Friday, October 2, 2015

Surah Al Furqaan Ayat 21 - 40






JUZUK 19


Surah Al Furqan ayat 21

Dan berkatalah pula orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: "Mengapa tidak diturunkan malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?" Demi sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya.”

Allah menggambarkan cara berfikir orang-orang musyrik yang karut dan tak tentu arah itu kerana mereka sebenarnya sudah tidak takut lagi kepada pembalsan Allah kerana tidak percaya kepada hari akhirat, tidak percaya kepada Rasul mengenai wahyu yang diturunkan kepadanya. Mereka mengatakan mengapa tidak diturunkan bangsa malaikat, yang akan memberitahukan kepada kami tentang benarnya Muhammad menjadi rasul dan benarnya seruan yang didakwakannya, kerana kami masih ragu-ragu? Kalau tidak ada malaikat yang diturunkan lebih baik kami dapat berjumpa dan melihat Tuhan kami, suapaya Tuhan memberi jaminan kepada kami bahawa Muhammad itu benar-benar utusanNya yang membawa berita gembira dan berita ancaman. Kalau ini semua sudah berlaku barulah kami mahu beriman.

Inilah kata-kata yang sungguh karut, yang membayangkan betapa degil dan sombongnya pekerti mereka. Lantaran itu Allah menyatakan dalam firmanNya dalam ayat ini yang bermaksud, “..Demi sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya.”

Demi sebenarnya, mereka itu telah angkuh dan menyombongkan diri dengan melampaui batasan di dalam penganiayaan. Mereka begitu berani mendustakan Rasul, tidak mengendahkan sedikit pun tentang adanya mukjizat yang diperlihatkan kepada mereka,  dan begitu juga tentang banyaknya keterangan dan penerangan yang diberikan kepada mereka dasarnya sifat mereka buruk sekali dan cara berfikir mereka begitu ganjil.








Surah Al Furqan ayat 22

“(Ingatkanlah) hari mereka melihat malaikat, pada hari itu tiadalah sebarang berita gembira bagi orang-orang yang bersalah (bahkan sebaliknya), dan mereka akan berkata: "Semoga kita jauh - dijauhkan (dari sebarang keadaan yang buruk)".

Mereka yang berdosa itu melihat para malaikat yang datangnya tidak membawa kegembiraan kepada mereka. Malaikat tersebut mengatakan “hijran mahruja”  yang maksudnya diharamkan kepada kamu menerima khabar baik yaitu akan dapat keampunan atau masuk ysurga, kerana keduanya itu hanya diperuntukkan bagi mereka yang beriman kepada Allah dan membenarkan Rasul-Nya".

Mereka tidak langsung digembirakan bahkan akan dikatakan oleh malaikat, “kamu akan kempunan dari mendapat kegembiraan yang diberikan kepada orang-orang yang bertakwa.”







Surah Al Furqan ayat 23

Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.

Segala amalan baik yang mereka kerjakan seperti menghubungkan tali silaturrahim menolong orang yang susah, membebaskan orang-orang yang tertawan dan lain-lain perkara kebajikan, kalaulah mengamalkannya dalam keadaan mereka beriman, nescaya mereka akan mendapat pahala. Tetapi oleh kerana kekufuran mereka, maka segala amalan itu Allah akan menjadikannya sia-sia saja ibarat debu yang berterbangan.









Surah Al Furqan ayat 24

Ahli-ahli Syurga pada hari itu lebih baik tempat menetapnya, dan lebih elok tempat rehatnya.

Di sini disebutkan pula keadaan ahli syurga. Iaitu mereka yang ada di dalam syurga lebih kedudukannya daripada orang-orang musyrik yang membanggakan harta kekayaan mereka serta kemewahan yang mereka peroleh di dunia. Penduduk syurga itu mendapat tempat tinggal yang sangat menyenangkan dan tempat istirehat yang sangat selesa yang tidak ada bandingannya dan tidak terdapat di rumah-rumah golongan orang-orang yang mewah hidupnya di dunia.










Surah al Furqan ayat 25

Dan (sebutkanlah perihal) hari segala langit pecah-belah (disertakan) dengan kumpulan awan (yang berisi malaikat), dan (pada hari yang tersebut) diturunkan malaikat itu dengan cara berpasuk-pasukan.”

Allah memberitahu bahwa malaikat itu nanti akan benar-benar diturunkan ke bumi berterusan. Iaitu semasa berlakunya hari kiamat, yang mana makhluk-makhluk yang berada di cakrawala seperti matahari dan bintang-bintang nanti semuanya akan pecah dan terbelah, hancur menjadi debu, jadilah alam sepertimana ia bermula, iaitu kosong dan tidak ada lagi. Maka segala peraturan alam pun akan rosak binasa. Hal ini seperti yang dinyatakan pada ayat 19 dan 20 dari surah An Naba’ yang bermaksud:
“Dan dibukalah langit, maka terdapatlah beberapa pintu, dan dijalankanlah gunung-gunung maka menjadi fatamorganalah ia. “
(Q.S. An Naba: 19-20)

Maka pada hari yang dahsyat itu diturunkanlah malaikat secara bergelombang sambil membawa kitab-kitab yang berisi catatan semua amal hamba-hamba Allah yang mereka saksikan ketika mereka masih hidup di dunia untuk dijadikan bahan bukti ketika diadili Allah di padang mahsyar.








Surah Al Furqan ayat 26

“Kuasa pemerintahan yang sebenar-benarnya pada hari itu adalah tertentu bagi Allah Yang Maha melimpah rahmatNya, dan adalah ia satu masa yang amat sukar keadaannya kepada orang-orang kafir.

Di sini Allah menyatakan, bahwa kerajaan yang sebenarnya pada hari kiamat itu nanti ialah kepunyaan Allah yang bersifat Pengasih. Dialah Tuhan yang menghukum hamba-hambaNya dengan adil tiada siapa yang boleh menolong dan membantu orang-orang yang dibicarakan itu sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh Allah seperti firmannya di dalam ayat 17 surah Al Mu’minun yang bermaksud:
“Pada hari itu dibalas tiap-tiap manusia menurut usahanya masing-masing, tiadalah teraniaya sedikit juga.”
(QS Mu’minun : 17)

Hari itulah saat yang menakutkan kepada orang-orang kafir, kerana mereka akan diadili dan dibicarakan yang menyebabkan mereka akan mendapat kesusahan. Tetapi bagi orang mukmin pula merupakan hari yang mudah, kerana mereka akan menerima penghormatan dan juga kegembiraan.









Surah Al Furqan ayat 27

“Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?

Allah bagitahu pada hari itu nanti orang-orang yang menyekutukan Tuhan akan menggigit tangan emreka sebagai tanda kekecewaan dan penyesalan yang amat sangat, kerana telah bersalah terhadap Allah dan berpaling dari kebenaran, padahal kebenaran itu sudah pun diterangkan oleh RasulNya agar dianut dan diikut.

Kekecewaan mereka itu menyebabkan mereka meratap, alangkah baiknya kalau mereka mengambil jalan yang hak dan benar bersama rasul itu, dan bukannya jalan yang bercabang menuju kepada kesesatan.









Surah Al Furqan ayat 28

“"Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! “

Inilah kecelakaan yang besar. Sekiranya aku dulu tidak menjadikan si fulan itu teman akrabku yang telah menjerumuskan aku ke dalam kesesatan". Memang yang menjerumuskan manusia ke dalam kecelakaan dan kesesatan itu ada kalanya syaitan sendiri atau syaitan yang berbentuk manusia, seperti seorang musyrik Arab yang bernama Ubay bin Khalaf.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahwa seorang yang bernama 'Uqbah bin Abu Mu'it sering duduk menghadiri pengajian Nabi Muhammad saw, sehingga nabi dipandang sebagai kenalannya. Maka pada suatu hari ia mengundang Nabi saw makan di rumahnya. Setelah makanan disiapkan, Nabi saw tidak mahu makan, melainkan setelah tuan rumah mengucapkan dua kalimat syahadat. Maka 'Uqbah mengucapkan kalimat syahadat, dan pada hari itu ia sudah dipandang memeluk agama Islam.

Berita tentang 'Uqbah masuk Islam itu setelah sampai kepada Ubay bin Khalaf teman akrabnya membangkitkan kemarahannya, sampai ia berkata kepada 'Uqbah: "Apa betul engkau telah meninggalkan agama nenek moyangmu dan memeluk agama Muhammad?" Uqbah menjawab: "Demi Allah, tidak. Muhammad hanya datang ke rumahku. Aku hidangkan makanan kepadanya, tetapi ia tidak mahu makan kecuali bila aku sudah mengucapkan dua kalimah syahadat. Oleh kerana aku malu, jika ada tamu tidak mahu makan makananku, maka aku mengucapkan dua kalimat syahadat itu, dan sekali-kali bukan dengan maksud masuk Islam". Ubay bin Khalaf berkata: "Jika benar ucapanmu itu, bahwa kamu hanya berpura-pura saja, maka saya tidak suka bersahabat lagi dengan kamu kecuali kamu harus berani memijak tengkuk Muhammad dan meludahi wajahnya".

Pada suatu hari Uqbah berjumpa dengan Nabi Muhammad saw sedang salat di Darun Nadwah, dekat Baitullah. Lalu Uqbah pun melakukan perbuatannya yang terkutuk itu dan Nabi saw berkata: "Awas hai Uqbah, bila aku menjumpaimu nanti di luar kota Mekah, Insya Allah pasti aku akan memukulmu dengan pedang pada lehermu". Maka pada waktu perang Badar, Uqbah ditawan dan Nabi menyuruh Ali bin Abu Talib memotong lehernya. Itulah akibat yang diderita oleh Uqbah bin Abu Mu'it, kerana murtadnya dan perbuatannya yang sangat terkutuk terhadap Nabi ketika beliau sedang salat di muka Baitullah itu. Pantaslah jika ia pada hari kiamat nanti mengeluarkan keluhannya yang penuh dengan penyesalan itu.

Adapun nasib yang menimpa Ubay bin Khalaf, ialah ketika terjadi perang Uhud, Nabi saw melemparkan sebuah tombak kepadanya yang tepat mengenai tenggoroknya. Ia tidak banyak mengeluarkan darah, kerana darahnya terbendung dalam kerongkongnya. Ia hanya meraung-raung saja menderita kesakitan, sehingga dengan cara yang menyeksakan ia kembali kepada kaumnya. Kaumnya yang tidak dapat menolong lagi dan iapun mati beberapa hari kemudian dalam keadaan yang sangat menyedihkan.

Oleh kerana itu Nabi saw memberi pelajaran dan peringatan kepada semua supaya selalu mencari sahabat atau teman yang akrab yang baik. Sabda beliau:

الرجل على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل.
Artinya:
“Manusia akan dikumpulkan di padang mahsyar bersama teman se agamanya. Oleh kerana itu, perhatikanlah olehmu siapa yang dijadikan teman akrabmu itu. “(H.R. Abu Daud dan Tirmizi)

Dan sabda Rasulullah saw:

لا تصاحب إلا مؤمنا ولا يأكل طعامك إلا تقي
Artinya:
“Jangan bersahabat melainkan dengan orang yang beriman, dan jangan memakan hidanganmu melainkan orang yang bertakwa. “(H.R. Abu Daud dan Tirmizi)

Dan Sabda Rasulullah saw:

إنما مثل الجليس الصالح وجليس السوء كحامل المسك ونافخ الكير فحامل المسك إما أن يحذيك وإما أن تبتاع منه وإما أن تجد منه ريحا طيبة ونافخ الكير إما أن يحرق ثيابك وإما أن تجد منه ريحا منتنة
Artinya:
“Perumpamaan teman duduk yang baik dan yang jahat, ialah seperti pembawa minyak kasturi dan pandai besi. Pembawa minyak kasturi itu adakalanya kamu menerima atau membeli minyak daripadanya. Dan paling sedikit kamu mendapatkan bau harum daripadanya. Adapun pandai besi kadang-kadang ia membakar pakaianmu kerana semburan apinya atau paling sedikit kamu menjumpai bau keringatnya yang busuk". (H.R. Syaikhani dari Abu Musa Al Asy'ari)

Allahu rabbi!!!








Surah Al Furqan ayat 29

“"Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)".

Orang-orang musyrik itu seterusnya menyesali dengan mengatakan, sesungguhnya teman-temanku itu telah menyesatkan aku dari beriman dengan alQuran dan melengahkan dari mengingat pengajarannya, padahal AlQuran itu sudah pun didatangkan dari Tuhanku.

Inilah teman-teman dari kumpulan syaitan. Sedangkan adat dan tabiat syaitan itu pula suka mengecewakan manusia dari memalingkannya dari kebenaran. Bahkan dipandunya manusia itu kepada perkara yang salah dan batil. Tidak pula syaitan itu dapat menyelamatkan orang dari bencana dan bahaya. Demikianlah akibat orang yang memilih syaitan itu menjadi temannya.










Surah Al Furqan Ayat 30

Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai".

Di sini Allah menceritakan tentang pengaduan RasulNya iaitu ‘wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku yang kepadanya aku diutus supaya menyeru mereka mentauhidkan Engkau dan menyampaikan perutusanMu kepada mereka, sesungguhnya mereka itu telah mengabaikan Al Quran dengan meninggalkannya begitu saja tidak mahu beriman atau percaya kepada Engkau. Mereka tidak mempedulikan samada janji atau ancaman Engkau kepada mereka. Sebaliknya berpaling dari AlQuran tidak mahu mendengar atau mengikuti pengajarannya.’

Dengan menyebutkan lafaz Rasul di sini jelas sekali menunjukkan bahwa baginda Rasul benar-benar menjadi utusan Allah tak dapat kaumnya menyangkal akan kebenaran itu. Tetapi kemudian Allah menyuruh rasulNya bersabar menghadapai persoalan-persoalan yang berat serta Allah memberikan kegembiraan dengan meceritakan, bahwa para rasul yang terdahulu dapat dijadikan contoh.








Surah Al Furqan ayat 31

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka).

Sebagaimana engkau ya Muhammad mempunyai musuh-musuh dari golongan orang-orang musyrik yang suka melemparkan kata-kata keji dan melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak senonoh, Kami (Allah) mengutus tiap-tiap nabi yang ditakdirkan dengan membawa syariat Allah masing-masing ditakdirkan mempunyai musuh-musuh juga dari golongan syaitan bangsa manusia dan golongan syaitan dari bangsa jin, sepertimana yang disebut didalam surah Ar-Rum ayat 47 yang bermaksud:
“Dan adalah menjadi hak Kami menolong orang-orang yang beriman itu.”

Oleh itu janganlah takut, memang biasanya para nabi yang sebelum engkau ya Muhammad berkeadaan begitu. Jadi mestilah sabar seperti kesabaran yang mereka tunjukkan. Allah menjanjikan setiap rasul itu dengan hidayah pertolonganNya, untuk mengalahkan musuh-musuh.

Cukuplah Tuhanmu saja yang akan memimpin engkau dengan hidayahNya ke arah kepentingan agama dan juga dunia, dan akan menyampaikan engkau ke arah kesempurnaan yang engkau tuju, dan akan menolong engkau mengalahkan musuh yang akhirnya akan menang. Tak usah gentar kepada ramainya musuh, kerana sesungguhnya Allah pasti akan menjadikan kalimahNya itu di atas dan kalimah musuh berada di bawah. Bersabarlah dan teruskanlah tugasmu sampai ke tempoh yang ditetapkan.









Surah Al Furqan ayat 32

Dan orang-orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?" Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.

Orang-orang Yahudi berkata: "Mengapa Alquran itu tidak diturunkan kepada Muhammad sekali turun saja?". Seperti kitab-kitab dari Allah sebelumnya. Kitab Taurat kepada Musa dan Zabur kepada Daud. Anggapan orang-orang Yahudi bahwa kitab-kitab sebelum Alquran diturunkan kepada Rasul-rasul-Nya secara sekaligus adalah anggapan yang salah. Sebab kitab Taurat sendiri diturunkan dalam 18 tahun seperti diterangkan dalam beberapa nas dalam kitab Taurat. Maka Allah menolak anggapan mereka itu dan menerangkan apa sebab-sebabnya mengapa Alquran diturunkan secara berangsur-angsur.

Demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengan diturunkannya Alquran secara berangsur-angsur dan agar mudah dihafalkannya.

Tersebut dalam firman Allah:

وقرآنا فرقناه لتقرأه على الناس على مكث ونزلناه تنزيلا
Artinya:
Dan Alquran itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia, dan Kami menurunkannya bagian demi bagian.“
(Q.S. Al Isra': 106)

Turunnya Alquran secara beransur-ansur memang mengandungi banyak hikmah:
1. Kerana Nabi Muhammad saw tidak dapat membaca dan menulis (ummi) maka seandainya Alquran itu diturunkan kepadanya sekaligus, tentulah menjadi kesulitan baginya untuk menghafalnya dan menjaganya dari kesalahan dan kekhilafan.
2. Supaya hafalannya lebih sempurna dan terhindar dari segala kealpaan.
3. Seandainya Alquran itu diturunkan sekaligus, tentu syariat-syariatnyapun diturunkan sekaligus; dan yang demikian itu pasti mengakibatkan banyak kesulitan, tetapi kerana turunnya beransur-ansur maka datangnya syariatpun beransur-ansur sehingga mudah dilaksanakan.
4. Kerana turunnya Alquran itu beransur-ansur, maka Nabi Muhammad saw. sering berjumpa dengan malaikat Jibril sehingga banyak menerima nasihat untuk menambah semangat. kesabaran dan ketabahan dalam menunaikan risalah-Nya.
5. Kerana turunnya Alquran banyak berkaitan dengan sebab-sebab turunnya seperti adanya pertanyaan-pertanyaan; peristiwa-peristiwa, kejadian, maka yang demikian itu lebih membekas dalam hati para sahabat kerana merupakan pengalaman.
6. Dengan turunnya Alquran secara beransur-ansur itu pun mereka tidak mampu meniru Alquran walaupun satu ayat, apalagi jika Alquran itu diturunkan secara sekaligus.
7. Sebagian hukum syariat Islam pada permulaannya diturunkan disesuaikan dengan adat-istiadat kaum Muslimin pada waktu itu, yang kemudian setelah mereka tambah cerdas dan bertambah tebal keimanannya baru diterapkan syariat Islam yang lebih sempurna dengan ayat-ayat Alquran yang turun kemudian. Seandainya Alquran itu diturunkannya sekaligus tentu hal demikian itu tidak mungkin terjadi. Dan kami menurunkannya dan membacakannya dengan perantaraan Jibril kelompok demi kelompok.








Surah Al Furqan ayat 33

Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu).

Setiap kali orang-orang musyrik itu mendatangi Rasulullah saw dengan mengemukakan cadangan-cadangan yang ganjil semata-mata hendak mencela kerasulanNya, maka setiap itu pula Allah berikan kepada baginda kebenaran, iaitu perkara yang hak, yang dapat menolak sebarang cadangan karut dan kritik-kritik yang remeh lagi tidak sihat. Sehingga dapat pula baginda memberikan huraian dan penerangan yang lebih baik daripada apa yang mereka katakan.







Surah Al Furqan ayat 34

“Orang-orang yang akan diseret beramai-ramai ke neraka Jahannam (dengan tertiarap) atas mukanya, merekalah orang-orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya. “

Di sini tidak ada yang hendak dikatakan untuk menjawab kata-kata mereka, hanyalah mereka itu akan dihukum dengan mengheret di atas muka mereka ke dalam neraka Jahannam pada hari kiamat nanti, iaitu tempat yang seburuk-buruknya dan tempat yang sesesat-sesatnya. Mengheret di atas muka mereka dengan dirantai dan belenggu yang mengikat hingga ke neraka jahanam melambangkan penghinaan yang sehina-hinanya.








Surah Al Furqan Ayat 35

Dan sesungguhnya Kami telah berikan Kitab Taurat kepada Nabi Musa, dan Kami lantik saudaranya Nabi Harun, sebagai menteri bersamanya. “

Dengan ayat ini dan beberapa ayat berikutnya Allah menceritakan kisah para Nabi serta umat masing-masing yang telah mendustakan mereka. Ada 5 kisah di sini, iaitu kisah Nabi Musa bersama Firaun dengan rakyatnya, kisah Nabi Nuh dengan kaumnya, kisah Nabi Hud bersama kaum ‘Ad, kisah Nabi Salih bersama kaum Thamud dan kisah penduduk negeri Arras iaitu kaum Nabi Syu’aib.

Mula-mula Allah menceritakan tentang Nabi Musa, iaitu Allah menurunkan kitab Taurat kepadanya sebagaimana AlQuran yang juga digelar al Furqan telah diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. Nabi Musa diutus bersama dengan abangnya, iaitu Nabi Harun yang menjadi penolongnya, ditugaskan untuk menyeru Firaun supaya menyembah Allah. Walaupun Harun seorang nabi tetapi beliau adalah penganut syariat Nabi Musa kerana beliau menjadi wazir, iaitu penolong kepada Nabi Musa, tentulah akan mengikut syariat orang yang ditolongnya di dalam menjalankan tugas.









Surah Al Furqan ayat 36

Lalu Kami perintahkan: "Pergilah kamu berdua kepada kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami"; maka (kesudahannya) Kami binasakan kaum itu sehancur-hancurnya.

Allah menitahkan kepada keduanya supaya pergi ke negeri Mesir menyeru agama Islam kepada Firaubn, tetapi Firaun bersama rakyatnya telah mendustakan kerasulan keduanya walaupun sudah diberikan dalil dan bukti tentang keesaan Allah. Lantaran itu Allah telah membinasakan mereka sehingga musnah.

Dengan menyebutkan kisah ini dapat dihiburkan hati Rasul, bahwa bukan baginda seorang saja rasul yang didustakan oleh kaumnya.









Surah Al Furqan ayat 37

Dan (demikian juga) kaum Nabi Nuh, ketika mereka mendustakan Rasul-rasul Kami, Kami tenggelamkan mereka, dan Kami jadikan mereka satu tanda (yang menjadi contoh) bagi umat manusia; dan Kami sediakan bagi sesiapa yang zalim; azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Di sini Allah menceritakan pula kisah Nabi Nuh ketika kaumnya telah mendustakannya. Padahal Nabi Nuh telah tinggal bersama-sama mereka dan menyeru mereka supaya mengesakan Allah dalam tempoh yang sangat lama, hanya kurang 50 tahun saja akan mecapai 1000 tahun.

Tetapi yang mahu beriman hanya segolongan kecil saja dari mereka. Oleh itu Allah telah menghukum mereka dengan ditenggelamkan mereka semuanya, kecuali orang-orang yang ada bersama-sama Nabi Nuh dalam bahtera itu saja yang telah diselamatkan. Kejadian itu menjadi contoh tauladan kepada umat yang akan datang.

Bahtera itu diselamatkan untuk menjadi tanda bukti kepada manusia. Adapun orang -orang yang terselamat kerana berada di dalam bahtera itu adlaah orang-orang yang beriman. Makan hendaklah keturunan mereka mengingat dan mengenag akan nikmat tersebut dan hendaklah beriman pula kepada Allah. Dan Allah menyediakan seksaan yang pedih kepada orang yang zalim atau aniaya disebabkan kekufuran mereka kerana tidak mahu beriman dengan RasulNya, mereka diazab di akhirat nanti.

Ayat ini membayangkan, bahawa Quraisy yang telah mendustakan Nabi Muhammad saw akan ditimpakan seksaan di dunia dan di akhirat sebagaimana yang telah ditimpakan kepada orang-orang yang telah mendustakan para rasul sekiranya orang-orang Quraisy tidak kembali dari kesesatan mereka.








Surah Al Furqan ayat 38

“Dan (demikian juga Kami telah binasakan) Aad dan Thamud serta Ashaabur-Rassyi dan banyak lagi dalam zaman-zaman di antara masa yang tersebut itu.”

Pada ayat ini Allah menerangkan bahwa Dia telah membinasakan kaum Ad, kaum Nabi Hud as dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang; dan Samud kaum Nabi Saleh as dengan suara yang keras mengguntur dan membinasakan pula penduduk Arass yang ada di negeri Yamamah yang telah membunuh Nabinya. Dan telah banyak pula generasi-generasi yang lain kaum-kaum tersebut yang telah dibinasakan.







Surah Al Furqan ayat 39

Dan masing-masing, telah Kami berikan kepadanya contoh tauladan yang mendatangkan iktibar, dan masing-masing telah Kami hancurkan sehancur-hancurnya.

Semua mereka yang diterangkan telah pun diberikan hujah, bukti dan dalil namun mereka berterusan dalam kufur dan kesesatan, lalu Allah membinaskaan mereka dengan cara yang seburuk-buruknya. Tetapi tidaklah mereka itu dibinaskan melainkan sesudah mereka diberikan peringatan dan ancaman terlebih dahulu.










Surah Al Furqan ayat 40

Dan demi sesungguhnya, mereka (yang menentangmu wahai Muhammad) telah melalui bandar yang telah dihujani (dengan) azab yang buruk, maka (mengapa mereka masih berdegil), tidakkah mereka selalu dapat menyaksikannya? (Mereka tidak fikirkan yang demikian itu satu balasan kufur) bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak ingatkan adanya kebangkitan hidup semula (untuk menerima balasan). “

Sesungguhnya kaum musyrikin Mekah sering melalui negeri Sodom yang dahulu pernah dihujani dengan hujan batu yang sederas-derasnya dan bekas kediaman Nabi Lut as yang terkenal dengan perbuatan homosexual. Maka apakah mereka tidak menyaksikan bekas runtuhan itu sebagai azab akibat mendustakan seorang utusan Allah. Kemudian Allah menjelaskan bahwa sebab utama yang menutup mata hati mereka tentang turunnya azab itu bukannya mereka tidak melihat tetapi oleh kerana mereka tidak percaya akan adanya hari kebangkitan pada hari kiamat, sesudah mereka mati.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.