Sunday, March 22, 2015

Surah Al A'raf Ayat 21 - 30

Al A'raf Ayat 21


وَقاسَمَهُما إِنّي لَكُما لَمِنَ النّاصِحينَ

Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): "Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua".

Ayat ini memberikan pengertian kepada kita bahwa pujuk rayu atau bisikan yang dimasukkan oleh iblis itu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh oleh iblis. Dan seakan-akan Adam  dan Hawa telah mengalami peperangan di dalam hati di antara keinginan dan larangan.

Iblis telah memperdaya mereka berdua dengan mengajukan dalih dan bersumpah bahwa iblis hanyalah memberikan mereka kata nasihat sahaja. Kata nasihat yang berisi kejujuran dan tidak bohong kononnya. Memandangkan si iblis telah lebih dahulu dijadikan oleh Allah, maka iblis lebih berpengalaman daripada mereka. Oleh sebab itu ikutlah nasihat iblis. Demikianlah iblis mengaku dirinya sebagai penasihat yang jujur.




Al A’raf Ayat 22


فَدَلّاهُما بِغُرورٍ ۚ فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوآتُهُما وَطَفِقا يَخصِفانِ عَلَيهِما مِن وَرَقِ الجَنَّةِ ۖ وَناداهُما رَبُّهُما أَلَم أَنهَكُما عَن تِلكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُل لَكُما إِنَّ الشَّيطانَ لَكُما عَدُوٌّ مُبينٌ

Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?" .

Iblis terus juga memujuk rayu dan menggoda sehingga Adam dan Hawa dapat ditundukkan oleh tipu dayanya. Sebab keduanya menyangka iblis benar-benar jujur, dan percaya bahawa orang yang berani bersumpah dengan nama Allah tentulah tidak akan berdusta. Lalu keduanya kalah dengan tipu daya Iblis. Keduanya telah memakan buah yang diharamkan oleh Allah ke atas mereka. Akhirnya Hawa telah mendahului merasa buah larangan itu dan memakannya, yang diikuti pula oleh Adam kerana melayan kemahuan isterinya yang mengajak sama memakannya.

Dan seketika itu juga terdedahlah kemaluan masing-masing, kelihatanlah alat kelamin mereka, dan satu sama lain dapat melihatnya, walhal sebelum ini telah terlindung dan tertutup oleh pakaian syurga mereka.

Oleh kerana keduanya berasa tersangat malu berkeadaan begitu, maka masing-masing segera mencari daun kayu yang ada di dalam syurga itu, untuk dijadikan pakaian penutup kemaluan masing-masing.

Kemudian Allah telah memanggil keduanya dengan berkata, Bukankah Aku telah melarang engkau berdua, jangan mendekati pohon itu apa lagi memakan buahnya, tetapi mengapa larangan itu dilanggar juga, semata-mata mengikuti pujukan iblis yang derhaka itu? Dan bukankah telah Ku peringatkan bahwa iblis itu bagi kamu adalah musuh yang terang? Kerana dia terang-terang memusuhi kamu disebabkan keenggannnya untuk sujud didorang oleh rasa hasad dan dengkinya.




Al A’raf Ayat 23


قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخاسِرينَ

Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".

Allah menceritakan tentang Adam dan Hawa itu kemudiannya telah mengaku salah atas perbuatan mereka lalu menyesal lalu berdoa, “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi"

Inilah doa dan munajat kepada Ilahi yang telah menyatakan pengakuan kesalahan. Maksudnya ialah, ‘Kami telah melanggar larangan. Sekarang tahulah kami bahwa kami telah menganiaya diri kami, terasa oleh kami sekarang penderitaan batin kami yang kami tanggung. Oleh sebab itu keampunan Engkaulah yang kami harapkan. Kami telah menganiaya diri kami sendiri disebabkan oleh pujuk rayu musuh kami, si iblis kami turuti dan larangan Engkau kami langgar. Telah nyata lah kelemahan kami. 

Maka sekiranya Engkau tidak mengampuni dosa kami yang terlanjur ini, dan kalau Engkau tidak merahmati kami dengan petunjuk dan hidayah Mu, pastinya akan rugilah kami. Jiwa kami takut akan kerugian itu, tetapi jalan lain untuk membangkitkan jiwa kembali kepada kebahagiaan dan kemenangan tidak ada. Jalan hanya satu, iaitu kembali ke dalam perlindungan Mu, berjalan di atas jalanMU.’

Di dalam surah Al Baqarah ayat 37 dahulu, Allah telah memberitahukan kepada kita, bahwasanya ucapan doa yang demikian adalah Allah sendiri yang mengajarkannya kepada Nabi Adam, sehingga dia dan isterinya diberi taubat. Memanglah, sudah pasti lah Allah kerana siapa lagi  yang Maha Berkuasa untuk mengeluarkan kita dari kesulitan kalau bukan Allah.  

Kerana permohonan mengaku diri telah bersalah, tidak mengelak dari tanggungjawab, maka Allah telah memberi ampun kepada Nabi Adam dan isterinya atas kesalahan melanggar larangan tersebut. Namun oleh kerana kesalahan itu juga Nabi Adam dan isterinya sudah tidak layak lagi untuk tinggal di dalam syurga.

Firman Allah:
“Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
(Q.S Al Baqarah: 37)




Al A’raf Ayat 24 Dan 25


قالَ اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتاعٌ إِلىٰ حينٍ

Allah berfirman: "Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)". (24)



'قالَ فيها تَحيَونَ وَفيها تَموتونَ وَمِنها تُخرَجونَ

Allah berfirman lagi: "Di bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)".  (25)

Allah memerintahkan Adam dan Hawa serta Iblis untuk turun ke bumi. Permusuhan yang berlarutan antara Adam dan anak cucunya terhadap Iblis akan kekal berlarutan sehingga ke akhir zaman. Selama ada hayat dikandung badan, tetapi bila ajal sudah sampai, maka mereka semua akan mati dan bumi itu jugalah menjadi tempat mereka berkubur.

Telah menjadi sunnatullah bahwa setiap perbuatan buruk akan mempunyai akibat yang buruk juga. Di bumi ini akan terjadilah permusuhan, sebahagian akan menjadi musuh dari sebahagian yang lain. Iblis dan kawan-kawannya akan selalu memusuhi anak cucu Adam a.s. Sebaliknya anak cucu Adam harus selalu waspada dan tetap memandang dan menjadikan iblis itu musuh yang sangat berbahaya kerana kalau tidak, mereka akan dijerumuskan ke dalam neraka sebagaimana firman Allah swt.:
“Sesungguhnya setan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu) karena sesungguhnya setan-setan itu hanyalah mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.”
(Q.S Fatir: 6)


Mereka akan tinggal dan menetap di bumi dilengkapi dengan sumber penghidupan yang menjadi kesenangan sampai kepada waktu yang telah ditentukan oleh Allah swt., iaitu pada waktu berakhirnya ajal dan tibanya hari kiamat sesuai dengan firman Allah swt.:
“Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi itu (sumber) penghidupan.”
(Q.S Al A'raf: 10)

Kemudian dari bumi pula mereka akan dikembalikan, bangkit semula dengan hidup seperti sedia kala, lalu dibicarakan untuk menerima pembalasan dari Allah di atas setiap perkara dan perbuatan yang telah mereka lakukan.



 Al A’raf Ayat 26


يا بَني آدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا يُواري سَوآتِكُم وَريشًا ۖ وَلِباسُ التَّقوىٰ ذٰلِكَ خَيرٌ ۚ ذٰلِكَ مِن آياتِ اللَّهِ لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). “

Setelah Allah memerintahkan Adam dan Hawa supaya turun ke bumi dan menjadikan bumi itu tempat tinggal mereka, maka Allah telah menurunkan pula untuk mereka segala macam keperluan hidup yang mereka hajati, samada untuk kepentingan agama mahupun untuk kepentingan dunia.

Bagi manusia, pakaian itu ada dibahagi kepada dua kepentingan:
1 . dapat digunakan untuk menutup aurat, yang dengannya menjadi salah satu syarat sah sembahyang. Ini ialah yang merupakan untuk kepentingan agama.
2 . dapat digunakan untuk menahan tubuh badan dari panas dan sejuk. Ini ialah merupakan kepentingan dunia.

Pakaian manusia memang ada bermacam-macam. Ada setakat menutup aurat saja, iaitu untuk melindungi dari pandatang mata orang lain, maka inilah pakaian yang sekurang-kurangnya dinamakan pakaian. Dan ada yang lebih daripada itu, dengan segala macam bentuk dan potongan, hingga ditambahi pula dengan perhiasan untuk menambahkan lagi kecantikan dan keindahan, yang dapat menyerikan sesuatu majlis dan perjumpaan.

Perkataan ‘pakaian perhiasan’ dalam ayat ini, telah menjelaskan kepada kita bahwa tentang keharusan seseorang itu menghiasi dirinya, dan dibolehkan memakai pakaian sebagai perhiasannya. Kerana islam adalah agama fitrah, maksudnya agama yang sesuai mengikut asal kejadian manusia. Agama Islam tidak menegah setiap perkara yang dihajati oleh manusia. Manusia memang dijadikan untuk suka berhias dan suka kepada perhiasan. Ini telah menjadi wataknya, pembawaannya atau naluri yang dipunyainya. Dan berhias itu adalah merupakan tujuan yang benar bukannya salah.

Kemudian setelah menyebut tentang kedua macam pakian itu, disebutkan oleh Allah pula tentang pakaian yang ketiga, iaitu pakaian taqwa. Dengan ini diterangkan bahawasanya pakaian itu bukanlah semata-mata dua yang lahiriah itu sahaja, tetap ada lagi pakaian ketiga yang lebih penting, iaitu pakaian taqwa ataupun pakaian jiwa.

Ibnu Zaid mentafsirkan bahwa taqwa itu sendirilah pakaian.

Ibnu Abbas mentafsirkan bahwa iman dan amal soleh itulah pakaian taqwa, dan Allah berfirman di dalam ayat ini bahwasanya  “dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.”

Di zaman ini kita dapat lihat berapa ramai wanita yang berpakaian dan perhiasan mereka itulah yang telah menelanjangi jiwa mereka sendiri, kerana di dalam jiwa mereka itu tidak ada taqwa.

Cuba kita lihat susunan ayat ini. Pakaian bermula sekadar penutup aurat, pendinding malu. Selepas itu pakaian sebagai perhiasan untuk memperelokkan hubungan dengan sesama manusia. Dan akhirannya serta intinya ialah pakaian taqwa untuk menangkis serangan musuh besar yang akan menelanjangi kita kelak dengan menggunakan pakaian dan perhiasan kita juga, iaitu Iblis.

Dari sini fahamlah kita bahwa setiap sesuatu itu perlu didasari dengan taqwa. Makna taqwa ialah memelihara. maka fahamlah oleh kita bahwa pakaian lahir adalah untuk memelihara aurat supaya jangan terbuka. Perhiasan adalah untuk memelihara rasa dan nikmat keindahan dan taqwa pula adalah untuk memelihara jiwa.  

Segala nikmat yang telah dianugerahkan Allah swt. seperti memberikan pakaian adalah tanda bagi kekuasaan Allah swt. dan membuktikan kebaikan-Nya kepada anak cucu Adam.. Maka sepatutnyalah kalau kita selalu mengingat Allah swt. dan mensyukuri nikmat-Nya, menjauhi ajakan syaitan dan tidak berlebih-lebihan.




Al A’raf Ayat 27


يا بَني آدَمَ لا يَفتِنَنَّكُمُ الشَّيطانُ كَما أَخرَجَ أَبَوَيكُم مِنَ الجَنَّةِ يَنزِعُ عَنهُما لِباسَهُما لِيُرِيَهُما سَوآتِهِما ۗ إِنَّهُ يَراكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم ۗ إِنّا جَعَلنَا الشَّياطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ

“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.

Ayat ini Allah nak mengingatkan anak-anak Adam supaya berjaga-jaga dan jangan mudah dipujuk oleh syaitan dengan bisikan jahatnya dan dengan tipu helahnya untuk membawa mereka ke lembah maksiat dan seterusnya menderhakai Allah.

Sejak mula-mula lagi kita telah diberi peringatan oleh Allah bahwa syaitan itu telah meminta kesempatan yang amat luas dari Allah untuk memperdayakan Adam dan anak cucunya. Syaitan itu akan datang dari muka, dari belakang, dari rusuk kanan dan dari rusuk kiri, tidak akan berhenti sebelum tujuannya berhasil. Sedangkan kita sebagai manusia telah diberi ilham oleh Allah supaya berpakaian lengkap yang perlu dan berpakaian perhiasan. Maka dalam berpakaian itu janganlah kita sekali-kali lupa, tentang kisah tipu daya iblis yang mula-mula, sehingga membuatkan nenek moyang kita  dulu melanggar larangan. Maka yang mula-mula skali yang terbuka ialah pakaian. Sehingga mereka dapat mengenal apa itu erti malu, sampai mereka tergopoh gapah, mencabut daun kayu syurga untuk menutup aurat masing-masing. Sebab itulah kita hendaklah selalu berpakaian lengkap.

Janganlah kita lalai menjaga tiga pakaian itu. Pengalaman nenek moyang hendaklah dijadikan pengajaran bagi kita. Jika terbuka pakaian sebagai dasar yang pertama, maka bermakna terbukalah aurat kita. Sungguhlah aurat itu sangat lebih baik tertutup daripada terbuka.

Pakaian perhiasan , sebagai tingkat kedua yang asal ilhamnya ialah dari bulu burung, inipun sangat bersangkut paut dengan terlerainya pakian tingkat pertama tadi yang mendatangkan perasaan malu. Terutamanya bagi kaum perempuan. Berhias adalah salah satu alat utama perempuan. Sebab itu maka iblis boleh masuk dari pakaian perhiasan itu untuk membangkitkan nafsu berahi di kalangan kaum lelaki dan wanita. Bukankah dari segi pakaian perhiasan inilah yang banyak iblis telah masuk mengacau dunia kita di zaman moden ini? Ingatkah kita apa yang dinamakan sebagai short skirt, hot mini, hot pants, legging, atau apa-apa saja jenis pakaian yang seumpamanya? Semua jenis pakaian itu diisyaratkan oleh Hadis nabi saw sebagai  “berpakaian tetapi telanjang.” Oleh sebab itu hendaklah kita, anak-anak Adam memelihara ketiga-tiga jenis pakaian ini, jangan sampai tipu daya iblis boleh masuk melaluinya.

Allah menyatakan betapa payah untuk kita berjuang, kerana syaitan dan iblis itu akan senantiasa melihat dan memerhatikan gerak geri kita. Sentiasa menanti dan mencari-cari peluang untuk menyesatkan kita. Bak kata pepatah, jerat tidak pernah lupakan mangsa, tetapi mangsa yang selalu melupakan jerat. Dengan itu apa yang harus kita lakukan? Sudah pastilah kita harus lebih berwaspada dan jangan lalai. Di sinilah perlunya kepada pakaian taqwa tadi. Kerana taqwa itu mengandungi berbagai-bagai erti. Iaitu memelihara, mengawasi, tidak putus berlindung dengan Allah, tawakkal, sabar, ikhlas, ingat kepada Allah. Maka janganlah pakaian kita hanya sekadar penutup aurat atau pun dengan penuh perhiasan jasmani saja. Padahal jiwa kita dibiarkan kosong tanpa Allah.

Akhir ayat ini Allah memberi peringatan yang tegas. Sesungguhnya Allah menjadikan syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman. Maksudnya orang yang tidak beriman adalah umpama telanjang. Tempat untuk syaitan masuk. Terbuka saja di mana-mana celah pun. Di muka, di telinga, di mata, di mulut malah di seluruh anggota. Tidak ada iman bererti tidak ada pegangan. Kerana kepercayaan kepada Allah dan Hari Kiamat tidak ada atau tidak kuat. Inilah yang memudahkan seseorang itu jatuh. Setiap orang memerlukan pimpinan. Jadi sekiranya tidak ada pimpinan dari Allah, maka pimpinan syaitanlah yang menjadi ikutannya.  




Al A’raf Ayat 28


وَإِذا فَعَلوا فاحِشَةً قالوا وَجَدنا عَلَيها آباءَنا وَاللَّهُ أَمَرَنا بِها ۗ قُل إِنَّ اللَّهَ لا يَأمُرُ بِالفَحشاءِ ۖ أَتَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?"

Allah menjelaskan pula di dalam ayat ini tentang kesan buruk akibat mentaati syaitan sehingga mereka melakukan  apa saja yang dimahukan oleh syaitan itu dengan membuta tuli walaupun untuk melakukan perkara yang keji dan sumbang.

Mereka yang melakukan perkara tersebut jika ditegur orang atau dikritik kerana berbuat yang tidak sopan, umpamanya tawaf secara telanjang, maka mereka kan mempertahankannya dengan sekuat-kuatnya. Mereka berusaha pula untuk membuat alasan-alasan bahwa perbuatan yang mereka lakukan itu kononnya sudah menjadi adat lembaga yang mereka pusakai dan mengikut tradisi yang telah berjalan lama, kerana nenek moyang mereka ada melakukannya.

Di samping itu dengan tidak segan-segan pula mereka mengaku dengan berdusta kononnya kekejian yang mereka lakukan itu kerana mengikut perintah Allah. Maka kedua-dua alasan lapuk lagi karut ini jika dpat memenangi hati orang-orang yang lemah imannya, pastilah mereka akan menjadi mangsa dan korban pencabulannya. Hal yang seperti ini sering berlaku dari semasa ke semasa. Sehinggalah ke hari ini masih lagi berlaku.

Ayat ini merujuk kepada perbuatan keji kaum Arab Jahiliyah yang mengerjakan tawaf dengan bertelanjang. Dakwa mereka itu adalah ajaran yang menjadi ikutan nenek moyang mereka zaman berzaman dan haruslah diikuti dan dipelihara. Kemudian mereka dakwa bahawa tawaf itu telah ada sejak zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail lagi. Adakah mereka mempunyai cukup alasan bahwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah memerintahkan tawaf secara bertelanjang? Itulah soalan Allah kepada mereka.

Sudah pastilah perkara ini tidak berlaku. Pastinya tawaf telanjang itu baru timbul kemudian, lama sesudah kedua rasul Allah itu wafat. Allah telah menolak alasan tersebut dengan menyuruh nabi Muhammad saw supaya menafikannya dengan menurunkan ayat ini.





Al A’raf Ayat 29


قُل أَمَرَ رَبّي بِالقِسطِ ۖ وَأَقيموا وُجوهَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ وَادعوهُ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ ۚ كَما بَدَأَكُم تَعودونَ

Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal ugama kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya).

Allah menyuruh rasulNya mengatakan, bahwa apa yang Allah suruh kepada mereka ialah supaya mereka berbuat adil. Suruhan berbuat adil ini mengikut al-Khazin, termasuklah berkenaan dengan suruhan mengenal Allah, sifatNya, perbuatanNya, dan mengiktikadkan bahawa Allah itu Esa dan tidak ada sekutu bagiNya.

dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang,”
Suruhan supaya menghadap ke kiblat iaitu ke arah letaknya Kaabah, pada masa mendirikan sembahyang. Bermakna di antara syarat sahnya sembahyang itu ialah dengan menghadap kiblat.

Sembahlah Allah dan beribadat lah mengikut perintah agama semata-mata ditujukan kepada Allah, dengan sepenuh hati dan dengan tulus ikhlas. Kata Ibnu Abbas, sesungguhnya Allah swt memulakan kejadian anak-anak Adam ada yang mukmin dan ada yang kafir, sebagaimana firman Allah:
“Dialah (Allah) yang menjadikan kamu, Ada di antara kamu yang kafir dan ada di antara kamu yang mukmin.”

Kemudian mereka dikembalikan pada hari kiamat sebagaimana mula-mula mereka dijadikan samada berkeadaan mukmin ataupun kafir.




Al A’raf Ayat 30


فَريقًا هَدىٰ وَفَريقًا حَقَّ عَلَيهِمُ الضَّلالَةُ ۗ إِنَّهُمُ اتَّخَذُوا الشَّياطينَ أَولِياءَ مِن دونِ اللَّهِ وَيَحسَبونَ أَنَّهُم مُهتَدونَ

Sebahagian (dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan Syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. Serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah.

Seluruh manusia yang diciptakan oleh Allah adalah semuanya dari keturunan Nabi Adam. Mereka semua hidup di atas dunia, beranak pinak dan kemudiannya satu persatu kelak akan mati. Setelah mati, semuanya akan dibangkitkan kembali oleh Allah di hari kiamat, di alam akhirat. Kebangkitan kedua kali inilah yang menjadikan manusia itu terbahagi kepada dua golongan. Satu golongan yang mengikut petunjuk Allah. Dan satu golongan lagi adalah golongan yang tidak mengikut petunjuk Allah, iaitu golongan sesat.

Mengapa ada yang tersesat?
Di dalam ayat ini dijelaskan bahawa golongan sesat itu adalah golongan yang menjadikan syaitan-syaitan sebagai pemimpin mereka. Telah dijelaskan terlebih dahulu di dalam ayat 28 dan ayat 29 tentang golongan sesat ini yang telah terpedaya dengan pujuk rayu syaitan, lalu mengikut ajakan syaitan dan meninggalkan suruhan dan larangan yang Allah tetapkan. Ayat 29 telah menjelaskan bahwa sesiapa yang menolak pimpinan Allah dan mendustakan ayat Allah akhiran mereka akan dicampakkan ke dalam neraka selama-lamanya.

Rupa-rupanya betullah bagai dijelaskan di dalam ayat ini bahwa manusia setelah matinya mereka semua, akan dihidupkan kembali di hari akhirat. Sepertimana yang dijelaskan di dalam ayat 28, kaum jahiliyah itu bertawaf dengan telanjang dan mereka kira mereka sudah berada di landasan yang betul lalu tidak mahu menerima ajaran Nabi saw. Mereka mengira, kelak merekalah orang yang bertuah dan akan mendapat pengakhiran yang baik. Namun sangkaan mereka itu adalah khayalan semata-mata. Allah telah beberapa kali menyebut bahwa sesiapa yang mengambil selain dari Allah sebagai pimpinan, maka pengakhiran orang itu adalah celaka.

Dalam hubungan ini Abdullah bin Amr bin Al-As, telah meriwayatkan hadith bahawa Rasulullah saw bersabda:
“sesungguhnya Allah telah menjadikan makhlukNya dalam tempat yang gelap. Lalu mereka ini telah disinari oleh Allah dengan cahayaNya. Siapa terkena cahaya tersebut daptlah ia pimpinan (petunjuk), dan sesiapa yang tidak terkena sesatlah ia. (H.R. At-Tirmidzi)

Dijelaskan bahwa golongan yang disesatkan itu ialah kerana sikap mereka yang rela menjadikan syaitan itu rakan yang memimpin mereka ke arah membuat maksiat, dan menjadikannya penolong yang mengarahkan mereka dalam kekufuran dan derhaka.

Mereka yang diselubungi kesesatan itu menyangka pula bahwa diri mereka adalah dalam kebenaran. Dengan demikian jadilah mereka orang yang degil dan keras kepala, padahal orangyang degil dan keras kepala itu pendiriannya adalah didasarkan kepada sangkaan mereka sahaja.





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.