Sunday, March 22, 2015

Surah Al A'raf Ayat 131 - 141






Al A’raf Ayat 131 Dan 132

فَإِذا جاءَتهُمُ الحَسَنَةُ قالوا لَنا هٰذِهِ ۖ وَإِن تُصِبهُم سَيِّئَةٌ يَطَّيَّروا بِموسىٰ وَمَن مَعَهُ ۗ أَلا إِنَّما طائِرُهُم عِندَ اللَّهِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ
Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: "Ini ialah hasil usaha kami", dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (131)

وَقالوا مَهما تَأتِنا بِهِ مِن آيَةٍ لِتَسحَرَنا بِها فَما نَحنُ لَكَ بِمُؤمِنينَ
Dan mereka berkata: "Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami; (wahai Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu".  (132)

Allah menceritakan bahwa kaum Firaun penduduk negeri Mesir itu bila didatangi kebaikan, iaitu kemewahan misalnya, banyak hasil tanam tanaman mereka, menjadi berkembang biak, binatang-binatang ternak mereka beranak pinak, berlipat kali ganda rezeki yang mereka perolehi serta hidup dengan senang lenang, istimewa pula mereka dalam sihat dan afiat, maka bebanggalah mereka dengan kemewahan-kemewahan itu seraya berkata,’ini adalah untuk kami, yang seolah-olah mereka berpendapat bahwa inilah hak kami, kerana kamilah orang-orang yang layak mempunyai negeri yang subur dan makmur. Mereka sedikit pun tidak mengingat bahwa semua itu adalah nikmat-nikmat Allah yang patut mereka syukuri.

Tetapi sekiranya mereka ditimpa kesusahan seperti musim kemarau, tanaman tidak menjadi, dan datang pula bermacam penyakit ke atas ternakan mereka, maka mereka tidak mahu mencari samada kesalahannya berpunca daripada diri sendiri, sebaliknya menuduh orang lain yang menyebabkannya. Mereka menuduh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya itulah yang menyebabkan mereka sial dan bernasib malang.

Allah hendak menolak tuduhan mereka memberitahu bahwa segala kemewahan dan kemakmuran, begitu pula kemarau dan penyakit, seterusnya nasib baik dan celaka seseorang itu, semuanya datang dari Allah.

Tetapi kebanyakan mereka tidak mahu mengambil peduli dan mengambil tahu. Mereka tidak menyedari bahwa perkara itu datangnya dari Allah. Ramai orang yang menyangka tentang terjadinya sesuatu perkara hanya dengan  menyandarkan kepada sebab dan musababnya, bukan disandarkan kepaa qada dan qadar Allah swt.

Lalu dalam ayat 132 dinyatakan bahwa kaum Firaun itu telah menolak seruan Nabi Musa. Keterangan-keterangan yang dibawa kepada mereka, mereka anggap pula sebagai sihir untuk menyihir mereka, satu pun tak ada yang mereka percaya. Tongkat jadi ular, sihir! Tangan bercahaya putih, sihir. Allah tidak berkuasa, yang berkuasa hanya Firaun dan pembesar-pembesarnya.

Dan dituduh pula Nabi Musa sebagai perosak, penghasut kaum Bani Israel yang selama ini adalah rakyat mereka yang patuh mengikut segala perintah mereka, memikul yang berat-berat, menjemput yang jauh-jauh. Pendekata, mereka tidak akan percaya kepada seruan Nabi Musa.

Dengan hal yang demikian maka Nabi Musa telah berdoa kepada Allah, agar menurunkan malapetaka kepada kaum Firaun yang ingkar itu, dan doanya telah dikabulkan Tuhan.





Al A’raf Ayat 133

فَأَرسَلنا عَلَيهِمُ الطّوفانَ وَالجَرادَ وَالقُمَّلَ وَالضَّفادِعَ وَالدَّمَ آياتٍ مُفَصَّلاتٍ فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُجرِمينَ
(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Dalam ayat ini Allah swt. menceritakan bahawa sebagai akibat dari keingkaran, kekafiran dan kezaliman mereka, Allah menurunkan azab yang lebih dahsyat kepada mereka. Bencana azab yang pertama ialah Allah telah menurunkan taufan besar. Air bah dan banjir yang besar akibat dari turunnya hujan yang lebat. Air bah itu telah memasuki rumah-rumah orang Mesir hingga paras tulang selangka (paras dada) selama 7 hari. Tetapi bila sampai ke rumah kaum Bani Israel pengikut Nabi Musa air bah itu tidak mula masuk ke dalam rumah mereka. Air bah itu hanya bergenang di halaman rumah mereka sahaja.

Melihatkan keadaan yang sedemikian orang-orang mesir tadi berkata kepada Nabi Musa, ‘Hai Musa, pintakanlah kami kepada Tuhanmu supaya memberhentikan hujan kelak kami akan beriman kepadamu dan Tuhan mu. “ Lalu Nabi Musa pun berdoa kepada Allah, dan air bah itu pun lenyaplah. Allah menumbuhkan semula tanam tanaman mereka dengan buah-buahan yang subur. Apabila mereka melihat tanman mereka kembali subur mereka berkata bahwa sebenarnya banjir itu adalah pembawa rahmat kepada mereka yang akan menyuburkan tanah untuk tanman. Dan mereka tidak mahu beriman kepada Allah.

Setelah itu Allah turunkan pula bencana yang kedua, iaitu kedatangan belalang yang amat banyak menyerang tanaman mereka. Ribuan belalang itu telah memakan tanaman mereka, baik daunnya mahupun ke akar sekali. Malah rumah-rumah mereka, tingkap, pintu semua habis dimakan belalang-belalang yang tidak mengenal kenyang itu.Ini menyebabkan orang-orang Mesir berada di dalam kekalutan. Sedangkan rumah dan tanaman kaum bani Israel pengikut Nabi Musa tidak pula disentuh pun oleh ribuan belalang itu.

Lalu pergilah orang-orang Mesir menemui Nabi Musa kembali, merayu supaya Nabi Musa memohon kepada Allah untuk menghentikan bencana belalang itu, dan berjanji untuk beriman kepada Allah. Allah pun menghilangkan bencana belalang itu setelah ia menyerang mereka selama 7 hari. Dan orang-orang Mesir kembali seperti sedia kala semula dan mereka tetap tidak beriman juga.

Setelah sebulan mereka bersenang lenang, Allah turunkan pula bencana ketiga iaitu kutu-kutu yang merayap memakan tanam-tanman mereka, bahkan masuk ke dalam baju dan menggigit badan-badan mereka sehingga ada yang sakit digigitnya. seperti terkena penyakit cacar. Dan hal sebegini tidak pula melanda kaum Bani Israel pengikut Nabi Musa. Hanya orang-orang Mesir sahaja. Lalu pergilah mereka menemui Nabi Musa memohon pertolongan yang sama dan berjanji dengan janji yang sama. Dan setelah Allah menghilangkan bencana kutu ke atas mereka, mereka tetap juga tidak beriman.

Dan bencana keempat pula, Allah datangkan kepada mereka katak-katak memenuhi rumah orang-orang Mesir. Halaman mereka penuh dibanjiri katak. Pinggan mangkuk mereka dan makanan mereka dipenuhi katak. Malah api pun tidak dapat hidup kerana dipenuhi katak. Bila mereka hendak tidur, badan mereka akan ditimbuni katak-katak. Bila mereka hendak makan, baru saja mereka menganga mulut untuk meyuap makanan, tiba-tiba saja katak telah melompat masuk ke dalam mulut mereka.  

Hal ini membuatkan mereka kebingungan dan menangis. Lalu mereka mendatangi Nabi Musa, merayu supaya berdoa kepada Allah agar ditarik bencana ini dari mereka. Seperti yang lalu, doa Nabi Musa dikabulkan Allah dan seperti yang sudah-sudah mereka kembali tidak menepati janji mereka tidak beriman kepada Allah.

Setelah bersenang lenang selama sebulan, lalu Nabi Musa berdoa kepada Allah. Maka Allah menrunkan bencana yang kelima iaitu darah. Sungai Nil di negeri Mesir telah mengalirkan darah sehingga menjadi merah. Sehingga air perigi mereka juga turut berubah menjadi darah yang merah. Mereka mengadu hal ini kepada Firaun seraya berkata, ‘kita tidak mempunyai air minum sekarang ini kecuali darah saja.’ Lalu Firaun menjawab, ‘ itu adalah kerana kamu telah disihir oleh Musa.’

Kemudian Firaun memanggil dua orang lelaki, yang seorang berbangsa Mesir dan seorang lagi Bani Israel. Kedua-dua mereka diberi bekas dan diisi dengan air. Bekas yang dipegang oleh orang Mesir berisi darah sementara bekas yang dipegang Bani Israel berisi air biasa. Ada seorang perempuan Mesir yang sedang kehausan, dia minta minum kepada seorang perempuan Bani Israel. Perempuan Bani Israel itu menghirup air di bekasnya yang berisi air biasa lalu disemburkan ke mulut perempuan Mesir itu tadi. Tetapi apabila air yang di mulut berpindah ke mulut perempuan Mesir itu, tiba-tiba ia berubah menjadi darah. Begitulah malapetaka yang menimpa mereka orang-orang Mesir yang tidak mahu beriman. Tidak ada yang dapat diminum melainkan darah.

Semua bencana berupa banjir, belalang, kutu, katak dan darah yang telah menimpa Firaun dan kaumnya, semuanya adalah tanda-tanda yang diperlihatkan oleh Allah, jelas mereka saksikan dan alami. Masing-masing berlaku selama satu minggu, dan jaraknya antara satu dengan yang lain selama satu bulan. Namun mereka masih juga menyombongkan diri dan tidak mahu beriman. Dan ternyatalah mereka kaum yang bersalah yakni berdosa.




Al A’raf Ayat 134

وَلَمّا وَقَعَ عَلَيهِمُ الرِّجزُ قالوا يا موسَى ادعُ لَنا رَبَّكَ بِما عَهِدَ عِندَكَ ۖ لَئِن كَشَفتَ عَنَّا الرِّجزَ لَنُؤمِنَنَّ لَكَ وَلَنُرسِلَنَّ مَعَكَ بَني إِسرائيلَ
Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: "Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa makbul). Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi) bersamamu".

Setelah kaum Firaun ditimpa malapetaka demi malapetaka yang sebanyak lima jenis itu, yang mana semuanya merupakan seksa Allah kepada mereka di dunia, dan setiap mereka ditimpa oleh seksa, setiap itu pula mereka minta tolong kepada Nabi Musa, supaya Allah menghindarkan seksa tersebut. Mereka bersumpah dan berjanji akan beriman kepada Allah dan mempercayi kenabian Nabi Musa. Di samping itu mereka berjanji untuk menyerahkan kaum Bani Israel kepada Nabi Musa, kaum yang berabad lamanya mereka telah tindas dan zalimi menjadi hamba abdi. Mereka berjanji untuk memerdekakan kaum itu dan diberi kebebasan untuk pergi ke mana mereka suka mengikuti Nabi Musa.



 Al A’raf Ayat 135

فَلَمّا كَشَفنا عَنهُمُ الرِّجزَ إِلىٰ أَجَلٍ هُم بالِغوهُ إِذا هُم يَنكُثونَ
(Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka memungkiri janjinya.

Nabi Musa sentiasa melayani permintaan kaum Firaun itu dengan baik. Beliau berdoa kepada Allah agar menghindarkan bala dan seksa mereka. Tetapi setelah  Allah hilangkan seksa itu dari mereka berturut-turut sebanyak lima kali, dan setelah seksaan itu terangkat, mereka kemudiannya tetap juga mungkir janji dan tidak mahu juga beriman.



Al A’raf Ayat 136

فَانتَقَمنا مِنهُم فَأَغرَقناهُم فِي اليَمِّ بِأَنَّهُم كَذَّبوا بِآياتِنا وَكانوا عَنها غافِلينَ
Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.

Ayat-ayat Allah sudah cukup diperlihatkan, namun mereka masih tetap juga berkeras. Lalu Allah mengatakan bahawa Allah akan menghukum mereka kaum Firaun ini. Allah membalas mereka dengan hukuman di atas keburukan pekerti mereka. Setelah beberapa kali mereka diselamatkan dari seksa, tetapi mereka tidak juga mahu beriman atau menepati janji yang mereka buat, bahkan mereka terus kufur. Maka sampailah masanya mereka dihukum dengan ditenggelamkan oleh Allah di dasar lautan sehingga Firaun bersama kaumnya itu mati.

Hal ini berlaku setelah penindasan Firaun dan kaumnya kepada Bani Israel sampai ke puncaknya, Allah telah memerintahkan Nabi Musa untuk pergi pada suatu malam meninggalkan Mesir dengan membawa Bani Israel agar terlepas dari penindasan Firaun. Maka Nabi Musa pun melaksanakan semua perintah Allah dan ia pergi bersama Bani Israel. Setelah mendengar berita itu, Firaun pun marah dan dalam waktu yang singkat dia kumpulkan bala tentaranya dan langsung mengejar Musa dan Bani Israel malam itu juga.

Pada pagi harinya, di kala matahari mulai memancarkan sinarnya, Firaun dapat menyusul dari belakang, kedua belah pihak telah saling melihat, sedang Nabi Musa dan Bani Israel waktu itu sudah berada di pinggir laut. Untuk terus lari, mereka terhalang oleh laut. Untk kembali berpatah balik, pedang musuh telah terhunus menanti mereka. Di saat itulah Allah memperlihatkan kekuasan-Nya dengan memerintahkan Nabi Musa agar memukulkan tongkatnya ke laut. Nabi Musa memukulkannya, dan ketika itu juga laut pun terbelah menjadi dua, di antara yang terpisah itu terdapat jalan membentang sampai ke seberang.

Dengan demikian, Musa dan kaum Bani Israel segera melaluinya dan dari belakang Firaun dan bala tentaranya terus mengikuti mereka. Akhirnya setelah Nabi Musa dan kaum Bani Israel selamat sampai di seberang, sedangkan Firaun dan bala tenteranya masih lagi dalam perjalanan menyeberangi lautan itu, tiba-tiba Allah telah menutup jalan itu dan menimbus ia dengan air laut yang kembali melimpah. Matilah Firaun dan tentera-tenteranya tenggelam ke dasar laut.

Peristiwa tenggelamnya Firaun dan tenteranya ini, diterangkan pula oleh ayat ayat yang lain. Allah swt. berfirman:
“Sesungguhnya telah Kami wahyukan kepada Musa , "Pergilah kamu dengan hamba-hamba-Ku (Bani Israel)di malam hari, buatlah untuk mereka jalan yang kering di laut itu, kamu tidak usah khawatir akan tersusul dan tidak usah takut (akan tenggelam)". Firaun dengan bala tentaranya mengejar mereka, lalu mereka ditutup oleh laut yang menenggelamkan mereka.”
(Q.S Taha: 77-78)

Hukuman menenggelamkan Firaun bersama kaumnya itu tak lain disebabkan mereka mendustakan keterangan-keterangan Allah, walhal keterangan-keterangan itu adalah bukti yang menunjukkan tentang keesaan Allah dan kebenaran Nabi Musa sebagai rasul.

Mereka kaum Firaun ini berpaling dari mempercayai keterangan-keterangan Allah dan sedikit pun tidak mahu mengendahkannya. Kesan dari ayat ini menunjukkan bahwa orang yang berpaling dari kebenaran dan sedikit pun tidak mahu menoleh atau mengendahkan kepada kebenaran tersebut, adalah merupakan orang yang lengah dan cuai, akibatnya kelak akan menerima seksaan Allah.



Al A’raf Ayat 137

وَأَورَثنَا القَومَ الَّذينَ كانوا يُستَضعَفونَ مَشارِقَ الأَرضِ وَمَغارِبَهَا الَّتي بارَكنا فيها ۖ وَتَمَّت كَلِمَتُ رَبِّكَ الحُسنىٰ عَلىٰ بَني إِسرائيلَ بِما صَبَروا ۖ وَدَمَّرنا ما كانَ يَصنَعُ فِرعَونُ وَقَومُهُ وَما كانوا يَعرِشونَ
Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi).

Sebagai sautu kerajaan besar yang berkuasa penuh, tentu saja banyak rencana yang telah terbengkalai, banyak bangunan yang sedang dikerjakan menjadi tertangguh. Ataupun semuanya telah menjadi hancur lebur, sehingga tidak dapat diteruskan lagi, dek kerana raja yang paling berkuasa telah tenggelam bersama pembesar-pembesarnya di tengah-tengah lautan. Maka hancurlah sebuah kekuasaan yang tadinya merasa tidak ada kekuasaan yang akan dapat menumbangkannya.

Lalu di tengah-tengah ayat ini Allah menyatakan inti yang penting yang menjadi sebab dari tumbangnya sebuah kuasa yang kononnya paling berkuasa itu. Iaitu kesabaran yang ada pada kaum Bani Israel. Kesabaran yang mereka perolehi berkat pemimpin yang teguh iaitu Nabi Musa as. Nabi Musa telah menanamkan di dalam hati sanubari kaum Bani Israel supaya hati mereka tertumpu dan berserah seluruhnya kepada kekuasaan yang lebih tinggi dari segala kekuasaan dunia ini iaitu kekuasaan Allah swt. Jadi walau bagaimana kuat kuasa Firaun mengancam mereka, pendirian mereka tidak akan mudah untuk digoyahkan.

Maka terlepasnya kaum Bani Israel dari belenggu perhambaan Firaun. Kisah tenggelamnya kekuasaan Firaun dalam lautan itu, diulang berkali-kali di dalam AlQuran, supaya ianya meninggalkan kesan di dalam hati orang yang beriman bahwa penjajahan dan penindasan adalah seksaan dunia yang paling pahit ke atas sesuatu bangsa. Maka wajiblah mereka membangkitkan semula semangat juang yang telah hampir mati di dalam diri.

Ia menunjukkan juga bahwa kezaliman manusia ke atas manusia sebagaimana yang dilakukan oleh Firaun dan kaumnya itu wajiblah ditumbangkan. Dan rakyat yang ditindas wajiblah berjuang untuk melepaskan diri daripadanya. Dengan itu dapatlah kita fahami bahwa AlQuran adalah pelopor anti penindasan manusia ke atas manusia.

Ayat mengenai kemerdekaan kaum Bani Israel dari kekuasaan Firaun ini, haruslah menjadi pengajaran bagi kaum mukmin seluruh dunia untuk merebut kemerdekaan mereka sendiri, dengan tidak mempedulikan betapa besar pun kekuasaan bangsa yang telah menjajah dan menindas mereka, sebab bumi ini adlaah kepunyaan Allah, diwariskan oleh Allah kepada sesiapa saja yang Dia kehendaki dari hamba-hambaNya. Dan kita harus juga mengetahui dan meyakini bahwa kemenangan terakhir nanti tetap juga untuk orang-orang yang bertaqwa.

Satu perkara lagi yang harus diambil perhatian oleh orang-orang yang beriman, ialah mengenai kisah Nabi Musa menyeberangi laut yang terbelah bersama kaum Bani Israel. Orang yang imannya belum mendalam akan berkata bahwa kemenangan Nabi Musa adalah kerana terbelahnya lautan itu. Namun ini tidak sesuai untuk dijadikan pedoman di dalam perang moden sekarang ini. Kerana terbelah laut itu hanyalah kejadian yang berlaku sekali itu saja. Jadi kaum mukmin yang berjuang janganlah pula mengharapkan agar lautan akan terbelah atau jangan mengharapkan takdir yang tiba-tiba untuk melepaskan diri dari kesulitan.

Sebenarnya kejadian lautan terbelah itu, Nabi Musa sendiri tidak dapat menyangka yang perkara sebegitu akan terjadi. Yang Nabi Musa suruh adalah supaya kaumnya Bani Israel berserah diri bulat-bulat kepada pertolongan Allah, sabar dalam penderitaan yang dihadapi dan selain itu harus bertaqwa. Cuba kita perhatikan ayat 128 dan 129 yang kita pelajari sebelum ini. Nabi Musa disuruh memukul laut dengan tongkatnya, sehingga lautan terbelah dua, Nabi Musa sendiripun belum tahu bahwa itu yang akan terjadi.

Maka dalam peperangan yang besar atau moden nanti, kita janganlah pula mengharapkan lautan itu akan terbelah pula. Yang kita harus lakukan ialah supaya kita letakkan ketaqwaan dan keimanan kita sepenuhnya kepada Allah, dan mohon pertolongan serta berserah diri bulat-bulat kepada Allah. Di samping itu ilmu peperangan juga haruslah ada di dalam diri orang yang berperang. In shaa Allah nanti akan datang juga pertolongan Allah dari celah-celah atau sudut-sudut yang kita tidak sangka-sangka. Pokok pangkalnya haruslah sabar dan yakin kepada Allah.


Al A’raf Ayat 138

وَجاوَزنا بِبَني إِسرائيلَ البَحرَ فَأَتَوا عَلىٰ قَومٍ يَعكُفونَ عَلىٰ أَصنامٍ لَهُم ۚ قالوا يا موسَى اجعَل لَنا إِلٰهًا كَما لَهُم آلِهَةٌ ۚ قالَ إِنَّكُم قَومٌ تَجهَلونَ
Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang bodoh.

Baiklah. Sekarang ini urusan dengan Firaun sudah pun selesai. Firaun bersama pembesar-pembesarnya dan tenteranya yang lain telah hancur ditelan Laut Merah. Sementara Bani Israel pula telah selamat menyeberang laut tersebut. Kita teringat akan satu madah, bahwa kemerdekaan itu adalah cuma ibarat Jambatan Emas untuk menuju ke cita-cita yang sebenarnya. Yang menggariskan cita-cita ialah pemimpin. Maka di sini yang menetapkan cita-cita untuk kaum Bani Israel adalah Nabi Musa sendiri berserta dengan wahyu Ilahi.

Apakah yang menjadi cita-cita mereka? Untuk menegakkan tauhid Allah. Bersama-sama cita-cita itu, mereka akan tumpahkan segala amal dalam mengesakan Allah dan menghapuskan semua syirik. Maka setelah kaum Bani Israel menyeberang Laut Merah dengan selamat, bermulalah ujian pertama yang amat hebat untuk mereka.

Setelah mereka selamat sampai ke seberang, setelah mereka selamat melepaskan diri dari kaum penyembah berhala, tetapi di pinggir Laut Merah itu ditakdirkan mereka bertemu pula dengan perkampungan kabilah-kabilah Arab Lakham yang menyembah berhala juga.

Kata Ibnu Juraij, kabilah Arab Lakham tersebut menyembah berhala yang berbentuk lembu betina yang dibuat daripada tembaga. Melihatkan adanya kaum pemyembah berhala itu, maka kaum Bani Israel itu pun berkata kepada Nabi Musa, menyuruh agar Nabi Musa membuatkan mereka satu bentuk tuhan, sepertimana yang dibuat oleh kaum Arab Lakham itu untuk mereka sembah. Hehehehe…  

Belum lagi kering kaki seluar mereka yang basah menyeberangi laut kerana lari dari kaum menyembah berhala, kini mereka nakkan supaya dibuatkan berhala untuk mereka pula kerana melihat orang lain menyembah berhala. ??? Bagaimana orang ini?

Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang bodoh.
Baiklah. Pada kata-kata Nabi Musa itu kita sudah pun  mendapat jawapan yang tepat. Iaitu mereka meminta berhala adalah kerana mereka jahil dan bodoh. Mereka tidak mengerti atau belum memahami sama sekali akan hakikat yang mereka perjuangkan sebenarnya.

Sebenarnya kaum Bani Israel ini, walaupun jumlahnya adalah seramai lebih kurang 600 ribu orang, tetapi mereka ini semuanya terdiri dari orang-orang biasa yang melarat, orang yang telah kena tindas turun temurun sejak dahulu zaman berzaman lagi. Maka tidak hairanlah kalau mereka ini tidak mengerti akan hakikat dan dasar perjuangan. Kerana hidup mereka tidak dibenarkan untuk mempunyai cita-cita dan keinginan. Hidup mereka hanyalah untuk mentaati tuan mereka sahaja. Tidak boleh berfikir atau melakukan selebih dari itu untuk diri mereka sendiri. Maknanya hidup mereka telah dibatasi. Tidak ada kebebasan.

Jadi sebelum kedatangan Nabi Musa, ramai di antara mereka yang turut menyembah berhala orang Mesir, menyembah berhala lembu betina yang disebut oleh orang Mesir sebagai Apis. Pada sangkaan mereka, asalkan saja mereka telah mengakui bahwa Tuhan Allah itu yang Maha Esa, tidak menyekutukanNya, jadi apalah salahnya kalau mereka sembah pula berhala untuk menyampaikan hajat dan keinginan mereka kepada Tuhan Allah yang Maha Esa itu sebagai perantara.

Imam Al-Baghawi di dalam tafsirnya mengatakan, bahwa kaum Bani Israel ini meminta supaya Nabi Musa membinakan mereka berhala, bukanlah kerana mereka ragu-ragu akan keesaan Allah. Cuma mereka meminta sebuah tuhan untuk mereka pujia-puja, sebagai perantara untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah. Dan mereka sangka bahwa yang demikian itu tidaklah ada salahnya  dalam agama. Itulah kebodohan mereka, sebagaimana yang dijawab oleh Nabi Musa di hujung ayat 138 ini.

Orang yang jahil dan bodoh wajib diajar terlebih dahulu. Mereka ini bukan ahli-ahli pengetahuan dan cerdik pandai sebagaimana ahli-ahli sihir yang dibunuh oleh Firaun dahulu itu. Ahli-ahli sihir itu cepat berfikir setelah sihir mereka gagal, lalu cepat menentukan sikap kerana atas dasar kesedaran. Tetapi berlainan dengan kaum Bani Israel ini yang mesti diajar dan diberi peringatan terlebih dahulu.

Baiklah, sekarang timbul pula persoalan, "Kenapa dikatakan kafir seseorang yang menyembah sesuatu sembahan selain Allah, sedangkan tujuannya adalah supaya dia merasa lebih mudah mendekatkan diri kepada Allah?".

Jawapannya : Agama yang dibawa para Rasul Allah sejak zaman dahulu sampai sekarang, yaitu agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw, sebagai Nabi dan Rasul penutup adalah agama yang mengakui keesaan Allah dengan sebenar-benarnya. Tidak ada di dalamnya unsur syirik sedikitpun juga. Hal ini adalah kerana ibadat atau menyembah itu merupakan suatu perasaan yang timbul dari hati sanubari yang merasakan hanya Zat yang disembahnya itu sajalah Yang Maha Agung, Maha Pencipta, Maha Kuasa dan sebagainya.

Perasaan itu menimbulkan ketundukan hati dan jiwa kepada Yang Maha Agung, menumbuhkan keyakinan bahwa Dia sajalah yang berhak disembah; sedangkan yang lain adalah makhluk ciptaan-Nya yang sama kedudukannya dengan ciptaan-Nya yang lain.

Kerana itu menyembah sembahan selain Allah akan merosak ketauhidan yang timbul dari perasaan yang ada dalam diri seorang.  Ini bererti bahwa diri seseorang telah bergantung kepada sembahan itu, selain ia tergantung kepada Allah swt. Sedangkan seseorang itu wajib bergantung hanya kepada Allah semata-mata. Tidak pada yang lain. Jadi kerana itu lah Nabi Musa a.s. menolak dengan tegas permintaan kaumnya. Dan begitu juga halnya dengan Nabi Muhammad saw, telah menolak permintaan Abi Waqid Al-Laisi untuk mengadakan suatu sembahan.




Al A’raf Ayat 139

إِنَّ هٰؤُلاءِ مُتَبَّرٌ ما هُم فيهِ وَباطِلٌ ما كانوا يَعمَلونَ
Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu".".

Dengan demikian setelah menyatakan bahwa permintaan mereka supaya dibuatkan berhala adalah satu kebodohan, maka Nabi Musa memberi peringatan terlebih dahulu bahwa orang-orang yang mereka lihat tekun menyembah berhala itupun adalah orang yang bodoh juga.

Nabi Musa memberikan keyakinan kepada mereka itu bahwa perbuatan itu pasti akan binasa dan akan hancur. Ini kerana orang-orang yang taat dan tekun menyembah sembahan selain Allah swt. akan dihancurkan dan dibinasakan oleh  Allah dan berhala-berhala yang mereka sembah itu tidak akan berupaya memberi manfaat dan tidak pula memberi mudarat kepada siapapun. Perbuatan mereka menyembah berhala itu tidak diberi pahala sedikitpun bahkan mereka diberi seksaan yang besar.

Ayat ini merupakan penawar bagi bagi Nabi Muhammad saw dan kaum muslimin yang sedang menghadapi ejekan dan penganiayaan dari kaum musyrik Mekah, kerana ayat ini mengisyaratkan kemenangan Nabi Muhammad saw dan kaum muslimin dalam waktu yang dekat dan akan lenyapnya agama syirik di bumi Arab.




Al A’raf Ayat 140

قالَ أَغَيرَ اللَّهِ أَبغيكُم إِلٰهًا وَهُوَ فَضَّلَكُم عَلَى العالَمينَ
Nabi Musa berkata lagi: "Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain dari Allah, padahal Ia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu)?"

Permintaan Bani Israel agar dibuatkan sembahan selain Allah, dijawab oleh Nabi Musa a.s., "Apakah aku akan membuatkan tuhan selain Allah yang akan kamu sembah, padahal Allah swt. Pencipta alam semesta yang telah menjadikan kamu semua sebagai umat yang utama di masamu dan menjadikan Islam sebagai agama bagimu, yaitu agama tauhid, agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s. agama para Nabi dan Rasul yang telah diutus Allah. Kenapa kamu masih mencari agama yang lain?"

Ayat ini menyatakan bahwa permintaan kaum Bani Israel adalah permintaan yang aneh dan menghairankan, kerana mereka telah diberi sesuatu yang baik. Daripada ditindas mereka telah dibebaskan oleh Allah, musuh yang mengejar mereka Allah telah hancurkan, malah mereka telah diberikan seorang pemimpin iaitu Nabi Musa dan Nabi harun, dan mereka telah menerima ajaran yang mulia iaitu ajaran dari nenek mereka iaitu Ibrahim, Ishak, Yaakub dan Yusuf. Allah itulah yang memuliakan mereka dan mengangkat mereka. Allah yang menciptakan semua langit dan bumi. Tetapi kini Allah itulah yang mereka hendak tukarkan dan gantikan dengan yang lain? Adakah yang lain lagi yang layak untuk dipuja dan disanjung? Mengapa laa mereka ini sebodoh itu?


Al A’raf Ayat 141

وَإِذ أَنجَيناكُم مِن آلِ فِرعَونَ يَسومونَكُم سوءَ العَذابِ ۖ يُقَتِّلونَ أَبناءَكُم وَيَستَحيونَ نِساءَكُم ۚ وَفي ذٰلِكُم بَلاءٌ مِن رَبِّكُم عَظيمٌ
“Dan (Tuhan berfirman): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya; mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar dari Tuhan kamu.”

Ayat ini merupakan ayat ulangan yang telah terdahulu dalam surah Al Baqarah ayat 49, di mana diterangkan kepada orang-orang Yahudi pada zaman Nabi saw supaya mereka mengingat akan nasib nenek moyang mereka dari kaum Bani Israel yang menurunkan mereka telah diselamatkan oleh Allah dari kekejaman Firaun yang menjajah mereka, kerana mereka menumpang di bumi Mesir.

Di antara kekejaman Firaun yang sangat dahsyat ialah pembunuhan ke atas semua bayi yang lelaki dari kaum Bani Israel yang baru dilahirkan dan membiarkan hidup bayi perempuan. Ini merupakan bala atau cubaan yang sangat besar ke atas kaum Bani Israel. di kala itulah Nabi Musa as dilahirkan. Dengan kuasa Allah ia telah diselamatkan dari dibunuh oleh Firaun, malah akhirnya diambil menjadi anak angkat pula dengan anjuran isteri Firaun.

Dan kemudian Nabi Musa inilah yang membela nasi kaum Bani Israel. Semua itu merupakan kurnia serta rahmat dan nikmat Allah terhadap mereka yang sayugia diingat hendaknya oleh keturunan mereka. Tetapi sayangnya, seruan Allah supaya mengingatnya telah ditolak oleh orang-orang Yahudi pada zaman Nabi saw kerana mereka enggan beriman kepada Nabi saw.  

Isi ayat ini bukan saja untuk kaum Bani Irael dan orang-orang Yahudi tetapi juga menyeluruh bagi sekalian umat tauhid, khususnya umat yang mengaku mereka beragama Islam. Dalam peredaran zaman beratus tahun, ramai orang Islam sendiri yang terpengaruh ke jalan syirik dengan tidak disedari. Isu menyembah berhala telah selesai dan difahami semua, tetapi timbul pula penyembahan kubur, menyembah makam wali-wali yang dpandang keramat tempat untuk bernazar, disembah dan dipuja untuk meminta pertolongan dan menunaikan hajat. Dipasangkan lilin, dibakar kemenyan, yang alasannya samalah dengan tinjauan Imam Al Baghawi terhadap permintaan kaum Bani Israel tadi, iaitu mereka percaya juga bahawa Allah memang satu, tetapi mereka membuat sesuatu yang lain untuk dipuja, sebagai perantara untuk menyampaikan keinginan kepada Yang Maha Esa. Bani Israel meminta berhala, orang sekarang meminta sembah kubur.  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.