Tuesday, October 13, 2015

Surah Asy-Syu'ara Ayat 41 - 60

Surah Asy Syu’ara ayat 41 dan 42

“Maka ketika ahli-ahli sihir itu datang, berkatalah mereka kepada Firaun: "Benarkah kami akan beroleh upah, kiranya kamilah orang-orang yang menang?"  - 41

“Firaun menjawab: "Benar, (kamu akan mendapatnya) dan sesungguhnya kamu dengan itu akan menjadi dari orang-orang yang dekat kepadaku". - 42

Datanglah beberapa banyak tukang sihir yang menyahut panggilan Firaun dan berada di hadapannya. Mereka berkata, ‘adakah kami akan mendapat upah dalam permainan sihir ini?” sesungguhnya kami patut mendapat upah dari Tuanku sekiranya kami menang dan dapt mengalahkan Musa.”

Mendengar itu Firaun bersedia menunaikan permintaan mereka lalu berkata, “ya, sudah tentu. Kamu akan mendapat upah yang besar di atas kebolehan yang kamu tunjukkan nanti. Di samping itu kamu akan menjadi orang-orang yang hampir denganku. Ini bererti kamu akan mendapat harta peninggalan yang banyak, kamu akan mendpat pangkat dan kebesaran di sisiku. Tidak ada yang lebih bahagia di dunia ini daripada orang-orang yang mendapat peluang seperti itu.”


Surah Asy Syu’ara ayat 43 Hingga 48

“Nabi Musa berkata kepada mereka: "Campakkanlah dahulu apa yang kamu hendak campakkan". - 43
“Lalu mereka mencampakkan tali-tali dan tongkat-tongkat mereka sambil berkata: "Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya sudah tetap kamilah orang-orang yang akan menang". - 44
“Kemudian Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). - 45
“Maka (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri: sujud, - 46
“Sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam, “ - 47
“"Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun". - 48

Setelah siap peristiwa bermain sihir hendak dimulakan, tampillah beberapa tukang sihir, masing-masing ada membawa tali dan tongkat dengan mengajak Nabi Musa. Kata mereka, ‘hai Musa! Pilihlah mana yang engkau suka, samda engkau yang memulakan melemparkan terlebih dahulu dengan tongkatmu, ataupun kami yang memulakan melemparkan dengan tongkat dan tali kami.”

Dijawab oleh Nabi Musa, “Lemparkanlah apa yang hendak kamu lembparkan.” Disuruh tukang sihir itu melembparkan alat-alat sihir mereka terlebih dahulu, supaya nanti akan kelihatan hakikat sihir itu yang sebenarnya.

Tukang-tukang sihir itu pun melemparkan tali-tali dan tongkat-tongkat mereka. Masing-masing menunjukkan permainan mereka, iaiatu disilapkan mata orang ramai yang sedang menyaksikan permainan itu. Tali-tali dan tongkat-tongkat yang mereka lemparkan dengan tiba-tiba menjelma menjadi ular yang besar-besar, menjalar ke sana ke mari denga rupa dan bentuk yang sangat hebat dan menggerunkan. Ini menyebabkan orang ramai takut dan cemas.

Semasa melemparkan tongkat dan tali mereka melafazkan, ‘demi kekuatan Firaun dan kebesarannya, pasti kami akan menang.” Mereka katakan begitu untuk menunjukkan bahwa kuasa pada memperlihatkan kepandaian yang seperti ini konon datangnya daripada firaun.

Kemudian Nabi Musa mendpat perintah daripada Allah dengan perantaraan malaikat Jibril, supaya mencampakkan tongkatnya. Maka dicampakkanlah tongkatnya yang bermukjizat itu. Lalu menjelmalah tongkat itu menjadi seekor ular yang snagat besar lalu menelan bendar-benar yang disihirkan oleh tukang sihir tadi. Semuanya habis licin dan tak ada satu pun yang tinggal.

Inilah yang dinyatakan oleh Allah di dalam firmannya pada ayat 118 di dalam surah Al A’raf yang bermaksud:
“maka nyatalah yang benar, dan hapuslah apa yang mereka kerjakan.”

Apabila tukang-tkang sihir itu melihat kejadian yang demikian, mereka sangat takjub dan memikirkan betapa saktinya tongkat Nabi Musa itu kerana ia sungguh luar biasa. Maka yakinlah mereka bahawa tongkat itu bukanlah sihir dan perkara itu bukanlah boleh dilakukan oleh seorang manusia pun.

Pastilah iatu suatu kudrat yang datangnya dari langit, dan tentulah ini bukti kekuasaan Allah. Mereka mulai tidak percaya akan kegagalan dan kekuatan Firaun. Maka perlawanan sihir tukang sihir dengan Nabi Musa itu tadi berakhir dengan kemenangan di pihak Nabi Musa.

Kemudian timbul keinsafan dari pihak tukang-tukang sihir itu. Mereka menyedari bahwa mereka berada di pihak yang slaah kerana telah melihat dengan mata kepala sendiri betapa besarnya kekuasaan dan kudrat Allah swt, di samping Allah telah membukakan pintu hati mereka untuk menerima keimanan dan percaya kepada Allah.

Dengan tidak berlengah lagi, mereka pun meniarap ke bumi, mereka sujud menyatakan syukur yang sebesar-besarnya terhadap Allah yang telah membukakan hati mereka dan memimpin mereka ke jalan yang lurus dengan sebab memperlihatkan kepada mereka akan mukjizat Nabi Musa. Sambil meniarap mereka berkata, “kami sudah pun beriman dengan Tuhan seru sekalian alam iaitu Tuhannya Musa dan Harun”.



Surah Asy Syu’ara ayat 49

Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dia lah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya".

Melihat tukang sihir yang telah berpaling tadah dalam kejadian yang tidak disangka-sangka itu, Firaun menjadi murka lalu ia bertanya kepada tukang-tukang sihir itu, ‘mengapa kamu beriman dengan Musa dan mengakuinya sebagai rasul sebelum aku mengizinkan kamu terlebih dahulu?” Ini bererti Firaun telah menuduh mereka semuanya telah berkhianat dan derhaka padanya, disebabkan mereka bertindak tanpa izinnya terlebih dahulu.

Kemudian Firaun tanya lagi, ‘sesungguhnya Musa itulah pemimpin kamu yang mengajarkan kamu sihir-sihir itu.” Firaun menuduh bahwa Musa lah orangnya yang menjadi pemimpin untuk mengajar mereka bermain sihir. Padahal Musa belum pernah bertemu dengan tukang-tukang sihir itu sebelum ini. Nyatalah tuduhan itu palsu belaka.

Kemudian Firaun mengancam semua tukang sihir itu bahwa mereka semua akan dikenakan hukumam potong tangan dan kaki dengan bersilang. Mula-mula tangan mereka yang kanan akan dikerat kemudian kaki kiri mereka pula akan dikerat. Dan mereka akan diperintahkan untuk digantung dan disalib di kayu palang.


Surah Asy Syu’ara ayat 50 dan 51

Mereka menjawab: "(Ugutanmu itu) tidaklah menjadi hal! Sesungguhnya kami (tidak gentar), kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami.” - 50

“"Sesungguhnya kami amat berharap supaya Tuhan Kami mengampunkan dosa-dosa kami, kerana kamilah orang-orang yang mula-mula beriman (dalam peristiwa ini)". - 51

Tukang-tukang sihir itu menjawab bahawa mereka sudah tidak mahu mengendahkan lagi ancaman Firaun. Bahkan mereka rela untuk menghadapi ancaman dan hukuman yang dikenakan ke atas mereka semua itu dengan tenang. Mereka menganggap bahawa sudah tidak ada bahaya lagi dengan ancaman yang dikenakan oleh Firaun ke atas mereka itu. Mereka sudah tidak gentar lagi kerana mereka yakin yang kesudahan mereka adalah mereka akan mati dan kemudian akan menemui Tuhan mereka yang sebenarnya. Allahu rabbi!!!

Sesungguhnya mereka sangat ingin agar doa mereka diampunkan Tuhan kerana perbuatan mereka bermain sihir, kerana sihir itu membawa kepada kufur. Mereka berasa bahwa merekalah orang yang mula-mula tampil untuk beriman di dalam perhimpunan yang ramai itu. Mereka tunduk kepada kebenaran dan tidak lagi mementingkan kemewahan hidup dan segala perhiasan yang ada di dunia ini.


Surah Asy Syu’ara ayat 52

“(Allah berfirman): Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar pada waktu malam; sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan tenteranya)".    

Allah telah memerintahkan Nabi Musa untuk menyiarkan agama Allah kepada Firaun dan seluruh penduduk Mesir. Nabi Musa juga telah menunjukkan mukjizat yang menandakan bahawa beliau adalah benar-benar utusan Allah. Akan tetapi mereka semuanya telah tidak menyambut seruan beliau dengan baik malah mereka tetap berdegil di dalam kekufuran, menyombongkan diri dan terus menerus melakukan kekejaman ke atas kaum Bani Israel.

Oleh sebab itu Allah telah memerintahkan Nabi Musa supaya meninggalkan negeri Mesir pada suatu malam, untuk menuju ke suatu tempat yang ditetapkan.

Dalam ayat ini Allah telah mewahyukan iaitu memerintahkan Nabi Musa supaya membawa kaum Bani Israel untuk melarikan diri pada suatu malam walaupun mereka kemudiannya diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya dari belakang untuk menangkap mereka. Tetapi Allah berkata kepada Nabi Musa, bahwa musuh mereka tidak akan dapat menangkap mereka sebelum mereka sampai ke tebing atau pantai laut dan mereka telah dapat menyeberangi laut tersebut.

Adalah dikatakan bahwa kaum Bani Israel telah tinggal di negeri Mesir selama 430 tahun lamanya. Dan pada malam di mana mereka melarikan diri adalah merupakan malam perayaan bagi mereka.


Surah Asy Syu’ara ayat 53 hingga 56

“(Setelah mengetahui keadaan itu) maka Firaun mengutus (orang-orangnya) ke bandar-bandar (negeri Mesir), untuk mengumpulkan (tenteranya), “ - 53

“(Sambil berkata kepada mereka): "Sesungguhnya orang-orang (Musa) itu adalah segolongan kecil,” - 54

“"Dan sesungguhnya mereka melakukan perkara yang menyebabkan kita marah;” - 55

“"Dan sesungguhnya kita sekalian, sentiasa beringat dan berjaga-jaga". - 56

Sementara kaum Bani Israel yang diketuai oleh Nabi Musa as telah berlepas pada malam itu, Firaun telah diberitahukan tentang pelarian mereka. Maka diperintahkannya askar-askarnya ke seluruh kota supaya berkumpul dan disuruh bersiap sedia menangkap mereka untuk dibawa balik ke negeri Mesir. Kemudian akan dihukum dengan seksaan yang keras di atas perbuatan mereka.

Firaun telah mengarahkan supaya mereka semua ditangkap. Sesungguhnya mereka kaum Bani Israel dan Nabi Musa itu hanyalah terdiri dari kumpulan kecil saja. Tentu saja dapat ditangkap dalam masa yang singkat. Mereka yang melarikan diri itu telah membuatkan firaun dan pembesar-pembesar semuanya marah dek kerana mereka itu selalu saja mengganggu ketenteraman dan keamanan, dan membuat kacau di negeri Mesir. Dan mereka juga telah dituduh telah melarikan diri dengan harta kekayaan rakyat yang telah mereka pinjam.

Harta kekayaan yang mereka pinjam itu adalah merujuk kepada perhiasan jenis emas dan perak yang kaum Bani Israel pinjam dari jiran tetangga. Tujannya adalah untuk mengaburi mata orang,dengan mengatakan bahwa mereka akan memakainya di hari perayaan. Tetapi tujuan sebenar mereka adalah untuk melarikan diri dengan perhiasan tersebut. Oleh kerana itulah Firaun berasa marah apbila mengetahui barang-barang perhiasan rakyat Mesir telah dilarikan oleh orang-orang kaum Bani Israel.

Inilah kata-kata diucapkan oleh Firaun yang menunjukkan dia benar-benar hendak menghalang pelarian kaum Bani Israel dan menangkap mereka dengan mudah, kerana dianggapnya kumpulan mereka kecil sahaja serta menampakkan kemarahannya yang amat sangat dan menggesa pegawainya supaya waspada menghadapi kumpulan tersebut.


Surah Asy Syu’ara ayat 57 Hingga 60

Dengan sebab itu maka kami jadikan mereka (Firaun dan tenteranya) keluar meninggalkan kebun-kebun dan matair,” - 57
“Dan juga khazanah-khazanah kekayaan serta tempat tinggal yang mulia.” - 58
“Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan tenteranya milik Bani Israil sebagai pusaka. “- 59
“Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit.” - 60
Allah telah membalas kejahatan Firaun dan bala tenteranya dengan menenggelamkan mereka semuanya ke dasar laut sebelum mereka dapat membinasakan kaum Bani Israel. Hal ini diterangkanNya, iaitu Allah telah mengeluarkan mereka dari kesenangan hidup yang mereka nikmati, menuju kepada mala petaka yang menimpa mereka.

Mereka telah meninggalkan istana yang indah, gedung yang tinggi megah, perkebunan yang menumbuhkan beraneka macam buah-buahan yang dihiasi dengan mata air, kolam dan sungai serta meninggalkan harta kekayaan yang tak terhingga banyaknya, begitu pula kekuasaan dan kebesaran yang telah mereka sandang, yang tak pernah dirasai oleh umat-umat yang sebelumnya, semuanya itu telah ditinggalkan begitu saja, kerana mereka semuanya telah musnah dan binasa.

Kemudian Allah mengatakan pula, begitulah sebaliknya Allah telah memberikan pusaka yang diwarisi oleh kaum Bani Israel apabila mereka keluar dari bumi Mesir iaitu perkebunan yang subur makmur diairi oleh sungai-sungai yang menjadikannya sangat indah, menyamai keindahan perkebunan-perkebunan yang terdapat di bumi Mesir, sedang perkebunan dan tanaman yang indah itu terdapat di negeri yang dijanjikan Allah di mana kaum Bani Israel itu kemudian berjalan menuju ke sana.

Dengan pernyataan Allah ini menunjukkan bahwa nasib mereka telah berubah, dari keadaan hidup tertindas dan terjajah, bertukar menjadi hidup merdeka dan mewah, menikmati kesenangan di bumi yang subur menghijau, mengalir anak-anak sungai, penuh dengan hasil tanam-tanaman dan buah-buahan di samping menikmati pula kedudukan tinggi dan mulia.

Apabila bala tentera firaun telah mustaid dengan peralatan perang dalam suatu angkatan bersenjata yang paling besar dan yang terdiri daripada ketua-ketua turus, pembesar-pembesar negeri, menteri, anak raja dan askar yang snagat ramai termasuklah Firaun yang menjadi pemimpinnya, semua bergerak menuju ke arah di mana kaum Bani Israel melarikan diri dan mengejar mereka dari belakang. Maka sampailah mereka di tepi laut ketika subuh sedang menjelma di mana kaum Bani Israel sedang berada.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.