Sunday, October 25, 2015

Surah An Naml Ayat 45 Hingga 76





An Naml Ayat 45 Hingga 47


وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ فَإِذَا هُمْ فَرِيقَانِ يَخْتَصِمُونَ
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutus kepada kaum Thamud, saudara mereka Nabi Soleh (menyeru mereka dengan berkata): "Sembahlah kamu akan Allah!" Maka tiba-tiba mereka menjadi dua puak (mukmin dan kafir) yang berbalah. -45

قَالَ يَا قَوْمِ لِمَ تَسْتَعْجِلُونَ بِالسَّيِّئَةِ قَبْلَ الْحَسَنَةِ لَوْلَا تَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Nabi Soleh berkata (kepada puak kafir): "Wahai kaumku, mengapa kamu segerakan kufur ingkar yang mendatangkan keburukan kepada kamu, (tidak) mendahulukan iman yang mendatangkan kebaikan kepada kamu? Alangkah baiknya kalau kamu memohon ampun kepada Allah supaya kamu diberi rahmat." - 46

قَالُوا اطَّيَّرْنَا بِكَ وَبِمَنْ مَعَكَ قَالَ طَائِرُكُمْ عِنْدَ اللَّهِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ تُفْتَنُونَ
Mereka menjawab: "Kami merasa nahas dan malang dengan sebabmu, dan juga dengan sebab pengikut-pengikutmu!" Nabi Soleh berkata: Perkara yang menyebabkan baik dan malang kamu adalah di sisi Allah (dan Dia lah yang menentukannya, bukannya aku), sebenarnya kamu adalah kaum yang disesatkan (oleh hawa nafsu)". - 47

Kini Allah menyebutkan pula tentang kisah Nabi Salih alaihissalam bersama kaum Thamud. Allah telah mengutuskan Nabi Salih kepada saudara-saudaranya dari kaum Thamud. Allah menitahkan kepada beliau untuk menyeru kaumnya, agar mereka menyembah Allah saja dan tidak menyekutukan Allah dengan benda-benda lain.

Ketika itu kaum Thamud telah berpecah menjadi dua golongan yang bermusuhan. Namun Allah tidak menerangkan apakah yang menyebabkan perpecahan mereka. Di dalam surah Al A’raf ayat 75 dan 76 ada disebutkan tentang kedua golongan ini. Golongan yang pertama adalah terdiri dari golongan miskin yang menerima seruan Nabi Salih sebagai rasul dan beriman dengan apa yang dibawa oleh beliau.

Sudah kita ketahui biasanya golongan miskin ini lebih mudah untuk menerima seruan supaya dapat mereka memperbaiki nasi diri mereka yang sentiasa dipandang rendah.  

Golongan kedua pula adalah golongan yang mendustakan Nabi Salih dan kufur kepada Allah. Mereka tidak mahu mengakui kebenaran apa yang diserukan oleh Nabi Salih. Golongan ini adalah terdiri dari orang-orang kaya, berpangkat dan menyombongkan diri.

Kedua-dua golongan ini masing-masing saling bertengkar. Mereka saling mengatakan bahwa dialah yang benar dan lawannya itu adalah salah.

Dalam keadaan yang seperti ini Nabi Salih meminta kepada orang-orang yang mendustakannya itu, agar memikirkan akibat-akibat daripada pendustaan mereka agar tidak dtimpakan seksaan Allah ke atas mereka. Permintaan Nabi Salih itu mereka tolak mentah-mentah kerana bagi mereka, mereka adalah golongan yang terbesar dan paling degil. Kalau kita ulangkaji balik di dalam surah Hud ayat 32, Allah bagitahu bahwa golongan kufur ini dengan sombongnya mengatakan kepada Nabi Salih supaya segera datangkan ancaman kepada mereka kalau betul beliau orang yang benar.

Dengan adanya cabaran sebegitu dari kaumnya yang sombong lagi takbur itu, maka Nabi Salih pun bertanya mengapa mereka mahukan seksaan itu disegerakan turun ke atas mereka. Kerana kelak seksaan itu amatlah dahsyat dan berbahaya sekali untuk mereka. Adalah elok kalau mereka bertaubat saja dan kembali menyembah Allah kelak mereka akan diberi kurnia rahmat dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat sekiranya mereka beriman.

Nasihat Nabi Salih itu tidak langsung dipedulikan oleh golongan yang menyombongkan diri itu. Sebaliknya mereka telah mencemuh Nabi Salih dengan mengatakan bahwa mereka akan mendapat celaka disebabkan oleh Nabi Salih dan pengikut-pengikut beliau.  Mereka kata bahwa kononnya Nabi Salih dan pengikutnya itu adalah pembawa sial yang telah menyebabkan negeri mereka telah ditimpa kemarau, bala dan bermacam-macam petaka.

Nabi Salih membalas dakwaan mereka dengan berkata bahwa kesemua yang berlaku adalah kehendak Allah. Baik buruk semua telah ditetapkan oleh Allah mengikut qadak dan qadarnya. Ianya bukan datang dari sesiapa atau pun disebabkan oleh sesiapa. Kalau Allah menghendaki mereka kempunan tidak mendapat rahmat, pasti mereka tidak akan juga mendapat apa-apa.

Nabi Salih mengingatkan lagi kepada mereka bahwa sebenarnya mereka semua ini sedang diuji. Diberi cubaan. Allah menguji mereka dengan mengutuskan Nabi Salih kepada mereka, apakah mereka bersedia untuk beriman kepada Nabi Salih dan Allah supaya mereka mendapat pahala dan kebahagiaan ataupun mereka tetap mahu berdegil menderhakai Allah dengan menentang perintah dan laranganNya. Dan sesungguhnya akibat dari kedegilan mereka itu adalah seksaan yang selama-lamanya.








An Naml Ayat 48 Hingga 50
وَكَانَ فِي الْمَدِينَةِ تِسْعَةُ رَهْطٍ يُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ وَلَا يُصْلِحُونَ 
Dan di bandar (tempat tinggal kaum Thamud) itu, ada sembilan orang yang semata-mata melakukan kerosakan di bumi (dengan berbagai-bagai maksiat) dan tidak melakukan kebaikan sedikitpun. - 48

قَالُوا تَقَاسَمُوا بِاللَّهِ لَنُبَيِّتَنَّهُ وَأَهْلَهُ ثُمَّ لَنَقُولَنَّ لِوَلِيِّهِ مَا شَهِدْنَا مَهْلِكَ أَهْلِهِ وَإِنَّا لَصَادِقُونَ
Mereka berkata (sesama sendiri): "Hendaklah kamu masing-masing bersumpah dengan nama Allah, bahawa sesungguhnya kita akan membunuh Soleh dan pengikut-pengikutnya secara mengejut pada waktu malam, kemudian kita akan berkata kepada warisnya: ` Kami tidak hadir (di tempat) pembunuhan (Soleh apalagi membunuhnya atau membunuh) pengikut-pengikutnya, dan sesungguhnya kami adalah berkata benar '. " - 49

وَمَكَرُوا مَكْرًا وَمَكَرْنَا مَكْرًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Dan (dengan demikian) mereka telah merancangkan rancangan jahat, dan Kami pula rancangkan balasannya dengan seburuk-buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya. - 50

Disebutkan di dalam ayat 48 ini, yang menjadi penyebab bencana di muka bumi ini adalah terdiri dari 9 orang dari golongan yang menyombongkan diri. Inilah tukang-tukang hasut yang kerjanya mengacau, memfitnah dan mereka-reka cerita bohong. Mereka yang sembilan orang ini jugalah yang merancang untuk membunuh unta betina milik Nabi Salih itu. Bahkan mereka juga sebenarnya berpakat untuk membunuh Nabi Salih juga.

Setelah mereka membunuh unta Nabi Salih, mereka telah menerima ancaman yang diberikan oleh Nabi Salih kepada mereka . Kata Nabi Salih supaya duduklah mereka bersenang-senang di negeri mereka tetapi setelah tempoh 3 hari, mereka akan dibinasakan.

Bila mendengar ancaman ini mereka pun berpakat sesama mereka untuk menyerang Nabi Salih di malam hari dan membunuh beliau. Mereka kata bersumpahlah dengan nama Allah! mari kita sama-sama bunuh Nabi Salih dan keluarganya. Kemudian mereka akan khabarkan kepada waris-waris nabi Salih bahwa bukan mereka yang membunuh Nabi Salih. Dan sesungguhnya kata-kata mereka adalah benar dan jujur. Beginilah cara mereka membuat tipu daya terhadap Nabi Salih.

Namun Allah Maha Mengetahui duduk perkara sebenar apa yang akan dan telah pun berlaku. Allah memberikan peringatan, bahwa mereka yang sembilan orang itu telah berpakat membuat tipu daya, membawa kepada kerosakan dan bencana di bumi disebabkan mereka hendak membunuh Nabi Salih dan keluarga beliau. Dan Allah telah menimpakan malapetaka berupa seksaan yang datangnya dengan segera. Sedangkan mereka tidak menyedari akan tipudaya Allah terhadap mereka sebenarnya adalah lebih besar dan lebih hebat lagi.







An Naml Ayat 51 Hingga 53
فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ مَكْرِهِمْ أَنَّا دَمَّرْنَاهُمْ وَقَوْمَهُمْ أَجْمَعِينَ
Maka lihatlah bagaimana akibat rancangan jahat mereka, iaitu Kami telah hancurkan mereka dan kaum mereka semuanya. -51

فَتِلْكَ بُيُوتُهُمْ خَاوِيَةً بِمَا ظَلَمُوا إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَةً لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Kesudahannya rumah-rumah mereka itu telah runtuh ranap, dengan sebab mereka berlaku zalim; sesungguhnya kejadian yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mahu mengetahui (akan sebab dan musababnya). -52   

وَأَنْجَيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ
Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman, serta yang selalu bertaqwa. -53

Allah menyuruh kita yang mendengar kisah kaum Thamud dengan Nabi Salih itu, supaya kita dapat renungkan apakah kesudahannya kaum yang merancang  tipu daya dan yang membuat bencana di muka bumi? Apakah kesudahan mereka akhirnya? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah kebinasaan dan kemusnahan. Mereka telah ditimpakan oleh suara gemuruh yang amat dahsyat, iaitu dengan panahan halilintar yang datangnya dari atas langit, sehingga mereka semua mati bergelimpangan di rumah-rumah mereka atau di mana saja mereka berada. Dan tidak seorang yang terselamat.

Bekas-bekas runtuhan rumah-rumah kaum Thamud itu masih dapat dilihat oleh orang-orang Quraisy di tepi jalan yang mereka lalui ketika mereka pergi berniaga ke negeri Syam. Mereka akan lalu berhampiran dengan runtuhan-runtuhan rumah itu. Bahkan masih terdapat sisa-sia bangunan dari gunung-gunung batu yang dipahat dijadikan rumah tempat tinggal kaum Thamud yang boleh dilihat. Kejadian tersebut adalah sebagai pengajaran yang cukup terang bagi mereka yang mempunyai pengetahuan.  Ilmu pengetahuan dari segi sejarah kaum Thamud dan kaum Al Hijr.

Allah telah menyelamatkan Nabi Salih dan pengikutnya dari bala bencana tersebut. Kerana mereka adalah orang-orang yang beriman dengan Allah dan takutkan seksaannya untuk menderhakai Allah.







An Naml Ayat 54 Hingga 55
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ وَأَنْتُمْ تُبْصِرُونَ 
Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya? - 54

أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ
"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)". - 55

Allah menceritakan pula tentang kisah Nabi Lut secara ringkas, yang juga telah terdahulu sebutannya di dalam surah Hud ayat 77 sehingga 83, surah Al Hijr ayat 57 hingga 77, surah As-Syu’ara ayat 160 hingga 175 dan dalam beberapa lagi surah yang lain.

Allah mengingatkan rasulNya iaitu Muhammad saw agar baginda itu menyebutkan tentang kasih Nabi Lut kepada kaumnya. Iaitu ingatlah ketika Nabi Lut memberi peringatan dan juga ancaman kepada kaumnya kerana mereka telah melakukan perbuatan-perbuatan keji, yang belum pernah dilakukan oleh anak-anak Adam sebelumnya. Perbuatan itu adalah sangat tidak patut, jadi kenapakah mereka melakukannya juga? Padahal mereka tahu yang ianya sangat terkeji, jijik dan sangat tidak bermaruah pada pandangan akal dan juga dari segi agama.

Dan adakah patut mereka berkelakuan berahi kepada sesama lelaki, lalu mengikutkan kemahuan hawa nafsu dan syahwat mereka untuk menjadikan lelaki sebagai isteri mereka. Padahal masih ramai lagi kaum wanita yang cantik-cantik lagi sesuai dan lebih baik. Tetapi mereka peduli dan tinggalkan kaum wanita dengan begitu saja. Mereka ini sudah benar-benar menjadi orang yang bodoh yang telah dipengaruhi oleh suatu kegilaan. Dan sungguhlah mereka ini tidak tahu malu.







An Naml Ayat 56 Hingga 58
فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَنْ قَالُوا أَخْرِجُوا آلَ لُوطٍ مِنْ قَرْيَتِكُمْ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ
Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci ".- 56

فَأَنْجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ قَدَّرْنَاهَا مِنَ الْغَابِرِينَ
“Lalu Kami selamatkan Nabi Lut dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya, kecuali isterinya, Kami takdirkan dia menjadi dari golongan yang tertinggal dalam azab. - 57

وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ مَطَرًا فَسَاءَ مَطَرُ الْمُنْذَرِينَ
Dan Kami hujani mereka dengan hujan yang membinasakan, maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa orang-orang yang telah diberi amaran.  - 58

Seruan Nabi Lut agar mereka meninggalkan perbuatan yang terkutuk itu tidaklah mereka sambut dengan baik. Mereka tidak makan ajar dan nasihat walau sedikit pun.  Malah mereka bertindak untuk mengusir Nabi Lut dan pengikutnya dari negeri mereka. Mereka menganggap nabi Lut telah diberi kemudahan selama tinggal di negeri mereka dan kini sudah sampai masanya beliau diusir keluar negeri sebagai orang asing yang mendatang tidak dibenarkan lagi tinggal bersama-sama mereka.

Dan mereka mendakwa bahwa Nabi Lut dan kaumnya itu adalah orang-orang yang suci. Jadi beliau dan pengikutnya merasa kekok dan canggung apabila melihat perbuatan liwat mereka. Maka adalah lebih baik mereka usir saja Nabi Lut kerana tidak sesuai hidup berrsama mereka di negeri itu.

Dari kata-kata ini jelas sekali kelihatan betapa cemarnya perbuatan kaum Nabi Lut yang tidak tahu malu ini dan betap celuparnya kata-kata yang mereka ucapkan. Maka tidak ada lagi yang patut ditimpakan ke atas mereka dengan perbuatan terlaknat mereka itu selain dari menghukum mereka.

Sebelum menjatuhkan hukuman kepada orang-orang yang engkar itu, Allah terlebih dahulu telah menyelamatkan Nabi Lut bersama keluarganya. Maka setelah tibanya hari ketentuan, pada waktu sebelum tibanya subuh Nabi Lut dan keluarganya telah disuruh Allah untuk berangkat lebih dahulu meninggalkan negeri itu. Ini kerana azab seksaan Allah akan dijatuhkan kelak sebaik tibanya waktu subuh.

Maka berangkatlah beliau sekeluarga meninggalkan negeri itu dengan selamat. Walau bagaimana pun isterinya tertinggal di belakang, tidak termasuk dalam golongan yang diselamatkan. Ini kerana isteri Nabi Lut telah menyokong perbuatan engkar kaumnya itu dan ia juga telah memberitahu kaumnya akan kedatangan tetamu Nabi Lut iaitu para malaikat yang segak-segak sebagai umpan untuk melampiaskan hawa nafsu kaumnya. Maka tergolonglah ia di dalam kaum Nabi Lut yang menerima azab.

Lalu sebaik saja waktu subuh tiba, Allah telah menurunkan hujan batu ke atas mereka sebagai seksaan. Iaitu hujan batu yang paling buruk, yang belum pernah diturunkan sebelum ini. Ini kerana batu-batu yang diturunkan itu mengandungi api. Lalu Allah mengangkat pula negeri mereka itu ke udara dan Allah menterbalikkan.

Maka memang setimpallah dengan dosa mereka orang-orang yang telah diberikan amaran disebabkan maksiat yang mereka lakukan. Mereka juga telah diberi peringatan dan ancaman namun merka tidak menghiraukannya.







An Naml Ayat 59 Hingga 60
قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَسَلَامٌ عَلَى عِبَادِهِ الَّذِينَ اصْطَفَى آللَّهُ خَيْرٌ أَمَّا يُشْرِكُونَ 
Katakanlah (wahai Muhammad): "Segala puji tertentu bagi Allah dan selamat sejahtera kepada hamba-hambaNya (Nabi-nabi) yang dipilihNya. Manakah yang lebih baik? - Allah (yang demikian kekuasaanNya) atau benda-benda yang mereka jadikan sekutu-sekutu bagiNya? - 59
أَمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَأَنْزَلَ لَكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَنْبَتْنَا بِهِ حَدَائِقَ ذَاتَ بَهْجَةٍ مَا كَانَ لَكُمْ أَنْ تُنْبِتُوا شَجَرَهَا أَإِلَهٌ مَعَ اللَّهِ بَلْ هُمْ قَوْمٌ يَعْدِلُونَ
Bahkan siapakah yang telah mencipta langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan mereka (yang musyrik itu) adalah kaum yang menyeleweng dari kebenaran (tauhid).  - 60

Setelah Allah mewahyukan kepada Nabi Muhammad saw tentang perjuangan yang telah dilalui oleh Nabi-nabi dan rasul-rasul Allah yang telah disebutkan di dalam surah ini, sejak dari Nabi Musa sehingga lah ke Nabi Lut , betapa hebatnya perjuangan mereka itu sebagai orang-orang yang dipilih oleh Allah untuk menghadapi kaum masing-masing.

Mereka menempuh suka dan duka dalam menyebarkan syariat Allah. Namun pada akhirnya segala perjuangan itu berhasil dengan baik. Maka terasa benarlah oleh kita sebagai umat yang menerima Al Quran bahwa nabi-nabi dan rasul - rasul itu pun memang berjuang dengan hebat., berjihad dengan tidak mengenal bosan. Mereka yakin akan kebenaran seruan dan dakwah yang mereka bawa. Tetapi jalan yang mereka tempuh itu bukanlah mudah, walaupun mereka itu adalah orang-orang pilihan Allah. Namun pada akhirnya, kebahagiaan dan kejayaan pasti tetap akan memihak kepada mereka juga. Itu janji Allah yang pasti.

Maka dengan itu, Allah menyuruh agar RasulNya Nabi Muhammad saw mengajarkan manusia supaya memuji Allah dengan ucapan kalimah ‘Alhamdulillah’ sebagai tanda syukur dan terima kasih di atas nikmat yang dikurniakan dengan tidak terkira banyaknya. Allah juga menyuruh kita sebagai hambaNya agar mengucapkan selawat iaitu  salam sejahtera kepada para utusan Allah iaitu para nabi dan rasul yang mulia.  

Maka dengan itu katakanlah kepada orang-orang musyrik, adakah Allah yang disebutkan sifat-sifatNya dan kelebihan-kelebihanNya yang amat besar itu lebih baik untuk mereka jadikan tuhan, ataupun berhala-berhala yang mereka sekutukan dengan Allah? Ini adalah kata-kata sindiran, untuk menunjukkan kebodohan kaum musyrik di dalam berfikir, dan buruknya kepercayaan mereka.

Ya, sudah jelaslah bahwa Allah lah yang lebih baik.

Dan Allah meneruskan celaanNya kepada orang-orang musyrik iaitu apakah mereka merasa ragu-ragu, apakah berhala yang tidak dapat mendtangkan manafaat dan mudarat, atau Allah untuk disembah? Sebenarnya mereka tidak perlu ragu-ragu lagi. Siapa lagi kalau bukan Allah yang mesti mereka sembah. Kerana Allah itulah yang telah menciptakan beberapa lapis langit yang begitu tinggi, lagi luas tak terbatas, di mana terdapat bintang-bintang tetap dan bintang-bintang beredar, dengan cahyaanya yang bergemerlapan menerangi malam.

Dan Allah jugalah yang menciptakan bumi yang terpacak di atasnya gunung-gunung yang tersergam dan mengalir sungai-sungai yang airnya ada yang deras dan ada pula yang tenang. Dengan tanah-tanahnya juga ada yang tinggi ada yang rendah, ada yang datar, berhutan rimba dan berpasir gersang luas saujana mata memandang, ada yang ditumbuhi tanam-tanaman, ada juga yang gersang tidak ditumbuhi apa-apa. Juga terdapatnya binatang-binatang darat dan binatang-binatang laut yang bermacam-macam jenis dan bentuknya.

Allah juga menurunkan air hujan dari awan. Air itulah punca yang membaca rezeki kepada sekalian makhluk yang hidup dan ada yang bernyawa. Dan dengan perantaraan air juga dapat diadakan kebun-kebun dan tanam-tanaman yang indah dan cantik dipandang mata kerana kalau tidak ada air maka tidaklah akan wujud tumbuh-tumbuhan dan menghasilkan buah-buahan.l

Allah menjelaskan bahawa mereka sebagai makhluk tidak mungkin dapat menumbuhkan pohon kayu yang ada di kebun-kebun. Janganlah mereka sangkakan pohon itu mereka yang menumbuhkannya. Tetapi sebaliknya tumbuhnya pohon kayu itu adalah dengan kekuasaan Allah semata.

Lalu Allah mencela mereka lagi iaitu orang-orang yang menyekutukan Allah ini dengan bertanya lagi kepada mereka, masih adakah Tuhan yang lain selain dari Allah? Jawapannya tentulah tidak ada Tuhan lagi selain dari Allah. Jawapan seperti itu banyak terdapat di dalam AlQuran di antaranya ialah pada ayat 91 surah Al Mukminun.

Allah memberitahu lagi bahwa tabiat mereka yang suka berbuat syirik itu ialah kerana mereka suka sangat untuk menyimpang dari jalan yang hak, dan sentiasa menyeleweng dari bersikap jujur dalam urusan hidup mereka. Oleh sebab itu mereka akan melakukan apa saja yang mereka suka. Maka dengan itu berterusanlah mereka di dalam kesesatan.





An Naml Ayat 61
أَمْ مَنْ جَعَلَ الْأَرْضَ قَرَارًا وَجَعَلَ خِلَالَهَا أَنْهَارًا وَجَعَلَ لَهَا رَوَاسِيَ وَجَعَلَ بَيْنَ الْبَحْرَيْنِ حَاجِزًا أَإِلَهٌ مَعَ اللَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ 
Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat penetapan dan telah menjadikan sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya dan telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang menetapnya; dan juga telah menjadikan di antara dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi) yang memisahnya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik itu) tidak mengetahui. 

Allah memberikan penjelasanNya lagi kepada kaum musyrikin ini sebagai mencela mereka, apakah berhala patung tegak tidak bergerak yang mereka sembah itu, yang tidak dapat memberikan apa-apa pun kepada mereka itu, lebih baik dari Allah?

Ataupun adakah Allah yang menjadikan bumi untuk menjadi tempat tinggal bagi manusia dan haiwan, dan diadakanNya di permukaan bumi ini sungai-sungai yang mengalir air tawar yang banyak kegunaannya untuk minuman, pengairan sawah ladang dan sebagainya, begitu juga dijadikan pula di atasnya gunung yang tersergam tidka berganjang yang menjadikan bumi itu kukuh menyebabkan penduduknya tidak bergoncang, sedangkan di dalamnya banyak tersembunyi bermacam-mcam galian yang amat berguna dan mahal harganya.

Lalu dijadikanNya juga dua jenis air yang satu dalam dari sungai-sungai dan yang satu lagi masin berada di lautan. Kedua air itu pula ada suatu batasan yang memisahkan antara kedua air itu. Masing-masing tidak merosakkan yang lain. Hikmatnya ialah supaya kedua jenis air itu kekal dalam keadaan yang asal. Yang tawar dapat digunakan menjadi minuman bagi manusia, hawian dan tumbuhan. Manakala yang masin menjadi sumber pengeluaran hujan yang terbit dari wap air laut, dan juga sebagai alat pembersih udara.

Maka Allah tanya mereka lagi, masihkah ada tuhan lain selain dari Allah? jawabnya tentulah tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha Bijaksana menciptakan alam ini.

Namun kebanykan orang-orang musyrikin tidak mengetahui akan kadar kebesaran Allah, tidak mengetahui bahwa menyekutukan Allah dengan berhala mereka, begitu juga mereka tidak mengetahui tentang keuntungan di sebalik mengEsakan Allah serta ikhlas semasa beribadat kepadaNya.





 An Naml Ayat 62

مْ مَنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ أَإِلَهٌ مَعَ اللَّهِ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ
Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).

Adakah berhala-berhala yang mereka sembah itu lebih baik? Ataukah tuhan yang memperkenankan doa orang yang sengsara dalam keadaan susah kerana sakit, atau miskin, atau ditimpa kemalangan dia terpaksa menanggungnya, lalu berdoa dan memohon agar diringankan kesusahannya dan dihindarkan daripada kemalangan.

Atau jika ada yang berdosa minta diampunkan dosanya. Kerana orang itu tidak berdaya untuk mengubah nasibnya yang miskin menjadi kaya, yang sakit menjadi sihat, yang kesempitan menjadi lapang. Yang dapat mengubahnya hanyalah Tuhan yang Maha Berkuasa. Tidak bersifat lemah. Tuhan yang Maha Perkasa tidak dapat dikalahkan dan tidak ada yang menyamaiNya.

Maka katakanlah. Adakah berhala-berhala itu lebih baik? Ataupun Tuhan yang menjadikan mereka pengganti sebagai khalifah (pemerintah) di muka bumi? Iaitu mereka diberikan warisan sesuatu daerah dengan segala isi penduduknya, supaya mereka atur dan tadbir dari satu kurun ke satu kurun dan dari masa ke semasa.

Maka adakah lagi Tuhan lain bersama Allah???

Adalah sedikit benar dari kalangan orang-orang yang mengingati dan merenungi tentang semua ini. Kerana tabiat manusia adalah selalu akan lupa akan nikmat yang diberikan kepada mereka.  Itulah sebabnya Allah menyatakan dalam ayat ini ,” Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).”





An Naml Ayat 63
أَمْ مَنْ يَهْدِيكُمْ فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَنْ يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ أَإِلَهٌ مَعَ اللَّهِ تَعَالَى اللَّهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Atau siapakah yang menunjukkan jalan kepada kamu dalam gelap-gelita darat dan laut, dan yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatNya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Maha Tinggilah keadaan Allah dari apa yang mereka sekutukan denganNya.

Terus lagi Allah mencela kaum musyrikin dengan ayat ini. Allah tanya adakah berhala-berhala yang mereka sembah dan sekutukan dengan Allah itu lebih baik? Atau pun Tuhan yang menerangi mereka dalam kegelapan dengan memberi petunjuk ketika mereka dalam kesesatan dan kegelapan baik semasa di daratan mahupun di lautan.

Lihat saja para pelaut atau orang musafir sedang berlayar yang hilang pedoman tidak tahu jalan arah mana yang hendak dituju. Lalu Allah tunjuki mereka sehingga selamat sampai ke pelabuhan ataupun ke tempat tuju. Begitu jugalah Allah mengirimkan angin dan diturunkanNya hujan membasahi bumi yang kering dan tanah yang gersang menyebabkan bumi itu hidup semula menyuburkan tanaman.

Inilah bukti-bukti nyata tentang Allah sebagai Tuhan Pencipta alam itu adalah jauh mempunyai kelebihan dan kebaikan dariapda berhala yang tidak sedikit pun mendatangkan kegunaan kepada mereka. Itulah sebabnya Allah menambah lagi celaanNya dengan menempelak, MASIHKAH ADA LAGI TUHAN SELAIN DARI ALLAH? jawabnya sudah tentulah tidak! Dan tidak ada jalan bagi orangyang menafikannya dengan menguatkan ketetapanNya iaitu MAHA TINGGI ALLAH DARIPAA APA YANG MEREKA SEKUTUKAN.






An Naml Ayat 64
أَمْ مَنْ يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَمَنْ يَرْزُقُكُمْ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ أَإِلَهٌ مَعَ اللَّهِ قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ 
Atau siapakah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian dia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya). dan siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar ". - 64

Keterangan Allah ini adalah sebagai dalil dan bukti, agar mereka sedar akan kekeliruan dan kesesatan mereka. Allah mencela mereka lagi dengan menanyakan, adakah berhala yang mereka sekutukan dengan Allah itu lebih baik? Ataupun Tuhan yang menciptakan makhluk sejak dari mula-mula dulu yang dijadikan tanpa memakai contoh atau pun model, kemudian apabila telah sampai ajalnya, ia pun dimatikanNya dan dimusnahkanNya mengikut kehendakNya. Setelah itu dihidupkan semua dengan mengulang kejadian yang asal sekali lagi.

Dan Tuhan itu pula yang memberikan mereka rezeki dari langit dan bumi. Yang dari langit itu adalah berupa air hujan, dan yang dari bumi itu adalah berupa tumbuh-tmbuhan untuk menjadi bekalan makanan kepada bangsa manusia dan juga haiwan.

Maka dapatkah bukti-bukti ini mereka hendak nafikan kebenarannya? Maka Allah menempelak mereka lagi, Masih adakah Tuhan yang lain selain Allah? Jawabnya, tentulah tidak    ! Oleh sebab itu tidak patu Allah disekutukan dengan patung dan berhala unutk mereka sembah.

Setelah banyak bukti ditunjukkan dan dalil yang memberikan penerangan, sehingga jelas mana yang hak dan mana yang batil, mana yang benar dan aman pula yang salah, lalu Allah pun menyuruh Nabi Muhammad supaya mengatakan kepada orang-orang musryik itu supaya mereka dapat bawakan keterangan sebagai bukti sekiranya mereka itu orang yang benar. Maksudnya, sekiranya berhala yang mereka sembah itu benar-benar tuhan maka bawakanlah bukti yang menunjukkan berhala mereka itu benar-benar tuhan. Adakah mereka dapat bawakan bukti ? Sesungguhnya dakwaan mereka itu semuanya adalah mengarut!







An Naml Ayat 65 dan 66
قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ 
Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).- 65

بَلِ ادَّارَكَ عِلْمُهُمْ فِي الْآخِرَةِ بَلْ هُمْ فِي شَكٍّ مِنْهَا بَلْ هُمْ مِنْهَا عَمُونَ
Bahkan mereka (yang kafir) telah berkali-kali mengetahui tentang hari akhirat (tetapi mereka tidak meyakininya), bahkan mereka berada dalam syak mengenainya; bahkan matahati mereka buta langsung daripada memikirkannya. - 66

Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad saw agar mengajarkan kepada seluruh makhluk bahwa tidak ada satupun dari penghuni langit dan bumi yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah. Tidak Nabi Muhammad dan tidak juga rasul-rasul dan nabi terdahulu. Tidak juga jin dan malaikat atau pun makhluk-makhluk lain. Hanya Allah satu-satunya yang mengetahui dan tidak ada sekutu bagiNya.

Ayat ini memiliki makna yang sama dengan ayat 59 dari surah Al An’am :

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

Adapun yang dikatakan perkara ghaib itu adalah maksudnya segala urusan yang berkaitan dengan akhirat dan juga hal ehwal yang bersangkutan dengan dunia di bawah kesedaran kita dan bukan dalam kekuasaan kita.

Orang yang di langit dan di bumi daripada makhluk-makhluk Allah itu sebaliknya mereka tidak menyedari bilakah mereka nanti akan dibangkitkan dari kubur mereka sebaik-baik saja berlakunya kiamat.

Mereka ini benar-benar jahil dalam perkara yang ghaib, dan tidak mampu untuk mengetahui bilakah waktu kiamat itu datang. Kejahilan yang demikian mereka akui, malah mereka ragu-ragu apakah benar kiamat itu ada ataupun tidak? Oleh sebab bingung memikirkannya, lalu mereka tidak percaya langsung akan adanya pahala dan seksa, tentang adanya nikmat dan azab. Maka terang sekali golongan ini telah buta mata hatinya. Merka tidak akan nampak akan perkara yang hak walau berapa banyak dalil ditunjukkan dan bukti yang dikemukakan.






An Naml Ayat 67 Hingga 69
وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَئِذَا كُنَّا تُرَابًا وَآبَاؤُنَا أَئِنَّا لَمُخْرَجُونَ
Dan orang-orang yang kafir berkata: "Adakah sesudah kami menjadi tanah, dan juga datuk nenek kami, adakah kami semua akan dikeluarkan dari kubur (hidup semula)? - 67

لَقَدْ وُعِدْنَا هَذَا نَحْنُ وَآبَاؤُنَا مِنْ قَبْلُ إِنْ هَذَا إِلَّا أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ
"Demi sesungguhnya, kami telah dijanjikan dengan perkara ini, kami dan juga datuk nenek kami dahulu; ini hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala". - 68

قُلْ سِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu". - 69

Orang-orang musyrik ini yang sebenar-benarnya, mereka ini tidak percaya tentang kedatangan kiamat dan juga hari akhirat. Mereka bertanya adakah betul mereka nanti akan dibangkitkan dari kubur dan dihidupkan sesudah mati. Padahal mereka sudah pun hancur menjadi tanah bersama dengan nenek moyang mereka yang telah mati lebih dahulu dari mereka. Benarkah mereka ini akan dibangkitkan semula?

Memang benar mereka selalu mendengar janji tentang adanya hari kiamat. Tetapi sampai sekarang janji itu tidak kunjung tiba dan hari kiamat itu tidak juga muncul-muncul. Maka kata mereka, bilakah kiamat ini akan berlaku? dan adakah benar semua janji-janji tentang hari kiiamat ini? Oleh kerana letih menunggu, mereka telah menganggap bahwa semua yang dijanjikan tentang hari kiamat ini adalah tidak benar. Semuanya dongengan belaka. Semuanya dusta yang ditulis di dalam kitab dongeng mereka tanpa bukti dan kebenaran yang nyata.

Maka dengan itu Allah telah menyuruh Nabi Muhammad mengatakan kepada mereka semua, suruhlah mereka semua pergi berjalan, berlayar atau melawat ke negeri-negeri yang ada di mukabumi ini  dan memerhatikan dan mengambil contoh dan tauladan daripada bekas-bekas peninggalan umat-umat terdahulu. Kesan-kesan sejarah umat-umat terdahulu. Di mana umat-umat terdahulu itu juga telah mendustakan para utusan Allah. Lihatlah sendiri apakah yang telah terjadi kepada mereka? Lihatlah kesan-kesan kemusnahan peninggalan mereka yang telah berdusta.

Bukankah Allah telah meleburkan negeri mereka sehinga hancur dan penduduknya semuanya musnah disebabkan mereka mendustakan para Rasul dan menolak ajaran serta nasihat-nasihat Rasul mereka? Maka beginilah akibatnya yang telah diterima orang-orang yang berdosa itu.







An Naml Ayat 70 Hingga 72
وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُنْ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ 
Dan janganlah engkau berdukacita terhadap (keingkaran) mereka (yang kafir itu,) dan janganlah engkau resah-gelisah disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. - 70

وَيَقُولُونَ مَتَى هَذَا الْوَعْدُ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
Dan mereka bertanya: "Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?" - 71

قُلْ عَسَى أَنْ يَكُونَ رَدِفَ لَكُمْ بَعْضُ الَّذِي تَسْتَعْجِلُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Dipercayai tidak lama lagi akan datang kepada kamu sebahagian dari azab yang kamu minta disegerakan itu". - 72

Sebagai seorang Nabi yang sangat sayangkan kaumnya, baginda sangatlah merasa dukacita bila memikirkan nasib kaumnya yang mendustakan kebenaran itu. Mereka telah menyambut peringatan Rasulullah tentang hari kiamat dengan mengatakan bahwa ianya semata-mata dongeng belaka. Sedihnya hati baginda bila memikirkan nasib umat nabi-nabi terdahulu yang mendustakan nabi-nabi mereka. Tetapi dalam ayat 70 ini, baginda nabi dipujuk Allah, tidak usahlah baginda berdukacita.

Allah menghiburkan hati Nabi Muhammad, iaitu janganlah baginda bersedih dan berdukacita disebabkan kaum baginda yang telah menolak seruan dan mendustakan baginda. Janganlah hendaknya baginda menjadi orang yang sempit dadanya dengan merasakan risau atau berputus asa dari mendapat pertolongan Allah lantaran menghadapi tipu daya kaum baginda itu. Baginda nabi disuruh bersabar dan membiarkan saja mereka. Kerana segala tipu daya dan dusta mereka itu tidaklah akan menghasilkan apa-apa. Sesungguhnya Allah menolong baginda untuk mengalahkan mereka semua. Dan pastinya Allah akan meninggikan darjat agamaNya mengatasi pihak yang menyalahinya baik di negeri timur mahupun negeri barat.

Di dalam ayat 71, orang-orang musyrikin bertanya bilakah akan datangnya janji hari kiamat itu? Iaitu janji yang mereka akan memperolehi kebahagiaan sekiranya mentaati jalan rasul dan Allah yang ditetapkan. Dan janji yang mereka akan mendapat celaka sekiranya mengingkari dan menentang jalan rasul dan Allah. Mereka meminta agar ditunjukkan bukti. Mereka kata yang mereka akan percaya sekiranya janji itu dicepatkan dilihatkan kepada mereka. Alangkah sombong dan bongkaknya mereka ini! Padahal kalau janji itu segera dilihatkan Allah kepada mereka, mereka jugalah yang akan terlebih dahulu musnah dihancurkan oleh azab kerana mereka menentang jalan rasul dan Allah!!!! Tidak terfikirkah oleh mereka?????

Maka Allah menyuruh rasulNya menjawab pertanyaan dan tentangan mereka itu dengan sebuah peringatan. Tidak usahlah mereka nak suruh Allah percepatkan datangnya hari seksaan itu. Jangan khuatir. Mudah-mudahan tak lama lagi akan sampai juga. Dan bila ianya telah sampai, mereka semua tidak akan menangkis ataupun mengelak darinya.

Peringatan ini bukanlah saja untuk orang-orang musyrikin saja. Tetapi juga untuk semua manusia di muka bumi ini. Untuk kita juga, sisters. Janganlah kita menentang dan bertanya bilakah perkara yang dijanjikan ini akan datang. Kerap kali dengan tidak disedari oleh kita bahyaa itu sebenarnya sudah ada di hadapan kita. Alangkah lemahnya manusia. Baik secara perseorangan mahupun secara bersama-sama.

Umpamanya, sedang kita duduk bersenang lenang menonton tv rancangan kegemaran, tiba-tiba kita terasa sesak nafas. Jantung jadi lemah dan kemudiannya berhenti bergerak. Lalu kita…. mati.

Kita tidak akan sekali-kali menyangka, sedang kita bergembira ria di satu majlis keraian di sebuah dewan besar di sebuah hotel tujuh bintang, dihadiri ramai saudara teman taulan. Tiba-tiba orang terpekik-pekik berlarian kerana bangunan terbakar. Berpusu-pusu lari menyelamatkan diri namun asap tebal dan haba panas kebarakan telah menyelubungi dewan lalu kita tidak jatuh bergelimpangan….   







An Naml Ayat 73
وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَشْكُرُونَ
Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) sentiasa melimpah-ruah kurniaNya kepada umat manusia seluruhnya tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur.

Memang banyak kurniaan Allah kepada kita manusia. Kurnia yang tidak berkeputusan, siang dan malam, pagi dan petang. Matahari terbit dan terbenam dengan teratur, bulan bercahaya dengan seksama, hujan turun, air mengalir, bumi menyubur. Edaran alam berjalan sebagai biasanya. Hidup kita manusia sentiasa dijamin oleh Allah dan sentiasa di bawah peliharaan Allah. Oleh kerana sempurna dan berkekalannya kurnia Allah terhadap kita, maka kita pun lupa akan adanya nikmat Allah itu. Setelah Allah menunjukkan kuasanya sekali-sekala maka barulah manusia bergoncang dan gelisah resah.

Dalam ayat 73 ini dinyatakan bahwa kebanyakan di antara manusia tidaklah bersyukur, tidak berterimakasih. Kebanyakan manusia masih lagi mahu mengeluh mengenangkan kekurangan. Tamak haloba dan perasaan tidak puas hati dengan apa yang ada. Ini menyebabkan kehidupan kebanyakan dari kita ini adalah lebih banyak dihabiskan untuk berangan-angan. Menginginkan apa yang tiada dan tidak mempedulikan apa yang telah diberikan. Bukankah itu tidak bersyukur namanya? Tidak berterima kasih.






An Naml Ayat 74
وَإِنَّ رَبَّكَ لَيَعْلَمُ مَا تُكِنُّ صُدُورُهُمْ وَمَا يُعْلِنُونَ
Dan sesungguhnya Tuhanmu sedia mengetahui apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka nyatakan (dengan tutur kata dan perbuatan).

Manusia tidak akan dapat menyembunyikan apa-apa pun daripada Allah. Tidak dapat merahsiakan apa-apa pun dari Allah. Apa yang terkandung di dalam sudut hati yang paling dalam, Allah Maha Mengetahuinya. Detik hati manusia, ke mana ia cenderung, apa yang dituju di dalam hati sanubari, walaupun maksud buruk itu diselimutkan dengan sikap yang baik, namun Allah tahu juga. Janganlah kita cuba-cuba bermain lawak dengan Allah. kerana dengan demikian kita lah yang sebenarnya dilawakkan oleh diri kita sendiri.

Bahkan kadang-kadang, Allah akan memberikan ilham kepada orang-orang yang berhati mulia yang budiman. Sehinggakan mereka ini dapat pula mengetahui isi hati yang sebenar seseorang dari sikap dan tingkah lakunya. Ini bukanlah bermakna orang itu mempunyai kuasa ghaib. Tetapi ada kalanya tingkah laku, kerdipan mata, tidak akan dapat merahsiakan sikap dan niat buruk seseorang.

  




An Naml Ayat 75


وَمَا مِنْ غَائِبَةٍ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Dan tiada sesuatu perkara yang ghaib di langit dan di bumi, melainkan tertulis dalam Kitab yang terang nyata.

Allah memaklumkan bahwa tidak ada sesuatu yang maujud walaupun ia ghaib, tersembunyi dan dirahsiakan dari pandangan dan pengetahuan orang, baik yang berada di langit mahupun di bumi, semuanya telah ditulis siap-siap di dalam Luh Mahfuz. Sebenarnya Allah telah menetapkan di sana akan segala-galanya dari makhluk yang mula-mula sekali dijadikan sampailah nanti datangnya hari kiamat, semuanya itu adalah terang, jelas dan dapat dibaca butiran-butirannya.

Misalnya berapa banyak bintang di langit, adalah ghaib bagi manusia. Berapa lama umur seseorang manusia itu akan hidup di dunia, itu juga ghaib dan tidak diketahui oleh manusia. Ataupun bagaimana dikumpulkan air mani manusia lelaki di dalam rahim perempuan, disatukan dan lalu dijadikan lembaga, membesar lalu diberikan nyawa dan akal, diam di dalam perut perempuan, membesar lagi lalu dilahirkan, itu juga adalah perkara ghaib bagi manusia. Namun semuanya itu bagi Allah tidaklah ghaib. Semuanya itu ada catatannya bagi Allah. Ada perhitungannya. Semuanya telah ada di dalam kitab yang bernama Luh Mahfuz.

Apabila kita melihat carta pentadbiran yang teratur dari sesuatu organisasi atau badan yang besar, kita akan membuat kesimpulan bahwa ianya mestilah dipimpin oleh seorang pemimpin yang amat teliti. Maka begitu juga Allah. Allah memiliki ketelitian yang Maha Teliti dalam mentadbir alam jagat raya ciptaanNya.

Maka dengan itu, percayalah kita bahwa yang ghaib bagi kita tidaklah ghaib bagi Allah. Semuanya teratur dan lengkap dengan peraturan Allah. Dan ada kalanya pula Allah membukakan sejemput keciiiiiil saja rahsia ghaib Allah kepada manusia. sehingga manusia menjadi teruja dan berbesar hati menerimanya. Umpamanya rahsia tenaga atom, rahsia kerak bumi yang terpendam di dasarnya dan sebahagian lagi yang lain. Dan semua itu hanyalah sekelumit kecil saja. Belum ada tandingannya dengan keghaiban yang masih banyak tersimpan di dalam perbendaharaan Allah.  







An Naml Ayat 76

نَّ هَذَا الْقُرْآنَ يَقُصُّ عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَكْثَرَ الَّذِي هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
Sesungguhnya Al-Quran ini menceritakan kepada Bani lsrael (perkara yang sebenar-benarnya) mengenai kebanyakan (hal-hal agama) yang mereka berselisihan padanya.
Allah mengkhabarkan bahwa Al Quran adalah kitab yang mulia yang menerangkan tentang petunjuk dan fungsi yang membezakan antara yang hak dengan yang batil. Di dalam Al Quran juga ada menerangkan tentang beberapa perkara yang menjadi pertikaian di kalangan kaum Bani Israel dahulunya. Ianya adalah mengenai Nabi Isa a.s.

Kaum Bani Israel telah bertegas mengatakan bahwa mereka adalah umat Nabi Musa dan tidak mahu menerima seruan Nabi Isa. Padahal Nabi Isa menjelaskan bahwa beliau juga diutus untuk menyeru kaum Bani Israel agar mengikuti jalan yang benar. Tetapi mereka ini, yang mengakui mereka ini beragama Yahudi, tidak mahu pula menerima seruan Nabi Isa. Bahkan mereka menuduh Nabi Isa itu anak yang lahir hasil hubungan luar nikah. Ini kerana Nabi Isa dilahirkan oleh Maryam semasa Maryam masih perawan suci dan tidak dinikahi sesiapa. Mereka tuduh Nabi Isa sebagai anak zina dan menolak mukjizat tanda kebesaran Allah.

Sebaliknya pula berlaku pada orang-orang Nasrani!. Oleh kerana Nabi Isa lahir ke dunia dengan tidak ada perantaraan bapa, melainkan langsung takdir dari Allah yang menghendaki segala-galanya, mereka telah menegakkan suatu kepercayaan bahawa Nabi Isa itu adalah anak Allah. Iaitu Allah sendiri yang datang ke dunia menjelma di dalam perut Maryam dan lahir ke dunia menjadi anak Allah. Pendekata Yahudi memandang Nabi Isa sebagai orang yang kotor, tetapi Nasrani memandang Nabi Isa sebagai Tuhan pula.

Okay. Maka dengan kedatangan Nabi Muhammad sebagai Rasul pilihan, kepada baginda Allah turunkan wahyu iaitu Al Quran untuk menjelaskan semua kekalutan dan dakwaan tak betul mereka itu. Ini jelas dapat kita baca di dalam surah Maryam, yang menceritakan tentang kesucian Maryam dan kelahiran Nabi Isa yang sebenarnya. Di dalam surah Ali Imran, surah Al Anbiya’ juga ada diceritakan.  

Dengan demikian maka tertolaklah kehinaan yang ditimpakan oleh orang-orang Yahudi kepada Nabi Isa selama ini. Penghinaan itu menurut hukum Islam adalah kafir! Sebab kekafiran yang pertama ialah kerana menghina seorang Rasul Allah, kedua kerana tidak mahu percaya bahwa Allah Maha Berkuasa berbuat apa yang Dia berkehendak lakukan.

Kemudian diterangkan juga bahwa sesungguhnya Nabi Isa itu bukanlah Tuhan. Beliau juga bukanlah putera Allah. Dan beliau juga bukanlah Allah yang menjelma di dalam perut Maryam, lalu setelah genap bulannya dilahirkan ke dunia untuk dikatakan beliau adalah anaknya. Dijelaskan juga bahwasanya jatuh kafir jika seseorang itu mengatakan bahwa “Allah itu adalah yang ketiga dari yang bertiga.” Rujuk surah Al Maidah ayat 73. Dan jatuh kafir jika seseorang itu mengatakan ‘bahwa Allah itu adalah Isa al Masih;” Rujuk Surah Al Maidah ayat 17.

Maka di dalam Al Quran ini memberikan semua kebenaran dan kenyataan yang benar, bahwa Nabi Isa al Masih anak kepada Maryam itu bukanlah anak zina, sebagai yang didakwakan oleh orang-orang Yahudi. Dan Nabi Isa bukanlah juga tuhan ataupun anak tuhan sepertimana yang didakwakan oleh orang-orang Nasrani.

Maha Suci Allah. Allah itu Maha Esa. Tidak ada yang lain yang bersekutu denganNya. Dia tidak beranak, tidak pula diperanakkan. Dan Dia tidak ada pula barang sesuatu pun yang menyamai Dia.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.