Sunday, March 22, 2015

Surah Al A’raf Ayat 1 - 10







Al A'raf Ayat 1

 
المص

Alif, Laam, Miim, Saad.

4 huruf ini Ialah huruf-huruf abjad yang terletak pada permulaan sebahagian dari surat-surat Al Quran seperti: Alif laam miim, Alif laam raa, Alif laam miim shaad dan sebagainya. diantara Ahli-ahli tafsir ada yang menyerahkan pengertiannya kepada Allah kerana menganggap ianya termasuk di dalam ayat-ayat mutasyaabihaat.

Ada pula para Mufassirin yang menafsirkannya. Golongan yang menafsirkannya ada yang menganggapnya sebagai nama surat, dan ada pula yang berpendapat bahawa huruf-huruf abjad itu gunanya untuk menarik perhatian Para Pendengar supaya memerhatikan Al Quran, dan untuk mengisyaratkan bahwa Al Quran itu diturunkan dari Allah dalam bahasa Arab yang tersusun dari huruf-huruf abjad. Kalau mereka tidak percaya bahawa Al Quran diturunkan dari Allah dan hanya buatan Muhammad s.a.w. semata-mata maka cubalah mereka buat satu kitab sepertimana kitab Al Quran itu. Sudah pasti  mereka tidak akan dapat melakukannya.




Al A'raf Ayat 2



 كِتابٌ أُنزِلَ إِلَيكَ فَلا يَكُن في صَدرِكَ حَرَجٌ مِنهُ لِتُنذِرَ بِهِ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar), dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.

Allah nak bagitahu kepada Nabi Muhammad saw supaya memberitahukan kepada semua  bahwa Allah telah pun menurunkan sebuah kitab Al Quran kepada baginda. Maka janganlah hendaknya baginda mempunyai dada yang sempit dengan perasaan syak atau ragu-ragu pada masa menjalankan tugasnya menyiarkan agama Allah kepada umat manusia. Ini kerana terdapat ramainya di antara kaum nabi saw sendiri yang menentang baginda. Menyakiti baginda dan enggan menyahut seruan baginda.

Ayat ini seolah-olah sebagai penawar kepada Nabi Muhammad untuk menyejukkan hati dan meredakan perasaan baginda yang tidak senang dan kerisauan bilamana mendapat layanan buruk dari kaumnya. Ianya sebagai hiburan dari Allah , sebagai mengingatkan kepada baginda bahwa begitulah halnya Rasul-rasul terdahulu mendapat tentangan dan layanan buruk daripada kaumnya. Tetapi dengan pertolongan Allah, Allah telah menjayakan mereka.

Firman Allah:
“Maka bersabarlah kamu (Muhammad) seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul yang telah bersabar.”
(Q.S Al Ahqaf: 35)

Kitab AlQuran itu diturunkan adalah untuk Nabi Muhammad menyampaikan amaran yang ada di dalamnya kepada orang yang kufur dan degil. Dan ianya juga sebagai peringatan dan pengajaran kepada orang yang beriman.


  

Al A'raf  Ayat 3



اتَّبِعوا ما أُنزِلَ إِلَيكُم مِن رَبِّكُم وَلا تَتَّبِعوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ۗ قَليلًا ما تَذَكَّرونَ

(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan".

Allah menyuruh Nabi Muhammad saw mengatakan kepada manusia, hendaklah mereka ikut pengajaran yang diturunkan oleh Allah sepertimana yang ada di dalam AlQuran. Kerana AlQuran itu mengandungi petunjuk dan ianya sebagai cahaya dan penerangan kepada mereka semua.

Maksudnya hendaklah kita semua ni mengikut dan mengamalkan apa saja yang ada termaktub di dalam AlQuran. Kerana ianya datang dari Allah. Allah dah turunkan AlQuran itu sebagai panduan untuk hamba-hambaNya menjalani kehidupan di atas mukabumi ini. AlQuran ini ibarat sebagai buku manual kepada manusia. Semuanya lengkap ada tertulis di dalamnya. Kegagalan mengamalkan hukum-hukum di dalam AlQuran akan menyebabkan perjalanan hidup seseorang itu pincang dan kemungkinan terseret ke lembah kekufuran.

Contohnya kalau kita beli telivisyen atau apa-apa saja peralatan rumah, pasti akan dibekalkan satu buku manual. Iaitu buku yang menunjukkan cara-cara menggunakan peralatan tersebut. Kalau kita guna peralatan tersebut tanpa berpandukan buku manual, pasti peralatan itu akan rosak dan kemungkinan tidak boleh digunakan langsung. Maka begitulah juga manusia ini. Buku manual bagi manusia ialah AlQuran. Kalau tidak berpandukan AlQuran sebagai manual, manusia akan terpandu jalan yang salah dan mereka akan dapati diri mereka akan rosak binasa.

Tapi malangnya di zaman sekarang ini, ramai yang mengaku Islam tetapi tidak mengambil AlQuran sebagai panduan hidup. Ramai yang tidak mengamlakan malah menolak hukum-hukum yang termaktub di dalam AlQuran. Kerana inilah kita dapati ramai di antara mereka itu boleh terjerumus kepada kemaksiatan dan kekufuran. Kerana AlQuran tidak dijadikan panduan dan rujukan di dalam hidup mereka.

“...janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan".
Janganlah kita mengambil orang yang mengajak kpeada syirik dan kufur untuk menjadi pemimpin kita selain Allah. Pemimpin yang seperti ini tidak boleh ditaati dan dipatuhi. Mereka akan membuat hukum halal dan haram semahu dia saja dengan dipengaruhi oleh hawa nafsu dan syaitan mereka sahaja. Mereka akan membuatkan kita menyangka bahwa merekalah lebih pandai dan patut kita contohi. Padahal tidak lain, tujuannya ialah untuk kepentingan diri mereka sendiri saja. Dan lebih teruk lagi ianya akan menjerumuskan kita ke dalam kesesatan pula kerana mentatti dan mematuhi mereka yang tidak berpegang kepada agama Allah.

Kesimpulannya , hanya Allah saja yang layak kita jadikan pemimpin. Tetapi sayang, amatlah sedikit orang yang mahu beringat untuk menjadikannya pelajaran.

Kesan dari ayat ini, Allah menegah sesiapa pun untuk mentaati sesuatu urusan agama yang bukan diperintahkan oleh Alllah menerusi wahyuNya, seperti yang dilakukan oleh orang ahli Kitab. Mereka itu mentaati dan menjadi pak turut sahaja kepada apa yang diperintahkan oleh pendeta dan ketua-ketua agama mereka tanpa mengetahui bahwa pendeta dan ketua agama mereka itu telah memandai-mandai untuk menokok tambah di dalam ibadat mereka dengan perkara yang bukan diwahyukan oleh Allah. Hendaknya perkara sebegini janganlah berlaku kepada umat Islam.






 
Al A'raf Ayat 4


وَكَم مِن قَريَةٍ أَهلَكناها فَجاءَها بَأسُنا بَياتًا أَو هُم قائِلونَ


“Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat pada tengah hari.

Allah mengancam dengan memberitahu bahawa sebelum ini memang terdapat ramai manusia dan negeri telah Allah binasakan dan ranapkan kampung halaman bersama penduduknya. Ini adalah kerana mereka berdegil tidak mahu menerima malah menentang ajaran yang Allah sampaikan melalui rasulNya. Tugas para rasul yang menyampaikan khabar gembira berserta memberikan peringatan kepada mereka, telah mereka dustakan dengan sewenang-wenangnya.

Perhatikan firman Allah swt.:
“Berapalah banyaknya kota yang Kami telah binasakannya yang penduduknya dalam keadaan zalim, maka (tembok-tembok) kota itu roboh menutupi atap-atapnya dan (berapa banyak pula) sumur yang telah ditinggalkan dan istana yang tinggi.”
(Q.S Al Hajj: 45)

Dan firman Allah:
“Dan berapa banyaknya (penduduk) negeri yang telah Kami binasakan yang sudah bersenang-senang dalam kehidupannya, maka itulah tempat kediaman mereka yang tiada didiami (lagi) sesudah mereka kecuali sebagian kecil. Dan Kami adalah pewaris-pewarisnya.”
(Q.S Al Qasas: 58)

Untuk membinasakan sesuatu negeri atau kaum yang degil itu, amatlah senang bagi Allah. Selalunya Allah akan datangkan azab dan seksaan itu  di waktu tengah malam, di kala mereka sedang lalai dan leka. Sewaktu mereka merasa aman dan selamat seolah-olah mereka tidak akan diancam oleh apa-apa pun juga. Allah tidak akan memberikan apa-apa tanda pun sebelum azab itu tiba.  Umpamanya apa yang terjadi kepada kaum Nabi Lut. Ada juga azab yang Allah turunkan di waktu siang, di kala mereka semua sedang beristirehat, bersuka ria, umpamanya sepertimana yang telah terjadi kepada kaum Nabi Syuiab.

Firman Allah:
“Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya dan memakai (pula) perhiasannya dan pemilik-pemiliknya mengira bahwa mereka pasti menguasainya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang lalu Kami jadikan (tanaman-tanamannya) laksana tanaman-tanaman yang sudah disabit seakan-akan belum pernah tumbuh kemarin. Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang yang berpikir.”
(Q.S Yunus: 24)

Dan firman-Nya:
“Maka apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan siksaan Kami kepada mereka di malam hari di waktu mereka sedang tidur? Atau apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan siksaan Kami kepada mereka di waktu matahari sepenggalahan naik ketika mereka sedang bermain?”
(Q.S Al A'raf: 97-98)

Ayat ini mengingatkan kita semua, bahwa setiap dari kita pasti ada mempunyai dosa. Dan hendaklah segera bertaubat dan sedar diri. Jangan kita merasakan tidak apa membuat dosa, dan bertangguh di dalam bertaubat. Jangan sekali-kali kita merasa kita tidak akan diseksa sekiranya kita berbuat dosa dan tidak bertaubat.. Hidup kita tetap senang lenang walaupun byk sudah dosa yang kita lakukan sekarang ini. Jangan sekali-kali kita merasa selamat dengan dosa. Dan  janganlah kita  terpedaya dengan ketenteraman, kemwahan dan kesenangan, kerana semuanya itu tidak akan kekal selamanya. Ingatlah bidalan yang mengatakan bahwa malang itu tidak berbau. Kalau Allah telah menetapkan turunnya bala bencana dan malapetaka, maka semuanya itu akan datang dengan serta merta dengan tidak diberi amaran dan tanda-tanda.

Ayat ini ditujukan kepada orang yang ingkar dan kufur, terutama musyrikin Mekah kerana sombongnya, takbur, dan berbangga diri sebagai kaum yang kuat, kaya dan mulia yang pada sangkaan mereka tidak mungkin akan mendapat seksa. Ianya ditujukan juga kepada kita di zaman sekarang yang banyak sudah kelalaian dan kealpaan, merasa senang berbuat dosa, tidak merasa takut akan seksaan Allah. Malah ada juga yang merasa bahwa seksaan Allah itu tidak akan kita terima. Tanyalah di dalam hati sisters semua? Sudahkah kita bertaubat dengan semua dosa kita? Taubatlah sebelum terlambat. Sebelum Allah turunkan azab ke atas kita semua.





Al A'raf  Ayat 5


فَما كانَ دَعواهُم إِذ جاءَهُم بَأسُنا إِلّا أَن قالوا إِنّا كُنّا ظالِمينَ

“Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata: "Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim".

Apabila azab itu datang dengan tiba-tiba, sedang mereka asyik bersenang-lenang, bersuka ria, mereka jadi sudah tidak tidak dapat mengelak lagi akan seksaan itu. Lalu mengakulah mereka terus terang akan kelalaian mereka selama ini. Bila mereka ditimpa seksa dan malapetaka, barulah mereka mahu sedar, bahwa mereka sebenarnya telah berlaku zalim iaitu menganiaya diri sendiri kerana membuat dosa. Menyesali diri mereka yang telah derhaka dan banyak berbuat maksiat. Tetapi malangnya, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak gunanya.

Ini dinyatakan sebagaimana firman Allah:
“Dan berapa banyaknya (penduduk) negeri yang zalim yang telah Kami binasakan dan Kami adakan sesudah mereka itu kaum yang lain (sebagai penggantinya). Maka tatkala mereka merasai azab Kami, tiba-tiba mereka melarikan diri dari negerinya. Jangan kamu lari tergesa-gesa, kembalilah kamu kepada nikmat yang telah kamu rasakan dan kepada tempat-tempat kediamanmu (yang baik) supaya kamu ditanya. Mereka berkata, "Aduhai, celaka kami! Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim." Maka tetaplah demikian keluhan mereka sehingga Kami jadikan mereka sebagai tanaman yang telah dituai yang tidak dapat hidup lagi.”
(Q.S Al Anbiya': 11-15)

Kesan pengajaran dari ayat ini ialah setiap orang yang berdosa bila telah menerima seksaan daripada Allah di dunia, barulah dia akan mengakui dosanya, lalu menyesali perbuatan mereka. 

Tetapi sedikit benar orang yang menyedari tentang seksaan di dunia kerana dosanya. Sebabnya ialah seksaan itu datangnya agak lambat dan beransur-ansur. Ambil sajalah contoh umpamanya orang yang suka mencuri. Mereka tahu mencuri itu salah dan berdosa. Tetapi selagi tidak ditangkap dan tidak diketahui oleh orang ramai, ditambah pula  mereka berjaya melakukan pencurian itu, mereka akan selamat. Mereka akan gembira dan hidup senang lenang pula dengan hasil pencurian mereka. Tetapi apabila suatu hari mereka telah ditangkap, dan dimasukkan ke dalam lokap, saat itu barulah mereka menangis ketakutan dan mengaku akan kesalahan mereka. Dan minta diampunkan dari kesalahan itu. Itu baru ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah dunia. Kalau dihadapkan di mahkamah Allah nanti, bagaimana? Sesalan yang tidak berguna ini lah yang perlu kita semua elakkan benar-benar.





Al A'raf  Ayat 6


فَلَنَسأَلَنَّ الَّذينَ أُرسِلَ إِلَيهِم وَلَنَسأَلَنَّ المُرسَلينَ

Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu. 

Allah swt. menerangkan bahawa di akhirat nanti semua umat yang telah diutus rasul kepada mereka, umat itu akan ditanya oleh Allah, apakah yang kamu lakukan mengenai seruan yang mereka sampaikan? Adakah perintahNya kamu kerjakan, dan laranganNya kamu tinggalkan? Sepertimana firman Allah:
“Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan menanyai mereka semua tentang apa yang telah mereka kerjakan dahulu.
(Q.S Al Hijr: 92-93)


Begitu juga rasul-rasul yang telah diutus kepada mereka, akan ditanya adakah telah kamu sampaikan perintah Kami kepada umat yang kamu seru supaya mengikut ajaran Kami?

Firman Allah swt.:
“Hai golongan jin dan manusia, apakah belum datang kepadamu rasul-rasul dari golongan kamu sendiri yang menyampaikan kepadamu ayat-avat-Ku dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini? Mereka berkata, "Kami menjadi saksi atas diri kami sendiri." Kehidupan dunia telah menipu mereka dan mereka menjadi saksi atas diri mereka sendiri, bahwa mereka adalah orang-orang yang kafir.
(Q.S Al An'am: 130)


Dan Firman-Nya:
“(Ingatlah) hari di waktu Allah mengumpulkan para rasul lalu Allah bertanya (kepada mereka), "Apakah jawaban kaummu terhadap (seruan)mu?".
(Q.S Al Ma'idah: 109)

Pertanyaan-pertanyaan  itu diajukan kepada orang-orang yang derhaka dan pembuat maksiat bukan kerana tidak mahu atau belum diketahui keadaannya tetapi semua itu dilakukan semata-mata untuk mencela mereka dan menambahkan penghinaan ke atas mereka yang berdosa dan kufur itu. Sehingga tidak ada alasan lagi bagi mereka untuk tidak diseksa atau dimasukkan ke dalam neraka.

Berkata Imam Ar-Razi: Sebenarnya mereka ditanya bukanlah untuk mengetahui amal yang telah dilakukan oleh mereka di dunia kerana semua itu telah diketahui melalui catatan malaikat yang ditugaskan untuk itu. Tetapi yang ditanyakan ialah sebab yang mengakibatkan mereka meninggalkan perintah Allah dan tidaklah bertentangan dengan ayat-ayat yang menerangkan bahawa tidak akan ditanyakan dosa manusia dan jin dan dosa orang-orang yang berbuat maksiat seperti dalam firman Allah:
“Pada waktu itu manusia dan jin tidak ditanya tentang dosanya.”
(Q.S Ar Rahman: 39)

Dan firman-Nya:
“Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu tentang dosa-dosa mereka.”
(Q.S Al Qasas: 78)

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa bukan saja umat yang telah diutus rasul kepadanya yang ditanya sampai di mana mereka melaksanakan seruan rasul itu, tetapi juga rasul-rasul yang telah diutus kepada suatu umat juga akan ditanya sampai di mana seruan mereka disambut baik dan dilaksanakan oleh umatnya sebagaimana firman Allah swt.:
“(Ingatlah) hari di waktu Allah mengumpulkan para rasul, lalu Allah bertanya (kepada mereka), "Apakah jawaban kaummu terhadap (seruan) mu?".
(Q.S Al Ma'idah: 109)

Pertanyaan yang ditujukan kepada rasul di akhirat nanti adalah pertanyaan yang jawapannya merupakan persaksian atas seruan yang telah disampaikan kepada umatnya, dan pembangkangan umatnya atas seruan ini.






 
Al A'raf Ayat 7


فَلَنَقُصَّنَّ عَلَيهِم بِعِلمٍ ۖ وَما كُنّا غائِبينَ

Kemudian sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (Rasul-rasul dan umat-umatnya), dengan (berdasarkan) pengetahuan (yang meliputi akan apa yang mereka lakukan), dan sememangnya Kami tidak sekali-kali ghaib (bahkan sentiasa Mendengar, Melihat dan Mengetahui akan hal ehwal mereka).

Allah swt. menerangkan bahawa kepada mereka, baik kepada rasul-rasul mahupun kepada umat yang telah menerima seruan rasul, akan diceritakan kelak hal-hal yang telah mereka lakukan kerana semuanya itu telah diketahui Allah, dan semuanya itu telah dicatat di dalam buku catatan malaikat pencatat. Tidak ada sesuatu pun yang luput dari catatan malaikat sebagaimana firman Allah:
“Dan mereka berkata, "Aduhai, celaka kami! Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar melainkan ia mencatat semuanya?" Dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun.”
(Q.S Al Kahfi: 49)

Allah swt. selalu mengikuti gerak-gerik dan segala perbuatan mereka pada setiap waktu. Allah swt. mendengar apa-apa yang mereka katakan, melihat apa yang mereka lakukan. Allah juga mengetahui semua perbuatan mereka, baik yang mereka perbuat secara terang-terangan mahupun secara sembunyi-sembunyi sebagaimana firman Allah:
“Padahal Allah beserta mereka ketika pada suatu malam mereka menerapkan keputusan rahasia yang Allah tidak ridai. Dan adalah Allah Maha Meliputi (ilmu-Nya) terhadap apa yang mereka kerjakan.”
(Q.S An Nisa': 108)

Pertanyaan ini bukanlah untuk meminta penjelasan tentang sesuatu yang bukan diketahui Allah swt. tetapi semata-mata untuk mencela perbuatan dan kelakuan mereka.






Al A’raf Ayat 8


وَالوَزنُ يَومَئِذٍ الحَقُّ ۚ فَمَن ثَقُلَت مَوازينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Pada ayat ini Allah swt. menerangkan adanya timbangan di akhirat nanti. Timbangan ini wajib kita percayai dan dengan timbangan itulah akan diketahui besar kecilnya, berat ringannya amalan seseorang. Timbangan di akhirat nanti itu adalah timbangan yang seadil-adilnya dan tak mungkin terjadi kepincangan dalam timbangan itu sebagaimana firman Allah:
“Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikit pun.
(Q.S Al Anbiya': 47)

Kata para Mufassirin, neraca itu mempunyai dua buah daun neraa dan di tengahnya ada sebuah pedoman yang menentukan mana satu yang berat di antara amal baik dengan amal jahat seseorang.

Tiap-tiap amalan seseorang di akhirat kelak, akan dijelmakan dalma bentuk yang bermacam-macam. Kata Ibnu Abbas, amalan yang baik akan didatangkan dengan rupa yang baik, manakala amalan yang jahat akan didatangkan dengan rupa yang hodoh, maka semuanya diletakkan di dalam neraca untuk ditimbang.

Adanya neraca untuk penimbang amal manusia di akhirat itu adalah suatu perkara yang hak dan benar. Dia termasuk dalma perkara yang wajib bagi umat Islam mempercayainya dan beriman dengannya, walaupun kita tidak wajib mengetahui bagaimana keadaan neraca itu dan rupanya yang sebenar.

Kata Abu Ishak Az-Zajjaj, para ulamak ahli Sunnah semuanya telah sepakat, untuk mempercayai adanya mizan (neraca) dan semua amalan hamba nanti akan ditimbang pada hari kiamat. Adapun neraca itu ada mempunyai sebuah pedoman dan dua buah daun neraca, yang akan menjadi senget bila diisi dengan amalan.

Kata Al Qurtubi : Yang ditimbang itu ialah Kitab Catatan amal seseorang.

Tetapi yang lebih tepat ialah amalan itu sendiri yang ditimbang, kerana Abu Daud dan at-Tirmidzi telah meriwayatkan satu hadis dari Jabir yang bermaksud:
“pada hari kiamat nanti, akan diletakkan neraca bagi menimbang amalan yang baik dan amalan yang jahat. Sesiapa amalan baiknya lebih berat dari amalan jahatnya kadar satu biji gandum saja, ia akan masuk syurga. Dan sesiap yang amalan jahatnya lebih berat daripada amalan baiknya kadar satu biji gandum sajah, maka ia akan masuk neraka. Ketika Nabi saw ditanya bagaimana pula orang yang mempunyai amalan baik sama beratnya dengan amalannya yang jahat? Dijawab baginda : Mereka itu ialah Ashabul A’raf. “

Barangsiapa berat timbangan amalnya kerana iman dan amal kebaikan, maka manusia yang demikian inilah yang akan beruntung di akhirat nanti, merasa puas menerima semua balasan amalannya di dunia sebagaimana firman Allah swt.:
“Dan adapun orang-orang yang berat timbangannya (kebaikannya), maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan.”
(Q.S Al Qari'ah: 6-7)


Amal baik itu termasuklah berbuat ketaatan kpeada Allah dengan seikhlas hati, banyak menolong orang-orang yang memerlukan pertolongan, membantu pembangunan masjid, madrasah, sekolah tahfiz dan bangunan-bangunan lain yang digunakan memperbaiki dan meningkatkan akhlak umat, memelihara anak yatim dan lain sebagainya.






 Al A’raf Ayat 9


وَمَن خَفَّت مَوازينُهُ فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم بِما كانوا بِآياتِنا يَظلِمونَ

Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya).

Barang siapa yang ringan timbangan amalannya kerana keingkarannya, iman yang ada di dadanya lemah sehingga ia banyak melakukan pelanggaran agama, ibadah ditinggalkan, amal-amal kebaikan disia-siakan, tetapi yang digemarinya adalah larangan-larangan agama. Dia banyak menipu, menyakiti hati sesama manusia, memusuhi tetangganya, menyia-nyiakan anak yatim, biar orang-orang sekelilingnya lapar menderita asal dia kenyang dan senang.

Manusia yang seperti ini sebenarnya telah merugikan diri mereka sendiri. Sebabnya mereka telah mengingkari keterangan Allah, dan kerana itu bermakna mereka telah menolak kebahagiaan yang diuntukkan oleh Allah kepada mereka. Mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka yang apinya sangat panas, seperti firman Allah:
“Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya, maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah. Dan tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu? (Yaitu) api neraka yang panas.”
(Q.S Al Qari'ah: 8-11)








 Al A’raf Ayat 10


وَلَقَد مَكَّنّاكُم فِي الأَرضِ وَجَعَلنا لَكُم فيها مَعايِشَ ۗ قَليلًا ما تَشكُرونَ

Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

Dalam ayat ini Allah swt. menerangkan tentang sebahagian dari sekian banyaknya kurnia yang telah dianugerahkan kepada hamba-Nya. Dia, Allah telah menyediakan bumi ini untuk manusia tinggal dan berdiam di atasnya, bebas berusaha dalam batas-batas yang telah digariskan Allah swt. dan diberikan kelengkapan kehidupan.

Kemudian disempurnakan-Nya dengan bermacam-macam kelengkapan lain agar mereka hidup di atas bumi ini dengan senang, tenang dan puas, seperti tumbuh-tumbuhan yang beraneka ragam macamnya, binatang-binatang, baik yang boleh dimakan mahupun yang tidak, burung-burung baik di udara atau pun di darat, ikan-ikan baik di laut, di danau mahupun di tempat-tempat pemeliharaan ikan lainnya, air tawar untuk diminum, digunakan untuk mencuci pakaian dan keperluan lainnya. Minuman dan makanan yang bermacam rasa dan baunya untuk memenuhi selera masing-masing, bahkan semua yang ada di bumi ini adalah diperuntukkan kepada manusia sebagaimana firman Allah swt.:
“Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu.”
(Q.S Al Baqarah: 29)

Untuk memenuhi keperluan hidup, seseorang it tentu tidak akan tetap berada di suatu tempat, tetapi ia akan berpindah-pindah dari suatu tempat ke tempat lain. Maka disediakan alat pengangkutan dan perhubungan yang bermacam-macam yang bertambah maju sesuai dengan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi untuk digunakan mereka seperti kereta dengan segala macam bentuk dan keindahannya, kapal terbang, kapal laut, dan kapal selam, kereta api dan lain-lain sebagainya yang tak terhitung banyaknya.

Tidak seorang pun manusia yang dapat memberi angka pasti tentang banyaknya kurniaan itu sekalipun dengan komputer, suatu alat termodern untuk menghitung di masa sekarang ini sebagai firman Allah:
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya.”
(Q.S Ibrahim: 34)

Semua kurniaan dan nikmat tersebut di atas adalah untuk memenuhi keperluan hidup jasmani baik secara perseorangan mahupun secara berkelompok yang akan dijadikan batu loncatan untuk memenuhi dan menjaga kesejahteraan hidup rohani bagi kesucian diri dan mempersiapkan diri untuk hidup kekal di akhirat nanti serta memperoleh nikmat dan kebahagiaan abadi yang tak berkesudahan.

Atas semua kurniaan dan nikmat yang tak terhitung banyaknya itu maka wajiblah manusia bersyukur, mensyukuri penciptanya, yaitu Allah swt. dan janganlah sekali-kali dia mengingkarinya sebagaimana firman Allah swt.:
“Dan bersyukurlah kepadaku dan janganlah kamu mengingkari (nikmat-Ku).”
(Q.S Al Baqarah: 152)


Alangkah sedikitnya manusia yang dapat menyedari dan menginsyafi hal tersebut. Pada umumnya manusia menganggap bahawa yang dicapai dan diperolehnya itu adalah hasil dari kecerdasan otaknya, kesungguhan usahanya bukan dari Allah swt. dan sedikit dari mereka yang bersyukur sebagaimana firman Allah swt.:
“Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang berterima kasih.”
(Q.S Saba': 13)

Bersyukur kepada Allah swt. tidaklah cukup dengan hanya mengucapkan "alhamdulillah wasysyukru lillah" tetapi harus diiringi dengan amal perbuatan iaitu dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.