Tuesday, October 13, 2015

Surah Asy-Syu'ara Ayat 160 - 183

Surah Asy Syu’ara ayat 160 Hingga 166

“(Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).” - 160
“Ketika saudara mereka - Nabi Lut, berkata kepada mereka: "Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.” - 161
“"Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.” - 162
"Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.” - 163
“Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.” - 164
“"Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia,” - 165
“"Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyaKan haiwan)!" - 166

Allah menceritakan pula di sini akan kisah Nabi Lut as bersama kaumnya. Nabi Lut adalah anak saudara Nabi Ibrahim as iaitu Lut bin Haran bin Azar. Allah telah mengutuskan Nabi kepada suatu umat atau bangsa yang mempunyai kekuasaan yang besar yang tinggal di dalam kota Sadum dan Amuroh serta 3 buah kota lain, iaitu kota yang pada masa ini telah pun terbenam ke dalam perut bumi. dan bekas-bekasnya yang tinggal sekarang ini menjadi kawasan laut yang dikenal dengan sebutan Laut Mati.

Nabi Lut dibahasakan dalam ayat ini sebagai saudara kepada umat tersebut, adalah bererti saudara senegara, bukan seagama dan bukan pula seketurunan dengan orang-orang kota Sadum. Kerana Nabi Lut adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim dan keduanya berasal dari negeri sebelah timur daerah Babylon, kemudian telah berpindah kira-kira padakurun ke 19 sebelum tahun Masehi ke negeri Palestin bersama keluarga masing-masing. Tetapi kemudian Nabi Lut telah berpindah dengan Nabi Ibrahim lalu memilih sebuah kaswasan di lembah negeri Jordan di mana terletaknya kota Sadum dan Amuroh menjadi tempat tinggalnya. Manakala Nabi Ibrahim pula memilih tempat tinggalnya di sebelah utara negeri tersebut.

Nabi Lut menyeru kaumnya suapya menyembah Allah dengan mengesakanNya dan mentaati RasulNya serta menegah mereka daripada melakukan maksiat. Juga melarang dari melakukan perbuatan sumbang dan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh umat yang lain di antara seluruh alam pada masa itu. Tetapi mereka tidak mempedulikan bahkan mendustakanya.

Akhirnya Allah juga telah membinasakan mereka dengan mengirimkan angin ribut yang sangat kencang, mengandungi pula batu batan yang berapi turun dari langit laksana hujan, menyebabkan negeri itu terbakar, dan terjadi pula gempa bumi yang hebat, sehingga negeri itu diterbalikkan yang diatas menjadi di bawah dan yang di bawah menjadi ke atas. Hal ini sudah pun terdahulu disebut di dalam surah Hud ayat 77 hingga 83 dan surah Al Hijr ayat 57 hingga 77.

Nabi Lut mengeji mereka kenapa mereka sanggup melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dibuat oleh manusia pun sebelum ini. Iaitu mereka telah jatuh berahi kepada orang laki-laki dan menggemari pebuatan liwat. Padahal mereka mempunyai isteri sebagai pasangan mereka dalam menjalani hidup berumahtangga. Tetapi mereka tinggalkan isteri-isteri mereka, dan menukar ganti orang lelaki menjadi isteri mereka, iaitu suatu perbuatan yang melampaui batas kesopanan, ternoda dan dikutuk kerana amat berat dosanya.

Surah Asy Syu’ara ayat 167 Hingga

Mereka menjawab: "Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar!" - 167
“Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya aku dari orang-orang yang bencikan perbuatan kamu yang keji itu". - 168
“(Nabi Lut berdoa): "Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu."  - 169
“Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya - semuanya” - 170
“Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang kena azab itu.” - 171

Apabila mereka didedahkan rahsia kekejian mereka kemudian ditunjukkan jalan yang benar bahwa dalam menunaikan tuntutan batin hariya isteri yang halal sajalah tempatnya, mereka tidak dapat membalas hujah Nabi Lut itu. Tetapi mereka hanya memberikan ancaman kepada Nabi Lut bahwa mereka akan menghalau Nabi Lut dari negeri itu sekiranya Nabi Lut tidak berhenti dari mencaci perbuatan kesukaan mereka itu.

Nabi Lut bertegas mengatakan bahwa beliau tersangat benci dengan perbuatan terkutuk kaumnya itu. Nabi Lut berlepas diri dari bersubahat dengan mereka dan mengatakan juga bahawa beliau tidak gentar dengan ancaman mereka. Nabi Lut berdoa kepada Allah, meminta pertolongan, semoga Nabi Lut dan keluarganya diselamatkan dari ancaman kaumnya serta dijauhkan dari bencana dan malapetaka yang akan menimpa baik di dunia mahupun di akhirat. Sesungguhnya permohonan Nabi Lut itu telah diperkenankan oleh Allah.

Allah telah menyelamatkan Nabi Lut bersama ahli keluarganya, iaiatu dua orang anak perempuan yang beriman dan taat kepada beliau. Mereka bertiga itu sajalah yang diselamatkan dari ditimpa malapetaka berupa seksaan maha dahsyat yang melanda negeri itu. Allah telah memerintahkan mereka supaya keluar berjalan pada suatu malam sebelum  bala itu turun.

Ahli keluarga yang tidak dapat diselamatkan ialah isteri Nabi Lut sendiri iaitu seorang perempuan tua. Dia tidak dapat keluar bersama-sama dengan beliau, kerana masih ingin tinggal bersama dengan orang-orang yang tinggal di negeri Sadum. Hal ini dinyatakan oleh Allah pada ayat 81 dari surah Hud.

Isteri Nabi Lut adalah seorang perempuan tua yang perangainya tidak begitu baik, disebabkan tidak mentaati Nabi Lut dalam menjalankan perintah agama, dan tidak dapat itkut serta keluar besama-sama  dengan suaminya. Disebabkan tidak mahu mematuhi perintah suaminya itu, maka ia telah dibinasakan sewaktu bencana melanda bersama orang-orang yang tinggal di sana.


Surah Asy Syu’ara ayt 172 Hingga 175

Kemudian Kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut).” - 172  
“Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran.” - 173
‘Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.’ - 174
“Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” - 175  
   
Penduduk lain yang tidak mengikut nasihat Nabi Lut itu telah pun dibinasakan dengan turunnya hujan batu ke atas mereka, yang dibawa oleh angin ribut yang sangat kencang. Dan batu batan itu pula mengandungi api yang membakar seluruh negeri disamping adanya gempa bumi yang dahsyat membalikkan permukaan bumi yang di atas terbenam ke bawah masuk ke perut bumi, dan bahagian bawah yang di dalam perut bumi pula melambung ke atas. Hal itu menunjukkan betapa dahsyatnya seksaan dan azab yang menghujani orang yang diberi amaran itu tanpa mempedulikan amaran tersebut.

Dalam menceritakan kisah Nabi Lut bersama kaumnya ini, ia mengandungi pengarjaran yang jelas da terang untuk ditauladani, tetapi banyak orang yang tidak mahu percaya atau beriman. Maka terang sekali Allah itu perkasa lagi berkuasa untuk menimpakan seksa kepada orang-orang yang kufur dan mendustakan Rasul. Allah juga berisfat pengasih dan penyayang kepada hamba-hambaNya yang mahu bertaubat dan kembali mentaati Allah.


Surah Asy Syu’ara ayat 76 Hingga 180

“(Demikian juga) penduduk "Aikah" telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).’ - 176
“Ketika Nabi Syuaib berkata kepada mereka: "Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.” - 177
“"Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.” - 178
“"Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.” - 179
“"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.” - 180

Di sini Allah menceritakan kisah penduduk Aikah di mana Nabi Syu’aib as telah diutus sebagai rasul kepada mereka. Tafsiran ayat-ayat ini yang mengisahkannya adalah serupa dengan ayat-ayat yang telah terdahulu sebelumnya, tak payahlah mengulangnya. Maka dengan menceritakan kisah Ashabul Aikah (penduduk Aikah) ini menjadi tujuh kisah semuanya, untuk dijadikan tauladan dan panduan.

Nabi Syu’aib telah menasihatkan kaumnya dari pendudk Aikah dengan nasihat-nasihat yang perlu untuk disampaikan sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Rasul yang lain. Tetapi telah didustakan oleh kaumnya. Ketika dilihatnya kaumnya telah melakukan perkara yang salah, maka dilarangnya supaya mereka jangan terus melakukannya.      



Surah Asy Syu’ara ayat 181 Hingga 183

“"Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak-gantang, dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain.” - 183
“"Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya.” - 182
“"Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi. “ - 183    

Nabi Syu’aib menasihatkan mereka sekiranya mereka berjualan hendaklah mereka cukupkan sukatannya sekiranya barang itu dari jenis yang disukat. Dan cukupkanlah timbangannya sekiranya barang itu dari jenis yang ditimbang. Lakukanlah dengan betul, jangan mengurangi sukatan atau timbangan semata-mata kerana hendak mencari keuntungan diri sendiri dengan melibatkan orang lain pula yang akan rugi. Sebagaimana mereka membeli mereka tentu mahukan yang cukup, begitulah juga bila mereka menjual mestilah juga dengan cukup timbangan tidak mengurangi atau melebihkan.

Kemudian Nabi Syu’aib melarang lagi iaitu larangan secara umum supaya janganlah mereka mengurangi hak orang dari apa jenis barang atau wang walau pun sedikit. Jangan juga melakukan bencana di muka bumi seperti menyeksa dan membunuh orang yang tidak berdosa, merampas hak milik, mencuri dan menculik dan lain-lain perbuatan yang ganas. Ianya kelak akan merosakkan kepentingan hidup manusia baik dari segi jasmani mahupun rohani. Amatlah besar dosa melakukan perbuatan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.