Thursday, October 1, 2015

Surah Al Furqaan Ayat 1 - 20




Pengenalan Surah Al Furqan

Surah ini bilangan ayatnya sebanyak 77 dan diturunkan selepas turunnya surah Yasin. Semua ayatnya diturunkan di Mekah, kecuali 3 ayat iaitu ayat 68, 69 dan 70 yang diturunkan di Madinah.

Surah ini mempunyai hubungan dengan surah An Nur yang diakhiri dengan menyembutkan bahwasanya Allah itulah Tuhan yang mempunyai langit dan bumi serta berkuasa mengatur makhluk-makhlukNya untuk kepentingan mereka sedangkan mereka pula akan dihisab pada hari akhirat mengenai amalan mereka yang baik dan yang buruk. Maka di dalam surah Al Furqan ini pula dibuka dengan menunjukkan tentang ketinggian zat Tuhan serta keagungan sifat dan perbuatanNya. Dialah Tuhan yang mempunyai kurnia dan kebaikan yang amat banyak kepada hamba-hambaNya, yang diantaranya ialah menurunkan alQuran sebagai lampu yang terang benderang.







Surah Al Furqan ayat 1

"Maha Suci Allah yang telah menurunkan Al-Furqaan (Al quran) kepada hamba-Nya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam,"

Allah memuji diriNya dengan lafaz "Maha Berkat Allah". Iaitu maksudnya sangat banyak kebaikan dan nikmat yang dikurniakanNya kepada hamba-hambaNya sehingga tidak terkira banyaknya, sesuai dengan firmanNya pada ayat 18 surah An Nahl yang bermaksud:
"Dan kalau kamu hendak mengira nikmat Allah, nescaya kamu tiada dapat menghitungnya."

Maka di antara nikmat Allah itu ialah menurunkan al Quran, yang diberinya nama Al Furqan yang ertinya ialah yang membeza dan memisahkan di antara yang hak dengan yang batil, yang benar dengan yang salah. Dan menerangkan mana-mana perkara atau barang yang halal dan mana-mana pula yang haram.

Atau Al Furqan juga dimaksudkan dengan "beransur-ansur'. Iaitu Allah menurunkan ayat-ayatNya beransur-ansur tidak sekaligus, sebagaimana firmanNya pada ayat 106 dalam surah Al Isra' yang bermaksud:
"Dan Quran itu Kami (Allah) turunkan sebahagian-sebahagian, supaya engkau membacanya kepada manusia dengan beransur-ansur."

Quran yang disebutkan itu telah diturunkan kepada utusanNya iaitu Nabi Muhammad saw yang pada ayat ini dipanggil sebagai hambaNya. Ini merupakan penghargaan bahawa baginda adalah sebenar-benarnya hamba yang taat setia kepada Tuhannya. Ataupun, disengajakan penggilan hamba di sini, jangan sampai manusia nanti mendewa-dewakan utusanNya sehingga sampai ke peringkat Tuhan. Sepertimana kaum Nasrani yang mengatakan Nabi Isa itu anak Tuhan. Maha Suci Tuhan dariapda yang demikian. Ayat ini juga adalah sebagai jawapan kepada orang-orang Nasrani yang mengatakan demikian kepada Nabi Isa bukanlah Tuhan.

Quran juga adalah sebagai alat penggerun. Maksudnya untuk mentakuti penduduk alam dari bangsa manusia dan jin, tidak termasuk bangsa malaikat. Kerana manusia dan jin masih juga berdegil menyekutukan Allah dengan yang alin, masih mengingkari para rasul dan tidak percaya kepada adanya hari ba'ath iaitu hari semasa manusia itu dibangkitkan semula dari kubur.

Di sini AlQuran dibayangkan sebagai alat penggerun sahaja dan tidak sebagai alat pembawa berita gembira. Ini kerana ianya ditumpukan kepada mereka yang degil, mereka yang mengatakan Allah itu mempunyai anak. Jadi, sesuailah kalau Quran itu bagi mereka sebagai alat untuk menggerunkan mereka. Sebagaimana yang tertulis di dalam surah Al Kahfi ayat 1 dan 2.








Surah Al Furqan ayat 2

"yang kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, dan Dia tidak mempunyai anak, dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan (Nya), dan Dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya."

Kemudian Allah menerangkan 4 sifat yang ada pada diriNya, untuk menunjukkan keagungan dan kebesaranNya iaitu:

1 . Allahlah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi.
Dialah Tuhan yang berkuasa penuh dalam mentadbirkan kedua-duanya. dialah yang berkuasa samada menjadikan mahupun memusnahkan. Dialah juga yang mengeluarkan perintah dan menghukum, yang berupa suruhan dan tegahan bagi kemaslahatan semua makhlukNya. Semua ini dilakukan sesuai dengan ketetapanNya dan mengikut apa yang dikehendakiNya. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menghalangNya.

2 . Allah tidak mempunyai anak.
Di sini Allah menafikan sama sekali anggapan orang yang mengatakan Allah itu ada mempunyai anak kerana kaum Nasrani mengatakan Isa adalah anak Allah, kamum Yahudi pula mengatakan Uzair anak Allah dan kaum musyrikin Arab mengatakan malaikat anak perempuan Allah. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka katakan itu.

3 . Allah tidak berkongsi dengan sesiapa dalam kerajaanNya.
Janganlah Allah itu disekutukan dengan yang alin semasa beribadat kepadaNya. Bahkan hendaklah kepada Allah saja menyembah dan meminta pertolongan.

4. Allah menjadikan segala sesuatu lalu ditakdirkanNya mengikut kadarNya.
Segala sesuatu adalah makhlukNya yang telah dijadikanNya, dibawah perintah dan kekuasaanNya, mengikut kehendak dan kemahuanNya. masing-masing makhluk itu ada akadar rezeki yang diberikanNya, ada kadar atau batas ajal yang ditetapkanNya dan sebagainya. Dengan demikian, tiadalah patut dan tiada diterima akal keadaan Allah itu beranak atau berkongsi dalam kerajaanNya.

Sisters,
Kalau ada sesiapa yang bertanyakan kepada sisters bagaimana untuk mengenal Allah?
Maka jawablah kepada mereka, bacalah dan tadabburilah surah Al Ikhlas. Di dalam surah ini lengkap menceritakan ciri-ciri yang ada pada Allah Azzawajalla.










Surah Al Furqan ayat 3

"Dan mereka (yang kafir) mengambil benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, yang tidak dapat mencipta sesuatupun, bahkan benda-benda itu diciptakan (oleh penyembah-penyembahnya dari bahan-bahan di bumi); dan benda-benda itu pula tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau sesuatu faedah untuk dirinya sendiri; dan tidak berkuasa mematikan atau menghidupkan, atau pun membangkitkan hidup semula makhluk-makhluk yang telah mati. ."

Allah menyatakan betapa ajaibnya pekerti orang-orang yang syirik dan menyekutukan Allah. Mereka telah tersesat dari jalan yang benar, dan cara berfikir mereka telah terkeliru kerana menyangka ada lagi Tuhan selain Allah yang patut disembah, sperti patung-patung, berhala-berhala dan sebagainya. Sedangkan patung-patung dan berhala tersebut ada kekurangan-kekurangan yang tidak layak dirinya dijadikan Tuhan.

Kekurangan-kekurangan tersebut telah dijelaskan oleh Allah sepertimana berikut:
1 . patung dan berhala tidak dapat menciptakan sesuatu apa jua pun. Kalau Tuhan tentulah boleh menciptakan dan menjadikan.
2 . patung dan berhala itu semua adalah makhluk yang dijadikan. Kalau Tuhan tentulah tidak berhajat kepada sesuatu yang menjadikanNya.
3 . patung dan berhala itu tidak akan dapat menahankan mudarat dan mendatangkan manafaat kepada dirinya sendiri apatah lagi orang lain tentulah jauh sekali. Jadi apalah gunanya patung-patung itu dimuliakan atau dipuja dan disembah.
4 . patung dan berhala itu tidak mempunyai kuasa langsung untuk mematikan sesuatu yang hidup, ataupun menghidupkan sesuatu yang sudah mati, apalagi untuk membangkitkan dari kubur pada hari kiamat kelak.

Dengan adanya kekurangan ini, adakah patut patung dan berhala itu dijadikan Tuhan untuk disembah? Dan tidakkah ajaib namanya pekerti orang-orang yang mempertahankan patung berhala itu? Malahan lebih tepat lagi jika mereka itu dikatakan sebagai orang yang tidak siuman akal fikirannya.







Surah Al Furqan ayat 4

"Dan orang-orang kafir berkata: `Al quran ini tidak lain hanyalah kebohongan yang diada-adakan oleh Muhammad, dan dia dibantu oleh kaum yang lain` (zzzz); maka sesungguhnya mereka telah berbuat suatu kezaliman dan dusta yang besar."

Orang-orang kafir mengatakan bahawa AlQuran itu bukanlah kitab yang diturunkan Allah. AlQuran itu hanyalah suatu kebohongan yang dikarang oleh Nabi Muhammad dan dibantu pula oleh beberapa orang dari kumpulan orang-orang Ahli Kitab yang sudah pun masuk Islam.

Mereka katakan lagi bahwa Rasul telah berpakat dengan mereka untuk mengarangnya, lalu dicampur dengan cerita umat-umat pada zaman dulu kala, yang disusun gaya dan jalan bahsanya dengan cara yang tertentu. Inilah yang didakwakan oleh orang-orang kafir tersebut.

Diriwayatkan bahwa ayat-ayat ini ditujukan kepada salah seorang kafir iaitu An Nadhor bin Al Haris kerana dialah yang mengatakan sepertimana yang diceritakan oleh ayat ini. Yang dimaksudkan dengan kaum yang lain yang kononnya telah menolong Nabi Muhammad untuk mengarang kitab Al Quran ini adalah Addas, seorang hamba kepada Khuwaitib bin Abdul Uzza, Yasar, seorang hamba kepada Al A'la bin Al Khadrami dan Abu Fukaihah Ar Rumi. Mereka ini adalah orang-orang Ahli Kitab yang dahulunya menganut agama Yahudi pandai membaca Taurat dan banyak bercerita tentang kisah umat yang terdahulu. Kemudian mereka masuk Islam dan banyak berhubungan dengan Nabi Muhammad. Oleh sebab itulah Nadhor bin Haris berani mengadakan tuduhan-tuduhan palsu itu.

Lalu Allah menolak tuduhan orang-orang kafir itu dengan mengatakan bahawa orang-orang yang membuat tuduhan palsu itu telah berbuat zalim dan berdusta terhadap Allah. Betapa tidak! Kerana Al Quran yang tidak pernah mengandungi perkara yang salah atau batil, baik pada masa yang lalu atau masa akan datang, dituduhnya sebagai kitab yang dusta dan dianggapnya sebagai barang rekaan manusia!

Sedangkan mereka sendiri tahu bahwa mereka tidak berupaya untuk membuat karangan walau sebaris ayat pun sepertimana AlQuran. Kalau mereka tidak berupaya berbuat demikian maka sudah pastilah AlQuran itu bukanlah ciptaan dari Nabi Muhammad saw tetapi hakiatnya AlQuran itu adalah benar-benar berupa wahyu dari Allah SWT.








Surah Al Furqan ayat 5 Dan 6

"Dan mereka berkata: `Dongengan-dongengan orang-orang dahulu, dimintanya supaya dituliskan, maka dibacakanlah dongengan itu kepadanya setiap pagi dan petang."- 5
"Katakanlah: `Al quran itu diturunkan oleh (Allah) yang mengetahui rahasia di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - 6


Kini orang-orang kafir itu mengatakan pula bahwa Al Quran itu hanyalah perkataan dusta yang direka-reka oleh  orang dahulu kala yang mereka tulis di dalam buku-buku, seperti kisah dongeng Rustum dan Isfandiar yang disalin oleh orang-orang Yahudi. Dan ia dibacakan pula kepada Nabi setiap pagi dan petang supaya dihafalnya. Setelah dihafalnya barulah dia bacakan kepada sahabat dan pengikutnya sebagai AlQuran yang didakwakan turun dari langit.

Alangkah beraninya mereka mengada-ngada sesuatu yang tidak pernah terjadi kepada Nabi Muhammad saw. Kalau benar demikian tentulah para sahabatnya akan mengetahui hal itu dan tentulah mereka tidak akan percaya lagi kepada beliau. Padahal Nabi Muhammad sangat dikenali oleh mereka semenjak kecil lagi sebagai orang yang paling dipercaya, jujur dan tak pernah berdusta. Apakah mungkin seorang yang demikian sifatnya semenjak dari kecil akan menipu orang yang setia kepadanya dan mendakwahkan hal-hal yang bukan-bukan.

Sesungguhnya cercaan yang dilemparkan oleh mereka terhadap Al Quran, adalah menunjukkan mereka itu adalah tergolong dalam orang-orang yang celaka kerana terlampau berani membuat bohong dan dusta.

Lalu Allah telah menyuruh RasulNya supaya menjawab kata-kata mereka dengan menolak anggapan mereka yang salah itu. Bahawasanya pihak yang menurunkan Al Quran itu adalah Allah Yang Maha Mengetahui akan segala rahsia yang tersembunyi. Samada di langit ataupun di bumi. Lantaran itulah Al Quran diturunkan dengan mempunyai mukjizat. Apakah mukjizatnya? Bahasanya yang fasih dan amat tinggi nilai sasteranya sehingga tidak ada seorang pun di antara mereka yang dapat menirunya. Berita-berita yang disampaikan oleh AlQuran juga dapat meramalkan perkara-perkara ghaib yang akan datang. Semuanya ini tidak dapat diramalkan melainkan oleh Allah yang Maha Mengetahui saja. Kerana pengetahuan Allah itu meliputi segala macam ilmu pengetahuan, baik yang lahir mahupun yang batin, yang terang mahupun yang tersembunyi.

Sesungguhnya Allah lah yang menurunkan Al Quran itu, Tuhan yang Maha Pengampun dan Penyayang kepada hambaNya.

Sebenarnya mereka harus bersyukur dan berterimakasih atas rahmat dan kasih sayangNya kepada mereka dengan menurunkan AlQuran sebagai petunjuk bagi mereka dan pembimbing ke jalan yang benar. Tetapi apa yang terjadi, sebaliknya mereka tetap juga engkar dan derhaka dan menentang ajaran-ajaranNya. Kalaulah tidak kerana rahmat dan kasih sayang Allah maka sudah tentulah mereka semua akan ditimpakan azab Allah yang teramat pedih.








Surah Al Furqan ayat 7 Dan 9

"Dan mereka berkata: `Mengapa rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama dengan dia?" - 7

"Atau (mengapa tidak) diturunkan kepadanya perbendaharaan, atau (mengapa tidak) ada kebun baginya, yang dia dapat makan dari (hasil) nya?` Dan orang-orang yang zalim itu berkata: `Kamu sekalian tidak lain hanyalah mengikuti seorang lelaki yang kena sihir." - 8

"Perhatikanlah, bagaimana mereka membuat perbandingan-perbandingan tentang kamu, lalu sesatlah mereka, mereka tidak sanggup (mendapatkan) jalan (untuk menentang kerasulanmu)" - 9

Orang-orang kafir mengatakan bahawa tidak mungkin Muhammad itu menjadi Rasul kerana tidak terdapat padanya tanda-tanda bahawa baginda diangkat menjadi Rasul. Baginda hanyalah orang biasa saja seperti mereka bahkan jika dilihat bagaimana kehidupan baginda, akan bertambah nyatalah bahawa baginda berbohong dengan mendakwakan dirinya sebagai Rasul. Ini kerana baginda adalah sama sjaa dengan mereka bahkan sebagai manusia baginda adalah lebih rendah kedudukannya dan lebih miskin dari mereka.

Dakwakan mereka orang-orang kafir terhadap Nabi Muhammad adalah seperti berikut:
1. Pada sangkaan mereka tidak patut seorang rasul itu makan makanan dan juga minum minuman sepertimana manusia biasa..
2. Pada anggapan mereka, tidak patut  seorang rasul mencari sara hidup yang biasanya dilakukan dengan pergi ke pasar membeli belah atau berjualan, untuk nafkah dirinya dan keluarganya. Kalau berlaku demikian, maka tentulah seorang Rasul itu tidak ada kelebihan berbanding dengan manusia lain. Pendapat begini menandakan betapa lemahnya cara berfikir mereka dan ceteknya pengetahuan mereka. Sebenarnya seorang utusan Allah tidak mestinya mempunyai keistimewaan dalam segi kebendaan dan pandangan lahir, tetapi yang penting ialah mempunyai kelebihan yang bersifat kerohanian dan keutamaan dalam segi semangat dan jiwanya.
3. Mereka menganggap mengapa tidak ada bagnsa malaikat yang diturunkan untuk menyaksikan apa yang diserukan oleh Nabi Muhammad adakah benar, dan kalau perlu akan menolak jika perkara yang diserukannya itu salah.  
4. Mengapa Allah tidak menurunkan harta kekayaan dari langit, yang dapt dibelanjakannya untuk menjamin hidupnya, sehingga Rasul itu tidak perlu lagi ke pasar mencari nafkah hidup.
5.  Mengapa Rasul itu tidak dibekalkan dengan mempunyai taman-taman perkebunan dan sawah ladang, supaya makan minumnya dan hidupnya menjadi senang?

Inilah 5 perkara yang terlintas dalam fikiran mereka untuk dipastikan dan menganggap seorang Rasul itu tidak patut kalau sifat-sifatnya menyami seperti manusia biasa iaitu makan minum, mencari nafkah hidup. Sebaliknya pada pendapt mereka , seorang rasul mestilah seorang yang berbangsa malaikat, setidak-tidaknya ditemani oleh malaikat yang akan menjaga dan memerhatikan dan menolong rasul tersebut. Dan seorang rasul juga perlu ada kekayaan sendiri sebagai khazanahnya. Ataupun taman-taman kebun-kebun dan sawah ladang yang ada hasilnya supaya hidupnya terjamin.

Sepertimana yang kita ketahui, Nabi Muhammad saw dalam sejarah hidup baginda, baginda pernah dipujuk oleh musuh-musuh baginda supaya menghentikan tugas baginda dalam menyebarkan agama Allah. Mereka sanggup memberikan baginda semua keperluan dan kekayaan, harta, pangkat, pengaruh dan segala kekuasaan yang ada di bumi Arab sekiranya baginda nabi mahu menghentikan dakwah baginda.

Namun pujukan dan tawaran itu ditolak oleh baginda Nabi dengan mengatakan bahwa dirinya hanyalah utusan Allah yang menyeru bukan untuk tujuan yang mereka tawarkan tadi. Allah telah mengutus baginda nabi menjadi oran gyang membawa berita gembira dan berita ancaman.

Tidak berpuas hati dengan jawapan baginda, orang-orang kafir itu telah menuduh baginda nabi sebagai telah tekena sihir. Bermakna akal dan fikiran baginda telah rosak dan terganggu, sehingga tidak dapat menuturkan kata-kata yang benar. Maka dengan itu bagi mereka baginda nabi tidak layak untuk diangkat menjadi rasul.

Allah mengingatkan betapa ajaibnya mereka itu kerana berani menuturkan kata-kata rekaan, yang jauh dari kebenaran. Mereka ini telah tersesat dari jalan yang benar, dan mereka bingung tidak tahu apa yang mesti mereka katakan, hanya yang tahu ialah mencaci dan mencela baginda nabi.

Namun sedikit pun tidak akan terjejas kerasulan baginda dan tidak akan dapat pun mengurangi ketaatan baginda kepada Allah Taala. Jauh sekali dari keupayaan mereka untuk menentang mukjizat Al Quran ini.  








Surah Al Furqan ayat 10

"Maha Suci (Allah) yang jika Dia menghendaki, niscaya dijadikan-Nya bagimu yang lebih baik dari yang demikian, (yaitu) syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, dan dijadikan-Nya (pula) untukmu istana-istana." - 10

Allah mengingatkan RasulNya, bahwasanya Allah sangat banyak mempunyai kurnia. Kalaulah Allah mahu, Allah boleh saja mengurniakan kepada Rasulnya itu lebih baik dari apa yang mereka cadangkan kepada Rasul tadi. Dan pastinya Allah boleh saja menjadikan Rasul itu manusia yang paling mewah hidupnya di dunia ini dengan kemewahan yang dijanjikan di akhirat. Allah boleh bagi semua lebih berganda-ganda dari apa yang mereka cadangkan tadi.

Tetapi Allah tidak menghendaki Rasul atau utusanNya itu berkeadaan demikian. Kemewahan dan kebahagiaan yang sebenarnya dan yang akan kekal selamanya bukanlah di dunia, tetapi hanylah di akhirat nanti.

Gambaran yang berupa taman perkebunan yang indah dan istana-istana yang besar dan tinggi melangit lagi mewah dibayangkan dalam ayat ini. Ini kerana memang sudah jenis manusia yang memandang kemwahan sebegitu menjadi kebanggaan hidup di dunia. Mereka akan merasa bahgia sekali kalau mempunyai tempat tinggal yang indah dan istana yang mewah.







Surah Al Furqaan Ayat 11

"Bahkan mereka mendustakan hari kiamat. Dan Kami menyediakan neraka yang menyala-nyala bagi siapa yang mendustakan hari kiamat." - 11

Lalu berpindah pula perhatian Allah memperkatakan mengenai keraguan orang-orang musyrik itu terhadap adanya hari kiamat. Keengganan kaum musyrikin mengakui kenabian dan kerasulan Muhammad saw lantaran mereka tidak percaya akan adanya hari kiamat, tidak percaya akan adanya balasan pahala dan seksa. Kalau dah seseorang itu memang tidak mahu percaya kepada hari kebangkitan dan hari pembalasan, maka tidak berguna lagi untuk memberikan mereka dalil dan bukti agar mereka merenung dan memikirkannya.

Hanya neraka yang membakar diri mereka itu sajalah disediakan sebagai balsan akibat dari kedegilan mereka yang telah mendustakan hari kiamat.








Surah Al Furqan ayt 12

"Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah oleh mereka kemarahan neraka tersebut menyala-nyala dan suara nafasnya yang gemuruh."

Apabila neraka melihat mereka yang bakal dijadikan penghuninya untuk dibakar, terdengarlah suaranya yang gemuruh kerana kemarahan melihat orang-orang kafir itu seakan-akan neraka itu seekor singa yang lapar melihat mangsanya mendekatinya.

Ibnu Munzir dan Ibnu Jarir meriwayatkan bahwa Ubaid ibnu Umair berkata: Sesungguhnya Jahanam itu bergemuruh suaranya sehingga para malaikat dan Nabi-nabi gementar mendengar suara itu, sehingga Nabi Ibrahim jatuh berlutut dan berkata: "Ya Tuhanku tak ada yang aku mohonkan hari ini kecuali keselamatan diriku". Dapatlah dibayangkan bagaimana seramnya keadaan di waktu itu dan bagaimana dahsyatnya seksa yang akan diterima oleh mereka dan bagaimana beratnya penderitaan yang akan mereka rasakan di waktu itu.

Allaaaahu rabbi!








Surah Al Furqan ayat 13

"Dan apabila mereka dilemparkan ke tempat yang sempit di neraka itu dengan dibelenggu, mereka di sana mengharapkan kebinasaan "

Bila mereka dilemparkan ke suatu tempat yang sempit di neraka itu dengan tangan terbelenggu di sanalah mereka akan berseru "celaka aku" Kenapa aku dahulu tidak mengacuhkan petunjuk yang diturunkan Allah dengan perantaraan Rasul-Nya, kenapa aku membantah dan menolaknya. Benar-benar aku ini seorang yang celaka.







Surah Al Furqan ayat 14

"(Akan dikatakan kepada mereka): `Jangan kamu sekalian mengharapkan satu kebinasaan, melainkan harapkanlah kebinasaan yang banyak."

Di waktu itu diucapkan kepada mereka janganlah kamu mengucapkan kata itu (celaka aku) sekali saja. Ucapkanlah kata itu berkali-kali kerana yang kamu lihat dan alami ini baru satu daripada bermacam-macam siksa yang akan ditimpakan kepadamu. Banyak lagi seksaan - seksaan yang akan kamu derita. Oleh sebab itu berteriak-teriaklah berkali-kali memang kamu akan ditimpa seksaan yang dahsyat dan hebat.






Surah Al Furqan ayat 15

"Katakanlah:` Apa (azab) yang demikian itukah yang baik, atau syurga yang kekal yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa? Adakah ia  menjadi balasan dan tempat kembali bagi mereka."

Kemudian Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad agar mengatakan kepada orang-orang kafir itu, apakah seksaan yang demikian hebat dan dahsyat itu lebih baik dari syurga yang penuh nikmat dan rahmat yang disediakan bagi orang-orang mukmin yang bertakwa. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Syurga itu dijadikan untuk mereka kerana beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta taat dan patuh menjalankan perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.








Surah Al Furqan ayat 16

"Bagi mereka di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki, sedang mereka kekal (di dalamnya). (Hal itu) adalah janji dari Tuhanmu yang patut dimohonkan (kepada-Nya)."

Allah menceritakan kesenangan yang berkekalan, mereka menikmati di dalam syurga apa yang mereka sukai boleh didapati berupa makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya dari jenis barangan-barangan mewah yang tidak penrnah dilihat oleh mata. tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di dalam hati manusia bagaimana dianya telah ada. Dan mereka tinggal di sana kekal untuk selama-lamanya. Tidak akan putus dan tidak akan habisnya.








Surah Al Furqan ayat 17

"Dan (ingatlah) suatu hari (ketika) Allah menghimpunkan mereka beserta apa yang mereka sembah selain Allah, lalu Allah berkata (kepada yang disembah):` Apakah kamu yang menyesatkan hamba-hamba-Ku itu, atau mereka sendirikah yang sesat dari jalan (yang benar)?"

Allah menyuruh RasulNya, supaya mengingatkan kaumnya, agar mereka takut kepada seksaan Allah pada hari kiamat. Kerana pada hari itulah mereka bersama-sama apa yang mereka sembah sebagai Tuhan akan dihimpunkan semuanya di padang mahsyar, smada yang disembah itu merupakan patung atau berhala, iaitu benda-bena yang tidak berakal dan tidak bernyawa, mahupun yang disembah itu berakal seperti malaikat, jin dan manusia termasuk juga para nabi seumpama Nabi Isa dan Uzair.

Setelah mereka dikumpulkan lalu ditanya, "adakah kamu yang menyesatkan hamba-hambaKu ini sehingga nanti mereka dibinasakan? atau mereka sendiri yang telah sesat dari jalan yang benar disebabkan enggan mengikuti rasul?"









Surah Al Furqan ayt 18

"Mereka (yang disembah itu) menjawab:` Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagi kamu mengambil selain Engkau (untuk jadi) pelindung (zzzz), akan tetapi Engkau telah memberi mereka dan bapak-bapak mereka kenikmatan hidup, sampai mereka lupa mengingati (Engkau); dan mereka adalah kaum yang binasa. "

Maka pihak yang disembah orang semasa di dunia dahulu itu pun menjawab dengan kehairanan kerana di antara mereka ada yang terdiri dari malaikat dan para nabi yang terpelihara dari maksiat (maksum). kata mereka, "Maha Suci Tuhan kami dari apa yang disifatkan oleh orang-orang musyrik itu. Tidak patut kami menyuruh manusia supaya menyembah kami, sedangkan kami menyembah Engkau dan menjadi hamba kepada Engkau."


Kemudian mereka menyatakan lagi dengan berkata,"mereka dan bapa-bapa mereka Engkau jadikan bersenang lenang supaya tahu akan hak kesenangan itu dan tahu pula berterima kasih. Tetapi sayang, mereka asyik mengikuti kemahuan nafsu dan leka di dalam kelazatan, sehingga lupa kepada pengajaran yang Engkau berikan. Maka jadikan mereka daripada golongan yang dibinasakan yang berkeadaan celaka dan hina."









Surah Al Furqan Ayat 19

"Maka sesungguhnya mereka (yang disembah itu) telah mendustakan kamu tentang apa yang kamu katakan maka kamu tidak akan dapat menolak (azab) dan tidak (pula) menolong (dirimu), dan barangsiapa di antara kamu yang berbuat zalim, niscaya Kami rasakan kepadanya azab yang besar."

Kemudian Allah mengarahkan firman-Nya kepada orang-orang musyrik itu "Kamu telah mendengar sendiri jawaban orang-orang yang kamu sembah itu.-Nyatalah sekarang bahwa bukan merekalah yang menyesatkan kamu, mereka tidak pernah menyuruh kamu supaya menyembah mereka. Jadi kamu sendirilah yang mengada-adakan sembahan selain Aku. Sekarang kamu sekali-kali tidak akan dapat lepas dari seksaan Kami dan tak ada seorang juapun yang dapat memberikan pertolongan kepadamu. Kamu telah menganiaya dirimu sendiri dengan membuat-buat sembahan selain Aku, dan nasib orang-orang yang menganiaya dirinya dengan menyembah selain Aku, pasti akan Aku masukkan ke dalam seksaan yang pedih dan berat."







Surah Al Furqan ayat 20

"Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu, melainkan mereka sungguh memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Dan Kami jadikan sebahagian kamu cobaan bagi sebahagian yang lain. Maukah kamu bersabar?; Dan adalah Tuhanmu Maha Melihat."

Sebagai hiburan bagi Nabi Muhammad, pada ayat ini Allah menjelaskan kepada Nabi Muhammad bahwa Rasul-rasul sebelumnya juga makan dan minum. Kecaman-kecaman orang kafir terhadap dirinya amat menyakitkan hati baginda, kecaman-kecaman itu bukan semata-mata kecaman saja, bahkan mengandungi hinaan yang sangat merendahkan dirinya padahal baginda adalah seorang Rasul yang dimuliakan Allah.

Maka untuk meringankan tekanan batin yang di derita Nabi Muhammad saw yang disebabkan kecaman dan hinaan itu. Allah menyatakan kepadanya bahwa Dia tidak mengutus seorang Rasul sebelumnya seperti yang dikehendaki oleh orang-orang kafir Mekah itu.

Semua Rasul yang diutusnya adalah manusia yang tidak bebas dari sifat-sifat manusiawinya, tetapi memerlukan makanan dan minuman, tetap berusaha untuk memenuhi keperluan hidupnya sesuai dengan firman-Nya pada ayat-ayat yang lain.

وما أرسلنا قبلك إلا رجالا نوحي إليهم فاسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون وما جعلناهم جسدا لا يأكلون الطعام وما كانوا خالدين
Artinya"
"Kami tiada mengutus Rasul-rasul sebelum kamu (Muhammad), melainkan beberapa orang laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui. Dan tidaklah Kami jadikan mereka tubuh-tubuh yang tiada memakan makanan, dan tidak (pula) mereka itu orang-orang yang kekal." (Q.S. Al Anbiya: 7-8)

Jadi perbezaan antara manusia sebagai Rasul dan manusia umumnya terletak pada keutamaan peribadinya, ketinggian akhlaknya, kesucian hati dan keikhlasannya dalam menunaikan tugasnya. Dan kerana itu diturunkanlah wahyu Allah kepadanya dan dikuatkan pula dengan mukjizat-mukjizat yang tak dapat manusia menandinginya apalagi mengalahkannya.

Maka ejekan dan kecaman orang kafir itu amat jauh dari sasarannya. tidak wajar dilontarkan kepada Nabi Muhammad. Kalau mereka benar-benar hendak membatalkan kebenaran yang dibawanya bukanlah dengan kecaman seperti itu yang harus mereka kemukakan. Mereka telah ditentang untuk menandingi mukjizat yang diberikan Allah kepadanya yaitu supaya mereka membuat satu surat pendek saja yang serupa nilainya dengan surat pendek dari Alquran. Tetapi mereka tidak berdaya dan tak sanggup membuatnya walaupun mereka sudah termasuk golongan orang yang pintar-pintar dan tinggi sastranya.

Hanya rasa benci dan dengki telah menggelapkan hati nurani mereka dan rasa takut akan kehilangan pengaruh dan kedudukan telah meluapkan amarah mereka. Oleh kerana itu mereka tetap menentang walaupun dalam hati mereka telah menyedari kekhilafan mereka.

Kemudian Allah menjelaskan pula bahwa manusia diuji dengan berbagai macam ujian. Terserahlah kepada masing-masing manusia apakah dia akan tabah dan sabar menghadapi ujian itu ataukah dia akan berpaling dari kebenaran kerana tidak tahan menanggung amarah dan rasa dengki di dalam hatinya.

Allah menjadikan sebahagian manusia sebagai Nabi dan Rasul, pembawa risalah Tuhan-Nya, sebahagian lain dijadikan-Nya raja dan penguasa yang berkuasa atas manusia lainnya, sebahagian lagi dijadikan-Nya kaya dan kuat, miskin dan lemah dan demikianlah seterusnya.

Orang-orang yang menggunakan akal dan fikirannya terutama orang-orang yang beriman tidaklah akan terpengaruh oleh perbezaan tingkat dan darjat, oleh kekayaan dan kedudukan, tetapi dia akan tetap menerima yang benar dan menolak yang salah tanpa menghitung dari mana datangnya kebenaran itu, apakah kebenaran itu datangnya dari seorang pemimpin negara atau menteri atau dari seorang hina dina tidak mempunyai pengaruh apa-apa.

Ali bin Abu Talib pernah berkata: "Perhatikanlah apa yang dikatakan dan janganlah kamu memperhatikan siapa yang mengatakannya". Si miskin diuji ketabahan hatinya menghadapi keadaannya yang serba kurang, tidak seperti orang kaya yang dapat menikmati berbagai macam kesenangan jasmani dengan kekayaan itu.

Orang-orang kafir Mekah itu diuji kebersihan hati mereka dengan memberikan kurnia kerasulan kepada Nabi Muhammad, sedang dia adalah seorang biasa saja di antara mereka, bukan dari orang-orang kaya atau dari pemimpin kabilah yang berpengaruh besar. Semua manusia diuji kekuatan mentalnya menghadapi perbezaan dan jurang pemisah antara berbagai macam golongan dalam masyarakat. Barang siapa yang menang dalam menghadapi ujian itu adalah yang akan mendapatkan kebahagiaan hidup baik di dunia mahupun di akhirat.

Demikianlah ujian yang diberikan Allah kepada hamba-hamba-Nya, dan Dia Maha Mengetahui siapa di antara hamba-Nya itu yang tabah dan sabar menghadapi ujian itu sehingga ia termasuk orang-orang yang lulus menang. Dia akan memberi balasan sebaik-baiknya kepada pemenang-pemenang itu dan akan menimpakan seksaan kepada orang-orang yang kalah yang kerana ketidak sabarannya dan kerana kesombongannya dia sampai menderhakai nikmat yang telah diberikan-Nya kepada mereka.  








No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.