Sunday, March 22, 2015

Surah Al A'raf Ayat 59 - 72







Al A’raf Ayat 59 Hingga 64

لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَقالَ يا قَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِن إِلٰهٍ غَيرُهُ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)"  (59)

قالَ المَلَأُ مِن قَومِهِ إِنّا لَنَراكَ في ضَلالٍ مُبينٍ
“Ketua-ketua dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami nampakmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata". “ (60)

قالَ يا قَومِ لَيسَ بي ضَلالَةٌ وَلٰكِنّي رَسولٌ مِن رَبِّ العالَمينَ
 Nabi Nuh menjawab: "Wahai KaumKu! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam. “(61)

أُبَلِّغُكُم رِسالاتِ رَبّي وَأَنصَحُ لَكُم وَأَعلَمُ مِنَ اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
“"(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihat kepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (62)

أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِن رَبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِنكُم لِيُنذِرَكُم وَلِتَتَّقوا وَلَعَلَّكُم تُرحَمونَ
“"Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat?". (63)


فَكَذَّبوهُ فَأَنجَيناهُ وَالَّذينَ مَعَهُ فِي الفُلكِ وَأَغرَقنَا الَّذينَ كَذَّبوا بِآياتِنا ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا عَمينَ
“Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran) “ (64)

Di dalam ayat 59 hingga 64 ini Allah menceritakan tentang kisah para rasul as. Allah mengisahkan cerita para rasul dengan kaum masing-masing ini tujuannya ialah untuk mengalihkan perhatian Nabi Muhammad saw kepada mereka.  Dan untuk menjadi peringatan kepada Baginda serta penawar untuk hatinya yang duka. Allah nak bagitahu bahawa, bukanlah kaum Nabi Muhammad sahaja yang bersikap menentang dan bermusuh. Tetapi kaum dan umat yang terdahulu pun mempunyai sikap yang sama sepertimana kaum Nabi saw juga. Mereka sentiasa menentang dan memusuhi para nabi dan rasul yang datang menyeru mereka kepada agama Allah.

Dengan menyebutkan kisah-kisah ini maka akan terbuktilah kebenaran kenabian Nabi Muhamamd saw. Kerana Nabi saw itu seorang yang ummiy yang tidak tahu baca dan tulis, bahkan tidak pernah berguru dengan sesiapa pun pada zamannya. Oleh sebab itu, apabila baginda dapat menceritakan peristiwa para rasul dan umatnya pada zaman purbakala iaitu cerita yang benar-benar terjadi sehingga seorang pun, tidak dapat menafikannya, nyatalah apa yang diceritakan oleh baginda itu datangnya dari Allah swt yang diwahyukan kepada baginda. Dan bukannya suka-suka Nabi saw untuk mereka-reka cerita.

Allah menyatakan di dalam ayat 59 ini dengan bersumpah, bahwa sesungguhnya ia telah mengutus Nuh sebagai utusanNya menjadi rasul kepada kaumnya.  Para Mufassirin menyebutkan Nuh itu anak Mtusyalikh anak Akhnuh (Nabi Idris as). Dialah yang mula-mula menjadi nabi yang diutus oleh Allah sesudah Nabi Idris, iaitu datuknya. Mula-mula pekerjaannya adalah menjadi tukang kayu.

Ibnu Abbas mengatakan, bahwa Nuh telah dilantik menjadi nabi pada masa umurnya 40 tahun. Tetapi ada pertelingkahan pendapat hal ini. Kerana ada yang mengatakan dia dilantik pada umurnya 50 tahun, 250 thun dan ada pula yang mengatakan pada masa umurnya 100 tahun.

Ibnu Abbas mengatakan, dia bernama ‘Nuh” kerana dia terlampau banyak meratapi dirinya. Dan sebabnya dia meratap ialah kerana dia telah mendoakan kebinasaan ke atas kaumnya sehingga semua kaumnya ditenggelamkan oleh taufan. Atau sebabnya  kerana dia merayu kepada Tuhan supaya mengampunkan anaknya yang bernama Kan’an yang turut diternggelamkan oleh taufan, kerana menderhakai Allah.

Dalam kisah ini, Nabi Nuh diceritakan telah menyeru kaumnya, supaya menyembah Allah. Ia menerangkan bahwa Allah sajalah yang berhak disembah dan jangan menyembah yang lain. Ia menyatakan kebimbangannya kepada kaumnya, sekiranya mereka menolak seruannya dan enggan mematuhi perintah Allah, nescaya mereka akan ditimpa seksa yang maha dahsyat, kalau pun tidak pada hari turunnya taufan, maka pada hari kiamat seksaan itu pasti tiba.

Menurut Iman Bukhari dalam shahihnya, yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, kaum Nabi Nuh ini sangat merasa terhutang budi kepada orang-orang tua mereka yang soleh kerana telah meninggalkan jasa bagi kemaslahatan hidup mereka. Kerana jasa mereka itu, maka dibuatkanlah patung-patung dan berhala-berhala sebagai kenang-kenangan. Kalau kita zaman ini, dibuatkan tugu pahlawan ataupun ‘monument’. Dan bila patung itu dilihat, timbullah perasaan sayang , perasaan untuk mencontohi perbuatan mereka dan untuk melanjutkan usaha mereka. Diadakan hari ulangtahun untuk memperingati jasa-jasa mereka.  Tetapi lama-lama dengan secara tidak sedar, patung-patung itu telah mereka puja dan sembah pula. Kesalahan inilah yang ditegur oleh Nabi Nuh, bahwasanya orang tua mereka yang telah mati itu bukanlah Tuhan. Berhala dan patung itu bukanlah yang selayaknya dipuja. Tuhan yang ada hanya Allah, dan tidak ada suatu Tuhan yang lain selain Allah.

Seruan Nuh ini rupa-rupanya mendapat tentangan hebat dari pembesar-pembesar kaumnya seperti yang disebutkan pada ayat 60 di mana mereka memberi jawapan yang menuduh Nuh sebagai orang yang sudah tersesat senyata-nyatanya. Mereka maksudkan bahwasanya Nuh telah terkeluar daripada agama ajaran nenek moyang mereka. Walhal mereka mempunyai berhala yang bernama Wud, Suwa, Yaghut, ya’ud dan Nasr yang selama ini mereka sembah dan minta pertolongannya, sekarang mereka ditegah pula dan dilarang untuk menyembahnya.

Nuh telah menyangkal tuduhan kaumnya itu sepetimana yang disebutkan di dalam ayat 61 dan 62 dengan mengatakan, Hai kaumku! Bukanlah aku yang dalam kesesatan seperti yang kamu sangkakan. Tetapi aku adalah utusan Allah, Tuhan seru sekalian alam. Tuhan yang empunya seluruh alam ini. Aku diutus oleh Nya  untuk mengingatkan kamu dan memberi amaran kepada kamu sekiranya kamu mengingkari Allah dan tidak mahu percaya kepadaNya.

Aku datang membawa perutusanNya untuk kusampaikan kepada kamu, iaitu berjaga-jagalah kamu jangan sampai diseksa olehNya, maka janganlah kufur kepadaNya. Aku hanyalah sebagai penasihat kamu, iaitu aku ingin agar kamu semuanya patuh kepada perintahNya dan menjauhi akan laranganNya.

Di dalam ayat ini ada disebutkan bahwa Nabi Nuh itu tugasnya ialah menyampaikan perutusan dan menasihatkan kaumnya. Seksaan yang diingatkan oleh Nabi Nuh kepada kaumnya itu terkandung dalam kata-katanya, ‘dan aku tahu daripada Allah apa yang tidak kamu ketahui”. Maksudnya adalah beberapa hal penting dan hebat yang mereka tidak akan nampak. Cuma Nabi Nuh saja yang mengetahuinya, ini pun kerana Allah telah mengajarkan kepadanya. Iaitu bahwa menyekutukan Allah. Ini kerana kita hidup di atas dunia ini adalah dengan kehendak Allah. Kalau perbuatan syirik ini mereka teruskan juga, di dunia mereka akan celaka, kerana mereka telah membelakangi Tuhan yang sebenar iaitu Allah. Dan di akhirat pula mereka akan masuk neraka, kerana mereka engkar akan peringatan Allah.  

Selanjutnya Nabi Nuh berkata di dalam ayat 63, ‘apakah yang kamu hairankan  sehingga kamu berani mendustakan tentang kedatangan peringatan kepada kamu yang berupa wahyu atau kitab daripada Tuhan kamu, yang wahyu itu diturunkan menerusi seorang lelaki iaitu Nabi Nuh sendiri dari golongan kamu yang kamu mengenali susur galurnya. Sedang wahyu atau kitab itu diturunkan untuk memperingatkan atau memberi amaran, supaya kamu jangan derhaka kepada Allah dan menyuruh supaya kamu berbakti, mudah-mudahan kamu beroleh rahmat iaitu segala kebaikan yang ada di akhirat.

Kenapa mereka kehairanan? Mereka kehairanan kerana mereka tidak menyangka bahawa ada seorang manusia dari kalangan mereka sendiri, saudara mereka sendiri telah diangkat menjadi Rasul. Ini menjadi tanda bahwa di dalam jiwa mereka, mereka masih tidak percaya kepada Allah dan tidak mampu untuk berhubung dengan Allah kalau tidak dengan perantaraan roh nenek moyang mereka yang telah mati. Dan nenek moyang mereka itu harus dilambangkan dengan berhala. Mereka lebih percaya kalau orang itu mati, dikhayalkan dan dibuat patung lalu disembah, dan berhala itulah yang menyampaikan segal permohonan kepada Allah. Mereka tidak mahu percaya bahawa seorang manusia itu boleh berhubungan langsung dengan Allah. Sebab itulah mereka tidak mahu percaya bila Nabi Nuh mengatakan baginda telah mendapat wahyu Ilahi.

Dari sini dapatlah kita hubungkan ayat ini dengan ayat 58 yang kita pelajari terdahulu, yang ditafsirkan oleh Ibnu Abbas, bahawa jiwa yang kering kerana tidak mahu menerima seruan iman, maka kaum Nabi Nuh inilah orang yang diibaratkan sebagai tanah tandus itu.

Di dalam ayat 64, meskipun berbagai keterangan dan seruan telah disampaikan oleh Nabi Nuh kepada merea, ancaman bahaya yang ngeri di hari akhirat, kecelakaan dunia. Tetapi mereka masih degil dan tidak mahu terima. Mereka tidak peduli langsung kepada seruan Nabi Nuh supaya bertaqwa kepada Allah. Berita gembira sekiranya mentaati Allah dan nikmat syurga juga tidak dapat menggugah hati mereka supaya berpaling kepada Allah.

Salah satu sebab kenapa mereka tidak mahu terima adalah kerana Nabi Nuh adalah terdiri dari orang biasa saja. Sementara mereka adalah orang yang terkemuka dan pembesar negeri. Jadi mereka merasa tidak layak untuk tunduk kepada seruan Nabi Nuh.

Oleh kerana pendustaan dan penolakan yang keterlaluan, maka kini tibalah masanya untuk ketentuan Allah. Tibalah hari yang diancam oleh Nabi Nuh.  Di ayat 64 disebutkan “Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran) “

Allah pun menyuruh Nabi Nuh menyiapkan sebuah bahtera. Sedang menyiapkan bahtera itu pun Nabi Nuh masih diejek oleh kaumnya, namun baginda tetap sabar meneruskan usaha sampai selesai. Kaumnya yang degil itu terus mengejek tetapi mereka semua tidak tahu bahawa hanya orang-orang yang berada di dalam bahtera itu saja yang akan selamat dari banjir besar yang akan melanda nanti. Mereka yang tidak mahu naik ke dalam bahtera itu, akan tenggelam dalam gulungan lautan taufan yang besar dan dahsyat. Hanya orang-orang yang percaya kepada ajaran Nabi Nuh saja yang terselamat akhirnya. Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah, tidak percaya kepada ajaran Nabi Nuh semuanya mendapat kecelakaan besar.

Sesungguhnya hati mereka itu telah buta, tidak masuk pengajaran dan kebenaran yang diberikan kepada mereka. Tidak mahu memakai akal fikiran yang sihat untuk berfikir, kerana telah dipengaruhi oleh turut-turutan dan kerana mempertahankan kebiasaan yang diterima dari nenek moyang mereka.




Al A’raf Ayat 65 hingga 67

 
وَإِلىٰ عادٍ أَخاهُم هودًا ۗ قالَ يا قَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۚ أَفَلا تَتَّقونَ
Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya? " (65)


قالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ إِنّا لَنَراكَ في سَفاهَةٍ وَإِنّا لَنَظُنُّكَ مِنَ الكاذِبينَ
Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampakmu berada dalam kebodohan, dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari orang-orang yang berdusta". (66)
 
قالَ يا قَومِ لَيسَ بي سَفاهَةٌ وَلٰكِنّي رَسولٌ مِن رَبِّ العالَمينَ
Nabi Hud menjawab: "Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam. “ (67)

Dari ayat 65 sehingga ayat 72 pula Allah menceritakan tentang kisah Nabi Hud as.

Allah telah mengutus Nabi Hud kepada kaum ‘Ad, iaitu suatu kaum dari bangsa Arab purbakala, yang mendiami suatu kawasan padang pasir di selatan Tanah Arab. Kawasan tersebut bernama ‘al-Ahqaf’ bermaksud ‘Bukit Pasir’ yang terletak di antara Oman dengan Hadramaut.

“‘Ad’ asalnya nama seorang bapa yang terbesar dari suatu kaum. Dia ialah ‘Ad bin Aus bin Irama bin Sam bin Nuh. Kemudian ‘ad itu pula menjadi nama suku kaum, atau nama sebuah perkampungan. Mereka ini ialah kaum ‘Ad yang pertama. Kemudian ada pula kaum ‘Ad yang kedua. Antara satu dengan yang lainnya berjarak 100 tahun. Kaum yang pertama dari kaum ‘Ad inilah kaum yang diseru oleh Nabi Hud. Dan kaum ‘Ad yang kedua pula diseru oleh Nabi Salih. Kaum ‘Ad yang kedua ini, juga digelar dengan kaum ‘Thamud’.

Nabi Hud ialah seorang nabi bangsa Arab purbakala, dan bukanlah dari golongan para nabi kaum Bani Israel. Dia ialah Hud bin Abdullah bin Rabah bin al-Khulud bin ‘Ad bin Aus bin Sam Bin Nuh. Antara Nabi Hud dengan Nabi Nuh berjarak 800 tahun. Nabi Hud dikatakan telah hidup selama 446 tahun dan Nabi Nuh pula dikatakan telah hidup selama 1240 tahun. Nabi Nuh dilantik menjadi nabi di kala umurnya 40 tahun , selama 950 tahun menyeru kaumnya hingga dunia dikaramkan oleh taufan dan bah kemudian baginda hidup lagi selama 250 tahun.

Di dalam ayat 65 ini Allah menyatakan bahwa Ia juga telah mengutus Nabi Hud kepada kaum ‘Ad. Iaitu kaum yang sesaudara Nabi Nuh. Sebagaimana Nabi Nuh mendapat tentangan yang kuat dariapda pembesar-pembesar kaumnya, maka Nabi Hud juga mendapat tentangan daripada kaumny yang kufur dan syirik juga. Mereka menuduh Nabi hud sebagai seorang yang kurang akal dan sebagai pembohong. Ini adalah kerana Nabi Hud telah menghalang dan melarang meereka dari menyembah Somud dan Hatar, berhala kaum ‘Ad.

Pada ayat 67 Nabi Hud telah menolak tuduhan kaumnya itu dengan mengatakan, Hai kaumku! Bukanlah aku dalam keadan kurang akal sepertimana yang kamu sangkakan. Tetapi akau adalah utusan Allah Tuhan seru sekalian alam. Aku diutus untuk memperingatkan kamu semua dengan menerangkan dan menjelaskan segala perkara yang diperintahkan Allah dan segala perkara yang ditegahNya. “




 Al A’raf Ayat 68 hingga Ayat 72

 
أُبَلِّغُكُم رِسالاتِ رَبّي وَأَنا لَكُم ناصِحٌ أَمينٌ
"(Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi kamu. “(68)

 
أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِن رَبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِنكُم لِيُنذِرَكُم ۚ وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ قَومِ نوحٍ وَزادَكُم فِي الخَلقِ بَسطَةً ۖ فَاذكُروا آلاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
"Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya". “(69)


 قالوا أَجِئتَنا لِنَعبُدَ اللَّهَ وَحدَهُ وَنَذَرَ ما كانَ يَعبُدُ آباؤُنا ۖ فَأتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ الصّادِقينَ
Mereka berkata: "Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar". (70)


قالَ قَد وَقَعَ عَلَيكُم مِن رَبِّكُم رِجسٌ وَغَضَبٌ ۖ أَتُجادِلونَني في أَسماءٍ سَمَّيتُموها أَنتُم وَآباؤُكُم ما نَزَّلَ اللَّهُ بِها مِن سُلطانٍ ۚ فَانتَظِروا إِنّي مَعَكُم مِنَ المُنتَظِرينَ
Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan dari Tuhan kamu. Adakah kamu hendak berbahas denganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya, sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya? Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu". (71)


 فَأَنجَيناهُ وَالَّذينَ مَعَهُ بِرَحمَةٍ مِنّا وَقَطَعنا دابِرَ الَّذينَ كَذَّبوا بِآياتِنا ۖ وَما كانوا مُؤمِنينَ
Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat dari Kami, dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman. “(72)

Di dalam ayat 68 Nabi Hud berkata lagi kepada kaumnya, Tugasku adalah untuk menyampaikan kepada kamu semua, menerangkan dan menegaskan segala perkara yang diperintahkan oleh Allah dan segala perkara yang yang ditegahNya, begitu juga segala bebanan yang diwajibkan oleh Allah kepada umat manusia. Aku bagi kamu adalah seorang penasihat yang jujur dalam menyampaikan perutusan Allah. Aku ingn menganjurkan kamu supaya mentaati Allah dan menjauhi laranganNya, dan bukanlah aku seorang pendusta.

Sepertimana kaum Nabi Nuh kehairanan kerana Allah mengutuskan seorang manusia menjadi rasul kepada mereka, maka begitulah juga kaum Nabi Hud. Sehingga membuatkan Nabi Hud bertanya kepada kaumnya seeprtimana di dalam ayat 69 ini,  apalah yang kamu hairankan hingga tergamak untuk mendustakan tentang peringatan atau amaran dariapda Allah yang dibawa oleh seorang yang seperti aku ini, untuk disampaikan kepada kamu? walhal kamu mengenali aku. Oleh sebab itu kenangkanlah kemurahan kurniaan Allah itu, ketika Ianya mengurniakan kamu nikmat sebagai kaum yang berkuasa di muka bumi sesudah Allah membinasakan kaum Nuh. Dan kamu dijadikan suatu kaum yang bertubuh tegap, besar dan tinggi. Maka bersyukurlah kepadaNya dengan menyembah dan beribadat kepadaNya sahaja. Tinggalkanlah perbuatan menyembah berhala dan jangan sekali-kali menyekutukan Allah. Mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan di akhirat dengan memperoleh syurga tempat yang aman sentosa.

Disebutkan tentang kelebihan yang dianugerahkan Allah kepada kaum Nabi Hud ini, iaitu mereka mempunyai tubuh badan yang besar dan tegap, putih, tinggi melampai. Maka berserulah Nabi Hud agar mereka ingat akan nikmat Allah itu semuanya dan bersyukur kepadaNya. Mengingat nikmat ialah dengan menyembah semata-mata kepada Allah, kerana Dialah yang menurunkan rezeki yang berlimpah ruah dan memberikan tubuh badan yang tegap dan tinggi melampai.

Tetapi kaumnya telah menolak bulat-bulat akan penjelasan Nabi Hud itu sepertimana yang disebut di dalam ayat 70. Walaupun tutur kata Nabi Hud itu amat halus dan beradab sopan, namun mereka tetap enggan untuk menyembah Allah yang Maha Esa. Enggan meninggalkan berhala yang disembah oleh nenek moyang mereka. Sambil menunjukkan kesombongan mereka yang melampaui batas, mereka mencabar nabi Hud dengan berkata, cubalah timpakan seksa yang engkau janjikan itu ke atas kami, kalau engkau benar-benar berani mengancam kami.

Cabaran itu telah dijawab oleh Nabi Hud sepertimana di dalam ayat 71 dengan berkata, sudah pasti seksa dan kemurkaan dari Allah Tuhan kamu akan menimpa kamu. Tidak usahlah kamu hendak berdalih kepada aku untuk mengatakan bahwa berhala yang kamu sembah itu adalah Tuhan. Kamu dan nenek moyang kamu hanya membuat nama-nama Tuhan rekaan kepada berhala. Tidak ada bukti yang Allah berikan yang menandakan berhala-berhala itu Tuhan kamu. Jadi tunggu sajalah kedatangan seksa Allah itu dan aku pun bersama kamu menunggunya.

Dan azab itu pun datang! Sebagaimana tersebut di dalam surah-surah yang lain, suatu angin puting beliung yang sangat dahsyat menyapu bersih negeri kaum ‘Ad, sehingga rumah-rumah mereka hancur menjadi debu diterbangkan angin. Dan orang-orang yang sedang berdiri diterbangkan angin sebagaimana pohon kurma memupuk tumbang diterbangkan angin. Dan angin itu mengeluarkan satu bunyi yang dahsyat sekali.

Pada ayat 72, menurut Ibnu Asaakir, Nabi Hud diberi wahyu oleh Allah supaya membawa sekalian orang yang beriman untuk pergi berlindung di balik sebuah gunung di kala angin dahsyat itu datang. Manakala kaum ‘Ad yang mendustakan nabi Hud dan yang enggan beriman itu telah dibinasakan semuanya. Ibarat penyakit telah dicabut dari akarnya. Mereka telah dimusnahkan oleh angin yang mempunyai suara yang amat dahsyat dan bertiup selama 7 malam 8 hari dengan tidak berhenti-henti, menerbangkan manusia dan harta benda ke udara hingga hancur binasa semuanya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.