Sunday, October 25, 2015

Surah An Naml Ayat 14 Hingga 22




An Naml Ayat 14

وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنْفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ
"Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan. “

Firaun dan orang-orangnya  terus menolak dan tidak mahu percaya, tidak mahu menerima bukti-bukti dan ayat-ayat serta mukjizat-mukjizat yang telah ditunjukkan oleh Nabi Musa. Mereka mendustakan bukti-bukti tersebut dengan perkataan, sedang hati kecilnya membenarkan bahwa Nabi Musa itu adalah utusan Allah. Mereka engkar, kerana hati dan diri mereka telah dipenuhi dengan sifat zalim dan rasa sombong, serta tidak mahu mengikuti kebenaran, meskipun hati mereka yakin kepada Nabi Musa sebagai utusan Allah. 

Kata  وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنْفُسُهُمْ  ( ‘wastaiqanat-ha anfusuhum’)  di dalam ayat 14 ini bermaksud mereka yakin. Bukan hendak merasa yakin. Tetapi mereka sememangnya sudah yakin. Yakin tentang apa? Mereka yakin tentang kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa. Dan mereka yakin bahwa kebenaran pendirian yang mereka anuti selama ini adalah karut belaka. Mereka yakin bahwa pendirian yang mereka pegang selama ini adalah salah dan bukan yang hakiki. 

Namun dek kerana kesombongan dan kezaliman yang mereka pegang kukuh selama ini telah memaksa mereka untuk memejamkan mata mereka dari melihat dan menerima kebenaran. Bagi mereka adalah tersangat hina maruah mareka sekiranya mereka meninggalkan pegangan mereka dan mengakui kebenaran yang dibawakan oleh Nabi Musa.

Lalu di akhir ayat 14 Allah berfirman bahwa “Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.” Akibatnya ialah kezaliman dan kerosakan yang mereka lakukan itu akan menjadi seperti boomerang, berbalik membinasakan diri mereka sendiri semula.

Inilah peringatan terhadap Nabi Muhammad saw di dalam menghadapi perjuangan yang selalu mendapat tentangan oleh kaum Quraisy. Allah memberi ancaman bahawa walaupun mereka tidak mahu menerima seruan rasulNya, dan berbuat segala kejahatan dan penganiayaan terhadap baginda Nabi dan para pengikutnya, namun pada akhirnya kejahatan dan penganiayaan itu pasti akan berbalik kepada diri mereka sendiri juga. Usaha mereka akan menemui kegagalan sebagaimana gagalnya firaun dalam mengejar Nabi Musa di pinggir laut.  







An Naml Ayat 15 

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُدَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَى كَثِيرٍ مِنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ
Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman".

Setelah menyebutkan kisah Nabi Musa, di sini Allah menyebutkan pula tentang kisah Nabi Daud dan anaknya, Nabi Sulaiman pula. Allah memberikan dua anugerah kepada mereka iaitu kelebihan dunia dan kelebihan akhirat. Dalam kelebihan dunia mereka berdua telah dianugerahkan untuk menjadi Raja Bani Israel yang menguasai sebuah kerajaan yang besar. Sementara nikmat akhirat pula ialah mereka telah diangkat menjadi Rasul Allah.

Dengan kekuasaan yang ada pada mereka, maka syariat Allah yang diturunkan kepada mereka dapat mereka jalankan dengan saksama. Mereka telah dapat menyebarkan agama Allah dengan cemerlang, bahkan mereka juga dapat mengerahkan seluruh umat supaya mentaati Allah di samping mereka sendiri telah menunjukkan contoh yang baik dalam hidup beragama. Untuk mengisi kekuasaan sebagai raja kepad sebuah negara yang besar, mereka berdua telah diberikan Allah nikmat ilmu pengetahuan.

Nikmat ilmu pengetahuan yang dianugerahkan Allah kepada mereka adalah ilmu pengetahuan yang umum dan tidak secara khusus untuk sesuatu perkara saja. Antara nikmat ilmu pengetahuan tersebut adalah ilmu memimpin rakyat. Di dalam ayat yang lain dijelaskan bahwa sebagai Raja Besar untuk sebuah negara yang besar, ia memerlukan tentera-tentara yang cekap dan tangkas di medan peperangan. Nabi Daud diberikan kemahiran dalam membuat baju besi untuk dipakai pergi berperang.

Dan sebagai sebuah negera besar, raja pun harus pandai bermain muzik. Maka beliau juga dianugrahkan mahi menabuh kecapi dan dapat menyanyi dengan suara yang merdu. Tetapi oleh kerana beliau adalah raja dan juga seorang nabi, nyanyian beliau penuh dengan puji-pujian kepada Ilahi. Jika beliau bernyanyi, menurut riwayat, burung yang sedang terbang pun akan terpegun mendengar dan akan hinggap berhampiran beliau untuk turut sama mendengar.

Sementara putera beliau iaitu Nabi Sulaiman pula juga terkenal dalam pelbagai ilmu, bahkan ilmu beliau melebihi ilmu ayahandanya.  Allah menganugerahkan kepada Nabi Sulaiman ilmu memahami bahasa burung dan ilmu menundukkan jin-jin halus sehingga beliau dapat mengawal dan memerintah mereka.

“....dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman".
Hujung ayat 15 ini menyatakan bahwa kedua-dua raja dan juga nabi itu bersyukur kepada Allah atas nikmat yang telah dianugerahkan kepada mereka, dan merekalah di antara hamba-hamba yang bersyukur.

Di sini Allah hendak memberikan pengajaran kepada kita manusia. Bahwa apabila mereka telah mendapat sesuatu nikmat yang besar dari Allah umpamanya nikmat kerajaan dan pangkat serta kekuasaan, hendaklah kita bersyukur dan janganlah menyombongkan diri. Itulah kelebihan-kelebihan para nabi. Berbeza dengan firaun yang mentang-mentang mendapat kekuasaan, ia telah bersikap sombong sehingga sanggup mengakui dirinya sebagai tuhan.

Nabi Muhammad saw sendiri, Allah juga telah memberikan kepada baginda nabi kekuasaan yang sangat besar setelah penghijrahan ke Madinah. Kedudukan baginda nabi di ketika itu samalah seperti seorang raja. Tetapi nikmat anugerah yang Allah berikan itu tidaklah mengubah kesederhanaan hidup baginda walau sedikit pun. Malah di ketika baginda nabi mencapai puncak kemenangan penaklukan kota Mekah, baginda nabi masuk ke dalam kota Mekah itu dengan menunduk sampai mencecah kepala baginda ke leher unta kenderaannya. Baginda nabi tidak sekali-kali menyombongkan diri di atas kemenangan besar itu. Sebaliknya baginda bersyukur kepada Allah kerana kemenangan itu tidak akan tercapai kalau bukan kerana kurniaan dari Allah.  MasyaAllah tabarakallah.. mulianya akhlak baginda nabi kita yang tercinta.






An Naml Ayat 16
وَوَرِثَ سُلَيْمَانُ دَاوُدَ وَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ عُلِّمْنَا مَنْطِقَ الطَّيْرِ وَأُوتِينَا مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْفَضْلُ الْمُبِينُ
Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: "Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata".  - 16

Nabi Sulaiman telah mewarisi pusaka kenabian dan kerajaan yang besar dari ayahanda beliau iaitu Nabi Daud a.s. Diriwayatkan bahwa Nabi Daud ini mempunyai isteri yang ramai. Ada yang meriwayatkan bahwa isteri Nabi Daud ini adalah 100 orang semuanya dan mereka semuanya melahirkan anak. Jadi ini bermakna sudah pastilah anak-anak Daud tentulah ramai. Namun di antara ramai anak-anak Nabi Daud, hanya Nabi Sulaiman seorang yang diwariskan pusaka kenabian dan juga kerajaan yang besar yang menjadi milik beliau.

Pada ayat 16 ini Nabi Sulaiman juga telah mengkhabarkan tentang nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada beliau. Iaitu berupa kerajaan yang besar lagi sempurna dengan kedudukan yang sangat agung, sehingga ia mampu menakluk manusia, jin dan burung. Nabi Sulaiman juga pandai berbahasa burung dan juga haiwan-haiwan yang lain. Mengikut Al Quran dan sunnah, ini adlaah anugerah yang tidak pernah Allah berikan kepada mana-mana nabi atau manusia pun di dunia ini kecuali lah Nabi Sulaiman seorang.

Oleh kerana ilmu yang khusus itu telah dianugerahkan Allah kepada Nabi Sulaiman seorang saja, maka tanda kesyukuran Nabi Sulaiman kepada Allah, beliau telah memberitahukan perkara ini kepada seluruh manusia dan rakyat-rakyatnya. Tidak beliau sembunyikan atau rahsiakan sepertimana orang yang mengamalkan ilmu sihir. Ini kerana ilmu sihir itu tidaklah tahan kalau diuji. Kerana sihir dapat dikalahkan dengan sihir yang lain pula. Dan seluruh sihir itu akan dapat dikalahkan oleh mukjizat. Mukjizat pula tidak akan ada yang dapat mengalahkan dan mengatasinya kerana ianya dari Allah.

Mukjizat Nabi Sulaiman yang terbesar itu ialah dapat memahami percakapan burung-burung dan haiwan lain. Sisters, janganlah kita salah faham tentang burung yang pandai bercakap. Burung tiung, burung kakaktua, burung nuri dan burung bayan memang pandai bercakap sekiranya diajar dan dilatih. Tetapi burung-burung ini tidaklah akan faham apa yang diajarkan kepadanya. Ia hanya mengulang-ngulang apa yang diajarkan saja. Apa yang dianugerahkan Allah kepada Nabi Sulaiman ini adalah meliputi segala jenis burung.







An Naml Ayat 17
وَحُشِرَ لِسُلَيْمَانَ جُنُودُهُ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ وَالطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ
Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.

Segala kelengkapan untuk sebuah kerajaan besar yang diperintah oleh Nabi Sulaiman semuanya disediakan Allah untuk nabiNya. Kalau segala yang diperlukan di dalam sesuatu kerajaan yang besar itu dapat dicapai dengan mudah, maka fahamilah oleh kita bahwa itu adalah kurnia yang paling nyata dari Allah. Sebagai tanda bahwa Allah memberikan restu dan berkat kepada kerajaan yang didirikan oleh Nabi Sulaiman itu.

Maka disebutkan di dalam ayat ini bahwa tentera Nabi Sulaiman adalah sebuah bala tentera yang agung dan besar. Ianya terdiri daripada tentera biasa, tentera udara dan juga tentera ghaib. Tentera biasa adalah terdiri dari manusia-manusia biasa yang ditempatkan pada barisan yang mengiringi Nabi Sulaiman. Kemudian tentera ghaib pula adalah terdiri dari jin yang barisannya berada setelah barisan manusia. Manakala tentera udara pula adalah terdiri dari burung-burung yang berbaris tepat di atas kepala Nabi Sulaiman. Sehinggakan ada disebutkan sekiranya Nabi Sulaiman terkena sengatan terik matahari saja, tentera udara ini akan melindungi beliau dengan sayap-sayap bala tentera burung tersebut. Sungguh hebat anugerah Allah.

“....lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing”
Maksudnya di sini ialah barisan yang pertama di antara bala tentera tersebut melarang barisan di belakangnya mendahului mereka. Ini dilakukan supaya seseorang tidak boleh mendahului barisan yang lainnya kerana masing-masing pada barisan tersebut berada pada pangkat yang berlainan. Mujahid berkata, tiap-tiap kelompok barisan itu mempunyai komandan atau ketua mereka sendiri yang mengatur dan menjaga barisan. Ini supaya barisan- barisan tersebut tidak saling mendahului ketika di dalam perjalanan.

Dari sini dapatlah kita fahami bahwa bala tentera Nabi Sulaiman itu telah diatur dengan sedemikian rupa, dengan mengikut arahan dari komandan masing-masing.  Seperti yang kita ketahui bahwa dari zaman ke zaman telah banyak kemajuan berkaitan dengan susunan angkatan tentera di seluruh dunia. Tetapi di dalam Al Quran sudah pun disebutkan sejak dulu lagi bahwa tentera yang tersusun rapi adalah salah satu syarat mutlak di dalam mencapai kemenangan peperangan dan menjaga keamanan di dalam sesebuah negara.


BALA TENTERA JIN DAN BURUNG NABI SULAIMAN A.S.

1 . Bala Tentera Jin
Jin adalah sejenis makhluk halus ciptaan Allah sepertimana disebutkan di dalam surah Ar Rahman ayat 15 yang bermaksud:
“Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang;”

Disebutkan bahwa jin itu dijadikan dari lidah api. Maksudnya hujung api yang sangat panas yang tidak merah lagi warnanya, malahan telah menjadi kebiru-biruan, seperti yang digunakan orang untuk menyambung besi. Seperti yang kita ketahui syaitan itu juga berasal dari makhluk jin. (rujuk surah Al Kahfi ayat 50). Allah telah memberikan kurnia kepada Nabi Sulaiman kebolehan untuk memerintah jin.

Di dalam surah As-Saba ayat 12 diterangkan bahwa di antara jin itu ada yang Nabi Sulaiman perintahkan untuk membuat barang-barang yang Nabi Sulaiman kehendaki. Iaitu membuat gedung-gedung bertingkat, patung-patung perhiasan dan piring-piring besar seperti kolam untuk tempat makan tentera-tentera yang ramai, juga untuk membuat periuk-periuk.

Di dalam surah As-Saba ayat 14 pula dinyatakan juga bahwa jin-jin itu juga dikerah untuk membuat bangunan-bangunan besar. Ahli tafsir mengatakan bahwa bangunan-bangunan besar itu salah satunya ialah Baitul Maqdis. Dalam proses membangunkan Baitul Maqdis itulah, Nabi Sulaiman telah wafat. Di ketika ia wafat itu Nabi Sulaiman sedang berdiri memerintah dan menjaga orang yang bekerja. Namun beliau masih juga tetap berdiri, tidak ada yang tahu bahwa beliau telah wafat sebenarnya. Walaupun jin-jin itu sendiri tidak juga mengetahui. Melainkan setelah tongkat tempat beliau bertahan itu dimakan anai-anai dan beliau pun jatuh, barulah orang tahu bahawa beliau telah mangkat.  


2 . Bala Tentera Burung
Tentera-tentera yang tediri daripada burung ini diberi tugas oleh Nabi Sulaiman untuk tanggungjawab dalam perhubungan, urusan menghantar surat. Sehinggalah di zaman sekarang ini, burung merpati itu masih lagi daapt dididik untuk menjadi penghantar surat. Walaupun sekarang ini kita sudah menggunakan kaedah moden dalam penghantaran surat iaitu kaedah email. Namun sampai sekarang bangsa Arab masih lagi memelihara burung helang untuk memburu kijang atau rusa di padang pasir.

Bahkan berburu singa pun mereka tidak takut dengan memakai burung helang. Burung helang yang terlatih dapat menampar buruan yang telah terdesak dengan sayapnya, sambil mematuk mata mangsa dengan paruhnya. Di kala mata mangsa sudah tidak daapt melihat, maka mudahlah untuk membunuhnya.

Allah memberikan kelebihan dan kekuatan jiwa bagi Nabi Sulaiman sehingga beliau sanggup menangkap dan memahami kata-kata atau nyanyian dari burung-burung yang beliau jadikan tentera itu.

Sayid Quthub berkata di dalam tafsirnya, bahwa nabi Sulaiman dapat menguasai burung itu bukanlah bermakna beliau dapat menguasai semua burung di dalam dunia ini. Bukan. Yang jelas ialah beliau mempunyai tentera yang terdiri dari burung-burung. Sebagaimana juga beliau mempunyai tentera yang terdiri dari manusia biasa. Itu bukanlah bermakna bahwa semua manusia yang ada di atas muka bumi ini menjadi tentera kepada beliau. Sedangkan daerah kekuasaan beliau hanya meliputi tanah-tanah Syam dan Iraq sekarang ni. Kemudian beliau menakluk pula bahagian selatan di tanah Arab iaitu tertakluknya Ratu Saba sebagai yang tersebut di ayat selanjutnya.

*****************






An Naml Ayat 18 Hingga 19
حَتَّى إِذَا أَتَوْا عَلَى وَادِي النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari". - 18

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِنْ قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". - 19

Maka suatu ketika berangkatlah Nabi Sulaiman bersama tenteranya yang besar itu, lengkap diiringi oleh orang-orang besar kerajaan. Maka sampailah beliau ke satu lembah yang di sana terdapatnya sarang-sarang semut.

Semut adalah jenis serangga yang kuat pancainderanya. Semut akan cepat menghidu dan terbaukan sesuatu benda dari jarak yang sangat jauh. Semut membuat sarangnya di perut bumi seperti sebuah negara yang menyimpan banyak makanan di dalam sarangnya yang dibuat berpetak-petak seperti bilik.

Nyata sekali di dalam ayat ini, mengingatkan kita tentang rasa kesedaran itu dikurniakan Allah kepada binatang yang dikatakan tidak berakal, sebenarnya semut itu mempunyai kehalusan perasaan dan siasat mengatur diri.

Berbalik kepada ayat kita tadi, rupa-rupanya adalah seekor semut itu telah memberitahukan kepada rakan-rakannya yang lain dari masyarakat semut, bahwa tentera Nabi Sulaiman akan melalui tempat mereka. Semut itu menasihati rakan-rakannya agar segera masuk ke dalam rumah masing-masing menyembunyikan diri dan berjaga-jaga kerana kelak tentera Nabi Sulaiman akan sampai ke tempat mereka.

Tentera Nabi Sulaiman itu begitu besar dan begitu ramai jumlahnya yang akan melintas di tempat mereka, sedangkan mereka sang semut adalah makhluk yang tersangat kecil. Mereka akan hancur dipijak oleh mereka. Kalau tidak mengelak mereka kelak akan binasa sedangkan bala tentera Nabi Sulaiman tidak akan menyedari akan hal itu dek kerana terlalu kerdilnya mereka. Kalau pun mereka tahu mereka akan memijak semut dan melihat semut-semua yang bergelimpangan mati, mereka tidak akan merasa peduli.

Mengingat kepada ayat yang terdahulu seolah-olehnya semut tadi seperti orang yang berakal, kerana dapat memikirkan bagaimana caranya dia hendak menyelamatkan rakan-rakannya lalu dilahirkan dengan perkataan yang mengandungi nasihat dan perintah agar mereka masuk ke sarang masing-masing supaya terselamat dari dipijak oleh Nabi Sulaiman dan bala tenteranya.

Sehinggakan kata-kata semut itu dapat didengar pula oleh Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman lantas berasa kagum, dan takjub mendengar kata-kata sang semut itu tadi. Oleh sebab itulah maka Nabi Sulaiman tersenyum lebar kerana tidak pernah melihat atau mendengar kejadian yang pelik itu, sehingga akhirnya Nabi Sulaiman pun tertawa pula mengenangkan perkara itu.

Kemudian apabila tentera-tentera Nabi Sulaiman yang terdiri dari pasukan berkenderaan dan pasukan yang berjalan kaki sampai ke lembah tempat sarang-sarang semut itu, maka segeralah Nabi Sulaiman memerintahkan agar mereka berhenti untuk memberikan kesempatan kepada semut-semut itu masuk ke dalam sarang masing-masing. Dan selamatlah mereka dari dilanda bala tentera yang ramai bilangannya dan lagi besar tubuh badannya.

Setelah terjadinya peristiwa demikian, Nabi Sulaiman pun mengucap syukur dan memuji Allah di atas pemberian kurnia kepada beliau yang menakjubkan itu dengan berdoa sepertimana di dalam ayat ke 19 iaitu “" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh"  

Maksudnya ialah berilah daku ilham dan mudahkanlah bagi daku untuk mensyukuri nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku. Iaitu nikmat yang begitu banyak lagi ajaib. Dan juga kurniakan yang diberikan kepada ibu bapaku yang telah banyak Engkau berikan. Aku memohon agar dapat dipermudahkan untuk mengerjakan amal soleh yang baik-baik yang Engkau redhai sebagai tanda syukurku.

Dengan berkat dan rahmatMu matikanlah aku di dalam Islam, kemudian himpunkanlah aku di dalam syurga bersama-sama para rasul, nabi-nabi dan orang-orang soleh, semuanya itu daripada hamba-hambaMu yang baik-baik yang mempunyai darjat yang tinggi. Kerana mereka tidak menderhakaiMu dan tidak berbuat maksiat kepadaMu.







An Naml Ayat 20 Hingga 22
وَتَفَقَّدَ الطَّيْرَ فَقَالَ مَا لِيَ لَا أَرَى الْهُدْهُدَ أَمْ كَانَ مِنَ الْغَائِبِينَ
Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? - 20

لَأُعَذِّبَنَّهُ عَذَابًا شَدِيدًا أَوْ لَأَذْبَحَنَّهُ أَوْ لَيَأْتِيَنِّي بِسُلْطَانٍ مُبِينٍ
"Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)". - 21

فَمَكَثَ غَيْرَ بَعِيدٍ فَقَالَ أَحَطتُ بِمَا لَمْ تُحِطْ بِهِ وَجِئْتُكَ مِنْ سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقِينٍ
“Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya. - 22

Burung hudhud di dalam bahasa melayu ialah burung belatuk. Paruhnya tajam, sehingga ia dapat mematuk menembuskan batang pokok kelapa dengan paruhnya untuk dijadikan sarang tempat berlindung. Di sini Allah menyebutkan akan kisah seekor burung belatuk yang menjadi salah seorang askar yang diperlukan oleh Nabi Sulaiman. Allah menggambarkan di sini tentang walaupun betapa besar kekuasaan seorang raja, namun demikian beliau masih juga memerlukan khidmat dari seekor burung yang jauh lebih kecil kedudukan dan kekuasaannya dari beliau.  

Menurut Mujahid, Sa’id bin Jubair dan ahli tafsir lainnya meriwayatkan dari Ibnu Abbas bahwa burung hudhud ini adalah sebagai penunjuk jalan yang dapat menunjukkan kepada Nabi Sulaiman di mana adanya air yang diperlukan sebagai minuman bala tenteranya. Burung hudhud itu dapat melihat di mana adanya air hanya melalui benda yang nampak di permukaan tanah saja. Dan setelah diconfirmkan yang tempat itu betul ada air, maka barulah Nabi Sulaiman pun memerintahkan para jin untuk menggali tempat tersebut hinggalah air pun keluar dan dapat diambil untuk kegunaan mereka.

Pada suatu hari, Nabi Allah Sulaiman telah singgah di sebuah negeri yang tanahnya tandus. Beliau pun telah melakukan pemeriksaan terhadap bala tenteranya dari angkatan burung untuk melihat ada atau tidaknya burung Hudhud. Namun ternyata burung Hudhud tidak ada. Lalu berkata Nabi Sulaiman, kenapa aku tidak melihat burung hudhud? ke mankah dia? Aku tidak melihat burung hudhud di antara kamu burung-burung yang lain. Apakah dia termasuk yang tidak hadir?

Di ayat ke 21 Nabi Sulaiman mengomel lagi, bahwa kalau burung hudhud itu meninggalkan barisan tentera dengan tidak ada keizinan komandannya, maka mereka akan dihukum mati kalau mereka melakukan kelalaian yang merugikan. Tapi sekiranya mereka datang kepada Nabi Sulaman dengan segera dan membawa keterangan yang jelas kenapa sebab ketiadaannya ini,  dan alasan itu boleh diterima, maka nescaya burung hudhud itu akan dimaafkan.

Seketika Nabi Sulaiman mengadakan pemeriksaan itu ,  si burung hudhud itu telah datang dan berdiri di tempat yang agak jauh dari Nabi Sulaiman. Sedang Nabi Sulaiman marah-marah akan burung hudhud yang tidak kelihatan olehnya itu, burung hudhud itu berdiam jauh dari Nabi Sulaiman. Tidak mahu mendekat. Namun setelah murka Nabi Sulaiman telah reda maka barulah burung hudhud itu tampil mendekati Nabi Sulaiman.

Dengan memberanikan diri burung hudhud itu berkata,  "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya”

Maksud dari kata-kata ini adalah bahwa burung hudhud itu hilang tidak kelihatan oleh Nabi Sulaiman ialah kerana burung hudhud itu baru selesai menyelidiki suatu perkara yang amat penting. Dan perkara itu belum diketahui oleh sesiapa pun. Baik Nabi Sulaiman mahupun bala tenteranya.

Sisters, kata-kata yang diucapkan oleh burung hudhud itu sebenarnya adalah ilham daripada Allah kepada burung hudhud, yang mengandungi cabaran kepada Nabi Sulaiman. Ianya sebagai mengingatkan bahwa sekecil-kecil makhluk Allah seperti burung hudhud itu, ia juga ada mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang belum pernah dialami oleh Nabi Sulaiman. Ini sebagai rahmat kepada burung hudhud, dan sebagai peringatan kepada Nabi Sulaiman agar tidak berbangga-bangga dan menghina makhluk yang lebih rendah daripadanya.

Kemudian burung hudhud itu berkata lagi bahwa mereka datang dari negeri Saba’ dengan membawa berita yang benar. Saba’ itu adalah sebuah negara yang terletak di selatan Jazirah Arab. Manakala negeri Nabi Sulaiman pula terletak di sebelah utara. Berita yang dibawa oleh burung hudhud ini bukanlah berita dari orang ke orang tetapi ianya adalah hasil penyelidikan burung hudhud sendiri. Sebab itulah ia mengatakan kepada Nabi Sulaiman bahwa berita yang dibawanya itu adalah benar dan yakin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.