Sunday, October 25, 2015

Surah An Naml Ayat 77 Hingga 93





An Naml Ayat 77 Hingga 79

وَإِنَّهُ لَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ
Dan sesungguhnya Al-Quran itu menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. - 77


إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِي بَيْنَهُمْ بِحُكْمِهِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْعَلِيمُ
Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) akan memutuskan di antara mereka dengan hukumNya, dan Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. - 78


فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّكَ عَلَى الْحَقِّ الْمُبِينِ
Oleh itu, berserahlah kepada Allah, sesungguhnya engkau berada di atas kebenaran yang jelas nyata. - 79

Sesungguhnya Al Quran itu adalah hidayah dan petunjuk bagi semua umat manusia. Termasuklah kepada kaum Bani Israel juga. Maksudnya  Al Quran ini bukanlah saja memberikan penjelasan tentang perihal akidah yang salah, supaya dijauhi, kerana tidak sesuai dengan akal yang sihat, bahkan lebih penting dari itu, ia sebagai petunjuk, menunjukkan jalan mana yang seharusnya ditempuh, supaya bertemu apa yang diredhai oleh Allah, supaya selamat diri di dunia dan di akhirat. 

Bila mana seseorang itu mahu beriman, maka akan terbukalah baginya jalan petunjuk itu. Kerana Al Quran itu bukan saja menceritakan hal yang lampau bahkan juga ia menceritakan dan menghuraikan apa yang mesti dikerjakan sekarang. Bukan saja yang sekarang bahkan apa-apa saja yang harus dilakukan untuk bekalan di hari akhirat yang akan dihadapi di belakang hari.

Dijanjikan di dalam ayat ini barangsiapa yang mengambil petunjuk dari al Quran maka pasti ia akan mendapat rahmat. Iaitu belas kasihan dari Allah Tuhan sekalian alam.

Banyak lagi perselisihan lain yang kaum Bani Israel ini timbulkan tentang nabi-nabi Allah. Tentang Nabi Isa, ada yang mengatakan bahwa Nabi Isa mati di atas palang salib lalu segera dikuburkan oleh murid-muridnya. Tetapi setelah tiga hari dalam kuburnya, dia pun berangkat terbang ke langit, dengan disaksikan oleh murid-muridnya. Ada juga yang lain mendakwakan bahawa yang mati di atas kayu palang salib itu bukanlah Nabi Isa. Tetapi anak muridnya sendiri yang telah mengkhianati beliau. Wajah anak muridnya seakan mirip dengan Nabi Isa lalu mereka telah tersilap menangkap muridnya yang disangka mereka nabi Isa.

Lalu Allah telah menyebutkan di dalam ayat 78 ini bahawa Dialah Tuhan yang akan membicarakan tentang perselisihan di antara kaum Bani Israel di dalam mahkamah pengadilan di akhirat kelak. Di sana nanti Allah akan memberi hukuman yang adil, dan akan memberitahu kepada semua umat manusia siapakah yang salah dan siapa yang benar. Yang salah itu nanti akan diseksa dan yang benar dengan berbuat kebaikan akan dibalas dengan selayaknya.

Allah itu Maha Berkuasa, tidak ada orang yang dapat menghalang keputusanNya. Allah juga Maha Mengetahui akan segala tutur kata dan perbuatan hamba-hambNya. Apa yang dihukumkanNya adalah bersesuaian dengan pengetahuanNya.  

Meneliti ayat-ayat ini jelaslah kepada kita bahwa ajaran Islam haruslah ditegakkan di atas kekuatan dakwah dan seruan yang dapat membangkitkan akal yang murni dan perasaan yang halus. Dan dasar ajaran Islam adalah mengakui akan kesucian dan kemuliaan martabat para nabi. Ajaran-ajaran yang tidak sesuai dengan akal, yang terdapat di dalam agama Nasrani misalnya, dengan mendakwakan bahwa Nabi Isa itu adalah tuhan, ataupun adalah anak tuhan, atau tuhan sendiri yang  menjelma menjadi anaknya, adalah tidak lain ianya sebagai pusaka ajaran agama dan kepercayaan zaman purbakala yang dibawa orang terdahulu. Ianya haruslah dibuang dan tidak diamalkan di dalam ajaran Islam baik pada zaman Nabi Isa mahupun pada zaman Nabi Muhammad sekarang ini.

Dan di  dalam melakukan dakwah dan melakukan pembenterasan yang besar dan agung ini, pastinya akan menghadapi rintangan yang hebat. Samada dari kaum Bani Israel mahupun dari kaum musyrikin Quraisy sendiri. Untuk menghadapi semua ini ianya memerlukan kekuatan rohani dan jasmani yang jitu.

Maka dengan itu di dalam ayat 79 ini Allah menyuruh NabiNya Rasulullah saw dan para pengikutnya supaya bertaqwa kepada Allah. Iaitu dengan menyerahkan segala urusan dengan mempercayakannya kepada Allah. Sandarkanlah bulat-bulat kepada Allah. Sebab kekuatan manusia memanglah sudah nyata keterbatasannya. Lalu Allah lah saja yang akan membangkitkan kekuatan dan tenaga kepada manusia dalam melanjutkan usaha dakwahnya.

Orang yang telah yakin bahwa apa yang ia perjuangkan itu adalah benar, dan nyata kebenarannya, maka orang ini pasti akan bertawakkal kepada Allah. Pasti orang ini akan sabar dan tenang saja menunggu hasil dari perjuangannya. Orang ini tidak akan terburu-buru. Sesungguhnya pertolongan Allah itu pasti akan sampai. Dan sesungguhnya Allah akan menolong mereka mengalahkan musuh-musuh mereka apabila telah tiba saat yang ditetapkanNya nanti.







An Naml Ayat 80 Hingga 81

نَّكَ لَا تُسْمِعُ الْمَوْتَى وَلَا تُسْمِعُ الصُّمَّ الدُّعَاءَ إِذَا وَلَّوْا مُدْبِرِينَ  
Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berundur ke belakang (disebabkan keingkarannya).  - 80


وَمَا أَنْتَ بِهَادِي الْعُمْيِ عَنْ ضَلَالَتِهِمْ إِنْ تُسْمِعُ إِلَّا مَنْ يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا فَهُمْ مُسْلِمُونَ
Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta supaya menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sanggup beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang berserah diri dengan ikhlas.  - 81

Orang yang telah mati hatinya. Inilah yang dimaksudkan oleh ayat 80 ini. Orang yang telah mati hatinya, tidaklah akan dapat diberi pendengaran dan peringatan. Apa pun jua yang diserukan kepadanya, tidak akan mendapat sambutan.

Allah membayangkan di dalam ayat ini kepada rasulNya, bahwa kaumnya itu tidak ada harapan untuk mahu beriman dan mahu menerima agama Islam. Oleh sebab itu dijelaskanNya bahwa Nabi Muhammad tidak akan berjaya untuk menerangkan perkara yang hak dan benar kepada mereka kerana mereka tetap tidak mahu mendengar dan tidak mahu berfikir serta melihat dengan mata hati. Hati mereka telah mati dan mereka telah berpaling kepada yang lain.

Tentulah sukar untuk memberi faham kepada orangyang mati dan orang yang pekak. Lebih-lebih lagi tidak ada harapan untuk memberi faham supaya mahu menerima seruan agama kepada orang-orang yang berpaling dan tidak berminat langsung kepada agama. Orang-orang yang beginilah dianggap sudah mati dan pekak walaupun sebenarnya mereka masih bernyawa serta masih mempunyai pendengaran.

Maka tidak usahlah RasulNya itu mengharapkan lagi kepada kaumnya yang kufur itu agar segera beriman. Ini kerana seorang rasul tidak akan dpat menunjukkan kepada mereka jalan yang selamat sekiranya mereka sendiri telah berkeras untuk memilih jalan yang sesat. Allah telah mentakdirkan mereka buta, iaitu buta mata hati, tidak dapat melihat serta mengenal perkara yang benar yang telah dibawakan oleh Rasul kepada mereka.

Kecuali yang dapat menyahut seruan RasulNya, ialah orang yang dpat mendengarkan keterangan dan pengajaran yang diserukan kepada mereka. Orang ini adalah orang yang beriman serta percaya akan kebenarannya, dan di samping itu pula mahu menerima Islam sebagai agama mereka serta tunduk untuk melaksanakan peraturannya dan patuh pula untuk diamalkan mereka.






An Naml Ayat 82

وَإِذَا وَقَعَ الْقَوْلُ عَلَيْهِمْ أَخْرَجْنَا لَهُمْ دَابَّةً مِنَ الْأَرْضِ تُكَلِّمُهُمْ أَنَّ النَّاسَ كَانُوا بِآيَاتِنَا لَا يُوقِنُونَ 
Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami. - 82

Di sini Allah memberitahukan iaitu ketika manusia telah banyak yang rosak akhlak dan budi serta perangainya disebabkan menyalahi perintah Allah, dan sesetengahnya pula menukarkan peraturan agama, yang benar digantikan dengan yang palsu, semata-mata hendak disesuaikan dengan kehendak nafsu, maka hukuman pun Allah jatuhkan ke atas mereka, yang membawa petanda saat berlakunya kiamat sudah hampir tiba.

Dikhabarkan Allah kepada kita semua di dalam ayat ini, bahwa salah satu daripada tanda-tanda kiamat itu ialah munculnya satu makhluk yang disebut Daabbatan yang kita ertikan sebagai binatang. Tetapi kata ‘daabbatan’ itu asal ertinya ialah melata, atau merangkak atau menginsut-nginsut.

Ada satu pendapat mengatakan makhluk ini keluar dari Mekah. Manakala sebahagian lagi mengatakan ianya bahwa ianya adalah binatang melata yang berasal dari Mekah. Tidak kita ketahui dengan tepat dari manakah ia muncul. Hanya Allah saja yang mengetahui segalanya.

Dikatakan binatang melata ini dapat berkata-kata, untuk memaklumkan kepada manusia, bahwa banyak benar manusia yang sudah tidak percaya lagi kepada keterangan-keterangan Allah. Ini menandakan bahwa bangsa binatang pun sudah mulai pandai mencaci manusia kerana buruknya pekerti manusia di zaman itu.

Terdapat banyak hadith yang memperkatakan tentang binatang melata ini.  Boleh rujuk Tafsir Ibnu Kathir untuk mengetahui selanjutnya.






An Naml Ayat 83 Hingga 85


وَيَوْمَ نَحْشُرُ مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ فَوْجًا مِمَّنْ يُكَذِّبُ بِآيَاتِنَا فَهُمْ يُوزَعُونَ
Dan (ingatlah) hari Kami himpunkan dari tiap-tiap umat sekumpulan besar orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. - 83


حَتَّى إِذَا جَاءُوا قَالَ أَكَذَّبْتُمْ بِآيَاتِي وَلَمْ تُحِيطُوا بِهَا عِلْمًا أَمَّاذَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Sehingga apabila mereka datang (ke tempat pengadilan), Allah Taala berfirman: "Adakah kamu mendustakan ayat-ayat keteranganKu dengan tidak lebih dahulu kamu mengetahuinya secara meliputi? Atau apakah yang kamu telah lakukan?"  - 84


وَوَقَعَ الْقَوْلُ عَلَيْهِمْ بِمَا ظَلَمُوا فَهُمْ لَا يَنْطِقُونَ
Dan jatuhlah hukuman atas mereka (dengan azab) disebabkan kezaliman mereka (berlaku kufur ingkar), lalu mereka diam membisu. - 85

Kemudian Allah menerangkan pula keadaan orang-orang yang mendustakan kedatangan hari kiamat dan tanda-tandanya. Iaitu pada hari kiamat kelak, semua umat manusia akan dihimpunkan di padang mahsyar. Mereka yang mendustakan bukti dan dalil serta keterangan-keterangan Allah, akan dibahagi-bahagikan menjadi beberapa kumpulan mengikut kurun dan zamannya, dan akan ditahan pula beberapa lama, untuk disoal dan dikirakan segala amalan mereka. Pada saat itulah merupakan saat yang menggemparkan dan paling menakutkan.

Apabila mereka nanti datang di hadapan Allah di dalam mahkamah pengadilan nanti, mereka ini akan dicaci dan dicela.  Mereka ini yang telah tidak mahu percaya dan tidak mahu menerima ayat-ayat Allah, baik ayat dengan erti tanda kebesaran dan kekuasaan Ilahi, ataupun ayat dengan erti perintah-perintah yang disampaikan kepada mereka dengan perantaraan Rasul. Mereka dustakan dan mereka tolak semuanya, padahal tidaklah dengan alasan, tidak juga dengan dasar ilmu pengetahuan. kerana kalau mereka ada mempunyai ilmu pengetahuan pastilah kebenaran itu tidak akan mereka tolak begitu saja.

Orang-orang yang menolak kebenaran itu beredar berputar-putar dalam kebodohan dan kebohongan. Berkeras tidak mahu merubah pendirian, walaupun bagaimana benarnya seruan yang disampaikan. Sekiranya mereka menolak ayat-ayat Allah kerana beralasan bahwa ayat-ayat itu adalah tidak benar, maka pastinya ada sesuatu yang mereka kerjakan yang berupa kebenaran kepada diri mereka. Sekarang kalau mereka menolak ayat Allah, maka tunjukkanlah manakah suatu kerja atau amalan yang mereka dakwakan itu sebagai benar?

Pertanyaan seperti ini adalah satu pertanyaan yang patut dikemukakan kepada setiap orang yang menolak kebenaran yang diserukan Rasul. Kalau mereka ktakan bahawa seruan itu tidak benar, manakah bukti dari perbuatan mereka itu yang menunjukkan kepada kebenaran? Pertanyaan ini adalah membuktikan sekali lagi bahwa mereka mendustakan kebenaran ayat Allah dengan tidak berilmu. Sudah pasti mereka tidak akan dapat kemukakannya.

Maka kini sampailah masanya untuk Allah menjatuhkan keputusanNya. Suatu keputusan besar yang tidak dapat dielakkan lagi. Keputusan itu adalah azab atau seksaan untuk mereka yang tidak mahu menerima kebenaran Allah. Mereka semua tidak akan dapat mengelak atau berkata sepatah pun kerana mulut mereka sudah terkunci oleh kenyataan dan kemurkaan Allah. Kerana memang demikianlah adanya, bahwa orang yang bersalah itu apabila hukuman untuk mereka telah datang, mreka tidak akan dapat membuka mulut mereka lagi. Mulut mereka akan terkunci kerana sudah memang terang mereka itu bersalah.

    




An Naml Ayat 86

أَلَمْ يَرَوْا أَنَّا جَعَلْنَا اللَّيْلَ لِيَسْكُنُوا فِيهِ وَالنَّهَارَ مُبْصِرًا إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ 
Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.

Setelah disajikan dengan ayat yang keras yang berupa ancaman, kini Allah berlembut pula dengan mengajak manusia berfikir kembali, bahwa tidaklah patut manusia menderhakai Allah dan mendustakan ayat-ayat Allah. Padahal hidup manusia did alam dunia ini telah diberikan rahmat yang begitu banyak sekali.

Di antara rahmat dan nikmat yang sangat banyak tidak terhitung itu ialah waktu malam dan siang yang silih berganti yang terjadi kerana peredaran bumi mengedari matahari. Di bahgian yang terlindung dari matahari akan terjadinya malam, dan di bahgian yang berhadapan dengan matahari akan terjadilah siang. Dengan pergantian yang teratur di antara siang dan malam ini, maka teratur pulalah hidup manusia di muka bumi ini.

Di waktu malam manusia dapat berehat melepaskan lelah dan mengumpulkan kembali tenaga yang baru untuk bekerja pada keesokan harinya. Dan bila matahari telah terbit semula,maka mulailah hari yang baru, mulailah siang yang baru, mulailah bumi menjadi terang pula. Alam menjadi cerah dan manusia pun dapat keluar bekerja kembali, berusaha, mencari makan, mencari rezeki dari kurniaan Allah di muka bumi. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.

Peredaran yang seperti ini hendaklah difikirkan secara mendalam. Ianya tidak akan terjadi sekirannya tidak ada yang mengaturnya. Dan hendaklah diketahui bahawa pengatur alam ini tidak lain hanyalah Allah saja, Tuhan Seru Sekalian Alam. Maka inilah keterangan dan bukti yang menandakan Allah itu wujud. Yang menjadikan orang-orang beriman bertambah sedar dan insaf bahwa semuanya yang berlaku dan semua nikmat itu datangnya dari Allah semata.






An Naml Ayat 87

وَيَوْمَ يُنْفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ وَكُلٌّ أَتَوْهُ دَاخِرِينَ
Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah - gerun gementar - makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah; dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh.

Pada ayat 83 hingga 86 tadi Allah menceritakan tentang dalil adanya hari ba’ath iaitu hari kebangkitan. Maka pada ayat ini pula Allah menceritakan tentang hari kebangkitan itu secara umum meliputi sekalian makhluk di seluruh alam.
Dikatakan semua makhluk akan terkejut mendengar tiupan sangkakala tersebut. Terkejut kerana dahsyatnya bunyi serunai sangkakala itu, dan terkejut kerana ianya berbunyi dengan secara tiba-tiba saja. Meskipun sejak dari mula lagi telah diberikan peringatan tentang tiupan ini.

Sepertimana kiamat kecil, kiamat besar ini akan datang secara tiba-tiba. Tidak ada siapa yang tahu bilakah ianya akan tiba. Untuk kiamat kecil, semua manusia tahu bahwa mereka semua ini akan mati. Sesuatu yang hidup pasti akan mati. Tetapi jika mati itu datang, jiwa manusia yang ditinggalkan itu akan terkejut juga kerana ianya datang secara tiba-tiba tanpa apa-apa warning.  

“...kecuali mereka yang dikehendaki Allah;..”
Yang akan dikecualikan dari rasa terkejut itu ialah orang yang jiwanya telah tebal dan telah mencapai suatu tingkat ketenteraman. Ini kerana sepanjang hidupnya ia telah berusaha ke jalan menuju Allah. Maka datangnya kiamat kecil ataupun kiamat besar, bagi orang-orang ini, adalah tidak lain akan mempercepatkan masa untuk bertemu Allah. Dan mereka ini telah memenuhi hidup mereka dengan iman dan amal soleh. Maka kerana itulah mereka tidak terkejut untuk menghadapi maut atau pun kiamat. Kerana semuanya bagi mereka adalah batasan waktu sementara saja dari hidup yang fana ini untuk menanti saat hidup menuju akhirat yang lebih kekal.  Mereka ini akan hadir di hadapan Allah Yang Maha Berkuasa dengan perasaan merendah diri, hina dina, tidak kira mereka orang besar atau orang kecil, berpangkat raja atau pun hamba sahaya. Mereka semua akan menunggu untuk diadili Allah yang akan memutuskan perkara mereka dengan adil dan saksama.






An Naml Ayat 88

وَتَرَى الْجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةً وَهِيَ تَمُرُّ مَرَّ السَّحَابِ صُنْعَ اللَّهِ الَّذِي أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ إِنَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَفْعَلُونَ 
Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap - tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Ia Amat mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.

Setelah Allah menerangkan betapa rendah, hina dan kecilnya keadaan orang-orang yang berada di dalam ketakutan sewaktu sangkakala ditiupkan, kini Allah menceritakan pula tentang makhluk Allah yang lebih besar pula. Mereka ini juga berada di dalam keadaan merendah diri. Makhluk yang dimaksudkan itu ialah gunung-gunung yang besar lagi tinggi.

Ramai di kalangan manusia yang mendirikan kota sebagai tempat tinggal mereka  di lereng-lereng bukit dan gunung serta di tempat-tempat yang tinggi. Gunung dan bukit yang kita lihat itu kelihatannya terpacak  di situ tegak tidak bergerak beribu-ribu tahun yang lalu. Tetapi yang sebenarnya, benarkah ianya tidak bergerak? Bahkan sebenarnya ia memang bergerak dengan sangat cepat, secepat putaran bumi mengelilingi matahari. Tetapi kita tidak menyedari kerana kita juga pun turut diterbangkan oleh bumi mengelilingi matahari.

Jelas sekali bahwa perputaran bumi dan segala isinya mengelilingi matahari itu adalah diatur oleh Allah Yang Maha Pengatur, dan Yang Maha Teliti. Dan semua edaran alam ini pun diatur dengan sangat teliti sampai kepada ukuran jam, minit dan detik saatnya. Semuanya tidak terlepas dari aturan Allah.






An Naml Ayat 89 Hingga 90

مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ خَيْرٌ مِنْهَا وَهُمْ مِنْ فَزَعٍ يَوْمَئِذٍ آمِنُونَ 
Sesiapa yang datang membawa amal kebajikan (yang telah dikerjakannya) maka ia akan beroleh balasan yang lebih baik daripadanya, dan mereka akan beroleh aman sentosa daripada kejadian-kejadian yang mengerikan pada hari kiamat itu. - 89



وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَكُبَّتْ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ هَلْ تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang telah dikerjakannya) maka sudah tentu mereka akan ditumuskan mukanya ke dalam api neraka, (sambil dikatakan kepada mereka): "Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan". - 90

Allah menerangkan nasib orang-orang yang berbahagia dan yang celaka di akhirat nanti. Iaitu sesiapa yang datang menemui Allah dengan beriman dan membawa amalan kebaikan semasa di dunia, dapatlah ia pahala yang berupa syurga, sehingga ia tidak merasakan takut di hari kegemparan besar iaitu kiamat. Ini ada dinyatakan di dalam surah Al Anbiya’ ayat 103.

Sebaliknya pula sesiapa yang menyekutukan Allah dengan membawa pekerjaan-pekerjaan buruk yang dilakukan semasa di dunia, nescaya muka mereka akan dijerumuskan ke dalam neraka jahanam. Kalau mukanya lulus, tentulah seluruh tubuhnya juga ikut terjerumus. Mereka akan diejek dengan memngatakan bahwa inilah hukuman yang setimpal ke atas apa yang telah kamu kerjakan. yang menyebabkan kemurkaan Allah. Maka merekalah orang-orang yang celak.







An Naml Ayat 91

إِنَّمَا أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ رَبَّ هَذِهِ الْبَلْدَةِ الَّذِي حَرَّمَهَا وَلَهُ كُلُّ شَيْءٍ وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْمُسْلِمِينَ
(Katakanlah wahai Muhammad):" Aku hanyalah diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri (Makkah) ini yang telah menjadikannya suci lagi dihormati dan yang menguasai segala-galanya; dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi dari orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat kepadaNya),

Allah menyuruh RasulNya Nabi Muhammad supaya mengatakan kepada kaumnya bahawa baginda hanyalah cuma orang suruhan Allah untuk menyampaikan seruan dan perintah. Seruan supaya semua makhluk menyembah Allah yang Maha Esa dengan mentauhidkanNya, Tuhan yang empunya negeri Mekah itu yang merupakan Tanah Suci yang dimuliakan.

Di Tanah Suci ataupun Tanah Haram itu dilarang orang menumpahkan darah, maksudnya dilarang berbunuh-bunuhan, berlaku zalim, memburu binatang dan siapa yang memasukinya hendaklah berpakaian ihram untuk beribadat Umrah dan Haji.

Dan di negeri Mekah itu hendaklah disucikan dari patung dan berhala yang disembah. Dikhaskan menyebutkan negeri Mekah dalam ayat ini adalah kerana rumah mula-mula yang dijadikan tempat beribadaat letaknya di Mekah sebagaimana firman Allah di dlam ayat 3 dan 4 surah Quraisy bermaksud:
“Dan hendaklah mereka sembah Tuhan yang memiliki rumah ini, Yang memberikan makanan kepada mereka untuk menahan lapar dan menenteramkan mereka dari ketakutan.”

Dan Nabi Muhammad saw sebagai rasul juga diperintahkan oleh Allah supaya menjadi golongan dari orang-orang Islam iaitu yang menyerahkan dirinya kepada Allah dengan mengesakanNya dengan seikhlas hatinya. Maksudnya Nabi bukanlah semata-mata menyuruh atau mengajak oranglain supaya berserah diri kepada Allah, supaya menjadi seorang muslim sejati. Tetapi Nabi juga perlu menjadikan diri baginda terlebih dahulu sebagai seorang muslim. Melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Tanggungjawab baginda memang berat. Dengan menjadi muslim sejati dan melaksanakan semua tanggungjawab sebagai seorang muslim, maka kehidupan baginda sendiri ini akan menjadi contoh yang lebih meyakinkan untuk umat manusia mengikut dan menganuti Islam berbanding dengan bicara dan ajakan baginda. Bak kata pepatah ‘action speaks louder than words.” Dengan itu suruhan dan larangan akan menjadi lebih besar dan berkesan pengaruhnya sekiranya yang menyuruh dan melarang itu sendiri telah melaksanakan terlebih dahulu untuk dirinya sendiri.






An Naml Ayat 92

وَأَنْ أَتْلُوَ الْقُرْآنَ فَمَنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ وَمَنْ ضَلَّ فَقُلْ إِنَّمَا أَنَا مِنَ الْمُنْذِرِينَ 
"Dan supaya aku sentiasa membaca Al-Quran". Oleh itu, sesiapa yang menurut petunjuk (Al-Quran dan beramal dengannya) maka faedah perbuatannya itu akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat, maka katakanlah kepadanya: "Sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi amaran".

Hidup yang dijalani sebagai seorang muslim ini memerlukan kepada petunjuk supaya tidak kecundang ke jalan sesat yang lain. Petunjuk yang dimaksudkan adalah Al Quran itu sendiri. Maka bacalah Al Quran. Ianya diberikan Allah dengan perantaraan Rasul untuk keselamatan manusia di dunia dan di akhirat.

Keselamatan dalam dunia ini ialah ketenteraman hati yang dipenuhi dengan iman. Cahaya keimanan yang memancar dari dalam jiwa sendiri dengan tujuan hidup yang bernilai. Hidup bukan yang semata-mata memikirkan makan dan minum atau mencari kekayaan. Bahkan hidup adalah lebih tinggi nilainya dengan cita-cita yang murni mengharapkan wajah Yang Maha Pencipta. Pada mereka ini di akhirat kelak, akan diberikan ganjaran yang sebaik-baiknya yang berlipat kali ganda daripada apa yang mereka amalkan semasa hidup di dunia.   

Itulah sebabnya maka dalam ayat 92 ini Allah menyuruh Nabi saw menegaskan bahawa berjalan dengan menempuh hidup dengan menggunakan petunjuk AlQuran yang diberikan Allah, adalah untuk kepentingan orang yang memegang petunjuk itu sendiri. Maka kepada sesiapa yang telah tersesat jalan, yang tidak mahu menggunakan petunjuk Al Quran sebagai manual kehidupan mereka, maka kecelakaanlah yang akan mereka temui di akhir perjalanan.

Maka dengan itu Allah suruh Nabi Muhammad katakan kepada mereka, bahwa tugas baginda sudah selesai menyebarkan ajaran dan suruhan serta segala peringatan yang diperintahkan Allah kepada baginda. Hanya setakat itu saja tugas baginda. Selebihnya semua terpulanglah kepada diri mereka sendiri untuk menerima ataupun menolak seruan yang diberikan.  






An Naml Ayat 93

وَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ سَيُرِيكُمْ آيَاتِهِ فَتَعْرِفُونَهَا وَمَا رَبُّكَ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Segala puji tertentu bagi Allah (yang melimpahkan nikmat-nikmatNya yang tidak terhitung), Ia akan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya supaya kamu dapat mengetahuinya (dengan jelas nyata)"; dan Tuhanmu tidaklah lalai akan segala yang kamu lakukan.

Allah menyuruh nabi Muhammad katakan kepada mereka, suapya mereka itu memberikan pujian seluruhnya kepada Allah. Kerana segala keberuntungan, kebahagiaan dan kejayaan yang dirasai oleh manusia di dalam hidup ini, tidak ada yang datang dari yang lain, hanyalah dari Allah saja.

Walaupun seorang Rasul itu diutus membawa berita gembira, namun khabar yang disampaikan itu datangnya hanya dari Allah juga. Dan dengan itu pujilah akan Allah, kerana kasih sayangNya terhadap hambaNya, tidak dibiarkannya hamba itu tinggal sesat. DitentukanNya kehidupan hambaNya, lalu diberikan petunjuk. Tidak dibiarkan sia-sia terlontar-lontar mengembara dalam kehidupan dunia ini.

Allah kirimkan utusan, berturut-turut, silih berganti untuk menyampaikan petunjuk sejak zaman Nabi Adam lagi sepertimana janji Allah di dalam surah Al Baqarah ayat 38 yang bermaksud:
“barangsiapa yang mengikut petunjukKu, maka tidaklah dia akan merasa ketakutan dan tidak pula dukacita.”

Lalu Allah berjanji lagi di dalam ayat akhir ini yang bermaksud: “....Ia akan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya supaya kamu dapat mengetahuinya (dengan jelas nyata)";
Bahawasanya akan sampai masanya bila ayat-ayat itu akan dibentang dan manusia akan melihat dengan nyata iaitu kemenangan Islam. Walaupun di masa sekarang kelihatannya para pengikut dan penganut Islam kelihatan terpencil dan tersisih dari kota Mekah, dan kini, di zaman kita ini ditindas dan dicemuh oleh dunia. Namun di suatu hari yang telah ditetapkan nanti manusia akan dapat melihat sendiri akan kemenangan Islam. Dan kemenangan itu tidak akan dapat dihalang oleh sesiapa pun juga.

Oleh sebab itu maka barangsiapa yang telah menganut kepercayaan Tauhid, iaitu agama Islam, maka berpegang teguhlah dengan kepercayaan ini. Jangan dilepaskan dan jangan ragu-ragu lagi. ‘...  Tuhanmu tidaklah lalai akan segala yang kamu lakukan.” Teruslah beramal. Allah tidak akan lalai memerhatikan segala jasa dan tindak tanduk hambaNya dalam menegakkan keyakinan kepada Allah yang Maha Esa di tengah-tengah kekafiran musuh yang ramai lagi berpengaruh.

Di hujung ayat ini adalah menjadi pedoman bagi setiap muslim. Supaya mereka insaf bahwa agama ini tidaklah boleh berhenti dari berjihad dan bekerja keras, dari berdakwah melakukan seruan kepada kebenaran, mesipun di tengah-tengah kekufuran yang bermaharajalela, iaitu di zaman gelap yang dihadapi oleh umat Islam iaitu semasa zaman jahiliyah, dan kini pula di peringkat akhir zaman di mana kekufuran berleluasa. Kita sebagai umat Islam tidak boleh berhenti menyeru kepada kebenaran di samping kita sendiri terus cekal melakukan dan mengerjakan kebenaran. Kita harus jalan terus. Terus dan terus ke arah kebenaran.

Dan kita juga harus ingat bahwa Allah tidak lalai melihat dan memerhatikan setiap apa yang kita kerjakan.

Selesai sudah Tafsir Surah An Naml. Alhamdulillah semoga Allah membimbing kita agar senantiasa berada di landasan yang benar. Amin ya Rabbal Alamin.  

@*@*@*@*@

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.