Tuesday, October 13, 2015

Surah Asy-Syu'ara Ayat 112 - 140

Surah Asy Syu’ara ayat 112 dan 113

Nabi Nuh berkata: "Dan apalah ada kaitannya pengetahuanku dengan (pangkat dan) pekerjaan mereka?” - 112
“"Sebenarnya hitungan amal mereka hanya terserah kepada Tuhanku; kalaulah kamu menyedari dan memahaminya (kamu tidak berkata demikian).” - 113

Kata Nabi Nuh “apalah yang aku ketahui dari mereka, Aku tidak tahu apa yang tersembunyi di dalam hati mereka. Hanya Allah saja yang tahu samada hati mereka ikhlas dalam beramal kepada Allah ataupun tidak. Apa yang penting ialah bilamana mereka itu aku seru supaya beriman, mereka segera beriman walaupun dari masyarakat yang rendah sebagai orang miskin, petani, buruh dan tukang-tukang. Kalau lahirnya kelihatan oleh ku ia baik, maka aku akan katakan ia baik. Dan kalau lahirnya kelihatan olehku buruk, maka aku akan katakan ia buruk.”

Kata-kata Nabi Nuh ini sebagai jawapan di atas celaan kaumnya yang kufur, yang telah menganggap pengikut-pengikutnya dari golongan orang bawahan yang rendah darjatnya dengan menuduh pula tujuan mereka menjadi pengikut adalah semata-mata mengharapkan harta dan pangkat.

Sesungguhnya hanya Allah saja yang akan membalas dengan menghitung akan iman dan amalan baik mereka semua itu.


Surah Asy Syu’ara ayat 114 Hingga 116

“"Dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman (daripada bercampur-gaul denganku).” - 114
“"Aku ini hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata (kepada semua - tidak kira hina mulia)".- 115
“Mereka (mengugut dengan) berkata: "Jika engkau tidak mahu berhenti (daripada menyiarkan ugamamu itu) wahai Nuh, sudah tentu engkau akan menjadi dari orang-orang yang direjam!" - 116

Nabi Nuh menjawab kata-kata orang musyrik itu dengan memberitahu bahwa beliau tidak boleh menghalau orang-orang yang beriman kepada Allah untuk menjadi pengikutnya. Padahal apa yang beliau bawa adalah benar datangnya dari Allah. Ini kerana dengan menghalau orang mukmin adalah perbuatan yang zalim dan aniaya.

Nabi Nuh mengatakan lagi, bahwa beliau hanyalah diutus sebagai orang yang memberi peringatan terhadap orang-orang yang ingkar. Siapa yang taat, akan masuklah ia ke dalam golongan yang mulia samada ia berpangkat ataupun hamba sahaya.

Lalu kaumnya orang-orang musyrik itu menjawab dengan mengancam Nabi Nuh yang seandainya Nabi Nuh tidak mahu berhenti dari menyiarkan agama beliau kepada orang ramai, Nabi Nuh kelak akan mereka hukum dengan melempar beliau dengan batu sampai mati.

Setelah beberapa lama Nabi Nuh berdakwah menyiar dan menyebarkan agama Allah mengajak mereka ke jalan yang benar dan hak, setiap kali itu juga kaumnya telah mendustakannya dengan menutup telinga mereka dan terus menerus dengan kesombongan mereka. Maka kini tiada apa lagi yang tinggal yang mampu nabi Nuh lakukan, hanyalah memohon kepada Allah agar kaumnya yang kufur itu dihukum secara adil iaitu dengan membinasakan mereka semua.


Surah Asy Syu’ara Ayat 117 Hingga 122

Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah mendustakan daku.” - 117
“"Oleh itu, hukumkanlah antaraku dengan mereka, dengan hukuman tegas (yang menegakkan yang benar dan melenyapkan yang salah), serta selamatkanlah daku dan orang-orang yang beriman yang bersama-sama denganku" - 118
“Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersama-sama dengannya dalam bahtera yang penuh sarat (dengan berbagai makhluk). - 119
“Kemudian daripada itu, Kami tenggelamkan golongan (kafir) yang tinggal (tidak turut bersama dalam bahtera).” - 120
“Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.” - 121
“Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” - 122

Nabi Nuh berdoa, “wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah mendustakan perkara yang hak yang telah aku bawakan kepda mereka “ Nabi Nuh minta mereka semua dihukum bukanlah bermakna Nabi Nuh takut kalau mereka melemparkan batu kepada Nabi Nuh tetapi minta diadili perkara yang berlaku di antara di adengan kaumnya, iaiatu dengan memberi hukuman yang setimpal lagi adil, kerana kedegilan kaumnya mendustakan Nabi Nuh dan menolak kebenaran wahyu  dan menyekutukan Allah. Walaupun telah beratus tahun Nabi Nuh menyeru mereka ke jalan yang benar, namun mereka terus tidak mahu beriman malahan melarikan diri.

Seterusnya Nabi Nuh memohon supaya beliau diselamatkan dan diberi pertolongan bersama orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutnya.

Allah telah memperkenankan doa Nabi Nuh. Nabi Nuh bersama-sama dengan orang yang beriman yang dianggarkan seramai 80 orang terdiri dari 40 orang lelaki dan 40 orang perempuan , diperintahkan membuat sebuah bahtera. Lalu dimuatkan berjenis-jenis binatang dan burung-burung, masing-masing jenis sepasang-sepasang hingga penuh bersama-sama mereka di dalam bahtera itu, untuk menyelamatkan diri dari air bah yang teramat besar. Sedangkan orang-orang yang tinggal di daratan iaitu orang yang kufur kepada Allah telah mati tenggelam kesemuanya sekali.

Allah menyatakan bahawa sesungguhnya orang-orang mukmin yang diselamatkan Allah dan orang-orang kufur yang dibinasakan Allah yang digambarkan di dalam kisah ini, adalah merupakan keterangan yang dapat dijadikan contoh tauladan kepada kaum yang mahu memikirkannya, iaitu siapa yang mengikuti Rasul diselamatkanNya dan yang mendustakan pula akan dibinasakanNya.

Tetapi kebanyakan kaum Nabi Nuh itu pula sememangnya tidak mahu beriman. Lantaran itulah layak untuk mereka dibinasakan. Kalau ramai yang beriman, mungkin tidak disegerakan turunnya seksaan.

Dan sememangnya Tuhan engkau Ya Muhammad berkuasa menimpakan seksaan kepada orang yang kufur dan menyalahi perintahNya. Sebaliknya pula penyayang kepada hamba-hambaNya yang mahu bertaubat lalu kembali beriman dengan mentaatiNya.


Surah Asy Syu’ara Ayat 123 Hingga 127

“(Demikian juga) kaum Aad telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).” - 123
“Ketika saudara mereka - Nabi Hud, berkata kepada mereka: "Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.” - 124
“"Sesungguhnya aku ini seorang Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.” - 125
“"Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.” - 126
“"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.” - 127

Kelima-lima ayat di atas iaitu ayat 123 hingga 127 adalah serupa susunannya dengan berulang-ulang dibawakan dalam surah Asy Syu’ara ini sebanyak 5 kali dalam menceritakan kisah nabi Nuh as. Nabi Hud as dan juga akan datang menceritakan kisah Nabi Salih as, Nabi Lut as dan Nabi Syu’aib as dengan kaum masing-masing. Jelasnya 5 ayat ini sama saja susunannya, disebutkan 5 kali dalam menceritakan 5 orang para Nabi, yang sama tugasnya, iaitu masing-masing menyeru kaumnya, supaya mengenal Allah dan mahu mentaatiNya agar dapat pahala dan terjauh dari seksa.

Para nabi mempunyai persamaan dalam tugas, hanya sedikit saja berlainan mengenai sebahagian hukum untuk disesuaikan mengikut keadaan, masa dan ketikanya. Dan para Nabi itu adalah suci dari mempunyai perasaan tamak kemewahan dunia, bahkan kurang mementingkannya, kerana bukan kepentingan dunia ini yang menjadi tujuan hidup. Mereka semua menyeru kepada kaum masing-masing supaya taatkan Allah dan mengikuti perjalanan Rasul sebab mereka adalah utusan Allah yang setia di dalam tugas menyampaikan perutusan.

Mereka tidak sekali-kali mengharapkan upah dari jerih payah yang telah mereka sumbangkan untuk agama, hal itu mereka serahkan saja untuk membalasnya kepada Tuhan seru sekalian alam. Demikianlah dalam surah Asy Syu’ara ini disebutkan kisah kaum ‘Ad di mana Nabi Hud as telah diutus kepad mereka.

‘Ad adalah satu kaum dari bangsa Arab purbakala yang mendiami satu kawasan padang pasir di selatan tanah arab yang bernama Al Ahqof ertinya bukit pasir, yang terletak di antaran Oman dengan Hadramaut. ‘Ad asalnya nama seorang bapa yang tertua di suatu kaum. Dia ialah ‘Ad bin ‘Aus bin Iroma bin Sam bin Nuh.

Kemudian ‘Ad itu pula menjadi nama kepada suatu kaum, atau nama sebuah perkampungan. Mereka ini adalah kaum ‘Ad yang pertama iaitu kaum yang diseru oleh Nabi Hud as. Manakala Nabi Hud dinyatkan di dalam ayat ini sebagai saudara kepada kaum, ‘Ad adalah juga suatu keturunan dengan mereka, iaitu seorang Nabi berbangsa Arab purbakala. Dia ialah Hud bin Abudllah bin Robah bin al Khulud bin ‘Ad bin Aus bin Sam bin Nuh.


Surah Asy Syu’ara ayat 128 Hingga 130

“"Patutkah kamu mendirikan pada tiap-tiap tempat yang tinggi bangunan-bangunan yang tersergam, padahal kamu tidak membuatnya dengan sesuatu tujuan yang baik.” - 128
“"Dan kamu pula bersusah payah mendirikan istana-istana dan benteng-benteng yang kukuh dengan harapan hendak kekal hidup selama-lamanya?” - 129
“"Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis?” - 130

Kata Nabi Hud , ‘adakah patut kamu buat di tempat-tempat yang tinggi tanda yang berupa mahligai, untuk mengganggu orang-orang yang lalu lintas di bawahnya?” kerana mereka membina bangunan yang tinggi-tinggi untuk mengganggu mereka yang lalu lalang dibawahnya.          

Kemudian katanya lagi, “dan kamu bina kubu-kubu dan benteng-benteng pertahanan yang kukuh, seolah-olahnya kamu berbuat demikian menyangkakan jika kamu bertahan di sana akan kekal selama-lamanya tidak akan mati.”

Seterusnya dikatakan lagi, “dan apabila kamu menghentam, kamu menghentam musuh dengan ganas. Ini melambangkan bahwa kaum ‘Ad adalah kaum yang mempunyai tubuh badan yang kuat dan tegap, tinggi-tinggi dan besar-besar orangnya dengan sebabnya mereka bermaharajalela di muka bumi. Dan apabila menghentam musuh, dilakukannya dengan ganas, kejam dan tidak berperi kemanusiaan.”

Kesimpulannya apa yang dikatakan oleh Nabi Hud as tadi adalah menunjukkan kaum Ad ini lebih mencintai dunia, suka berbangga-bangga dan hendak menindas orang yang lemah. Maka Nabi Hud melarang mereka supaya jangan terlalu mencintai dunia dan berkelakuakn kejam dan zalim terhadap orang lain. Lalu diseru mereka semua untuk beramal menuju akhirat sebagai memberi pengajaran agar meninggalkan keburukan yang mereka lakukan.


Surah Asy Syu’ara ayat 131 Hingga 138

"Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah dan taatlah kepadaku.” - 131
“"Dan berbaktilah kamu kepada Allah yang telah menolong kamu dengan pemberian nikmat-nikmatNya yang kamu sedia mengetahuinya.” - 132
“"Diberinya kamu binatang-binatang ternak (yang biak) serta anak-pinak (yang ramai),” - 133
“"Dan taman-taman (yang indah permai) serta matair-matair (yang mengalir).” - 134
“"Sesungguhnya aku takut, (bahawa) kamu akan ditimpa azab seksa hari yang besar (huru-haranya)". - 135
“Mereka menjawab: "Sama sahaja bagi kami, sama ada engkau beri nasihat pengajaran, atau engkau tidak menjadi dari orang-orang yang memberi nasihat pengajaran.” - 136
“"Segala apa (yang engkau katakan) ini, hanyalah adat kebiasaan orang-orang dahulu-kala, ‘ - 137
“"Dan kami pula tidak akan diseksa".- 138

Nabi Hud menyeru kaumnya supaya takutlah kepada Allah dengan berjaga-jaga jangan sampai mendapat seksaan daripadaNya dan dengan meninggalkan pekerjaan yang buruk itu serta taatlah kepada Rasul iaitu Nabi Hud, kerana beliau telah menyeru supaya mereka beribadat kepada Allah saja tanpa menyekutukanNya, sesungguhnya hal itu adalah lebih baik baik bagi mereka.

Nabi Hud mengingatkan juga kepada kaumnya akan nikmat-nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada mereka, maka sekali lagi mereka disuruh supaya bertakwa kepada Allah. Jauhkan diri dari kehidupan yang leka bermain-main, bersuka-suka dan berlaku zalim serta membuat kerosakan di muka bumi. Mereka juga disuruh berhati-hati dengan kurnia Allah yang telah dianugerahkan kepada mereka dari jenis binatang-binatang ternak yang banyak dan bilangan anak yang ramai. Kekayaan yang mereka perolehi dari tanam-tanaman perkebunan, anak -anak sungai dan mata air. Anugerah ini semua hendaklah dipakai dan digunakan untuk mencapai keredhaan Allah.

Nabi Hud tersangat khuatir sekiranya kaum Ad ini akan diseksa seandainya mereka tidak bersyukur atas nikmat Allah, bahkan terus menerus kufur di mana di hari kiamat nanti mereka akan menerima seksa yang besar.

Demikianlah seruan dan nasihat yang telah disampikan oleh Nabi Hud kepada kaumnya, tetapi kaumnya telah menentang dan enggan untuk beriman. Mereka berkata kepada Nabi Hud supaya jangan bersusah payah menasihati mereka. Kerana itu tidak ada gunanya, kerana smaada dinasihati atau tidak, mereka tetap tidak mahu beriman. Meraka tetap akan mengikut adat kebiasaan orang-orang terdahulu dari mereka. Mengiktu jejak langkah bapa-bapa mereka. Mereak ingin hidup sebagaimana biasa nenek moyang mereka hidup, beigtu juga merka akan mati sebagaiamana nenek moyang mereka mati. Kerana mereka pasti yang setelah mati mereka tidak akan dibangkitkan kembali, untuk diseksa. Bagi mereka tidak ada syurga dan tidak ada neraka.      


Surah Asy Syu’ara ayat 139 Hingga 140

Akhirnya mereka mendustakan Rasul itu, lalu Kami binasakan mereka. Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.” - 139
“Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” - 140

Demikianlah, mereka terus mendustakan Nabi Hud as. Akhirnya Allah pun membinasakan mereka disebabkan melawan Rasul. Mereka diseksa dan diazab dengan turunnya angin ribut yang sangat kencang, angin itu pula tersangat sejuk yang menggigit sampai ke tulang.

“Semuanya ini merupakan tanda, untuk contoh tauladan kepada kaummu wahai Muhammad, iaitu kaum yang suka mendustakan engkau mengenai perutusan dari Tuhanmu. Tetapi banyak manusia yang masih tidak percaya dan tidak mahu beriman. Dan tentunya Tuhanmu sememang perkasa dan berkuasa untuk menyeksa orang ayng kufur, di samping itu pula Ia adalah amat mengasihani hamba-hambaNya yang beriman dan bertaubat.”      

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.