Sunday, March 22, 2015

Surah Al A'raf Ayat 101 - 110




Al A’raf Ayat 101

تِلكَ القُرىٰ نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنبائِها ۚ وَلَقَد جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ فَما كانوا لِيُؤمِنوا بِما كَذَّبوا مِن قَبلُ ۚ كَذٰلِكَ يَطبَعُ اللَّهُ عَلىٰ قُلوبِ الكافِرينَ
Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian dari khabar beritanya kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata (mukjizat), sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah meteraikan di atas hati orang-orang yang kafir.

Negeri-negeri yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah negeri kaum Nabi Nuh, kaum ‘Ad, kaum Thamud, kaum Nabi Lut dan kaum Nabi Syu’aib. Allah menceritakan kepada rasulnya Nabi Muhammad saw tentang penduduk negeri-negeri tersebut berserta para rasul yang diutus kepada mereka semua. Tujuannya supaya baginda Nabi saw mengetahui bahwa Allah telah pun memberikan pertolongan kepada para rasul tersebut untuk mengalahkan umat mereka yang kufur lagi derhaka sehingga mereka semua hancur binasa.

Dengan demikian ayat ini adalah sebagai pengubat hati kepada baginda nabi saw yang sedang berduka selama menghadapi penentang-penentangnya, dan juga sebagai ancaman kepada orang-orang kafir Quraisy, bahwa mereka juga pasti akan mengalami nasi yang sama sepertimana penduduk-penduduk negeri yang diceitakan di dalam ayat terdahulu tadi.

Allah telah menghuraikan kisah para rasul yang terdahulu kepada baginda, bahwa rasul-rasul itu telah cukup memberi peringatan dan keterangan kepada kaumnya, tetapi masih ramai juga di antara kaum mereka yang tidak mahu percaya. Ini kerana mereka telah menolak untuk kembali kepada ajaran tauhid yang sebenar iaitu percaya dan beriman kepada Allah. Itulah yang terlebih dahulu mereka dustakan. Sehingga keterangan yang lain, betapapun kuatnya, mereka tolak semua juga. Maka sekarang, jika kaum baginda Nabi saw iaitu kaum Quraisy pun bersikap seperti kaum terdahulu juga, maka janganlah hendaknya baginda Nabi saw bersusah hati. Kerana memang hati orang yang kafir itu telah pun dimeteraikan.

Maksud meteraikan ini adalah seperti besi yang hendak disambung dengan besi yang lain, kita akan menggunakan alat mematri (brazing atau soldering). Alat mematri ini akan menyambung besi dengan besi tersebut dengan kemas. Pada mulanya besi tersebut masih lembut dan boleh dibentuk atau disambung dengan apa-apa saja. Tetapi bila ia sudah sejuk dan lama-lama mengeras, ia akan kekal dalam bentuk dan sambungan yang telah dibuat. Ianya sudah tidak boleh dipatahkan atau dicabut buang kembali. Akan melekat kekal.

Begitulah hati orang-orang kafir yang sudah membeku dan tertutup mati dengan kedustaan dan kedegilan mereka. Sehingga mereka tidak mahu lagi menerima pelajaran dan nasihat apapun yang dibawakan kepada mereka. Mereka tidak mahu menerima agama yang dibawa Rasul-rasul kepada mereka yang menyeru kepada akidah tauhid dan menyembah Allah semata-mata, betapapun jelasnya keterangan dan bukti-bukti, serta alasan dan dalil-dalil yang diberikan kepada mereka. Kerana hati mereka sudah dimeteraikan.




 Al A’raf Ayat 102

وَما وَجَدنا لِأَكثَرِهِم مِن عَهدٍ ۖ وَإِن وَجَدنا أَكثَرَهُم لَفاسِقينَ
Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati), dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik.

Orang -orang dari umat yang lampau yang disebutkan kisahnya itu, kebanyakannya tidak teguh memegang janji, iaitu janji yang mereka ikrarkan kepada Tuhan semasa mereka masih dalam tulang sulbi Nabi Adam  lagi. Kerana sekalian anak Adam waktu itu masing-masing diminta pengakuannya untuk bertuhankan Allah dengan pertanyaan “bukankah Aku ini Tuhan kamu?” maka mereka telah memberikan pengakuan sebagai persetiaan dengan jawapan “bahkan, kami telah menyaksikan, iaitu tidak ada Tuhan yang kami sembah melainkan Allah.”

Akan tetapi kebanyakan mereka kemudiannya telah menjadi orang-orang yang fasik, iaitu orang yang terkeluar daripada mentaati Allah, enggan mematuhi perintahNya. Bahkan menderhakaiNya dengan bermaharajalela.






 Al A’raf Ayat 103

ثُمَّ بَعَثنا مِن بَعدِهِم موسىٰ بِآياتِنا إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَئِهِ فَظَلَموا بِها ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عاقِبَةُ المُفسِدينَ
Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.

Kemudian Allah menceritakan kisah para Nabi yang keenam dalam siri kisah mereka yang tersebut di dalam surah Al A’raf ini, iaitu kisah Nabi Musa as. Dalam surah ini kisahnya agak luas diperkatakan daripada di lain-lain surah. Kerana banyak surah yang memuat kisah Nabi Musa itu berulang-ulang, ada yang panjang dan ada yang pendek. Sedangkan nama Nabi Musa itu sendiri lebih dari 135 kali disebutkan di dalam Al Quran. Apakah rahsianya? Ini tidak lain kerana kisahnya lebih serupa dengan kisah rasul-rasul yang lain dari kisah Nabi Muhammad saw. Jika dibandingkan, tidaklah dapat diserupakan dengan kisah baginda, kerana baginda adalah dikurniakan syariat yang meliputi perkara keagamaan dan keduniaan, untuk dipergunakan bagi seluruh umat manusia yang lebih luas kedaulatannya dan lebih maju tamadunnya.

Nabi Musa ialah anak Imran bin Yas-har bin Fahath bin Lawi bin Yaakub as. Ia dinamakan Musa mengikut bahasa Qibty Mesir , ‘Mu’ bermaksud air dan ‘Sa’ bermaksud pohon kayu. Kerana ia telah dibuang di antara air dengan kayu. Iaitu semasa ia dilahirkan, ibunya telah meletakkan dalam sebuah tabut (peti) dan ditutupnya baik-baik lalu dihanyutkan ke sungai Nil. Tujuannya untuk menyelamatkan beliau dari ketahuan Firaun dan askar-askarnya  yang sedang memburu untuk membunuh semua bayi lelaki Bani Israel yang dilahirkan pada tahun itu.

Dan Firaun ialah nama gelaran bagi raja-raja yang memerintah negeri Mesri Tua, sepertimana juga Qaisar adalah nama gelaran Raja Rome. ‘Kisra’ gelaran raja Parsi, dan ‘an-Najasyi’ gelaran bagi raja Habsyi. Mengikut setengah ahli tafsir, nama Firaun pada zaman Nabi Musa ketika itu ialah al-Walid bin Mas’ab bin Raiyan.

Allah menceritakan, setelah Kami utus Nabi Nuh, Hud, Salih, Lut dan Syu’aib as, kemudian Kami utus pula Nabi Musa, dengan membawa keterangan-keterangan Kami kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya. Yang dimaksudkan keterangan-keterangan Kami ialah mukjizat-mukjizat seperti tongkat-tongkat yang boleh menjadi ular, tangan yang putih bercahaya dan sebagainya lagi. Semua itu menjadi bukti dan dalil untuk menguatkan kebenarannya sebagai seorang Nabi dan Utusan Allah. Tujuannya ialah supaya Firaun  dan pembesar-pembesar beriman kepadanya. Kerana apabila pembesar-pembesar telah beriman, maka rakyatnya yang lain akan turut pula beriman.

Tetapi rupa-rupanya Firaun dengan pembesar-pembesarnya itu telah berlaku zalim terhadap keterangan-keterangan tersebut. Erti zalim ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Yang bererti di sini mereka telah kufur dan ingkat, tidak beriman dan tidak juga mempercayai.

Nabi Muhammad saw  ditarik perhatian baginda oleh Allah supaya mengikuti selanjutnya apakah kesudahan perbuatan Firaun dan pembesar-pembesarnya yang melakukan kekejaman dan tidak berperikemanusiaan  terhadap kaum Bani Israel yang mereka jajah dan mereka perhambakan. Ini telah dimulakan dengan menceritakan bagaimana peranan nabi Musa dalam menyeru Firaun ke jalan Allah, sebagai yang difirmankan Allah pada ayat selanjutnya.





Al A’raf Ayat 104 

وَقالَ موسىٰ يا فِرعَونُ إِنّي رَسولٌ مِن رَبِّ العالَمينَ
Dan berkatalah Nabi Musa: "Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

Di dalam ayat 104 ini diperlihatkan betapa gagah perkasanya Utusan Allah iaitu Nabi Musa yang datang ke dalam istana Firaun lalu menyatakan siapa dirinya dan apa tugasnya. Nabi Musa as memberitahu bahwa dia adalah seorang rasul yang diutus /Allah, iaitu Tuhan yang empunya semua alam ini, dan Tuhan yang mengatur segala urusan yang ada di dalamnya. Dan Nabi musa beritahu bahawa dia tidaklah patut mengatakan sesuatu yang dusta dan salah terhadap Allah. Tetapi mesti mengatakan sesuatu yang hak dan benar. Kata-kata  yang membawa pengertian tentang keesaan Allah dan penafian tentang adanya sekutu bagiNya, di samping menafikan dakwaan Firaun yang mengaku dirinya Tuhan.

Supaya dapat kita rasakan betapa besarnya ayat ini, cubalah kita kaitkannya dengan ayat-ayat yang lain dari surah-surah yang lain berkenaan dengan riwayat hidup Nabi Musa. Nabi Musa dibesarkan di dalam istana Firaun, kiranya beliau adalah anak angkat yang dijumpai hanyut di Sungai Nil, kemudian setelah besar beliau lari ke negeri Madyan kerana tangannya telah terlanjur membunuh seorang Kopti, iaitu dari golongan raja.

Sekarang beliau datang kembali, membawa seruan bahwa beliau adalah Utusan Allah, padahal di masa itu Firaunlah yang dipandang orang sebagai tuhan yang berkuasa. Dan Firaun juga menganggap dirinya sebagai tuhan. Lalu Nabi Musa datang kepada mereka, di tengah-tengah mereka, lalu dengan beraninya beliau mengatakan bahawa beliau adalah utusan dari Rabbul ‘Alamin, Tuhan Pemelihara dari seluruh alam? Betapa hebat utusan Allah ini.  





 Al A’raf Ayat 105

حَقيقٌ عَلىٰ أَن لا أَقولَ عَلَى اللَّهِ إِلَّا الحَقَّ ۚ قَد جِئتُكُم بِبَيِّنَةٍ مِن رَبِّكُم فَأَرسِل مَعِيَ بَني إِسرائيلَ
"Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku (ke Palestin). “  

Sesungguhnya apa yang dikatakan oleh Nabi Musa itu adalah benar dan bukan main-main. Betul-betul Allah itu yang mengutuskan beliau dan tidak ada Tuhan yang menguasai seluruh alam ini kecuali Dia. Nabi Musa memberitahu lagi bahwa Tuhan yang mengutus beliau itu adalah Tuhan yang sebenar-benarnya Tuhan. Tuhan Nabi Musa dan Tuhan seluruh umat manusia. Kerana betapa pun besar kuasa yang dimiliki oleh Firaun dan pembesar-pembesar itu tetapi ia tidak sedikitpun dapat menandingi kuasa yang ada pada Tuhan yang Maha Esa itu. Maka Nabi Musa mahu semua umatnya tahu bahwa semua keterangan-keterangan yang disampaikan oleh Nabi Musa itu adalah datang dari Dia bukannya suka-suka Nabi Musa nak mereka-reka saja.

Dan dengan penjelasan itu, maka Nabi Musa telah mengemukakan tuntutan supaya Firaun menyerahkan segala urusan yang bersangkut-paut dengan kaum Bani Israel kepadanya. Hendaklah mereka dibebaskan dari penindasan dan perhambaan supaya mereka boleh pergi bersama-sama dengan Musa ke negeri lain dari negeri Mesir dan di sanalah kelak mereka akan hidup dengan bebas serta beribadat kepada tuhan mereka dengan bebas.

Itulah kedatangan Nabi Musa yang pertama menghadap Firaun. Dan dia dengan tegas mengatakan bahwa dia memang bercakap sunguh-sungguh, bukan main-main. Tetapi kedatangan pertama itu rupanya masih dianggap remeh oleh Firaun. Soal jawab yang lebih panjang telah dikisahkan dan boleh dihayati di dalam surah Asy-Syu’ara ye, sisters.




Al A’raf Ayat 106 hingga 110

قالَ إِن كُنتَ جِئتَ بِآيَةٍ فَأتِ بِها إِن كُنتَ مِنَ الصّادِقينَ
Firaun menjawab: "Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar". (106)

فَأَلقىٰ عَصاهُ فَإِذا هِيَ ثُعبانٌ مُبينٌ
Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata. “ (107)

وَنَزَعَ يَدَهُ فَإِذا هِيَ بَيضاءُ لِلنّاظِرينَ
Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya. “ (108)

قالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ إِنَّ هٰذا لَساحِرٌ عَليمٌ
Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: "Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir. “(109)

يُريدُ أَن يُخرِجَكُم مِن أَرضِكُم ۖ فَماذا تَأمُرونَ
"Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu". (Firaun bertanya): "Oleh itu, apa yang kamu syorkan?" (110)

Setelah nabi Musa menyampaikan seruannya kepada Firaun dan tuntutannya supaya kaum Bani Israel dibebaskan dari belenggu penghambaan, maka Firaun telah mencabarnya secara kasar dengan berkata, kalau engkau mendakwa apa yang engkau bawa itu benar, datangnya dari Tuhan yang mengutus engkau dan ada bukti, maka tunjukkanlah kepadaku mana dia buktinya sebagai tanda engkau orang yang benar?’

Pada saat itu juga Nabi Musa memperlihatkan dua bentuk mukjizat yang dianugerahkan kepada beliau oleh Allah. Pertama Ia menjatuhkan tongkat ke tanah, tiba-tiba tongkat tersebut menjadi seekor ular besar yang nyata, yaitu jelas mempunyai sifat-sifat ular yang sebenarnya, dapat bergerak dan berjalan, berbeza dengan ular yang diciptakan para ahli sihir di masa itu, yang hanya nampak seolah-olah seperti yang bergerak, padahal bukanlah demikian. 

Orang-orang melihat benda itu seperti bergerak, kerana fikiran mereka telah dipengaruhi terlebih dahulu oleh ahli-ahli sihir tersebut. Tidak demikian halnya ular yang menjelma dari tongkat Nabi Musa itu. Ular jelmaan tongkat Nabi Musa memang nampak seperti benar-benar ular. Di dalam surah Taha ayat 19 hingga 21 juga ada diceritakan mengenai mukjizat ular Nabi Musa ini.

Dalam Firaun dan pembesar-pembesar negeri tercengang-cengang dan terpesona melihat kehebatan mukjizat Nabi Musa itu, Nabi Musa kembangkan pula tangannya. Lalu keluarlah satu cahaya putih yang dapat dilihat dengan nyata oleh semua orang yang hadir termasuk Firaun dan pembesar-pembesar. Di dalam surah Taha ayat 22 dijelaskan juga tentang cahaya putih yang keluar dari tangan beliau.   

Dalam kisah Nabi Musa yang terdapat dalam surah surah An Naml dan Al Qasas ditegaskan bahwa warna putih yang kelihatan pada tangan Nabi Musa ketika itu adalah warna putih yang bersih, bukan warna putih seperti disebabkan oleh penyakit sopak dan sebagainya.

Melihat kedua hal yang ajaib itu, maka timbullah dua kesan di dalam hati pembesar-pembesar Firaun yang hadir itu lalu mereka bermusyawwarah sesama mereka. Mereka itu bukanlah hendak mengakui bahawa semua yang mereka saksikan tadi adalah dari kuasa Allah yang Maha Kuasa, tetapi mereka menganggap bahwa Nabi Musa itu adalah seorang ahli sihir yang sangat mendalam pengetahuannya.

Tadi Nabi Musa meminta supaya kaum Bani Israel dibebaskan dari perhambaan dan menyerahkan mereka semua kepada Nabi Musa. Ini bererti kedatangan Nabi Musa ke istana dengan menunjukkan dua kuasa ajaib tadi adalah sebagai ancaman kepada mereka. Kalau Nabi Musa hendak merebut kekuasaan, tentunya mereka akan diusir dari negeri itu dan dianggap sebagai bekas penguasa yang telah dikalahkan.

Isi musyawwarah mereka ini adalah menunjukkan kebiasaan yang terjadi pada setiap zaman. Bila satu angkatan perjuangan menang, pasti pembesar-pembesar yang lama akan dilucutkan dari kuasa dan diusir sebagaimana yang dilakukan di Republik Turki semasa pemerintahan Mustapa Kamal Attaturk dulu yang telah mengusir semua keluarga diraja Bani Osman.  Dan kerana itu bermusyawwarahlah mereka membincangkan apa kah sikap dan tindakan yang akan diambil bagi menangani isu ini.

Di dalam kisah nabi Musa yang terdapat dalam surah Yunus diterangkan pula ucapan pembesar-pembesar Firaun kepada Nabi Musa sebagai berikut:
“Mereka berkata, "Apakah kamu datang kepada kami untuk memalingkan dari apa yang kami dapati dari nenek moyang kami mengerjakannya dan supaya kami berdua (dengan Harun) memegang kekuasaan di muka bumi? Kami tidak akan mempercayai kamu berdua"
(Q.S Yunus: 78)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.