Tuesday, October 13, 2015

Surah Asy-Syu'ara Ayat 61 - 84

Surah Asy Syu’ara ayat 61 dan 62


Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: "Sesungguhnya kita akan dapat ditawan". - 61


“Nabi Musa menjawab: "Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku". - 62  


Kemudian disebutkan tentang rasa cemas dan takut dari kaum Bani Israel itu apabila mereka melihat kedatangan Firaun dan bala tenteranya. Mereka berkata di antara satu sama lain, pasti musuh dapat akan dapat menangkap mereka dan membunuh mereka. Sebelum itu mereka sudah pun diseksa dan dianiaya oleh Firaun. Firaun membunuh dan menyembelih anak-anak mereka. Dan sesudah Nabi Musa diutus serta datang kepada mereka, pasti mereka Firaun akan datang menangkap dan membunuh mereka. Di belakang mereka itu kelihatan tentera musuh semakin menghampiri mereka dan mengepung mereka. Jadi tak adalah peluang bagi mereka untuk hidup nanti.Hanya menunggu mati.


Diwajab oleh Nabi Musa, dengan menyuruh mereka semuanya supaya bertenang dan meneguhkan pendirian mereka dengan mengatakan, ‘tidak, tidak sama sekali, tentera musuh tidak dapat membahayakan mereka. Sesungguhnya bersama-sama mereka adalah Tuhan Nabi Musa dan Dialah yang akan memimpin Nabi Musa dan mereka semua.


Surah Asy Syu’ ara ayat 63 Hingga 66


Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Pukulah laut itu dengan tongkatmu". (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar.” - 63


“Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ.” - 64


“Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya.” - 65


“Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya).” - 66


Kemudian Allah telah memerintahkan Nabi Musa as dengan perantaraan wahyu, supaya memukul laut itu dengan tongkat yang ada padanya. Segera nabi Musa memukulnya. Dan dengan tiba-tiba laut itu terbelah dua, airnya menyisih ke kiri dan ke kanan, tiap-tiap sebelah seperti gunung tingginya, dan di tengah-tengahnya jadi daratan yang mempunyai dua belas lorong, untuk dilalui oleh keturunan kaum Bani Israel yang jumlahnya sebanyak 12 rumpun (asbat).


Dan tiap-tiap lorong itu mereka dapat berjalan melaluinya besama-sama dan beramai-ramai hingga sampai ke sebeerang. Hal ini berlaku kerana Allah meniupkan angin kencang, membelah laut itu sehingga ke dasarnya menjadi kering seperti permukaan bumi. Ini sebagaimana yang dinyatkan oleh Allah di dalam ayat 77 dalam Surah Taha yang maksudnya :
“maka buatlah untuk mereka jalan yang kering di laut, engkau jangan khuatir dapat dikejar dan jangan takut.”


Maksudnya lorong itu menjadi daratan yang kering, tidak ada airnya sama sekali. Kemudian Allah dekatkan ke sana Firaun bersma-sama bala tenteranya, sehingga mereka pun mengikuti lorong-lorong itu pula dari belakang. Dan Allah telah selamatkan Nabi Musa as bersama kaum Bani Israel yang menjadi pengikut-pengkutnya sehingga tidak ada seorang pun dari mereka yang mati atau mendapat kecelakaan. Sebaliknya Firaun bersama-sama bala tenteranya semuanya mati tenggelam. Tak ada seorang pun yang tinggal hidup atau terselamat.


Kesimpulannya : Apabila sempurna sudah Nabi Musa bersama kaum Bani Israel menyeberangi laut itu sehingga sampai ke seberang, dan manakala Firaun bersma-sama bala tenteranya yang sedang mengejar itu masih berada di tengah-tengah laut, segeralah Allah kembalikan semula laut yang terbelah dua itu berbalik semula menjadi bercantum, dan mereka tenggelam semuanya.

Surah Asy Syu’ara ayat 67 dan 68


Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakkan mereka tidak juga mahu beriman.” - 67


“Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” - 68


 Allah menyatakan di dalam peristiwa ini terkandung tauladan yang membuktikan kekuasaan Allah, bahawa nabi Musa benar-benar utusan Allah dan beliau mempunyai mukjizat. Maka hal ini merupakan peringatan atau amaran kepada orang yang berani menentang perintah Allah dan perintah rasulNya. Tetapi bukti-bukti dan keterangan-keterangan Allah ini rupa-rupanya banyak manusia yang tidak mahu menerima, utnuk mempercayainya dan beriman dengannya.


Makanya dalam kisah ini adalah seperti hiburan kepada Nabi Muhammad saw yang mana baginda itu pada mulanya berasa teramat sedih mengenangkan kaumnya yang telah mendustakannya dan mendustakan mukjizatnya. Maka dengan membawakan kisah ini, ternyatalah bahwa apa yang berlaku pada Nabi Musa as berlaku juga kepada diri baginda, padahal Nabi Musa as telah pun menunjukkan mukjizat-mukjizatnya yang ajaib, tetapi kebanyakan orang-orang Mesir telah mengingkarinya.


Begitu juga dengan kaum Bani Israel, walaupun mereka telah diselamatkan dari perhambaan dan kezaliman Firaun, namun kemudiannya mereka balik menyembah patung lembu sapi dan malah ada yang mencabar Nabi Musa supaya memperlihatkan Tuhan kepada mereka maka lepas itu barulah mereka mahu beriman.


Maka di sini Allah telah memberikan amaran, bahwasanya Tuhan itu sememangnya Dia Maha Perkasa, maksudnya dapat menghukum dengan menimpakan seksaanNya kepada orang yang memusuhiNya. Tetapi di samping itu, Tuhan juga bersifat Maha Penyayang kepada sesiapa yang menjadi kekasihNya.


Jelas sekali ayat ini membayangkan tentang pertolongan Allah akan selalu berada di pihak Nabi Muhammad saw. Ini samalah seperti yang disebutkan di dalam ayat 40 surah Al Haj yang bermaksud:
“Dan pasti Allah akan menolong orang yang menolong agamaNya.”

Surah Asy Syu’ara ayat 69 hingga 74


Dan bacakanlah pula kepada mereka perihal Nabi Ibrahim.”- 69
“Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apa yang kamu sembah?" -70
“Mereka menjawab: "Kami menyembah berhala-berhala, maka (kerana memuliakannya) kami berkekalan menyembahnya". - 71
“Nabi Ibrahim bertanya: "Adakah berhala-berhala itu mendengar kamu semasa kamu menyerunya?”- 72
“"Atau mereka dapat memberikan sesuatu yang ada manfaatnya kepada kamu ataupun menimpakan sesuatu bahaya?" - 73
“Mereka menjawab: "(Tidak satupun!) Bahkan kami dapati datuk nenek kami berbuat demikian". - 74


Setelah Allah menceritakan kisah Nabi Musa maka Nabi Muhammad saw disuruh membacakan atau menyampaikan pula kepada umatnya akan kisah Nabi Ibrahim as iaitu BAPA dari sekelian para rasul dan pemimpin yang membawa agama yang benar. Tujuan menyebutkan kisah Nabi Ibrahim ini agar umat Nabi Muhammad saw mentauladani dan mengikutinya dengan ikhlas, serta bertawakkal kepada Allah di dalam beribadat kepada Allah sahaja. tidak menyekutukan Allah dengan yang lain dan tidak menyembah kepada selain Allah.


Sebenarnya Nabi Ibrahim itu sudah pun dikurniakan kecerdikan dan kebijaksanaan semenjak dia masih kecil lagi. Nabi Ibrahim as memang dibesarkan dalam keadaan yang selalu mengingkari perbuatan kaumnya yang menyembah berhala. Dia bertanya kepada bapanya dan juga kaumnya, ‘apakah yang kamu sembah ini?’ Pertanyaan yang mengandungi penghinaan untuk memaklumkan bahwa berhala yang mereka sembah itu sebenarnya tidak patut dan tidak layak disembah. Baik dalam segi syarak mahupun akal manusia tidak menerimanya.


Pertanyaan Nabi Ibrahim itu telah dijawab oleh kaumnya iaitu ‘kami menyembah berhala, lalu kami akan terus menerus mehyembahnya. ‘ Mereka berbangga , bahwa apa yang mereka kerjakan dengan menyembah berhala terus menerus siang dan malam patut benar dimegahkan.


Jawapan itu menunjukkan betapa kelirunya kepercayaan mereka dengan menanyakan pula, ‘dapatkah berhala-berhala itu mendengar kalau kamu memanggilnya?atau dapatkah berhala-berhala itu mendatangkan manafaat atau pun pertolongan? begitu pula dapatkah ia menghindarkan mudarat dan bahaya?kerana biasanya orang yang diminta pertolongan mestilah ia bersifat mendengar dan faham apa yang dikatakan kepadanya. Lalu dia pun memperkenankan permintaan itu dengan berusaha pula, untuk mendatangkan manfaat, faedah atau keuntungan. Begitu pula dia dapat menolak dan menghindarkan mudarat atau bahaya yang akan menimpa.


Kata Nabi Ibrahim lagi, ‘selagi tidak dapt mendengar dan tidak dpat memberikan pertolongan yang berupa faedah atau manafaat, begitu pula kalau tak dpat menghindarkan mudarat atau bahaya apa gunanya benda yang bersifat demikian dipuja dan disembah?’


Hujah Nabi Ibrahim itu sangat tepat sekali, sehingga membuatkan mereka terdiam dan tidak membalas balik dengan jawapan dan alasan. Kecuali dengan mengalihkan perhatian mereka kepada urusan orang lain dengan mengatakan bahwa memang berhala itu tidak dapat memberi pertolongan dan manafaat. tetapi amalan ini telah diamalkan sejak nenek moyang mereka lagi dan mereka juga mengikut dan menirunya tanpa memikirkan apakah patut mereka ikut mengerjakannya.

Surah Asy Syu’ara ayat 75 hingga 77


“Nabi Ibrahim berkata: "Sudahkah kamu berfikir sehingga nampak gunanya benda-benda yang kamu sembah itu? “ - 75
“"(Yang sekian lama disembah oleh) kamu dan datuk nenek kamu yang dahulu?” - 76
“"(Aku bertanya demikian) kerana sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhKu, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Tuhan sekalian alam;” - 77


Nabi Ibrahim as kemudian menambah hujahnya dengan menanyakan sebagai mengejek kaumnya iaitu ,’kalau kamu jadi pak turut dengan menyembah apa yang disembah oleh bapa-bapa kamu, tahukah kamu apa yang kamu sembah itu? tak lain ia hanya patung dan berhala. Jika kamu sembahnya, tak ada kesannya yang baik dan yang buruk, kerana ia tidak dpat menjadi musuh atau pun faedah ataupun bahaya. Sesungguhnya dia adalah menjadi musuh bagiku. Aku tidak peduli kpeadanya apa yang akan berlaku. Aku hanya menyembah kepada Tuhanku, Tuhan seru sekalian alam. Tuhan yang memimpin aku dalam kehidupan dunia ini dan juga di akhirat, dan Dia masih mengurniakan rahmatNya kepadaku terus menerus.


Surah Asy Syu’ara ayat 78 Hingga 82


"Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;” - 78
“"Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum,” - 79
“"Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;  - 80
“"Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan daku; “ - 81
“"Dan (Dia lah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat;” - 82


Kemudian Nabi Ibrahim as menerangkan, bahawa Tuhan seru sekalian alam itu ada mempunyai sifat-sifat yang melayakkan Dia menjadi Tuhan yang disembah iaitu:
1 . Dialah yang menjadikan Nabi Ibrahim dan selruruh menusia dengan sebaik-baik bentuk, dan memimpin Nabi Ibrahim ke arah yang mendatangkan kebaikan dalam urusan dunia mahupun akhirat, dan pimpinanNya itu selalu saja baharu.
2 . Dialah yang mengurniakan rezeki yang menjadi makanan dan minuman Nabi Ibrahim , berupa kemudahan yang diturunkanNya dari langit dengan perantaraan hujan, yang mana airnya kemudian dapat menumbuhkan tanaman di muka bumi, lalu menghasilakn bijian dan buahan dan menghidupkan pula haiwan dan binatang ternak semuanya itu menjadi rezeki kepada hambaNya.
3 . Apabila Nabi Ibrahim sakit, Dialah yang dapat menyembuhkan penyakit. Hanya Allah saja yang empunya nikmat penawar dan penyembuh, bukannya makhluk. Kerana apabila seseorang itu sakit, tidak ada siapa-siapa yang dpat menyembuhkannya selain Allah dengan mentakdirkan adanya sebab-sebab yang membawanya menjadi sembuh ketika berubat, berehat dan seumpamanya.
4 . Dialah juga yang mematikan manusia bila ajal telah sampai kemudian Dialah juga yang menghidupkan manusia pada hari kebangkitan dari kubur. Perbuatan yang dimikian tidak siapa dapat melakukannya kecuali Allah saja. Dialah yang dapat mengadakan sesuatu pada permulaanya, dan mengembalikan pula dengan terjadi yang seperti itu kemudiannya jika Ia menghendakinya.
5 . Tidak ada tempat Nabi Ibrahim meletakkan harapan yang dapt mengampunkan dosa di akhirat nanti kecuali Allah saja. Bermakna di sini kesenangan yang dinikmati oleh manusia sepanjang masa hidupnya di dunia ini sehingga ke akhirat nanti datangnya darpada Allah sahaja. Bukannya dari patung dan berhala. Kerana benda-benda itu tidak dapat mengadakan yang demikian.


    
Surah Asy Syu’ara ayat 83 Dan 84


Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh; “ - 83
“"Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian; - 84


Nabi Ibrahim mengemukakan permohonannya kepada Allah dengan doanya yang penuh kyusyuk seumpama malaikat melakukan ibadah kepada Allah siang dan malam tidak ada jemu-jemu, sehingga bercahayalah hatinya dan menjadi mudah melakukan amalan untuk agamanya dan juga dunianya. Dan dengan demkian, dia juga mendapat kekuatan yang dikurniakan oleh Allah swt menyebabkan ia dapat menempuh ke jalan yang dikehendakinya.


Doa Nabi Ibrahim as kepada Tuhannya ini, merupakan semulia-mulia akhlak dan sesempurna adab. Nabi Ibrahim memohon agar beliau dikurniakan ilmu pengetahuan mengenai makrifat kepada Allah, makrifat kepada sifat-sifatNya, supaya beliau dapat mengenal Allah, begitu juga makrifat tentang perkara yang hak untuk diamalkan. 

 Dengan memberi kemudahan untuk beramal pada mentaati Allah, suapay dpaat Nabi Ibrahim diikuti pula oleh orang-orang muqarrabin (hampir) kepada Allah dan taat kepada Allah. Doa ini telah dikabulkan oleh Allah sebgaimana yang disebutkan dalam ayat 130 surah Al Baqarah yang bermkasud:
“Dan sesungguhnya dia di akhirat adalah daripada orang-orang salih.”

Nabi Ibrahim juga memohon agar nama baiknya di dunia dikekalkan dengan mendapat kemudahan, untuk mengerjakan amalan yang salih, sehingga beliau menjadi suri tauladan kepada orang-orang yang selepas beliau sampai ke hari kiamat. Maka doa ini juga diperkenankan oleh Allah seperti mana yang disebut di dalam ayat 108 hingga 110 surah As Soffat.

Itulah sebabnya didapati banyak umat yang cintakan Nabi Ibrahim as dan ada yang mengaku agamanya mengikut agama Nabi Ibrahim as. Sehingga banyak keturunannya menjadi nabi dan rasul dengan mempunyai sifat-sifat yang baik lagi sempurna, dan mempunyai azam yang teguh lagi kuat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.