Sunday, March 22, 2015

Surah Al A'raf Ayat 31 - 40


Al A’raf Ayat 31


يا بَني آدَمَ خُذوا زينَتَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ وَكُلوا وَاشرَبوا وَلا تُسرِفوا ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُسرِفينَ

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. “

Di awal ayat ini dinyatakan ‘hai anak-anak Adam’. Ini bermakna dapatlah kita fahami bahwa agama Islam itu bukanlah khusus untuk suatu bangsa saja. Tetapi untuk semua umat manusia yang ada di mukabumi ini. Dari dulu sampailah sekarang, sampai lah akan datang sehingga tibanya hari kiamat. Maka dengan ini benarlah bahwa Nabi Muhammad saw itu adalah rahmat bagi seluruh alam. Manusia dan jin. Lelaki dan perempuan.

Allah memerintahkan kepada mereka kaum mukmin di zaman Rasulullah dan termasuklah juga kita di zaman sekarang ini di ketika kita masuk ke suatu mesjid, maksudnya untuk menunaikan sembahyang, kerana maksud masjid sebenarnya ialah tempat sujud iaitu sembahyang. Jadi kalau kita masuk ke masjid untuk sembahyang, maka hendaklah kita memakai perhiasan. Maksudnya hendaklah kita memakai pakiaan yang cantik, elok dan bersih. 

Selalunya kalau kita hendak pergi kenduri kawin, atau majlis barulah kita memakai pakaian yang cantik-cantik dan indah. Tetapi kalau pergi masjid, cukup dengan kopiah buruk, baju melayu lusuh dan kain pelikat yang dibeli zaman bila entahnya. Kita datang mengadap Allah, yang Maha Khaliq, yang Maha Pemberi Rezeki kepada kita semua. Seharusnyalah kita berdandan dan berpakaian cantik dengan bau-bauan yang wangi lebih dari kita nak pergi ke majlis atau kenduri kawin. Kerana kita nakkan rahmat dari Allah. Nakkan redha dari Allah.

Begitu juga apabila di rumah. Sepatutnya kita kena mengadakan tempat yang khusus untuk sembahyang. Suapay tempat yang khusus itu terpelihara kebersihan dan kehormatannya. Dan ketika nak sembahyang pula, walaupun di rumah kita seharusnya berpakaian cantik lengkap. Bukannya hanya mengenakan kain pelikat dan tidak berbaju. Kononnya alasan sembahyang di rumah.

Dari sebuah hadis yang dirawikan oleh Bukhari, Imam Ahmad, Muslim, Abud Dawud, dari Abu Hurairah, bahwa Nabi saw bersabda : “sekali-kali jangan kamu sembahyang dengan hanya sehelai kain, tidak ada di bahunya sesuatu apapun.”

Dari hadis ini fahamlah bahwa Rasulullah saw sendiri memandang tidak baik sembahyang hanya dengan sehelai kain sahaja. Terutama di dalam masjid.

Sedarlah, kita sembahyang tu kita nak mengadap Allah. Kita nak mintak rahmat dariNya. Kalau kita nak mintak sesuatu pertolongan dari wakil rakyat atau nak mengadap raja misalnya, kita takkan pergi dengan hanya memakai kain pelikat saja. Kita bahkan akan berpakaian cantik lengkap, teratur untuk menghadap raja. Supaya raja atau wakil rakyat itu akan memandang kepada kita dan berminat nak tahu maslaah kita. Begitu jugalah dengan Allah. Tetapi hakikatnya kita buat tak kisah saja apabila sembahyang. Sudahlah pakai yang mane sempat saje, bacaan dalam sembahyang pun nak cepat saja. Mustahil kita akan mendapat khusyuk dalam sembahyang itu nanti..   

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas ra bahawa kaum musyrikin tawaf di Kaabah dengan telanjang bulat samada lelaki ataupun perempuan. Sehingga seorang perempuan bersyair, “hari ini nampak sebahagian atau semuanya dan yang nampak itu tidak aku halalkan. “

Kerana itu dalam ayat ini Allah menyuruh berpakaian, terutama yang dpat menutup aurat juga dianjurkan supaya memakai pakaian yang cantik pada setiap kali ingin melakukan ibadat di masjid untuk sembahyang dan tawaf.

dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. “
Mengenai ayat ini al - Kalbi mengatakan , adalah kaum Bani Amir pada musim haji tidak memakan dan minum melainkan makanan yang mengenyangkan sahaja. mereka tidak mahu memakan daging dan yang lemak-lemak kerana menghormati pekerjaan haji mereka. Bila hal ini diketahui oleh umat Islam, mereka pun ingin pula melakukan perkara yang sama. Maka Allah telah turunkan ayat ini.

Maksud ayat ini ialah selain berhias semasa hendak pergi sembahyang dan masa beribadat, hendaklah makan makanan yang sebaik-baiknya dan minumlah yang menyegarkan, tetapi jangan pula perkara yang disebutkan itu dilakukan dengan cara yang melampaui batasan atau menyebabkan banyak berhutang kerana selalu berbelanja besar. Tidak padan dengan gaji atau pendapatan. Ataupun terlampau bakhil, lokek dan sayang dalam menunaikan nafkah yang wajib, bahkan disekat-sekat pula padahal hasilnya banyak dan pendapatannya lebih.

Allah tidak menyukai dan mengancam akan menyeksa orang yang melampau, iaiatu yang membazir atau yang lokek di dalam berpakaian dan makan minum.

Bermakna, jika seseorang itu lapar, makanlah. Jika haus, minumlah. Jika kenyang, hentikanlah sekalipun terasa kesedapan makanan tersebut. Janganlah menambah lagi. Inilah yang dikatakan tidak melampau bahkan ianya mendatangkan faedah yang besar kepada diri sendiri dan kesihatan. Apa yang disukai oleh Allah ialah kesederhanaan di dalam segala sesuatu kerana kesederhanaan dan pertengahan itu punca segala kesenangan dan kebahagiaan.




 Al A’raf Ayat 32


قُل مَن حَرَّمَ زينَةَ اللَّهِ الَّتي أَخرَجَ لِعِبادِهِ وَالطَّيِّباتِ مِنَ الرِّزقِ ۚ قُل هِيَ لِلَّذينَ آمَنوا فِي الحَياةِ الدُّنيا خالِصَةً يَومَ القِيامَةِ ۗ كَذٰلِكَ نُفَصِّلُ الآياتِ لِقَومٍ يَعلَمونَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

Orang-orang Arab pada masa Jahiliah telah mengharamkan memakai pakaian ketika tawaf sekeliling Kaabah, telah mengharamkan sebahagian makanan ketika mengerjakan haji seperti memakan daging, memakan yang berlemak dan lain-lain. Orang-orang Nasrani dan ahli kitab pun, sebahagian mereka juga mengharamkan memakan yang baik-baik seperti halnya perbuatan orang pada masa Jahiliah itu.

Maka ayat ini dengan tegas memerintahkan kepada Nabi Muhammad saw. untuk menanyakan kepada mereka, siapa yang mengharamkan semuanya itu? Jelaslah bahawa yang mengharamkan itu adalah diri mereka sendiri dan syaitan. Dan ianya bukan merupakan wahyu Allah yang disampaikan-Nya kepada Rasul Allah.

Dan sesungguhnya agama Islam tidak pernah melarang manusia dari memakai perhiasan dan memakan makanan yang baik lagi sedap. Keinginan berhias dan menyukai makanan yang baik telah menjadi tabiat dan pembawaan manusia semula jadi. Kedua macam gharizah atau naluri manusia inilah yang menyebabkan mereka berlumba-lumba mendatangkan kemajuan dan kemakmuran bagi faedah seluruh manusia. Juga akan menyebabkan mereka berusaha menggunakan kekayaan alam yang disediakan oleh Allah. Jadi tidaklah ada halangan atau larangan bagi mereka untuk memakai perhiasan dan memakan makanan yang baik selagi tidak merosakkan jasmani dan tidak menghalang kesempurnaan rohani.

Oleh kerana orang Jahiliyah dahulu ada yang mengharamkan diri mereka dari memakan daging dan lemak, kononnya hendak memuliakan ibadat haji mereka, ada yang mengharamkan Bahirah dan Saibah, ada yang mengharamkan bermacam-macam rezeki lain lagi, padahal ianya dihalalkan oleh Allah. Maka ayat ini pun diturunkan untuk menolak kebenaran apa yang mereka lakukan itu dan menyalahkannya.

Sesungguhnya perhiasan dan rezeki yang baik-baik itu Allah telah memperuntukkan bagi orang yang beriman, kerana mereka tahu menggunakannya dan mensyukurinya dalam kehidupan mereka di dunia. Namun demikian orang yagn tidak beriman turut juga menikmatinya, sekalipun mereka tidak berhak. Tetapi nanti di akhirat perhiasan Allah dan rezeki yang baik-baik itu adalah khusus untuk orang-orang mukmin sahaja, kerana mereka tidak boleh menikmatinya lagi.

Ayat ini membawa pengertian bahawa orang-orang mukmin ini telah diperuntukan khas oleh Allah segala bentuk perhiasan dan rezeki yang baik-baik untuk digunakan bagi menjalani kehidupan di atas dunia. Dan ianya hendaklah digunakan dengan betul dan janganlah sampai melampau. Allah menganjurkan kepada orang-orang yang beriman agar dapat mencapai bahagia dan sentosa di dunia dan di akhirat. Di akhirat orang-orang mukminlah yang lebih berhak menikmati segala nikmat Allah supaya lebih bertambah syukurnya kepada-Nya dan lebih mendorongnya untuk mencapai kebahagiaan yang sebenarnya.

Mereka di dunia tentu akan bersyukur kepada Allah, baik dalam hatinya dengan mengakui kekayaan Allah, atau dengan lidahnya mengucapkan "alhamdulillah", mahupun dengan anggotanya, yaitu dengan memakai dan memakan kurnia Allah itu dengan sebaik-baiknya dan mempergunakannya kepada jalan yang diridai Allah. Orang mukmin tentu akan bertambah ilmunya dan kemajuannya bila hidupnya di dunia telah bahagia dan tentu akan bertambah kuat pula imannya kepada Allah bila dia telah dapat merasakan betapa besarnya kurnia yang diberikan Allah kepadanya.
Sabda Rasulullah saw.:
“Orang (mukmin) yang makan makanan yang baik lagi pandai bersyukur sama derajatnya dengan orang puasa yang sabar menahan lapar.”
(Q.S H.R Ahmad, At Turmuzi, An Nasa'I, dan Al Hakim dari Abu Hurairah)

Firman Allah swt.:
“Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunnya nanti pada hari kiamat dalam keadaan buta.”
(Q.S Taha: 124)

Pada penutup ayat ini, Allah swt. mengatakan bahawa Allah sudah menjelaskan ayat-ayat-Nya bagi kaum yang mengetahui. Di antaranya dalam ayat ini dijelaskan perkara adab berpakaian dan makanan yang sebahagian manusia belum mengetahuinya, malahan dianggapnya masalah kecil saja. Padahal makan dan minum yang tidak berlebih-lebihan itu merupakan sendi hidup dan pokok pangkal kesihatan. Bila badan tidak kuat dan tidak sihat, semua pekerjaan tidak akan terlaksana, baik pekerjaan untuk mencari kehidupan, atau pun untuk beribadat kepada Allah.

Begitu juga berdandan dan berpakaian merupakan tanda kebahagiaan dan kemuliaan dan erat juga hubungannya dengan kesihatan. Orang-orang yang berdandan dan berpakajan bagus adalah terhormat dan terpuji asalkan berdandan dan berpakaian bagus itu adalah dengan niat yang baik bukan untuk menyombongkan diri.
Sabda Rasulullah saw.:
“Saya datang kepada Rasulullah saw. dengan pakaian yang buruk, maka Rasulullah bertanya, "Adakah engkau mempunyai harta?" Saya jawab: "Ya." Rasulullah bertanya pula: "Harta apa saja?" Saya jawab: "Allah memberikan karunia kepada saya unta, kambing, kuda dan budak." Berkata Rasulullah: "Kalau Allah sudah mengaruniaimu harta, maka hendaklah dapat dilihat bekas nikmat Allah itu dan kemuliaan-Nya kepadamu."
(H.R Abu Daud dari Abil Ahwas dari ayahnya)



Al A’raf Ayat 33


قُل إِنَّما حَرَّمَ رَبِّيَ الفَواحِشَ ما ظَهَرَ مِنها وَما بَطَنَ وَالإِثمَ وَالبَغيَ بِغَيرِ الحَقِّ وَأَن تُشرِكوا بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ سُلطانًا وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. “

Allah menyuruh Rasulullah saw supaya mengatakan kepada kaum musyrikin bahawa sebenarnya perkara yang diharamkan Allah itu hanyalah perkara yang mendatangkan mudharat kepada manusia dan sangat besar pula bahayanya. Dan larangan yang dijelaskan oleh Allah itu pula adalah merupakan ketetapan yang menjadi undang-undang dasar agama Islam yang Maha Suci.

Larangan tersebut ialah:
1. Mengerjakan perbuatan yang keji secara lahir atau tersembunyi termasuk ke dalam perbuatan yang keji seperti berzina, homoseksual, perbuatan jijik dan kotor yang menimbulkan dosa yang besar.
2. Perbuatan yang menimbulkan dosa, seperti minum khamar, berjudi dan lain-lain.
3. Perbuatan yang melampaui batas, berlaku aniaya sesama manusia dan mencabul hak pribadi atau hak bersama.
4. Mempersekutukan Allah ini adalah perbuatan yang paling keji dan merupakan dosa yang besar yang tidak akan mendapat keampunan dari Allah. Mempersekutukan Allah tidak ada dalil yang membolehkannya dan tidak ada pula wahyu Allah. Perbuatan manusia yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah, seperti dengan berhala, batu kuburan, pohon kayu dan lain-lain menunjukkan suatu perbuatan bodoh tanpa mempergunakan akal dan pikiran.
5. Mengada-ada terhadap Allah apa yang tidak diketahui, seperti membuat-buat hukum dalam agama sekehendak hati saja dengan mengatakan ini halal, itu haram padahal dia tidak mempunyai ilmu dalam soal ini. Dia mudah saja memutar-belitkan hukum, yang halal dikatakan haram dan yang haram dikatakan halal. Perbuatan seperti ini sangat dilarang Allah, sebab boleh menimbulkan agama-agama yang palsu atau boleh menjadikan agama yang benar jadi agama yang batil.

Dari perbuatan seperti inilah timbulnya perpecahan-perpecahan dalam agama, mereka mengaku tahu dalam persoalan agama tapi yang sebenarnya mereka tidak mempunyai pengetahuan, malahan mereka bodoh sama sekali. Disengaja atau tidak disengaja, pekerjaan mengada-ada seperti ini dilarang Allah, apalagi untuk menentukan suatu hukum dalam Islam. Untuk menentukan hukum itu, harus ada dalil yang nyata, baik dari Alquran atau pun sunnah yang muktabarah, tidak dapat diagak-agak atau main sangka-sangka saja. Main agak atau sangka-sangka itu tidaklah termasuk ilmu. Ilmu itu menumbuhkan keyakinan. Firman Allah swt.:
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta, "Ini halal dan itu haram," untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah.’
(Q.S An Nahl: 116)




Al A’raf Ayat 34


وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذا جاءَ أَجَلُهُم لا يَستَأخِرونَ ساعَةً ۖ وَلا يَستَقدِمونَ

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan. “

Dalam ayat ini Allah swt. menjelaskan bahwa tiap-tiap umat atau bangsa itu ada ketentuan ajalnya, yaitu mempunyai batas-batas waktu yang tertentu untuk maju atau mundur, untuk berjaya atau hancur. Yang menentu ajal dan masa itu ialah Allah swt. sesuai dengan sunah-Nya dan kehendak-Nya. Ketentuan ajal, maksudnya ialah ketentuan waktu turunnya azab bagi umat atau bangsa yang telah derhaka, tidak mahu menerima kebenaran, berlaku sewenang-wenang sekehendak nafsunya, tidak segan-segan mengerjakan yang keji dan yang mungkar.

Maka ketentuan turunnya azab itu ada dua cara yaitu umat itu harus hancur musnah sampai hilang dari permukaan bumi. Seperti malapetaka yang telah diturunkan Allah kepada kaum Nuh, `Ad, Tsamud, Firaun, Luth dan lain-lainnya.

Sesungguhnya umat itu telah hilang dari permukaan bumi disebabkan kederhakaan dan keingkaran mereka tidak menerima ajaran-ajaran yang dibawa oleh rasul-rasul mereka. Sudah diberi peringatan berkali-kali, namun mereka tidak percaya, bahkan semakin membangkang dan sombong. Maka tibalah ajal mereka dengan kehancuran dan kebinasaan sampai musnah.
“Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras.”
(Q.S Hud: 102)

Azab yang merupakan kehancuran seperti ini hanya khusus bagi umat-umat rasul-rasul yang terdahulu yang tidak akan terjadi lagi pada umat Nabi Muhamamd saw. sebab kedatangan Nabi Muhammad saw. adalah rahmat bagi semua penghuni alam ini.
Firman Allah swt. lagi:
“Kami tidak mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”
(Q.S Al Anbiya': 107)

Selain ketentuan harus hancur, ada juga ketentuan umat itu menjadi hina, miskin, bodoh, dijajah dan lain-lain. Allah menurunkan azab bukan untuk menghancurkannya tapi umat itu hilang kebesarannya dan kemuliaannya, jatuh jadi umat yang hina dina, tidak ada harga dan kemuliaan lagi.

Sejarah sudah banyak menunjukkan suatu umat pada mulanya menjadi jaya dan terhormat, tapi akhirnya jatuh hina dan melarat, sebab mereka sudah lupa daratan, gila kesenangan pribadi, berfoya-foya menghamburkan harta kekayaan untuk maksiat. Berlaku sewenang-wenang berbuat aniaya sesama manusia, menghabiskan harta umat dengan cara yang tidak benar dengan korupsi, menipu dan lain-lain. Penyakit syirik sudah berjangkit pula yaitu di samping menyembah Allah, juga menyembah makhluknya.

Oleh kerana sebab-sebab yang demikian, maka datanglah ajal umat atau bangsa itu. Mereka menjadi umat yang lemah dan hina di mata manusia. Azab kalau sudah datang, tak dapat diminta undurkan walau sesaat dan tidak pula dapat diawalkan. Tidak seorang pun yang tahu saat datangnya azab itu hanya Allah sendirilah yang menentukannya. Adakah dalam waktu yang dekat, adakah di waktu malam, adakah di waktu siang…., tidak seorang pun yang tahu.

Kadang-kadang datangnya dengan tiba-tiba di saat umat itu sedang dalam keadaan leka, sedang lupa daratan, sedang bersenang-senang, dengan tiba-tiba dan tak semena-mena turunlah azab Allah. Sekiranya dapat diketahui bilakah ajal itu akan datang, tentu mereka akan meminta untuk ditangguhkan. Tentulah mereka akan bersegera memperbaiki kesalahan-kesalahan mereka, meninggalkan perbuatan keji dan dosa dan lain-lain.

Datang ajal itu dengan secara tiba-tiba memberikan pengertian bahawa Allah Maha Berkuasa dan tidak mampu dihalangi dan ditandingi oleh kekuasaan manusia. Akhirnya menyesallah umat itu. Sesal yang tidak berguna lagi.




 Al A’raf Ayat 35


 يا بَني آدَمَ إِمّا يَأتِيَنَّكُم رُسُلٌ مِنكُم يَقُصّونَ عَلَيكُم آياتي ۙ فَمَنِ اتَّقىٰ وَأَصلَحَ فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Ayat ini mengingatkan kepada manusia tentang kedatangan rasul-rasul Allah. Rasul-rasul itu diutus Allah kepada tiap-tiap umat pada masa yang telah ditentukan Allah. Mereka itu adalah manusia-manusia bukan makhluk lain. Tugas mereka menyampaikan ayat-ayat Allah yang merupakan wahyu, menjelaskan mana yang halal dan mana yang haram, mana yang hak dan mana yang batil.

Disampaikannya kepada manusia, supaya manusia itu jangan sesat jalannya, menyimpang dari jalan yang benar. Dibacakannya ayat-ayat Allah supaya jelas mana yang diperintahkan dan mana yang dilarang. Yang diperintahkan untuk dapat dikerjakan dan diamalkan dan yang dilarang untuk dijauhi dan dihindarkan.

Maka orang-orang yang patuh dan taat terhadap ajaran yang dibawa rasul-rasul itu, bertakwa kepada Allah dan senantiasa memperbaiki dirinya dan mengerjakan amal-amal saleh, orang-orang itu akan berbahagia dan gembira. Tidak ada baginya rasa takut dan sedih, baik ketika hidup di dunia atau pun di akhirat kelak. Hidup berbahagia dan gembira adalah merupakan kurniaan Allah yang sangat berharga, lebih berharga dari harta dan kekayaan yang melimpah ruah.







Al A’raf Ayat 36


 وَالَّذينَ كَذَّبوا بِآياتِنا وَاستَكبَروا عَنها أُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ ۖ هُم فيها خالِدونَ

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. “

Ayat ini menerangkan bahwa ada pula manusia yang tak mahu percaya kepada ayat-ayat Allah. Bukan saja tidak percaya, tetapi ditentangnya setiap rasul yang datang membawa ayat-ayat Allah dengan sombong dan angkuh.

Menurut anggapan mereka, mereka ini tidak layak untuk dipimpin oleh seorang rasul yang kurang kemuliaannya, kurang kekayaannya dan kurang umurnya dari mereka. Kerana bagi mereka, kedudukan mereka adalah jauh lebih mulia dari Nabi Muhammad saw yang ummiy itu. Para pembesar suku Quraisy telah dengan sombong dan takabur menentang Nabi, tidak mahu percaya kepadanya dan tidak mahu mengikutinya. Sebab mereka menganggap merekalah yang lebih berhak jadi pemimpin, seperti Abu Jahal, Abu Sufyan dan lain-lain. Mereka itu menganggap diri merela lebih mulia dari Nabi Muhammad saw.

Begitu juga halnya dengan pemimpin-pemimpin Yahudi. Mereka juga tidak mahu percaya atas kerasulan Nabi Muhammad saw. kerana nabi saw adalah bukan dari golongan Bani Israil tetapi hanya seorang nabi dari golongan Arab. Raja-raja dan pemimpin-pemimpin Majusi pun juga begitu, tidak mahu menerima kerasulan Nabi Muhammad saw. pada permulaannya kerana mereka memandang hina terhadap orang Arab. Tetapi akhirnya banyak juga di antara mereka yang masuk agama Islam, di samping banyak pula yang membangkang, ingkar, menolak sama sekali kerasulan Nabi dengan secara sombong. Ketahuilah, mereka itulah yang akan menjadi penghuni neraka buat selama-lamanya.



Al A’raf Ayat 37


فَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَو كَذَّبَ بِآياتِهِ ۚ أُولٰئِكَ يَنالُهُم نَصيبُهُم مِنَ الكِتابِ ۖ حَتّىٰ إِذا جاءَتهُم رُسُلُنا يَتَوَفَّونَهُم قالوا أَينَ ما كُنتُم تَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ ۖ قالوا ضَلّوا عَنّا وَشَهِدوا عَلىٰ أَنفُسِهِم أَنَّهُم كانوا كافِرينَ

Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka (di dunia) dari apa yang telah tersurat (bagi mereka), hingga apabila datang kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang mengambil nyawa mereka, bertanyalah malaikat itu (kepada mereka): "Manakah (makhluk-makhluk dan benda-benda) yang kamu sembah selain Allah?" Mereka menjawab: "Semuanya itu telah hilang lenyap daripada kami", dan mereKa pula menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar.’

Dalam ayat ini Allah swt. menjelaskan bahawa mengadakan dusta terhadap Allah dan mendustakan ayat-ayat-Nya adalah pekerjaan yang paling zalim. Mengada-adakan dusta terhadap Allah ialah mewajibkan yang tidak diwajibkan Allah, memutar-belitkan hukum-hukum Allah yang halal dikatakan haram, yang haram dikatakan halal, yang hak dikatakan batil, yang batil dikatakan hak.  Atau berani mengatakan bahawa Allah beranak dan bersekutu.

Mendustakan ayat-ayat Allah maksudnya ialah tidak mahu menerimanya, sengaja menolaknya, mempermainkan dan mengejeknya, atau lidahnya mengaku menerima pembahagiannya seperti yang ditulis di dalamnya tentang nasib seseorang, baik-buruknya. Walaupun perbuatan mereka termasuk yang paling zalim, namun mereka akan menerima nasibnya di dunia, nasib baik dan nasib buruk, nasib bahagia dan nasib sengsara. Firman Allah swt.:
“Kami biarkan mereka bersenang-senang sebentar kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam siksa yang keras.”
(Q.S Luqman: 24)

Ketika orang yang paling zalim itu menerima nasib yang sudah ditentukan Allah semasa hidupnya di dunia, maka tiba-tiba berakhirlah nasibnya itu kerana ajalnya sudah datang di saat malaikat maut telah datang mencabut nyawanya. Barulah timbul pula penyesalannya.

Ketika malaikat mengajukan pertanyaan kepadanya, manakah orang-orang yang kamu seru selama ini, kamu menyembah dan minta tolong kepadanya dan tidak mahu menyembah dan minta tolong kepada Allah? Panggillah mereka itu untuk menolong kamu supaya terhindar dari bahaya api neraka yang kamu hadapi ini.

Tetapi apakan daya, dengan sangat menyesal mereka menjawab: "Orang-orang yang kami sembah dan kami minta tolong kepadanya sudah hilang lenyap dari kami, tidak tahu kami ke mana perginya dan di mana tempatnya. Putuslah harapan kami akan mendapat pertolongan daripadanya." Maka dengan terus-terang mereka mengakui bahawa mereka telah jadi kafir dengan sebab menyembah dan meminta tolong kepada berhala-berhala dan pemimpin-pemimpin yang mereka persekutukan dengan Allah.

Kejadian ini adalah suatu peringatan dan ancaman Allah bagi orang-orang yang masih kafir agar berhati-hati jangan bertaklid buta saja mengikuti propaganda seseorang yang akibatnya akan membawa kepada kekafiran dan kesesatan.



Surah Al A’raf Ayat 38


 قالَ ادخُلوا في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِكُم مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ فِي النّارِ ۖ كُلَّما دَخَلَت أُمَّةٌ لَعَنَت أُختَها ۖ حَتّىٰ إِذَا ادّارَكوا فيها جَميعًا قالَت أُخراهُم لِأولاهُم رَبَّنا هٰؤُلاءِ أَضَلّونا فَآتِهِم عَذابًا ضِعفًا مِنَ النّارِ ۖ قالَ لِكُلٍّ ضِعفٌ وَلٰكِن لا تَعلَمونَ

“Allah berfirman: "Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka". Allah berfirman: "Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui".

Pada hari kiamat Allah swt. memerintahkan kepada orang-orang kafir, sebaik saja nyawa mereka bercerai dari badan maka masuklah mereka semua ke dalam neraka, bersama-sama umat-umat yang telah terdahulu, yang juga kufur dan derhaka sepertimana mereka juga,  yaitu bangsa jin dan manusia.

Ayat ini menunjukkan bahwa orang yang dimasukkan ke dalam neraka itu bukanlah semuanya dimasukkan dengan sekaligus bersama-sama. Bahkan dimasukkan seorang demi seorang dan sepasukan demi sepasukan. Ada yang dahulu, ada yang kemudian, dan masing-masing dapat menyaksikan akan yang ketibaan yang lain masuk ke dalam neraka.  

Bila mereka masuk ke dalam neraka, masing-masing akan mengata kepada yang lain serta kutuk mengutuk dan laknak melaknat mengenai agama sesat yang telah mereka anuti. Misalannya penyembah berhala akan mengutuk sesama penyembah berhala, pemeluk agama Yahudi akan mengutuk sesam a yang beragama Yahudi, pemeluk agama Nasrani akan mengutuk sesama yang beragama Nasrani, dan begitulah seterusnya. Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain yang menyebabkan mereka boleh terjebak ke dalam neraka.

Apabila telah selesai kutuk mengutuk dan laknak melaknat itu, akhirnya kaum yang baru masuk ke dalam neraka terkemudian dari mereka yang terdahulu iaitu pemimpin mereka, golongan terkemudian ini telah  mengadukan nasib mereka kepada Allah. Bahawasanya mereka telah menjadi sesat membuat segala macam kezaliman, adalah tidak lain kerana disesatkan oleh pemimpin mereka yang masuk neraka lebih dahulu dari mereka itu.

Oleh kerana itu mereka memohon supaya diberikan azab seksa yang paling hina berlipat ganda kepada pemimpin mereka itu. Sebabnya, kalau tidak kerana pemimpin mereka yang memujuk golongan terkemudian untuk mengikuti ajaran mereka, tidaklah golongan terkemudian itu menjadi sesat.

Dan permohonan mereka golongan terkemudian itu telah dijawab oleh Allah di dalam ayat ini juga. Allah mengatakan bahwa azab yang berlipat kali ganda itu telah pun berjalan dan sedang berjalan. Memanglah penghasut kepada kejahatan dan pembawa orang lain mengikuti mereka dalam kesesatan itu telah pun menerima seksaan yang tidak terhitung dari Allah. Cuma orang lain yang sama-sama ada di situ tidak mengetahuinya. Ini kerana azab seksa itu ada yang mencengkam di dalam hati mereka lebih dari yang kelihatan. Maksudnya penyesalan dan seksaan batin  yang tidak terhingga yang mereka rasai dan alami di dalam hati mereka itu amat menyeksa mereka setiap masa.





Al A’raf Ayat 39


وَقالَت أولاهُم لِأُخراهُم فَما كانَ لَكُم عَلَينا مِن فَضلٍ فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكسِبونَ

Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): "(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami". (Allah berfirman): "Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan".

Allah kata lagi di dalam ayat ini , para pemimpin yang mendengar rayuan golongan terkemudian itu kepada Allah, telah bersuara memberikan hujah dan jawaban mereka ke atas celaan itu. Kata mereka,  meskipun golongan terkemudian masuk neraka itu menjadi sesat kerana pemimpin mereka tetapi itu tidaklah bermakna mereka akan dikenakan hukuman azab yang lebih ringan dari pemimpin mereka. Kalau betul mereka kata pemimpin merekalah yang menjadi punca mereka tersesat, tetapi mereka kan ada otak untuk berfikir? kenapa mereka tidak menggunakan otak mereka sehingga mereka boleh begitu tersesat?

Sesungguhnya seruan rasul telah sampai kepada mereka semua. Kalau mereka mahu menggunakan otak mereka dan membandingkan seruan rasul dan rayuan para pemimpin mereka yang sesat itu, sudah tentulah mereka akan menemui kebenaran Allah dan tidak akan tersesat. Dan kerana kegagalan dan kesengajaan mereka tidak mahu menggunakan otak iaitu akal fikiran mereka , maka mereka tergolong di dalam golongan yang sesat. Dan kerana itu rasailah azab di atas apa yang telah mereka usahakan itu.

Azab seksaan yang ditimpakan kepada kepada golongan terkemudian itu, adalah atas hasil usaha mereka juga. Jadi sepatutnyalah mereka harus menerima azab itu dan bukannya dipindahkan kepada pemimpin mereka. Sebabnya Allah tidak akan memasukkan seseorang itu ke tempat aab yang pedih kalau bukan kerana usahanya orang itu sendiri.

Begitulah akhirnya mereka semuanya salah-menyalahkan dan sememangnya semua itu sudah tidak ada gunanya lagi, kerana mereka akan sama-sama berada dalam api neraka yang marak itu.
Firman Allah swt.:
“(Harapanmu itu) sekali-kali tidak akan memberi manfaat kepadamu di hari itu kerana kamu telah menganiaya (dirimu sendiri). Sesungguhnya kamu bersekutu dalam azab itu.”
(Q.S Az Zukhruf: 39)










Al A’raf Ayat 40


 إِنَّ الَّذينَ كَذَّبوا بِآياتِنا وَاستَكبَروا عَنها لا تُفَتَّحُ لَهُم أَبوابُ السَّماءِ وَلا يَدخُلونَ الجَنَّةَ حَتّىٰ يَلِجَ الجَمَلُ في سَمِّ الخِياطِ ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُجرِمينَ

“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.

Setelah kita ketahui betapa hebat seksaan dan laknak melaknat yang terjadi di dalam neraka, maka di dalam ayat ini Allah memberikan peringatan pula. Allah kata bahwa berdusta atas nama Allah, menambah agam dengan kehendak sendiri, menyombong diri tidak mahu menerima kebenaran akan ayat Allah, semua ini adalah perbuatan zalim dan aniaya yang paling besar, iaitu puncak segala dosa. Maka untuk mereka yang melakukan dosa ini tempatnya adalah neraka. Kesalahan dan dosa yang sebegini menyebabkan pintu langit akan tertutup untuk mereka. Bermakna mereka tidak boleh masuk ke syurga sebagaimana tidak boleh masuknya seekor unta ke dalam lubang jarum.

Di sini terdapat dua pendapat mengenai kata ‘pintu langit tidak akan terbuka untuk mereka’. Pertama, menurut Ibnu Abbas, maksudnya ialah tidak ada amalan mereka yang diterima oleh Allah. Ataupun tidak terbuka pintu langit untuk menerima amalan dan doa mereka disebabkan dosa yang telah mereka lakukan. Ada tafsir Ibnu Abbas yang lain juga menyebut bahawa pintu langit tidak terbuka untuk menerima roh mereka setelah mereka mati.

Pendapat kedua pula ialah tidak mungkin mereka masuk syurga, sebab jalan untuk kesyurga tidak mereka tempuhi. Bahkan mereka berdusta dan mereka menyombong diri untuk menerima kebenaran ayat Allah yang menuntun merek ke jalan yang selamat.

Cubalah bayangkan di dalam fikiran sisters semua, mungkin dapat seekor untuk yang sedemikian besar untuk masuk ke dalam lubang jarum yang begitu sempit yang hanya dpat dimasuki oleh seurat benang yang halus saja? Sehingga kita kalau nak cuba masukkan benang ke dalam lubang jarum itu pun sudah terkial-kial. Inikan pula seekor unta yang besar begitu.

Ini adalah sebagai peringatan kepada manusia agar jangan sekali-kali mereka menyangka bahwa untuk masuk syurga itu , amat mudah-mudah sekali. Apatah lagi bila seseorang itu tidak meletakkan Allah sebagai tujuan utama mereka hidup di dunia ini dan lebih teruk lagi mereka meletakkan pergantungan mereka kepada benda lain selain dari Allah. Allah sudah bagitahu berkali-kali bahwa menyekutukan Allah adalah puncak kezaliman yang paling besar.





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.