Monday, October 26, 2015

Surah Al Hajj Ayat 16 - 36





Al Hajj Ayat 16 Hingga 18

وَكَذَلِكَ أَنزَلْنَاهُ ءَايَاتٍ بَيّـِنَاتٍ وَأَنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يُرِيدُ
16 - Dan demikianlah pula Kami menurunkan Al-Quran itu sebagai ayat-ayat keterangan yang jelas nyata; dan sesungguhnya Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan dan undang-undangNya). 

إِنَّ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَالَّذِينَ هَادُوا وَالصَّابِئِينَ وَالنَّصَاري وَالْمَـجُوسَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا إِنَّ اللَّهَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّ اللَّهَ عَلَي كُلّ‌ِ شَيْءٍ شَهِيدٌ
17 - Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik, sesungguhnya Allah akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

 أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَسْجُدُ لَهُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الاَرْضِ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ وَالنُّجُومُ وَالْجِبَالُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَآبُّ وَكَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ وَكَثيرٌ حَقَّ عَلَيْهِ الْعَذَابُ وَمَن يُهِنِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِن مُكْرِمٍ إِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يَشَآءُ
18 -  Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya.

Allah telah menurunkan Al Quran, semuanya merupakan keterangan-keterangan yang jelas, serta mengandungi penuh makna dan erti. Namun yang akan beroleh petunjuk ialah orang yang dikehendakiNya saja. Dapatlah dilihat dan dibuktikan sendiri, ramai orang yang dapat memahami Al Quran tetapi tidak mendapat hidayahNya. Ada pula orang yang baru beberapa kali mendengar orang membacakan AlQuran, dia pun tertarik lalu beriman.

Maksud orang beriman dalam ayat 17 ini ialah orang yang telah mengaku beriman kepada Allah, dan rasulnya, Nabi Muhammad saw dan beriman kepada wahyu yang diturunkan kepda Nabi Muhammad saw. Dalam erti kata lain orang yang telah memeluk Islam sebagai agamanya.

Orang-orang Yahudi pula adalah orang yang percaya kepada Nabi Musa as dan saudaranya Nabi Harun as, dan yang mengakui Yahudi itu masih ada sampai sekarang. Manakala orang ‘Sabein’ pula adalah orang yang meninggalkan agama dan kepercayaan karut nenek moyang mereka. Ini telah dijelaskan terdahulu pada ayat 62 Surah Al Baqarah.

Orang Nasrani adalah golongan yang mendakwakan Nabi Isa sebagai anak Allah. Manakala orang Majusi adalah golongan yang menjadi penyembah api, matahari dan bulan.

Kesemua golongan yang disebutkan di dalam ayat 17 ini, Allah bagitahu bahwa Allah akan menghukum dan membicarakan tiap-tiap mereka di atas apa yang telah mereka kerjakan selama hayat mereka di dunia. Kelak mereka akan ditempatkan di tempat yang sesuai dan tingkah laku mereka akan disaksikan oleh Allah. Allah akan memberikan hukuman yang seadil-adilnya kepada mereka. Di mana orang yang beriman akan dimasukkan ke dalam syurga manakala mereka yang kufur akan dihumbankan ke dalam neraka.

Sesungguhnya seluruh alam ini patuh dan sujud kepada Allah, samada langit ataupun bumi. Dan samada penduduk langit,seperti malaikat, mahupun penduduk bumi seperti bangsa manusia dan jin. Makna asal dari sujud ialah tunduk, atau patuh menuruti apa yang ditentukan oleh yang ditunduki dan dipatuhi itu. Semua mereka makhluk Allah ini samada mereka tunduk, taat dan beribadat kepada Allah ataupun tunduk menyembah secara menghambakan diri dengan patuh kepada perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Beginilah caranya bagi benda-benda menyembah Allah seperti matahari, bulan,bintang, gunung dan pohon-pohon kayu serta binatang yang melata di mukabumi.

Semuanya tunduk kepada kekuasaan Allah dan patuh mengikut kehendak Allah. Mahu atau tidak mahu. Kerana mereka semua ini adalah berhajat kepada Allah dan bergantung kepada Allah. Allah lah yang menjadikan mereka dan dengan hikmahNya makhluk-makhluk itu menjadi kekal, sehingga sampai masanya nanti akan dibinasakan.

Allah menjelaskan lagi bahwa ramai manusia yang menyembah Allah dengan mentaatiNya. Tetapi ramai juga manusia yang kufur, tidak mahu menyembah dan mentaatiNya. Oleh itu, layak benarlah kalau orang-orang yang kufur itu menerima seksaan yang pedih. Mereka akan dihinakan oleh Allah. Nasib mereka menjadi celaka kerana buruk persediaannya, maka tiada siapa pun yang akan memuliakannya.

Sesungguhnya Allah akan berbuat sekehendaNya, samda memuliakan seseorang itu dengan mendapat kebahagiaan ataupun menghinakannya dengan mendapat nasib yang celaka pada hari penentuan nanti.

Sisters,
Pada ayat ini sangat-sangat disunatkan untuk sujud tilawah bagi yang membaca dan mendengarkan ayat ini.







Al Hajj Ayat 19 Hingga 23
 هَذَانِ خَصْمانِ اخْتَصَمُوا فِي رَبّـِهِمْ فَالَّذِينَ كَفَرُوا قُطّـِعَتْ لَهُمْ ثِيَابٌ مِن نَّارٍ يُصَبُّ مِن فَوْقِ رُءُوسِهِمُ الْحَمِيمُ
19 - Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak,

يُصْهَرُ بِهِ مَا فِي بُطُونِهِمْ وَالْجُلُودُ
20 - Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka.

وَلَهُم مَّقَامِعُ مِنْ حَدِيدٍ
21 - Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. 

كُلَّمَآ أَرَادُوا أَن يَخْرُجُوا مِنْهَا مِنْ غَمٍّ اُعِيدُوا فِيهَا وَذُوقُوا عَذَابَ الْحَرِيقِ
22 - Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa yang membakar!" 

إِنَّ اللَّهَ يُدْخِلُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الاَنْهَارُ يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَلُؤْلُؤاً وَلِبَاسُهُمْ فِيهَا حَرِيرٌ 
23 - Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera.

Orang-orang mukmin disifatkan sebagai golongan yang percaya kepada Allah Yang Maha Esa dan menyembah hanya Allah saja tidak ada yang lain untuk disembah selain Allah. Manakala golongan lain, iaitu golongan Yahudi, Nasrani, Majusi, Sabein dan orang-orang yang menyembah benda lain selain dari Allah adalah dikategorikan ke dalam golongan kufur. Golongan ini percaya juga kepada Allah sebagai Tuhan mereka tetapi dalam masa yang sama disekutukanNya dengan yang lain.

Kedua golongan ini, golongan mukmin dan golongan kufur telah berbantah-bantahan mengenai agama Allah. Masing-masing percaya bahwa mereka lah yang benar sedangkan golongan lain adalah salah. Masing-masing menegakkan fahaman masing-masing.

Lalu Allah menyebutkan kesudahan bagi tiap-tiap golongan dan pembalasan yang akan diterima. Golongan kafir akan disediakan bagi mereka api yang akan mengelilingi mereka seolah-olahnya seperti baju yang mereka pakai meliputi keseluruh tubuh badan mereka. Seterusnya, mereka juga akan disiramkan air panas yang menggelagak di atas kepala mereka. Dan akan melecurlah segala isi perut mereka dan kulit mereka turut terbakar, kesan dari api neraka itu yang membakar di dalam dan di luar tubuh mereka.

Apabila kita bayangkan pakaian api yang dikenakan ke tubuh dan air panas menggelegak yang disiramkan ke atas kepala, lalu hancur lebur semua isi perut, pastilah akan terasa kengerian di dalam hati bagi sesiapa yang menyekutukan Allah. Allahu rabbi!

Di sinilah ahli-ahli sufi dan para ulamak terus saja beriman pada Al Quran dengan tidak banyak takwil lagi. Mereka terus menguatkan kepercayaan bahwa nikmat syurga atau azab neraka akan pasti dirasakan oleh manusia bukan sekadar rohani saja, malah bersifat jasmani juga.

Tak habis dengan itu, Allah sambung lagi peringatan dan ancaman yang ngeri di dalam ayat 21. “Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. “  Kita tahu bahwasanya ketika hidup di dunia ini kalau kita mendapat satu malapetaka besar, misalnya kita disiram minyak petrol lalu terbakar, atau kepala kita tersiram air panas hingga kulit menggelupas, kepedihan malapetaka dan azab sengsara dari musibah ini hanya akan hilang bila kita mati. Bila datangnya maut.

Tetapi di akhrat nanti, kita tidak akan mati. Kerana mati itu sudah tidak ada lagi. Sebab itulah penderitaan di dalam neraka tidak putus-putus akan dirasakan penghuninya. Bila kulit kita hancur, maka Allah akan sediakan dan  gantikan dengan kulit yang baru untuk dihancurkan lagi, dan lagi, dan lagi….  sehinggalah gantian kulit itu juga akan dirasakan sebagai azab juga. Allahu rabbi!!!

Ahli neraka juga akan diseksa dengan disebat dengan cemeti dari batang-batang besi yang akan mengenai kepala dan muka mereka. Mereka tidak dapat melarikan diri. Kerana setiap kali mereka hendak melarikan diri, merreka akan direntap dengan sekuat-kuatnya.

Setiap kali mereka hendak cuba melarikan diri untuk keluar dari neraka Jahanam kerana tak tahan dengan seksaan yang dikenakan, setiap kali itu jugalah mereka akan direntap masuk kembali ke dalam neraka dan dibelasah dengan cemeti yang diperbuat dari besi. Pada ketika itulah malaikat akan berkata, ‘ rasakanlah seksaan api neraka yang membakar isi perut kamu.’

Sesudah menerangkan azab seksaan yang amat ngeri, kejam dan seram itu, Allah pun menunjukkan jalan keluar. Bahwa azab seperti itu tidak akan menimpa kepada diri orang yang beriman. Orang-orang yang beriman dan beramala saleh ini akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh kenikmatan, yang di bawahnya mengalir sungai-sungai.

Mereka akan diberikan perhiasan yang indah, seperti gelang-gelang dari emas, mahkota yang bertahtakan permata dan mutiara yang indah. Mereka juga akan disediakan pakaian sutera yang indah.








Al Hajj Ayat 24

وَهُدُوا إِلَي الطَّيّـِبِ مِنَ الْقَوْلِ وَهُدُوا إِلَي صِرَاطِ الْحَمِيدِ
24 - Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat Terpuji.

Orang-orang yang beriman yang dijanjikan syurga ini mereka akan dipimpin ke jalan yang terpuji. Yang menjadikan segala tutur kata dan perbuatan mereka diredhai Allah dan juga terpuji di kalangan masyarakat dan sanak saudara mereka yang ada di dalam syurga disebabkan oleh baiknya pergaulan mereka.







Al Hajj Ayat 25

 إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ الَّذِي جَعَلْنَاهُ لِلنَّاسِ سَوَآءً الْعَاكِفُ فِيهِ وَالْبَادِ وَمَن يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍ بِظُلْمٍ نُذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
25 - Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (ugama Islam), dan dari memasuki Masjid Al-Haraam (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) - sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.

Dalam ayat ini Allah menyebutkan pula tentang pekerti orang-orang yang kufur di kalangan para musyrikin Mekah. Mereka tidak mahu mengesakan Allah dan mendustakan rasulNya, dan menolak agama Islam yang dibawa oleh baginda. Mereka telah menghalang orang-orang yang hendak memeluk Islam dan menyekat kemasukan orang-orang Islam ke dalam Masjidil Haram, masjid yang suci yang Allah jadikan tempat untuk beribadat untuk semua orang dengan hak yang sama.

Maka bagi orang-orang yang kufur ini akan disediakan seksa yang pedih. Seksaan yang akan dikenakan terhadap mereka itu adalah sama seperti seksaan ke atas sesiapa saja yang melanggar larangan di dalam Masjidil Haram atau di Tanah Haram, walaupun hanya memaki seseorang khadam. nescaya Allah akan menyeksa semua di akhirat kelak.







Al Hajj Ayat 26 Hingga 28

 وَإِذْ بَوَّأْنَا لإِبْرَاهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَن لاَّ تُشْرِكْ بِي شَيْئاً وَطَهّـِرْ بَيْتِيَ لِلطَّآئِفِينَ وَالْقَآئِمِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ
26 - Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang). 

وَأَذّ‌ِن فِي النَّاسِ بِالْحَجّ‌ِ يَأْتُوكَ رِجَالاً وَعَلَي كُلّ‌ِ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلّ‌ِ فَجٍّ عَمِيقٍ
27 - "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. 

 لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُم مِن بَهِيمَةِ الاَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَآئِسَ الْفَقِيرَ
28 - "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

Allah menyuruh diingatkan kembali awal mulanya rumah suci iaitu kaabah itu didirikan. Allah memerintahkan Nabi Ibrahim mendirikan rumah tempat beribadat kepada Allah yang pertama di dunia ini. Sisters boleh rujuk surah Ali Imran ayat 96 dan 97 berkenaan dengan perkara ini. Rumah suci ini didirikan adalah semata-mata untuk menegakkan akidah keesaan Allah dan bukannya untuk menyeleweng kepada yang lain, bukan juga untuk membuat pujaan yang lain. Rumah suci ini adalah sebagai kiblat tempat menghadap semasa mendirikan sembahyang dan menjadikan tempat untuk orang mengerjakan tawaf, mengelilingi kaabah untuk menunaikan haji.

Allah memerintahkan kepada Nabi Ibrahim janganlah kiranya Allah hendak disekutukan dengan sesuatu benda lain ketika mengerjakan ibadat di sana nanti. Maka hendaklah kaabah ini dibersihkan dariapda dinodai iaitu dengan menghapuskan semua patung-patung dan berhala, supaya sesiapa yang beribadat nanti akan bebas mengerjakan tawaf dan sembahyang tanpa dipengaruhi oleh syirik.

Allah juga menyuruh Nabi Ibrahim menyeru sekalian manusia dan memanggil mereka untuk datang ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji dan ziarah di tempat suci tersebut. Jika seruan itu telah dilakukan, nescaya akan datanglah ke sana orang-orang yang menyahut seruan Nabi Ibrahim. Mereka ini ada yang datang dengan berjalan kaki dan ada pula yang menunggang kenderaan dari jenis unta dan sebagainya yang kelihatannya kurus, kerana terlampau penat sebab sudah lama di dalam perjalanan, datangnya dari ceruk rantau dan negeri-negeri yang jauh-jauh.

Mereka semua ini akan datang menyahut seruan Nabi Ibrahim untuk menyaksikan faedah atau pun keuntungan yang akan mereka perolehi di dunia iaitu merupakan perniagaan dan perkenalan di antara satu bangsa dengan bangsa yang lain yang sesama agama dengan mereka. Dan keuntungan akhirat pula ialah pahala, kerana mereka telah beramal dengan ibadat yang diredhai Allah. Mereka memuji Allah di atas nikmat yang tidak putus-putusnya dikurniakan kepada mereka, dan kuniaan rezeki berupa binatang ternak, seperti kambing, lembu dan unta.

Binatang-binatang ini mereka sembelih dan mereka korbankan pada hari-hari tertentu iaitu pada hari raya korban dan tiga hari Tasyirik. Semasa menyembelih korban-korban itu Allah menyuruh mereka agar menyebutkan nama Allah. Lalu makanlah dagingnya, dan berilah pula makan daging korban itu kepada para fakir miskin yang berhajat kepada bantuan.

Suruhan makan daging korban itu hukumnya harus, sedangkan pada zaman jahiliyah dahulu adalah dilarang. Maka Allah menyuruh supaya menyalahi adat jahiliyah itu.

Dengan itu para ulamak, sepakat mengatakan bahawa memakan daging korban hukumnya harus bagi yang berkorban jika dengan niat “tatauwu” iaitu sunat semasa menyembelihnya.    







Al Hajj Ayat 29 Hingga 30

 
ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ
29 - "Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu". 

ذَلِكَ وَمَن يُعَظّـِمْ حُرُمَاتِ اللَّهِ فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ عِندَ رَبّـِهِ وَاُحِلَّتْ لَكُمُ الاَنْعَامُ إِلاَّ مَا يُتْلَي عَلَيْكُمْ فَاجْتَنِبُوا الرّ‌ِجْسَ مِنَ الاَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ
30 -  Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta, -

Apabila selesai mengerjakan ibadah haji hendaklah mereka membersihkan diri daripada kekotoran yang ada di badan mereka. Maksudnya di sini bertahalul, iaitu keluar dariapda menanggung pakaian ihram, dengan bercukur atau menggunting rambut, dan juga membersihkan bulu-bulu seperti mencukur misai, mencukur bulu ari-ari, bulu ketiak dan mengerat kuku. Lalu memakai pakaian biasa. Kerana orang yang mengerjakan haji akan kelihatan rambutnya akan menggerebang dan berdebu sekiranya tidak dibersihkan.

Selepas bertahalul mereka dibernarkan melakukan perkara yang dahulunya diharamkan semasa ihram. Hendaklah juga mereka tunaikan nazar (membayar niat) yang mana telah mereka niatkan dariapda pekerjaan kebajikan, supaya kewajipan itu gugur. Umpamanya bernazar hendak mengerjakan haji atau bernazar hendak menghadiahkan korban unta, lembu atau kambing pada musim haji.

Setelah selesai melontar di jamratul aqabah di Mina, hendaklah segera ke Mekah untuk mengerjakan tawaf sebagai sebahagian dari rukun haji. Inilah yang dinamakan tawaf Ifadhah sepertimana yang disebutkan di dalam surah Al Baqarah ayat 198 dan 199. Tawaf ini dilakukan pada hari raya korban.

Demikianlah peraturan haji telah diatur oleh Allah sendiri, semuanya itu adalah ibadah yang banyak sangkut pautnya dengan syariat Islam. Juga banyak bersangkut paut dengan sejarah Islam. Selama mengerjakan haji itu ada beberapa peraturan dan larangan yang kalau dilanggar akan dikenakan denda yang dipanggil dam. Jemaah haji hendaklah memakai pakaian ihram. Kepala tidak boleh ditutup, muka dan tapak tangan perempuan mesti terbuka. Para jemaah haji tidak boleh berburu dan sebagainya lagi peraturan-peraturan yang berkaitan dikenakan. Maka barangsiapa yang mematuhi peraturan dan larangan tersebut, maka mereka akan diterima baik dan disenangi Allah.

Allah menghalalkan keapda manusia memakan daging binatang ternak yang telah disembelih, seperti unta, lembu atau kerbau dan kambing. Kecuali yang ada dibacakan oleh Allah kepada manusia dalam surah Al Maidah ayat 3 tentang 10 perkara yang diharamkan kepada manusia untuk memakannya. Sisters boleh rujuk ayat tersebut untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi ye.

Lalu Allah ulang lagi di dalam ayat 30 agar manusia menjauhi syirik, iaitu pekerjaan menyembah berhala. Perbuatan itu seolah-olahnya orang yang menyembah berhala itu adalah berlumuran dengan kekotoran dan najis. Allah juga melarang manusia berbohong dan berkata-kata dusta serta palsu. Yang mana perkara yang halal dikatakannya haram. Manakala perkara haram didakwakannya halal.   







Al Hajj Ayat 31 Hingga 33

حُنَفَآءَ لِلَّهِ غَيْرَ مُشْرِكِينَ بِهِ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَكَاَنَّمَا خَرَّ مِنَ السَّمآءِ فَتَخْطَفُهُ الطَّيْرُ أَوْ تَهْوي بِهِ الرّ‌ِيحُ فِي مَكَانٍ سَحِيقٍ
31 - (Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).

ذَلِكَ وَمَن يُعَظّـِمْ شَعَآئِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَي الْقُلُوبِ
32 - Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

 لَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ إِلَي أَجَلٍ مُسَمًّي ثُمَّ مَحِلُّهَآ إِلَي الْبَيْتِ الْعَتِيقِ
33 - Kamu beroleh berbagai-bagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu hingga ke suatu masa yang tertentu (bagi menyembelihnya); kemudian waktu menyembelihnya ketika sampai di tanah haram Baitullah yang tua sejarahnya itu.

Allah memerintahkan agar setiap orang yang mengerjakan ibadah haji itu haruslah dengan ikhlas kerana Allah. Tidak menyekutukan dengan benda-benda yang lain. Kerana telah kita ketahui sejak mula bahwa segala ibadat yang kita kerjakan itu dan kaabah yang Nabi Ibrahim dirikan itu adalah semata-mata untuk menyembah Allah. Syirik kepada Allah adal satu perkara yang amat berat dan besar sekali. Kerana dosa mensyirikkan Allah itu tidak akan ada keampunannya kecuali dengan bertaubat yang sebenar-benarnya dan kembali ke pangkuan jalan Islam yang sebenar.

Orang yang mensyirikkan Allah diibaratkan Allah sebagai orang yang terjatuh dari tempat yang sangat tinggi, paling tinggi ialah langit, lalu ia disambar oleh burung untuk dijadikan mangsa dengan disiat-siat dagingnya sehingga berkecai-kecai, lalu diterbangkan angin ribut sehingga melayang-layang ke tempat yang jauh, tidak ada harapan untuk menyelamatkannya.  

Begitulah nasib orang yang menyekutukan Allah. Padahal yang lain selain Allah adalah kejadian alam yang lemah belaka. Tidak berkuasa apa-apa pun. Tetapi sebaliknya manusia sanggup pergi menggantungkan harapan dan penghargaan kepada yang bukan tempatnya.

Sya’airullah, ataupun syiar-syiar Allah maksudnya ialah melakukan berbagai upacara di tempat-tempat tertentu dengan ketetapan Allah. Umpamanya tawaf di baitullah, wukuf di padang Arafah, berhenti sebentar di masjidil Haram atau di Muzdalifah, penyembelihan korban dan melontar jamrah dan sebagainya lagi yang berkaitan dengan ibadah haji, itu semua adalah syiar yang ditetapkan Allah. Sekiranya semua upacara-upacara mengerjakan haji ini disempurnakan menurut aturan yang ditetapkan dengan betul, maka Allah akan tambahkan ketaqwaan di dalam diri kita. Itulah yang menyebabkan haji kita menjadi mabrur.

Binatang-binatang yang dibawa sebagai tunggangan semasa melakukan haji, bolehlah diperah susunya untuk minuman. Dan bila sampai hari penyembelihan, bolehlah ia dijadikan sebagai binatang korban untuk dimakan sebahagian dari dagingnya dan sebahagiannya pula disedekahkan.

Penyembelihan itu bukanlah dilakukan di hadapan kaabah sepertimana kaum jahiliyah lakukan. Penyembelihan itu boleh dilakukan di mana-mana saja tempat di Tanah Haram. Ia dilakukan sebaik saja selesai mengerjakan wuquf dan setelah melontar di jamratul aqabah. Pada waktu itu sudah tahallul iaitu sudah halal kembali apa yang diharamkan sebelumnya. 





Al Hajj Ayat 34 Hingga 35

وَلِكُلّ‌ِ اُمَّةٍ جَعَلْنا مَنسَكاً لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَي مَا رَزَقَهُمْ مِن بَهِيمَةِ الاَنْعَامِ فَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا وَبَشّـِرِ الْمُـخْبِتِينَ
34 - Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat - 

الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَالصَّابِرِينَ عَلَي مَآ أَصَابَهُمْ وَالْمُقِيمِي الصَّلاَةِ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
35 - Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.

Upacara menyembelih korban adalah sebhagian daripada ibadat. Ibadah korban ini bererti menumpahkan darah binatang untuk mendekatkan dirinya kepada Allah dan ingin mencari keredhaan Allah. Allah memerintahkan kepada orang-orang yang melakukan ibadat korban itu agar mereka menyebut dan mengagungkan nama Allah semasa menyembelih binatang korban itu, dan agar mereka mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Di antara nikmat Allah itu ialah berupa binatang ternak, seperti unta, lembu, kambing dan sebagainya yang merupakan rezeki dan makanan yang halal bagi mereka. Dari ayat 35 ini difahamkan bahawa Allah melarang kita mengagungkan nama apapun selain daripada nama Allah.

Orang-orang yang menyebut nama Allah ini, apabila disebutkan saja nama Allah di hadapan mereka maka gemetarlah hati mereka, kerana merasakan kebesaran dan kekuasaan Allah. Mendengar nama Allah itu saja akan terus timbul rasa harap dan takut dalam hati mereka. Mereka berharap akan keredhaan Allah, berharap akan keampunan dari Allah dan juga berharap akan pahala yang disediakan Allah bagi orang yang bertaqwa.

Mereka sangat-sangat berharap agar diri mereka dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. Mereka takut mendengar nama Allah, kerana mereka belum mempunyai persiapan yang cukup untuk menghadap Allah, seperti ibadat yang mereka kerjakan, perbuatan baik dan jihad yang telah mereka lakukan, semuanya itu dirasakan mereka masih belum cukup. Kerana itu mereka takut kepada seksaan Allah, sebagaimana seksaan yang akan ditimpakan kepada orang-orang kafir. Mereka berharap sangat agar mereka terhindar dari seksaan itu.

Orang-orang yang patuh dan taat kepada Allah juga akan sentiasa bersabar menghadapi segala segala ujian. Di saat mereka memperolehi rezeki dan kurniaan yang banyak dari Allah, mereka sentiasa beringat bahwa di dalam harta mereka itu terdapat hak orang kafir dan orang miskin, kerana itu mereka mengeluarkan zakat dan sedekah. 

Di saat mereka menjadi miskin dan papa, mereka sedar bahawa itu adalah cubaan terhadap iman mereka. Kerana itu kemiskinan tidak akan berupaya untuk menggoyahkan iman mereka. Hanyalah hamba Allah yang sabar dan tabahlah yang akan memperoleh keberuntungan.  

Mereka akan selalu mendirikan sembahyang yang difardhukan atas mereka pada waktu-waktu yang telah ditentukan. Mereka juga akan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang telah dianugerahkan Allah kepada mereka. Semua yang mereka lakukan ini adalah semata-mata untuk mendapatkan keredhaan dari Allah semata-mata.






Al Hajj Ayat 36

 وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِن شَعَآئِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَآفَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوامِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

Allah menerangkan bahawa Allah menciptakan binatang-bintang seperti unta agar manusia boleh mengambil manfaat dan menjadikan unta itu sebagai salah satu syiar-syiar Allah dengan menyembelihnya sebagai binatang korban untuk untuk diberikan dagingnya kepada fakir miskin dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. 

Dan unta adalah binatang korban yang paling afdal lagi utama untuk dijadikan sebagai korban di Tanah Haram. Sebagai balasan,  Allah akan memberikan pahala yang berlipat ganda di akhirat nanti kepada mereka yang melakukan ibadah korban tadi.


Adapun menyembelih seekor unta atau seekor lembu, boleh dijadikan korban untuk 7 orang, berbanding dengan seekor kambing, hanya boleh dan sah untuk satu orang sahaja. Ini berdasarkan sebuah hadis riwayat Abu Daud dariapda Jabir, Rasulullah saw bersabda yang maksudnya, :
"Kami telah menunaikan ibadah haji bersama Rasulullah saw, maka kami berkorban seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang". (H.R. Muslim dari Jabir)

Unta-unta ini sebelum disembelih, ia bolehlah diambil faedah daripadanya dengan menjadikan ia binatang tunggangan semasa perjalanan untuk menunaikan haji. Susunya juga boleh diminum. Dan setelah sampai hari penyembelihan, maka sembelihlah ia. Dagingnya bolehlah disedekahkan kepada fakir miskin untuk mendaaptkan pahala yang besar di akhirat kelak.

Ketika hendak menyembelih unta tadi, hendaklah unta itu didirikan ke atas ketika kakinya, dua bahagian dan satu depan sebelah kanan, manakala yang satu kaki depan sebelah kiri diikat. Semasa menyembelih unta itu, hendaklah membaca doa,

بِسْمِ اللهِ وَاللهُ أَكْبَرُ اَللَّهُمَّ مِنْكَ وَلَكَ
Dengan nama Allah dan Allah itu Maha Besar, Ya Allah ini adalah dari-Mu dan untuk-Mu.

Apabila unta yang telah disembelih itu terangkat nyawanya dan tidak bergerak lagi dan kemudian ia pun rebah ke tanah, maka bolehlah dimakan dagingnya oleh orang yang melakukan korban. Sebahagian dari dagingnya pula adalah untuk disedekahkan kepada orang yang datang meminta daging korban dan sebahagian lagi untuk fakir miskin. 

Orang yang melakukan ibadat korban itu disunatkan untuk memakan sebahagian daging korban itu. Jelaslah di sini bahwa daging korban itu dibahagi kepada 3 bahagian. Satu untuk orang yang melakukan korban, satu bahagian untuk orang yang datang meminta daging korban yang tidak miskin, dan satu bahagian lagi untuk fakir miskin. 





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.