Sunday, March 22, 2015

Surah Al A'raf Ayat 73 - 81






Al A’raf ayat 73



وَإِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صالِحًا ۗ قالَ يا قَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ قَد جاءَتكُم بَيِّنَةٌ مِن رَبِّكُم ۖ هٰذِهِ ناقَةُ اللَّهِ لَكُم آيَةً ۖ فَذَروها تَأكُل في أَرضِ اللَّهِ ۖ وَلا تَمَسّوها بِسوءٍ فَيَأخُذَكُم عَذابٌ أَليمٌ
Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Di dalam ayat 73 sehingga 79 ini diceritakan pula tentang kisah Nabi Salih as. Allah telah mengutuskan Nabi Salih kepada kaum Thamud, atau juga dikenali dengan kaum ‘Ad yang kedua, untuk menyeru mereka supaya menyembah Allah dan melarang mereka dari menyembah berhala. Thamud ialah nama suku kabilah bangsa Arab, atau nama orang yang menurunkan suku tersebut, iaitu, Thamud bin Abir Bin Irama bin Sam bin Nuh. Dan Thamud ini saudara kepada Judais bin Abir. Kaum Thamud ini tinggal di sebuat tempat bernama al - Hijr di antara negara Hijaz dengan negeri Syam sampai ke Wadil Quaa dan sekitarnya. Nanti hari ke depan in shaa Allah kita akan sampai kepada satu surah yang diberi nama Surah Al Hijr yang akan menceritakan tentang kaum Thamud ini jugaklah ye.

Ada setengah riwayat mengatakan sebab mereka dinamakan Thamud adalah kerana tempat tinggal mereka amat sedikit airnya.  Kaum Thamud ini masih berkeluarga dengan Nabi Salih dan kerana itu pada ayat ini disebutkan, Nabi Salih itu saudara mereka. Keturunan Nabi Salih ialah Salih bin Abid bin Asif bin Masih bin Abid bin Hadzir bin Thamud.

Nabi Salih as ketika diutus menjadi Rasul kepada kaum Thamud, mereka telah diseru supaya menyembah Allah. Hendaklah mengesakan Allah dan jangan menyekutukan Allah dengan yang lain kerana tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah sahaja. Nabi Salih telah berkata kepada kaumnya, sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti dari Tuhanmu. Bukti untuk menyokong kebenaran seruanku sebagai seorang Rasul. Bukti itu berupa mukjizat, iaitu suatu perkara yang sangat luar biasa dan mencarik adat untuk dipertunjukkan kepada kamu. Dianya ialah seekor unta betina.

Kata para ulamak, unta betina yang menjadi mukjizat kebenaran Nabi Salih itu, telah keluar dari batu sebuah gunung. Dia tidak dilahirkan dengan perantaraan jantan dan betina. Dia berbentuk cukup sempurna tanpa dikandung terlebih dahulu atau dibesarkan beransur-ansur sepertimana binatang yang lain. Bahkan dia dicipta dengan serta merta yang keluar dari batu sebuah gunung.

Unta itu adlah kepunyaan Allah, bukan kepunyaan sesiapa. Ia adalah untuk menandakan kemuliaan Allah. Dan dikatakan unta betina itu telah ditetapkan oleh Allah, supaya minum bergilir dengan kaum Thamud. Sehari dikhaskan untuk minuman unta itu sahaja dan sehari yang lain pula dikhaskan untuk minum seluruh kaum Thamud.

Tetapi mereka minum di tempat yang sama, hanya berlainan hari. Dan masing-masing pihak tidak boleh minum melainkan mengikut hari gilirannya. Peraturan pembahagian air ini dibuat, kerana kekurangan air di tempat mereka. Walaupun pada hari giliran unta itu minum air, walaupun kaum Thamud tidak boleh minum air padahari itu tetapi kaum Thamud dibenarkan memerah susu unta betina itu sebagai ganti mereka minum air. Dan pada masa giliran unta itu minum, didapati  semua binatang enggan untuk minum bahkan menjauhkan diri daripada tempat air di mana unta itu minum. Ini semua menunjukkan mukjizat Nabi Salih  sebagai Rasul yang diperlihatkan oleh Alah kepada kaumnya.

Nabi Salih mengingatkan kaumnya supaya membiarkan saja unta itu makan di bumi Allah dan jangan mereka menganggunya dengan menyakitinya, atau menghalaunya atau mendekati dan membunuhnya. Kalau mereka berani menyakiti unta tersebut, pasti nanti mereka akan ditimpa malapetaka yang dahsyat dan seksa yang pedih.

In shaa Allah kita akan sambung cerita Nabi Salih dengan kaum Thamud bersama unta ini di esok hari.





Al A’raf Ayat 74

وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ عادٍ وَبَوَّأَكُم فِي الأَرضِ تَتَّخِذونَ مِن سُهولِها قُصورًا وَتَنحِتونَ الجِبالَ بُيوتًا ۖ فَاذكُروا آلاءَ اللَّهِ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ
“"Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi".

Sepertimana Nabi Hud memberikan peringatan kepada kaum ‘Ad dahulu, Nabi Salih pun juga memberi peringatan yang sama kepada Kaum Thamud. Nabi Salih mengingatkan mereka bahwa setelah kaum ‘Ad yang pertama musnah, maka mereka pulalah yang diberikan giliran oleh Allah untuk naik menjadi pengganti kaum terdahulu yang musnah untuk menjadi khalifah. Kedudukan mereka menjadi kukuh, maksudnya kekuasaan dan kesuburan tanah, dapat mengatur diri sendiri dengan baik semuanya adalah berkat kurnia Allah semata-mata.

Kemajuan yang mereka capai dalam ilmu bangunan juga adalah anugerah Allah kepada mereka.  Di atas tanah rata yang tandus mereka mendirikan mahligai-mahligai istana dan gedung-gedung yang indah. Di atas bukit pula mereka jadikan mahligai untuk tempat tinggal mereka semasa musim dingin. Di dalam surah Asy-Syu’ara ada dibayangkan betapa suburnya tanah mereka dan banyak hasil-hasil mereka setiap tahun, sehingga mereka menjadi penduduk terkaya. Maka dengan itu janganlah hendaknya sekali-kali mereka lupa akan siapakah yang memberi mereka nikmat yang banyak itu.

Tapi sayangnya nikmat kekayaan yang diberikan itu telah membuatkan mereka lupa kepada Allah. Mereka sibuk berlumba-lumba mencari kekayaan saja dan bermegah-megah dengan mahligai dan bangalow di gunung mereka itu. Timbullah pembaziran, sifat boros dan tamak sehingga nikmat Allah itu tidak lagi digunakan sebaik-baiknya, melainkan untuk memenuhi nafsu dan kehendak hati mereka sahaja.

Dalam ayat ini, kita fahami bahwa dalam negeri Thamud itu telah wujud dua golongan masyarakat. Iaitu satu golongan yang kaya dan sombong lalu tidak mahu menerima peringatan Nabi Salih, dan yang satu lagi ialah golongan yang sederhana atau miskin tetapi mahu menerima peringatan.






Al A’raf Ayat 75 Hingga 77


قالَ المَلَأُ الَّذينَ استَكبَروا مِن قَومِهِ لِلَّذينَ استُضعِفوا لِمَن آمَنَ مِنهُم أَتَعلَمونَ أَنَّ صالِحًا مُرسَلٌ مِن رَبِّهِ ۚ قالوا إِنّا بِما أُرسِلَ بِهِ مُؤمِنونَ
Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara mereka: "Tahukah kamu bahawa Soleh itu diutus dari Tuhannya?" Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang ia diutus untuk menyampaikannya". (75)


قالَ الَّذينَ استَكبَروا إِنّا بِالَّذي آمَنتُم بِهِ كافِرونَ
“Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: "Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya". (76)


فَعَقَرُوا النّاقَةَ وَعَتَوا عَن أَمرِ رَبِّهِم وَقالوا يا صالِحُ ائتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ المُرسَلينَ
Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata: "Hai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah)". (77)

Memang menjadi kebiasaan orang miskin dan orang yang menderita, selalunya mudah akan menyahut bila mereka diseru oleh para rasul kepada jalan Allah, atau diseru kepada jalan yang dapat memperbaiki nasib mereka. Malahan mereka rela menjadi pengikut setia yang sentiasa mengalami ancaman dan halangan musuh.

Tetapi bagi pembesar-pembesar dan orang yang bepengaruh dari kaum Nabi Salih itu, yang kebanyakannya sombong dan membesarkan diri, tidak mengendahkan seruan Nabi Salih. Malah dengan cara yang menyindir, mereka bertanya kepada pengikut Nabi Salih dan pengikutnya kerana mereka itu golongan misikin dan tidak berbangsa. Mereka tanya, ‘adakah kamu tahu dengan yakin dan percaya, bahwa Salih itu benar-benar diutus oleh Tuhannya kepada kami dan kepada kamu?’ Memanglah orang yang sombong sifatnya suka bertanya sambil mengejek.
Golongan miskin itu  menjawab dengan penuh yakin dan tegas, ‘memang kami yakin dan percaya apa yang dia telah diutuskan itu adalah benar. Dan kami tidak sedikit pun menaruh keraguan.’

Jawapan yang telah diberikan oleh golongan miskin itu telah membuatkan golongan kaya menjadi marah. Ini kerana sifat sombong dan membesarkan diri itu masih menguasai mereka. Jawapan golongan miskin itu adalah sebagai tentangan kepada mereka. Lalu mereka pun berkata, ‘Biarlah kamu semua golongan miskin melarat, percaya kepada seruan-seruan demikian, tetapi kami tidak percaya kepada apa yang kamu percayakan.’

Di sini jelaslah bahawa kesombongan mereka sudah sampai di puncak. Mereka menyangka bahwa mereka di dalam kebenaran kerana telah dibutakan dengan kekayaan dan kemewahan. Ayat 77 ini telah menjelaskan bagaimana buruknya sikap dan karakter mereka. Sejak dari mula lagi mereka meminta bukti kerasulan Nabi Salih sebagai rasul Allah, lalu Allah menciptakan seekor unta dari lubang batu dan dibuat janji akan memelihara unta tersebut dengan baik dan menjaga makan minum unta tersebut serta mematuhi aturan minum setiap hari.

Tetapi kerana telah dirasuk oleh kesombongan, dengan beraninya mereka telah sembelih unta itu. Mereka telah kepung unta itu bersama-sama, mereka bantai dan dagingnya mereka makan beramai-ramai. Perbuatan keji ini ada diberitahu oleh Allah di dalam firmannya:
“Maka mereka memanggil kawannya lalu kawannya menangkap (unta itu) dan membunuhnya.”
(Q.S Al Qamar: 29)

Setelah itu mereka tentang lagi Nabi Salih dengan berkata, ‘Hai Salih! Cubalah datangkan apa yang engkau ancamkan kepada kami kalau engkau benar daripada para  Rasul.’  Mereka meminta azab pula. Sombongnya mereka. Inilah suatu keruntuhan akhlak kerana hidup yang tersangat mewah.




Al A’raf Ayat 78 Dan 79

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ فَأَصبَحوا في دارِهِم جاثِمينَ
Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. “ (78)


فَتَوَلّىٰ عَنهُم وَقالَ يا قَومِ لَقَد أَبلَغتُكُم رِسالَةَ رَبّي وَنَصَحتُ لَكُم وَلٰكِن لا تُحِبّونَ النّاصِحينَ
“Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: "Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat". “ (79)

Tentu sekali Allah tidak akan membiarkan utusanNya diperkecilkan oleh kaumnya sampai begitu sekali sepertimana dalam ayat sebelum ini, tanpa mengambil tindakan sewajarnya. Di dalam ayat 78 ini disebutkan bahwa mereka kaum Thamud yang sombong telah dimusnahkan oleh azab yang berupa gempabumi. Bergoyang bumi, runtuh dan hancur segala bangunan, baik yang di tanah datar atau di lereng bukit.

Allah juga berfirman di dalam Surah Fussilat ayat 17 yang bermaksud :
“Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayah petunjuk; mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan. “

Disebutkan bahawa mereka binasa kerana mendengar suara pekikan yang sangat kuat. sehingga membuatkan perut pecah dan mereka mati kekejangan. Ini bermakna ada dua azab yang ditimpakan kepada kaum Thamud ini. Satu ialah gempa bumi. Dan satu lagi ialah azab petir.

Sebelum turunnya azab itu Nabi Salih telah memberi tempoh selama tiga hari kepada semua pengikutnya yang beriman itu untuk meninggalkan negeri tersebut. Ini ada dinyatakan Allah di dalam surah Hud ayat 65.  Allah berfirman yang bermaksud:
“Mereka kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Soleh kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan".

Setelah melihatkan berlakunya kejadian azab tersebut telah selesai, Nabi Salih bersama-sama dengan pengikutnya telah pergi semula ke negeri tersebut untuk melihat bangkai-bangkai yang bergelimpangan. Dan Nabi Salih berkata yang seolah-olahnya meratap. ‘Hai kaumku! Sesungguhnnya aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah menasihatkan kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang yang memberi nasihat.’

Kata-kata ini diucapkan tidak lain tujuannya untuk menjadi peringatan kepada mereka yang mentauladani akan kisah ini.




 Al A’raf Ayat 80 hingga 81

وَلوطًا إِذ قالَ لِقَومِهِ أَتَأتونَ الفاحِشَةَ ما سَبَقَكُم بِها مِن أَحَدٍ مِنَ العالَمينَ
Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? (80)


إِنَّكُم لَتَأتونَ الرِّجالَ شَهوَةً مِن دونِ النِّساءِ ۚ بَل أَنتُم قَومٌ مُسرِفونَ
"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas".  (81)

Pada ayat 80 hingga 84 ini, Allah menceritakan pula kisah tentang Nabi Lut  bersama kaumnya. Nabi Lut ialah anak saudara nabi Ibrahim, iaitu Lut bin Haran bin Tarikh atau Azar. Nabi Lut bukanlah tergolong dariapda para nabi kaum Bani Israel. Kedua-dua Nabi Ibrahim dan Nabi Lut ini berasal dari negeri Babilon di Iraq, kemudian keduanya telah berhijrah ke negeri Syam. Nabi Ibrahim menetap di Palestin sedang Nabi Lut pula menetap di Urdun (Jordan) dan diutus menjadi rasul kepda penduduk negeri Sadom yang terletak dekat dengan Laut Mati. Penduduk negeri Sadom itu telah diseru oleh Nabi Lut, supaya menyembah Allah dan ditegah daripada melakukan suatu perbuatan yang hina lagi keji. Tegahan itu telah diabdikan dalam ayat ini di mana Nabi Lut telah berkata kepada Kaumnya seepertimana ayat 80 yang berbunyi,
Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?”

Maksudnya Nabi Lut mencela perbuatan  kaumnya yang sangat keji dan kotor itu, kerana mereka ada melakukan hubungan jenis antara lelaki dengan lelaki dan tidak dengan perempuan. Dan cara melakukannya pula adalah menerusi jalan belakang. Ini tidak pernah dilakukan oleh seorang pun semenjak alam ini terjadi, melainkan kaum Nabi Lut itulah yang mula-mula mengadakannya dengan arahan Iblis yang menjelmakan diri menjadi seorang lelaki muda yang melacurkan dirinya, sehingga kemudian perbuatan melakukan hubungan jenis sesama lelaki itu digelarkan dengan perbuatan ‘liwat’ yang asalnya dari perbuatan kaum Lut, iaitu suatu perbuatan jenayah dan dilaknat.

Celaan Nabi Lut kepada kaumnya itu dikuatkan lagi pada ayat 81. Maksudnya ialah, kamu rupa-rupanya lebih berahi kepada lelaki untuk kamu jadikan isteri, dan lebih seronok pula melakukan hubungan jenis keapda orang yang sejenis dengan kamu daripada perempuan. Walhal orang perempuan dijadikan oleh Allah untuk menjadi pasangan kamu. Perbuatan kamu itu adalah melampaui dan melanggar batasan sebagai penceroboh.

Sesungguhnya Allah swt telah menjadikan manusia dengan dibekalkan dengan rasa keberahian atau apa yang dinamakan syahwat untuk berkelamin, gunanya ialah supaya manusia tadi dapat menghasilkan keturunannya dengan berkekalan yang tujuannya untuk meramaikan penduduk dunia ini dan memakmurkannya.

Adapun perempuan pula, adalah jenis manusia yang dijadikan Allah untuk menjadi tempat menyampaikan tuntutan syahwat berkelamin dan juga menjadi alat pengeluaran keturunan dan zuriat. Kalaulah perempuan itu ditinggalkan terbiar begitu sahaja, sebaliknya lelaki pula yang akan diguna untuk menunaikan tntutan batin, maka perbuatan itu adalah suatu pencabulan, perlanggaran dan melampaui batas. Betapa tidak? Bukankah meletakkan sesuatu buka pada tempatnya itu bererti pencabulan?

Sesungguhnya perbuatan ‘liwat’ itu adalah cabul dan kotor. Kerana di samping mencabul sesama jenis, juga pencabulan itu diarahkan di kawasan belakang tempat pengeluaran najis dan kotoran. Maka nyatalah ‘liwat’ itu perbuatan yang paling kotor.

Alangkah rendahnya akal dan budi manusia sesudah ia dianugerahkan tamaddun yang tinggi, rela pula berkeadaan lebih cemar daripada haiwan yang tidak mengenal tamadun dan kemajuan. Haiwan juga didesak oleh syahwat berkelamin, yang jantan akan mencari yang betina. 

Lihat sajalah kepada burung atau serangga lainnya, pada masa mereka memulakan hidup berkelamin, dibuatlah mula-mula sarang, diatur tempat untuk meletak dan menetaskan telur. Dipilih tempat yang aman bagi mereka tinggal berpasang-pasangan. Tetapi manusia yang menjadi hamba kepada nafsu syahwatnya, hanya mementingkan kelazatan semata-mata, bukan untuk bertugas mengekalkan keturunan dan zuriat itu, adalah dari kaum pelampau yang dikeji dalam ayat 81 ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.