Tuesday, October 13, 2015

Surah Asy-Syu'ara Ayat 20 - 40

Surah Asy Syu’ara ayat 20 dan 22


“"Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (jenayah) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dari orang-orang yang tidak mengenang budi?" - 20


“"Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan ugama, dan menjadikan daku seorang RasulNya.” - 21


“"Dan budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.” - 22  


Cacian Firaun itu dijawab oleh Nabi Musa hanya yang mengenai perkara yang kedua saja, iaitu sebab mengenai asuhan adalah perkara yang biasa, tidak ada kena mengena dengan tugas berdakwah, kerana seorang rasul itu apabila dia mempunyai dalil yang terang bagi menyokong kerasulannya, maka dalil itu akan dikemukakan kepada kaum yang diserukannya samada mereka mahu memerhatikan ataupun tidak.


Kemudian Nabi Musa juga menjawab yang beliau telah melakukan perbuatan yang Firaun katakan iaitu membunuh seorang bangsa Mesir. Tetapi pada waktu itu beliau di dalam keadaan bingung. Dan beliau hanya meninju bangsa mesir itu hanya sekali saja yang menyebabkan ia mati. Nabi Musa terpaksa melarikan diri dan meninggalkan kaumnya apabila nyawa beliau terancam disebabkan kerana ramai yang telah berpakat untuk membunuh beliau. Nabi Musa mengatakan bahwa beliau bukanlah bermaksud hendak membunuh bangsa Mesir itu tetapi hanya untuk memberinya pengajaran sahaja.


Lalu Allah telah mengurniakan Nabi Musa ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan dan beliau telah dilantik menjadi seorang rasulNya untuk memberi petunjuk kpeada hamba-hamba Allah yang lain dan memimpin mereka ke arah keselamatan dari seksaan sepertimana rasul-rasul yang lain.


Nabi Musa mengatakan lagi bahawa walaupun kesenangan dan kemewahan telah diberikan kepadanya, tetapi Firaun sebaliknya telah melakukan kekejaman terhadap seluruh rakyat dari kaum Bani Israel. Jagi mengapakah kebaikan yang firaun berikan kepada seseorang itu lebih mahu ditonjolkan , sedangkan kejahatan yang telah firaun lakukan kepada seluruh rakyat kaum Bani Israel itu dilupakan?


Surah Asy Syu’ara ayat 23 Hingga 26


Firaun berkata (dengan sombongnya): "Dan apa dia Tuhan sekalian alam itu?" - 23


“Nabi Musa menjawab. "Dia lah yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, - kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan berdalil maka inilah jalannya".  - 24


“Firaun berkata kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya: "Tidakkah kamu dengar (apa yang dikatakan olehnya)?" - 25


“Nabi Musa menegaskan lagi: "Dia lah Tuhan yang memiliki dan memelihara kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu." - 26


Di ketika Nabi Musa dan Nabi Harun menyatakan kepada Firaun bahwa merekalah utusan daripada Allah Tuhan seru sekelian alam, untuk menyeru kepada agama yang hak yang mendatangkan kesejahteraan, maka Firaun pun dengan megah dan sombong bertanya siapakah Tuhan seru sekelian alam itu.


Maka jawab Nabi Musa as itulah Tuhan yang empunya dan menguasai seluruh langit dan bumi dengan segala isinya yang ada samada di bulan, bintang, laut, dataran dan udara adalah di dalam kekuasaanNya. Firaun kehairanan mendengar jawapan Nabi Musa. Lalu ia menoleh ke arah orang-orang yang ada di sekelilingnya. Lalu dengan nada mengejek  dan menyindir, firaun bertanya kepada mereka, ‘tidakkah engkau semua hairan mendengar jawapan ini? adakah lagi Tuhan bagi kamu selain aku?” jawab Nabi Musa lagi, “itulah Allah Tuhan kamu dan juga tuhan kepada bapa-bapa kamu. kerana Dialah yang menjadikan kamu semua dan juga semua orang dari semenjak zaman dahulu kala.”

Surah Asy Syu’ara Ayat 27 dan 28


Firaun berkata (kepada orang-orangnya): "Sebenarnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini, sungguh gila?" - 27


“Nabi Musa (menerangkan lagi tentang keesaan Allah dan kekuasaanNya dengan) berkata: "Dia lah yang memiliki dan menguasai timur dan barat serta segala yang ada di antara keduanya; kalau kamu orang-orang yang berakal tentulah memahamiNya!" - 28


Firaun tidak menjawab hujah Nabi Musa tadi. Namun dia merasa marah kerana Nabi Musa telah meletakkan rasa ragu-ragu di dalam hati kaumnya mengenai hakikat Tuhan yang sebenarnya, Lalu Firaun menuduh yang Nabi Musa ini sudah gila kerana menyatakan adanya tuhan lain selain dari firaun.


Kemudian Nabi Musa menjawab dengan meyifatkan bahwa tuhan itu ialah yang menciptakan alam, pengatur segala waktu dan mengurus semua tempat. dialah yang menentukan arah timur tempat terbitnya matahari, dan arah barat tempat terbenamnya pula. Dan menciptakan bintang yang ada di langit yang berada di antara kedua arah tersebut samada bintang beredar mahupun bintang yang tetap kedudukannya. Kalaulah kamu berakal fikiran, dengannya kamu dapat memahami apa yang dikatakan kepada kamu dan dengannya pula kamu dapat mendengar apa yang kamu dengar. Kerana semuanya tadi membuktikan tentang adanya Tuhan pencipta alam ini seluruhnya. alam ini diatur dan ditakdirkanNya dengan sebaik-baiknya.


Tidaklah gila orang yang mengajak kamu berfikir. Tetapi adakah kamu berakal? Atau tidak berguna lagi akal itu bagi kamu, kalau tidak dpat memahami dan memikirkan sesudah ada bukti-bukti yang menunjukkan adanya Tuhan.

Surah Asy Syu’ara ayat 29 hingga 31


Firaun berkata: "Demi sesungguhnya! Jika engkau menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan" - 29


“Nabi Musa menjawab: "Adakah (engkau akan memenjarakan daku juga) walau pun aku membawa kepadamu sesuatu bukti yang jelas nyata?" - 30


“Firaun berkata: "Kalau demikian, bawalah bukti itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar". - 31


Bila mendengar hujah Nabi Musa yang begitu kuat, ia hendak menggunakan kekuasaannya dan kekerasannya pula dengan mengancam untuk memasukkan Nabi Musa ke dalam penjara kalau Nabi Musa bertekad untuk bertuhankan selain ia. Ini supaya Nabi Musa merasakan sengsara bila tinggal di dalam penjara nanti. Kerana orang yang dipenjarakan selalunya akan mati, dan tidak dapat keluar lagi. Dan penjara itu pula diperbuat di bawah tanah daripada lubang yang dalam.


Tindakan Firaun itu menandakan bahwa ia sudah merasa takut kepada Nabi Musa. Orang yang sudah tidak ada hujah dan cara lain untuk mematahkan hujah orang lain, selalunya akan mengancam seseorang itu dengan memenjarakan saja.


Apabila Nabi Musa mendengar ancaman Firaun, Nabi Musa bertukar taktik dengan menggunakan mukjizat yang ada di tangannya pula. Nabi Musa berseru kepada Firaun dan sekutunya, apakah mereka akan menerima seruan Nabi Musa sekiranya beliau menunjukkan bukti yang terang berupa mukjizat? Untuk menunjukkan bahwa Allah itu maha Berkuasa?


Dengan tidak teragak-agak lagi Firaun lalu menjawab, supaya Nabi Musa bawakan mukjizat itu di depannya kalau betul Nabi Musa di pihak yang benar. Firaun mencabar pula Nabi Musa kerana ia menyangka bahwa ia dapat mengalahkan Nabi Musa.

Surah Asy Syu’ara ayat 32 dan 33


Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.” - 32


“Dan ia mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba tangannya menjadi putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.  - 33


Setelah dicabar, Nabi Musa pun melemparkan tongkatnya di depan Firaun. Sekonyong-konnyongnya menjelmalah tongkat itu menjadi ular yang besar, terang dilihat oleh mata, tidak ada terlindung lagi dan bukan lah khayalan.


Apabila kejadian itu dilihat oleh Firaun, dia bertanya pula kepada Nabi Musa, adakah lagi mukjizat lain. nabi Musa pun menyeluk tangannya ke dalam belahan bajunya. Sekonyong-konyongnya tangan itu dikeluarkan lalu terpancarlah cahaya yang putih berkilau seperti bulan menyilau pandangan mata orang yang memandang.


Surah Asy Syu’ara ayat 34 dan 35


Firaun berkata kepada ketua-ketua kaum yang ada dikelilingnya: "Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.” - 34


“"Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihirnya, maka apa yang kamu syorkan?" - 35


Setelah Firaun melihat bukti tersebut, dicubanya hendak mendustakanya dengan caranya yang degil. Sambil berpaling kepada pembesar-pembesar dia mengemukakan 3 perkara:
1 . Firaun berkata bahawa Nabi Musa adalah tukang sihir yang amat mahir jadi ia tidak percaya bahwa itu adalah mukjizat.
2 . Firaun menghasut orang ramai supaya jangan percaya kepada Nabi Musa bahkan harus menjauhinya.
3 . Firaun bertanya kepada pembesar-pembesar apakah jalan untuk menghalang supaya Nabi Musa gagal dalam usaha dakwahnya.


Ini telah menunjukkan bahwa Firaun telah merasa takut kalau-kalau Nabi Musa akan dapat mengalahkannya dan khuatir rakyat Mesir akan akan mengikut Nabi Musa pula.

Surah Asy Syu’ara ayat 36 dan 37


Mereka berkata: "Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir),” - 36


“"Supaya mereka membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir". - 37


Pembesar Mesir menjawab supaya Firaun tangguhkan dahulu dan jangan lagi menghukum Nabi Musa dan Nabi harun. Apa yang mereka perlu buat ialah memanggil semua tukang sihir yang mahir dan dikumpulkan untuk beradu kekuatan dengan sihir yang ditunjukkan oleh Nabi Musa. Setelah tukang sihir mereka yang menang maka barulah dijatuhkan hukuman ke atas Nabi Musa. Dengan itu rakyat juga akan menyokong Firaun nantinya. Disebabkan oleh bilangan tukang sihir yang ahli dan pandai itu terlalu ramai, maka mereka merasa yakin untuk dapat mengalahkan Nabi Musa.

Surah Asy Syu’ara ayat 38 hingga 40


“Lalu dikumpulkanlah ahli-ahli sihir itu pada satu masa yang ditentukan, pada hari (perayaan) yang termaklum.” - 38


“Dan dikatakan kepada orang ramai: "Berkumpulah kamu semuanya;. - 39


“"Semoga kita (tetap) mengikut (ugama) ahli-ahli sihir itu kiranya merekalah orang-orang yang menang". - 40


Di dalam surah Al A’raf ada diceritakan tentang beradu kekuatan sihir di antara Nabi Musa dan ahli-ahli sihir. Begitu juga di dalam surah Taha. Di dalam ayat ini disebutkan bahwa Firaun bersetuju supaya orang ramai dipanggil untuk berkumpul untuk menyaksikan perlawanan main sihir itu. Ianya dicanangkan di seluruh kota Mesir dan desa supaya semuanya dapat mengikuti dan melihat sendiri. Umpamanya seperti satu perayaan pula.


Di sinilah nanti akan sempurnya nur atau cahaya Allah, tertegaklah yang benar dan terhapuslah yang batil dengan kudrat Allah swt.


Mereka mengatakan kepada orang ramai, ‘adakah kamu akan berkumpul untuk menyaksikan sendiri?’ iaitu menyaksikan peristiwa yang penting itu. “boleh jadi kami akan mengikuti tukang-tukang sihir. Kami harapkan mereka kaan menang dan akan tetap berada dalam agama Firaun, dan tidak mengikuti Musa.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.