Tuesday, October 27, 2015

Surah Al Hajj Ayat 37 - 51





Al Hajj Ayat 37 Hingga 38 
 لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلاَ دِمَآؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَي مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبّـِرُوا اللَّهَ عَلَي مَا هَدَاكُمْ وَبَشّـِرِ الْمُـحْسِنِينَ
37 -  Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. 

إنَّ اللَّهَ يُدَافِعُ عَنِ الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ
38 - Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.   

Allah menegaskan bahawa tujuan melakukan ibadah korban ini ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mencari keredhaanNya. Ini bukanlah bermakna menginginkan semua daging-daging binatang yang disembelih itu apa tah darah binatang yang telah disembelih tadi. Akan tetapi apa yang Allah pandang dan titikberatkan ialah melakukan ibadah korban itu dengan niat yang ikhlas, dilakukan semata-mata kerana Allah dan sebagai mensyukuri nikmat-nikmat yang tidak terhingga yang telah dilimpahkanNya. Kalau amalan korban ini tidak dilakukan dengan ikhlas, maka tidaklah berguna baginya melakukan korban untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Lalu Allah mengingatkan orang-orang yang beriman agar selalu bersabar dan menyerahkan nasib mereka kepada Allah (bertawakkal). Ini kerana kaum musyrikin Mekah akan selalu mengganggu mereka dan menyekat orang-orang dari memeluk agama Islam serta menghalang mereka dari memasuki Masjidil Haram. Sesungguhnya Allah tetap akan menyelamatkan mereka serta menolong mereka mengalahkan musuh-musuh mereka dengan kesudahannya orang-orang beriman akan mendapat kemenangan.

Tentu saja pihak yang memusuhi orang-orang yang beriman itu tidak disukai oleh Allah. Bahkan Allah murka kepada mereka. Orang-orang ini adalah orang yang tidak berterima kasih kepada nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah kepada mereka, dan disebabkan itu mereka menyembah patung dan berhala yang tidak mendatangkan manafaat dan bahya kepada mereka.








Al Hajj Ayat 39 Hingga 40

اُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِاَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَي نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ
39 - Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). 

الَّذِينَ اُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلآَّ أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلاَ دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدّ‌ِمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيراً وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَويٌ عَزِيزٌ
40 - mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -

Orang-orang musyrikin ini telah menganiaya sahabat-sahabat baginda nabi dengan seksaan yang melampau. Diseksa sahabat-sahabat nabi sehingga ada yang luka parah di badan dan kepala mereka. Ada juga di antara sahabat nabi yang mati disula iaitu Sumayyah binti Khayyat. Sementara anaknya, Ammar bin Yasir telah dipukul. Bilal bin Rabah telah dijemur di padang pasir dan dihimpit dengan batu.  Penganiayaan ini dilakukan ke atas mereka hanyalah kerana mereka ini telah mengakui bahwa Allah adalah satu-satunya Tuhan mereka.

Lalu ada sahabat-sahabat nabi ini datang mengadu kepada nabi. Tetapi nabi saw hanya menyuruh mereka supaya bersabar dan terus bersabar. Sehinggalah Allah menurunkan ayat ini, yang memberikan kebenaran untuk berperang memerangi kaum musyrikin.

Allah menjanjikan kemenangan kepada orang-orang mukmin dan menolak bahaya dari orang-orang musyrikin. Menolong orang-orang mukmin yang beperang pada jalan Allah. Mereka yang diizinkan berperang itu telah diusir oleh kaum musyrikin dari kampung halaman mereka, telah disiksa dan disakiti tanpa alasan yang benar. 

Seandainya perbuatan kaum musyrik itu dibiarkan, tentulah kezaliman mereka semakin bertambah, semakin lama mereka bertambah gila kuasa, mereka akan menghancurkan masjid-masjid yang di dalamnya disebut dan diagungkan nama Allah. Kerana itu Allah mensyariatkan dalam agamaNya agar tiap-tiap orang yang beriman yang dihalang menyembah Tuhannya itu agar membela agamanya, berperang di jalan Allah. Mereka membela kebenaran dan menolak kebatilan dan kezaliman.

Pada hakikatnya perang yang terjadi itu adalah perang antara yang hak dan yang batil, perang antara orang yang telah mendapat petunjuk dari Allah dengan orang yang mengingkari petunjuk itu. Perang yang seperti itu adalah peperangan yang tujuannya untuk membina kehidupan manusia, iaitu kehidupan dunia yang sejahtera yang diredhai Allah dan kehidupan ukhrawi yang bahagia dan abadi.

Lalu Allah menguatkan perintah berperang pada ayat 40 ini dengan memberikan perintah dan memberikan janji. Allah memerintahkan agar kaum Muslimin menolong dan membela agama Allah, berjihad dan melaksanakan perintah Allah. Yang dijanjikan, ialah barang siapa yang menolong agama Allah, ia berhak mendapat pertolongan Allah, berupa kemenangan dan pahala di akhirat nanti.






Al Hajj Ayat 41
الَّذِينَ إِن مَكَّنَّاهُمْ فِي الاَرْضِ أَقَامُوا الصَّلاَةَ وءَاتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الاُمُورِ
41 - Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Mereka yang disebutkan di dalam ayat 42 ini adalah sahabat-sahabat Nabi atau sekalian umat Islam, khasnya kaum Muhajirin yang diusir dari negeri mereka iaitu kota Mekah. Dengan pertolongan Allah mereka dapat bertapak di negeri Madinah kerana dapat mengalahkan musuh mereka, iaitu orang-orang musyrik.

Setelah dapat berkuasa di negeri mereka, mereka tetap bertaat setia kepada Allah dengan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat harta serta menyeru orang melakukan kebaikan terutamanya mentauhidkan Allah dan menjalankan syariatNya.

Al Hajj Ayat 42 Hingga 44
وَإِن يُكَذّ‌ِبُوكَ فَقَدْ كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَعَادٌ وَثَمُودُ
42 - Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu (wahai Muhammad), maka (yang demikian tidaklah pelik) kerana sesungguhnya sebelum mereka: Kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), serta Thamud (kaum Nabi Soleh) telah juga mendustakan Rasul masing-masing;

 وَقَوْمُ إِبْرَاهِيمَ وَقَوْمُ لُوطٍ
43 - Dan (demikian juga) kaum Nabi Ibrahim dan kaum Nabi Lut; 

وَأَصْحَابُ مَدْيَنَ وَكُذّ‌ِبَ مُوسَي فَاَمْلَيْتُ لِلْكَافِرِينَ ثُمَّ أَخَذْتُهُمْ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ
44 - Dan juga penduduk Madyan; dan Nabi Musa juga telah didustakan; maka Aku memberi tempoh kepada orang-orang kafir itu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab seksa. Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.
Allah mengingatkan Nabi Muhammad, bahwa pekerti orang-orang yang mendustakan rasul ini bukanlah sesuatu yang baru. Bahkan sudah menjadi kebiasaan umat yang terdahulu mendustakan rasul masing-masing. Oleh itu janganlah baginda berdukacita, bahkan hendak bersabar, kerana kesudahan yang baik itu adalah bagi orang-orang yang mengikut perintah Allah juga.

Orang yang mendustakan rasul itu disebutkan pula oleh Allah, seperti kaum Nabi Nuh yang mendustakan nabi Nuh. Juga kaum Ad yang mendustakan nabi Hud. Kaum Thamud yang mendustakan Nabi Saleh. Kaum Ibrahim yang mendustakan Nabi Ibrahim. Kaum Lut yang mendustakan Nabi Lut. Penduduk Madyan yang mendustakan Nabi Syu’aib. Seterusnya juga Nabi Musa telah didustakan oleh kaum Firaum di negeri Mesir.

Mereka yang mendustakan para rasul itu ialah orang-orang yang kufur. Samalah dengan mereka yang engkar kepada Nabi Muhammad itu. Juga adalah orang-orang yang kufur. Jadi baginda tidaklah keseorangan di dalam menghadapi pendustaan kaum baginda itu. Cuma bezanya kaum Nabi Muhammad yang mendustakan baginda tidaklah diturunkan segera akan azab seksaan sepertimana kaum yang mendustakan rasul terdahulu. Azab seksaan tetap ada tetapi cuma ditangguhkan untuk sementara waktu. Bila tiba saatnya nanti azab itu akan menimpa mereka juga.


Al Hajj Ayat 45 Hingga 46
فَكَاَيّـِن مِن قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَاهَا وَهِيَ ظَالِمَةٌ فَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَي عُرُوشِهَا وَبِئْرٍ مُّعَطَّلَةٍ وَقَصْرٍ مَّشِيدٍ
45 - Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan). 

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الاَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَآ أَوْ ءَاذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لاَ تَعْمَي الاَبْصَارُ وَلَكِن تَعْمَي الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُور
46 - itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.

Pada kaum yang terdahulu yang telah kufur kepada rasul mereka, Allah telah binasakan negeri mereka sehingga hancur berkecai. Banyak negeri yang telah dihancurkan, rumah-rumah dirobohkan, kemudian ditimpa oleh runtuhan dinding-dindingnya. Banyak telaga-telaga yang tidak digunakan lagi oleh pemiliknya disebabkan para pemiliknya telah mati atau musnah bersama-sama dengan musnahnya negeri-negeri itu, dek kerana kederhakaan mereka kepada Allah.

Demikian pula banyaknya istana-istana dan mahligai-mahligai yang menjulang tinggi yang telah kosong, tidak berpenghuni lagi, kerana penghuni-penghuninya yang angkuh itu telah musnah. Semuanya itu bagi mereka merupakan balasan keapada kederhakaan dan keganasan mereka dan menjadi pelajaran yang berharga bagi manusia yang datang kemudian yang ingin memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Jadi orang-orang musyrikin Mekah ini, dianjurkan agar pergi mengembara, melawat tempat-tempat peninggalan di muka bumi ini, terutama untuk melihat bekas-bekas kesan hukuman Allah ke atas umat terdahulu yang kufur seperti mereka. Supaya mereka dapat membuka minda dan hati mereka, dapat merenungi akan kebesaran Allah yang Maha Berkuasa Melakukan apa saja SekehendakNya.

Memang bukan sedikit orang yang mengembara di muka bumi ini, namun kebesaran Allah tidak juga kelihatan oleh mereka, walaupun mata mereka terang memerhatikan semua kejadian. Ini semua adalah kerana bukanlah mereka buta mata. Tetapi sebaliknya mereka telah buta hati. Tidak dapat menilai, memikir dan menerima apa yang telah mereka lihat di sekekliling mereka. Malah ada yang menafikan kejadian di depan mata mereka. Menafikan bahwa kejadian yang menimpa kaum terdahulu akan terjadi kepada mereka juga.









Al Hajj Ayat 47 Hingga 48

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَلَن يُخْلِفَ اللَّهُ وَعْدَهُ وَإِنَّ يَوْماً عِندَ رَبّـِكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ
47 - Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung. 

 وَكَاَيّـِن مِن قَرْيَةٍ أَمْلَيْتُ لَهَا وَهِيَ ظَالِمَةٌ ثُمَّ أَخَذْتُهَا وَإِلَيَّ الْمَصِيرُ
48 - Dan bukan sedikit negeri-negeri yang Aku beri tempoh, sedang penduduknya berlaku zalim; kemudian Aku menimpakannya dengan azab seksa; dan (ingatlah) kepada Akulah tempat kembali.

Ketika Rasulullah saw menyampaikan ancaman-ancaman Allah keapda orang yang tidak mahu percaya, mereka menentang. Mereka suruh Rasulullah segera datangkan azab kepada mereka kalau betul Allah itu ada. Dan kalau betul Rasulullah ini pesuruh Allah.

Sesungguhnya Allah tidak akan memungkiri janjiNya. Apa yang Allah janjikan pasti akan terjadi selama mana mereka masih lagi menentang Allah. Tetapi azab itu tidak akan datang jikalau mereka bertaubat dan menurut jalan yang benar.  

Sekiranya mereka kata yang sudah lama mereka menunggu-nunggu namun seksaan Allah tak kunjung datang. Ini menunjukkan bahwa perhitungan Allah adalah berlainan dari perhitungan kita. Sebenarnya kalau hendak diukur jangka masa yang diperhitungkan 1000 tahun lamanya yang ada pada kita, cuma dikira sebagai satu hari saja perhitungannya di sisi Allah. Maka janji Allah pasti akan terlaksana juga akhrnya. Pada sangkaan mereka tempoh itu terlalu lama, sebenarnya adalah pendek saja bagi Allah.

Gambaran ini samalah sepertimana yang disebutkan di dalam ayat 6 dan 7 dari Surah Ma’arij yang bermaksud:
“sesungguhnya mereka melihatnya jauh, Sedangkan Kami melihatnya dekat.”

Bermakna di sini kalaulah seksaan di akhirat terlalu lambat dan lama datangnya, itu tidak bererti Allah menyalahi janjiNya. Hanya tempoh ketibaannya saja yang berbeza mengikut ukuran panjang atau pendeknya waktu. Tetapi seksaan itu pasti akan berlaku juga.

Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu itu sesuai dengan kehendak dan kebijaksanaanNya. Dalam pada itu manusia juga harus ingat akan salah satu dari sifat-sifat Allah, yaitu Dia tidak akan segera mengazab hamba-hambaNya yang berdosa, tanpa memberi kesempatan untuk mereka bertaubat dahulu.  Apabila kesempatan bertaubat itu diberikan tetapi mereka tidak juga mahu bertaubat, maka barulah mereka ditimpa azab yang dijanjikan itu.

Kerana itu betapa banyak negeri yang penduduknya berlaku zalim, tetapi setelah beberapa lama. mereka tidak bertaubat, bahkan bertambah zalim barulah Allah menimpakan azab kepada mereka dengan secara tiba-tiba dari arah yang tidak mereka ketahui.

Hendaklah manusia ingat, bahwa segala sesuatu yang ada di alam semesta ini adalah kepunyaan Allah, termasuk apa yang ada di dalamnya. semuanya akan kembali kepada Allah. Di waktu kembali kepadaNya itu, akan ditimbang seluruh amal perbuatan mereka, amal baik dibalas dengan syurga yang penuh kenikmatan, sedangkan amal buruk dan perbuatan jahat akan dibalas dengan neraka yang menyala-nyala.


 





Al Hajj Ayat 49

قُلْ يَآ أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّمَآ أَنَاْ لَكُمْ نَذِيرٌ مُبِينٌ
49 - Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia, aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang menjelaskan keterangan-keterangan kepada kamu".

Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad saw agar menyampaikan kepada orang-orang yang minta disegerakan datangnya azab yang akan menimpa mereka itu bahawa menimpakan azab itu bukanlah tugas para Rasul. Tugas para Rasul hanyalah menyampaikan peringatan dan ancaman Allah kepada manusia, termasuk untuk diri mereka sendiri. Para Rasul tidak boleh sewenang-wenangnya menilai perbuatan hamba dan memberi taufik kepada mereka kerana itu adalah kerja Allah sendiri.

Seandainya Allah berkehendak menimpakan azab yang dijanjikan itu, tentu Dia telah melakukannya. Dan melakukannnya itu adalah mudah bagiNya. Kerana itu janganlah sekali-kali meminta kepada Rasul agar azab itu disegerakan atau ditangguhkan, kerana semuanya itu adalah kerja Allah.








Al Hajj Ayat 50 Hingga 51


فَالَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
50 - Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.  

وَالَّذِينَ سَعَوْا فِي ءَايَاتِنَا مُعَاجِزِينَ اُوْلَئِكَ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ
51 - Dan (sebaliknya) orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itulah ahli neraka.

Allah bagitahu bahwa orang- orang beriman dan beramal saleh, mereka akan memperolehi pengampunan daripada Allah untuk dosa-dosa mereka yang telah lalu. Mereka juga akan diberikan pahala oleh Allah di atas kerja-kerja kebajikan yang mereka kerjakan. Mereka juga akan memperolehi rezeki yang mulia berupa syurga, dan di dalam syurga mereka akn mengecapi semua apa yang diinginkan oleh nafsu mereka dan hidup dengan bersenang lenang selamanya.

Manakala balasan bagi orang yang menentang keterangan Allah dan mereka yang tidak percaya akan hari kebangkitan, mereka ini akan di beri balasan neraka. Mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dibangunkan untuk diadili di padang mahsyar tetapi sebaliknya mereka akan dilemparkan ke dalam neraka dan akan menjalani azab seksaan selama-lamanya. 







No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.