Tuesday, October 13, 2015

Surah Asy-Syu'ara Ayat 184 - 207

Surah Asy Syu’ara Ayat 184 Hingga 188

“"Dan (sebaliknya) berbaktilah kepada Allah yang telah menciptakan kamu dan umat-umat yang telah lalu". - 184
“Mereka menjawab: "Sesungguhnya engkau ini (hai Syuaib) hanyalah salah seorang dari golongan yang kena sihir.” - 185
“"Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini dari orang-orang yang dusta.” - 186
“Oleh itu, gugurkanlah atas kami ketul-ketul (yang membinasakan) dari langit, jika betul engkau dari orang-orang yang benar!" - 187
“Nabi Syuaib berkata: "Tuhanku lebih mengetahui akan apa yang kamu lakukan". - 188

Lalu diiingatkan lagi oleh Nabi Syu’aib kepada kaumnya suapya takutlah mereka kepada Allah iaitu seksaanNya yang sangat dahsyat jika mereka ingkar dan mengabaikan perintahNya. Kerana Allah itu ialah Tuhan yang menjadikan kamu dan juga Tuhan yang menjadikan umat-umat terdahulu. Ada umat yang terkenal dalam sejarah, yang lebih kuat, perksasa dan lebih banyak kekayaannya dari mereka ini seperti kaum Ad, yang pernah berbangga mengatakan ‘siapakah yang lebih kuat dari kami?’ namun mereka ini semuanya kesudahannya dimusnahkan oleh juga oleh Allah.   

Semua nasihat yang disampaikan oleh Nabi Syu’aib sedikit pun tidak diacuhkan malahan dicemuh oleh penduduk Aikah, bahkan ancaman itu juga telah dicabar dengan mengatakan bahwa Nabi Syu’aib ini telah terkena sihir dan telah rosak akal fikirannya sehingga kata-kata beliau tidak membawa erti kepada penduduk Aikah. Mereka juga mencela Nabi Syu’aib sebagai pendusta dan bukan utusan Allah. Dan mereka mencabar pula Nabi Syu’aib supaya meminta supaya Allah menyegerakan turunnya malapetaka dari langit.

Nabi Syu’aib membalas celaan mereka dengan mengatakan bahwa Allah maha mengetahui apa saja yang mereka kerjakan selama ini. Allah boleh saja menjatuhkan seksaan sekarang dan boleh juga menunda seksaan ke atas mereka ataupun juga boleh menunda ke satu tempoh yang ditetapkanNya. Kerana hanya Allah saja yang tahu bagaimana mestinya memberi pembalasan ke ats orang yang berani mencabarNya. Nabi Syu’aib hanyalah penyebar utusan Allah , dan tidak berkuasa menyeksa mereka semua.


Surah Asy Syu’ara Ayat 189

“Maka mereka tetap juga mendustakannya, lalu mereka ditimpa azab seksa hari awan mendung; sesungguhnya kejadian itu adalah merupakan azab seksa hari yang amat besar - (huru-haranya).

Pendudk Aikah telah meminta ditimpakan seksaan dari langit, maka permintaan mereka itu telah ditepati oleh Allah dengan membinaskan mereka sebagai hukuman. Iaitu mrereka telah dilanda oleh turunnya bahang yang sangat panas dari langit. Mereka merasakan pernafasan mereka sangat panas. Tak ada ubat dan penawar yang dapat meredakan dan mengurangkan kepanasannya. Baik mencari tempat berteduh, bahan-bahan air mahupun minuman. Sehingga mereka terpaksa keluar mencari tempat yang lapang., di mana awan-awan tebal berarak menyebabkan suasana di bawahnya terlindung oleh panas dan redup. Di situlah mereka semua berkumpul, mereka menikmati suasana angin sejuk menyegarkan bertiup dengan sepoi-sepoi bahasa. Maka dengan tiba-tiba turunlah dari awan itu lidah api yang menyala, menjilat lalu membakar mereka semuanya.

Kalau penduduk Aikah diseksa dengan lidah api yang membakar mereka, maka penduduk Madyan pula yang mendustakan Nabi Syu’aib dalam kisah yang lain mereka itu diseksa dengan dilanda oleh gempa bumi yang menggegarkan dan membinasakan mereka sebagaimana telah terdahulu disebut di dalam ayat 91 surah Al A’raf. Boleh rujuk pengajaran ayat surah Al A’raf ye, sisters.



Surah Asy Syu’ara ayat 190 Hingga 195

“Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.” - 190
“Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” - 191
“Dan sesungguhnya Al-Quran (yang di antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam.” - 192
“Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah.” - 193
“Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia).” - 194
“(Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.” - 195

Setelah Allah menceritakan semua 7 kisah nabi-nabi terdahulu dengan kaum yang menderhakakan rasul dan Allah, yang menjadi sebagai hiburan kepada Nabi Muhammad saw dan juga sebagai tauladan, bahwa biar bagaimana para rasul itu menerima tentangan dan penderitaan dari orang-orang yang mengingkarinya, akhirnya Allah tetap akan memenangkan rasulNya. Maka di sini dibawakan pula keterangan mengenai AlQuran, di mana ia juga merupakan kisah wahyu yang diturunkan oleh Allah, dengan perantaraan malaikat Jibril, yang disampaikan dengan menggunakan bahasa Arab yang jelas lagi terang, untuk menjadi pengancam kepada hamba-hambaNya yang takwa.

Dan AlQuran ini sudah pun dibertakan oleh kitab-kitab terdahulu dari kitab-kitab yang Allah turunkan kepada para Nabi, dimana mereka telah diberikan berita gembira tentang munculnya Nabi Muhammad saw sebagai seorang Rasul di akhir zaman. Antaranya ialah Nabi Isa as sendiri pernah memaklumkan kepada kaumnya sebagaimana yang difirmankan oleh Allah di dalam surah As Sof ayat 6 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!”

Jelasnya di dalam ayat 192 hingga 195 ini menyatakan bahwa AlQuran ini dibawakan oleh Ar-Ruhul Amin iaitu malaikat Jibirl as yang disifatkan sebagai roh yang dipercayai kerana malaikat Jibril itu sememangnya merupakan makhluk kepercayaan Allah, untuk membawakan wahyuNya yang akan disampaikan kepada siapa yang yang disukaiNya daripada hamba-hambaNya.

Dalam ayat ini dibahasakan bahwa Malaikat Jibril itu menurunkan alQuran ke dalam hati, iaitu membacakannya ke dalam jiwa Nabi Muhammad kerana jiwa itulah yang dapat merasakan dan dapat bertanggungjawab untuk menghafazkannya serta jiwa itulah juga tempat yang dapat membezakan sesuatu yang baik dan yang buruk dan di antara yang benar dan yang salah. Sedangkan akal dan ikhtiar serta seluruh anggota adalah di bawah arahan hati. Hal ini sebagaimaan telah disebut di dalam Surah Qaf ayat 37 yang bermaksud:
“Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya. “

Ketahuilah bahwa hati yang telah rosak dan mati yang terputusa dari seluruh anggota, maka selruruh tubuh tidak akan dapat merasakan apa-apa. Begitu pula apabila hati itu telah hidup dan siuman, maka seluruh tubuh akan dapat merasakan, dan menyedari jika sekiranya ada bencana.

Adapun tentang AlQuran itu menggunakan bahasa Arab adlah bermakna suatu celaan kepada orang-orang Quraisy. Mereka mendustakan AlQuran dan bersikap angkuh lagi sombong tidak mahu menerima dan memahami padahal AlQuran itu diturunkan dengan bahasa mereka. Maka tidak ada sebab mengapa mereka mengingkari dan berpaling daripadanya.

Orang yang tidak mahu menerima AlQuran padahal dia boleh memahami dengan bahsa yang difahaminya, sebab sekarang banyak tafsir AlQuran dengan menggunakan pelbagai bahasa, maka orang yang tidak mahu menerimanya itu samalah seperti haiwan yang tidak tahu dan pandai bertutur kata. Berbeza denga manusia, orang-orang Quraisy yang berdosa itu sengaja pula tidak mahu beriman, bahkan mereka berdegil sehingga nanti didatangkan seksaan Allah dengan secara tiba-tiba dan dengan tidak mereka sedari.


Surah Asy Syu’ara ayat 196 dan 197

Dan sesungguhnya Al-Quran (tersebut juga perihalnya dan sebahagian dari pengajaran-pengajarannya) di dalam Kitab-kitab ugama orang-orang yang telah lalu.” - 196
“(Tidakkah mereka yang musyrik sedarkan kebenaran itu) dan tidakkah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendita-pendita ugama Bani lsrail mengetahui akan kebenaran Al-Quran itu?” - 197

AlQuran itu telah pun ada disebutkan di dalam kitab-kitab Allah yang terdahulu dan diterangkan di sana. Dan kitab-kitab yang terdahulu itu adalah diturunkan kepada para Nabi yang mana mereka telah pun memberitahukan tentang munculnya seorang Nabi yang akan lahir di kemudian hari. Dan mereka diajak suapya berjanji beriman dengannya.

Bukankah sudah cukup untuk menjadi saksi tentang benarnya AlQuran, di mana para cerdik pandai kaum Bani Israel membawakan nas, dan menunjukkan dalil bahwa di beberapa tempat dalam Kitab Taurat dan Injil, di mana disebutkan tentang sifat-sifat Nabi Muhammad saw sebagai utusan Allah. Sedangkan orang-orang Quraisy Mekah sendiri mereka itu pernah pergi mendapatkan pendeta-pendeta bangsa Yahudi, utnuk memastikan kebenaran berita tersebut.

Dan pendeta Yahudi itu telah menyebutkan sifat-sifat Nabi tersebut berserta dengan dalil-dalil dan bukti yang menerangkan kenabian baginda. Dan setelah terbukti semua dalil dan keterangan yang diberikan ada pada nabi Muhammad saw , orang-orang musyrikin Mekah itu tetap berdegil. Rupa-rupanya tidak ada guna memberi dalil dan bukti kepada mereka orang musyrikin Mekah ini kerana mereka sudah tetap di dalam hati mereka untuk tidak beriman.    


Surah Asy Syu’ara ayat 198 dan 199

Dan sekiranya Kami turunkan Al-Quran kepada setengah orang yang bukan Arab, yang tidak tahu membaca Arab,” - 198
“Kemudian ia (dikurniakan Tuhan dapat) membacakannya kepada mereka, mereka tetap juga tidak mahu percayakan bacaan itu daripada Tuhan.” - 199

Di sini dinyatakan tentang mukjizat AlQuran pula . Sesungguhnya AlQuran itu telah pun diturunkan kepada seorang bangsa Arab (Muhammad saw) dengan menggunakan bahasa Arab yang jelas difahami kaumnya. AlQuran dikenal sebagai mukjizat kerana ianya tidak dapat ditandingi tentang kebagusan susunan dan keindahan bahasanya. Walaupun ianya pernah disebut di dalam kitab-kitab terdahulu, tetapi kaumnya tidak juga mahu beriman sebaliknya mengingkari dan mendustakannya. bahkan menuduhnya sebagai kitab syair atau kitab ahli sihir.

Sekiranya Allah menurunkan AlQuran itu kepada setengah orang-orang Ajam iaitu orangyang bukan bangsa Arab iaitu yang tidak pandai berbahasa Arab, lalu dia dibacakan kepada mereka, nescaya mereka tetap juga akan kufur tidak mahu mempercayainya. Dan mereka akan buat bermcam-macam alasan untuk menolaknya.



Surah Asy Syu’ara ayat 200 Hingga 202

“Demikianlah Kami masukkan perasaan (kufur ingkar) itu ke dalam hati orang-orang yang melakukan dosa - tidak percayakan Al-Quran.” -200
“Mereka tidak beriman kepada Al-Quran sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya, “ - 201
“Lalu azab itu datang menimpa mereka secara mengejut, dengan tidak mereka menyedarinya.” - 202

Allah menyatakan bahwa sebagaimana Allah memasukkan perasaan untuk mendustakan AlQuran dan syirik kalau mereka dibacakan dengan bahsa yang bukan bahasa Arab, begitu juga Allah akan masukkan perasaan untuk mendustakan AlQuran dan syirik ke dalam hati orang-orang kafir Quraisy yang berdosa itu.

Ini maknanya bahawa sikap mendustakan dan syirik itu sudah menjadi perangai dalam hati orang-orang yang kufur dan tidak dapat diubati lagi. Maka tidak ada gunanya sedikitpun memberi bekas di dalam hati mereka segala macam seruan untuk beriman. Bahkan mereka akan terus menerus berkeadaan seperti itu, hinggalah mereka melihat dengan mata kepala mereka sendiri akan kedatangan seksaan yang pedih yang menimpa mereka.

Pada masa itu sudah tidak ada gunanya lagi penyesalan bagi orang-orang zalim dan aniaya, bahkan mereka akan dilaknat dengan mendapat tempat yang paling hina dan celaka.

Akhirnya orang-orang yang mendustakan AlQuran itu akan ditimpakan seksaan yang dahsyat secara tiba-tiba. Sedangkan mereka tidak sedar, kecuali setelah dikejutkan oleh seksaan tersebut.


Surah Asy Syu’ara ayat 203 dan 204

Maka (pada saat itu) mereka akan berkata (dengan menyesal): "Dapatkah kiranya kami diberi tempoh?" " - 203
“(Kalaulah demikian keadaan mereka) maka patutkah mereka meminta disegerakan azab Kami? " - 204

Ketika itu barulah timbul penyesalan dan mengharapkan agar mereka diberi tangguh untuk bersiap-siap untuk mengembalikan  apa yang telah luput dari tangan mereka. Mereka ini diibaratkan meminta tolong di saat-saat akhir di mana mereka tidak dapat melepaskan diri lagi. sedangkan mereka tahu yang mereka telah pun diberikan peluang tetapi mereka mempersiakannya. Dan di kala ini ketika mereka meminta pertolongan mereka juga tahu yang peluang itu tidak akan datang lagi.

Padahal dahulu mereka juga yang berani mencabar supaya didatangkan azab ke atas mereka dengan segera. Dan di kala mereka menyaksikan datangnya seksaan itu ke atas mereka , mereka meminta supaya diberi tangguh pula. Orang sombong apa ini?

Allah telah membalas permintaan tangguh mereka itu dengan memberikan sindiran bahawa umur yang panjang pada diri seseorang tidaklah bermakna orang itu tidak diapa-apakan, bahkan seksaan itu pasti akan datang. Dan tidak usahlah diminta disegerakan seksaan, kerana seksaan itu pasti akan datang bila sampai masanya.


Surah Asy Syu’ara ayat 205 Hingga 207

Bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad)? Jika Kami berikan mereka menikmati kesenangan bertahun-tahun,” - 205
“Kemudian mereka didatangi azab seksa yang dijanjikan kepada mereka,” - 206
“(Tentulah) kesenangan yang mereka nikmati bertahun-tahun itu tidak dapat memberikan mereka sebarang pertolongan. “ - 207

Allah bertanya kepada Nabi Muhammad, adakah orang-orang yang mengecap kesenangan bertahun-tahun itu dengan berumur panjang itu mereka menyangka bahwa mereka akan kekal berkeadaan demikian? Mereka semua itu ditakdirkan oleh Allah untuk menikmati kesenangan hidup di dunia dengan aman dan damai, kemudian bilamana janji untuk menghukum dan menyeksa mereka telah tiba, mengikut sebagaimana yang dijanjikan , maka dapatkah kesenangan yang mereka kecapi itu digunakan untuk menebus atau meringankan seksaan mereka?

Jawabnya sudah tentulah tidak. Tidak berguna kesenangan yang ada pada mereka yang mereka nikmati itu untuk menebus seksaan dan hukuman ke atas mereka. Malahan jika dibandingkan dngan kesenangan yang lama mereka nikmati itu seolah-olahnya tidak pernah mereka merasakannya langsung.

Kesimpulannya: orang yang panjang umur dengan menikmati segala kesenangan hidup, tak akan dapat digunakan kesenangan itu untuk menebus segala seksaan dari Allah untuk mereka. Dia akan diseksa seolah-olah dia tidak pernah menikmati kesenangan lagnsung.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.