Sunday, March 22, 2015

Surah Al A'raf Ayat 88 - 100







JUZUK 9

Al A’raf Ayat 88

قالَ المَلَأُ الَّذينَ استَكبَروا مِن قَومِهِ لَنُخرِجَنَّكَ يا شُعَيبُ وَالَّذينَ آمَنوا مَعَكَ مِن قَريَتِنا أَو لَتَعودُنَّ في مِلَّتِنا ۚ قالَ أَوَلَو كُنّا كارِهينَ
“Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib berkata: "Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu berpindah kepada ugama kami". Nabi Syuaib menjawab: "Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?

Ayat ini merupakan jawapan kaum Nabi Syu’aib kepadanya setelah beliau memberikan pengajaran yang berupa suruhan dan tegahan kepada mereka. Pembesar-pembesar mereka yang sombong dan tidak percaya kepadanya telah berkata: ‘sesungguhnya kami akan mengeluarkan kamu wahai Syu’aib dan para pengikutmu semua akan keluar dari negara kami. Kami benci kepada kamu dan hendak menghindarkan fitnah yang kamu bawa. Ataupun lebih baik kamu berbalik semula memeluk agama kami yang telah kami pusakai semenjak dahulu, dari nenek moyang kami, supaya kamu dapat bersatu kembali dengan kami. ‘

Jawapan kaumnya itu terang-terang menggambarkan sebagai kata dua yang mereka ajukan, supaya nabi Syu’aib memilih salah satu, samada keluar dari negeri mereka ataupun kembali kepada agama mereka yang sesat itu.

Sebenarnya, Nabi Syu’aib tidak pernah pun menganut agama mereka, sehingga kaumnya menyerunya supaya kembali kepada agama mereka. Nabi Syu’aib adalah pengikut agama Nabi Ibrahim sedangkan mereka tidak. Kata-kata mereka itu bukanlah ditujukan kepada Nabi Syu’aib sebenarnya, tetapi lebih dimaksudkan kepada pengikut-pengikut Nabi Syu’aib.

Tujuan mereka berkata demikian adalah dengan tujuan:
1 . untuk mengelirukan pengikut-pengikut Nabi Syu’aib dan menyamarkan mereka bahwa Nabi Syu’aib dahulu kononnya telah menganut agama sama yang mereka anuti.
2 . tujuannya supaya Nabi Syu’aib kembali kepada keadaan semula sebelum dilantik menjadi Nabi, iaitu mendiamkan diri, jangan bercakap-cakap mengenai ibadat dan berhala-berhala yang mereka sembah.
3 . tujuannya untuk menyamakan kedudukan Nabi Syu’aib dengan pengikut-pengikutnya yang ramai sehingga kata dua yang mereka kemukakan itu bukanlah khas untuk perseorangan tetapi umum untuk orang ramai.

Kata dua mereka itu telah dijawab oleh Nabi Syu’aib dengan kata ‘sekalipun kami tidak suka’. Maksudnya , adakah kamu hendak mengugut untuk mengasingkan kami dari tanah air kami dan atau adakah kamu mahu memaksa kami kembali kepada agama kamu, sekalipun kami tidak suka kepada kedua-duanya? Sesungguhnya kamu adalah jahil untuk memahami bahwa agama itu sebenarnya merupakan kepercayaan dan amalan yang mendekatkan kepada Allah, iaitu Tuhan yang mensyariatkan agama tersebut untuk kesempurnaan tabiat semula jadi manusia.

Sebagaimana kamu jahil untuk memahami bahwa cintakan tanah air itu tidaklah akan setanding dengan cintakan agama pada sisiku dan pengikut-pengikutku yang beriman denganku. Tentulah pada sangkaan kamu bahwa kami akan lebih mementingkan tinggal di tanah air kami supaya dapat bersenang lenang dan menikmati kemewahan yang ada di sana daripada mencari keredhaan  Allah dengan mentauhidkanNya  iaitu tauhid yang dpat membersihkan daki-daki dan kekotoran khurafat, dan mencari keredhaan Allah dengan keutamaan-keutamaan yang menghaluskan jiwa dan meninggikannya ke mercu kesempurnaan.’

Sesungguhnya agama mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam jiwa manusia, yang tidak akan dicapai kedudukannya oleh yang lain. Kalau orang mempunyai agama itu dapat tinggal di negerinya dan dapat pula memperbaiki penduduknya dengan perantaraan agama tersebut, maka negeri itu adalah lebih layak untuk didiaminya. Tetapi kalau di negeri itu agamanya difitnah, maka meninggalkan negeri itu adalah wajib.

Jalinan cerita seperti yang disebutkan dalam cerita Nabi Syu’aib ini di mana dia dan pengikut-pengikut yang beriman dengannya diugut oleh kaumnya untuk menghalau mereka dari negeri mereka, itu adalah jelas merupakan perjuangan setiap rasul semenjak dahulu lagi. Baik yang berlaku kepada Nabi Ibrahim as, sebagai bapa dari sekalian nabi yang terpaksa meninggalkan negerinya dan berhijrah ke negeri yang diredhai oleh Allah, mahupun kepda Nabi Muhammad saw. Rasul yang penyudahnya juga terpaksa berhijrah meninggalkan tanah airnya. Malahan Allah mewajibkan berhijrah itu kepada siapa saja yang merasai dirinya telah ditindas di tanah airnya. Mengenai hal ini telah pun dihuraikan terdahulu pada ayat 97 - 100 dari surah An Nisaa’.





Al A’raf Ayat 89

قَدِ افتَرَينا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا إِن عُدنا في مِلَّتِكُم بَعدَ إِذ نَجّانَا اللَّهُ مِنها ۚ وَما يَكونُ لَنا أَن نَعودَ فيها إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ رَبُّنا ۚ وَسِعَ رَبُّنا كُلَّ شَيءٍ عِلمًا ۚ عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلنا ۚ رَبَّنَا افتَح بَينَنا وَبَينَ قَومِنا بِالحَقِّ وَأَنتَ خَيرُ الفاتِحينَ
“"Sesungguhnya (bermakna) kami berdusta terhadap Allah, jika kami berpindah kepada ugama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah harus kami berpindah kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim".

Kemudian Nabi Syu’aib menjelaskan, ‘alangkah besarnya dosa kami kerana mengada-adakan dosa terhadap Allah kalau sekiranya kami kembali kepada agama kamu, walhal kami tahu betapa  karutnya  agama kamu itu. Sedangkan Allah telah pun menyelamatkan kami dari agama kamu yang palsu itu Sudah tentu kami tidak mahu kembali kepada agama kamu untuk meninggalkan agama kami yang hak lagi benar, di mana kami telah berada di dalamnya. Melainkan kalau dikehendaki Allah, maka terserahlah  kepada takdir yang ditetapkanNya. Tetapi yang sudah pasti, bahwa Allah akan menjadikan seseorang itu bahagia dengan sebab ketaatannya, dan menjadi seseorang itu celaka dengan sebaba kederhakaannya. ‘

Kesan dari ayat ini menunjukkan bahwa Nabi Syu’aib masih juga menyerahkan nasibnya kepada Allah. Dan begitulah juga para rasul yang lain. Mereka semuanya masih takut-takut dan cemas mengingat tentang akibat sesuatu perkara dan adanya kemungkinan bahwa perkara itu akan berubah-ubah pula.

Ini jelas, mengikut pengakuan Nabi Syu’aib sendiri yang mengatakan di dalam ayat ini  bahwa sangatlah luas pengetahuan Allah, meliputi segala sesuatu. Maksudnya Allah mengetahui perkara yang belum terjadi dan yang akan terjadi nanti. Allah juga mengetahui segala sesuatu di dalam azali dalam pengetahuanNya. Orang yang berbahagia, ialah yang berbahagia dalam pengetahuan Allah. Dan orang yang celaka ialah celaka dalam pengetahuan Allah.

Oleh itu dalam ayat ini menceritakan bahwa Nabi Syu’aib telah menyerahkan nasibnya kepada Allah, bukan kepada yang lain. Dan setelah Nabi Syu’aib putus asa daripada mengharapkan keimanan kaumnya, lalu berdoalah ia sepertimana di dalam ayat ini, “...Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim".

Nabi Syu’aib telah memohon kepada Allah agar memutuskan perkara yang menjadi pertelingkahan antara dirinya dengan kaumnya, dengan menjatuhkan hukuman yang seadil-adilnya berdasarkan kebenaran sehingga dapat diketahui nanti siapa yang benar dan siapa yang salah, kerana Allah adalah sebaik-baik hakim dalam memberikan keputusan.



Al A’raf Ayat 90 Dan 91

وَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ لَئِنِ اتَّبَعتُم شُعَيبًا إِنَّكُم إِذًا لَخاسِرونَ
Dan berkatalah pula Ketua-ketua yang kafir dari kaum Nabi Syuaib (kepada orang ramai): "Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib nescaya kamu dengan perbuatan yang demikian menjadilah orang-orang yang rugi". (90)


فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ فَأَصبَحوا في دارِهِم جاثِمينَ
Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing. “ (91)

Bila Nabi Syu’aib itu tidak berjaya mereka tundukkan dengan ancaman, maka sekarang mereka mengugut pengikut Nabi Syu’aib pula. Mereka mengancam bahawa pengikut Nabi Syu’aib itu akan rugi sekiranya terus mengikut ajaran Nabi Syu’aib. Pengikut Nabi Syu’aib akan disisihkan dan dipulaukan kerana tidak menyembah berhala sepertimana mereka yang lain. Semua orang berlumba-lumba mencari kekayaan dengan bermacam cara tetapi nanti pengikut Nabi Syu’aib akan ketinggalan kerana tetap dengan hidup secara jujur dan mengikut ajaran Nabi Syu’aib. Mereka nantinya akan jatuh miskin kerana tidak pandai menyesuaikan diri.

Keingkaran kepada Allah swt. serta perbuatan menghalangi orang lain untuk mentaati agama Allah adalah kejahatan yang amat besar. Dan orang-orang semacam itu sudah selayaknya mendapat hukuman yang setimpal. Oleh sebab itu, Allah swt. telah menimpakan kepada mereka azab yang berat iaitu gempa yang dahsyat. Apabila suatu gempa yang dahsyat sudah terjadi, menderulah pekik dari bunyi rekahan tanah dan bergoyanglah bumi. Tidak ada seorang pun yang dapat melepaskan diri dari bahaya. Mereka terbenam dan tertimbus.  Ia telah membinasakan mereka, sehingga mereka mati tertimbus dan ada yang bergelimpangan di rumah-rumah mereka seolah-olah mereka tidak pernah ada di negeri itu. .





 Al A’raf Ayat 92

الَّذينَ كَذَّبوا شُعَيبًا كَأَن لَم يَغنَوا فيهَا ۚ الَّذينَ كَذَّبوا شُعَيبًا كانوا هُمُ الخاسِرينَ
Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu. Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang rugi.

Ayat ini mengandungi dua jawapan yang tepat daripada Allah untuk ditujukan kepada kata-kata kaum Nabi Syu’aib yang disebutkan di dalam ayat-ayat terdahulu.  Kata-kata mereka itu ialah:

1 . Mereka mengatakan bahwa mereka akan mengeluarkan Nabi Syu’aib bersama kaumnya dari negeri mereka. Maka Allah telah menjawab ugutan mereka itu dengan mengatakan bahwa sebaliknya mereka yang telah mendustakan Nabi Syu’aib itulah yang kelak akan dibinasakan oleh Allah.

Kerana tidak berapa lama kemudian negara mereka telah hancur lebur ditimpa kecelakaan gempa bumi. Sehingga kempunanlah mereka yang dusta itu untuk menikmati kemewahan dunia, hancur ranap tiada berbekas lagi, seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di dalam negeri itu walau seketika pun.

Jadi siapakah akhirnya yang menerima akibat? Orang yang mengugutkah atau orang yang diugut?
Tetapi yang jelas, orang-orang yang mengugut itulah yang telah menerima akibatnya. Ibarat orang yang menggali lubang, diri sendiri yang terjun ke dalamnya.

2 . Mereka mengatakan bahwa sekiranya pengikut Nabi Syu’aib itu tetap juga pendirian untuk mengikut Nabi  Syu’aib maka mereka adalah orang-orang yang rugi. Maka Allah telah menjawab kata-kata ugutan mereka dengan mengatakan bukanlah orang yang mengikut Nabi Syu’aib itu yang rugi, tetapi sebaliknya yang rugi ialah orang yang mendustakan dan orang yang enggan mengikut Nabi Syu’aib.

Mengikut tafsir al-Maraghi, dari ayat ini kita dpat simpulkan, bahwa orang yang bercita-cita hendak bertapak di sebuah negeri untuk menikmati kemewahannya tetapi berbuat sewenang-wenang di situ terhadap penduduk yang berhak, akibatnya orang itu akan kempunan selama-lamanya untuk mendudukinya. Samalah seperti orangyang inginkan mencari untung dengan memakan harta orang secara batil, kesudahannya ia akan kempunan dari harta tersebut dan dari yang lain-lain.



 Al A’raf ayat 93

فَتَوَلّىٰ عَنهُم وَقالَ يا قَومِ لَقَد أَبلَغتُكُم رِسالاتِ رَبّي وَنَصَحتُ لَكُم ۖ فَكَيفَ آسىٰ عَلىٰ قَومٍ كافِرينَ
“Kemudian Nabi Syuaib meninggalkan mereka sambil berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih terhadap orang-orang kafir (yang telah binasa itu)".

Allah menceritakan seterusnya, bahawa Nabi Syu’aib kemudian telah meninggalkan kaumnya setelah kaumnya itu binasa, sambil menyatakan rasa dukacitanya, sepertimana halnya dengan Nabi Salih terdahulu yang mempunyai persamaan dengannya dalam menyiarkan agama Allah dan persamaan pula nasib kaumnya yang telah dibinasakan itu.

Kalau dihayati betul-betul ayat ini , maka terserlah akan kesedihan Nabi Syu’aib apabila melihat nasib kaumnya. Tetapi di hujung ayat ini beliau telah menegur dirinya sendiri, apa guna bersedih atas kejadian itu. padahal bencana yang menimpa mereka itu tidaklah lain daripada bekas perbuatan dan kesalahan mereka sendiri. Mereka kafir, mereka tidak mahu menerima, bahkan menentang segala pengajaran dan nasihat yang diberikan.

Maka di dalam ayat ini bertemulah kita dengan lukisan yang sangat indah dari perasaan seorang rasul Allah yang berjuang menegakkan kebenaran kepada kaumnya. Dia kasihan dan cinta kepada mereka, tetapi mereka menentang dan membangkang. Mereka pun hancur binasa akibat dari perbuatan mereka sendiri. Nabi Syu'aib bersedih melihat kebinasaan itu. Tetapi kemudian dipujuk hatinya kembali, apalah yang hendak disedihkan padahal azab yang mereka terima itu, tidak lain adalah akibat dari tangan mereka sendiri.





Al A’raf Ayat 94

وَما أَرسَلنا في قَريَةٍ مِن نَبِيٍّ إِلّا أَخَذنا أَهلَها بِالبَأساءِ وَالضَّرّاءِ لَعَلَّهُم يَضَّرَّعونَ
Dan (Tuhan berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).

Setelah Allah menerangkan kedatangan beberapa orang rasul kepada beberapa umat, dan bagaimana mereka menentang rasul-rasul itu dan bagaimana pula mereka binasa kerana azab Allah dan tinggal sisa yang sedikit, iaitu orang yang beriman saja, maka kini Allah memberikan kesan  dan pengajaran kepada umat yang terkemudian terutama umat Nabi Muhammad saw ini. Umat Nabi Muhammad saw itu termasuklah kita pada zaman kini dan orang yang akan hidup di zaman akan datang. Ayat-ayat 94 sehingga 102 ini adalah berisi peringatan dari Allah untuk kita dalam mempelajari ilmu masyarakat iaitu sosiologi yang haruslah didasari dengan Al Quran.  

Diterangkan bahwa kedatangan seorang Rasul yang diutus oleh Allah itu kepada sesuatu kaum, sesuatu negeri, bukanlah semata-mata hendak membawa yang baik-baik sahaja. Kedatangan rasul itu adalah untuk mencetuskan perubahan di dalam fikiran dan cara hidup setiap manusia. Rasul diutuskan untuk menentang kejahilan dan kesyirikan.

Oleh sebab itu, akan pastinya terhadi pertentangan, pergolakan dari dua pihak. Kedua belah pihak itu, baik yang menentang ajaran rasul ataupun yang telah beriman kepadanya, pastilah menghadapi ketegangan dan huru hara, sehingga kemudiannya akan timbullah pula kesusahan dan kemelaratan. Kesusahan kerana yang kufur mempertahankan kekufuran dengan bermati-matian dan yang beriman juga menegakkan keimanan mereka dengan bermati-matian pula. Sehingga kadang-kadang terjadi perkelahian, perbalahan, pergaduhan dan sampai kepada peperangan. Kemelaratan, termasuk kemiskinan juga akan terjadi akibat daripada masyarakat yang lama mulai goncang untuk menjadi masyarakat yang baru fahamannya.

Di penghujung ayat diterangkan bahawa kesusahan dan kemelaratan inilah yang menyebabkan mereka itu, umat tadi, telah merendahkan diri dan insaf, lalu mendekatkan diri kepada Allah. Kerana telah difahami bahawa memang kesusahan dan melarat itu dapat mendidik jiwa manusia menjadi kebal dan bertambah mendalam imannya.

Ayat ini menjadi peringatan yang khusus kepada umat yang telah percaya kepada Nabi Muhammad saw sewaktu permulaan dakwah baginda. Pengikut baginda yang awal-awal dulu, sampai menderita berbagai macam kesusahan dan kesengsaraan, umpamanya Bilal bin Rabah, Yasir dan ibunya, sampai ada yang berpindah dua kali rombongan ke Habsyi dan sampai akhirnya berpindah pula ke Madinah, dan sampai di Madinah tidak berhenti berperang kerana selalu ditindas dan dihambat pertumbuhan agama oleh musuh. Boleh dikatakan kesusahan dan kemelaratan itu tidak henti-hentinya, selama tiga belas tahun. Tiga tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah. Orang yang insaf, kesusahan dan kemelaratan itu akan menambahkan keteguhan keimanan di dada mereka, sedangkan orang yang kafir akan bertambah kafirlah juga mereka.




Al A;raf Ayat 95

ثُمَّ بَدَّلنا مَكانَ السَّيِّئَةِ الحَسَنَةَ حَتّىٰ عَفَوا وَقالوا قَد مَسَّ آباءَنَا الضَّرّاءُ وَالسَّرّاءُ فَأَخَذناهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ
Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): "Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)". Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.

Sesudah menempuh berbagai kesulitan dan kemelaratan, keadaan kembali pulih. Yang buruk akan hilang berganti yang baik. Umat yang telah menerima seruan Nabi akhirnya menang, kesusahan tidak ada lagi. Musuh-musuh sudah dapat dikalahkan. Dan pengikut  rasul-rasul tadi telah dapat hidup aman, negeri telah menjadi subur, perniagaan telah lancar, dan perasaan telah gembira, sehingga mereka berkembang dan berkeluarga. Dan setelah itu keturunan mereka pula terdiri dari anak cucu yang akan mewarisi harta pusaka warisan bagi meneruskan hidup.

Setelah orang-orang terdahulu yang berjuang bersama rasul untuk menegakkan keimanan sudah tidak ada lagi, mereka akan digantikan pula dengan anak cucu warisan mereka yang menikmati hidup yang senang lenang hasil usaha nenek moyang mereka. Anak cucu warisan mereka ini kelak hanyalah akan mengenang sejarah nenek moyang mereka saja. Mereka akan duduk tegak menceritakan dengan bangganya perjuangan nenek moyang mereka mengatasi semua kesulitan. Tetapi hakikatnya mereka hanya bercerita saja. Tidak lebih dari itu.

Umpamanya seperti kita juga pada hari ini, kita umat Nabi Muhammad saw sendiri, dengan asyik menceritakan perjuangan rasul Allah dan sahabat-sahabat beliau sehingga ke sejarah selanjutnya dimana Islam pernah menakluk Sepanyol, pernah menempah sejarah besar yang membanggakan. Kita hanya bercerita saja-saja. Padahal usaha kita sendiri sebagai sambungan usaha mereka yang terdahulu itu tidak ada langsung.

Mereka ini telah merasa lengkap, cukup, hidup telah senang kerana pusaka usaha nenek moyang. Ikhtiar yang baru tidak ada lagi. Semangat sudah mulai lemah, kemewahan mulai membutakan mata dan meracun jiwa. Hawa nafsu mulai dipuja dan dituruti. Mereka tidak sedar bahwa sewaktu-waktu keadaan boleh saja terbalik dan bahaya akan datang pada bila-bila masa saja.

Maka ayat ini adalah satu peringatan kepada kita semua bahwa apa saja boleh terjadi dalam sekelip mata. Menyangka diri telah kuat dan berkuasa, mula melupakan diri dan Yang Maha Pencipta. Lalu secara tiba-tiba berlaku suatu bentuk penganiayaan kepada sesama manusia. Tiba-tiba saja suatu institusi atau kerajaan yang disangka gagah boleh jatuh ranap dengan sekelip mata akibat dari kealpaan dan kelekaan. Demikianlah akibatnya orang yang kufur terhadap nikmat Allah.



Al A’raf Ayat 96

وَلَو أَنَّ أَهلَ القُرىٰ آمَنوا وَاتَّقَوا لَفَتَحنا عَلَيهِم بَرَكاتٍ مِنَ السَّماءِ وَالأَرضِ وَلٰكِن كَذَّبوا فَأَخَذناهُم بِما كانوا يَكسِبونَ
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. “

Allah menerangkan sekiranya  anak cucu warisan mereka itu tadi beriman dengan Allah dan rasulNya  serta mentaati apa yang diperintahkan kepada mereka, dan bertakwa kepada Allah, maka keimanan dan ketakwaan mereka itu akan membukakan pintu rezeki.

Allah akan berikan keberkatan dari langit iaitu turunnya hujan, dan keberkatan dari bumi ialah tumbuhnya tanam-tanaman dan buah-buahan yang subur. Termasuk keberkatan tersebut segala macam nikmat, semua perkara yang menyebabkan wujudnya kesejahteraan dan keamanan di atas bumi. Dan erti berkat ialah adanya kebaikan yang ditetapkan Allah kepada sesuatu.

Kesimpulannya kalau mereka beriman dan bertakwa,pasti  Allah akan mewahkan hidup mereka dan memudahkan dengan segala macam keberkatan, sebagai ganti dari azab dan malapetaka yang setengahnya diturunkan dari langit dan setengahnya pula ditimbulkan dari bumi.

Adalah menjadi dasar yang diakui oleh Quran, bahwa adanya keimanan yang sejati dan adanya agama yang benar, akan menyebabkan pula adanya kebahagiaan di dunia. Kebahagiaan di dunia itulah yang dinikmati oleh orang-orang yang mahu beriman. Dan di antara yang turut sama menikmati kebahagiaan dalam segi kebendaan sahaja ialah orang-orang yang kufur, sebagaimana yang di dalam firman Allah dalam ayat 44 surah Al An’am terdahulu yang bermaksud:
“setelah mereka melupakan peringatan yang diberikan kepada mereka, kami bukakan kepada mereka pintu segala sesuatu…”

Sebenarnya yang dikatakan dengan pintu segala sesuatu itu adalah merupakan ujian Allah dalam kehidupan mereka. Kesan ujian tersebut, sekiranya mereka tidak menambahkan syukur, malahan derhaka kepada Allah, akibatnya nikmat yang mereka terima bertukar menjadi musibah dan keberkatan bertukar menjadi malapetaka. Lainlah halnya dengan orang yang beriman. pintu segala sesuatu itu kalau dibukakan kepada mereka kesannya adalah baik, kerana akan menambahkan kesyukuran mereka kepada Allah. Dan ini akan menambahkan pula nikmat dan berkat yang akan mereka terima di dunia dan pahala di akhirat.

Allah membukakan pintu keberkatan dari langit dan bumi, serta memberikan peluang yang baik kepada mereka, tujuannya supaya mereka itu beriman. akan tetapi mereka tidak juga mahu beriman, malahan mereka mendustakan para rasul. Itulah sebabnya mereka ditimpa malapetaka disebabkan kejahatan dan kezaliman yang mereka lakukan.



Al A’raf Ayat 97 Hingga Ayat 99

أَفَأَمِنَ أَهلُ القُرىٰ أَن يَأتِيَهُم بَأسُنا بَياتًا وَهُم نائِمونَ
Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? “ (97)

أَوَأَمِنَ أَهلُ القُرىٰ أَن يَأتِيَهُم بَأسُنا ضُحًى وَهُم يَلعَبونَ
Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? “ (98)


أَفَأَمِنوا مَكرَ اللَّهِ ۚ فَلا يَأمَنُ مَكرَ اللَّهِ إِلَّا القَومُ الخاسِرونَ
Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. “ (99)

Di dalam tiga ayat ini Allah bertanya, iaitu pertanyaan yang merupakan penafian, bahkan juga merupakan ancaman yang ditujukan kepada penduduk-penduduk kota Mekah khasnya, dan penduduk lain-lain negeri, umumnya yang kufur terhadap Allah, menjadi penghalang kepada tersiarnya agama Islam, atau memusuhi Nabi saw dalam tugasnya menyampaikan dakwah kepada mereka. Adakah penduduk negeri itu aman sentosa manakala mereka ditimpa oleh seksa Kami waktu malam sedang mereka tidur atau manakala mereka ditimpa oleh seksa Kami waktu dhuha sedang mereka bermain?

Maksudnya, tidakkah sekali-kali mereka itu akan dapat hidup dengan aman sentosa, kerana sikap kekufuran dan pendustaan mereka, bahkan mereka diancam, iaiatu ingatlah bahwa seksa Allah akan menimpa merka setiap waktu, dan datangnya tidak disangka-sangka. Walaupun mereka sedang tidur di waktu malam, mahupun mereka sedang bermain di waktu siang. Sehingga mereka tidak akan selamat lagi dari seksaan tersebut.

Dan untuk ketiga kalinya Allah bertanya lagi sebagai sindiran kepda mereka dengan firmannya dalam ayat ini yang bermaksud : “adakah mereka merasa aman dari rancangan Allah?”

Maksudnya adakah mereka menyangka bahwa mereka akan terselamat dari rancangan Allah? jawapannya tentulah tidak. Mereka tetap akan terkena oleh rancangan Allah. Rancangan Allah atau tipu dayaNya di sini ialah ‘kesempatan memperoleh kenikmatan dunia yang diberikan oleh Allah,’ atau setengah ulamak mentakwilkan ‘turunnnya seksa yang datangnya dengan tidak disedari.’.

Setiap orang yang terkena rancangan Allah, melainkan orang yang menyangkakan sebaliknya jadilah ia orang yang rugi. Seolah-olah ayat ini menyatakan kalaulah umpamanya orang-orang yang salih lagi kuat beribadat menyangkakan secara jahil yang diri mereka itu tetap aman dan terselamat dari rancangan Allah, maka orang tersebut dikira sebagai orang yang rugi. Inikan pula orang yang derhaka lagi berterusan berbuat maksiat menyangka dirinya akan terselamat dari rancangan Allah sambil menyerahkan untung nasibnya kepada belas kasihan Allah dan kepada pengampunanNya. Maka akan lebih-lebih lagi mereka menjadi orang yang rugi.




Al A’raf Ayat 100

أَوَلَم يَهدِ لِلَّذينَ يَرِثونَ الأَرضَ مِن بَعدِ أَهلِها أَن لَو نَشاءُ أَصَبناهُم بِذُنوبِهِم ۚ وَنَطبَعُ عَلىٰ قُلوبِهِم فَهُم لا يَسمَعونَ
Adakah (yang demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami meteraikan di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat pengajaran)?

Allah swt. menegaskan bahwa umat yang mewarisi suatu negeri setelah lenyapnya penduduk negeri itu kerana ditimpa siksaan Allah akibat keingkaran mereka kepada-Nya, umat tersebut seharusnya memahami dan meyakini bahwa Allah lah yang Maha Berkuasa untuk menimpakan azab tersebut kepada mereka kerana dosa-dosa mereka apabila Dia menghendakinya.

Juga Allah Maha Berkuasa untuk mengunci mati hati nurani mereka sehingga mereka tak dapat lagi menerima pelajaran dan nasihat agama dan tidak mahu beriman. Sebagaimana telah disebutkan pada bahagian terdahulu Allah swt. telah mengutus beberapa orang rasul kepada umat mereka sebelum diutusnya Nabi Syu’aib kepada kaumnya. Umat-umat terdahulu telah ditimpa siksaan Allah lantaran dosa-dosa dan keingkaran mereka kepada Allah. Siksaan yang menimpa mereka adalah sedemikian hebatnya memusnahkan mereka sedemikian rupa sehingga mereka seolah-olah tidak pernah ada di muka bumi ini.

Setelah mereka itu lenyap, maka Allah mendatangkan umat yang baru untuk menghuni negeri tersebut. Umat yang baru ini mengetahui sejarah umat terdahulu itu kerana buku-buku dan kitab-kitab suci mereka menyebutkan hal itu. Mereka mengetahui apa yang dialami umat tersebut, yaitu azab yang dahsyat. Dan mereka tahu pula hal-hal yang menyebabkan didatangkannya azab tersebut kepada mereka, yaitu lantaran dosa-dosa dari keingkaran mereka kepada Allah dan rasul-Nya.

Seharusnya mereka dapat mengambil pelajaran dari kesemuanya itu, dan dapat memahami bahwa Allah berkuasa untuk menimpakan azab yang serupa itu kepada diri mereka bila mereka berbuat dosa dan kemaksiatan pula seperti umat yang terdahulu itu. Semuanya takluk di bawah kekuasaan Allah. Ia kuasa menimpakan azab kepada mereka bila Ia menghendakinya sebagaimana Ia telah menimpakan azab kepada umat terdahulu.

Ayat tersebut tidak hanya merupakan peringatan bagi orang-orang kafir tetapi  juga bagi orang-orang muslimin. Setelah mengetahui sebab-sebab ditimpakan-Nya azab kepada umat para rasul yang terdahulu itu dan setelah mengetahui sunnatullah mengenai umat-umat yang berdosa, maka seharusnyalah kita menjauhkan diri dari kesalahan-kesalahan serupa itu agar kita tidak ditimpakan siksa Allah yang sama yang akan menyebabkan kita kehilangan segala-galanya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.