Tuesday, October 13, 2015

Surah Asy-Syu'ara Ayat 85 - 111

Surah Asy Syu’ara ayat 85 Hingga 89


“"Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim;” - 85
“"Dan ampunkanlah bagi bapaku, kerana sesungguhnya ia adalah dari orang-orang yang sesat; “ - 86
“"Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula” - 87
“"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,” - 88
“"Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); “ - 89


Selepas Nabi Ibrahim memohon kebahagiaan untuk dirinya di dunia, dipohonkannya pula pahala untuknya di akhirat dengan doa. Nabi Ibrahim mengharapkan dapatlah hendaknya bersama-sama dengan orang-orang yang memasuki syurga, dan bersenang-senang mengecap nikmatnya seperti halnya seorang raja yang mewarisi takhta kerajaannya.


Selepas memohonkan kebahagiaan yang ada di dunia dan di akhirat bagi kepentingan dirinya, maka dipohonkannya pula kepentingan orang yang hampir kepadanya iaitu bapanya. Nabi Ibrahim memohon agar dosa ayahnya diampunkan Tuhan disebabkan telah tersesat jalan kerana menyembah berhala. Nabi Ibrahim as berdoa yang demikian itu, semata-mata untuk menepati apa yang telah dijanjikannya dahulu. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat 114 surah Baraah yang bermaksud:
“Dan tak lain keadaan Ibrahim memintakan ampun bagi bapanya, hanya semata-mata kerana perjanjian yang dijanjikan oleh Ibrahim kepada bapanya. Maka manakala telah jelas bagi Ibrahim bapanya itu adalah musuh kepada Allah, dia pun menyatakan berlepas diri daripadanya. “


Nabi Ibrahim meohon pula, janganlah Tuhan menjadikannya di akhirat nanti orang yang mendapat malu disebabkan kesalahan atau kekurangan yang dilakukannya semasa di dunia. Kekurangan seseorang akan jelas nanti jika dibanding-bandingkan dengan penduduk-penduduk yang mewarisi syurga.


Kemudian diterangkan oleh Allah bahwa hari akhirat itu adalah merupakan hari yang menggerunkan dan menggemparkan. Pada hari kiamat nanti, tiada manusia yang terlepas dari seksa Allah walaupun dia akan ditebus oleh hartanya yang banyak dan bertimbun andaikat bumi ini penuh dengan emasnya. Dan dia juga tidak dpat ditebus dan ditolong oleh anak-anaknya yang ramai. Tetapi yang mendatangkan manafaat bagi seseorang di akhirat nanti ialah bilamana dia membawa hati yang ikhlas, datang dengan hati yang bersih dari dosa, tidak dipengaruhi oleh keinginan hawa nafsu yang tidak mengenal puas, hati yang tidak dikotori oleh prasaan tamak kepada kemwahan hidup di dunia.

Surah Asy Syu’ara ayat 90 Hingga 95


"Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa,”- 90
“"Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat; “ - 91
“"Serta dikatakan kepada mereka: ` Mana dia benda-benda yang kamu sembah dahulu” - 92
“` Selain dari Allah? Dapatkah mereka menolong kamu atau menolong dirinya sendiri ? '” - 93
“"Lalu mereka dihumbankan ke dalam neraka dengan tertiarap, jatuh bangun berulang-ulang, - mereka dan orang-orang yang sesat bersama,” -94
“"Termasuk juga bala tentera iblis semuanya.” -95


Setelah Allah menyebutkan bahwa tidak ada gunanya harta dan anak-anak itu nanti di kahirat untuk dijadikan penolong kepada seseorang, tetapi yang berguna adalah perbuatan menjauhkan diri dari kufur dan nifaq, maka disebutkan di sini beberapa perkara yang berlaku di akhirat pula.


Syurga pada waktu itu menjadi dekat kepada orang-orang yang bahagia, mereka dapat melihatnya, mereka kaan gembira kerana dihimpunkan dekat kepadanya dan merekalah golongan orang-orang yang takwa iaitu memelihara dirinya dari segala kejahatan.


Dan manakala neraka itu pula adalah dekat, terbuka dengan terang kepada orang yang celaka, sehingga mereka dengar suara nafas neraka yang terengah-engah, yang akan menjadikan kecut segala hati orang yang mendengarnya. Dan yakinlah mereka bahawa mereka pasti akan dilemparkan ke dalamnya tak ada jalan untuk melepaskan diri lagi.


Ini diperlakukan, untuk mempercepatkan orang-orang yang celaka itu menjadi takut dan gerun. Mereka waktu itu telah dilupakan kerana dahulu telah melupakan Allah. Mereka nanti akan dicela kerana kebodohan mereka dengan dikatakan, ‘manakah dia benda-benda yang kamu sembah dan kamu pertuhankan itu?mereka itu bukanlah Allah yang layak untuk disembah hanya merupakan patung dan berhala-berhala. apakah mereka boleh mendatangkan guna kalau disembah sehingga ia dapt menolong kamu? jawabnya tentulah tidak boleh. Bahkan mereka tidak akan dpat menolong dirinya sendiri.’


Berhala-berhala yang mereka sembah itu segera dilemparkan ke dalam neraka jahanam. Dia mengambil giliran yang mula-mula sekali, kemudian diikuti oleh orang-orang yang telah tersesat kerana menyembahnya, juga akan dicampakkan ke dalam neraka.


Seterusnya pula bala tentera ibilis dan sekalian syaitan yang semuanya itu menjadi biang keladinya sebab menjadi pemimpin, menjadi penganjur dan berusaha menggoda anak-anak Adam supaya mahu menyembah berhala. Satu sama lain mereka itu dilemparkan ke dalam neraka timpa menimpa.


Sengaja susunan orang-orang tersesat ini, dikemudiankan dari berhala-berhala yang mereka sembah ketika dicampakkan ke dalam neraka, tujuannya supaya mereka saksikan terlebih dahulu betapa azab dan dahsyatnya benda yang dibaham oleh api neraka. Sehingga mereka telah merakan terseksa sebelum masanya masuk neraka.

Surah Asyu Syu’ara ayat 96 hingga 99


“"Mereka berkata, sambil bertengkar sesama sendiri dalam neraka:” -96
“" ` Demi Allah! Sesungguhnya kami (semasa di dunia dahulu) adalah di dalam kesesatan yang jelas nyata, “ - 97
“" ` Kerana kami menyamakan kamu dengan Tuhan sekalian alam; “ - 97
“" ` Dan tiadalah yang menyesatkan kami melainkan golongan yang berdosa. “ - 99


Di sini Allah menceritakan bagaimana keadaan orang-orang yang menjadi penyembah patung dan berhala itu semasa di akhirat. Mereka telah bertengkar dengan berhala-berhala dan juga ibilis serta syaitan, yang mengajak mereka supaya menjadikan berhala-berhala itu Tuhan merea. Si pemyembah berhala itu dalam pertengkaran mereka terasa sangat menyesal sekali kerana telah tertipu olehpujukan syaitan dan iblis, atau juga ketua dan pemimpin mereka yang menjadi biang keladi menyebabkan mereka tersesat.


Mereka mati-matian mengatakan dengan bersumpah, ‘demi Allah, sesungguhnya kami terang-terang telah tersesat. Sebabnya ialah kerana kami telah menjadikan patung-patung dan berhala ini sebagai Tuhan, yang hendak disamakan pula setara dengan Tuhan pencipta alam, padahal tuhan yang palsu. Tidak lain yang menyesatkan kami hanyalah kamu para syaitan yang berdosa lagi durjana, yang memujuk dan menipu kami, supaya menyembah berhala yang tidak dapat mendatangkan guna dan tidak mendatangkan mudarat. Inilah penyesalan yang telah dilahirkan oleh mereka, lalu menempelak kepada pihak yang telah mengajak kepada kesesatan.  


Kesimpulannya : bahwa orang-orang yang penyembah berhala apabila di akhirat nanti melihat gambaran tuhan yang palsu itu, mereka pun mengakui kesalahan mereka yang paling besar, lalu menyesal kerana mentaati ketua dan pemimpin mereka yang mengajak ke jalan yang sesat.

Surah Asy Syu’ara ayat 100 Hingga 104


" ` Dengan sebab itu, tiadalah kami beroleh sesiapapun yang memberi pertolongan, “ - 100
“" ` Dan tiadalah juga sahabat karib yang bertimbang rasa. “ - 101
“" ` Maka alangkah baiknya kalau kami dapat ke dunia sekali lagi, supaya kami menjadi dari orang-orang yang beriman. ' " - 102
Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membukitkan keesaan Allah dan kekuasaanNya); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.” - 103
“Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengasihani.” - 104  


Penyesalan mereka itu diperkuatkan pula dengan mengatakan lagi, ‘sesungguhnya kami sekarang, iaitu pada hari kiamat ini, tidak ada mendapati sesiapa pun yang akan menolong kami, sedangkan kami dalam kesukaran kerana akan diseksa, dan tidak pula ada sahabat yang setia serta kasihankan kami.’


Penyesalan itu timbul, kerana mereka terlalu takut kepada seksaan yagn akan mereka terima. Lantaran itu merek menyatakan, ‘seandainya kami dapat lagi kembali ke dunia, nescaya akan berbuat kebajikan dan beramal saleh bukan beramal seperti yang pernah kami kerjakan dahulu, sehingga apabila kami mati kemudian dibangkitkan semula di hari akhirat, dapatlah kami menjadi orang yang beriman, dan terlepaslah kami dari seksaan yang ada sekarang. ‘


Di ayat 103 hingga 104 ,Allah menyatakan apa yang dipertengkarkan oleh Nabi Ibrahim as dengan kaumnya dengan memberikan hujah dan bukti tentang keesaan Allah, seperti dalam kisah yang terdahulu merupakan keterangan yang jelas, bahawa Allah itulah Tuhan yang sebanarnya, tiada yang boleh disembah selain Dia.


Namun demikian kebanyakan kamu Nabi Ibrahim as ini tidak juga beriman. Kisah Nabi Ibrahim ini juga merupakan hiburan kepada Nabi Muhammad saw bahwa bukanlah baginda seorang saja yang didustakan kaumnya padahal bukti telah diberikan dan mukjizat telah ditunjukkan. Namun masih ramai yang mendustakannya.


Kemudian Allah menyebutkan bahwa Allah telah berbuat baik kepada umat manusia dengan mengutuskan para rasul supaya memimpin mereka ke jalan yang benar. Dan Allah memanglah bersifat maha berkuasa untuk menyeksa sesiapa saja yang engkar kepadaNya, tetapi Allah juga bersifat maha penyayang kepada mereka disebabkan Allah belum lagi membinaskan mereka dengan segera, bahkan ditangguhkanNya sehingga telah didatangkan para Rasul yang akan membawakan syariat atau agama kepada mereka, agar mereka beriman dan juga anak cucu mereka mahu beriman.

Surah Asy Syu’ara ayat 105 Hingga 110


(Demikian juga) kaum Nabi Nuh telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka.)” - 105
“Ketika saudara mereka - Nabi Nuh, berkata kepada mereka: " Hendaknya kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.” - 106
“"Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.” - 107
“" Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.” - 108
“"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.” - 109
“"Maka dengan yang demikian, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku". - 110    


Setelah Allah menceritakan kisah Nabi Ibrahim kepada Nabi Muhammad saw bagaimana dia telah didustakan kaumnya padahal kaumnya telah dipimpin dan diberikan hujah serta keterangan yang jelas, maka di sini dibawakan pula kisah Nabi Nuh as. Nabi Nuh  itu bolehlah digelarkan sebagai bapa manusia yang kedua, selepas Nabi Adam sebagai bapa manusia yang pertama.


Nabi Nuh juga mengalami tentangan yang hebat dari kaumnya dengan mendustakannya dan menolak dakwah yang diserukannya kepada mereka, bahkan mereka terus juga leka menyembah berhala. Hal inilah yang dinyatakan oleh Allah di dalam ayat ini. bahwasanya kaum Nabi Nuh telah mendustakan para rasul ketika mereka diseru oleh Nabi Nuh. Tidakkah mereka takut kepada Allah dan takut kepada seksaanNya disebabkan mereka kufur kepada Allah dan mendustakan utusanNya?


Nabi Nuh mengingatkan kaumnya bahwa Allah akan menyeksa sesiapa saja yang kufur kepadaNya dan mendustakan RasulNya  serta melakukan maksiat. Lalu Nabi Nuh memperkenalkan dirinya sebagai rasul Allah yang diutuskan untuk menyampaikan perutusan Allah dengan jujur dan setia , tidak lebih dan tidak pula mengurangi tugas sebagai rasul.


Nabi Nuh menyampaikan perintah yang pertama iaitu bertakwa kepada Allah, kerana takwa itulah menjadi pemilik kepada seluruh amalan dan urusan. Lalu diiringi pula dengan perintah mentaati rasul dan mengikuti perjalannnya. Hendaklah yang demikian itu dijadikan panduan bagi sesiapa yang hendak memperbaiki amalannya.


Tak ada apa-apa yang Nabi Nuh pintak dari kaumnya sebagai balasan atau upah di atas penat lelah dalam tugas menasihati kaumhya. Nabi Nuh hanya menyerahkan kepada Allah untuk membalasnya, kerana Dialah tuhan yang mengendalikan urusan seluruh alam.


Lalu diulangi sekali lagi seruan bertakwa kepada Allah dan suruhan mentaati rasul, untuk menguatkan lagi perintah itu agar teguh tertanam di dalam jiwa mereka. Perintah bertakwa dan taat yang pertama tadi, ialah supaya jangan menyalahi perintah Allah dengan kufur dan mendustakan. Dan perintah bertakwa dan taat yang kedua pula, ialah supaya jangan menyalahi perintahnya dengan menyangkakan Rasul itu minta upah atau balasan kepada kaumnya dalam menjalankan tugasnya.


Surah Asy Syu’ara ayat 111


“Mereka menjawab: "Patutkah kami percaya kepadamu, sedang engkau semata-mata diikut oleh orang-orang yang rendah (pangkatnya dan hina pekerjaannya)?" - 111


Setelah Nabi Nuh menasihati kaumnya supaya takutkan Allah dan mentaati rasul , maka kaumnya pun menjawab yang apakah patut mereka beriman kepada Nabi Nuh sedangkan pengikut-pengikut adalah dari golongan orang-orang yang rendah darjatnya. Tentu sekali tak patut mereka untuk beriman, kata mereka.


Alasan yang mereka kemukakan ini menunjukkan betapa rendahnya cara pemikiran mereka dan begitu singkat pandangan mereka. Mereka hanya mementingkan kemegahan hidup di dunia dengan menganggap bahwa pengikut-pengikut Nabi Nuh yang terdiri daripada orang miskin, kaum tani, buruh dan tukang dan golongan peringkat rendah dan orang-orang bawahan, adalah mereka pandang tidak setaraf dengan mereka kerana tidak ada mempunyai kedudukan dalam masyarakat.


Kaum Nabi Nuh ini telah mengeji golongan orang-orang bawahan yang rendah darjatnya seperti ni. Padahal orang-orang miskin, fakir dan rendah kedudukan dalam masyarakat itu, mereka itulah biasanya golongan orang yang paling cepat menyahut seruan supaya beriman dengan Allah dan rasulNya. Sedangkan orang-orang kaya pula kebanyakannya, kalaupun mahu beriman semata-mata kerana inginkan menjadi pemimpin, ketua, atau yang memerintah sebagai pentadbir.


Sedangkan Nabi Nuh pula diutuskan untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh kaumnya tanpa membezakan antara kaya dan miskin, antara yang mulia dengan yang hina dan antara golongan bangsawan dengan golongan yang rendah darjatnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.