Thursday, October 8, 2015

Surah Al Furqaan Ayat 63 Hingga 77






Surah Al Furqan ayat 63

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; “

Orang yang berhak disebut sebagai Ibadur Rahman iaitu hamba-hamba kepada Tuhan yang Maha Pemurah, ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi Allah dengan sikap sopan santun, lemah lembut, tidak sombong dan tidak cerewet. Sikap mereka adalah sikap yang tenang. Inilah sikap orang mukmin yang seharusnya.

Bagaimana mereka mahu mengangkat muka mereka dengan sombong, padahal alam di sekeliling menjadi saksi ke atas setiap perbuatannya. Maka dengan itu mereka harusnyalah menundukkan diri. Mereka laksana padi. Semakin berisi semakin tunduk. Tunduk kepada Allah kerana insaf akan kebesaran Tuhan dan rendah hati terhadap sesama manusia. Kerana mereka pun insaf bahwa mereka tidak akan sanggup hidup sendiri, di dalam dunia ini.
Dan bila mereka berhadapan dengan sesama manusia, mereka bertegur sapa dengan mesra, tak kira samada miskin kaya, tua muda, cerdik bodoh. Setiap sapaan dijawab dengan layanan mesra dan ikhlas.

Abu Hurairah berkata:

لم أر شيئا قط أحسن منه (رواه مسلم) كأن وجهه مثل الشمس أو القمر وكان مستديرا (مسلم عن جابر من سمرة) إذا مشى كأنما ينحط من صبب (عن هند بن أبي هالة)
Artinya:
"Saya tak pernah melihat sesuatu yang lebih cantik dari dia" "Wajahnya seolah-olah seperti matahari atau bulan yaitu bulat" "Bila berjalan seakan-akan beliau seperti turun dan anak tangga.

Demikian sifat dan sikap seorang mukmin.

Dan mereka juga menyantuni setiap pertikaian dengan saksama tidak akan menunjukkan suasana yang tegang. Dan menuntun mereka yang tersilap haluan kembali ke jalan yang benar dengan penuh kasih sayang tanpa mempunyai anggapan yang tidak baik. Orang yang semacam ini benar-benar pandai menahan hati mereka dari berbuat tidak baik kerana Allah. 

Apabila ada orang yang mengucapkan kata-kata yang tidak pantas atau tidak senonoh terhadap mereka, mereka tidak membalas dengan kata-kata yang tidak senonoh. Bahkan mereka menyantuni setiap pertikaian dengan saksama tidak akan menunjukkan suasana yang tegang. Dan menuntun mereka yang tersilap haluan kembali ke jalan yang benar dengan penuh kasih sayang tanpa mempunyai anggapan yang tidak baik. Orang yang semacam ini benar-benar pandai menahan hati mereka dari berbuat tidak baik kerana Allah.

Demikianlah sikap Rasulullah saw bila baginda diserang dan dihina dengan kata-kata yang kasar. Baginda tetap berlapang dada dan tetap menyantuni orang-orang yang tidak berbudi berakhlak itu. Al Hasan Basri berkata tentang sifat orang-orang mukmin. Mereka senantiasa lapang hati tidak pernah mengucapkan kata-kata kasar. Bila kepada mereka diucapkan kata-kata yang kurang sopan mereka tidak terpengaruh dan tidak membalas dengan kata-kata yang tidak sopan pula. Mungkin ada orang yang menganggap bahawa sifat dan sikap seperti itu menunjukkan kelemahan dan tidak tahu harga diri, kerana adalah wajar apabila orang yang bertindak kurang sopan dibalas dengan tindakan kurang sopan juga.

Tetapi bila direnungkan secara mendalam pastilah perkara itu akan membawa pertengkaran dan perselisihan yang tidak akan ada kesudahannya. Setiap mukmin harus mencegah berlarut-larut perselisihan dan permusuhan, Salah satu cara yang paling tepat dan berkesan untuk membasminya ialah membalas tindakan yang tidak baik dengan tindakan yang baik sehingga orang yang melakukan tindakan yang tidak baik itu akan malu sendiri, dan sadar bahawa mereka telah terlanjur melakukan sesuatu yang tidak wajar. Sikap seperti ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya:

ولا تستوي الحسنة ولا السيئة ادفع بالتي هي أحسن فإذا الذي بينك وبينه عداوة كأنه ولي حميم وما يلقاها إلا الذين صبروا وما يلقاها إلا ذو حظ عظيم

“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan, seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.” (Q.S. Fussilat: 34-35)

Demikianlah sifat dan sikap orang-orang mukmin di kala mereka berada di siang hari di mana mereka selalu ingat dengan sesama hamba Allah. Bagaimana pula sikap dan sifat mereka di kala berhubungan dengan Tuhan Pencipta alam di kala malam hari?.









Surah Al Furqan ayat 64

Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri, “

Di sini diterangkan pula sifat-sifat yang lain bagi seorang mukmin sejati. Apabila malam telah sunyi sepi, manusia telah dibuai oleh tidur nyenyak, mereka mengerjakan salat tahajud dan berdiri menghadap Tuhan Yang Maha Esa. Mereka tinggalkan kesenangan dan kenyamanan tidur, mereka resapkan dengan sepenuh jiwa dan raga bagaimana nikmat dan tenteramnya di kala bermunajat dengan Tuhan. Mereka mengerjakan salat malam salat tahajud seperti yang dilakukan Rasulullah saw kerana dengan salat di malam hari itu jiwa mereka menjadi suci dan bersih iman mereka bertambah-tambah, keyakinan menjadi kuat bahwa tiada Tuhan selain Dia, rahmat dan kasih sayang-Nya Maha Luas meliputi semua makhluk-Nya.

Di sanalah mereka memohon dan berdoa dengan penuh khusyuk dan tawadu agar diampunkan dosa dan kesalahan mereka dan dilimpahkan rahmat dan keredhaan-Nya. Setelah melakukan salat malam itu barulah mereka tidur dengan diliputi rasa bahagia penuh tawakal dan takwa.

Ibnu Abbas berkata: "Barangsiapa yang melakukan salat dia rakaat atau lebih sesudah salat Isya berarti dia telah salat sepanjang malam. Dalam ayat lain Allah menjelaskan pula sifat-sifat orang-orang mukmin yang mengerjakan salat malam ini:

تتجافى جنوبهم عن المضاجع يدعون ربهم خوفا وطمعا ومما رزقناهم ينفقون
Artinya:
Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (Q.S. Sajdah: 16)

Dan firman-Nya:

أمن هو قانت آناء الليل ساجدا وقائما يحذر الآخرة ويرجو رحمة ربه قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون
Artinya:
(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya?. Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" (Q.S. Az Zumar: 9)

Dan firman-Nya:

كانوا قليلا من الليل ما يهجعون وبالأسحار هم يستغفرون
Artinya:
"Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah)". (Q.S. Az Zariyat: 17-18)








Surah Al Furqan ayat 65 Dan 66

Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan “ - 65

“Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk"; - 66

Orang-orang mukmin akan selalu mengingati hari akhirat dan hari hisab. Mereka yakin bahawa semua amal perbuatan manusia akan dipertanggungjawabkan di hari itu. Perbuatan yang baik akan diberikan ganjaran berlipat ganda manakala perbuatan yang jahat akan dibalas dengan balasan yang setimpal.

Di kala mereka bermunajat dengan Tuhan di malam hari tergambarlah dalam fikiran mereka bagaimana dahsyatnya suasana di waktu itu seakan-akan mereka benar-benar melihat bagaimana maraknya api neraka yang selalu menanti para hamba Allah yang derhaka dengan geram dan suara gemuruh untuk mencari mangsa dan santapannya. Di kala itu menitislah air mata mereka dan mereka memohon dengan sungguh-sungguh kepada Allah agar mereka dibebaskan dari seksaan api neraka yang ganas itu.

Orang-orang yang demikian kuat keyakinannya kepada hari akhirat tentulah dia akan menggunakan kesempatan hidup di dunia ini untuk berbuat amal kebaikan sebanyak-banyaknya dan tidak akan melakukan perbuatan jahat kerana mereka yakin perbuatannya itu akan dibalas dengan seksaan yang pedih.

Betapapun baiknya suatu peraturan yang ditetapkan oleh manusia dan betapa ketatnya pengawasan dalam melaksanakannya, tetapi manusia yang tidak insaf, tetap juga akan dapat melepaskan dirinya dari ikatan peraturan dan undang-undang itu.

Tetapi manusia yang beriman ini, andainya ditakdirkan tidak ada peraturan dan undang-undang untuk mereka, namun mereka tetap tidak akan melakukan suatu kejahatan pun. Ini kerana dia sedar yang walaupun mereka dapat bebas dari hukuman di dunia, namun mereka sekali-kali tidak akan dapat terlepas dari azab di akhirat. Kesedaran dan keinsafan inilah yang tertanam dengan kuat di dalam hati setiap mukmin yang digelarkan sebagai Ibadur Rahman iaitu "hamba Allah Yang Maha Penyayang".

Orang mukmin sejati benar-benar takut akan jatuh ke dalam seksaan neraka kerana seksaan neraka itu amat pedih dan dahsyat dan kerena neraka itu seburuk-buruk tempat yang disediakan untuk hamba Allah yang engkar dan derhaka. Orang-orang kafir kekal di dalamnya selama-lamanya, menderita berbagai macam seksaan. Meskipun kulit mereka telah hangus terbakar dan panasnya api neraka telah menembus ke dalam daging dan tulang belulang mereka namun mereka tetap hidup untuk merasakan seksaan. Nauzubillahimin zalik.







Surah Al Furqan ayat 67

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.

"Mereka dalam menafkahkan harta tidak boros dan tidak pula kedekut, tetapi tetap memelihara keseimbangan antara kedua sifat yang buruk itu. Sifat boros pasti akan membawa kemusnahan harta benda dan kerosakan masyarakat. Seseorang yang boros walaupun keperluan peribadi dan keluarganya telah terpenuhi dengan hidup secara mewah, dia tetap akan menghambur-hamburkan kekayaannya dengan cara yang lain yang merosak, seperti main judi, main perempuan dan minum-minuman keras, dan lain sebagainya.

Dengan demikian dia merosak dirinya sendiri, dan juga merosak masyarakat sekelilingnya padahal kekayaan yang diberikan Allah kepadanya haruslah dipeliharanya sebaik-baiknya sehingga dapat bermanfaat untuk dirinya dan untuk masyarakatnya. Sifat kikir dan bakhil juga akan membawa kepada kerugian dan kerosakan. Kerana seseorang yang bakhil selalu berusaha mengumpulkan kekayaan walaupun dia sendiri hidup sebagai seorang miskin dan dia tidak mahu mengeluarkan wangnya untuk kepentingan masyarakatnya.

Sedangkan untuk kepentingan dirinya dan keluarganya pun dia merasa berat untuk mengeluarkan wang apalagi untuk kepentingan orang lain. Dengan demikian akan terkumpullah kekayaan itu untuk dirinya seorang ataupun untuk  beberapa gelintir manusia yang serakah dan tamak. Orang yang seperti ini sifatnya diancam Allah dengan api neraka sebagaimana tersebut dalam firman-Nya:

ويل لكل همزة لمزة الذي جمع مالا وعدده يحسب أن ماله أخلده كلا لينبذن في الحطمة
Artinya:
Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela, yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, dia mengira bahwa hartanya itu dapat mengekalkannya, sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Hutamah. (Q.S. Al Humazah: 1-4)

Demikianlah sifat orang mukmin dalam memberi nafkah. Mereka tidak bersifat boros sehingga tidak memikirkan hari esok dan tidak pula bersifat kikir sehingga menyeksa diri mereka sendiri hanya kerana hendak mengumpulkan kekayaan. Keseimbangan antara kedua sifat yang tercela itulah yang selalu dipelihara dan dijaganya. Kalau mereka menjadi seorang kaya mereka dapat membantu masyarakat setempat mereka sesuai dengan kekayaan yang mereka ada. Dan kalau mereka miskin maka mereka dapat menguasai diri dengan hidup secara sederhana.








Surah Al Furqan ayat 68

“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;

Pada ayat ini Allah menerangkan lagi sifat-sifat hamba Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang iaitu orang-orang mukmin sejati ini tidak menyembah selain Allah, tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu apapun. Mereka benar-benar menganut tauhid yang murni. Bila mereka beribadat, maka ibadahnya itu hanya semata-mata kerana Allah, bila mereka berbuat kebaikan perbuatan itu adalah kerana Allah bukan kerana ria atau ingin hendak dipuji orang.

Bila mereka berdoa, maka benar-benar doa mereka itu dipanjatkan ke hadhrat Allah tanpa menghubungkannya dengan makam atau kubur ataupun para wali. Kerana mereka yakin sepenuhnya bahawa yang sanggup mengabulkan doanya hanya Allah lah saja. Mereka tidak melakukan pembunuhan terhadap siapapun kerana mereka menyedari bahawa jiwa seseorang itu adalah menjadi haknya sepenuhnya, dan tidak boleh dibunuh kecuali dengan hak yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Umpamanya seperti murtad atau membunuh orang tanpa hak. Mereka juga tidak akan melakukan perbuatan zina kerana mereka faham dan sedar bahawa berzina itu adalah termasuk dosa besar, suatu perbuatan yang sangat terkutuk dan dimurkai Allah.

Maka dengan memelihara kemurnian tauhid yang menjadi dasar bagi akidah, seseorang akan bersih jiwanya, jernih fikirannya, tidak dapat diugah dengan kepercayaan-kepercayaan yang menyesatkan. Dengan menjauhi pembunuhan tanpa hak maka akan bersihlah diri mereka dari perbuatan zalim dan bersihlah masyarakat dari kekacauan dan huru hara. Akan terpeliharalah hak setiap warga masyarakat dengan baik sehingga masyarakat benar-benar dapat menikmati keamanan dan ketenteraman. Dan dengan memelihara diri mereka dari perbuatan zina maka akan bersihlah dirinya dari kekotoran dan bersih pula masyarakat dari kekacauan nasab yang menimbulkan berbagai kesulitan dan ketidak stabilan.








Surah Al Furqan ayat 69

Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,

Sebabnya dilipatgandakan seksaan pada hari kiamat, dan akan kekal di sana dalam kehinaan, kerana orang yang syirik apabila melakukan maksiat, dilipatgandakan seksanya disebabkan syirik dan seksaan disebabkan maksiat.

Di samping itu ia akan menderita dengan penuh kehinaan. Maka bercampurlah antara seksaan-seksaan jasmani dan rohani sebagai seksaan yang kekal kepada mereka.








Surah Al Furqan ayat 70 dan 71

Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. “ * 70

Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat; “ - 71

Pada ayat-ayat ini Allah menerangkan bahwa orang-orang yang mengerjakan perbuatan dosa seperti tersebut pada ayat di atas dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan kembali beriman serta selalu berbuat amal saleh, perbuatan mereka yang jahat itu akan diganti dengan kebaikan dan pahala yang berlipat ganda kerana Allah adalah Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.  
Waaa…. ini bonus ni, sisters. Jangan kita lepas peluang untuk bertaubat dengan bersungguh-sungguh kerana ganjarannya luar biasa.

Menurut sebahagian mufassirin mengatakan bahawa maksud gantian dosa kejahatan dengan pahala kebaikan itu ialah dengan menghapuskan segala dosa yang telah dikerjakan di masa yang lalu itu dengan adanya taubat yang sebenar-benarnya. Kemudian amal kebaikan yang dikerjakan sesudah bertaubat itu akan dilipat gandakan pahalanya sehingga seimbang banyak pahalanya dengan banyak berbuat dosa yang telah dilakukan itu.

Tetapi sebahagian lain mengatakan bahawa Allah memberikan kepada orang yang bertaubat itu pahala seimbang banyaknya dengan dosa yang telah dikerjakannya kerana taubat yang dilakukannya itu. Kemudian bila dia sudah bertaubat dan setelah itu mengerjakan amal yang baik maka amal yang baik itu akan diberi pahala yang berlipat ganda pula. Jadi orang yang bertaubat itu mendapat dua kebaikan iaitu dosa-dosanya yang terdahulu dihapuskan dan kemudian diberi pula pahala yang sama banyaknya dengan dosa yang telah dikerjakannya itu.

Diriwayatkan oleh At Tabrani sebuah hadis dari Abu Mugirah dari Sofwan bin Umar dari Abdurrahman bin Jubair dari Abu Sarwah bahwa Abu Sarwah ini datang menemui Rasulullah saw bertanya: "(Hai Rasulullah) bagaimana pendapatmu tentang seorang laki-laki yang telah mengerjakan segala macam dosa dan tak ada satupun yang ditinggalkannya, apakah dia juga berhak diterima taubatnya?".

Rasulullah bertanya: "Apakah engkau sudah masuk Islam?". "Sudah", jawab Abu Sarwah: "Benar (engkau) berhak diterima taubatmu. Oleh sebab itu, berbuat baiklah sebanyak-banyaknya dan jauhilah segala perbuatan dosa. Maka Allah akan menjadikan semua dosamu itu menjadi perbuatan baik semuanya. Abu Sarwah bertanya lagi: "Apakah perbuatanku yang dahulu itu akan dijadikan perbuatan baik pula?". Rasulullah saw menjawab: "Benar!". Maka pergilah dia sambil bertakbir sampai dia tidak kelihatan lagi.

Kemudian Allah menyatakan bahwa taubat yang diterima itu haruslah diiringi dengan perbuatan baik. Taubat haruslah dimulai dengan penyesalan atas perbuatan jahat yang telah dilakukan kemudian menghentikan segala perbuatan jahat itu, lalu diiringi dengan perbuatan baik untuk menjadi bukti, bahawa taubat itu adalah taubat yang sebenarnya dan dilakukan dengan sungguh-sungguh (nasuha). Mengerjakan amal yang baik sesudah taubat adalah pengisi kekosongan sesudah berjanji tidak akan berbuat jahat lagi. Kerana berbuat jahat itu adalah suatu gerak dan pekerjaan.








Surah Al Furqan ayat 72

Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. “ - 72

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.”  - 73

Allah menerangkan lagi di antara tentang sifat orang-orang mukmin sejati ini. Iaitu mereka tidak mahu memberikan persaksian yang palsu dengan berbohong, yang juga bererti mereka tidak mahu menolong orang yang bersalah di dalam kesalahannya.

Dalam hubungan ini Sayidina Abu Bakar meriwayatkan katanya Rasulullah saw, bersabda: “mahukah kamu saya khabarkan tentang dosa-dosa yang paling besar?” kami menjawab: “khabarkanlah ya Rasulullah,” kata baginda , “iaiatu menyekutukan Allah, dan derhaka pada ibu bapa.” semasa itu baginda berhenti lalu duduk. Dan baginda berkata lagi, “ ketahuilah lagi, iaitu kata-kata palsu dan menjadi saksi palsu.”

Perkara tersebut adalah merupakan antara dosa yang paling besar.

Dan orang-orang mukmin sejati ini apabila mereka diberikan peringatan degnan pengajaran-pengajaran yang benar berdasarkan ayat Al Quran dan keterangan-keterangan dari Allah, mereka sambut dengan mendengarkannya dan memerhatikannya sehingga mereka memahami baik-baik. Dengan tidak membiarkan saja dengan membuta tuli.








Surah Al Furqan ayat 74

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Orang-orang mukmin sejati ini,  mereka selalu bermunajat dan memohon kepada Tuhan agar Dia menganugerahkan kepada mereka keturunan yang baik-baik sehingga isteri dan anak-anak mereka itu benar-benar menyenangkan hati dan menyejukkan perasaan mereka kerana keluarga mereka sendiri terdiri dari orang-orang yang saleh dan bertakwa kepada Tuhan. Dengan demikian akan bertambah banyaklah di muka bumi ini hamba-hamba Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang:

Mereka juga bermunajat kepada Allah agar keturunan anak cucu mereka, di samping menjadi orang-orang yang bertakwa, mereka hendaknya menjadi penyeru manusia kepada takwa iaitu menjadi pemimpin bagi orang-orang yang yang bertakwa. Ini adalah cahaya iman yang telah memenuhi hati mereka dan meneranginya dengan petunjuk dan hidayah sehingga mereka ingin sekali supaya orang-orang yang bertakwa dan mendapat petunjuk ini  kian lama akan kian bertambah juga.

Keinginan mereka agar anak cucu dan keturunan mereka menjadi pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa bukanlah sekali-kali kerana inginkan kedudukan yang tinggi atau kekuasaan yang mutlak, tetapi adalah kerana keinginan yang tulus ikhlas agar penduduk dunia ini dipenuhi dengan orang-orang yang beriman dan bertakwa dan agar anak cucu mereka melanjutkan perjuangan mereka menegakkan keadilan dan kebenaran. Kerana dengan demikian mereka sendiri walaupun telah mati tetapi mereka tetap menerima pahala perjuangan anak cucu mereka.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya ;
"Apabila seorang anak Adam telah mati, maka putuslah segala pahala amalnya kecuali dari tiga perkara: sedekah amal jariah, ilmu pengetahuan yang ditinggalkan dan anak yang saleh yang selalu mendoakannya".
(H.R. Muslim dari Abu Hurairah)









Surah Al Furqan ayat 75 dan 76

Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,” - 75

Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal. “ - 76

Allah menerangkan ganjaran dan kurnia yang akan diberikanNya kepada "hamba-hamba Allah Yang Maha Pengayang itu", hamba-hamba Allah yang mempunyai sifat-sifat yang sempurna dan akhlak budi pekerti yang mulia berkat kesabaran mereka dalam mematuhi segala perintah Allah. Berkat kesabaran mereka melawan hawa nafsu dalam menjauhi segala laranganNya. Maka mereka akan ditempatkan di tempat yang paling mulia dan tinggi dalam syurga. Mereka disambut oleh para malaikat dengan salam sebagai penghormatan kepada mereka.

Firman Allah:

والملائكة يدخلون عليهم من كل باب سلام عليكم بما صبرتم فنعم عقبى الدار
Maksudnya :
Sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan): "Salamaun 'alaikum bima sabartum". Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu?.”
(Q.S. Ar Ra'd: 23-24)

Baik, timbul persoalan. Kenapa tersebut kesabaran? Sebab masing-masing orang yang berjalan menegakkan kebenaran, menyusun kekuatan diri dan melatih batin menjadi Ibadur Rahman, Hamba Allah yang Pemurah, akan merasai bahwasanya menyusun sesuatu program secara bertulis atau dengan lisan amatlah mudah. Tetapi untuk menjalankannya amatlah payah sekali. Setiap langkah untuk melaksanakannya memerlukan ujian, cubaan, pengorbanan dan ada kalanya meminta aliran darah dan air mata.

Kesabaran berjuang menegakkan peribadi mulia sebagai seorang mukmin, sebagai hamba Allah yang sedar, kelak akan membuahkan kebahgiaan jiwa, kerana mendapat balasan syurga jannatun na’im, tempat tinggal yang tenteram, kediaman yang senang dan tenang, disambut oleh malaikat dengan ucapan Tahiyyat (selamat) dan salam bahagia.




Surah Al Furqan ayat 77

“Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): "Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu".

Akhirnya sebagai penutup Surah Al Furqaan ini, Allah dengan perantaraan RasulNya menyuruh sampaikan kepada orang-orang yang selama ini lalai dan lengah, yang belum-belum juga mendapat pegangan hidup, dan yang belum juga melatih diri.

Allah telah menunjukkan jalan yang harus ditempuh oleh orang yang telah insaf akan kurnia, Rahman dan Rahim Ilahi. Orang-orang yang dapat mengikut garis yang telah ditentukan Allah itu sepatutnyalah akan merasa bahagia kerana mereka telah diberikan pegangan hidup, diberikan penjelasan ke mana mereka harus menuju.

Orang yang masih kafir dan ragu juga mempunyai keinginan untuk mendapat hidup yang bahgia, mendapat syurga yang dijanjikan. Tetapi dalam menutup surah ini sudah diberikan ketegasan oleh Allah, bahawa selama kamu masih menyembah kepada yang lain selain Allah, selama kamu masih menyekutukan Allah dengan yang lain, selama kamu masih mendustakan seruan-seruan yang dibawa oleh utusan Allah, maka janganlah kamu berharap yang nasibmu akan berubah. Jalan yang salah itu pasti akan menuju ke penghujung yang penuh azab lagi seksa. Pasti kamu menderita kesengsaraan jiwa di diunia dan neraka jahannam di akhirat.

Namun pintu taubat masih terbuka. Masuklah ke dalam pintu itu kalau kamu mahu. Tetapi kalau kamu masih menuruti jalan yang salah, azab seksa adalah pasti untuk kamu. Yang harus menentukan jalan kamu bukanlah orang lain, tetapi DIRI KAMU SENDIRI. Maka pilihlah.

Maka bagi orang yang telah mendalam perasaan cintanya kepada Allah, akan dirasakanlah satu kebahgiaan jiwa yang amat tinggi apabila mereka membaca ayat-ayat tentang ‘Ibadur Rahman’ di dalam surah Al Furqaan ini. Ataupun di dalam surah-surah yang lain yang mengandungi panggilan Allah kepada hambaNya. “Ya Abadi” maksudnya wahai hambaKu.

Akan terasa pulalah oleh kita nikmat menjadi hamba Allah apabila syarat-syarat dan latihan hidup yang telah digariskan dalam ayat-ayat Ibadur Rahman  dapat kita lakukan dan praktikkan setapak demi setapak. Selangkah demi selangkah. Itulah yang menentukan nilai peribadi kita sebagai orang mukmin sejati.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.