Tuesday, October 13, 2015

Surah Asy-Syu'ara Ayat 1 - 19

Pengenalan Surah Al Syu'ara


Surah ini bernama Asy Syu’ara, yang maksudnya para penyair atau penyair-penyair, yang diambil dari ayat 224 sampai 228. Ini kerana di dalam ayat-ayat itu dijelaskan tentang perbezaan di antara penyair atau sasterawan yang tidak baik dengan penyair atau sasterawan yang tidak baik.


Bilangan ayat sebanyak 227, diturunkan selepas turunnya surah al waqiah. Semua ayatnya diturunkan di Mekah, kecuali ayat 224 hingga akhir surah iaitu sebanyak 4 ayat, diturunkan di Madinah.



Surah Al Syu'ara ayat 1


"Taa, Siin, Miim.  "


Kata Ibnu Abbas, 'To Sin Min' para ulamak tak berupaay mengetahui tafsirannya. Hanya Allah saja yang mengetahui segalanya. Huruf-huruf ini diletakkan di permulaan surah dengan tujuan supaya menjadi perhatian tentang pentingnya perkara yang akan diperkatakan nanti.

Surah Al Syu'ara ayat 2 Hingga 4


"Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata." - 2


"Jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu dengan menanggung dukacita, kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman. " - 3


"Kalau Kami mahu, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka satu mukjizat dari langit, yang menjadikan mereka tunduk kepadanya. " - 4


Allah menerangkan sebagaimana yang telah diterangkan dalam ayat-ayat petandan dan perintah Ilahi, yang termaktub di dalam kitab yang nyata, memberikan penerangan yang jelas, pegangan hidup bagi yang percaya. Dengan ayat ini ditegaskan lagi bahwa Nabi Muhammad saw adalah penyambung kehendak Allah, untuk disampaikan kepada manusia. Dijelaskan dan diterangkan. Sehingga manusia mendapat pedoman dalam jalan hidupnya.


Ayat ini harus dijelaskan kerana adalah ianya adalah permulaan jalan. Di ketika itu baginda nabi masih di Mekah,  di permulaan jalan dakwah. Di kala baginda berusaha menegakkan tauhid, dan membebaskan diri dari pengaruh yang selain Allah. Tugas yang pertama ini mesti tegas, mesti nyata (mubin). Kalau dalam persiapan pertama dalam menegakkan cita sudah ada kompromi tentang akidah dan tauhid, maka alamatnya sampai ke akhir tujuan sebenar akan menjadi kabur dan tidak akan tercapai. Itulah sebab maka ayat ke 2 ini berbunyi, “"Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata."


Ayat yang ke 3 pula membuka rahsia perasaan yang pernah terlintas di dalam hati Nabi Muhammad saw ketika baginda melihat beberapa sikap acuh tak acuh kaumnya ketika diajak kepada jalan yang benar. Baginda nabi mengutuskan kepada kaumnya iaitu kaum Quraisy. Baginda yakin akan kebenaran seruan yang baginda bawa. Dan bahwasanya orang-orang yang tidak mahu menerima seruan ini maka akan binasalah mereka.


Dalam hati baginda yang juga menjadi pemimpin besar, akan merasa cinta yang mendalam kepada kaumnya itu. Dan mulalah akan merasa belas kasihan sekiranya kaumnya itu kelak akan binasa dengan kedegilan mereka tidak mahu menerima jalan yang benar. Rata-ratanya kaumnya itu bukanlah orang lain. Kebanyakannya terdiri daripada sanak saudara baginda, kawan dan sahabat di waktu kecil yang baginda pernah bermain bersama-sama, jiran tetangga yang amat dikenali baginda. Dan dek kerana tidak mahu menerima seruan kebenaran baginda, mereka telah berpaling menjadi musuh kepada baginda nabi pula. Dan kata-kata mesra selama ini sudah hilang. Yang berganti adalah kata-kata cerca dan makian terhadap baginda. Alangkah sedihnya hati bila mengenangkan semua ini.


Maka sebagai insan, kadang kala ada terlintas di dalam fikiran baginda, lebih baik mati saja, atau berputus asa saja. Supaya sanak saudaranya semua senang hati. Kalaulah baginda mati kelak, barulah mereka akan meratap mengingatkan kebenaran yang baginda bawa selama ini. Di dalam surah Al Kahfi ayat 6 pun, ada menyatakan tentang kegusaran baginda nabi yang seakan patah semangat terhdap kaumnya.


Firman Allah dalam surah Al Kahfi ayat 6 yang bermaksud:
“Barangkali engkau mau saja membinaskan dirimu sepeninggal mereka, jika mereka tidak mahu peraya dengan seruanmu ini, kerana sangat dukacitanya hatimu.”


Namun itu cuma hanya lintasan fikiran saja. yang harusnya akan hadir juga di dalam fikiran beliau sebagai manusia biasa. Ianya sekali-kali bukanlah azam ataupun niat baginda.  Nabi Muhammad saw tidak sekali-kali akan melakukan demikian.


Kesedihan hati baginda nabi itu sesungguhnya disedari Allah. Lalu Allah menyedarkan baginda bahwa akan datang waktunya iaitu suatu zaman depan yang gemilang. Akan datang waktunya di mana orang-orang yang ketika ini bersikap bodoh itu akan menundukkan kepada mereka. Waktu itu pasti akan datang. Tidak dapat tidak.


Seandainya Allah berkehendak supaya kaum musyrikin Mekah itu diturunkan ayat maksudnya tanda atau keterangan yang datangnya dari langit sebagai suatu mukjizat yang memukau mereka agar mereka beriman, seperti halnya kaum Nabi Musa yang degil di zaman dahulu sehingga diangkat sebuah gunung ke awang-awang letaknya tepat di atas kepala mereka sebagai ancaman yang menyuruh mereka supaya beriman sehingga kumpulan mereka pun semuanya patuh dan mengikut lantaran terpaksa hal yang seperti itu dapat juga dilakukan oleh Allah untuk dilaksanakan pula kepada orang-orang musyrikin Mekah itu.


Tetapi hal yang serupa itu tidak dilakukan oleh Allah. Bahkan sebagaimana yang telah teradat mengikut peraturan Allah kepada makhlukNya, beriman itu hendaklah dengan suka rela dan dengan kemahuan serta pilihan hati mereka sendiri. Bukan dengan paksaan.

Surah Al Syu'ara ayat 5 dan 9


"Dan tidak datang kepada mereka peringatan serta pengajaran yang baharu dari (Allah) Ar-Rahman, melainkan mereka tetap berpaling mengingkarinya." - 5


"Oleh kerana mereka telah mendustakan Al-Quran, maka sudah tentu akan datang kepada mereka berita-berita (azab) mengenai perkara yang mereka ejek-ejek itu." - 6


"Masihkah mereka berdegil dan tidak memperhatikan bumi, berapa banyak kami tumbuhkan padanya dari berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat?" - 7


"Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat pengurniaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga beriman." - 8


"Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani." - 9


Allah menerangkan pekerti orang musyrik Mekah yang keras kepala dan tidak mengendahkan tegahan supaya jangan bersikap kufur lagi sesat. Mereka itu setiap kali didatangi pengajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw  supaya beringat dan mengambil pengajran dari ayat-ayat Allah yang berisfat pengasih kepada hamba-hambaNya, tetapi mereka tetap juga menolak dengan mendustakan dan mengejek-ngejeknya. Sikap mereka itu menyebabkan mereka akan ditimpa seksa yang pedih di dunia dan di akhirat, samda datangnya cepat mahupun lambat.


Lalu Allah menanyakan apakah orang-orang yang kufur itu tidak mahu memerhatikan tentang keajaiban kudrat Allah yang telah menjadikan di muka bumi ini bermacam-macam jenis dan pasangan, dari tumbuhan dan tanaman yang beraneka bentuk rupa dan warna, dengan ciptaan yang begitu indah, bagus dan sangat baik?


Sesungguhnya di sebalik ciptaan tersebut terdapat suatu kudrat atau kuasa ghaib yang sungguh-sungguh perkasa lagi pengasih. Malahan mereka kufur, mendustakan Allah, rasulNya, kitabNya dan menyalahi perintahNya. bahkan mereka menderhakaiNya pula dengan berbuat maksiat.


Tetapi Allah mengingatkan rasulNya, untuk menolong dan mengalahkan musuh-musuhnya. Kerana sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa, tak terkalahkan oleh sesiapa, bahkan akan membalas dengan hukuman yang berat kepada orang-orang yang mendustakanNya dan mendustakan rasulNya.


Di samping itu Allah juga mempunyai sifat yang Maha Penyayang dan belas kasihan. Dengan memberikan maaf serta rahmat yang sebanyak-banyaknya kpeada mereka yang mahu bertaubat dari perbuatan kufur dan maksiat lalu menjadi orang-orang yang taat.

Surah Al Syu'ara ayat 10 dan 11


"Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu menyeru Nabi Musa: "Hendaklah engkau mendatangi kaum yang zalim, - 10


""Iaitu kaum Firaun; tidakkah mereka mahu mengawal diri dari kemurkaanKu?"  - 11


Allah menghiburkan kesedihan Nabi Muhammad saw dengan dibawakan di sini kisah Nabi Musa as yang mana rasul tersebut juga didustakan oleh kaumnya. Ini bererti bahwa bukan Nabi Muhammad seorang saja yang menerima tentangan seperti ini. Bahkan semua para nabi dan rasul didustakan kaumnya.


Allah mengingatkan tentang kisah Nabi Musa as iaitu ketika Tuhan menyuruh Nabi Musa pergi menemui Firaun di Mesir sebagai kaum yang zalim. firaun itu dikatakan zalim kerana telah menganiaya dirinya sendiri, dengan bersikap kufur dan derhaka terhadap Allah.


Firaun itu telah berlaku zalim terhadap kaum Bani Israel dengan menghambakan mereka, dijajah dan diperkosa, yang laki-laki dijadikan buruh paksa dan bayi mereka dibunuh hidup-hidup sebaik saja dilahirkan ke dunia. Kepada Firaun dan kaumnya yang zalim inilah Nabi Musa as diutus dengan pesanan, jangan engkau takut kepada mereka atau dengan pesanan menyuruh mereka supaya takut kepada seksaan Allah dengan mentaatiNya dan beriman kepadaNya.

Surah Al Syu'ara Ayat 12 Hingga 17


"Nabi Musa merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan mendustakan daku."- 12


""Dan akan sempit pula dadaku serta tidak lancar lidahku; oleh itu utuskanlah perintahMu kepada Harun (supaya ia membantuku)." - 13


""Dan lagi mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah terhadapku; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku"." - 14


"Allah berfirman: "Jangan! Jangan fikir (akan berlaku apa yang engkau bimbangkan itu)! Oleh itu pergilah kamu berdua membawa mukjizat-mukjizat Kami (yang membuktikan kebenaran kamu); sesungguhnya Kami ada bersama-sama kamu: mendengar. " - 15


""Maka pergilah kamu kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam." - 16


""Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami". - 17


Nabi Musa as datang menyembah kepada Allah dengan mengatakan "ya Tuhan kami! Sesungguhnya aku khuatir meereka akan mendustakan aku." Nabi Musa khuatir kalau Firaun dan orang-orang Mesir itu nanti akan mendustkannya tidak mengakui sebagai utusan Allah. Kemudian katanya lagi, "dan kekhuatiran ini menyebabkan dadaku nanti sempit, dan lidahku akan menjadi kelu tidak lancar bertutur kata dalam dakwah, dan dalam tugas menyampaikan dakwah atau penyiaran agama."


Kerana orang yang hatinya gelisah, lidahnya tidak dapat berkata-kata dengan terang dan lancar, sehingga tidak akan jelas dilahirkan apa maksud yang terkandung di dalam hatinya. Kesan dari ayat ini menunjukkan, bahwa penerangan dakwah, perlu disampaikan dengan cara bertutur kata yang fasih dan lancar, agar tidak menjadi lemah atau merosakkan sama sekali.


Kelemahan yang dirasakan oleh Nabi Musa as inilah menyebabkan ia memohon untuk diutuskan juga saudaranya Nabi Harun agar Allah mengutuskan juga Malaikat Jibril kepada Nabi Harun dan melantiknya menjadi rasul, untuk menolong tugas Nabi Musa, bagi menguatkan lagi pendiriannya, supaya seruan agam mencapai hasil yang sempurna lagi memuaskan.


Kemudian Nabi Musa menyatakan kekhuatirannya. Sebelum dapat menyampaikan dakwah, Nabi Musa takut kalau nanti dia akan dibunuh oleh kaum Firaun. Ini adalah kerana Nabi Musa sebelum itu telah pun membunuh seorang bangsa Mesir. Orang Mesir itu telah ditinjunya sebanyak sekali sahaja tetapi telah menyebabkan orang Mesir itu jatuh mati, lalu Nabi Musa melarikan diri ke negeri Madyan.


Tujuan Nabi Musa berkata demikian itu adalah supaya Allah melindunginya dari bencana Firaun dan memohon diselamatkan, agar dapat ia menjalankan tugasnya sebagai utusan Allah menyiarkan agama kepada orang ramai dengan azam yang kuat.


Allah menyatakan kepada Nabi Musa, 'jangan engkau takutkan perkara itu seidkit jua pun. Pergilah bersama saudaramu Harun, ajaklah dia berunding dan bermuafakat untuk melaksanakan perintahKu. Ada bantuan keterangan-keterangan yang berupa mukjizat yang sangat ajaib lagi hebat Kami bekalkan untuk menyokong, bahawa kamu berdua adalah benar menjadi utusanKu.'


'Sesungguhnya Kami ada mendengar bersama-sama kamu mengenai apa jua kesulitan, tentulah mudah Kami membantu dan menolong kamu. Temuilah Firaun, dan kamu katakan kepadanya, "sesungguhnya Kami adalah utusan dari Allah tuhan seru sekelian alam. Hendaklah engkau serahkan kepada kami kaum Bani Israel."


  
  


Surah Asy Syu’ara ayat 18 Hingga 19


Firaun menjawab: "Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau kanak-kanak yang baharu lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? “ - 18


“"Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (jenayah) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dari orang-orang yang tidak mengenang budi?" - 19


Lalu Firaun menjawab dengan mengeji dan mencaci Nabi Musa as. Firaun menyebutkan bahawa Nabi Musa itu telah dipungut sebagai anak angkat, dibela dan dipelihara di dalam istananya sementara bayi lelaki yang lain dibunuh. Beberapa anugerah telah diberikan kepada Nabi Musa iaitu asuhan dan pendidikan yang tinggi dari kecil hingga dewasa. Dan Firaun juga mencaci Nabi Musa kerana membunuh seorang bangsa Mesir yang menjadi tukang masak rotinya. Kata-kata Firaun itu adalah untuk membuktikan bahwa Nabi Musa telah lupa kepada budi dan jasa Firaun selama ini kepada beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.