Sunday, October 25, 2015

Surah An Naml Ayat 1 Hingga 13




Pengenalan Surah An Naml

Nama surah ini An Naml, yang bererti semut. Kerana nama semut ini ada disebut di dalam ayat 18 dan 19. Seekor semut mengatakan kepada  rakan-rakannya sesama semut agar mereka segera bersembunyi ke dalam sarang-sarang mereka kerana tentera Nabi Sulaiman akan lalu di tempat itu. Jangan sampai mereka hancur lumat dipijak oleh Nabi Sulaiman dan teteranya nanti.

Lalu di dalam ayat 19 menjelaskan pula, bahawa apa yang dikatakan oleh seekor semut kepada rakan-rakannya itu tadi telah didengar oleh Nabi Sulaiman dan beliau faham akan kata-kata semut tadi. Lalu beliau mengucap syukur kepada Allah atas ilmu pengetahuan yang telah dikurniakan Allah kepada beliau.

Surah An Naml ini bilangan ayatnya sebanyak 93 dan diturunkan di Mekah setelah turunnya surah Asy Syu’ara. Maksud isi kandungan surah ini adalah sama dengan maksud isi kandungan surah-surah yang lain yang diturunkan di Mekah, iaitu untuk menguatkan akidah tauhid. Iaitu beriman kepada Allah, beribadat semata-mata kerana Allah, tidak menyekutukan Allah dengan benda-benda lain. Juga beriman kepada hari akhirat, hari kebangkitan manusia dan juga hari penghisaban.





An Naml ayat 1 Hingga 2

طس تِلْكَ آيَاتُ الْقُرْآنِ وَكِتَابٍ مُبِينٍ
“Taa, siin. Ini ialah ayat-ayat Al-Quran, juga Kitab yang jelas nyata (kandungannya dan kebenarannya). - 1

هُدًى وَبُشْرَى لِلْمُؤْمِنِينَ 
Petunjuk dan berita gembira bagi orang-orang yang beriman.- 2

Ayat pertama adalah seperti biasanya, huruf-huruf pembuka dari beberapa surah di dalam Al Quran. Banyak ulamak tafsir mengambil kesimpulan bahwa hanya Allah sajalah yang lebih mengetahui maknanya, kerana tidak mungkin ada kata-kata di dalam Al Quran, yang terdiri dari susunan huruf-huruf yang tidak ada maksudnya.

Dinyatakan bahwa kitab al Quran ini adalah kitab yang jelas dan nyata. Maksudnya segala apa yang diterangkan di dalam Al Quran ini semuanya penjelasan dan pengajaran yang jelas dan mudah difahami. Sepertimana yang kita telah baca dan tadabur  surah-surah terdahulu iaitu dari surah Al Fatihah sehingga Surah Asy-Syu’ara, tidak ada satu ayat pun yang mempunyai maksud yang terselindung. Semuanya Allah terangkan dengan jelas. Apa yang tidak jelas itu hanyalah kerana kita manusia yang tidak mempelajarinya.

Al Quran itu sendiri disebut sebagai ‘huda’ iaitu ada petunjuk di dalamnya. Di ayat yang ke 2 dikatakan sebagai “Petunjuk dan berita gembira” Petunjuk ini adalah sama juga dengan maksud penunjuk jalan, pedoman hidup yang akan menentukan ke arah mana yang akan ditempuh, yang diredhai Allah dalam hidup ini. Ia juga mengandungi berita gembira , janji yang benar untuk orang yang mematuhi petunjuk itu, iaitu kebahagiaan yang akan dicapai di dunia dan juga di akhirat.

Al Quran ini juga membawa makna sebagai bacaan. Sebab itu orang-orang yang beriman itu disuruh agar selalu membaca dan memerhatikan Al Quran dengan berulang-ulang kali. Dengan membaca dan memerhatikan ayat-ayat di dalam AlQuran, sedikit demi sedikit., lama kelamaan, mereka akan memahami apa yang hendak disampaikan oleh Allah kepada mereka. Segala peraturan dan suruhan, serta larangan, akan lekat di dalam hati mereka. Adakalanya ketika membaca pada kali pertama, mereka akan mendapat petunjuk. Dan bila dibaca kali kedua, mereka akan mendapat petunjuk yang lain pula. Dan bila dibaca kali ketiga, akan lahir pula petunjuk yang lain pula. Begitulah orang-orang beriman disuruh mengulang membaca dan memerhati AlQuran, sehinggalah rahsia-rahsia yang ingin disampaikan kian lama kian terbuka. Hal yang dahulu belum diketahui, kemudian setelah dibaca kian dibaca, akan diketahui dan diketahui lagi.

Oleh sebab itulah, kalau AlQuran itu hanya dibaca semata-mata membaca, bukan membaca yang sebenarnya membaca iaitu tidak dengan perhatian dan kesedaran ma’ani, ianya tidaklah akan terasa kelazatan iman dari AlQuran itu. Berpuluh kali dibaca pun, khatam beratus kali pun, ianya tidak masuk ke dalam hati. Umpama mencurah air di daun keladi. Kalau tidak dengan tumpuan minat dan perhatian, maka tidak akan terasa nikmat dari AlQuran itu.

Namun demikian, petunjuk dan berita gembira ini hanyalah untuk orang-orang yang beriman sahaja. Orang-orang yang mahu beriman kepada Allah, kepada RasulNya, kepada hari kiamat. Orang-orang yang tidak beriman tidak akan mendapat petunjuk dan tidak akan mendapat berita gembira ini.



 
 
 
An Naml ayat 3 Hingga 5
 
لَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ بِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
Iaitu mereka yang tetap mendirikan sembahyang dan memberi zakat, sedang mereka pula percaya dengan yakin akan hari akhirat. - 3

إِنَّ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ زَيَّنَّا لَهُمْ أَعْمَالَهُمْ فَهُمْ يَعْمَهُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat, Kami jadikan perbuatan-perbuatan buruk mereka kelihatan baik kepada mereka; oleh itu, tinggallah mereka meraba-raba dalam kesesatan.- 4

ولَئِكَ الَّذِينَ لَهُمْ سُوءُ الْعَذَابِ وَهُمْ فِي الْآخِرَةِ هُمُ الْأَخْسَرُونَ
 Merekalah orang-orang yang akan beroleh azab seksa yang buruk (di dunia) dan mereka pula pada hari akhirat adalah orang-orang yang paling rugi.- 5

Oleh kerana keimanan itu merupakan sesuatu perkara yang tersembunyi di dalam batin atau hati, tidak dapat dilihat pada zahir, maka untuk mengetahui setakat mana keimanan seseorang, hendaklah ia menampakkan keiamanan itu dengan amalan-amalan dan perbuatan untuk sebagai bukti akan keimanannya.

Seseorang itu tidak dapat diakui sebagai benar-benar beriman, melainkan mereka mestilah beramal yang baik iaitu mendriikan sembahyang fardhu lima waktu dengan sempurna syarat dan rukunnya, membayar zakat bagi mensucikan harta dan dirinya dari segala kekotoran batin. Begitu juga mesti percaya pada hari akhirat yang mana ia akan kembali kepada Tuhannya. Iaitu hari untuk dikira amalannya sama ada baik mahupun jahat. Dengan mempercayai dan meyakini adanya akhirat itulah, dia akan menunjukkan ketaatanny yang seikhlas-ikhlasnya kepada Tuhannya, sambil mengharapkan pahala dan takutkan seksa.

Mereka yang demikian sifatnya, tidakalh dapat disamakan dengan orang-orang kufur kerana mendustakan dan tidak mahu percaya akan adanya hari akhirat. Mereka yang kufur itu tidak ambil pusing samada mereka berbuat jahat ataupun baik, samda mereka taat ataupun derhaka. Kalau pun mereka taat, mereka tetap tidak akan mendapatkan pahala, dankalau jahat sekali pun merka tidak takut untuk diseksa. Sebabnya ialah kerana mereka tidak percaya akan adanya pahala atau adanya seksa.

Orang yang tidak percaya akan hari akhirat, tidak percaya akan adanya kiamat, tidak percaya akan adanya hari kebangkitan dari kubur, dan tidak percaya adanya hitungan pahala dan balasan azab seksa, mereka ini akan ditakdirkan oleh Allah, untuk menjadi orang-orang yang melihat segala kejahatan yang dilakukannya itu dipandagnya baik dan indah belaka. Segala perbuatan buruk yang mereka lakukan itu adalah perbuatan yang murni.  

Dan akhirnya mereka hidup di dalam kebingungan, kerana tidak dapat lagi nak membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, tidak dapat memikirkan apa akibat dari kejahatan yang mereka lakukan dan apa kesudahan dari sikap dan perangai buruk mereka itu.

Sebagai balasan di dunia, orang-orang yang kufur dan tidak beriman ini akan hidup di dalam kebingungan dan kesengsaraan. Berapa ramai orang yang kelihatan kaya harta melimpah tetapi jiwanya miskin dan sengsara. Mengalami kekacauan fikiran, cemburu, dendam kesumat, takut jatuh miskin sehingga tidak dapat melelapkan mata untuk mengumpul harta sebanyak-banyaknya, terseksa siang dan malam.  Juga berapa ramai orang yang dilandan kebosanan dan bahkan takut untuk menghadapi hidup sehingga sanggup mencabut nyawa sendiri, padahal harta benda berjuta-juta. Berapa ramai orang yang mempunyai pangkat setinggi langit, namun masih tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan prasangka kalau-kalau ada yang akan menggulingkan ia dari takhta. Setiap 24 jam sehari diri dikawal bodyguard teramat takut kalau-kalau ada yang ingin membunuhnya, sehingga tidak dapat ke mana-mana sesuka hati.  Itulah orang-orang yang menderita menderita seburuk-buruk seksaan di dunia.

Dan di akhirat pula, mereka ini termasuk dalam orang-orang yang sangat rugi. Kerana sejak dari masa mereka hidup di dunia ini mereka tidak pernah teringat untuk menyediakan bekal untuk dibawa ke sana. Ke akhirat. Rezeki yang diberikan Allah hanya habis untuk memenuhi nafsu syahwat saja. Dan setelah mereka mati nanti, tidak sebesar biji sawi pun bekalan yang dapat dibawanya. Dek kerana tiadanya bekalan untuk dibawa sebagai penebus diri di akhirat nanti, maka tidak ada tempat lain yang sesuai bagi mereka selain dari neraka. Dan mereka kekal menerima seksaan di dalam neraka selama-lamanya.




An Naml ayat 6
 
 وَإِنَّكَ لَتُلَقَّى الْقُرْآنَ مِنْ لَدُنْ حَكِيمٍ عَلِيمٍ
Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah  menerima Al-Quran langsung dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

Setelah diterangkan tentang sifat-sifat Al Quran iaitu sebagai petunjuk dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beirman, maka Allah sebutkan pula disini bahwa sesungguhnya AlQuran itu diterima langsung dari Allah. Maksudnya ialah bahwa wahyu ini adalah wahyu Ilahi. Jibril hanyalah malaikat perantaraan Nabi Muhammad saw dengan Allah saja. Boleh kita katakan sebagai wakil penghantar, yang tidak berhak untuk menokok tambah atau mengurangkan isi kandungan AlQuran.

Di dalam ayat ini disebutkan tentang dua sifat Allah iaitu Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Mengetahui. Maksudnya ialah bahwa segala wahyu yang diturunkan Allah adalah semuanya daripada Allah. Terus. Dan ianya diturunkan dengan hikmah-hikmah, dengan bijaksana, dengan pertimbangan yang matang dari Allah, sesuai dengan kekuatan manusia yang akan menerimanya. Sesuai juga dengan sifat Rahman dan Rahim yang ada pada Allah, iaitu sifat kasih dan sayang.

Ia juga datang dari ilmu Allah yang meliputi seluruh alam yang Dia ciptakan. Allah tahu kelemahan dan kekuatan yang ada pada manusia. Dan Allah juga tahu tentang kesungguhan dan kelalaian hambaNya. Allah juga tahu tentang cita-cita manusia yang mulia dan juga tarikan hawa nafsu sehingga adakalanya membuatkan manusia itu terjerumus ke dalam perbuatan yang salah. Tetapi akhirnya ia menyesal. Allah tahu semua itu. Maka sebab itulah Allah turunkan wahyu ini penuh dengan kebijaksanaan.  






An Naml ayat 7 Hingga 10

إِذْ قَالَ مُوسَى لِأَهْلِهِ إِنِّي آنَسْتُ نَارًا سَآتِيكُمْ مِنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ آتِيكُمْ بِشِهَابٍ قَبَسٍ لَعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ
7 - “(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada isterinya: "Sesungguhnya aku ada melihat api; aku akan bawakan berita dari situ kepada kamu, atau aku akan bawakan colok api daripadanya, supaya kamu dapat memanaskan diri. 

فَلَمَّا جَاءَهَا نُودِيَ أَنْ بُورِكَ مَنْ فِي النَّارِ وَمَنْ حَوْلَهَا وَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ 
8 - Maka apabila ia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) ia diseru: "Berkat yang melimpah-limpah kepada orang yang berada dekat api ini dan sesiapa yang ada (di daerah) sekelilingnya; dan Maha Sucilah Allah Tuhan sekalian alam. 

يَا مُوسَى إِنَّهُ أَنَا اللَّهُ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ 
9 - "Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. 
 
وَأَلْقِ عَصَاكَ فَلَمَّا رَآهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَانٌّ وَلَّى مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ يَا مُوسَى لَا تَخَفْ إِنِّي لَا يَخَافُ لَدَيَّ الْمُرْسَلُونَ 
10 - Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu. Maka apabila ia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu ia diseru): " Wahai Musa, janganlah takut, sesungguhnya Rasul-rasul itu semasa mengadapku (menerima wahyu), tidak sepatutnya merasa takut.

Pada ayat 6 tadi diterangkan bahwa Nabi Muhammad menerima wahu Al Quran itu adalah terus dari Allah. Sungguhpun ianya adalah wahyu yang terang dan jelas dari Allah subhanahu wata’ala, namun rintangan untuk menyampaikan kepada umat manusia adalah begitu besar sekali. Terutamanya dari kaum Quraisy itu sendiri. Maka Nabi Muhammad saw diingatkan oleh Allah bahwa tidak usahlah baginda hairan tentang perkara ini. Kerana Nabi Musa yang dahulu dari baginda nabi pun telah menerima wahyu terus dari Allah juga. Tapi Nabi Musa juga tetap menerima rintangan yang hebat juga dari kaum beliau iaitu kaum Bani Israel.

Allah menceritakan ketika Nabi Musa dalam perjalanan bersama keluarganya pulang ke negeri Mesir, setelah mengasingkan dirinya di negeri Madyan 10 tahun lamanya. Beliau telah berjalan siang dan malam menempuh padang pasir gurun Sahara yang tandus. Mereka telah tersesat jalan. Tiba-tiba kelihatan oleh beliau api di lereng bukit, maka bergembiralah hatinya melihatkan api itu. Kerana itu adalah tanda bukti tempat itu ada didiami manusia juga. Lalu beliau berkata “aku melihat api di sana, aku akan menyaksikannya dan akan kubawa berita kepadamu atau akan kubawa api untuk kamu mendiang dari kedinginan malam ini.”

Apabila Nabi Musa sampai ke tempat api, baginda terperanjat mendengar suara yang menyeru, “Telah diberkati orang-orang yang berhampiran api dan orang-orang yang berada di sekitarnya,”

Orang yang berada dekat dengan api itu adalah Nabi Musa sendiri dan yang berada di sekitarnya ialah keluarganya, isteri dan anak-anaknya dan para pengiring yang telah berkhemah di kaki bukit itu.

“Maha Sucilah Allah Tuhan sekalian alam.” Dari seruan itu daptlah Nabi Musa memahami bahwa kedatangannya ke atas bukit itu telah mendapat sambutan yang mesra. Nabi Musa diberkati dan kaum keluarganya yang menunggu di bawah pun juga diberkati. Kemudian, yang menyeru itu menyebutkan pula pujian kesucian terhadap Allah Tuhan Sekalian Alam. Pencipta seluruh langit dan bumi, yagn mengatur sekalian makhluk, dan penabur kasih sayang dan cinta mesra kepada seluruh insan. Maka hati Nabi Musa yang gembira melihat api di lereng bukit tadi, sesampai beliau ke atas bukit dan mendekati api itu pun merasa bertambah senang dan bahagia.

Terasa seperti dalam khayalan kita sekarang bahwa Nabi Musa merasa bahgia mendengan sambutan yang penuh kasih mesra dan berkat yang dilimpahkan itu. Tetapi di dalam hati Nabi Musa tetap merasa suatu tanda tanya, dari manakah datangnya suara itu dan siapakah gerangan yang empunya suara. Lalu kedengaranlah pula sambutan seruan, seprtimana disebut di dalam ayat 9:
"Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Di situlah Nabi Musa mulai insaf dengan siapa beliau berhadapan sekarang ini dan api yang dihadapinya. Nabi Musa kini telah berhadapan dengan Allah, Tuhannya sendiri. Tuhan sekalian Alam. Pencipta langit dan bumi dan segala yang ada di dalamnya. Nabi Musa yang kecil, yang kerdil. Manusia yang tidak ada apa-apa langsung nak dibandingkan dengan Al-Kaoun, yang mempunyai dan lagi berkuasa kepada seluruh alam ini. Lalu Allah menaikkan darjat Nabi Musa. Diangkat Nabi Musa ke atas, dekat dengan Tuhannya. Seakan-akan Tuhan memimpin tangan beliau membawanya naik.

Dan api tadi?
Apa maksud dari api tadi yang dicari?
Padahal Nabi Musa telah menemui sumber kepada segala api. Di situlah Allah menyatakan tentang siapa diri Allah dan apa sifat Allah sebenarnya.

Allah, Dialah  yang Maha Perkasa. Bahwa tidak ada satu kekuatan pun di alam ini yang dapat menentang kehendakNya. Bahkan tidak ada kekuatan, kecuali Dia yang memiliki dan dari Dia lah semuanya datang. Tidak ada perkasa, kalau bukan kurnia dari Allah. Dan Allah maha Bijaksana menentukan sesuatu pada tempatnya. Mendatangkan sesuatu pada waktunya, memutuskan sesuatu menurut kehendakNya.

Semua ini diterangkan secara berhadapan dengan Nabi Musa. bahwa apa yang Nabi Musa cari-cari selama ini sudah pun ditemuinya. Kalau hati Nabi Musa gembira dengan melihat api menyala, sekarang yang ditemuinya adalah lebih dahsyat dari api sendiri. Bahkan api itu tidak ada erti apa-apa lagi sekarang. Kerana sekarang ini Nabi Musa telah pun bertemu dengan sumber kepada api itu sendiri. MasyaAllah tabarakallah..

Di saat itu, seakan-akan tenggelamlah Nabi Musa ke dalam hadhrat Rububbiyah. Diri Nabi Musa telah tertarik, diseret oleh kekuasaan besi berani tarikan Ilahi, sehingga telah terlupa akan segala-galanya. Lupa akan dirinya. Yang diingatinya hanyalah ALLAH YANG MAHA PERKASA , MAHA BIJAKSANA!

Kemudian barulah Nabi Musa tersentak dari tarikan itu setelah didengarnya pula seruan supaya melemparkan tongkat beliau ke tanah. Tongkat yang beliau selalu bawa ke sana ke mari selama 10 tahun lamanya boleh dikatakan tidak lepas-lepas dari pegangannya walau ke mana saja. Lalu dilemparkannyalah tongkat itu sepertimana yang disuruh.

Maka apabila ia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi.  Itulah bimbingan pertama yang diberikan Allah kepada Nabi Musa untuk menambahkan lagi keyakinan bahwasanya sekarang beliau sedang berhadapan dengan Tuhannya sendiri. Kayu mati entah dari dahan kayu mana yang diambil untuk dibuat sebagai tongkat untuk dibawa ke sana ke mari oleh Nabi Musa, lalu disuruh lemparkan ke tanah, setelah dilempar, tiba-tiba kayu bergerak-gerak, melentok-lentok menyerupai seekor ular. Itulah pertama kali dialami Nabi Musa. Bagaimana Nabi Musa tidak terkejut! Sehinggakan Nabi Musa terus berpaling dan lari tidak menoleh lagi. Hehehe… Sungguh-sungguh Nabi Musa terkejut!

Begitulah seorang Nabi bila mula-mula beliau diangkat menjadi Rasul. Dalam tingkat pertama jiwa mereka akan dilatih supaya tabah. Setelah itu barulah wahyu-wahyu diturunkan dan diperlihatkan Jibril kepada mereka. Malaikat Jibril yang tinggi mengufuk, lalu ia akan mengecilkan diri lalu mendekati rasul-rasul untuk disuruh bacakan wahyu Allah yang dibawanya.

Sisters, ingat tak bilamana Jibril menyuruh Nabi Muhammad membaca tetapi Nabi tidak dapat membaca. Lalu dipagut dan dipeluknya nabi sampai nabi pengsan. Begitulah Allah mengajar antara para rasulnya supaya tabah.

Ok, berbalik kepada kisah Nabi Musa tadi…  apabila melihat Nabi Musa yang lari ketakutan, Nabi Musa dipanggil semula oleh Tuhannya, “" Wahai Musa, janganlah takut, sesungguhnya Rasul-rasul itu semasa mengadapku (menerima wahyu), tidak sepatutnya merasa takut.”

Seruan Allah ini adalah untuk memberikan isyarat kepada Nabi Musa bahwa seorang hamba Allah yang telah dipanggil untuk mendekatiNya, sudah pastilah akan mendapat ujian seperti itu pada awalnya. Dan ujian itu hanyalah kecil saja sesuai dengan kenaikan martabat jiwa. Bertambah tinggi martabat jiwa, maka akan bertambah sulit dan ganjil lah ujian-ujian yang akan ditempuh. Ianya akan berterusan sehinggalah terbinanya kekuatan dan kekebalan jiwa yang mana akhirnya ianya layak untuk menerima gelaran sebagai Rasul Allah.







An Naml ayat 11 Hingga 12
 
إِلَّا مَنْ ظَلَمَ ثُمَّ بَدَّلَ حُسْنًا بَعْدَ سُوءٍ فَإِنِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ
11 - "Tetapi sesiapa yang berbuat salah, kemudian ia mengubahnya dengan melakukan kebaikan sesudah berbuat salah, maka sesungguhnya Aku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 

وَأَدْخِلْ يَدَكَ فِي جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَاءَ مِنْ غَيْرِ سُوءٍ فِي تِسْعِ آيَاتٍ إِلَى فِرْعَوْنَ وَقَوْمِهِ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ 
12 - "Dan masukkanlah tanganmu melalui belahan dada bajumu, nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat (ini ialah) di antara sembilan mukjizat (yang membuktikan kebenaranmu), untuk dibawa kepada Firaun dan kaumnya; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik - derhaka.

Menurut tafsir Ar-RAzi juga tafsir Abus-Su’ud, ayat 11 ini adalah sebagai pujukan Allah kepada Nabi Musa. Sepertimana yang kita ketahui bahwa Nabi Musa dahulu telah terlanjur meninju seseorang yang menyebabkan kematian semasa berada  di Mesir. Ini menyebabkan Nabi Musa telah dirundung rasa bersalah yang teramat sangat. Kita boleh rujuk surah Al Qasas ayat 15 dan 16 mengenai gambaran rasa bersalah yang teramat Nabi Musa tentang peristiwa ini.

Sesungguhnya Allah mengetahui bahwa pembunuhan itu adalah tidak disengajakan dan bukan maksud Nabi Musa untuk meninju si mangsa. Oleh kerana itu Allah telah pun memberikan pengampunan kepada Nabi Musa sejak dari awal lagi. Ketika itu Nabi Musa belum lagi menjadi nabi. Maka sebab itulah Allah tidak memberitahukan tentang pengampunan itu kepada beliau.

Jadi oleh sebab kerana rasa bersalah itu jugalah maka nabi Musa tidak berani mendekati Allah. Beliau berpaling dan lari dan tidak menoleh lagi. Maka di saat itu juga Allah pun menyampaikan wahyu tentang pengampunan yang telah lama Allah berikan pada beliau.

Allah juga tahu Nabi Musa itu dahulunya telah pernah berbuat zalim, berbuat salah dengan memukul orang, yang tiba-tiba menyebabkan kematian orang itu. Tetapi Allah juga tahu bahwa perbuatannya yang salah itu telah disertakan kemudiannya dengan perbuatan yang baik-baik. Di antaranya adalah menggembala kambing selama 10 tahun, menjadi suami yang baik dan pemiimpin keluarga yang bertanggung jawab. Tidak ada terdengar beliau melakukan perbuatan yang tercela sesudah itu. Sebab itulah maka Allah telah bagitahu Nabi Musa bahawa kesalahannya membunuh orang itu dengan tidak sengaja telah diampunkan Allah.  “Maka sesungguhnya Aku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. ‘

Ibnu Katsir telah berkata di dalam tafsirnya bahwa ayat ini adalah satu berita gembira buat seluruh umat manusia. Iaitu bahwa orang yang pernah berbuat salah, kemudian dia bebaskan diri dari kesalahan itu, lalu ia bertaubat dan kembali ke pangkal jalan yang benar, maka Allah akan menerima taubatnya.

Sisters,
Kita fahami bahawa Nabi kita Muhammad saw pun selalu menyampaikan keterangan yang sebegini. Tidak akan ada orang yang terlepas dari kesalahan, kerana dorongan hawa nafsu kerana kelalaian dan kerana belum berpengalaman. Tetapi kalau ia segera insaf dan kembali ke jalan yang benar, Allah akan memberikan keampunan. Malah ia mungkin akan menempuh jalan yang lebih sesudah itu.

Setelah mendengar firman Allah tadi yang telah mengampunkan beliau, Nabi Musa pun merasa lega dan hilanglah rasa tertekan yang melanda diri beliau selama ini.

Lalu di ayat ke 12 ini Allah telah memerintahkan supaya Nabi Musa memasukkan tangannya ke dalam bajunya. Perintah Allah ini pun segeralah Nabi Musa turuti. Setelah dimasukkan tangan ke dalam baju, Nabi Musa diarahkan pula untuk mengeluarkannya. Dan Nabi Musa menurut juga segala suruhan Allah itu. apabila tangan Nabi Musa dikeluarkan dari baju, dilihatnya tangan Nabi Musa bersinar cahaya gilang gemilang dari tangan beliau. Cahaya indah. Bukannya cahaya penyakit. Cahaya itu menerangi tempat di sekelilingnya.

Ini adalah mukjizat yang kedua yang diberikan Allah kepada Nabi Musa.  Dua mukjizat Nabi Musa ini adalah termasuk dalam sembilan mukjizat yang diberikan Allah kepada nabi Musa. Sembilan mukjizat ini adalah sebagai bukti kepada Firaun dan kaumnya bahwa dirinya adalah utusan Allah untuk mengajak ke jalan yang benar yang diredhaiNya. Sembilan mukjizat ini ada disebut di dalam surah Al isra’ ayat 101 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami telah memberikan kepada Musa sembilan buah mukjizat yang nyata.”

Sisters yang dikasihi,
Bolehkah sisters senaraikan apakah 9 mukjizat yang diberikan Allah kepada Nabi Musa ini? Dua daripadanya kita sudah pun mengetahuinya di sini. Jadi sisters bolehlah senaraikan 7 lagi mukjizat Nabi Musa sebagai ulangkaji kita.   Pop Quiz ye, sisters.  

“sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik - derhaka.”
Melanggar segala peraturan, menolak segala kebenaran, jika ada perintah akan dilanggarnya, jika ada larangan, larangan itu tidak dihiraukannya malah dikerjakannya juga. Jika Allah memberitahu bahwa mereka semua adalah hamba Allah, mereka akan kata Firaun itulah Tuhan mereka. Semuanya peraturan ditentang. Semua larangan, disanggah. Inilah namanya orang yang derhaka.





 
 
An Naml ayat 13
فَلَمَّا جَاءَتْهُمْ آيَاتُنَا مُبْصِرَةً قَالُوا هَذَا سِحْرٌ مُبِينٌ
13 - Maka ketika keterangan-keterangan mukjizat Kami sampai kepada Firan dan kaumnya dengan jelas nyata, berkatalah mereka: " ini adalah sihir yang terang nyata!"

Firaun dan kaumnya ini telah pun merasakan dan melalui kegetiran hidup mereka sewaktu dilanda berbagai bencana seperti banjir, serangan kuman, serangan katak, air yang bertukar menjadi darah. Semuanya telah dilalui dan dirasakan kegetirannya. Namun semua kepayahan ini, bukanlah membawa mereka kepada jalan kebenaran. Malah mereka menuduh dengan kata-kata “" ini adalah sihir yang terang nyata!"

Beginilah selalunya sekiranya sesebuah pemerintahan itu jika didirikan atas dasar kezaliman sejak sebelum zaman firaun, semasa zaman firaun ataupun sesudah zaman firaun, malah sehinggalah ke hari kiamat pun mereka tetap tidak akan tunduk dengan kebenaran. Walau bagaimana terang sekali pun kesalahan itu adalah pada diri mereka, namun kesalahan itu pasti akan ditimpakan kepada pihak yang mereka anggap sebagai musuh. Semuanya salah nabi Musa.

Tetapi sekiranya datang sesuatu kebaikan, mereka akan mendabik dada dan mengatakan bahwa kebaikan ini semua adalah kerana mereka. Sepertimana yang disebut di dalam surah Al A’raf ayat 131 yang bermaksud:
“Maka apabila datang kepada mereka suatu kebaikan, merka berkata, ‘ini adalah kerana kami.” dan jika menimpa kepada mereka suatu kesusahan merka menimpakan kesialan itu kepada Musa dan orang-orang yang bersertanya. Ketahuilah bahwa sesungguhnya kesialan mereka itu tidak lain adalah ketetapan dari Allah sendiri. Akan tetapi kebanyakan dari mereka adalah tidak mahu tahu.”

Inilah yang terjadi pada dunia akhir zaman ini. Sesiapa yang mencuba untuk menyalahkan pemerintah yang sudah terang-terang salah dan zalim, maka mereka akan dianggap musuh dan akan ditangkap dan diseksa. Maka sebab itulah setiap orang yang ingin menegakkan kebenaran yang tidak mempunyai dasar cita-cita yang murnia, iaitu kerana Allah, mereka akan merasa tidak tahan dan mudah mengalah. Lalu terpaksa berhenti di tengah jalan.  


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.