Sunday, March 22, 2015

Surah Al A'raf Ayat 11 - 20

 Al A’raf Ayat 11


 وَلَقَد خَلَقناكُم ثُمَّ صَوَّرناكُم ثُمَّ قُلنا لِلمَلائِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ لَم يَكُن مِنَ السّاجِدينَ


Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.


Allah swt. menerangkan bahwa Dia telah menciptakan Adam a.s. yang akan disusuli pula oleh keturunannya, pada mulanya dari tanah liat yang kemudian diberi bentuk dengan yang sebaik-baiknya, sebagaimana firman Allah:
“Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk.”
(Q.S Al Hijr: 28)



Dan dalam firman Allah:
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”
(Q.S At Tin: 4)


Adapun proses kejadian anak cucu Adam a.s. adalah sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah swt.:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu sari pati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah; kemudian segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging, kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah Pencipta Yang Paling Baik.”
(Q.S Al Mu'minun: 12, 13, dan 14)



Kemudian setelah selesai Nabi Adam a.s. diciptakan, Allah swt. memerintahkan para malaikat supaya sujud kepada Adam a.s. sebagai penghormatan kerana Adam itulah nanti yang akan menjadi khalifah-Nya di bumi dan dia pulalah nanti yang akan memberitahukan nama-nama beberapa benda.


Maka sujudlah para malaikat menghormati Adam kecuali iblis, suatu jenis makhluk yang berasal dari jin yang pada waktu itu hadir bersama para malaikat. Dia menentang perintah Allah dan tidak mahu sujud bersama-sama para malaikat itu.














Al A’raf Ayat 12


 قالَ ما مَنَعَكَ أَلّا تَسجُدَ إِذ أَمَرتُكَ ۖ قالَ أَنا خَيرٌ مِنهُ خَلَقتَني مِن نارٍ وَخَلَقتَهُ مِن طينٍ


Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."


Allah mencela iblis, apakah yang menghalangmu tidak mahu sujud kepada Adam ketika Aku memerintahkan engkau berbuat demikian?
Iblis tidak dapat menjawab mengapa ia menyalahi perintah Allah, hanya kerana dengkinya terhadap Adam  lalu menyombongkan diri dengan mengatakan, aku lebih baik dari Adam,kerana Engkau jadikan aku dari api dan Engkau jadikan Adam dari tanah.
Ini menunjukkan kehahilan iblis tentang hakikat kedua zat tersebut.


Sebenarnya zat api bersifat ringan, tidak tentu arah, meninggi dan bergolak. Sifat-sifat inilah yang dimiliki oleh iblis, iaitu suka meringan-ringankan perkara, tidak tetap pendirian, sombong dan mudah berontak, yang menyebabkan nasibnya jadi celaka, kerana terhalau dan mendapat laknat sepanjang masa, akibat dari keenggannya sujud kepada Adam memandang sepi saja terhadap perintah Allah.


Sedangkan zat tanah, bersifat berat, lembut, sabar, tenang, hidup dan tetap. Inilah sifat-sifat yang dimiliki oleh Adam yang menyebabkan nasibnya jadi bahagia, mengikut yang ditakdirkan oleh Allah. Kerana Adam sedia bertaubat kepada Allah dan mahu pula meminta ampun ke atas kesalahannya, sehingga ia telah diampunkan kesalahannya. Terpilih pula untuk menjadi khalifah di mukabumi dengan mendapat petunjuk dan pimpinan dari Allah.


Dari sudut yang lain, jika kita perdalamkan lagi ayat ini, kita akan dapati bahwa iblis ini bukan lagi mementingkan perintah Allah tetapi lebih mementingkan dirinya sendiri. Allah menyuruh sujud itu bukanlah kerana soal mana yang lebih mulia dan mana yang kurang mulia. Soalnya ialah perintah Allah. Api dan tanah adalah sama-sama makhluk ciptaan Allah. Sebagai makhluk hendaklah taat kepada perintah Khaliqnya. Malaikat semua faham akan hakikat ini, hanya iblis saja yang berdegil. Bukan dia tidak faham, tetapi dia membesarkan diri. Maka dengan sebab dia tidak sujud maka dia telah melanggar apa yang diperintahkan oleh Allah.






 Al A’raf Ayat 13


 قالَ فَاهبِط مِنها فَما يَكونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فيها فَاخرُج إِنَّكَ مِنَ الصّاغِرينَ


“Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina".


Oleh sebab si iblis merasa sombong dan lebih mulia maka turunlah martabatnya di sisi Allah. Dia tidak lagi berhak untuk berada di tempat yang mulia iaitu di syurga. Lalu Allah telah memerintahkan supaya iblis segera turun dari syurga. Ini kerana apabila seseorang itu menyombongkan diri, maka ia kelak akan jatuh. Apatah lagi bila kesombongan iblis itu telah dibuktikan dengan keengganannya menurut perintah Allah.


Allah telah menghalau iblis keluar dari syurga. Di sini nampak jelas bahwasanya orang yang mulia merasa dirinya besar kerana sombong, akan merosot menjadi kecil kerana hilang harga diri. Hamba Allah yang sejati ialah yang merasa kecil dirinya di hadapan Allah dan taat kepada perintahNya. Itulah orang yang tinggi dan mulia. Tetapi bila telah merasa dirinya besar, lalu menyombong, maka turunlah dia semula menjadi kecil. Tidak layak lagi untuk berada di tempat yang mulia.  





Al A’raf Ayat 14 Dan 15


 قالَ أَنظِرني إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ


Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)". (14)


 قالَ إِنَّكَ مِنَ المُنظَرينَ

““Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)". (15)


Rupa-rupanya pengusiran Allah itu tidak memberi kesedaran kepada Iblis, melainkan ia menjadi bertambah sombong dan berdendam pula.


Iblis merayu kepada Allah agar diberi umur panjang sampai hari kiamat, ketika sangka kala diitiupkan pada kali yang kedua, di mana semua manusia nanti akan dibangkitkan semula dari kuburnya. Tujuannya diberikan umur panjang ialah supaya ia dapat mengambil kesempatan untuk menghadapi Adam dan semua keturunan Adam. Sesungguhnya rayuan iblis ini menunjukkan kebodohannya. Dia tahu tidak siapa akan dapat hidup kekal, tetapi dia minta juga supaya hidup kekal selama-lamanya, kerana takut merasakan mati. Perlulah diingat, bahwa selepas hari ba’ath (kebangkitan) tidak sesiapa lagi akan mati.


Permintaan iblis ditolak oleh Allah kerana Allah tahu permohonan sebegitu adalah semata-mata iblis cuba untuk mengelak maut kematian. Akan tetapi Allah memberi tangguh juga kepada Iblis. Iblis diberi masa untuk hidup lebih lama dalam jangka waktu yang tertentu. Ini ada dijelaskan pada ayat 37 dan 38 surah Al-Hijr yang bermaksud:
“sesungguhnya engkau daripada golongan mereka yang diberi tangguh, hingga hari yang diketahui waktunya.”


Iblis diberi tangguh sehingga pada masa ditiupkan sangka kala yang pertama, di mana semua makhluk akan dimatikan semuanya, dan ini termasuklah iblis dan anak cucunya. Tiupan sangka kala yang kedua kali ialah tiupan menyuruh semua yang telah mati tadi bangkit semula.





 Al A’raf Ayat 16


قالَ فَبِما أَغوَيتَني لَأَقعُدَنَّ لَهُم صِراطَكَ المُستَقيمَ


Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;


Allah telah menghukum iblis sebagai termasuk dalam golongan yang sesat, martabatnya telah dijatuhkan daripada kedudukan mulia kepada kedudukan hina. Dahulu dianggap orang besar, sekarang sudah jatuh menjadi kecil akibat dari kesombongannya.


Dalam ayat ini diterangkan bahwa iblis tidak menyesal atas hukuman yang diterimanya. Malahan dia bersumpah akan membalas dendam. Ibarat pepatah, ‘alang-alang mandi biar basah, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kesempatan yang diberikan ini Iblis bersumpah akan berusaha dengan sedaya upaya untuk mencelakakan Adam dan anak cucunya. Iaitu menggoda dan menyesatkan mereka jangan sampai mereka menuju ke jalan yang selamat dan bahagia yang membawa ke syurga.








Al A’raf Ayat 17


 ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِن بَينِ أَيديهِم وَمِن خَلفِهِم وَعَن أَيمانِهِم وَعَن شَمائِلِهِم ۖ وَلا تَجِدُ أَكثَرَهُم شاكِرينَ


"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".


Iblis akan mendatangi manusia dari semua arah yang empat, dari hadapan, belakang, kanan dan kiri, pada bila-bila masa dan di mana saja, dengan tidak melepaskan peluang walau sebesar kuman. Iblis akan terus menggoda manusia sehinggalah sampai di suatu masa nanti amat sedikit bilangan orang yang taat kepada Allah, amat sedikit bilangan orang yang menjunjung perintah Allah atau berterima kasih atas nikmat Allah.


Dijelaskan bahwa iblis akan mendatangi kita dari empat arah yang disebutkan di dalam ayat ini. Namun kita sebagai manusia, masih ada dua jalan lagi untuk kita hindarkan godaan iblis ini. Masih ada dua laluan lagi untuk kita mengelak dari pujuk rayu iblis ini. Iaitu jalan atas dan bawah. Jalan atas ialah dengan cara kita mengangkat tangan berdoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh supaya kita selamat dan dijauhkan dari godaan syaitan dan iblis. Jalan bawah ialah dengan kita sujud kepada Allah melaksanakan perintah Allah, in shaa Allah, kita nanti akan tergolong di dalam orang-orang yang dilindungi Allah dari pujuk rayu iblis dan syaitan.




Al A’raf Ayat 18


قالَ اخرُج مِنها مَذءومًا مَدحورًا ۖ لَمَن تَبِعَكَ مِنهُم لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُم أَجمَعينَ


Allah berfirman: "Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya;


Allah menghalau iblis supaya keluar dari syurga menjadi makhluk yang keji dan tercela, serta terbuang tidak mendapat rahmat Allah selama-lamanya. Kemurkaan Allah ini telah ditegaskan di dalam ayat ini kerana iblis benar-benar telah meyatakan maksud jahatnya. Dan iblis tidak pula dihalang untuk melaksanakan apa yang telah menjadi sumpah dan dendam kesumatnya. Tetapi Allah telah memberikan ketegasan bahawa sesiapa saja di antara umat manusia yang telah mengikut dan terpedaya dengan iblis, maka sesungguhnya Allah akan penuhkan neraka Jahannam dengan mereka semua.


Dapat kita simpulkan di sini bahwa dengan murka Allah, iblis diusir dengan hina dari tempat yang mulia itu. Dan orang-orang yang mengikuti hasutan iblis tadi akan jadi sama-sama hina seperti iblis dan kelak akan dicampakkan ke dalam api neraka Jahannam bersama-sama iblis di akhirat nanti.


Firman Allah:
“Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka Jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya.”
(Q.S Sad: 85)




Al A’raf Ayat 19


 وَيا آدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ فَكُلا مِن حَيثُ شِئتُما وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكونا مِنَ الظّالِمينَ


"Dan wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim".


Setelah Allah menghalau iblis dan mengeluarkannya dari dalam syurga, Allah telah berkata pula kepada Nabi Adam as supaya tinggal diam di dalam syurga dan diberikan keizinan untuk makan dan minum seenak-enaknya di dalam syurga itu dengan sesuka hati mereka. Pilihlah berbagai makanan yang ada di dalam syurga yang beraneka jenis dan bermacam rasa dan kelazatan. Cuma Allah mengatakan kepada Nabi Adam janganlah mereka berdua mendekati sebuah pohon ini. Sekiranya mereka mendekati pohon ini dan memakan buahnya, mereka nanti akan ditimpa celaka.


Dengan penghujung ayat ini kita telah diberi pengertian bahawa manusia ini, pada permulaannya sudah ada kebebasan. Namun kebebasan yang diberikan itu haruslah ada batasannya. Kebebasan yang tanpa batasan kelak akan membawa kepada kekacauan.


Allah kata semua boleh dimakan, kecuali ini. Kalau batas itu dilanggar, maka kebebasan itu tidak akan ada nilainya lagi. Oran gyang melanggar larangan nescaya akan rugi, dan kebebasan yang dikecapi akan menjadi rosak.


Kebebasan yang adanya batasan dan larangan yang tidak boleh ditempuh itu, akan menjadi pintu hasutan dan pujuk rayu syaitan supaya manusia melanggarnya. Ditambah pula dengan tabiat semulajadi dan hawa nafsu manusia yang ingin tahu dan ingin melanggar mana yang dilarang. Kononnya untuk mengetahui apakah yang akan terjadi sekiranya ianya dilanggar, dan apakah yang ada disebalik larangan tersebut. Syaitan akan masuk di pintu-pintu ingin tahu ini dengan meletakkan soalan dan pertanyaan di benak manusia, “kenapa?” , “ada apa?” , “mengapa tidak boleh?”  


Haruslah yakin dan kembali semula kepada Allah. Larangan tidak boleh dilanggar walaupun hati meronta-ronta ingin melanggar. Inilah dugaan yang diletakkan pada setiap manusia. Dugaan untuk mematuhi arahan dan meninggalkan larangan. Sekiranya larangan ini dilanggar, maka manusia itu akan dianggap sebagai telah menzalimi dirinya sendiri.




 Al A’raf Ayat 20


 فَوَسوَسَ لَهُمَا الشَّيطانُ لِيُبدِيَ لَهُما ما وورِيَ عَنهُما مِن سَوآتِهِما وَقالَ ما نَهاكُما رَبُّكُما عَن هٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلّا أَن تَكونا مَلَكَينِ أَو تَكونا مِنَ الخالِدينَ


Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)".


Tujuan Iblis membisikkan fikiran jahat kepada Adam dan Hawa, ialah supaya keduanya derhaka kepada Allah, dengan jalan melanggar larangan Allah yang akibatnya kedua-duanya mendapat malu. Betapa tidak? kerana seseorang yang berfikiran sihat akan pasti berasa  malu yang amat sangat apabila semuanya terdedah atau kelihatan kemaluannya. Ayat ini menjadi dalil bahawa mendedahkan aurat itu suatu perbuatan yang mungkar dan haram.


Iblis telah membisikkan kepada Adam dan Hawa bahawa larangan memakan buah itu adlah kerana mereka dilarang menjadi malaikat atau menjadi makhluk yang kekal tidak mati-mati. Suapay mereka tetap menjadi manusia. Di sinilah masuknya bisikan jahat iblis itu. Dapatlah difahami bahawa keinginan manusia adalah untuk terus hidup, tidak mati-mati. Keinginan inilah yang dibangkitkan oleh iblis kepada Adam  dan Hawa. Keinginan mempunyai kekuatan dan keluasan bergerak dalam alam ini sebagai malaikat. Atau tidak pun jadi malaikat, baik jadi manusia juga, tetapi kekal tidak mati-mati.


Keinginan untuk kekal tak mati-mati itu rupanya telah ada di dalam dasar jiwa Adam. Tetapi dia terhalang menurutkan kata perasaan itu, sebab dia dilarang mendekati buah dan pohon yang terlarang. Bertambah dilarang bertambah timbul keinginan itu. Apatah lagi manusia pertama belum berpengalaman. Maka oleh kerana selalu dibisik, dirayu dan dipujuk oleh iblis, maka timbullah keraguan dan keinginan yang membuak-buak.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.