Sunday, March 22, 2015

Surah Al A'raf Ayat 82 - 87






 Al A’raf Ayat 82 Hingga 84

وَما كانَ جَوابَ قَومِهِ إِلّا أَن قالوا أَخرِجوهُم مِن قَريَتِكُم ۖ إِنَّهُم أُناسٌ يَتَطَهَّرونَ
Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: "Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri". (82)

فَأَنجَيناهُ وَأَهلَهُ إِلَّا امرَأَتَهُ كانَت مِنَ الغابِرينَ
Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan. “(83)


وَأَمطَرنا عَلَيهِم مَطَرًا ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عاقِبَةُ المُجرِمينَ
Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan. “(84)

Ayat 82 telah menegaskan betapa telah sangat hancur akhlak mereka, kaum nabi Lut yang sangat degil dan sesat ini. Mereka tidak ada perasaan atau keinginan pun untuk meninggalkan tabiat keji mereka apatah lagi untuk bertaubat. Malah mereka berpakat pula sesama mereka untuk mengusir saja Nabi Lut dan pengikut Nabi Lut dari negeri mereka.

Mereka berkata bahwa biarlah mereka tinggal tetap di negeri mereka mengerjakan perbuatan yang mereka suka kerana itu adalah negeri mereka. Maka mereka boleh berbuat sesuka hati mereka. Sesiapa yang tidak suka dengan perbuatan mereka dan mahu hidup suci dan beribadat kepada Allah, bolehlah keluar saja dari negeri mereka. Dengan kata-kata ini, seolah-olah mereka memuji orang yang berbuat dosa dan berbangga kerana mereka berani melakukan maksiat. Sedang orang yang bersih daripada dosa dan maksiat, mereka keji dan mereka persenda-sendakan pula.

Kemudian pada ayat 83 Allah menyatakan pula bahwa penduduk negeri Sadom itu mestilah dimusnahkan semuanya. Melainkan orang-orang yang mengikuti perintahNya iaitu Nabi Lut dan dua orang anak perempuannya serta pengikutnya yang setia kepadanya. Mereka ini telah diselamatkan, kecuali isteri Nabi Lut. Dia termasuk daripada golongan yang dibinasakan, kerana tidak mahu beriman bahkan mengkhianati suaminya disebabkan ia memihak kepada musuh yang kufur itu.

Allah menerangkan juga bencana yang memusnahkan kaum Lut itu, sepertimana disebut di dalam ayat 84, bahwa mereka telah dihujani dengan batu, yang berasal daripada batu api neraka.  Terjadinya hujan dariapda batu ini, mungkin disebabkan oleh angin ribut yang menerbangkan batu batan ke atas mereka. Ataupun batu-batan yang berterbangan dari lain-lain bintang, oleh kekuatan penarikan bumi pada masa bintang itu beredar mendekati bumi. Oleh kerana terlampau kuat penarikan bumi, hingga batu batan yang berterbangan itu terbakar dan menyala.

Jika kejadian itu berlaku pada malam hari, akan jelaslah ia kelihatan di langit sebagai bintang yang berjalan terllau laju dan adakalanya kelihatan seperti berekor. Mana yang tidak terbakar akan jatuh ke bumi pada masa jatuhnya menimbulkan suara yang dahsyat. Batu batan yang berterbangan dari bintang ke bumi atau dinamakan juga tahi bintang ini, ada yang pernah dijumpai orang dan disimpan di dalam muzium.

Pada akhir ayat 84 ini, Allah menyuruh kita sekalian, supaya mengambil iktibar daripada kisah kaum Lut yang berdosa lagi durjana itu. Kesudahan mereka telah binasa dan pupus semuanya sebagai seksaan di dunia dan akan menanti pula seksaan di akhirat.  Allahu Akbar!

Mengenai perbuatan liwat yang dilakukan oleh kaum Lut itu terdapat perselisihan antara ulama fikih tentang hukumannya sebagai berikut:
1. Imam Abu Hanifah berpendirian bahawa pelakunya dijatuhkan dari tempat yang tinggi kemudian diiringi dengan lemparan batu. Tetapi menurut suatu riwayat pelakunya hanya ditakzir diberi hukuman supaya jera baik yang telah berkahwin mahupun yang belum berkahwin.
2. Imam Malik memandang bahawa pelakunya direjam (baik teruna/pernah kawin atau pun tidak). Demikian juga terhadap objek jika telah dewasa. Tetapi menurut suatu riwayat terhadap yang teruna dikenakan hukum takzir.
3. Imam Syafi'i menerangkan bahawa pelakunya direjam baik teruna atau tidak. Menurut suatu riwayat pelakunya direjam jika ia berkahwin. Dan jika teruna didera sebanyak seratus kali.
4. Imam Ahmad memandang bahwa pelakunya keduanya dibunuh.
5. Pendapat sebagian sahabat Nabi, seperti Abu Bakar, Ali, Ibnu Zubair, pelakunya dibakar.




Al A’raf Ayat 85 

وَإِلىٰ مَديَنَ أَخاهُم شُعَيبًا ۗ قالَ يا قَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ قَد جاءَتكُم بَيِّنَةٌ مِن رَبِّكُم ۖ فَأَوفُوا الكَيلَ وَالميزانَ وَلا تَبخَسُوا النّاسَ أَشياءَهُم وَلا تُفسِدوا فِي الأَرضِ بَعدَ إِصلاحِها ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَكُم إِن كُنتُم مُؤمِنينَ
Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: "Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.

Pada ayat 85 sehingga 87 diceritakan pula tentang Nabi Syu’aib  bersama kaumnya. nabi Syu’aib telah diutuskan oleh Allah kepada kaum Madyan, iaitu suatu kaum bangsa Arab keturunan Nabi Ibrahim as terletak di antara Semenanjung Sinai dengan teluk Aqabah.

Menurut para Ahli Taurat, Nabi Syu’aib ini adalah Syu’aib bin Saifun bin Ifa bin Nabit bin Madyan bin Ibrahim. Dan namanya dalam bahasa Siryani ialah Yatrun  dan juga disebut sebagai Rauil, ertinya orang yang benar-benar beribadat kepada Allah. Ibu Syu’aib ialah Mikil binti Lut. Adalah diriwayatkan bahawa Nabi Syu’aib itu berkeadaan buta matanya, namun dia telah digelarkan sebagai ahli pidato para nabi, kerana pandainya memujuk kaumnya. Allah mengutuskan menjadi nabi kepada Ahli Madyan dan juga kepada Ashabu Al-Aikah.

Dalam ayat 85 ini, dapat difahami bahwa Nabi Syu’aib adalah diutuskan oleh Allah untuk menyeru kaumnya supaya menyembah Allah, meyuruh kepada kebaikan dan meninggalkan segala kejahatan, sama seperti nabi-nabi yang terdahulu. Hanya pada Nabi Syu’aib tidak diterangkan apakah mukjizat yang ada padanya seprtimana Nabi Salih yang dianugerahkan mukjizat seekor unta betina. Namun demikian tidaklah semestinya Nabi Syu’aib itu dianggap tidak mempunyai mukjizat hanya kerana ia tidak disebutkan di dalam Al Quran. Tetapi yang jelas dalam ayat 85,  kata-katanya yang berbunyi, “Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu.” adalah sebagai bukti mukjizat.

Oleh kerana nabi Syu’aib mendapati kaumnya tidak jujur dalam menyukat dan menimbang barang, dilakukan yang demikian itu hendak menguntungkan diri sendiri dan merugikan orang lain, maka mereka telah dinasihati supaya mencukupkan sukatan dan timbangan, jangan mengurangi, kerana perbuatan itu bererti telah menganiaya hak milik orang lain.

Allah telah mengatur dengan baik keadaan hidup manusia di muka bumi ini. Ada diberikan panduan hidup yang cukup diberi akal dan fikiran yang sihat, didatangkan kepada mereka rasul, ahli-ahli fikir dan mengajak berbudi pekerti yang mulia. Membimbing manusia supaya berusaha dalam lapangan pertaniah, perusahaan, perniagaan dan lainnya agar memberikan sepenuh perkhidnatan kepada umat manusia. Inilah yang dinamakan islah atau perbaikan di muka bumi. Maka janganlah dirosakkan dan dibinasakan iaitu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan tujuan islah atau perbaikan itu.

Semua yang disebutkan tadi adalah merupakan suruhan dan tegahan, adalah lebih baik kerana dapat menjamin manusia dalam urusan agama dan urusan dunia. Kerana Tuhan tidak mehyuruh melainkan suruhanNya itu pasti mendatangakan faedah dan manafaat dan Tuhan tidak pula menegah melainkan tegahanNya itu pasti ada mengandungi bahaya dan mudharat. Dan ini benar-benar dapat dirasakan kalau seseorang itu mahu beriman dan percaya kepada Allah dan rasulNya.



Al A’raf Ayat 86

وَلا تَقعُدوا بِكُلِّ صِراطٍ توعِدونَ وَتَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ مَن آمَنَ بِهِ وَتَبغونَها عِوَجًا ۚ وَاذكُروا إِذ كُنتُم قَليلًا فَكَثَّرَكُم ۖ وَانظُروا كَيفَ كانَ عاقِبَةُ المُفسِدينَ
"Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang yang beriman dari melalui jalan Allah, dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkok terpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berbuat kerosakan.

Dalam ayat ini, Nabi Syu’aib telah menyampaikan tugasnya kepada kaumnya, iaitu:
1. Melarang mereka jangan duduk-duduk di merata-rata jalan dengan tujjuan untuk menakut-nakutkan orang yang berjalan atau mengugut keselamatan mereka. Sebab mereka selalu membuang-buang masa dengan berbuat demikian di tepi-tepi jalan sebagai petualang.
2 . melarang mereka jangan menghalangi orang yang hendak beriman dengan Allah dan rasulNya. Sebab pada masa mereka berada di tepi jalan itu mereka telah menabur fitnah terhadap Nabi Syu’aib sebagai pembohong, tidak boleh dipercayai dan boleh menyesatkan orang. Tujuan mereka ialah supaya tidak ada orang yang mahu beriman dengan Nabi Syu’aib.
3 . Mencela perbuatan mereka, kerana hendak menjadikan orang-orang yang menempuh jalan Allah yang lurus itu supaya menyeleweng kepada jalan yang sesat.
4 . menyuruh mereka agar mengenangkan nikmat Allah yang dikurniakan kepada mereka. Mereka yang mengikut jalan Allah pada mulanya bilangan mereka adalah sedikit tetapi kemudian menjadi ramai. Dan ada juga yang dahulunya miskin dan menjadi kaya setelah beriman kepada Allah. Ada juga yang dahulunya lemah tetapi stelah itu menjadi kuat.
5 . mereka diseru, supaya mengambil contoh dan tauladan dengan memerhatikan akibat umat-umat yang terdahulu seperti umat Nabi Nuh, kaum ‘Ad dan kaum Thamud. Mereka itu telah pun dibinasakan dan dimusnahkan oleh Allah dari muka bumi, kerana perbuatan mereka yang syirik, ingkar dan derhaka kepada Allah serta membuat bencana pula di muka bumi. Dengan mengambil tauladan itu, moga-moga mereka terselamat di dunia dan di akhirat.




Al A’raaf Ayat 87

وَإِن كانَ طائِفَةٌ مِنكُم آمَنوا بِالَّذي أُرسِلتُ بِهِ وَطائِفَةٌ لَم يُؤمِنوا فَاصبِروا حَتّىٰ يَحكُمَ اللَّهُ بَينَنا ۚ وَهُوَ خَيرُ الحاكِمينَ
“"Dan jika ada segolongan dari kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak beriman, maka sabarlah sehingga Allah menjalankan hukumNya di antara kita semua, dan Dia lah jua sebaik-baik hakim".

Nabi Syu’aib telah memberi kata dua kepada kaumnya, iaitu jika sebahagian kamu mahu mempercayai akan perutusan yang aku bawa, maka hendaklah mentaati Allah dengan setulus-tulusnya, jauhilah maksiat dan jangan menganiaya orang dengan jalan menipu sukatan dan timbangan, bahkan ikutlah segala pengajaranku.

Dan kepada sebahagian kamu yang tidak mahu percaya dan beriman, bahkan berterusan juga di dalam syirik dan berbuat bencana, maka tunggulah saja sehingga Allah akan menimpakan azab dan seksaNya sebagai hukuman untuk menyelesaikan pertikaian antara kita. Kerana Allah itu sebaik-baik hakim yang terlebih adil dalam menjalankan perbicaraan dan menjatuhkan hukuman.

Alhamdulillah … kita selesai khatam juzuk ke 8.  Besok kita akan mula masuk ke juzuk ke 9 pula ye.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.