Tuesday, October 13, 2015

Surah Asy-Syu'ara Ayat 208 - 227

Surah Asy Syu’ara ayat 208 dan 209

Dan tiadalah Kami membinasakan mana-mana negeri (yang telah dibinasakan itu), melainkan setelah diutus kepadanya lebih dahulu, Rasul-rasul pemberi amaran. “ - 208
“Memperingatkan mereka; dan Kami tidak sekali-kali berlaku zalim.” - 209
Allah menegaskan yang Allah tak akan sekali-kali membinasakan sesuatu kaum atau umat, kecuali telah diutuskanNya kepada mereka para rasul yang memberikan peringatan yang berupa  amaran tentang betapa dahsyatnya seksaan yang akan ditimpakan ke atas orang-orang yang inigkar kepada Alalh dan menderhakaiNya. Para rasul tersebut diutus adalah untuk memberikan peringatan kepada mereka, supaya mereka berjaga-jaga jangan sampai melakukan kejahatan, dan supaya menyelamatkan diri mereka dari seksaan.

Setelah didatangkan para rasul kepada mereka dan menyeru mereka supaya beriman, diberikan hujah dan dalil terus menerus dan secara bertalu-talu , dan sekiranya mereka berdegil tidak mahu beriman dan terus menerus melakukan perbuatan engkar, menyekutukan Allah, dan mendustakan rasul mereka, maka setelah itu barulah Allah akan menurunkan azab untuk mereka. Azab dan seksaan yang diturunkan ke atas mereka itu adalah setimpal dengan kedegilan dan kedustaan mereka. Tiada kurang dan tiada dilebihkan sedikit pun.

Surah Asy’ Syu’ara ayat 210 Hingga 212

“Dan Al-Quran itu pula tidak sekali-kali dibawa turun oleh Syaitan-syaitan.’ - 210
“Dan tidak layak bagi Syaitan-syaitan itu berbuat demikian, dan mereka juga tidak akan dapat melakukannya.” - 211
“Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu yang dibawa oleh Malaikat.” - 212

Allah mengatakan bahwa tidak mungkin syaitan yang membawa turun AlQuran untuk dijadikan buku yang mengandungi ilmu pengamal sihir, atau buku yang mengandungi pantun-pantun dan syair. Malah mereka syaitan-syaitan ini tidak akan berdaya untuk berbuat demikian waluapun dicuba untuk mengatasinya dengan apa cara sekali pun. Ini kerana AlQuran  bukanlah barang yang diingini oleh syaitan. Syaitan tidak akan dapat mendengar AlQuran yang dibacakan oleh malaikat disebabkan mereka itu terhalang apabila dilihat saja oleh malaikat nescaya akan dilontar dengan panah api.


Surah Asy Syu’ara ayat 213 dan 214

Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, akibatnya engkau akan menjadi dari golongan yang dikenakan azab seksa.” - 213
“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.’ - 214

Setelah Allah memberikan hiburan terus menerus dan berkali-kali kepada Rasululah serta memberikan hujah dan bukti tentang kerasulannya dalam ayat-ayat terdahulu, maka di sini Allah memerintahkan Rasulullah supaya menyembah Allah saja dengan tulus ikhlas, jangan menyekutukanNya dengan yang lain umpamanya seperti menjadikan berhala-berhala dan lain-lainnya itu sebagai tuhan untuk disembah.l

Kerana sesiapa saja yang menyekutukan Allah dengan sesuatu bererti telah menderhakaiNya, dan sesiapa yang menderhakaiNya akan layaklah ia mendapat seksaan. Di sini Rasulullah digesa untuk menambahkan keikhlasannya di dalam beribadat kepada Allah dan menerangkan bahwa perbuatan syirik itu sangatlah buruk padahnya. Tentu sekali larangan syirik itu bukanlah ditujukan kepada Nabi Muhammad saw kerana baginda adalah maksum, tetapi larangan itu adalah untuk semua makhluk yang diciptakan oleh Allah.

Lalu Nabi Muhammad saw diperintahkan pula untuk menakut-nakutkan kaum kerabat baginda yang terdekat dengan adanya seksaan Allah. Apabila seksaan ditimpakan kepada orang yang kufur dan yang menyekutukan Allah, peringatan itu sekalipun khusus ditujukan kepada Nabi saw, tetapi juga merupakan suatu peringatan secara umum kepada umat Nabi Muhammad saw di mana baginda diutuskan kepada umum seluruh umat manusia.



Surah Asy Syu’ara ayat 215 dan 216

“Dan hendaklah engkau merendahkan sayapmu(berlemah lembut) kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.” - 215
“Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan!" - 216

Setelah Allah menyuruh rasulNya supaya memberikan peringatan kepada kaumnya dari golongan orang musyrikin, diperintahkanNya pula agar baginda bersikap lemah lembut kepada orang-orang mukmin. Dibahasakan  dalam ayat ini dengan ‘merendahkan sayap’ adalah ibaratnya burung yang melindungi anak-anaknya dengan memberikan kasih sayang dan belas kasihan. Jelasnya, bergaullah dengan orang-orang mukmin itu dengan bersikap lemah lembut, kerana yang demikian itu lebih baik bagimu. Dan supaya baginda dapat menarik perhatian mereka dengan layanan yang baik, agar cinta dan kasih kepada baginda, serta dapat memberikan bantuan kepada baginda secara ikhlas. Dengan layanan yang lemah lembut itu nescaya para mukmin akan kelak menjadi pengikut baginda yang setia.

Sekiranya pula mereka ingkar dan derhaka setelah baginda memberikan amaran kepada mereka, hendaklah baginda mengatakan saja kepada mereka, bahwa baginda berlepas diri dari apa yang mereka lakukan. iaitu perbuatan menyembah Tuhan lain selain dari Allah.

Maka dengan kata-kata tersebut, telah menunjukkan bahawa baginda nabi Muhammad saw telah pun menunaikan tugas yang diperintahkan dan baginda tidak akan menanggung dosa di atas kesalahan yang mereka kerjakan. Malah, mereka sendiri yang akan diberikan balasan yang berupa seksaan yang pedih di hari kiamat nanti.


Surah Asy Syu’ara ayat 217 Hingga 220

Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,’ - 217
“Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan sembahyang), “ - 218
“Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang sujud.” - 219
Sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” - 220

Allah menyatakan kepada Nabi Muhammad supaya baginda menyerahkan segala urusan baginda kepada Tuhan yang Maha perkasa utnuk menolak segala bahaya, dan juga yang dapat membalas kepada musuh-musuh baginda yang hendak mencelakakan baginda. Dialah Tuhan yang Maha Penyayang dan kerana Dia akan membantu untuk mengalahkan mereka kerana rahmatNya.

Dan Allah lah yang akan melihat baginda Nabi Muhammad saw semasa baginda mengerjakan sembahyang di mana saja, samada berseorangan atau bersama kaum dengan berjamaah. Allah juga yang akan melihat perpindahan baginda iaitu melihat gerak geri badan, atau perubahan dari rukun sembahyang ke rukun sembahyang yang lain, berdiri, rukuk, sujud, duduk dan seterusnya berpaling memberikan salam.

Maksud orang-orang yang sujud adalah orang-orang yang melakukan sembahyang. Kerana orang-orang yang sembahyang itu di mana dia dapat menghampirkan dirinya kepada Allah dengan sehampir-hampirnya, ialah orang yang sedang sujud. Bahawasanya Tuhan yang maha Berkuasa untuk mendengar kata-kata hambaNya, lagi maha tahu akan gerak geri mereka semasa bergeraknya dan diamnya, samada dilakukan secara sulit ataupun berbisik-bisik.


Surah Asy Syu’ara ayat 221 Hingga  227

Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun?” - 221
“Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, “ - 222
“Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.” - 223
“Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat - tidak berketentuan hala.” - 224
“Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? “ - 225
“Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya? “ - 226
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.” - 227  

Allah berfirman kepada orang-orang musyrikin yang menuduh bahwa apa yang dibawa oleh Rasulullah bukan wahyu dari Allah tetapi yang dibawa oleh jin dan syaitan. Allah memustahilkan seorang rasul akan turun kepadanya syaitan dan apa yang dibawa oleh rasul adalah apa yang dibawa oleh syaitan.

Syaitan tidak sekali-kali akan datang kepada nabi-nabi tetapi syaitan akan turun kepada orang yang berdusta dan derhaka. Allah berfirman menghadapkan pendengaran mereka kepada syaitan, kemudian apa yang mereka dengar dari syaitan, mereka sampaikan kepada orang lain dan kebanyakan mereka adalah pendusta.

Allah menyatakan bahawa penyair-penyair itu diikuti oleh manusia dan jin yang sesat, mereka itu mengembara di setiap lembah, mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya dan suka mempermainkan kata-kata tanpa tujuan yang baik, bahkan kebanyakan mereka tidak mempunyai pendirian dan pegangan yang teguh.

Namun demikian , ada penyair yang beriman dan beramal soleh mendapat kemenangan sesudah menderita, kelak akan mengetahui orang-orang yang zalim ke tempat mereka akan kembali. Sebagaimana disebutkan di dalam surah Yasin ayat 69 yang bermaksud:
“Dan kami tidak mengajarkan syair kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya, AlQuran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberikan penerangan.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.