Tuesday, October 13, 2015

Surah Asy-Syu'ara Ayat 141 - 159

Surah Asy Syu’ara ayat 141 dan 145

“(Demikian juga) kaum Thamud telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka),” - 141
“Ketika saudara mereka - Nabi Soleh, berkata kepada mereka: "Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.” - 142
“"Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.” - 143
“"Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.” - 144
“"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.” - 145

Kini Allah bawakan kisah kaum Thamud dengan Nabi Salih pula. Nabi Salih telah menyeru kaum Ad dengan kata-kata yang serupa yang diucapkan oleh Nabi Hud as kepada kaumnya, iaitu : “tidakkah kamu takut kepada seksaan Allah kerana menderhakaiNya serta menyalahi perintahNya. Sebaliknya kamu ikut pula orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhku aku adalah bagi kamu menjadi utusan yang setia kerana diutus oleh Allah kepada kamu untuk mengingatkan kamu dari seksaanNya jika kamu menderhakaiNya. Dan aku diutus supaya kamu mengikuti pengajaran yang aku berikan kepada kamu. Aku tidak memerlukan upah dari kamu atas tugasku itu, hanya aku serahkan untuk membalasnya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam yang memerintah langit dan bumi.

Adapun kaum Thamud itu juga dari bangsa Arab purbakala, yang tinggi di negeri AlHijr terletak di antara Wadil Quro dengan Negeri Syams. Dan negeri mereka telah pun dikenal oleh orang-orang Quraisy yang selalu berulang alik dalam pelayaran musim panas dan musim sejuk antara negeri Mekah dengan negeri Syam. Mereka diseru lagi oleh Nabi Salih as dengan menasihatkan janganlah melupakan nikmat-nikmat Allah, sebagaimana yang dijelaskan pada ayat-ayat beritkutnya.



Surah Asy Syu’ara ayat 146 Hingga 150

“"Adakah (kamu fikir), bahawa kamu akan dibiarkan sentiasa bersenang-senang dalam nikmat-nikmat yang ada di dunia ini? “  - 146
“"Di dalam taman-taman (yang indah permai), dan matair-matair (yang mengalir),” - 147
“"Dan kebun-kebun tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang buah mayangnya halus lembut?” - 148
“"Dan kamu memahat sebahagian dari gunung-ganang sebagai tempat tinggal - dengan bijak dan bersungguh-sungguh?” - 149
“"Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku;” - 150

Kata Nabi Salih kepada kaumnya, “janganlah kamu menyangka bahwa kamu akan dibiarkan tinggal kekal di negeri kamu ini dengan aman menikmati segala kesenangan dengan adanya beberapa banyak taman perkebunan dan mata air yang subur. Begitu pula tanaman dan pohon-pohon kurma yang mengurai, banyak menghasilkan buahan yang sedap-sedap citarasanya, dengan tidak ada pembalasan di atas amalan yang kamu kerjakan di dunia. Sebaliknya hendaklah kamu mengingat atas kurma yang kamu nikmati itu serta hidup dalam keamanan tidak diganggu oleh musuh. Hal yang seperti ini tidak kekal, bahkan kamu akan kembali kepada Tuhan kamu untuk menerima pembalasan di atas semua amalan yang telah kamu kerjakan samada baik ataupun buruk.”

Kaum Nabi Salih ini mempunyai tempat tinggal di pergunungan berupa seperti gua-gua batu yang mereka pahat. Mereka mendiami tempat itu sehingga mereka merasa yang mereka tidak berhajat untuk mencari tempat tinggal lain lagi. Oleh sebab itu Nabi Salih menyeru kaumnya supaya takutlah kepada Allah, ikutlah ajaran Nabi Salih dalam beramal yang mendatangkan faedah kepada mereka di dunia dan di akhirat. Beribadat kepada Tuhan yang telah menjadikan mereka dan memberikan mereka rezeki dan pujilah Allah pagi dan petang.


Surah Asy Syu’ara ayat 151 Hingga 156

"Dan janganlah kamu taati perintah orang-orang yang melampaui batas,” - 151
“"Iaitu orang-orang yang melakukan kerosakan di bumi dan tidak membuat kebaikan". - 152
“Mereka menjawab: "Sesungguhnya engkau ini hanyalah salah seorang dari golongan yang kena sihir! “ - 153
“"Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau dari orang-orang yang benar". - 154
“Nabi Soleh berkata: "Ini adalah seekor unta betina, (di antara cara-cara hidupnya ialah) air kamu hendaklah menjadi bahagian minumnya sehari, dan bahagian kamu sehari, menurut giliran yang tertentu.” - 155
“Dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (jika kamu menyakitinya) maka akibatnya kamu akan dibinasakan oleh azab seksa hari yang besar (huru-haranya)" - 156

Nabi Salih as memberitahu kaumnya lagi, supaya janganlah mereka ikut apa yang menjadi urusan ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin mereka, yang mengajak mereka supaya berterusan menderhaka kepada Tuhan dan berani pula melanggar perintahNya, yang menyebabkan kemurkaanNya.

Di antara kaum Thamud itu ada sembilan orang yang membuat kerosakan di muka bumi dan tidak ada pembaikan semula yang pernah mereka lakukan. Hal ini disebutkan di dalam ayat 48 surah An Naml yang bermaksud :
“dan adalah di dalam negeri itu 9 orang yang membuat bencana di muka bumi dan tidak melakukan pembaikan.”

Maka Nabi Salih melarang kaumnya dari mengikut perbuatan ketua-ketua mereka yang melakukan perbuatan syirik dan kufur yang menyalahi perkara yang benar. Pabila mendengar hujah dan larangan dan seruan Nabi Salih, mereka tidak dapat membalas hujah untuk menolak kebenaran seruan Nabi Salih, lalu mereka pun mulailah mencari jalan untuk mempengaruhi fikiran orang ramai dan yang lemah pendiriannya.

Mereka mencaci Nabi Salih dengan mengatakan bahwa Nabi Salih sudah terkena sihir, sehingga telah rosak akal fikirannya. Maka kata-kata Nabi Salih itu tidak boleh diterima pakai. Lagi pula mereka berkata bahawa Nabi Salih adalah manusia biasa sepertimana mereka juga, jadi bagaimana pula Nabi Salih boleh menerima wahyu sedangkan mereka tidak.

Mereka mecabar Nabi Salih supaya mengadakan bukti yang berupa mukjizat kalau benar-benar Nabi Salih menjadi utusan Allah. Nabi Salih menjawab cabaran mereka. Nabi Salih telah mengadakan seekor unta betina yang diberikan oleh Allah kepada beliau. Unta betina itu ditetapkan oleh Allah untuk minum air bergilir-gilir dengan mereka di sebuah telaga. Sehari untuk penduduk kaum Nabi Salih dan sehari esoknya pula untuk unta betina pula tanpa orang lain boleh mencampurinya. Unta itu dibiarkan memakan rumput di bumi Allah, dan kaum Nabi Salih diminta supaya jangan mengganggu  atau menyakiti unta tersebut atau membunuhnya. Kerana kelak mereka semua akan ditimpa malapetaka yang sangat besar seksa dan bahayanya.


Surah Asy Syu’ara ayat 157 Hingga 159

Akhirnya mereka menikam mati unta itu, kemudian mereka menyesal (setelah melihat kedatangan bala bencana). “ - 157
“Lalu mereka ditimpa azab yang membinasakan. Sesungguhnya peristiwa yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.” - 158
“Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” - 159

Akan tetapi kaum Thamud yang pada mulanya berjanji mematuhi perintah Nabi Salih as itu dengan mengadakan giliran minum bersama unta betina itu, akhiranya telah mungkir janji dengan membunuh unta betina itu. Kemudian mereka menyesalah atas perbuatan mereka. Lalu Nabi Salih memaklumkan bahwa mereka hanya diberi tempoh selama 3 hari saja dengan diberi tanda, iaitu pada hari Khamis, muka mereka akan menjadi pucat, hari jumaat muka mereka menjadi kemerahan dan pada hari sabtu muka mereka menjadi hitam. Dan pada hari Ahad, mereka akan menerima seksaan dari Allah , iaitu negeri mereka akan digegar gempa yang sangat hebat, sehingga hancurlah negeri itu bersama penduduknya.

Sedangkan Nabi Salih terselamat kerana melarikan diri ke selatan Tanah Arab. bila sampai saja ia ke tempat yang ditujunya dan memasuki negeri itu, Nabi Salih pun meninggal dunia. Kemudian negeri itu dinamakan orang Hadramaut hingga kekal sampai sekarang.

Sesungguhnya yang demikian itu menjadi contoh kepada orang yang mendustakan Rasul, tetapi kebanykan manusia masih juga tidak mahu beriman. Ingatlah bahwasanya Tuhan Maha Perkasa lagi Berkuasa untuk memberikan pembalasan berupa seksa kepada yang engkar, dan juga penyayang kepada hambaNya yang mahu bertaubat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.