar ada". Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: "Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim"

Ayat ini menerangkan sebahagian peristiwa yang akan berlaku ke atas penduduk neraka dan penduduk syurga itu nanti semasa di hari akhirat. Meskipun kedua-dua tempat syurga dan neraka itu masing-masing adalah berjauhan dan dipisahkan oleh tembok dan sekatan, tetapi penduduk kedua tempat itu masing-masing masih dapat mengadakan perhubungan. Penduduk syurga yang tempatnya di tingkatan yang tinggi masih dapat bercakap dengan penduduk neraka yang tempatnya di lubang-lubang paling bawah. Dan sebaliknya juga, penduduk neraka akan dapat bercakpa dengan penduduk syurga.

Penduduk syurga akan menceritakan kebahagiaan dan kesenangan yang sedang mereka nikmati di dalam syurga, begitu juga penduduk neraka akan menceritakan kesengsaraan dan seksaan yang sedang mereka deritai di dalam neraka, sehingga pernah merintih-rintih kesedihan memohonkan seteguk air dari penduduk syurga.

Kemungkinan ini akan berlaku di akhirat kelak dengan kuasa Allah. Sedangkan di dunia, peduduk yang berada di pelbagai benua, dengan kuasa Allah mereka dapat mengadakan perhubungan di antara satu sama lain, untuk bercakap-cakap bahkan untuk melihat wajah masing-masing pun boleh. Sepertimana sekarang ini yang ada teknologi mms dan wechat, skype dan berbagai lagi. Di zaman ini itu semua tidak mustahil lagi. Apatah lagi di akhirat nanti kerana Allah berkuasa mengatur semuanya.

Allah menerangkan dalam ayat ini bahwa penduduk syurga menyeru penduduk neraka, “sesungguhnya kami telah mendpaat apa yang dijanjikan oleh Allah adalah benar.’ Maksudnya setelah penduduk syurga menetap di dalam syurga dan penduduk neraka menetap di dalam neraka, maka penduduk syurga itu nanti akan berkata dan mempamerkan kepada penduduk neraka, bahwa apa yang dijanjikan oleh Allah menerusi rasulNya dahulu semasa di dunia tentang pahala bagi orang yang mempercayai Allah dan rasulNya, dan tentang mentaati Allah dan rasul, semuanya benar belaka dan menepati serta dapat pula mereka nikmati.

Setelah menceritakan kesenangan yang mereka perolehi, lalau mereka pun bertanya kepada penduduk neraka, ‘adakah kamu dapati, apa yang dijanjikan oleh Tuhan kamu juga benar?’  maksudnya adakah seksaan dan kesengsaraan yang dijanjikan oleh Allah untuk kamu juga benar? dan adakalh menepati seperti yang diperingatkan kepada orang yang kufur dahulu? Lalu penduduk neraka itu pun membalas dengan mengatakan ‘ya, benar’.

Sedang mereka bercakap-cakap itu kedengaranlah suara yang mencelah di antara percakapan merek ayang diteriakkan oleh malaikat, samada malaikat israfil, ataupun malaikat penjaga neraka mahupun malaikat lainnya, “Laknat Allah ke atas orang yang aniaya.”

Maksudnya teriakan itu berupa kutukan yang seolah-olah meneriakkan ‘persetan! atau pergi berambus kepada orang-orang yang aniaya darpada mendapat belas kasihan Allah!”

Ianya ditujukan kepada penduduk neraka tersebut, yang sifatnya diterangkan nanti di dalam ayat 45.




Al A’raf Ayat 45


الَّذينَ يَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَيَبغونَها عِوَجًا وَهُم بِالآخِرَةِ كافِرونَ

Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari menurut jalan Allah, dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok terpesong, sedang mereka pula tidak percayakan hari akhirat.

Jalan Allah adalah jalan yang lurus. Orang yang bertujuan baik akan masuk ke jalan itu. Tetapi orang-orang  yang zalim atau aniaya itu adalah mereka yang telah menghalangi orang yang hendak menempuh jalan Allah, iaitu jalan yang menyampaikan mereka kepada keredhaan Allah. Bahkan jalan tersebut diusahakan oleh si penganiaya ini supaya menjadi bengkok, supaya berubah dari yang asal ia disyariatkan. Misalnya dengan mengubah peraturannya, atau menokok dan menambah syariat Allah itu dengan peraturan atau undang-undang yang menyalahinya, sehingga orang yang menempuhnya akan menjadi sesat.

Mereka ini tidak percaya akan adanya hari kiamat dan pembalasan ke atas segala perubatan. Mereka tidak mahu percaya bahawa kejahatan mereka itu akan dibalas oleh Allah nanti di hari kiamat. Kalaulah ada sekelumit kepercayaan mereka terhadap hari kiamat, tidaklah mereka akan berani bertindak sezalim itu. Maka oleh kerana tidak percaya, maka semakin beranilah mereka melakukan kejahatan dan kezaliman dengan sewenang-wenangnya.





Surah Al A’raf Ayat 46


وَبَينَهُما حِجابٌ ۚ وَعَلَى الأَعرافِ رِجالٌ يَعرِفونَ كُلًّا بِسيماهُم ۚ وَنادَوا أَصحابَ الجَنَّةِ أَن سَلامٌ عَلَيكُم ۚ لَم يَدخُلوها وَهُم يَطمَعونَ

Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok "Al-A'raaf "(yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok Al-A'raaf itu ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): "Salaamun Alaikum" (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.”

Allah menerangkan bahawa neraka dan syurga itu telah dipisahkan oleh suatu tabir atau sekatan berupa tembok yang tinggi yang bernama “Al-A’raf”. Tabir ini Allah ada menyebutkannya di dalam ayat 14 dari surah Al Hadid yang bermaksud:
“Lalu diadakan di antara mereka tembok yang mempunyai pintu gerbang, di sebelah dalamnya ada rahmat (kurnia) dan di sebaliknya sebelah luar ada seksaan. Dan di atas A’raf ada beberapa orang yang mengenal setiap orang yang ada tanda mereka. “

Maksud ayat 14 ini adalah di atas tempat yang tinggi, atau tembok yang memisahkan antara neraka dengan syurga itu terdapat orang-orang yang disebut “Ashabul A’raf”. Mereka tinggal di sana, dan dapat menyaksikan pula orang yang menjadi penduduk syurga dan penduduk neraka. Kelihatan ooleh mereka tanda-tanda yang terdapat pada muka setiap orang. Tanda tersebut telah dijelaskan oleh Allah dalam ayat yang lain, di antaranya dalam ayat 38 - 42 surah Abasa yang bermaksud :
“beberapa muka pada hari itu berseri. Tertawa riang. Dan beberapa muka pada hari itu terkena debu. Ditutupi oleh warna hitam (kegelapan). Itulah orang-orang kafir yang jahat.”

Maksudnya ialah penduduk syurga mukanya ada tanda yang berseri-seri dan kelihatan tertawa riang. Sedangkan penduduk neraka pula tanda hitam penuh berdebu, menandakan dia orang kafir yang jahat.

Mengikut pendapat Mufassirin , Ashabul A;raf atau orang-orang yang tinggal di atas tembok yang tinggi yang memisahkan syurga dan neraka itu, adalah daripada golongan orang yang sama berat timbangan amal baik dan amal jahatnya. Mereka ditahan oleh Allah di tempat itu, tidak dapat masuk syurga dan tidak pula masuk neraka bahkan di tengah-tengah sahaja, sehinggalah selesai semua manusia diadili di akhirat. Kemudian Allah menyuruh mereka masuk ke dalam syurga dengan limpah dan kurnia Allah dan mengampunkan kesalahan mereka.

Dalam hubungan ini Ibnu Mas’ud ra telah berkata, ‘pada hari kiamat manusia akan dihisab amalannya. Sesiapa mempunyai kebajikan melebihi satu sahaja dari kejahatannya, masuklah ia ke dalam syurga. Dan sesiapa yang mempunyai kejahatan melebihi satu saja dari kebaikannya, masuklah ia ke dalam neraka.

Sesungguhnya timbangan neraca akan ringan (naik) dan akan berat (turun) dengan sebab sebiji sawi sahaja. Dan seisapa saja yang timbangannya sama berat kebajikan dan kejahatannya, jadilah ia daripada golongan Ashabul A’raf. Mereka akan tinggal di atas A’raf iaitu tempat yang tinggi yang mengasingkan di antara syurga dan neraka..Mereka tinggal di sana menunggu keputusan Allah ke mana mereka akan dimasukkan. Semasa tinggal di atas tembok itu , apabila saja mereka melihat penduduk syurga, mereka akan  menyeru “sejahtera atas kamu!” Dan apabila mereka melihat penduduk neraka, mereka akan berkata pula, “Ya Tuhan kami, Janganlah kami hendak Engkau masukkan bersama kaum yang aniaya itu.”

Terbayanglah oleh kita keadaan mereka berada di atas tembok A’raf itu. Betapa perasaan mereka berdiri sambil menonton orang berduyun-duyun menuju ke syurga, wajah mereka kelihatan berseri-seri, padahal diri mereka sendiri belum tentunya nasib akan ke sana juga. Mereka mengucapkan selamat sejahtera bagi ahli syurga, mereka ucapakan SALAM. kerana memang negeri syurga itu adalah DARUS-SALAM. Iaitu negeri kedamaian jiwa. Mereka melihat orang berarak masuk, mereka pun sudah tentu merasa ingin masuk dan berharap untuk masuk, padahal belum boleh, kerana keputusan Allah belum ditentukan ataupun memang sengaja ditangguhkan.



Al A’raf Ayat 47


وَإِذا صُرِفَت أَبصارُهُم تِلقاءَ أَصحابِ النّارِ قالوا رَبَّنا لا تَجعَلنا مَعَ القَومِ الظّالِمينَ

Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim".

Dalam ayat ini digunakan perkataan ‘dialihkan pandangan mereka’. Ini bermaksud bukan mereka saja-saja nak tengok tetapi mereka telah dialihkan oleh Allah untuk memandang pula ke arah penghuni neraka. Pandangan mereka dipalingkan ke arah sana pula.

Semasa berdiri di tembok itu nanti terdapat sekumpulan ahli-ahli neraka yang tidak sampai hati oleh Ashabul A’raf itu untuk memandangnya. Ataupun takut untuk melihat. Ini kerana wajah ahli neraka ini berkeadaan kusut masai, muram dan kecut. Bahkan kalau kita sendiri pun tidak akan sampai hati untuk melihat muka orang yang keruh kerana sedang susah hati yang amat sangat. Tetapi penglihatan Ashabul A’raf ini dipalingkan juga oleh Allah untuk melihat ke arah ahli neraka tersebut. Jadi dengan tidak sengaja terlihatlah oleh mereka akan ahli-ahli neraka yang sedang berjalan menuju ke lubang neraka itu. Semua Ashabul A’raf ngeri untuk melihat mereka. Lalu mereka berkata, “Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama-sama kaum yang zalim.” Ini supaya Allah tidak menjerumuskan mereka bersama ahli-ahli neraka tersebut.

Untuk masuk syurga bersama ahli syurga, walaupun besar keinginan dan pengharapan, mereka masih belum boleh. Untuk masuk ke dalam neraka mereka merasa takut dan tidak mahu. Pada saat itu mereka menghitung-hitung kembali akan diri mereka, mengingat-ingat, bahwa memang banyak juga kelalaian semasa hidup, banyak juga kesalahan yang mereka lakukan, tetapi tidaklah sampai bersyirik atau mempengaruhi manusia ke jalan selain dari jalan Allah. Jantung mereka berdebar kerana menunggu keputusan Allah. Janganlah kiranya mereka dimasukkan ke dalam golongan orang yang telah terang-terangan zalim itu.

Wahai sisters semua,
Keterangan tentang penduduk tembok A’raf ini hanya sekali ini saja diceritakan di dalam Surah yang diberi namanya sendiri, tetapi ia meliputi seluruh Al Quran. Maksud Allah, moga-moga dugaan hamba yang jahil ini akan dapat mendekatkan hati dan diri kita dengan kebenaran dan akan menimbulkan keinsafan bagi kita. Bahwasanya berbuat baik itu janganlah dengan ragu-ragu. Harus jelas dan sepenuh hati dilakukan kebaikannya.

Ayat ini menjadikan pengajaran kepada kita yang masih hidup di atas mukabumi ini, supaya memupuk iman dan selalulah beramal soleh, bekerja dengan sepenuh tenaga mencari dan menegakkan apa yang diredhai Allah. Lakukanlah dengan penuh keinsafan kerana apa yang dapat kita kerjakan hanyalah sekadar kemampuan yang diberikan Allah kepda kita juga. Jangan ragu dan jangan bimbang. Kerana penghuni tembok A’raf meskipun belum diazab ataupun diberi kurnia, mereka sebenarnya telah ditimpa kebimbangan. Kerana semasa mereka hidup di dunia dahulu juga mereka ditimpa kebimbangan dan ragu-ragu untuk berbuat kebaikan dan amal soleh. Jadi jangan jadi seperti mereka.

Al A’raf Ayat 48


وَنادىٰ أَصحابُ الأَعرافِ رِجالًا يَعرِفونَهُم بِسيماهُم قالوا ما أَغنىٰ عَنكُم جَمعُكُم وَما كُنتُم تَستَكبِرونَ

Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A'raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: "Nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu - tidak dapat menolong kamu".

Setelah dipalingkan penglihatan mereka ke arah penghuni neraka, maka kelihatanlah oleh penghuni tembok A’raf itu wajah-wajah dari orang-orang yang akan masuk ke dalam neraka, yang kebetulannya berpaling juga ke arah mereka. Lalu penghuni tembok A’raf itupun bertanya kepada ahli neraka, "Nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu - tidak dapat menolong kamu".

Dengan muka muram kusut masai, ahli neraka menuju ke neraka, kumpulan demi kumpulan, puak demi puak dihalau masuk ke dalamnya. Kesalahan yang paling besar ialah mengumpul harta dan berlagak, lalu lupa pada Allah. Maka bertanyalah penghuni tembok A’raf, ‘bagaimanakah nasibmu wahai kawan, mana hartabenda yang kamu kumpulkan di kala hidup dahulu, tidakkah ia dapat digunakan untuk menolong dirimu pada hari ini? Dan di kala di dunia mereka membesar-besarkan berhala, memuja-muka sesama manusia, menyekutukan semua itu dengan Allah? Sekarang kamu telah dihalau ke dalam neraka. Mana dia berhala-berhalamu itu? Mana dia yang kamu sembah selain Allah? Mengapa mereka tidak datang menolong?”







Al A’raf Ayat 49


 أَهٰؤُلاءِ الَّذينَ أَقسَمتُم لا يَنالُهُمُ اللَّهُ بِرَحمَةٍ ۚ ادخُلُوا الجَنَّةَ لا خَوفٌ عَلَيكُم وَلا أَنتُم تَحزَنونَ

(Mereka bertanya pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): "Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): ` Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita. '

Lalu penghuni tembok A’raf bertanya lagi kepada ahli neraka yang sedang dalam rombongan menuju ke neraka itu, “Apakah ini orang-orang yang pernah kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah?”

Yang ditanya ini ialah orang-orang yang zalim dan sombong, bangga dengan kekayaan dan kuat mempertahankan berhala. Mereka akhirnya telah menunduk hina menuju ke neraka. Manakala dalam rombongan yang pergi menuju ke syurga, ialah orang -orang yang semasa hidup mereka dipandang hina dan rendah. Umpamanya Abu Jahal dan pembesar-pembesar Quraisy. Begitu juga dengan umat Nabi Nuh yang mencerca mati dan tidak mahu percaya kepada Nabi Nuh kerana pengikut nabi Nuh adalah terdiri dari orang miskin dan hina bagi mereka.

Sekarang orang-orang yang dipandang hina itulah yang menuju ke syurga. Disediakan dengan nikmat-nikmat Allah yang tidak berkesudahan untuk mereka nikmati, sedangkan mereka yang sombong itu dihalau masuk ke neraka. Demikianlah renungan penghuni tembok A’raf melihat golongan demi golongan yang lalu di hadapan mereka. Tetapi tentang nasib mereka sendiri, masih belum diputuskan oleh Allah lagi.

Setelah selesai rombongan-rombongan masuk ke tempat ketentuan masing-masing, yang syurga masuk ke syurga, yang neraka masuk ke lubang neraka, duduklah termenung penduduk tembok A’raf menunggu keputusan Allah, tentang nasib mereka. Orang lain semua sudah selesai diberi nilaian dan keputusan. Hanya tinggal mereka saja yang belum. Berapa lama agakanya mereka berkeadaan seperti itu? Wallahu A’lam.  Kerana saat dan waktu itu sudah lain dari saat dan waktu semasa di dunia ini.

Menunggu dan menunggu, tiba-tiba datanglah keputusan Allah, “masuklah kamu ke dalam syurga, Tidak ada ketakutan atas kamu dan tidaklah kamu akan berdukacita.”

Akhirnya Allah yang Rahman dan RAhim menjatuhkan keputusannya, penduduk tembok A’raf yang terkontang kanting itu disuruh masuk ke dalam syurga Jannatun Naim. Hilanglah segala ketakutan dan kebimbangan, sebab kasih Allah mengatasi segala-galanya. Tamatlah sudah segala dukacita, kerana ke dalam syurga jugalah akhir kesudahannya. Syurga Darus-salam, negeri yang penuh aman damai dan sejahtera. Mereka masuk adlah semata-mata kerana kurnia Allah, yang memang telah menjadi sifat Allah, Maha Pemurah dan Maha Mengasihani, di samping Maha AdilNya.




 Al A'raf Ayat 50


وَنادىٰ أَصحابُ النّارِ أَصحابَ الجَنَّةِ أَن أَفيضوا عَلَينا مِنَ الماءِ أَو مِمّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ ۚ قالوا إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَهُما عَلَى الكافِرينَ

Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): "Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu". Mereka (ahli Syurga) menjawab: "Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir".

Ayat ini menerangkan, bahwa penghuni neraka meminta tolong agar diberikan sedikit air atau makanan kepada mereka sebagai rezeki dan pemberian dari Allah kepada penghuni syurga. Mereka yang menghuni neraka sudah sangat haus dan lapar kerana panasnya api neraka.

Di dalam neraka itu, kalau mereka minta air untuk melepaskan haus, diberilah air panas yang sedang mendidih dan air tembaga dan besi yang bila diminum akan hancurlah segala isi perut mereka. Kalau mereka minta makanan kerana sudah lapar, diberikanlah makanan yang terbuat dari kayu yang berduri yang tidak akan menghilangkan lapar tetapi akan menghancurkan kerongkong mereka.

Kerana tidak tahan menanggung seksaan yang serupa itu, maka dengan tidak malu-malu mereka meminta tolong kepada penghuni syurga agar diberi air dan makanan. Sebenarnya mereka sudah tahu, bahawa permintaan mereka tidak akan berhasil, bahkan hanya untuk menambah siksaan saja kepada mereka. Maka permintaan mereka mendapat jawaban yang cukup menyedihkan perasaan mereka, menambah haus dan lapar mereka. Penghuni syurga menjawab, "Sesungguhnya Allah swt. telah mengharamkan air dan makanan bagi orang-orang yang kafir sebagaimana Allah mengharamkan mereka masuk syurga dan menambah pedih siksaan neraka bagi mereka."

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas:
“Bahwa seorang penghuni neraka memanggil kawannya, "Wahai saudaraku, tolonglah aku, sesungguhnya aku telah terbakar, maka berikanlah sedikit air kepadaku." Maka dikatakanlah kepada saudaranya (yang diminta pertolongan) itu, "Jawablah permintaan itu." Maka saudaranya membacakan ayat ini: "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan keduanya bagi orang-orang kafir."
(H.R Ibnu Abbas)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.